You are on page 1of 10

Perdagangan antarabangsa adalah satu keadaan dimana berlakunya

penglibatan pertukaran barangan antara satu negara dengan negara yang lain
melalui import dan eksport. Import ialah satu keadaan dimana berlakunya aktiviti
membeli barangan dari luar negara. Manakala eksport pula bermaksud aktiviti
menjual barangan keluaran tempatan ke luar negara. Contoh barangan eksport
Malaysia adalah petroleum manakala barangan import Malaysia adalah buah-
buahan Mediterranean. Urus niaga eksport dan import barangan nampak ialah urus
niaga yang melibatkan barang nyata sahaja. Contoh eksport barang nampak ialah
barang nyata yang dikeluarkan di dalam negara dan dijual ke luar negara seperti
barang elektronik dan tekstil . 
Eksport dan import barangan tidak nampak ialah urusniaga yang melibatkan barang
tidak nyata, iaitu perkhidmatan . Eksport barang tidak nampak ialah perkhimatan
atau kepakaran rakyat tempatan yang digunakan oleh negara luar. 
Rakan dagang bagi sesebuah negara ialah negara-negara yang menjalankan urus
niaga perdagangan eksport dan import dengan negara tersebut . Untuk rekod,
Kerajaan telah menyasarkan bahawa ekonomi berkembang antara 5% dan 6% bagi
tempoh 2016 hingga 2020 di bawah RMKe-11 berdasarkan permintaan domestik
yang mampan dan peningkatan sumbangan daripada sektor-sektor luaran.
Berdasarkan ramalan dan anggaran yang diperoleh, ekonomi Malaysia dijangka
mencapai pertumbuhan produktiviti pekerja antara 2.5% dan 3.5% pada 2016
berbanding 3.3% pada 2015. Pertumbuhan ini akan terus bergantung kepada
permintaan swasta dalam negara yang kukuh dan peningkatan dalam perdagangan
luar. Bagi Malaysia untuk mencapai pertumbuhan produktiviti pekerja yang
disasarkan, ia juga perlu bergantung kepada pertumbuhan prestasi negara-negara
lain. Oleh itu, adalah lebih penting bagi Malaysia untuk menguruskan impak
daripada cabaran global dengan mewujudkan kecekapan yang lebih baik daripada
sumber-sumber dalaman seperti modal insan, inovasi dan kecemerlangan operasi.
Berdasarkan senario terkini, ekonomi Malaysia masih dipacu oleh faktor
pengeluaran tradisional, iaitu modal dan buruh, yang menyumbang kira-kira 70%
pertumbuhan KDNK.

Aktiviti perdagangan antarabangsa melalui import dan eksport merupakan


salah satu indikator yang dapat mengukur keadaan ekonomi sesebuah negara.
Menurut data yang dinyatakan dalam laman sesawang Kementerian Kewangan
Malaysia, nilai import dan eksport Malaysia antara barang utama yang terlibat pada
2014 hingga 2019 mencatatkan peningkatan pada setiap tahun. Berikutan hal ini, ia
merupakan satu impak yang postif antara perdagangan antarabangsa dengan nilai
KDNK negara. Sektor-sektor utama yang diimport ke Malaysia antaranya adalah
sektor elektrik dan elektronik, bahan galian dan keluli. Setiap sektor yang dinyatakan
ini masing-masing mencapai peningkatan nilai eksport pada tahun 2019 berbanding
tahun - tahun sebelumnya. Sektor-sektor utama yang dieksport ke luar Malaysia
antaranya ialah sektor elektrik, galian dan perkilangan. Sektor-sektor ini juga telah
menunjukkan peningkatan pada tahun semasa berbanding dengan tahun
sebelumnya. Hal ini menunjukkan peningkatan dalam indikator import dan eksport.

