You are on page 1of 10

Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan:

Satu Negara, Satu Kata Akar, Tiga Konsep Keramat

Shamsul Amri Baharuddin

Ucaptama untuk ‘Persidangan Pemantapan Citra Kenegaraan: Perkongsian Pengalaman,”


anjuran bersama Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, JPT, Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM), dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), 19-21
Januari 2014

Pembuka kata

Negara bekas tanah jajahan, seperti Malaysia dan Indonesia, senantiasa


berdepan dengan cabaran ‘unity in diversity’ yang tertampil dalam
fenomena sosial yang kita kenal sebagai ‘kepelbagaian.’ Fenomena ini
menonjolkan perbedaan, kelainan, malah sering diungkapkan sebagai
keunikan. Sebenarnya, kedua negara ini tiada pilihan. Keadaan
kemajmukan ini bukan yang diinginkan tetapi dipaksakan dan adalah
akibat langsung daripada pembentukan plural society dalam era
penjajahan. Maka Indonesia terkenal dengan ‘Bhinneka Tunggal Ika’ dan
Malaysia dengan ‘Malaysia Truly Asia.’

Maka unity in diversity sekali gus kepelbagaian membawa penjelmaan


tiga wajah: satu wajah positif, satu konflik dan satu wajah idaman.

Wajah positif datangnya daripada kepelbagaian yang dimegahkan,


dirayakan (celebrating diversity) dan dikomersialkan. Berbilion ringgit,
misalnya, boleh diperoleh dengan ‘menjual kepelbagaian’ ini melalui
program seperti “Tahun Melawat Malaysia 2014.” Makanya pendapatan ini
menyumbang terus kepada ekonomi negara. Oleh itu, kita labur beratus
juta ringgit untuk merayakan dan menjayakan usaha menjalan
kepelbagaian ini.

Wajah negatif yang menjelma bersama fenomena kepelbagaian adalah


berpunca daripada perbedaan yang ada dalam berbagai bentuk dalam
masyarakat. Setiap bentuk itu mempunyai potensi menimbulkan konflik,
pertelingkahan, bertikam lidah dan fitnah memfitnah yang dibakar pula
oleh khabar angin. Prejudis dan stereotaip pula terus mengipas emosi ke
suhu panas dan boleh mencairkan rasionaliti, meningkatkan ketegangan,
mencabar harmoni dan menggegar stabiliti.

Wajah idaman yang muncul daripada kepelbagaian ini adalah rasa rindu
dan kepingin akan suatu bentuk perpaduan yang paling ideal, iaitu, unity
in uniformity, atau ‘perpaduan dalam kesatuan.’ Keinginan idealistik ini
sering diungkapkan terus menerus dan berulang kali dalam ucapan ahli
politik dan pemimpin dan juga terdapat dalam lirik pelbagai lagu bersifat
patriotik, iaitu, kata-kata “satu negara, satu bangsa, satu bahasa.”

  1  
Sedangkan kita semua tahu dan sedar bahawa yang nyata wujud ialah
unity in diversity.

Mengapakah penyuaraan psychic yang bersifat merindui dan


mengidamkan unity in uniformity ini berterusan?

Kerana ianya adalah merupakan suatu pernyataan emosi dan psikologikal


yang mengartikulasikan suatu harapan yang sangat besar dan sangat
diidamkan. Sesiapa yang mengucapkannya tahu bahawa idealisme unity
in uniformity adalah satu angan-angan, tetapi mempunyai nilai politik
yang tinggi dan berkesan untuk memobilisasi sokongan padu daripada
anggota masyarakat untuk sesuatu agenda atau kepentingan, sama ada
bersifat suku kaum, negara, rantau, mahu pun dalam hubungan Timur-
Barat.

Lihat sahaja bagaimana kaum Muslim di seluruh dunia bersatu padu suara
dalam reaksi mereka terhadap masa depan masyarakat Palestin. Kaum
Muslim melihatnya sebagai perjuangan Islam, yang jihad sifatnya. Jutaan
orang Muslim di seluruh dunia mendakap dan menghayati ‘imagined
communities’ masyarakat Palestin dan terus menerus mereka sokong
dengan wang, semangat dan propaganda.

