You are on page 1of 3

Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang Lebih Menyeronokkan

Kerajaan telah mengambil inisiatif memperkenalkan kurikulum baru bagi sekolah rendah dalam
sistem pendidikan negara iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) di mana ia dimurnikan
daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum tersebut telah dilaksanakan mulai
tahun 2010. Antara pemurnian yang dilaksanakan ialah kemahiran didik hibur. Empat elemen yang
terkandung dalam didik hibur ialah nyanyian, aktiviti bercerita, lakonan dan puisi. Menurut Kamus
Dewan (2000), didik didefinisikan sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar manakala hibur
didefinisikan sebagai menggembirakan atau meriangkan. Oleh itu, didik hibur dapat dirumuskan
sebagai satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan
berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.

Strategi memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) telah diumumkan oleh bekas Menteri Pelajaran, Tan
Sri Muhyiddin Yassin di semua peringkat sekolah. Kerajaan melalui KPM memberi fokus dan
penekanan kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa dalam kalangan murid menerusi
pendekatan modular yang bersepadu, holistik dan seimbang. Ia merangkumi aspek kemahiran
membaca, menulis, bertutur dan mendengar serta menguasai tatabahasa dan seni bahasa.
Penerapan didik hibur di sekolah rendah berfokus kepada apresiasi bahasa untuk merealisasikan
hasrat transformasi berikut.

Terdapat tiga objektif utama pelaksanaan pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan
pembelajaran di sekolah rendah iaitu mengguna dan memahami sesuatu pelajaran secara didik
hibur, mengguna dan memahami bahasa yang indah atau bahasa badan dalam aktiviti dan
mengguna dan memahami sesuatu kemahiran yang ditunjukkan secara didik hibur.

Pengajaran dan pembelajaran berunsurkan didik hibur mestilah memiliki beberapa ciri-ciri tertentu.
Antaranya sesi pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah bersifat menyeronokkan di mana
terkandung unsur kelakar, kecindan, unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan lain-lain. Didik
hibur dapat mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid terhadap guru. Ini kerana
suasana pengajaran dan pembelajaran yang santai dan positif akan membuatkan murid tertunggu-
tunggu untuk mengikuti sesi pembelajaran pada hari yang akan datang.

Pengajaran dan pembelajaran hendaklah berpusatkan murid kerana melibatkan seramai murid
dalam aktiviti berbahasa. Misalnya, aktiviti lakonan yang dapat mendedahkan murid dalam
kemahiran berdialog dengan baik. Selain itu, penggunaan ICT dan BBM yang menarik ternyata
berkesan untuk menarik minat dan fokus murid terhadap isi pelajaran yang disampaikan.

Selain itu, antara ciri pengajaran dan pembelajaran didik hibur ialah cenderung kepada pelbagai cara
penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tidak mempunyai unsur kalah atau
menang, tiada ganjaran mahupun dendaan sebaliknya lebih menjurus kepada aktiviti berbahasa.
Didik hibur yang dipilih dalam sesuatu aktiviti hendaklah lebih berfokus kepada aktiviti berkumpulan
atau berpasangan kerana akan mewujudkan semangat kerja berpasukan, toleransi dan kerjasama.
Melalui didik hibur murid didapati bebas bersuara, mengeluarkan pendapat serta idea yang bernas
dan logik namun masih terkawal dalam pengajaran dan pembelajaran.

Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa badan. Bahasa badan merujuk
kepada bahasa gerak di mana ia merupakan sebahagian daripada proses komunikasi dan berperanan
menggambarkan sebarang reaksi dalam menunjukkan sesuatu aktiviti sama ada positif mahupun
negatif. Bahasa badan melibatkan apa jua anggota badan misalnya mata, kening, tangan, lengan dan
bibir. Dalam konteks didik hibur, bahas badan ialah ‘bahasa gerak badan’ yang diaplikasikan dalam
pengajaran dan pembelajaran supaya dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian semasa
melakukan sesuatu aktiviti.

