You are on page 1of 15

Gerakan Nasionalisme di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan

1.0 Pengenalan
Tahun 1945-57 merupakan satu tempoh yang amat penting dalam
pengkajian sejarah Malaysia. Ia merupakan dua belas tahun terakhir
pemerintahan British yang menyaksikan tersekatnya kemaraan kolonialisme dan
permulaan proses dekolonisasi. Dekad itu diwarnai oleh desakan dunia selepas
perang yang memaksa kuasa-kuasa penjajah Eropah, khususnya Britain,
menyerahkan semula pemerintahan sendiri kepada seluruh tanah jajahannya.
Namun apa yang sebaliknya berlaku dalam konteks perkembangan politik di
Tanah Melayu 1945-57 adalah proses rekolonisasi. Dalam usaha menyerahkan
pemerintahan sendiri, British terlebih dahulu mahu mencorakkan keadaan yang
dapat menjamin pengekalan pengaruh dan kepentingan kolonialismenya di
Tanah Melayu.Dalam memenuhi matlamat itu, British perlu menjajah Tanah
Melayu sepenuhnya terlebih dahulu sebelum dapat memberikannya
pemerintahan sendiri.Sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, penguasaan
British di Tanah Melayu masih belum menyeluruh. Walaupun berkuasa di Negeri-
Negeri Selat yang diletakkan sebagai koloni British, namun kekuasaan British di
negeri-negeri Melayu lain tersekat oleh perjanjian-perjanjian awal yang pernah
dibuat dengan sultan-sultan Melayu.2 Perjanjian itu membayangkan kehadiran
British di negeri-negeri Melayu hanyalah sebagai ‘pelindung’ atau ‘penasihat’,
dan mereka perlu menghormati hak asal penduduk peribumi dari segi adat
resam budaya dan agamanya, kedaulatan kuasa Sultan dan kedudukan negeri-
negeri Melayu yang bebas dan tersendiri.

Kewujudan pentadbiran yang bebas dan berasingan di setiap negeri Melayu


sebelum 1940 itu dianggap sebagai satu kelemahan terutamanya dari sudut
kepentingan ekonomi, pentadbiran dan pertahanan British. Walaupun usaha-
usaha telah dibuat oleh pihak British sejak sekitar tahun 1920-an dan 1930-an
lagi bagi menyatukan kesemua negeri tersebut di bawah satu bumbung
pentadbiran berpusat, atau penjajahan berpusat,namun ia menemui kegagalan

1
kerana mendapat tentangan daripada pemerintah Melayu. Tidak hairanlah
penjajahan Jepun yang menyediakan suatu kekosongan politik dan
memperkenalkan bentuk pemerintahan baru telah dianggap sebagai satu rahmat
oleh sesetengah pegawai British. Ia adalah “…a God-sent chance to clear up all
the country’s troubles…”. Di sebalik tanggapan umum yang memperlihatkan
penjajahan Jepun membawa suatu rahmat besar kepada orang Melayu,5 ia
sebenarnya merupakan permulaan zaman malapetaka kepada seluruh orang
Melayu.

Apabila menjejakkan semula kaki ke Tanah Melayu selepas Jepun menyerah


kalah, British yang tidak bercadang untuk kembali semula kepada status quo
politik sebelum perang telah menyiapkan satu rancangan baru bagi menyusun
semula struktur pentadbiran politik dan ekonomi negeri-negeri Melayu. Dasar
kolonialisme baru, yang dikenali sebagai Malayan Union (MU), akan menyatukan
kesemua negeri Melayu, kecuali Singapura, ke dalam sebuah koloni British
kononnya sebagai “...langkah persediaan untuk mengatur ke arah pemerintahan
sendiri.”6 Namun tujuan sebenarnya adalah bagi menjaga kepentingan
eksploitasi ekonomi di Tanah Melayu. British perlu menggerakkan pemulihan
segera ekonomi negaranya yang terhumban selepas perang dan Tanah Melayu
telah menjanjikan potensi sumber-sumber ekonomi yang amat diperlukan bagi
melaksanakan pelan pemulihan itu. Rancangan MU mewujudkan tiga perubahan
utama yang dipercayai akan mempengaruhi kepada penghakisan kekuatan
politik orang Melayu. Pertama, kedaulatan kuasa pemerintah tradisional Melayu
akan dihapuskan dan diletakkan di bawah kekuasaan
ratu British. Kedua, kedudukan negeri-negeri Melayu yang masih bebas akan
hilang di bawah kekuasaan sebuah kerajaan berpusat. Ketiga, kedudukan orang
Melayu sebagai pemilik asal dan mutlak Tanah Melayu akan dihapuskan dan
hak-hak istimewa orang Melayu akan diperluaskan kepada bukan Melayu.

