You are on page 1of 6

KOD KERTAS:

SKSE1053: PERADABAN ASIA - INDIA, CHINA DAN JEPUN

TAJUK:
TUGASAN ESEI AKHIR TAMADUN JEPUN

PENSYARAH:
DR. SUFFIAN BIN MANSOR

DISEDIAKAN OLEH:
MOHAMMAD HAFIZAL AIMAN BIN ABDUL HALIM (A175788)
Tamadun Jepun merupakan salah satu peradaban yang memiliki sejarah budaya
dan tradisi masyarakat Jepun yang sangat panjang. Menurut Jacqueta Hawkes,
tamadun dapat didefinisikan sebagai kualiti tinggi yang dimiliki oleh sesebuah
masyarakat. Kualiti yang dimiliki oleh masyarakat Jepun telah berjaya membentuk
sebuah komuniti yang berakhlak mulia dan maju dari era sejarah sehinggalah pada
zaman ini. Maka, dalam membentuk satu nilai ketamadunan, akan berlakulah proses
pembinaan dan pembangunan peradaban Jepun. Dalam konteks sejarah peradaban
Jepun turut memperlihatkan peminjaman budaya China pada zaman Heian.
Asas peradaban Jepun memperlihatkan adanya unsur mitos dan kepercayaan yang
dipercayai oleh masyarakat Jepun. Menurut kepercayaan masyarakat Jepun, Jepun
merupakan sebuah kawasan yang lahir akibat jasa para dewa. Jepun dipercayai lahir
daripada kuasa dua dewa iaitu Izanagi dan Izanami yang berada di kayangan.
Dikatakan bahawa kedua-dua dewa itu telah turun ke bumi untuk membasuh muka di
suatu kawasan. Para dewa itu merasakan kawasan tempat mereka membasuh tangan
itu sesuai untuk dijadikan sebuah kawasan untuk membentuk sebuah negara. Maka,
mereka pun mengeluarkan tombak lalu dicacakkan ke kawasan tersebut. Dari tombak
itu, keluarlah titisan air yang membentuk beberapa buah pulau. Pulau-pulau itu
dikatakan membentuk Jepun yang wujud sehingga ke hari ini.1
Dalam konteks sejarah dan asal usul masyarakat Jepun, Jepun turut dikenali
dengan nama “Nippon”, “Yamato” dan “Nihon” di dalam bahasa Jepun. “Nippon”
membawa maksud “Tanah Matahari Terbit”. Panggilan “Nihon” mula digunakan pada
sekitar kurun ke-7 apabila para cendiakawan daripada negara Korea datang ke Jepun
untuk tujuan melawat. Akan tetapi, apabila menjelangnya zaman pemerintahan
Maharaja Meiji dan Maharaja Taisho, Jepun digelar semula dengan gelaran “Nippon”
oleh golongan pemerintah. Sejarah kemunculan kerajaan Jepun telah dicatatkan dalam
sejarah kerajaan China juga. Catatan terawal ada yang mencatatkan bahawa penduduk
yang mendiami kepulauan di Jepun digelarkan dengan nama “Orang Wa”2 yang
mempunyai unit-unit politik mereka yang tersendiri.
Terdapat tiga teori yang telah dikemukakan berkenaan dengan asal usul sebenar
orang Jepun3. Teori-teori ini amat penting untuk difahami agar kita dapat memahami
bagaimana asas pembinaan dan pembangunan peradaban Jepun itu bermula. Teori

