You are on page 1of 2

Menjadi sebuah negara maju dan terkenal di mata dunia merupakan impian

bagi sesebuah negara di dunia ini. Negara Malaysia tidak terkecuali memandangkan
hasrat tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil untuk digapai kerana ketika ini
Malaysia berada dalam landasan yang kukuh untuk mencapai status negara maju
dengan ekonominya terus mencatatkan kemantapan. Sebagai contoh, kemajuan
yang diinginkan akan menjadikan negara sebagai sebuah negara industri utama
dunia dan tidak lagi bergantung kepada industri pertanian semata-mata. Hasil
eksport produk yang dihasilkan di negara ini bukan sahaja berkualiti dan setanding
dengan negara-negara maju yang lain malah mampu menguasai pasaran global.
Namun demikian, terdapat beberapa halangan yang perlu diatasi bagi memastikan
status negara maju dapat dicapai.

Antara halangan utama negara dalam mencapai status negara maju ialah
kesukaran untuk mewujudkan kesepakatan dan semangat toleransi di antara
masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Ini kerana, menurut kajian oleh Institut
Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukan risiko atau sikap
perkauman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum semakin meningkat dan
sekiranya tidak ditangani dengan segera akan menyebabkan rakyat mengutamakan
kepentingan etnik masing-masing dalam tindakan hidup mereka. Malah perkara itu
akan membawa kepada gejala negatif seperti stereotaip, prejudis, perkauman dan
diskriminasi yang menebal dalam kalangan masyarakat sehingga mampu
memusnahkan perpaduan. Tanpa perpaduan dan pemikiran yang satu akan
menyebabkan sebarang bentuk kerjasama untuk memajukan negara tidak akan
terjalin.

Selain itu, ketidakstabilan ekonomi dunia juga menjadi halangan kepada


negara untuk menuju ke status negara maju. Ini kerana, apabila ekonomi dunia
merosot sepertimana yang berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 2008 secara tidak
langsung ia turut menjejaskan ekonomi negara maju yang lain dan Malaysia tidak
terkecuali di mana kita dapat lihat kadar pertumbuhan ekonomi negara akan
menjadi lebih perlahan. Kesan kelembapan ekonomi ini akan menyebabkan berlaku
banyak masalah antaranya penurunan eksport produk ke luar negara, berlakunya
kekurangan pelabur asing dan seterusnya pengangguran dalam kalangan rakyat
akan meningkat. Kegagalan negara mengatasi masalah ini secara bijak dan
berhemah akan menyebabkan status negara maju sukar dicapai.

Kekurangan tenaga pakar dan professional dalam sektor–sektor penting


juga turut menjadi halangan kepada negara menuju ke status negara maju. Dengan
kemasukan aktiviti ekonomi tidak lagi tertumpu di pusat bandar dan ibu kota, tetapi
kini tersebar ke seluruh negara. Oleh itu, secara tak langsung pekerja berkemahiran
tinggi amat diperlukan terutama dalam sektor pembuatan, komputer, pelancongan
dan logistik di negara ini. Adalah menjadi dasar kerajaan untuk melahirkan modal
insan berpengetahuan dan berbakat yang mencukupi supaya mampu memberi
impak kepada produktiviti dan daya saing yang mana seterusnya akan mendorong
Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju.

Antara langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah untuk membawa
negara menuju ke status negara maju antaranya memperkukuhkan perpaduan
rakyat yang pelbagai kaum. Kepelbagaian agama, etnik dan budaya terus menjadi
teras kepada kekuatan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju. Pemantapan
penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menghormati
kepelbagaian agama, budaya dan adat resam serta mengamalkan aktiviti sukan
secara tetap dengan melibatkan semua kaum akan dapat mewujudkan semangat
perpaduan yang tinggi di kalangan rakyat negara ini. Apabila semangat perpaduan
dalam diri semakin menebal maka persefahaman dan sikap toleransi akan datang
dengan sendirinya serta akan timbul semangat bekerjasama antara satu sama lain
untuk membantu negara menjadi sebuah negara maju dan terkenal di mata dunia.

Langkah lain yang perlu diambil oleh kerajaan ialah dengan menambahkan
bilangan pekerja mahir yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam teknik
serta aplikasi teknologi moden yang menjamin kecekapan industri bagi
meningkatkan produktiviti dan daya saing industri. Inisiatif kerajaan seperti
meningkatkan kecekapan pasaran buruh, mengubah pendidikan teknikal untuk
memenuhi keperluan sendiri, memperkukuhkan pembelajaran sepanjang hayat dan
menambahbaik kualiti sistem pendidikan diharap dapat membantu masalah
kekurangan tenaga kerja mahir. Selain itu, kerajaan juga boleh menggunakan
tenaga kepakaran rakyat tempat yang berada dan berkhidmat diluar negara dengan
memanggil mereka pulang untuk membawa pengalaman, kemahiran, pengetahuan
dan kebolehan mereka dalam membantu mewujudkan tenaga kerja bertaraf dunia di
Malaysia.

Pelaksanaan aktiviti kajian dalam penyelidikan dan pembangunan (R & D)


juga merupakan satu langkah yang boleh diambil kerajaan untuk memastikan
negara berada dalam landasan yang baik menuju ke negara maju. Antara
kepentingan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R & D) kepada negara adalah
kerana dapat menghasilkan barang yang kreatif, meningkatkan produktiviti,
mewujudkan tenaga kerja yang berkemampuan dan seterusnya berpeluang
memperkukuhkan ekonomi negara melalui pembangunan inisiatif baharu dalam
bidang-bidang pendidikan, perubatan, dasn bioteknologiyang berpotensi
dimanfaatkan di peringkat globalsekaligus menaikkan imej Malaysia di mata dunia
dan berada sebaris dengan Negara-negara maju yang lain.

Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama bak kata pepatah bulat air
kerana pembentung, bulat manusia kerana maufakat dalam memastikan impian
negara mencapai status negara maju berjaya direalisasikan. Malaysia mampu
dijulang sebagai negara model sekiranya kerjasama semua pihak dapat diperolehi.

You might also like