2
Cadangan-cadangan terhadap rancangan baru ini telah dibentang dan diluluskan
oleh Kabinet Perang British sejak sebelum 1944 lagi. Ia secara tergesa-gesa
cuba dilaksanakan di Tanah Melayu setelah pihak Jepun menyerah kalah lebih
awal.
Reaksi orang Melayu terhadap dasar kolonialisme baru ini ialah
memuncaknya penentangan nasionalisme terhadap British.8 Terdapat dua
bentuk gerakan nasionalisme tempatan sebagai tindakbalas terhadap dasar
penjajahan semula British itu. Pertama, nasionalisme ‘arus kanan’ atau ‘arus
atas’ yang diperjuangkan oleh golongan elit Melayu berpendidikan Barat untuk
mempertahankan hak-hak elit dan konservatif Melayu, dengan slogan ‘Hidup
Melayu’, khususnya melalui United Malays National Organization (UMNO) yang
ditubuhkan pada 1946. Kedua ialah nasionalisme ‘arus kiri’ atau ‘arus bawah’
yang bermatlamat menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dengan apa jua cara,
termasuklah melalui jalan perundingan hinggalah, jika terdesak, menggunakan
taktik kekerasan. Perjuangan ini dibawa oleh gerakan nasionalis kiri Melayu yang
telah bergerak lama sebelum penubuhan UMNO, khususnya melalui Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan sejak 1945.

Timbul kekeliruan dan percanggahan pendapat dalam kalangan ahli sejarah


tentang corak perjuangan kedua-dua gerakan nasionalisme Melayu yang
berkembang pada peringkat itu. Umumnya ahli sejarah yang membahaskan
tentang sifat kedua-dua gerakan nasionalisme itu hanya menumpukan kepada
perkembangan mana-mana satu gerakan dan mengasingkannya daripada
peranan atau sumbangan pihak yang satu lagi. Ahli sejarah juga umumnya gagal
memperlihatkan secara jelas peranan pihak ketiga dan sebenarnya yang paling
berpengaruh, iaitu British, dalam menentukan kejayaan mahupun kegagalan
gerakan-gerakan tersebut. Akibatnya, kejayaan dan kegagalan sesuatu gerakan
nasionalisme itu cuba diperlihatkan hanya dalam konteks kekuatan dan
kelemahannya sendiri, misalnya dari segi ideologi, prinsip perjuangan mahupun
sokongan rakyat, yang dianggap menjadi penentu utama, lalu dipisahkan
daripada peranan besar yang dimainkan oleh British sebagai penentu sebenar.

3
Bagi membolehkan kita memahami perkembangan sebenar yang berlaku, kajian
ini akan cuba mengenengahkan bukan sahaja perspektif penulis tempatan yang
cenderung memperlihatkan tafsiran nasionalisme Melayu berasaskan tema
perjuangan ‘kanan’ dan ‘kiri’, tetapi juga catatan daripada sumber-sumber luar
dan sumber rasmi pihak British sendiri yang dapat menjelaskan tentang reaksi
pihak British dalam menangani kedua-dua bentuk gerakan nasionalisme
tersebut. Kajian ini akan menjelaskan bagaimana persaingan sengit yang wujud
antara kedua-dua gerakan nasionalisme ‘kanan’ dan ‘kiri’ Melayu telah
dipergunakan sepenuhnya oleh pihak British bagi mengekang kebangkitan
nasionalis antikolonial dan seterusnya memastikan dasar-dasar yang cuba
dilaksanakannya di bawah rancangan MU dapat dipenuhi sebelum kemerdekaan
diberikan kepada Tanah Melayu pada 1957.