Melalui aktiviti perdagangan antarabangsa secara tidak langsung akan


memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi Negara. Kesan yang diterima hasil
dari kegiatan perdagangan antarabangsa boleh dibahagikan kepada dua iaitu kesan
positif dan juga kesan negatif. Antara kesan positif ialah negara akan memperolehi
barangan yang tidak dihasilkan di dalam sesebuah negara. Sebagai contoh, iklim
dan jenis tanah mempengaruhi jenis keluaran pertanian sesebuah negara. Jadi, ini
bermakna sesebuah negara perlu mengimport hasil pertanian dari negara lain untuk
memenuhi keperluan rakyatnya. Seperti Negara Malaysia yang dianugerahkan
Tuhan dengan iklim khatulistiwa dan jenis tanah yang sesuai untuk penanaman
kelapa sawit. Melalui aktiviti penanaman kelapa sawit secara besar-besaran telah
dapat membantu negara mengeksport minyak ke luar negara dan seterusnya
meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Masyarakat sesebuah negara
mempunyai kemahiran tertentu untuk mengeluarkan sesuatu barangan sehingga ia
menjadi suatu budaya di negara tesebut. Contohnya, Perancis terkenal sebagai
pusat fesyen pakaian dunia dan Switzerland dikenali kerana pembuatan jam tangan
yang bermutu tinggi yang diimport oleh negara.

Malaysia telah menjalin perhubungan perdagangan termasuk perhubungan


dua hala dengan banyak negara di rantau Asia, Afrika, Amerika, Australasia, Eropah
dan Asia Barat.  Pengusaha perniagaan Malaysia boleh mengimport barang-barang
dari luar negara untuk diedarkan di Malaysia dan begitu juga sebaliknya. Melalui
aktiviti perdagangan antarabangsa ini dapat memberi peluang kepada syarikat-
syarikat pengeluar produk di Malaysia memperluaskan pasaran barang-barang ke
sehingga luar negara. Dengan adanya aktiviti pemasaran yang luas sehingga ke luar
negara, pihak pengeluar akan dapat mempertingkatkan pengeluaran produk dengan
mengeluarkan produk secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan. Ia secara
tidak langsung dapat meningkatkan keuntungan kepada pihak pengeluar dan juga
membolehkan negara menikmati ekonomi bidangan.

Perdagangan antarabangsa juga membolehkan penduduk di negara ini


memperolehi peluang yang luas dalam memilih produk yang terbaik dan
bersesuaian dengan kehendak. Kehendak terhdap pelbagai barang oleh isi rumah
menyebabkan pihak pengimport terpaksa menyediakan barang ini untuk memenuhi
kehendak mereka. Pengimport akan mengimport pelbagai barang untuk memenuhi
cita rasa pengguna yang pelbagai. Kehendak terhadap kereta mewah atau pakaian
berjenama menyebabkan barang tersebut diimport bagi memenuhi cita rasa
pengguna tempatan. Pihak pengeluar dari dalam dan luar negara akan berusaha
untuk mengeluarkan produk yang berkualiti supaya mampu bersaing antara satu
sama lain. Ia secara tidak langsung dapat memberi pengguna pilihan yang banyak
samada menggunakan barangan tempatan ataupun barangan import yang
seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup pengguna itu sendiri.

Tingkat teknologi antara negara membangun dan maju adalah berbeza.


Perdagangan antarabangsa membolehkan negara-negara membangun mengimport
peralatan dan perkhidmatan berteknologi tinggi untuk digunakan dalam proses
pengeluaran dan pembangunan negara.Contohnya, Malaysia mengimport teknologi
komunikasi dan kepakaran dari Nokia Finland. Melalui perpindahan teknologi baru
yang lebih canggih ke negara ini akan dapat membantu pihak pengeluar
mengeluarkan produk yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global. Ia
juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kos dan memberi pulangan yang
lumayan kepada pihak pengeluar. Sesebuah negara yang dapat mengeluarkan
barangan dengan kos pengeluaran yang murah akan berupaya meningkatkan
kecekapan dalam pengeluaran. Sebagai contoh, pertumbuhan dalam kualiti buruh
meningkat semasa RMKe-10, menunjukkan peningkatan dalam kecekapan pekerja.
Bagaimanapun, pertumbuhan dalam kualiti buruh ini masih rendah berbanding
pertumbuhan kuantiti buruh. Ini adalah satu peringatan bahawa terdapat permintaan
yang kuat untuk meningkatkan kualiti pekerja dan kuantiti pekerja masih kekal
sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan output negara. Pengkhususan
dalam pengeluaran sesuatu barangan akan memyebabkan kos pengeluaran menjadi
lebih rendah. Keadaan ini menyebabkan harga barangan menjadi lebih murah.
Contohnya, Malaysia boleh memperoleh lembu daging dari New Zealand dengan
harga yang murah berbanding harga lembu tempatan. Contoh lain ialah Thailand
yang berkeupayaan mengeksport beras ke Malaysia dan Singapura pada harga
yang murah kerana tingkat kecekapannya yang tinggi dalam penghasilan beras.
Harga faktor pengeluaran seperti upah, sewa, modal dan usahawan yang murah
juga membolehkan sesebuah negara mengeluarkan sesuatu barang dengan harga
yang murah. Contoh, minyak kelapa sawit dari Malaysia mampu bersaing dengan
minyak kacang soya dari Amerika Syarikat.

