You are on page 1of 11

NOVEL

LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA

SINOPSIS
    Dalam pertempuran dengan askar Jepun, Askar Melayu menunjukkan keberanian dan semangat
keperwiraan yang hebat di mana seramai 152 anggota Askar Melayu, termasuk 7 pegawai Melayu
dan 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban. Antara pegawai
Askar Melayu yang terkorban itu ialah Leftenan Adnan bin Saidi. Dia bersama 42 orang anggotanya
berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa  memaparkan
kisah keberanian dan keperwiraan askar Melayu yang sanggup berjuang sehingga ke hujung nyawa.

Bab 1 - Darah Pahlawan


Leftenan Adnan Wira Bangsa dimulakan dengan kisah Adnan (yang masih kecil) bersama
keluarganya. Pak Saidi berasa amat gembira kerana dikurniakan tiga orang anak lelaki. Yang sulung
bernama Adnan, yang tengah  bernama Ahmad dan yang bongsu dinamakan Amarullah. Tiga beradik
itu membesar di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor. Adnan sekeluarga memiliki darah
pahlawan iaitu moyangnya pernah membantu Dol Said menentang Inggeris di Naning. Namun begitu,
Pak Saidi tidak suka menghebah-hebahkan cerita itu kerana sentimen 'siapa yang menentang
Inggeris adalah penderhaka’ masih kuat ketika itu. Penjajah( British) tidak suka kepada sesiapa yang
menentang mereka. Mereka mahu menyedut keluar sebanyak-banyaknya hasil bumi daripada Tanah
Melayu.

Bab 2 - Kampung Sungai Ramal


Adnan bermimpi mengenai kehebatan Hang Tuah dan kawan-kawannya. Dia sangat menggemari
kisah kepahlawanan Hang Tuah. Sebelum tidur,emaknya akan bercerita mengenai kisah-kisah
pahlawan dahulu kala. Setiap pagi, Pak Saidi akan membawa anak sulungnya ke tempat kerjanya.
Tujuannya adalah untuk mengajar anaknya itu mengenai betapa susahnya untuk mencari rezeki. Pak
Saidi memiliki satu hektar kebun getah dan sebidang tanah sawah tinggalan orang tuanya yang
menjadi sumber pendapatan kepada Pak Saidi untuk menyara keluarganya. Penduduk kampung
Sungai Ramal bergantung hidup kepada aktiviti pertanian sepenuhnya. Mereka akan mengusahakan
sawah padi dan menoreh getah untuk mendapatkan sumber pendapatan. Namun, terdapat segelintir
penduduk kampung yang lebih suka menghabiskan masa dengan bersembang di warung kopi milik
Pak Samad yang terletak di persimpangan kampung. Pak Saidi dan Adnan singgah sebentar di
warung tersebut untuk melepaskan lelah. Warung itu tidak pernah sunyi dengan riuh-rendah suara
penduduk kampung yang menjamu selera sambil berbual dan ada juga yang bermain dam.
Bab 3 - Harapan Seorang Ayah
Pak Saidi disambut oleh anak-anaknya apabila pulang dari menoreh getah. Hatinya gembira apabila
melihat gelagat anak-anaknya itu. Sambil duduk berehat di atas pangkin kayu, Pak Saidi melihat
gelagat anak-anaknya yang sedang berlatih silat. Adnan mengajak adik-adiknya untuk berlawan
dengannya. Walaupun perlawanan itu melibatkan dua lawan satu, namun Adnan tidak mudah
dikalahkan oleh kedua-dua adiknya kerana sikapnya yang tidak mahu mengalah. Setiap kali mereka
bersilat, Adnan yang selalu menang. Pak Saidi dapat melihat semangat pahlawan yang ada dalam diri
anak sulungnya itu. Walaupun tidak berpelajaran, tetapi Pak Saidi mempunyai wawasan serta
keazaman yang tinggi terhadap masa depan anak-anaknya.