2.0 Malayan Union, U.M.N.O dan Ahli Sejarah


Ahli sejarah memberikan tumpuan yang begitu meluas kepada keadaan
politik Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua sewaktu membicarakan
tentang asal-usul dan perkembangan nasionalisme Melayu. Zaman selepas
penjajahan Jepun dianggap penting kerana dasar-dasar pro-Melayu, pro
kemerdekaan mahupun kekerasan Jepun dikatakan telah membawa banyak
kebaikan dan menggalakkan kesedaran politik orang Melayu.
Selepas penyerahan Jepun, orang Melayu dikatakan tidak lagi bergantung
kepada pihakBritish untuk melindungi dan menjaga kepentingan mereka.
Kesedaran baru ini dapat diperjelaskan melalui penentangan golongan elit-
konservatif Melayu terhadap percubaan British memperkenalkan MU pada 1946.

Oleh kerana penentangan orang Melayu terhadap MU adalah amat ketara, maka
ia sering diperlihatkan sebagai satu langkah permulaan juga kemuncak kepada
kebangkitan nasionalisme Melayu. Dasar MU yang cuba diperkenalkan oleh
British mengancam

4
kedudukan dan masa depan politik orang Melayu. Oleh itu, orang Melayu melalui
UMNO pada ketika itu dikatakan telah bangkit menentang rancangan British
secara ‘habishabisan’ demi mempertahankan hak Melayu hingga sanggup
melawan bukan sahaja penjajah British, bahkan sultan-sultan Melayu sendiri.
Menurut beberapa pengkaji, dalam penentangan itu orang Melayu buat pertama
kalinya telah bersatu sebagai sebuah bangsa dan meninggalkan kepentingan-
kepentingan ‘feudal’nya. Sebelum itu mereka mengamalkan fahaman politik
‘feudal’ yang sempit dan berpecah belah kepada negerinegeri yang berbeza.

Oleh kerana ahli sejarah cenderung melihat perkembangan nasionalisme


Melayu hanya bermula dengan penentangan terhadap MU, maka perbincangan
mereka lebih tertumpu kepada tokoh-tokoh dan gerakan tertentu sahaja,
khususnya Dato’ Onn dan UMNO. UMNO diperlihatkan sebagai gerakan
kebangsaan Melayu terawal yang memperjuangkan hak orang Melayu dan
kemerdekaan Tanah Melayu. Dato’ Onn pula ditonjolkan sebagai orang Melayu
pertama yang bangkit mempersoalkan kezaliman sultan Melayu dan yang
pertama memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu.21 Menurut
pandangan sesetengah pihak, “Hanya Dato’ Onn Ja’afar itu sahaja yang dapat
dianggap sebagai pejuang Melayu pertama yang memimpin perjuangan negara
menentang British.”Tidak hairanlah nama Dato’ Onn diangkat sebagai ‘pengasas
politik’ atau ‘pengasas kemerdekaan Tanah Melayu’,23 atau bahkan ‘bapa
nasionalisme Malaysia’. Mereka yang lain, terutamanya yang bergerak dalam
gerakan politik kiri seperti PKMM diperlihatkan bukan sahaja tidak bersungguh-
sungguh dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu, bahkan didakwa
diperalatkan oleh anasir-anasir bukan Melayu dan komunis.

Oleh kerana UMNO diperlihatkan satu-satunya pertubuhan yang berjuang untuk


kepentingan orang Melayu, maka ia digambarkan mendapat sokongan
sepenuhnya orang Melayu. Sokongan padu orang Melayu dan ketegasan
pemimpin UMNO menentang dasar-dasar MU telah mengentarkan pihak British.
Ia memaksa British bersetuju dengan tuntutan orang Melayu atau UMNO

5
memansuhkan rancangan MU.25 British dikatakan bimbang UMNO akan
dipengaruhi unsur ‘radikal’ dan menggunakan cara kekerasan sekiranya
kehendak atau tuntutannya tidak dipenuhi. Maka atas desakan, penentangan
‘habishabisan’ serta ketegasan pemimpin UMNO itulah yang menyebabkan
British terpaksa berunding dengan orang Melayu dan mengenepikan rancangan
MU. Terhapusnya rancangan MU yang kemudiannya digantikan dengan
Persekutuan Tanah Melayu (PTM) 1948 dianggap sebagai kejayaan milik mutlak
orang Melayu serta UMNO selaku pergerakan yang mempertahankan hak serta
kedudukan orang Melayu sehingga merdeka.