Tetapi kita tahu bahawa bukan semua manusia Palestin itu Muslim.
Segolongan kecil beragama Kristian (khususnya Coptic Christian, seperti
Edward Said sarjana Palestin yng terkenal dengan bukunya Orientalism),
Druze (cabang kecil Shia Ismailite) dan Samaritan (cabang kecil
Judaisme). Projek perjuangan masyarakat Palestin adalah projek sekular
nasionalisme mereka, bukan suatu projek jihad kaum Muslim. Mereka
adalah tergolong dalam golongan orang Arab, yang bukan semuanya
beragama Islam.

Tetapi idea uniformity is uniformity sangat mempengaruhi kaum Muslim


sedunia yang merasakan bahawa mereka adalah “seagama, sehati,
sejiwa, dan seperjuangan” dengan manusia Palestin. Mungkin mereka
seagama dengan majoriti manusia Palestin, tetapi mereka tidak seagama
dengan orang Palestin beragama Kristian, Druze dan Samaritan. Maka
perasaan “sehati, sejiwa dan seperjuangan” mereka dengan orang
Palestin, yang Muslim dan bukan Muslim, adalah semacam psychic unity
bersifat sekular.

Kedudukan konsep dan realiti ‘kepelbagaian’ sekarang di Malaysia dan


Indonesia adalah seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa unity in
diversity sekali gus kepelbagaian membawa penjelmaan tiga wajah: satu
wajah positif, satu konflik dan satu wajah idaman (yang dilandaskan
kepada konsep unity is uniformity). Yang menjadi kesukaran kepada para
pengkaji yang meneliti akan fenomena kepelbagaian ini adalah kerana
ketiga-tiga wajah tersebut didakap serta dihayati serentak oleh berbagai
golongan dan lapisan masyarakat di Indonesia dan Malaysia.

  2  
Apatah lagi rakyat mereka turut terperangkap dalam arus retorika ketiga-
tiga wajah kepelbagaian tersebut, iaitu, yang positif, negatif dan idaman.
Ianya berkisar dan di kitar dalam lingkungan serta putaran Society-State-
Market Nexus. Oleh yang demikian, ‘kepelbagaian wajah mengenai
kepelbagaian’ ini tidak mudah diurus atau diperbetul kerana ianya
meresap serta dihayati kesemua lapisan masyarakat; daripada mereka
yang dalam kedudukan tertinggi sehingga ke akar umbi, daripada bandar
dan desa, tua dan muda, lelaki dan perempuan, dalam dan luar negeri.

Dari segi analitikal pasti boleh dipisah-pisahkan wajah ini tetapi agak
sukar. Namun dalam realitinya ia terus menerus bergaur, bercampur-
aduk dan terintegrasi dalam idiom dan tindakan seharian anggota semua
sektor masyarakat.

Ambil contoh di Malaysia sahaja.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan


Malaysia (KPKM) menganjurkan secara besar-besar dengan berbelanja
berbilion mendukung wajah positif ‘kepelbagaian’ dalam masyarakat
Malaysia. ‘Tahun Melawat Malaysia 2014’ adalah contoh konkrit akan
pendekatan ini. Banyak lagi projek lain kerajaan Malaysia yang
mengangkat wajah positif kepelbagaian telah didukung oleh pihak
kerajaan sendiri dengan pihak swasta.