Bab 4 - Dusun Durian Di Tanah Perkuburan


Pak Saidi bersama anak sulungnya, Adnan pergi ke dusun durian untuk membersihkan kawasan
dusun tersebut. Setelah selesai membersihkan dusun, mereka melepaskan penat dengan berehat di
sebuah pondok yang terdapat dalam dusun tersebut. Sambil berehat di pondok, Adnan mengambil
peluang untuk bertanya ayahnya mengapa dusun itu terletak berdekatan dengan kawasan kubur.
Ayahnya telah menceritakan asal usul kawasan dusun tersebut. Adnan juga telah bertanya mengenai
asal usul keluarganya yang berasal daripada keturunan Minangkabau. Pak Saidi juga telah bercerita
kepada Adnan mengenai penentangan orang Melayu terhadap pihak penjajah.

Bab 5 - Harapan Seorang Ibu


Pak Saidi baru pulang dari ladang getah dan ditegur oleh isterinya, Mak Milah. Mak Milah mempelawa
Pak Saidi untuk makan tengah hari. Pak Saidi mengajak anak-anaknya untuk makan tengah hari
bersama. Ketika makan, Pak Saidi tidak lupa untuk memberi nasihat kepada anak-anaknya. Adnan
meminta kebenaran daripada ayahnya untuk bersekolah pada tahun hadapan. Mak Milah telah
bertikam lidah dengan Pak Saidi untuk menghantar Adnan sama ada di sekolah Melayu, sekolah
Inggeris ataupun di sekolah pondok. Akhirnya, Mak Milah akur dengan keputusan yang diambil oleh
Pak Saidi.

Bab 6 - Guru Besar Steward


Pak Saidi menghantar Adnan ke sekolah Inggeris.  Walaupun ramai penduduk kampung yang tidak
mahu anaknya bersekolah Inggeris kerana kononnya akan menjadi murtad, namun  Pak Saidi
berfikiran sebaliknya. Dia ingin anak-anaknya menjadi orang yang berpelajaran. Setiap pagi, sebelum
pergi ke sawah, Pak Saidi mengayuh basikal menghantar Adnan ke sekolah Inggeris di pekan Sungai
Ramal. Tengah hari pula, dia akan menjemput anaknya dari sekolah.

Bab 7 - Mereka Tidak Mengerti


Penduduk Kampung Sungai Ramal menjadi gempar. Orang ramai heboh bercerita mengenai Pak
Saidi yang menghantar anaknya belajar di sekolah Inggeris. Ramai penduduk tidak bersetuju. Pak
Saidi orang pertama yang berbuat demikian. Mereka khuatir anak Saidi akan dipengaruhi oleh Orang
Putih. Lebai Pian menyuruh Tok Ketua mengambil tindakan atas perbuatan Saidi. Namun, Tok Ketua
membantah. Lalu, Tok Ketua menyatakan bahawa anak Lebai Pian mencuri buah rambutan dan
durian orang kampung. Nordin iaitu anak Lebai Pian membuat rancangan untuk mengenakan Pak
Saidi.