Atas inisiatif Dato’ Onn dan UMNO jugalah, di samping tokoh-tokoh


Perikatan bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock dan kemudiannya Tun H.
S. Lee, Tun Tan Siew Sin, serta Tun V. T. Sambanthan, yang didakwa mula-
mula sekali menggerakkan idea kerjasama kaum bagi mencapai
kemerdekaan.27 Dari tahun 1946 hingga 1957 hanya beberapa tokoh dalam
UMNO dan Perikatan itu sahajalah yang dikatakan telah berjuang demi
mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, iaitu melalui jalan perundingan dan
tanpa sebarang pertumpahan darah.28 Mengulas tentang peranan UMNO dan
Perikatan ini, seorang pemimpin negara menyatakan; “Tanpa UMNO tidak akan
lahir Perikatan, tidak akan ada Tunku Abdul Rahman. Tanpa Perikatan antara
UMNO, MCA dan MIC, kita tidak akan mencapai kemerdekaan.”

6
3.0 British, U.M.N.O dan Gerakan Menuntut Kemerdekaan
Kajian tentang sejarah gerakan anti-kolonial dan perjuangan menuntut
kemerdekaan Tanah Melayu antara 1945-57 hingga kini hanya berkisar kepada
peranan yang dimainkan oleh dua pihak yang dianggap begitu berpengaruh iaitu
pertama UMNO yang ditubuhkan untuk menentang MU 1946 dan kedua
pergerakan PKM yang dikatakan begitu kuat dan mengancam pentadbiran
British hingga memaksa British mengisytiharkan Darurat pada 1948.

Namun begitu, penekanan kepada dua unsur ini sahaja, biarpun penting, tetapi
adalah tidak memadai. Ini kerana perjuangan sebenar UMNO bukanlah untuk
mencapai kemerdekaan dan bersikap anti-British, manakala perjuangan PKM
pula awal-awal lagi telah gagal kerana tidak mendapat sokongan orang Melayu
dan British hanya menggunakannya sebagai ‘kambing hitam’ bagi membenarkan
tindakan kekerasan diambil terhadap semua gerakan anti-kolonial di Tanah
Melayu. Sebenarnya berdasarkan penelitian terhadap sumber-sumber rasmi
pihak British sendiri, didapati elemen yang paling ditakuti oleh pihak British dan
mampu menggugat kedudukannya di Tanah Melayu ialah gerakan kiri Melayu-
Islam yang mendapat sokongan meluas daripada orang Melayu dan mampu
mengembeling tenaga Melayu dan bukan Melayu pada ketika itu.

Pertembungan antara British-gerakan nasionalis kiri-Islam Melayu telah


bermula sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi, tetapi menjadi semakin rancak
selepas wujudnya rancangan MU pada 1946. Dengan mengharapkan sokongan
bukan Melayu untuk mencapai tujuannya itu, British cuba melaksanakan
rancangan MU sebagai langkah permulaan untuk menguasai Tanah Melayu
sebelum ia diberikan pemerintahan sendiri. Namun tanpa dijangka, golongan
bukan Melayu tidak memberi sokongan padu terhadap rancangan MU kerana
masih menumpukan perhatian terhadap perkembangan di negara asal mereka
iaitu India atau China, sebaliknya orang Melayu pula tidak seperti yang
dijangkakan telah memberikan tentangan yang sengit. Pada peringkat awal
tentangan itu,

7
gerakan kiri telah dapat menyatukan diri dengan golongan kanan dan
menggerakkan penubuhan UMNO.

Tentangan sengit yang diberikan terhadap dasar penjajahan semula


British ini menimbulkan kebimbangan pihak British. Ini kerana ia melibatkan
bukan sahaja golongan konservatif Melayu, tetapi turut dipimpin oleh tokoh-tokoh
nasionalis kiri-Islam Melayu yang jelas anti-British dan mahukan kemerdekaan.
British amat khuatir sekiranya sokongan orang Melayu terhadap gerakan kiri
akan menjadi bertambah kuat. Oleh itu, mereka cuba mencari jalan bagi
memecahbelahkan penentangan ini dan mengendurkan kemarahan golongan
nasionalis kanan serta orang Melayu agar dapat membendung ancaman
gerakan kiri. Sebenarnya British amat memahami bahawa golongan konservatif
Melayu dalam UMNO sedia berlembut dan tidak bersikap anti-British; dan
mereka pula amat bimbangkan pengaruh gerakan kiri dalam kalangan orang
Melayu. Secara terpaksa British akhirnya memilih untuk bertolak ansur dan
memenuhi beberapa tuntutan nasionalis kanan.