Melalui Pejabat Perdana Menteri (PMO) pula, khususnya, Jabatan


Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Menterinya
sendiri, pada umumnya, melihat kepelbagaian dari sudut wajah negatif
dan memfokuskan terhadap hal-hal berkait dengan konflik, perpecahan
dan ketegangan lalu berusaha keras untuk mencari jalan untuk
menyelesaikannya, seperti melalui projek Rukun Tetangga, mewujudkan
Indeks Ketegangan dan selainnya. Dana yang dilaburkan oleh kerajaan
untuk menyelesaikan konflik di Malaysia, dari segi penyelidikan dan
tindakan praktik, sangat kecil berbanding dengan perbelanjaan projek
‘Tahun melawat Malaysia 2014’ kerana usaha ini tidak mendatangkan
pulangan ekonomi. Ini sungguh mengecewakan, apatah lagi kalau slogan
PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL sering dilaung-laungkan!

Perdana Menteri Malaysia sendiri pula memperagakan wajah kepelbagaian


sebagai satu wajah idaman melalui konsep 1Malaysia beliau dengan
slogan “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan” yang kini telah
berubah menjadi “endless possibilities.” Kedua-duanya adalah penyataan
harapan serta idaman bahawa unity is uniformity dan setiap konsep itu
menyarankan suatu keadaan tanpa hujung atau akhir, seperti yang
diungkapkan dalam kata-kata “endless possibilities.”

Tidaklah memeranjatkan kalau wujudnya kerencaman pandangan,


pendirian dan tindakan berkait dengan tiga wajah kepelbagaian yang

  3  
dinyatakan itu: positif, negatif dan idaman. Kepelbagaian suara ini amat
mencabar sehingga sebarang usaha ke arah mewujudkan PERPADUAN di
Malaysia adalah berbelah bagi reaksi dan tindakan; ada yang disokong,
ada yang pertikaikan, ada yang dibangkang, dan ada yang diperlecehkan.

Adalah menjadi tujuan kertas ringkas ini untuk mengupas dan


menganalisis, dari sudut EOM (Epistemologi, Ontologi dan Metodologi),
cara yang dianggap sesuai untuk memecahkan kebuntuan analitikal di
kalangan penyelidik dan pembentuk dasar mengenai masyarakat yang
dikenal pasti wujud dalam keadaan ‘unity in diversity’ dengan bentuk
wajah diversity, atau kepelbagaian, itu sendiri adalah pelbagai. Dalam
kata lain, menghuraikan ‘kepelbagaian dalam kepelbagaian.’ Ini bukannya
suatu projek linguistik/semantik tetapi adalah sebuah projek sociological
imagination yang berteraskan EOM.

Untuk itu ingin dikemukakan contoh daripada pengalaman dalam usaha


mengupas fenomena kepelbagaian di Malaysia.

Satu Negara, Satu Kata Akar

Malaysia memperakukan secara terbuka bahawa ianya adalah sebuah


Negara (State) yang masyarakatnya bersifat ‘unity in diversity.’
Penerimaan ini dilandaskan kepada andaian bahawa kepelbagaian
berpotensi besar mencabar perpaduan (diversity is a threat to unity),
terutamanya, selepas berlakunya tragedi berdarah 13 Mei 1969.
Kepelbagaian dalam bidang ekonomi, iaitu, terdapat identiti etnik dalam
kegiatan ekonomi negara (Melayu petani, Cina pedagang, India pekerja
ladang), dan perbedaan serta jurang ekonomi antara etnik Melayu dan
Cina adalah begitu luas sehingga menimbulkan ketegangan, pergeseran
dan akhirnya terjadi konflik terbuka.

Semenjak itu sehingga sekarang, PERPADUAN menjadi slogan, sebutan


dan idaman, dan termaktub sebagai matlamat akhir Dasar Ekonomi Baru
(DEB) yang digubal dan dilancarkan pada 1971. Dalam kata lain,
wujudnya diversity (kepelbagaian) dengan tiga wajahnya itu tidak
dinafikan, namun secara sedar penekanan Kerajaan Malaysia adalah
terhadap PERPADUAN. Rakyat mesti PADU menghadapi cabaran
kepelbagaian, yang diungkapkan dalam beberapa konsep lain seperti
kerencaman sosial, heterogeneity, multi-ethnic, multi-cultural, berbilang
kaum, dan selainnya.