Didik hibur dapat dilaksanakan secara penyerapan dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu
mata pelajaran dengan memberi fokus kepada aktiviti mengguna dan memahami penyerapan
sesuatu situasi. Penyerapan merujuk kepada proses menyerapkan pelbagai disiplin ilmu, nilai murni
dan kemahiran bernilai tambah yang dipelajari semasa proses pengajaran dan pembelajaran (KPM,
2001). Didik hibur merupakan penyerapan pelbagai ilmu dan tema. Dalam konteks didik hibur proses
penyerapan merupakan proses menyerapkan ilmu melalui pelbagai aktiviti secara santai dalam
pengajaran dan pembelajaran sesuatu subjek di sekolah.

Terdapat banyak kaedah untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran bagi subjek
Bahasa Melayu yang lebih menyeronokkan. Nyanyian merupakan salah satu kaedah yang paling
digemari oleh murid kerana iringan muzik memberi impak kepada nyanyian dan dapat membantu
murid menguasai kosa kata, sebutan, intonasi, rima dan struktur ayat.

Aspek nyanyian ternyata dapat menceriakan sesi pengajaran dan pembelajaran, mengukuhkan
aspek kemahiran asas berbahasa serta membantu murid mengingati apa-apa yang dipelajari dengan
mudah. Prinsip semasa melaksanakan kaedah nyanyian ialah guru memilih lagu yang sesuai (tata
bahasa, maksud bahasa), melodi yang mudah diikuti, sesuai dengan tahap kesediaan dan
pencapaian, lagu memiliki jalan cerita, pengajaran, motivasi dan nilai serta tidak membebankan guru
dan murid. Antara lagu yang menarik untuk dinyanyikan ialah Tiga Kupang, Air Pasng Pagi, Oh Bulan
dan Lompat Si Katak Lompat.

Kaedah bercerita merupakan satu kaedah yang amat disukai oleh murid kerana kanak-kanak amat
menyukai mendengar cerita. Guru hendaklah bersedia bercerita secara natural kerana sesuatu cerita
dapat memberi pengajaran, nilai murni dan menyuburkan imaginasi murid. Kaedah bercerita dapat
dibahagikan kepada dua iaitu bercerita tanpa alat dan dengan alat.

Antara tajuk cerita yang boleh disampaikan kepada murid ialah Pemotong Kayu dan Kapaknya,
Gagak Yang Bijak dan sebagainya. Antara elemen lain dalam didik hibur ialah lakonan. Kelebihan
aktiviti lakonan ialah membolehkan murid bertutur dengan gaya, intonasi, suara, nada dan sebutan
yang betul. Selain itu, lakonan membiasakan murid bertutur menggunakan bahasa yang kemas dan
teratur serta membantu murid berinteraksi dengan orang lain untuk menyatakan perasaan,
keinginan, pengalaman dan fikiran mereka. Antara cadangan aktiviti lakonan ialah membuat lakonan
ringkas seperti memberi ucap tahniah, meniru aksi pendaki, melakonkan semula situasi seperti
penjual ikan, melakonkan dialog yang disediakan, meniru aksi yang pernah dilihat seperti jatuh,
melakonkan semula adegan yang pernah dilihat seperti filem dan melakonkan dengan menggunakan
alatan seperti boneka, kain atau bunga.

Faktor kejayaan didik hibur dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran dipengaruhi oleh guru dan
aktiviti. Menurut Pullias & Young (1982), guru merupakan segala-galanya dalam proses pengajaran
dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Manakala Syed Lutfi (1994) menyatakan guru yang akan menjalankan pelbagai peranan dalam bilik
darjah. Ini membuktikan bahawa kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran adalah
terletak kepada kebijaksanaan dan kepakaran guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Oleh itu, sebagai guru misalnya guru Bahasa Melayu, terdapat
beberapa perkara yang perlu dipatuhi iaitu perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak
menakutkan murid, bahasa yang digunakan mestilah bersesuaian dengan tahap murid, guru tidak
menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak, guru sebagai seorang pengurus sesuatu
aktiviti yang dilaksanakan, guru berkebolehan melakonkan pelbagai watak dan membuat pelbagai
suara. Selain itu, guru mestilah memberi arahan dengan tepat dan menarik, prihatin, peka dan tajam
daya pemerhatian, guru berkebolehan menukar penyesuaian mendadak dan memainkan peranan
sebagai fasilitator yang fleksibel.

You might also like