Sumber-sumber rasmi British menjelaskan bahawa amatlah dibimbangi


sekiranya tuntutan golongan kanan yang begitu sederhana dan tidak bersikap
anti-British itu tidak dipenuhi, berkemungkinan besar orang Melayu akan
menyokong sepenuhnya gerakan kiri dan perjuangan kanan akan ditelan oleh
pengaruh unsur-unsur anti-British.Hal ini menjadi semakin jelas kerana wujudnya
anasir-anasir ‘radikal’ dalam UMNO sendiri yang mula bersimpati dengan
perjuangan gerakan kiri Melayu, misalnya Kesatuan Melayu Johor (KMJ) dan
Saberkas. Keadaan ini disedari oleh kepimpinan UMNO dan mereka memberi
ugutan supaya pihak British dapat segara memenuhi tuntutan pihak konservatif
dalam UMNO. Amaran telah dikeluarkan sendiri oleh Dato’ Onn kepada pihak
British bahawa sekiranya tuntutan UMNO tidak dipenuhi, kemungkinan besar
orang Melayu dalam UMNO akan menyokong gerakan anti-British yang
dipelopori oleh golongan ‘radikal’ yang dipengaruhi komunis dan Indonesia.

8
Namun tuntutan UMNO terhadap British semasa menentang MU adalah amat
sederhana. Perjuangan golongan konservatif dalam UMNO hanyalah setakat
mahu mengembalikan semula status quo golongan pemerintah dan kedudukan
golongan elit Melayu sebelum 1941. Keutamaan perjuangan UMNO adalah
untuk menjaga hak-hak elit konservatif Melayu daripada diancam oleh bukan
Melayu, dan dalam hal ini mereka sebenarnya amat bergantung kepada simpati
serta sokongan daripada pihak British. Walaupun pada peringkat awalnya UMNO
menentang ‘habis-habisan’ prinsipprinsip rancangan MU dan menganggap
British sebagai pengkhianat orang Melayu, tetapi pegawai-pegawai British sendiri
mengakui hubungan yang wujud antara kedua-dua pihak tetap rapat dan
pergantungan pihak kanan dalam UMNO kepada British tidak pernah terputus. Di
sebalik ketegangan akibat rancangan MU itu, kepimpinan UMNO masih melihat
British sebagai satu-satunya rakan dan juga pelindung dalam menjamin hak-hak
orang Melayu daripada diasak oleh tuntutan golongan bukan Melayu.

Bahkan kerana bimbangkan anasir bukan Melayu dan pengaruh


‘Indonesia’ dalam gerakan kiri, kepimpinan UMNO bukan sahaja bersedia untuk
mengenepikan dulu perjuangan dan pertelingkahannya dengan British, serta
bekerjasama dan berunding bagi melonggarkan tuntutan mereka, malah
bersedia menolak tuntutan orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan kerana
dibimbangi ini akan mengancam kedudukan golongan elit Melayu. Alasan yang
diberikan ialah orang Melayu masih belum bersedia untuk mencapai
kemerdekaan.Orang Melayu juga telah diberikan amaran oleh Dato’ Onn bahawa
komunis akan mengambil alih kuasa sekiranya British meninggalkan Tanah
Melayu Sikap pemimpin UMNO ini memberi banyak kelebihan kepada British
kerana ia dapat melemahkan tentangan gerakan nasionalisme Melayu.
Sebenarnya wujud kepentingan kedua-dua belah pihak dalam menghadapi
musuh yang sama hingga memaksa British dan UMNO bersedia untuk
bekerjasama dan bertolak ansur antara satu sama lain.

9
Tolak ansur pertama bermula dengan perundingan Anglo-Melayu ke arah
pembentukan PTM 1948. Cadangan PTM sebenarnya adalah terhasil daripada
percubaan kedua-dua belah pihak iaitu British-UMNO untuk meredakan
kemarahan orang Melayu terhadap British dan usaha British untuk
menyelamatkan beberapa prinsip utama yang terkandung dalam rancangan MU.
Dari satu segi, Constitutional Proposals for Malaya yang dipersetujui antara
British-UMNO menjamin hak kedaulatan Sultan, kebebasan negeri-negeri
Melayu dan hak ‘istimewa’ orang Melayu, tetapi pada masa yang sama juga
hasrat pembentukan sebuah kerajaan berpusat yang kukuh, satu rupabentuk
kerakyatan bersama (meskipun lebih terhad) dan kestabilan kewangan Tanah
Melayu dapat dipenuhi oleh British.

