You are on page 1of 2

Cikgu,

Engkau dianggap pahlawan,


Tanpa tanda jasa.
Kerana pengorbanan dan pengabdian dikau,
Kerap diketepikan…..

Cikgu Luar Biasa pilihan saya merupakan seorang yang sangat


mengagumkan dan banyak menginspirasikan semua yang berada di
sekelilingnya. Nama beliau cukup indah sama seperti peribadi dan
perwatakan beliau iaitu Puan Norafidah Binti Md Yusup. Beliau
merupakan seorang guru Tahfiz Model Ulul Albab di SBP Integrasi
Rawang dan telah berkhidmat selama 4 tahun bermula dari tahun 2018
hingga kini dengan penuh dedikasi di sana. Beliau juga merupakan guru
halaqah bagi Halaqah 4 Qalun.
Saya sangat mengidolakan Puan Norafidah kerana sifat-sifat
mahmudah iaitu sifat-sifat baik yang sarat dalam diri beliau yang saya
rasa amat wajar dicontohi dan diamalkan oleh semua insan. Puan
Norafidah merupakan seorang yang sangat prihatin, penyayang dan
baik hati namun masih tegas dalam mendidik pelajar-pelajarnya.
Sebagai pelajar sekolah berasrama penuh yang tinggal berjauhan
dengan ibu bapa dan jarang sekali pulang ke rumah lebih-lebih lagi
dalam situasi norma baharu akibat pandemik Covid-19 ini, kami telah
menganggap Puan Norafidah umpama ibu sendiri dek kerana sifat
keibuannya yang amat dekat di hati kami. Puan Norafidah yang juga
mesra dipanggil Ustazah Afidah amat memandang berat hal ehwal
akademik, hafazan mahupun kokurikulum kami. Bukan itu sahaja,
Ustazah Afidah amat pantas dalam mengesan masalah atau kesusahan
hati kami persis naluri seorang ibu. Justeru, beliau terus bertanya perihal
yang mengganggu kami dan mencurahkan kata-kata nasihat yang amat
bermakna dan menguatkan jiwa.
Setiap hari, Ustazah Afidah akan tiba di sekolah seawal pukul 6.30
pagi walaupun beliau telah berkeluarga. Hal ini kerana beliau akan
menghadiri kelas tasmik hafazan kami tepat pada masa iaitu pada pukul
7 pagi. Selain itu, Ustazah Afidah tetap komited dalam pekerjaannya
walaupun dalam masa yang sama sedang sibuk melanjutkan pelajaran
di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Betapa banyak
pengorbanan beliau dalam menyumbangkan masa, kudrat dan harta
benda dalam menjadikan kami insan berilmu yang beramal dan
bertakwa. Ustazah, jasamu yang terlalu banyak umpama cendawan
tumbuh selepas hujan, tidak dapat dihitung satu-satu mahupun
dicoretkan semuanya di sini tetapi ketahuilah bahawa kami amat
menyayangi ustazah serta ampunkanlah segala khilaf kami. Akhir kata,
ucapan ribuan malahan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada
Ustazah Norafidah atas segala yang telah ustazah lakukan buat kami.
Sesungguhnya, jasamu akan kami kenang selamanya hingga akhir
nafas. Semoga kisah yang dikongsi ini sedikit sebanyak memberikan
manfaat dan semoga syurga tertinggi buat kita semua. Kami sayang
ustazah selamanya, uhibbuki fillah.

You might also like