1
Richard Storry,1967, Sejarah Jepun Moden,Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 4-5.
2
Ibid, hlm 5.
3
Wan Mohammad Taufiq, 2010, Pembentukan Peradaban Jepun, Universiti Malaya, hlm 3-6, diakses pada 2
Julai 2020, http://studentsrepo.um.edu.my/650/2/CHAP1.pdf
yang pertama mengatakan bahawa orang Ainu merupakan golongan primitif terawal
yang mendiami kepulauan Jepun. Orang Ainu mendiami kawasan Hokkaido namun
mereka terpaksa berpindah ke kawasan yang lain akibat kemasukan orang Mongoloid
yang masuk ke utara Hokkaido. Teori yang kedua pula mengatakan bahawa orang
Mongoloid yang merupakan masyarakat yang berasal daripada China-Mongolia
merupakan asal usul masyarakat Jepun moden pada hari ini. Mereka terpaksa
bermigrasi dari China dan Korea ke pulau paling selatan iaitu pulau Kyushu yang
terletak di Jepun. Maka, mereka pun membina penempatan mereka di pulau-pulau
Jepun seperti Hokkaido, Shikoku dan Honshu. Teori ketiga asal usul masyarakat
Jepun ialah berasal daripada orang Nusantara yang berasal daripada Asia Pasifik.
Orang Nusantara dikatakan berasal daripada golongan polynesia yang memiliki
kemahiran dalam ilmu pelayaran. Mereka dikatakan telah berlayar menuju ke
kepulauan Jepun dan membentuk penempatan mereka di sana.
Pada peringkat awal pembinaan tamadun Jepun, zaman pertama yang dilalui oleh
masyarakat Jepun dikenali sebagai zaman Jomon. Zaman ini diberikan gelaran
“Jomon” adalah kerana pada zaman itu, banyak barang-barang seperti tembikar dan
periuk diciptakan dengan tanah liat4. Namun begitu, semasa zaman Jomon ini,
masyarakat Jepun dikatakan hidup dalam keadaan yang tidak mempunyai nilai
ketamadunan yang tinggi. Mereka dilihat dalam keadaan untuk memenuhi kehidupan
mereka sahaja dan tidak mempunyai struktur masyarakat yang tersusun. Untuk
melihat pembangunan dan ketamadunan masyarakat Jepun, maka kita perlu melihat
masyarakat Jepun pada zaman Yayoi. Zaman ini merupakan zaman permulaan
pengaruh China meresapi tamadun Jepun. Dalam konteks politik dan pentadbiran,
masyarakat Jepun di zaman Yayoi ini tidaklah mempunyai satu sistem pentadbiran
yang seragam dan berkesan sepenuhnya. Namun, mereka sudah mampu untuk
mentadbir negara dan mempunyai struktur politik yang tersusun melalui sistem
Uji.Namun begitu, sistem pemerintahan di zaman Yayoi ini dilihat hanyalah
berasaskan kepada puak-puak. Puak mana yang mendominasi puak-puak lain akan
memerintah.
Pada peringkat awal, masyarakat Jepun diperintah oleh Ratu Himiko dari
Kerajaan Yamatai5. Dikatakan bahawa sepanjang pemerintahan Ratu Himiko, beliau
sering kali mengasingkan diri di bilik istananya dan hanya ada sebilangan kecil
4
Jaafar Mohd, 2010, Pembentukan Tamadun Jepun, Universiti Malaya, hlm 27-28, diakses pada 2 Julai
2020, http://studentsrepo.um.edu.my/221/3/BAB2.pdf
5
Ibid, hlm 28-29.
pentadbir kerajaan sahaja yang dibenarkan untuk bertemu dengan dirinya. Realiti
sebenarnya, Ratu Himiko hanyalah menjadi boneka di dalam sebuah kerajaan.
Pemerintahan kerajaanya dilaksanakan oleh pentadbir-pentadbiranya. Hal ini telah
menjadi permulaan kepada satu tradisi politik masyarakat Jepun dimana maharaja
Jepun tidak terlibat secara peribadi di dalam hal ehwal Kerajaan. Semuannya akan
diuruskan oleh pentadbirnya sahaja.
Peningkatan dan pembangunan terhadap tamadun Jepun bermula apabila
berlakunya proses dinamisme yang memperlihatkan interaksi antara Tamadun Jepun
dan Tamadun China6. Proses peminjaman budaya daripada negara Jepun daripada
negara China telah memberikan sumbangan yang besar kepada proses perkembangan
peradaban. Penerimaan Jepun terhadap pengaruh-pengaruh luar terutamanya China
telah menyebabkan Jepun mencapai sebuah era yang baharu dalam lembaran
sejarahnya. Interaksi antara Tamadun Jepun dengan Tamadun China dilihat bermula
lebih awal iaitu pada era zaman pra-sejarah Jepun iaitu zaman Yayoi. Hal ini
dibuktikan dengan penemuan tembikar dan periuk yang memiliki pengaruh China.
Interaksi peminjaman budaya antara Tamadun Jepun dengan Tamadun China
berlaku pada dua tahap. Tahap pertama ialah melalui hubungan antara negara Jepun
dengan Korea7. Negara Korea merupakan sebuah kerajaan yang menerima pengaruh
daripada China secara langsung. Interaksi antara kedua-dua buah negara ini telah