Apa yang dipersetujui oleh UMNO dengan British melalui PTM 1948
mengenepikan tuntutan pihak kiri yang mahu diwujudkan sebuah pemerintahan
bersifat demokrasi dan gerakan ke arah kemerdekaan. Tiada apa-apa jaminan
diberikan dalam rancangan PTM ke arah pemerintahan sendiri. Begitu juga tidak
ada pembentukan sebuah Parlimen, hak-hak mengundi, bendera dan
sebagainya yang membawa maksud Tanah Melayu akan beransur-ansur
diberikan pemerintahan sendiri. Jika dilihat daripada kedudukan British yang
semakin tertekan dan terdesak serta kesungguhan orang Melayu dan UMNO
menentang MU pada 1946, perjanjian PTM 1948 adalah satu langkah berpaling
ke belakang. Ia menguntungkan British dan menjadi permulaan kepada
pemberian konsesi-konsesi lain oleh UMNO meskipun di sebaliknya ahli sejarah
cuba memperlihatkannya sebagai satu kejayaan mutlak orang Melayu.

Sikap pemimpin UMNO yang berunding dan bersetuju dengan kehendak


Britishtelah menimbulkan ketidakpuasan hati dan ditentang oleh beberapa pihak
dalam UMNOsendiri. Walaupun pemimpin UMNO menekankan keperipentingan
dan keuntungan yang bakal diperolehi daripada perlembagaan baru itu, namun
ia ditolak dan dikritik dengan lantang oleh gabungan persatuan Melayu dalam
UMNO seperti Saberkas, Kesatuan Melayu Singapura dan KMJ yang mengertak

10
untuk keluar daripada UMNO. KMJ bahkan kemudiannya memang telah
bertindak nekad untuk keluar daripada UMNO. Selain menghadapi masalah
perbalahan terhadap keputusan yang diambil oleh pemimpin UMNO, perpecahan
dalam UMNO diburukkan lagi oleh wujudnya sikap kenegerian menebal yang
ditunjukkan misalnya oleh kepimpinan negeri Kelantan, Kedah, dan Terengganu.
Pendirian UMNO ini amat jauh bercanggah dengan tuntutan kepimpinan kiri
dalam PKMM misalnya yang mahukan kemerdekaan Tanah Melayu diberikan
tanpa bertangguh lagi. Bagi tokoh-tokoh gerakan kiri, mencapai kemerdekaan
Tanah Melayu daripada penjajahan British adalah jauh lebih penting daripada
memperjuangkan hak-hak dan kepentingan golongan elit Melayu semata-mata.

Oleh itu, dasar yang dipegang UMNO menimbulkan kemarahan golongan


kiri yang mendorong kepada perpecahan dan pertembungan antara gerakan kiri
dan kanan sejak 1946. Sebagai tindakbalas terhadap pendirian yang diambil
oleh UMNO terhadap rancangan PTM, gerakan kiri Melayu yang turut mendapat
sokongan daripada kepimpinan golongan kiri dan kanan bukan Melayu,
termasuklah antaranya Tun Tan Cheng Lock, telah menggerakkan kepada
penubuhan PUTERA-AMCJA pada Februari 1947.
PUTERA-AMCJA cuba merundingkan kerjasama semua kaum dan sedia
bertolak ansur antara mereka dalam beberapa perkara penting misalnya soal
kerakyatan dan identiti kebangsaan Tanah Melayu bagi memenuhi syarat -syarat
yang dipaksakan oleh British ke arah mencapai pemerintahan sendiri. Golongan
kiri Melayu sedar bahawa untuk mencapai kemerdekaan, mahu tak mahu
mereka terpaksa menerima kehadiran orang bukan Melayu di Tanah Melayu.
Walaupun bekerjasama dengan bukan Melayu, tetapi mereka tidaklah menolak
sepenuhnya kepentingan mempertahankan hak-hak orang Melayu termasuklah
dari segi pengekalan sistem beraja, agama, bahasa dan identiti kebangsaan
berasaskan penerimaan bersama bahawa Tanah Melayu adalah asalnya hak
kepunyaan orang Melayu. Persetujuan yang dicapai dalam perlembagaan rakyat
menjelaskan tentang pendirian atau prinsip sebenar yang dipegang oleh
golongan kiri Melayu terhadap hak-hak orang Melayu dan

11
menunjukkan mereka bukanlah golongan yang bersikap ‘anti-feudal’ yang totok.
Apapun usaha gerakan ini, yang mendahului pembentukan Perikatan yang
diusahakan oleh British dan UMNO, menunjukkan bahawa selain UMNO,
terdapat juga golongan lain yang mampu berfikir lebih awal ke arah mencapai
kemerdekaan dan merangka masa depan bersama dalam satu semangat
kebangsaan (Melayu) yang melampaui batas kepentingan kelompok yang
sempit.