Ternyata PERPADUAN yang dinyatakan dan diinginkan semenjak 1971


masih belum tercapai setelah lebih 40 tahun. Sehingga kini slogan
Perpaduan Nasional, Integrasi Nasional, Bangsa Malaysia dan 1Malaysia
terus menerus dilaungkan, dinyanyikan dan disebut-sebut di media.
Ratusan kajian dan tulisan telah dihasilkan untuk memecahkan kebuntuan
ini. Seolah-olah ianya tidak tercapai.

  4  
Namun dalam tempoh berkenaan, biarpun Malaysia tidak mencapai
PERPADUAN, negara Malaysia tetap menjadi pujian dunia, malah
dijadikan model untuk jadi ikutan pada peringkat global, kerana
kemakmuran ekonomi, kestabilan politik dan keharmonian hubungan
antara etnik. Dari Presiden Bush Senior, ke Presiden Bush Junior dan kini
Presiden Obama, masing-masing menyebut Malaysia sebagai model
negara majoriti Muslim.

Oleh yang demikian, apakah sebenarnya yang telah dinikmati oleh setiap
lapisan rakyat Malaysia selama 40 tahun lepas? Kalau tidak ada
PERPADUAN, apa yang wujud?

Ternyata pengalaman Malaysia ini tidak mudah untuk kita ungkapkan, tak
ubah seperti si bisu bermimpi “terasa ada terkata tidak.” Dalam kata lain,
Malaysia belum ada label atau kata-kata untuk mengungkapkan atau
menyimpulkan pengalaman ini, suatu pengalaman yang pernah disebut-
sebut sebagai model atau contoh untuk dijadikan ikutan oleh sebilangan
negara-negara lain di dunia. Sebenarnya apa yang telah Malaysia semua
nikmati selama ini belum lagi perpaduan tetapi ‘KESEPADUAN sosial’
(social cohesion).

Apakah maksud ‘KESEPADUAN sosial’?

Kesepaduan sosial ialah suatu keadaan aman, stabil dan makmur


sejahtera yang wujud dalam sesebuah masyarakat, khususnya yang
berbilang etnik, kerana wujudnya kesepakatan sosial (social bonding)
yang kuat yang terbina untuk sekian lamanya berasaskan setidak-
tidaknya lima pra-syarat:

1. taraf kebendaan yang berkualiti, seperti mempunyai indeks kualiti


hidup yang sederhana ke tinggi
2. Akses kepada kemudahan yang boleh menjamin dan mempertahan
kualiti hidup dan mobiliti sosial
3. aturan sosial yang stabil, aman dan selamat
4. interaktif aktif berlandaskan jaringan dan pertukaran hubungan
yang positif
5. wujudnya usaha positif ke arah penglibatan semua pihak dalam
kegiatan arus perdana

Senario yang menggalakkan kesepaduan sosial bertahan boleh


dibayangkan seperti berikut: biarpun wujud perbezaan, kontradiksi,
contestation dan konflik dalam sesuatu masyarakat itu, jika para
anggotanya sanggup berunding dan bertolak ansur untuk mewujudkan
konsensus, tolak ansur, toleransi dalam semangat akomodasi, malah
bersungguh membina harmoni dan pelbagai bentuk ikatan sosial (social
alliance), kesepaduan sosial akan mekar segar bugar terpamer dan sedia
terperaga.

  5  
Dalam kata lain, kalau kita lihat kembali ke keadaan di Malaysia, biarpun
ianya belum mencapai perpaduan yang di impi dan diidamkan namun
Malaysia sebenarnya sudah pun menjalin hubungan kerjasama antara
etnik dan kelompok, berkongsi aktiviti budaya dan pinjam-meminjam
unsur budaya masing-masing untuk lebih daripada 60 tahun, menikmati
pembangunan ekonomi dan kualiti hidup yang sederhana ke tinggi, yang
terbina teguh semenjak 1970-an.