menyebabkan Jepun menerima unsur-unsur China secara tidak langsung daripada
Korea. Pada tahap pertama ini, Korea berperanan penting sebagai negara perantara
yang mendedahkan Tamadun Jepun dengan pengaruh dari China. Tahap kedua ialah
melalui hubungan secara langsung antara Jepun dan China. Pada awalnya, hubungan
antara kedua negara itu tidaklah rapat. Namun atas kesungguhan Jepun yang
menginginkan maklumat daripada Jepun, mereka akhirnya berjaya membentuk
sebuah interaksi.
Hasil daripada interaksi dan peminjaman budaya China ke Tamadun Jepun,
berlaku peningkatan budaya dan masyarakat dalam sejarah Jepun. Antara contoh
budaya dan pengaruh luar yang dibawa dari China ialah penanaman padi. Jepun
bukanlah sebuah negara yang bergiat dalam aktiviti penanaman padi pada peringkat
awal. Mereka menerima pengaruh daripada China dalam aktiviti penanaman padi.
Akibat daripada itu, Jepun tidak perlu untuk mengimport makanan ruji mereka
6
M.Rajendran,1988, Sejarah Jepun,Kuala Lumpur, Arena Buku, hlm 22.
7
Roshidin Saleh, Latar Belakang Proses Interaksi antara Jepun dan China, Universiti Malaya, diakses pada 2
Julai 2020, http://studentsrepo.um.edu.my/1173/3/BAB3.pdf
daripada negara luar. Sebaliknya, mereka telah mula menceburkan diri di dalam
aktiviti pertanian dan sudah mulai mampu untuk mengeluarkan makanan ruji mereka
yang tersendiri.Namun masyarakat Jepun melakukan improvasi yang baik.
Memandangkan Jepun terdiri daripada dataran lanar, maka tidak sesuai untuk mereka
melakukan aktiviti penanaman padi. Sebaliknya mereka telah melakukan aktiviti
pertanian di kawasan lereng bukit. Teknik-teknik penanaman padi dan peralatan
pertanian yang digunakan oleh masyarakat Jepun juga turut dibawa dari negara
China8. Dengan penglibatan terhadap aktiviti penanaman padi, masyarakat Jepun telah
mampu untuk menghasilkan “lebihan pertanian” sebagai simpanan kepada mereka.
Mereka kini telah berjaya meningkatkan taraf ketamadunan mereka kepada satu
peringkat yang lebih baik.
Peminjaman budaya China oleh negara Jepun terus berkembang dengan pesat
disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh Putera Shotoku yang merupakan anak
saudara kepada Maharani Suiko yang memerintah Jepun pada zaman Yamato. Putera
Shotoku amat tertarik dengan pengaruh tamadun yang dimiliki oleh China. Maka,
beliau telah bergiat aktif dalam menggalakan proses interaksi antara kedua-dua pihak
iaitu Jepun dan China. Putera Shotoku telah dilantik oleh ibu saudaranya iaitu
Maharani Suiko untuk menjadi Penasihat Di Raja. Beliau telah menggunakan
kedudukannya untuk meminjam budaya China dan membawa masuknya ke negara
Jepun. Beliau telah menerapkan beberapa aspek-aspek dan pentadbiran daripada
negara China ke negaranya.
Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab membawa pengaruh Buddha
daripada China ke Jepun. Hal ini terbukti apabila beliau telah membawa masuk sami-
sami daripada China untuk menyebarkan ajaran Buddha di Jepun9. Beliau juga turut
menggalakan pembinaan kuil-kuil Buddha di Jepun dan antara kuil yang terkenal
sekali ialah Kuil Horyuji. Kuil Horyuji merupakan sebuah kuil kayu tertua di dunia
dan masih wujud sehingga kini. Putera Shotoku juga turut memperkenalkan sebuah
kod etika Confusionisme yang dikenali sebagai ‘Artikel Tujuh Belas”. Artikel ini
menggariskan panduan etika sosial yang boleh diggunakan oleh masyarakat Jepun
untuk hidup dalam keadaan yang lebih harmoni dan sejahtera.Kod etika ini juga turut
menggariskan bahawa kuasa tertinggi negara terletak di tangan Maharaja dan
Maharani Jepun. Selain itu, etika ini turut menggariskan kepatuhan rakyat ke atas

8
Ibid, hlm 25-26.
9
Ryokuke Ishii, Sejarah Institusi Politik di Jepun, diterjemahkan oleh M.Rajendran, hlm 33.
pemerintah atasan dan tanggungjawab pemerintah dalam menjaga kebajikan rakyat 10.
Peranan Putera Shotoku dalam membangunkan pembangunan tamadun masyarakat
Jepun telah berjaya dilaksanankan dengan hubungan yang baik dengan negara China.
Kesimpulannya, interaksi peminjaman budaya antara negara Jepun dan negara
China telah menyebabkan negara Jepun mampu untuk membangunkan ketamadunan
mereka yang tersendiri. Sikap terbuka yang diamalkan oleh negara Jepun sewajarnya
dijadikan sebagai contoh kepada negara-negara di seluruh dunia.

10
Ibid, hlm 34.

You might also like