Dalam memenuhi aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan


tinggi menjelang tahun 2020, strategi pertumbuhan masa hadapan banyak menjurus
kepada aktiviti mengeksport barangan atau produk ke negara-negara yang
mempunyai hubungan perdagangan dengan negara Malaysia. Objektif firma-firma
adalah untuk memaksimumkan pulangan atau keuntungan dalam kekangan
persekitaran di mana mereka beroperasi. Bagaimanapun, untuk memenuhi objektif,
keuntungan perlu dikaitkan dengan produktiviti kerana keuntungan sesebuah firma
dipengaruhi oleh usaha-usaha peningkatan produktiviti. Produktiviti firma boleh
dirangsang melalui kecekapan dalam menguruskan sumber pada tahap yang
optimum untuk memaksimumkan output, meminimumkan kos atau membentuk
strategi untuk meneroka peluang pertumbuhan. Dengan adanya peningkatan aktiviti
eksport akan dapat memberi galakkan kepada pihak pengeluar untuk mengeluar
barangan dalam kuantiti yang banyak bagi memenuhi permintaan pasaran. Jika
barangan yang dikeluarkan melebihi permintaan tempatan maka lebihan
pengeluaran dapat dieksport. Contohnya, Malaysia yang Mengkhusus dalam
pengeluaran minyak sawitnya akan mengkhusus dalam pengeluaran minyak sawit
akan mengeksport minyak sawit ke India dan China. Hal ini akan meluaskan
pasaran bagi keluaran barangan tempatan ke negara asing. Ini secara langsung
dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta peningkatan guna tenaga.

Dengan adanya tenaga kerja yang banyak, perkara ini boleh membantu
negara untuk meningkatkan kemasukan pelaburan asing. Perkara ini dapat dilihat
apabila sesebuah negara itu mempunyai banyak pekerja untuk melakukan sebarang
pekerjaan di samping upah kerjanya yang murah. Oleh itu, pelabur asing akan
tertarik untuk melabur di negara kita dan seterusnya mereka akan mewujudkan
peluang pekerjaan di kilang-kilang dengan lebih banyak di negara ini. Secara tidak
langsung, negara kita akan dapat banyak manfaat dalam satu masa seperti kata
pepatah, “sambil menyelam minum air”. Oleh itu, masalah pengangguran akan dapat
dikurangkan dan secara tidak langsung pelaburan itu akan meningkatkan taraf hidup
masyarakat Malaysia. Perdangangan antarabangsa mengalakan negara-negara
yang kaya dengan modal untuk melakukan pelaburan langsung asing (FDI).
Contohnya, Perdangangan antarabangsa telah menggalakkan syarikat-syarikat
asing melakukan pelaburan langsung di Malaysia. Pelabur asing merupakan
golongan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara terutamanya bagi
negara yang sedang membangun seperti negara kita. Hal ini amat penting untuk
dititikberatkan kerana pelabur asing merupakan pihak yang boleh menjadi batu
loncatan untuk negara kita mencapai kemajuan seiring dengan negara maju yang
lain. Pihak yang bertanggungjawab di negara ini haruslah aktif memainkan peranan,
contohnya mereka perlu bertemu dengan pelabur asing bagi memberikan
penerangan yang berkaitan dengan hal ini. Dengan cara itu, sudah tentu pelabur-
pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara ini iaitu apabila mereka yakin
akan mendapat pulangan yang sewajarnya hasil daripada penerangan tersebut.
Oleh hal yang demikian, faktor kestabilan ekonomi juga merupakan satu tarikan
kepada pelabur untuk melabur di negara kita. Sudah tentu para pelabur akan
mencari negara yang mempunyai ekonomi yang stabil seperti negara kita bagi
meluaskan perniagaan mereka untuk mendapat pulangan yang menguntungkan
mereka. Jika negara kita mundur dan menghadapi pelbagai masalah, tidak mungkin
para pelabur akan berminat untuk melabur di negara kita kerana perkara itu akan
memberikan masalah kepada mereka. Seterusnya, negara kita akan menghadapi
kesukaran untuk membangun dan tidak akan dapat pelaburan dari luar negara.
Dengan kata lain, faktor ekonomi merupakan faktor yang sangat penting untuk
memajukan sesebuah negara dan usaha untuk menarik pelabur asing perlu
dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Melalui aktiviti perdagangan antarabangsa juga dapat memperbaiki imbangan


