You are on page 1of 7

MUKA DEPAN

1
Kandungan

Bab Muka surat

1. Pengenalan 3

2. Bentuk-bentuk Tawaran Pengakuan 3

3. Implementasi Tawaran Pengakuan 4

4. Baik Buruk Tawaran Pengakuan 5

5. Kesimpulan 6

6. Rujukan 6

APENDIKS A 7

2
1. Pengenalan

Di dalam bidang perundangan, prosedur tawaran pengakuan atau plea bargaining


adalah satu proses di dalam kes jenayah yang mana berlakunya tawar-menawar antara pihak
defendan dan pihak pendakwaan supaya pihak yang tertuduh menerima hukuman yang lebih
ringan daripada yang kebiasaannya dengan syarat pihak tertuduh membuat pengakuan
bersalah atas tuduhan tersebut di mahkamah.

Konsep tawaran pengakuan ini sudah wujud sekian lama di dalam bidang
perundangan di Malaysia namun dengan secara diam-diam dan tidak rasmi.
Walaubagaimanapun, konsep ini di amalkan secara rasmi dan meluas di Amerika Syarikat
dan sedikit sebanyak juga di United Kingdom dan India. Penggunaan tawaran pengakuan ini
dikatakan bertujuan untuk mengurangkan beban pengurusan kes jenayah yang tertunggak di
mahkamah. Malah di Amerika Syarikat, dianggarkan hampir 90% daripada kes-kes jenayah
diselesaikan melalui tawaran pengakuan (Srimurugan, 2010).

2. Bentuk-bentuk Tawaran Pengakuan

Tawaran pengakuan boleh di bahagikan kepada 3 bentuk (Nuramani, 2018), iaitu:

a) Tawaran kesalahan (charge bargaining)

Jenis tawaran pengakuan ini ialah apabila pihak defendan dan pihak
pendakwaan bersetuju untuk menukarkan tuduhan asal kepada kesalahan
yang lebih ringan. Contohnya, tertuduh pada mulanya didakwa atas kesalahan
membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, selepas
tawaran pengakuan dicapai, tertuduh bersetuju untuk mengaku bersalah atas
kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh di bawah Seksyen
304 Kanun Keseksaan.

b) Tawaran bilangan pertuduhan (count bargaining)

Jenis tawaran pengakuan ini ialah apabila pihak defendan dan pihak
pendakwaan bersetuju untuk mengurangkan bilangan pertuduhan yang
dikenakan apabila pihak tertuduh mempunyai lebih daripada satu tuduhan.
Contohnya, tertuduh pada mulanya didakwa atas kesalahan dengan sengaja
menyebabkan cedera parah, mencuri dan rogol. Bagaimanapun, selepas

3
tawaran pengakuan dicapai, pihak pendakwaan menggugurkan dakwaan rogol
dan tertuduh bersetuju untuk mengaku bersalah atas kedua-dua tuduhan yang
berbaki.

c) Tawaran hukuman (sentence bargaining)

Jenis tawaran pengakuan ini ialah apabila pihak defendan dan pihak
pendakwaan bersetuju untuk meringankan hukuman yang akan diterima oleh
tertuduh sekiranya disabitkan kesalahan. Contohnya, tertuduh didakwa atas
kesalahan yang membawa hukuman penjara. Bagaimanapun, selepas tawaran
pengakuan dicapai, pihak pendakwaan bersetuju untuk menukarkan bentuk
hukuman kepada denda sahaja sekiranya tertuduh mengaku bersalah.

3. Implementasi Tawaran Pengakuan

Melalui Akta Kanun Prosedur Jenayah (Pindaan) 2010 (Akta A1378) yang mula
berkuat kuasa pada Jun 2012, Malaysia telah mengiktiraf tawaran pengakuan secara rasmi
dari sudut perundangan. Sebelum ini, konsep tawaran pengakuan ini hanya berjalan secara
tidak rasmi melalui perjanjian lisan atau dikatakan “gentleman’s agreement”. Proses tawar
menawar antara pihak defendan dan pihak pendakwaan berlaku tanpa apa-apa dokumen atau
tulisan rasmi yang diterima oleh mahkamah.

Di dalam akta tersebut, prosedur tentang tawaran pengakuan dinyatakan dalam


Seksyen 174C yang mana permohonan tawaran pengakuan boleh dibuat dengan
mengemukakan Borang 28A (lihat Apendiks A) yang terdapat dalam Jadual Kedua yang
telah diisikan dengan butir-butir pertuduhan yang dikenakan berserta dengan pengurangan
pada pertuduhan tersebut yang telah dipersetujui oleh pihak defendan dan pihak pendakwaan
kepada mahkamah. Borang tersebut hendaklah ditandatangani oleh pendakwa raya, tertuduh
dan juga peguam defendan (Zaiton, 2019).