Bukan hanya dari segi politik, sosial dan budaya, jalinan hubungan yang
cukup rapat bahkan wujud dan terjelma dalam putaran ekonomi dan
pasaran yang menyebabkan kita saling bergantungan dengan kuat
melalui kegiatan ekonomi seharian, atau dalam konteks putaran
permintaan-tawaran. Sebagai contoh, si pembekal mungkin pedagang
kaum Cina, India dan Melayu. Pekerja pula mungkin kaum India, Iban,
Kadazan dan Cina juga.

Justeru, kesepaduan sosial di kalangan pelbagai etnik, kepentingan


ekonomi, politik dan sosial senantiasa terjalin dan disulam oleh keperluan
kehidupan seharian. Rakyat Malaysia tidak akan mengorbankan
kesepaduan sosial ini demi memastikan semua pihak ‘menang-menang.’

Konflik terbuka dan ganas tidak berlaku di Malaysia tetapi tidak dinafikan,
di sebaliknya apa yang lebih kerap berlaku adalah konflik bersifat lisan
atau bertikam lidah sesama sendiri. Ada ketikanya secara terbuka dan
kebanyakan pada peringkat individu atau kelompok seperti sambil minum
teh tarik di kedai mamak, pada majlis kenduri kendara, malah dalam
internet dan blog. Kandungan bertikam lidah ini berasaskan isu tertentu
(issue-based), seperti soal pendapatan yang tidak cukup, harga barang
mahal, peluang pendidikan serta pekerjaan terhad dan sebagainya.

Sering kali kejadian bertikam lidah adalah merupakan suatu bentuk


penyuaraan rasa tidak puas hati etnik (ethnic grievances). Namun apabila
kita halusi kebanyakan isu itu didapati bahawa apa yang disuarakan oleh
setiap etnik tidak banyak perbezaan, cuma penyuaraannya kerap bersalut
kata-kata yang menjelmakan kepentingan etnik. Maka bunyinya etnik,
sebenarnya isu berkenaan bersifat isu sosial dan ekonomi yang lebih
umum sifatnya.
Kebanyakan isu ini berkait dengan peluang mobiliti sosial, menyentuh isu
seperti tidak puas hati mengenai sistem pendidikan, agihan peluang
ekonomi dan pekerjaan, bukan hanya mengesankan sesuatu etnik malah
mempunyai kesan yang mendalam dan luas terhadap semua lapisan
masyarakat.

Yang lebih kerap ditimbulkan oleh sesetengah pihak bukan lagi soal
mobiliti sosial, terutamanya, rangkaian isu yang telah ditimbulkan oleh
golongan profesional kelas menengah muda bandar yang hidup selesa
dan mempunyai ruang sosial dan waktu. Mereka sering
‘memperjuangkan’ soal pemusnahan alam sekitar, hak asasi manusia,

  6  
masalah masyarakat sivil dan buku daftar pengundi yang banyak
kesalahan. Sebenarnya isu-isu ini mempunyai dimensi ekonominya,
kerana ianya menjadi ‘komoditi politik’ yang didagangkan sebagai
sebahagian daripada aktiviti keusahawanan dalam bidang pengiklanan,
khususnya yang bersifat branding.

Yang lebih menarik adalah fakta bahawa penyuaraan isu berkenaan


berlaku dalam keadaan aman dan tenteram lagi sejahtera di Malaysia.
Bukan dengan keganasan-ala-Arab Spring, atau Tom Yam Spring di
Bangkok, yang mengorbankan banyak nyawa kerana apa yang berlaku di
Malaysia adalah matang dan cukup demokratis dari segi bentuk dan
suasana yang mengizinkan bertikam lidah mengenai isu ini berlaku.
Namun kadang-kadang ada yang menyuarakannya dengan nada yang
agak keras dan kadang-kadang sarat dengan stereotaip dan prejudis
etnik.