dagangan dan imbangan pembayaran iaitu melalui peningkatan jumlah eksport.
Imbangan perdagangan membentuk sebahagian daripada akaun semasa yang juga
termasuk transaksi lain seperti pendapatan daripada kedudukan pelaburan
antarabangsa dan juga bantuan antarabangsa. Jika akaun semasa berada dalam
lebihan, kedudukan aset antarabangsa negara bersih meningkat dan juga
sebaliknya. Keadaan ini secara tidak langsung akan dapat mewujudkan kestabilan
ekonomi dalam sesebuah negara. Sektor-sektor utama ekonomi Malaysia, iaitu
perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan pembinaan mempunyai tahap produktiviti
yang positif dalam tempoh RMKe-10 dengan sektor perkhidmatan mendahului yang
lain. Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada KDNK negara
pada jumlah 53.5% kepada RM569 bilion. Ia juga merupakan majikan terbesar
dengan jumlah pekerjanya sebanyak 8.6 juta. Sumbangan daripada sektor
pembuatan kekal pada jumlah 23% kepada RM244 bilion dengan 2.3 juta pekerja.
Sumbangan daripada sektor pertanian dan pembinaan terhadap KDNK adalah pada
kadar 8.8% dan 4.4% dengan nilai masing-masing RM94 bilion dan RM47 bilion.
Dari segi tenaga pekerja, sektor pertanian mencatatkan sebanyak 1.8 juta pekerja
sementara pembinaan sebanyak 1.3 juta pekerja. Barangan pembuatan yang
dieksport meningkat sebanyak 6.5% atau RM38.29 bilion kepada RM625.46 bilion,
dan membantu menaikkan prestasi sektor komoditi. Barangan pembuatan telah
membentuk sebahagian besar daripada jumlah eksport dengan kadar 80.2%
berbanding 76.7% sebelumnya. Dengan pengecualian produk petroleum serta
produk besi dan keluli, kesemua barangan pembuatan yang lain mencatatkan
peningkatan dalam pemasaran luar negara. Eksport bagi barangan elektrikal dan
elektronik (E&E) meningkat 8.5% atau RM24.8 bilion kepada RM277.92 bilion, iaitu
nilai eksport tertinggi sejak tahun 2007, dan telah menyumbang sebanyak 35.6%
daripada jumlah eksport. Perubahan besar ini didorong oleh permintaan bagi aplikasi
baharu dalam Internet of Things (IoT) bagi komunikasi tanpa wayar dan peranti
boleh pakai. Eksport bagi sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 5.1% kepada
RM156 bilion dengan bahagian terbesar datang daripada subsektor pengangkutan
pada jumlah RM41.5 bilion, diikuti oleh subsektor perjalanan pada jumlah RM40.8
bilion dan subsektor perkhidmatan perniagaan lain pada jumlah RM30 bilion.
Sebaliknya, jumlah import bagi sektor perkhidmatan adalah sebanyak RM135 bilion
dengan import tiga subsektor tertinggi adalah perjalanan (RM68.7 bilion) diikuti oleh
perkhidmatan perniagaan lain (RM22.1 bilion) dan pengangkutan (RM15.8 bilion).