Permohonan tawaran pengakuan boleh dibuat dalam masa 30 hari dari tarikh tertuduh
didakwa. Selepas permohonan tawaran pengakuan diterima oleh mahkamah, hakim akan
memanggil tertuduh “in camera” atau secara persendirian bagi memastikan bahawa
permohonan tawaran pengakuan tersebut dibuat secara sukarela dan tanpa paksaan. Sekiranya
hakim berpuas hati dengan permohonan tersebut, satu perjanjian akan ditandatangani oleh
pihak pendakwaan dengan yang tertuduh untuk mengesahkan tawaran pengakuan tersebut,

4
dan hakim akan menjatuhkan hukuman mengikut perjanjian itu. Sekiranya tidak ada tawaran
pengakuan, perbicaraan penuh akan bermula selepas 90 hari dari tarikh tertuduh didakwa.

4. Baik Buruk Tawaran Pengakuan

Kebaikan tawaran pengakuan ialah ianya boleh digunakan sebagai cara untuk
mengelakkan ketidakpastian dalam hasil perbicaraan dan untuk menghindari keputusan yang
tidak diingini baik bagi pihak pendakwaan mahupun pihak defendan. Oleh kerana
perbicaraan boleh memakan masa yang panjang dan kos kewangan yang tinggi, proses
tawaran pengakuan dapat menjimatkan perbelanjaan dan masa yang diambil untuk
menyelesaikan sesuatu kes jenayah yang dapat digunakan untuk kes-kes yang lebih serius dan
kompleks.

Bagi pihak defendan pula, tertuduh mendapat insentif dalam bentuk hukuman yang
lebih ringan dan tertuduh juga dapat memulakan proses rehabilitasi dengan lebih cepat. Ini
memberi kesempatan kepada tertuduh untuk mengharungi hukuman tersebut dengan perasaan
yang lebih terbuka. Tertuduh juga dapat menjimatkan kos undang-undang yang perlu
ditanggungnya sekiranya dia memilih untuk menjalani perbicaraan penuh dengan walaupun
dengan bantuan peguam yang berwibawa.

Antara kelemahan sistem tawaran pengakuan ialah orang ramai tidak berpeluang
untuk mengetahui fakta yang sebenarnya dalam satu-satu kes jenayah kerana tidak akan ada
perbicaraan awam sepenuhnya. Mangsa jenayah boleh menganggap proses tawaran
pengakuan ini sebagai tidak adil kerana pelaku jenayah ditangani secara lembut dan tidak
sepadan dengan kesalahan yang dilakukan. Terdapat juga kemungkinan boleh berlaku
penyalahgunaan kuasa oleh pihak pendakwaan. Pihak pendakwaan boleh dengan sengaja
boleh menuduh tertuduh atas tuduhan yang serius pada mulanya dan ini boleh mendorong
tertuduh untuk mengaku bersalah atas tuduhan yang lebih ringan, dengan mengambil jalan
mudah untuk mengelakkan perlunya membuktikannya kes terhadap tertuduh di dalam
perbicaraan.

5
5. Kesimpulan

Prosedur tawaran pengakuan ini boleh dilihat sebagai satu alat untuk membantu
mahkamah dalam mengurangkan kes tunggakan dan untuk mempercepat penyelesaian kes.
Namun, harus ada garis panduan yang lebih jelas untuk menentukan syarat-syarat yang perlu
dikenakan dalam prosedur tawaran pengakuan untuk mengelakkan ketidakadilan apabila
tertuduh mengaku bersalah hanya untuk mendapat hukuman yang lebih ringan. Undang-
undang juga harus dikemas kini agar kategori kes-kes tertentu sahaja yang dikenakan pada
tertuduh yang dibenarkan untuk melalui tawaran pengakuan, dan juga hak mangsa untuk
mendapat pampasan sekiranya mangsa mengalami kerugian kewangan.

6. Rujukan

Srimurugan. (2010). Importing The Concept Of Plea Bargaining Into The Criminal
Procedure Code In Malaysia. Current Law Journal, 5.

S. Nuramani A. M., M. Amrullah D. N., C. U. Syawaeda J. (2018). Plea bargaining process


in Malaysia. 9th UUM International Legal Conference.
https://dx.doi.org/10.15405/epsbs.2018.12.03.25

Zaiton H., M. Bahrin O., A. Ridhwan A. R. (2019). When Law and Practice Collide: the
Implementation of the Plea-Bargaining Process in Malaysia. Asian Journal of
Criminology, 14. https://doi.org/10.1007/s11417-019-09288-x

6
APENDIKS A

You might also like