12
4.0 Kesimpulan
Tahun 1946-57 merupakan satu tempoh yang begitu penting kerana ia
menandakan suatu kemuncak zaman tolak ansur, diplomasi, mahupun realpolitik
dan kekerasan dalam usaha British menghadapi tentangan daripada gerakan
nasionalis kiri dan kanan Melayu. Usaha British untuk menjajah semula Tanah
Melayu telah menimbulkan kesedaran kepada orang Melayu tentang tujuan dan
sikap British yang sebenarnya. Akibatnya orang Melayu telah bangkit menentang
usaha British yang cuba dicapai melalui rancangan MU 1946. Walaupun tokoh-
tokoh gerakan kanan dan kiri Melayu telah bersama-sama menubuhkan UMNO
dan berjuang berhabis-habisan mempertahankan hak orang Melayu semasa
pengenalan rancangan MU pada 1946, namun akhirnya mereka berpecah belah
kerana perbezaan ideology dan corak perjuangan. Penentangan UMNO
terhadap MU yang sekadar untuk menuntut pengekalan dan jaminan terhadap
hak-hak istimewa kaum elit Melayu mewujudkan pertentangan dengan gerakan
kiri yang mahukan kemerdekaan. Pertembungan ini memecahbelahkan kekuatan
nasionalisme Melayu dalam menghadapi bukan sahaja cabaran pihak British,
bahkan desakan dan tuntutan yang dibawa oleh golongan bukan Melayu. Dalam
keadaan tertekan dan terdesak oleh asakan bukan Melayu, pemimpin konservatif
Melayu memilih untuk bertolak ansur dan bergantung kepada sokongan British.
Ini membawa kepada kesediaan pemimpin Melayu memenuhi beberapa
kehendak British seperti bekerjasama dengan parti-parti politik bukan Melayu
dan memberikan kerakyatan terbuka kepada mereka sebelum Tanah Melayu
diberikan kemerdekaan. Jelasnya, rancangan MU telah tidak dapat dijayakan
oleh British pada 1946 akibat tentangan hebat orang Melayu, namun semangat
dan tujuannya itu akhinya dapat dipenuhi juga semasa Tanah Melayu mencapai
kemerdekaannya pada 1957. Walaupun sering digambarkan kemerdekaan
Tanah Melayu adalah diperolehi melalui jalan perundingan dan tanpa
pertumpahan darah, namun pada hakikatnya ia telah memakan korban ramai
pihak, termasuklah para pemimpin, bangsawan, pejuang kemerdekaan,
nasionalis kiri, tokoh agama, dan rakyat biasa.

13
Perjuangan dan pengorbananyang dilakukan oleh mereka perlulah diberi
pengiktirafan yang sewajarya sekurangkurangnya dalam penulisan sejarah.
Sekiranya tidak ada tekanan dan ancaman yang diberikan oleh para pejuang dan
nasionalis kiri itu, berkemungkinan besar UMNO tidak akan mampu memimpin
dan mencapai kemerdekaan daripada British. Oleh itu, penghargaan yang sama
perlulah diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam gerakan
kemerdekaan Tanah Melayu agar sumbangan dan pengorbanan mereka tidak
akan dilupakan oleh generasi hari ini dan masa depan.

14
5.0 RUJUKAN

Kursus lengkap jawapan sejarah Tanah Melayu, Sejarah komanwel British,


sejarah Asia Tenggara . (1967). Kota Baru: Pustaka Aman Press.

Nasionalisme dan revolusi di Malaysia dan Indonesia: pengamatan sejarah.


(2006). Minden], Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia :.

Sejarah Malaysia sepintas lalu: a glimpse of Malaysian history. (2008). Kuala


Lumpur: Percetakan Watan.

Shellabear, W. G. (2003). Sejarah Melayu (English version. ed.). Bangi: ATMA


UKM.

15

You might also like