Ringkasnya, pengalaman KESEPADUAN sosial di Malaysia bukan


PERPADUAN yang diidamkan. Ianya lebih merupakan tahap atau pra-
syarat sebelum PERPADUAN tercapai. Ternyata terdapat serangkaian
kontradiksi yang perlu diselesaikan. Dapat dikategorikan kontradiksi ini
kepada sembilan perkara utama:

1. etnisiti
2. agama
3. kelas sosial
4. pendidikan
5. bahasa
6. generasi, tua muda
7. gender
8. politik federalism
9. ruang, bandar-desa

Setiap kontradiksi tersebut sarat pula dengan cabaran-cabaran khusus


yang perlu ditangani, yang telah berlaku lama atau baru muncul dan juga
kemungkinan akan muncul. Ini memang tidak dapat dielakkan dalam
sebuah masyarakat majmuk pelbagai etnik.

Contohnya, isu kalimah Allah telah berlarutan lebih daripada empat tahun
dalam khalayak terbuka, panas-sejuk, dengan mendapat perhatian
daripada pemimpin sampailah ke akar umbi. Begitu juga soal pendidikan.
Adanya ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025’ belum pasti
tidak timbul kritikan dan keraguan tentang pelaksanaan dan
pencapaiannya. Isu penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang pendidikan
dan ekonomi terus didebatkan. Hubungan kerajaan negeri dan kerajaan
pusat masih turun-naik terutama berkait dengan royalti minyak,
misalnya.

  7  
Proses penyelesaian setiap kontradiksi ini, sama ada yang besar dan yang
khusus, telah pun berlaku sekian lamanya di Malaysia, semenjak sebelum
Merdeka lagi, melalui “Formula B&N” (BN bukan Barisan Nasional), iaitu
“Formula of Bargaining & Negotiation.” Prinsip dan ikhtiar ‘runding dan
tolak ansur’ inilah yang mendasari proses PENYATUPADUAN
(reconciliation) di Malaysia sehingga ke saat ini.

Dalam kata lain PENYATUPADUAN adalah suatu usaha berterusan di


peringkat semua lapisan masyarakat, bukan sahaja sebelum Merdeka
tetapi hingga sekarang ianya terus dilaksanakan. Usaha ini tidak boleh
diberhentikan kerana sifat kepelbagaian itu mengundang potensi konflik
dan potensi komersil sekali gus. Maka pemerintah mesti fokus terhadap
hal ini. Dalam kata lain, Malaysia adalah ‘work-in-progress,’ justeru oleh
kerana itu ianya perlu dijaga seperti menatang minyak yang penuh.

Sebilangan besar negara-negara di dunia pun menginginkan PERPADUAN.


Oleh kerana untuk mencapainya sukar dan mengambil waktu, maka
segala usaha yang dilaksanakan hanya boleh membawakan
KESEPADUAN, yang dianggap sebagai tahap sebelum atau prasyarat
kepada PERPADUAN. Dalam tahap ini, banyak perkara yang mesti
diselesaikan kerana terdapat berbagai kontradiksi yang terkandung dalam
KESEPADUAN itu. Usaha-usaha inilah yang bergerak sebagai proses
PENYATUPADUAN. Proses ini tidak akan berhenti, kerana selagi ada
kepelbagaian selagi itu usaha PENYATUPADUAN mesti diteruskan.

Tiga Konsep Keramat:


Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan

Kalau kita imbas secara komparatif, terutamanya di kalangan negara-


negara yang pernah dijajah dan masyarakatnya bersifat plural/majmuk,
dari sudut EOM, konsep unity in diversity mendasari epistemologi
masyarakat berkenaan. Cabaran terbesarnya ialah dari sudut ontologi,
iaitu bagaimana mentafsir dan menangani cabaran kepelbagaian, sama
ada dari segi abstrak dan nyata. Untuk mencari jalan penyelesaian
memerlukan metodologi yang jelas dan tuntas. Ianya mesti bermula
dengan mengenal pasti alat analisis yang relevan, konsep utama yang
hendak di hurai dan perincian langkah pelaksanaan, jangka pendek dan
jangka panjang yang perlu diatur.