Melalui perdagangan antarabangsa juga dapat mewujudkan hubungan baik


dengan rakan dagang. Keadaan ini mewujudkan berlakunya kerjasama yang baik
dalam aspek ekonomi, politik, dan sosial. Malaysia akan meneruskan dasar luar
negaranya dengan mengekalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara tanpa
mengira blok Barat atau blok Timur.Malaysia juga akan terus mengekalkan dasar
berkecuali dalam hubungan luarnya. Di samping itu Malaysia meneruskan dasar
luarnya dengan mengambil kira kepentingan ekonomi yang berkaitan dengan isu-isu
perdangan,pelaburan dan pembangunan ekonomi.Ini bertujuan untuk menggalakkan
kemasukan modal dan membuka peluang pekerjaan kepadan masyarakat di negara
kita. Negara kita juga meneruskan Dasar Pandang Ke Timur dengan menjadikan
Jepun dan Korea Selatan sebagai model untuk membangunkan Negara. Malaysia
juga terus komited menjalikan hubungan luar dengan membentuk jalinan ekonomi di
peringkat ASEAN. Malaysia juga akan meningkat hubungan bilateral dengan
negera-negara  jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand bagi menjaga
kepentingan ekonomi dan politik serantau.Begitu juga Malaysia akan terus
mengekalkan hubungan dua hala dengan negara Amerika Latin, Afrika, Asia Barat
serta negara Maju seperti Britain dan Amerika Syarikat. Malaysia juga akan
mengadakan hubungan multilateral dengan Komanwel, OIC, PBB, NAM, demi
mengekalkan keamanan dan kesejahteraan sejagat.Semua ini dilakukan melaui misi
lawatan pemimpin ke negara –negara teresebut secara rasmi dan
berterusan.Kerajaan Malaysia juga mengadakan misi perdagangan dengan
menghantar deligasi perdagangan. Untuk itu Malaysia menandatangani Perjanjian
TPPA yang mengambil kira kepentingan ekonomi jangka panjang bagi mencapai
misi Negara maju menjelang tahun 2020.

Aktiviti perdagangan antarabangsa juga berkait rapat dengan kemajuan


perkhidmatan sokongan untuk melancarkan proses perdagangan. Antara
perkhidmatan sokongan yang terlibat secara langsung melalui aktiviti perdagangan
antarabangsa adalah perbankan, insurans, pengangkutan, pergudangan, sistem
komunikasi dan promosi. 

Selain itu juga, aktiviti perdagangan antarabangsa menawarkan pelbagai jenis


barangan kepada sesebuah negara. Keadaan ini akan meningkatkan taraf hidup
rakyat di negara berkenaan. Rakyat Malaysia boleh menikmati pelbagai pilihan
barangan elektrik, kenderaan ,makanan, pakaian dan tempat tinggal. 

Antara kesan negatif yang wujud melalui aktiviti perdagangan antarabangsa


pula adalah seperti negara akan terlalu bergantung kepada aktiviti eksport atau
import. Pergantungan kepada eksport atau import akan mendatangkan kesan negatif
kepada sesebuah negara yang berdagang jika berlaku perubahan politik negara
tersebut. Contohnya, apabila pengeluaran minyak petroleum dikurangkan, maka
negara pengimport petroleum akan menghadapi masalah kenaikan harga minyak
disebabkan kekurangan bekalan disamping tidak dapat memenuhi permintaan
pengguna. Dengan kenaikan harga minyak ianya secara tak langsung akan turut
mempengaruhi kenaikan harga barangan atau perkhidmatan yang berkaitan
dengannya.

Selain itu, aktiviti perdagangan antarabangsa juga akan menjadikan sebuah


negara mengamalkan sebuah pengkhususan yang berlebihan. Perdagangan dalam
antarabangsa wujud kerana pengkhususan dalam pengeluaran barangan masing-
masing.Contoh Malaysia mengkhususkan aktiviti pengeluaran minyak sawit dan
getah. Iraq melakukan pengkhususan dalam pengeluaran petroleum. Risiko yang
tinggi akan ditanggung oleh negara yang mengamalkan pengkhususan pengeluaran
sepenuhnya kepada satu atau beberapa jenis barangan sahaja. Pertumbuhan
ekonomi negara yang terlalu bergantung kapada eksport terjejas jika harga barang
dieksport jatuh. Contohnya, pada tahun 1970-an Malaysia merupakan pengeluar
getah utama dunia tetapi kini negara lain telah menemui barang pengganti iaitu
getah sintetik yang menyebabkan permintaan getah berkurang dan turut memberi
kesan kepada pengusaha-pengusaha tanaman getah di negara ini. Negara yang
terlalu bergantung kepada sektor import juga hadapi risiko tinggi seperti peperangan
di negara pengeksport dan tindakan sabotaj negara pengeksport yang hentikan
urusniaga pada bila-bila masa.

