You are on page 1of 2

1915 - 1973

Beliau dilahirkan pada 4 November 1915, segala jasa dan pengorbadan


Tun Dr.Ismail Bin Dato' Hj.Abdul Rahman terhadap negara sentiasa
dikenang walaupun selepas ketiadaannya. Mantan Timbalan Perdana
Menteri Ke-2 ini diperakui pakar dalam hubungan antarabangsa dan
mempunyai rekod cemerlang dalam hal- ehwal dalam negeri.
Ringkasnya, beliau adalah pemimpin yang bergandingan
dengan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak dalam proses
memperkukuhkan negara bangsa Malaysia.

 Anak kelahiran Johor Bahru ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Bukit
Zaharah dan kemudian melanjutkan pelajaran di English College, kedua-duanya di
Johor Bahru. Setelah lulus dengan cemerlang dalam pendidikan peringkat
menengah, beliau melanjutkan pelajaran ke King Edward College of Medicine,
Singapura dari tahun 1936 hingga 1939. Setelah itu, beliau telah mendapat tawaran
melanjutkan pengajian di Queen's College Melbourne University, Australia sehingga
memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan tahun 1945. Beliau mendapat
penghargaan dan menjadi kebanggaan negara kerana menjadi anak melayu pertama
lulus Ijazah Perubatan dari University tersebut. Sekembali ke Tanah Air, beliau
menyertai Jabatan Kesihatan Johor buat seketika dan kemudian membuka klinik
perubatannya sendiri yang dikenali sebagai Tawakkal di Johor Bahru.

Tun Dr.Ismail mula menempa nama dalam bidang politik apabila dilantik sebagai
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor tahun 1948 hingga 1954. Di peringkat
persekutuan pula, beliau mula menyertai UMNO pada tahun 1951 setelah Dato' Onn
Jaafar meletak jawatan dan Tunku Abdul rahman diangkat sebagai Presiden UMNO.
Beliau juga menganggotai Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan oleh
Sir Gerald Templer pada tahun 1955 dan setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai
Menteri Tanah, Perlombongan dalam kabinet persediaan Tunku Abdul Rahman.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Tun Dr.Ismail telah dilantik sebagai Menteri
Perdagangan dan Perindustrian pada tahun 1956. Tunku Abdul Rahman turut memilih
beliau sebagai salah seorang ahli rombongan ke London pada Februari 1956 bagi rundingan
kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau telah dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika
Syarikat yang pertama dan pada masa yang sama sebagai wakil Malaysia ke Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Sebaik pulang ke tanah air, khidmat dan pengalaman luas beliau dalam politik amat
diperlukan menyebabkan beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian
buat kali kedua serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri antara tahun 1960-1967. Atas sebab-
sebab kesihatan, Tun Dr.Ismail bersara seketika daripada bidang politik negara dan
menjalani rawatan kanser di London. Desakan keadaan selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969,
Tun Dr.Ismail kembali melibatkan diri dalam kancah politik demi kepentingan negara.
Beliau sekali lagi telah dilantik sebagai Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri dan
bertanggungjawab membantu Tun Abdul Razak meredakan ketegangan dalaman ini sebagai
Timbalan Pengerusi Majlis Gerakan Negara(MAGERAN)

Apabila keadaan negara telah pulih sepenuhnya, Tun Abdul Razak telah sebulat suara dipilih
sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-2 dan melantik Tun Dr.Ismail sebagai Timbalan
Perdana Menteri pada tahun 1971. Tun Dr.Ismail telah menampilkan prestasi yang amat
membanggakan dan banyak membantu meringankan tugas serta tekanan yang dihadapi oleh
Tun Abdul Razak ketika itu. Tun Dr.Ismail juga pernah memangku jawatan Perdana Menteri
ketika Y.T.M Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak berada di luar negara.

Pada 2 Ogos 1973 beliau meninggal dunia akibat serangan jantung dan dimakamkan di
Makam Pahlawan yang merupakan pemimpin pertama disemadikan di situ. Ungkapan
beliau, 'Jangan sapu ke bawah permaidani' yang sangat terkenal diingati sehingga ke hari ini.
Ungkapan ini timbul berikutan permasalahan ekonomi orang Melayu yang sangat daif tetapi
cuba ditutup begitu sahaja, sehingga akhirnya tercetus Peristiwa 13 Mei 1969.

Sumbangan pemikiran beliau yang luar biasa memberi inspirasi kepada Akademi Perubatan
Malaysia menganjurkan pidato Tun Dr.Ismail setiap dua tahun sekali. Sebagai mengenang
jasa beliau, namanya terpahat di Kolej Tun Dr Ismail, UPM, Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail,
UTHM, Batu Pahat Johor dan Taman Tun Dr Ismail di kawasan Selangor dan Kuala
Lumpur. Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, Universiti Malaya
menganugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang kepada beliau pada tahun
1964.

You might also like