Tiga konsep keramat ‘perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan’ adalah


permulaan melihat dan menyusun segala yang rumit dan pelbagai dalam
sosiological imagination kita berkait dengan masyarakat plural/majmuk.
Bertolak daripada tiga konsep keramat ini sebagai suatu kerangka besar
lagi luas akan dapat pula nanti kita mengupas satu persatu apakah isu
sosial, ekonomi, politik dan lain-lain lagi isu yang sering menduga
kehidupan manusia bermasyarakat.

  8  
Kepada masyarakat yang dibebankan oleh cabaran alamiah, seperti
tsunami, gunung berapi, angin puting beliung, kebakaran hutan dan
banjir besar-besaran, perlunya konsep keramat dijadikan konsep
landasan untuk tindakan pemulihan sangat adalah sangat penting, kerana
pemulihan itu bukan hanya bersifat fizikal tetapi juga bersifat individual
(mental dan emosi) dan juga bersifat sosiologikal kerana ia melibatkan
semua anggota masyarakat secara kolektif.

Apatah lagi untuk negara yang mengalami krisis politik berdarah yang
mengorbankan ribuan nyawa, atau negara yang dilanda revolusi besar
dan kecil-kecilan oleh rakyat yang marah dan tidak berpuas hati.
Tentunya dalam keadaan sedemikian sebagai tindakan pertama ke arah
mengembalikan kedamaian adalah untuk membina engagement,
khususnya dalam bentuk reconciliation yang ternyata perlunya
berlandaskan kerangka seperti ‘Formula B&N.’

Dari sudut metodologi, rangkaian tiga konsep keramat ini adalah suatu
bentuk heuristic device bukannya suatu undang-undang fizikal alamiah,
seperti Laws of Gravity dalam ilmu fizik. Sifat heuristic device adalah
konseptual, abstrak dan seperti suatu model ilmiah yang berguna untuk
membantu memikirkan sesuatu fenomena sosial dan fizikal yang rumit
dan mungkin perlukan jalan untuk merungkaikan masalah pusat dan
sampingan.

Dalam bidang sains sosial, konsep ‘struktur sosial’ adalah satu heuristic
device yang dicipta dan digunakan untuk mentakrif dan menganalisis
beberapa aspek dalam masyarakat yang mencipta patterns and regularity
khususnya dalam peranan dan tindakan seharian setiap individu sebagai
anggota masyarakat. Bagaimana pula himpunan perilaku ini membentuk
masyarakat sebagai satu kolektif sosial yang dinamik sifatnya. Oleh itu
struktur sosial bukan kaku dan tidak boleh berubah-ubah, malah mudah
berubah dan luwes sifatnya, sesuai dengan perwatakan dan perilaku
manusia itu sendiri.

Maka begitu jugalah sifat rangkaian keramat tiga konsep yang


diketengahkan ini, iaitu ‘perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan,’
yang tetap merupakan satu heuristic device yang boleh diaplikasikan ke
arah memahami sebarang masyarakat plural/majmuk atau yang
sekelompok dengannya.

Sebagai kesimpulan, ingin ditekankan bahawa dalam usaha mengupas


dan merongkai pelbagai masalah global dan lokal apa yang kita perlukan
adalah beberapa heuristic device yang boleh membantu. Misalnya, dalam
mengkaji sistem dan hierarki politik kekuasaan di Malaysia heuristic
device yang dikenal sebagai ‘model dwi-realiti sosial’ -- authority-defined
and everyday-defined telah kerap kali diaplikasikan. Terbaru ialah
heuristic device untuk memahami dan menghayati sejarah Malaysia yang
diberi nama “Sejarah Untuk Semua.” Akhir kata, sebagai penyelidik dan

  9  
pembentuk dasar awam, tugas utama kita semua apabila berdepan
dengan cabaran sosial ialah untuk mengenal pasti metodologi yang paling
sesuai untuk memulakan usaha diagnostik ke arah penyelesaian.

  10  

You might also like