Melalui perdagangan antarabangsa juga, nilai dan budaya tidak sihat mudah
tersebar dengan cepat dan mempengaruhi amalan hidup masyarakat dalam negara.
Perdagangan bebas tanpa sekatan atau peraturan untuk mengawai perdagangan
akan menyebabkan kemasukan barangan larangan dan berbahaya seperti dadah,
pelacur asing, filem lucah dan senjata api. Barangan ini akan mengancam nyawa
dan berbahaya kepada masyarakat.

Negara membangun akan menjadi tempat lambakan barang-barang asing


melalui perdagangan antarabangsa di mana sesetengah negara pengeksport boleh
melakukan lambakan. Lambakan ini akan menyebabkan pihak pengeluar menjual
barang keluaran dengan harga yang lebih rendah daripada keluaran industri
tempatan . Ini bertujuan untuk menghabiskan lebihan penawaran dalam negeri atau
mengusir pesaing supaya wujud monopoli di pasaran dunia. Ia secara tidak
langsung akan menyebabkan Industri tempatan terjejas.

Kebanyakan negara membangun mengeksport komoditi utama seperti getah


asli, bijih timah dan arang batu serta mengimport barang siap. Di pasaran
antarabangsa,harga komoditi utama adalah rendah berbanding dengan harga
barang siap yang lebih tinggi. Justera, ini merugikan negara membangun kerana
jumlah eksport yang banyak hanya dapat ditukarkan dengan barangan import yang
sedikit.

Perdagangan antarabangsa juga turut menggalakan berlakunya sesuatu


pengkhususan. Negara yang kaya dengan modal akan mengeluarkan barangan
intensif modal dan negara yang kaya dengan buruh akan mengeluarkan barang-
barang berintensifkan buruh. Keadaan ini akan mengurangkan mobiliti faktor antara
sesebuah negara dengan negara lain.

Selain itu juga, kesan negatif apabila berlakunya perdagangan antarabangsa


juga akan menyebabkan pengamalan dasar perlindungan yang seterusnya akan
menyebabkan pengeluar tempatan menjadi kerang cekap. Keadaan ini disebabkan
sikap terlalu bergantung kepada kerajaan. Akibatnya pengeluar tempatan menjadi
kurang berdaya saing berbanding dengan pengeluar asing.

Sebagai kesimpulannya, perdagangan antarabangsa memang penting untuk


mempercepat kemajuan dan pembangunan negara kita. Jadi, usaha-usaha yang
berkesan daripada semua pihak yang terlibat haruslah ditingkatkan untuk aktiviti
perdagangan antarabangsa membantu pertumbuhan ekonomi negara. Sekiranya
aktiviti perdagangan yang melibatkan eksport dan import tidak diuruskan dengan
cekap, sudah pasti ekonomi negara kita sukar untuk berkembang dan mengalami
pertumbuhan dengan pesat. Perkara itu disebabkan oleh negara kita tersebut
kekurangan modal untuk membangunkan negara. Oleh itu, pihak yang
bertanggungjawab dalam bidang perdagangan antarabangsa perlu berusaha
dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan ianya berkembang demi
kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Di peringkat nasional, insentif
berhubung produktiviti dan sasaran prestasi akan diperkenalkan dan pembaharuan
kawal selia akan dipergiatkan. Manakala di peringkat industri, peningkatan
produktiviti akan dipertanggungjawabkan kepada jaguh industri, dengan pemimpin-
pemimpin industri bertindak sebagai contoh teladan bagi rakan sejawatan dengan
mengadakan inisiatif produktiviti khusus untuk industri. Penggiat industri dan
enterpris persendirian dijangka mendapat insentif berdasarkan produktiviti yang
diperkenalkan oleh Kerajaan, membenarkan mereka untuk memperuntukkan
bahagian yang lebih besar dalam pelaburan mereka terhadap inovasi dan
pemodenan operasi perniagaan.

You might also like