Bab 8 - Seteguh Karang


Pak Saidi tidak mempedulikan rungutan penduduk kampung. Pak Saidi tegas mahukan anak-anaknya
mendapat pendidikan di sekolah aliran Inggeris. Hal ini demikian kerana,orang putih lebih maju
daripada orang Melayu dari segi pendidikan. Mereka menjajah Tanah Melayu kerana mereka memiliki
pengetahuan yang tinggi. Kekayaan bumi ini dikaut kerana ilmu pengetahuan.
Pelajaran di sekolah Melayu hanya setakat sekolah rendah. Sedangkan sekiranya bersekolah aliran
Inggeris, mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan ke sekolah tinggi.
Mereka berpeluang menjawat jawatan yang tinggi. Bagi Pak Saidi, anak-anak perlu disediakan ilmu
pengetahuan kerana mereka bakal mentadbir negara ini pada masa akan datang. Pak Saidi menegur
sikap Karim kerana dia beranggapan bahawa anak-anak perempuannya tidak perlu diberikan
pendidikan yang tinggi. Berlaku perdebatan antara Pak Saidi dengan Tuk Ketua yang kurang berpuas
hati terhadap Pak Saidi. Pak Saidi tetap mempertahankan pandangannya, iaitu menghantar anak ke
sekolah aliran Inggeris bukan bermakna menjadikan anak mereka penganut agama Kristian.
Bab 9 - Anak-anak Kampung
Suatu malam,Pak Saidi terjaga daripada tidur apabila dikejutkan oleh bunyi bising. Pak Saidi dan
Adnan mengamati bunyi tersebut dan terlihat suatu lembaga. Adnan sempat membaling kayu
belatinya ke arah salah seorang daripada dua lembaga itu. Adnan yakin balingannya mengenai
sasaran. Keesokan harinya, Adnan melihat tayar basikal ayahnya dikerat dengan pisau angkara
perbuatan khianat. Beberapa orang pelanggan bercerita tentang Nordin. Kaki kanannya bengkak
sehingga sukar berjalan. Pak Saidi teringat akan peristiwa dua hari yang lalu ketika Adnan sempat
membaling kayu belati ke arah dua orang lembaga itu. Di sekolah, Adnan terkenal sebagai pelajar
yang rajin dan pintar. Dia amat disenangi oleh teman-teman dan gurunya.

Bab 10 - Masuk Jawi Basikal Baharu


Adnan akan berkhatan. Adnan resah apatah lagi Tuk Mudim sudah sampai. Walaupun Tuk Mudim
berjenaka tetapi bagi Adnan itu bukanlah lawak. Rakan-rakan Adnan mengintai dari luar. Adnan
menjadi bersemangat apabila ayahnya berjanji untuk membelikan basikal baharu apabila dia selesai
berkhatan. Adnan bersemangat dan tidak gentar apabila dikhatankan. Dia tersenyum selepas
dikhatankan. Kira-kira dua minggu kemudian, luka Adnan sembuh. Pada hari yang dijanjikan, ayahnya
membawa pulang sebuah basikal baharu.

Bab 11: Yakin boleh


Cikgu Nazri menyatakan bahawa pada bulan depan akan diadakan pertandingan syarahan dalam
bahasa Inggeris. Adnan menyatakan kesanggupannya untuk menyertai pertandingan tersebut
walaupun rakan-rakannya memperlekehkan tindakannya. Cikgu Nazri memuji sikap berani mencuba
Adnan walaupun dia masih belum fasih berbahasa Inggeris. Pak Saidi sekeluarga hadir ke tempat
berlangsungnya pertandingan syarahan bagi memberikan sokongan moral kepada Adnan. Adnan
telah menjadi juara dalam pertandingan syarahan bahasa Inggeris tersebut.

Bab 12: Jaguh Kampung


Perlawanan bola sepak antara Kampung Sungai Merap dengan Kampung Sungai Ramal telah
menjadi buah mulut orang ramai. Budin daripada pasukan Kampung Sungai Merap tidak berpuas hati
kerana kekalahan di tangan pasukan Kampung Sungai Ramal. Mereka mengatur pula perlawanan
tinju antara kedua-dua pasukan. Budin daripada pasukan Kampung Sungai Merap akan bertinju
dengan Adnan daripada pasukan Kampung Sungai Ramal. Akhirnya, Budin dan Adnan bersepakat
untuk tidak meneruskan perlawanan tinju itu dan mereka menjadi sahabat.

Bab 13: Darah Muda


Masyarakat kampung sudah dapat menerima dengan baik anak-anak Pak Saidi belajar di sekolah
aliran Inggeris. Pak Saidi berbangga kerana dia berjaya membuka mata orang kampung.
Adnan berjaya menamatkan pelajarannya dengan cemerlang. Adnan telah terpilih sebagai guru
pelatih dan diarah mengajar di Sekolah Melayu Sungai Ramal. Namun, bidang perguruan bukanlah
menjadi minatnya kerana cita-citanya adalah untuk menjadi askar. Adnan semakin berminat untuk
mengetahui perkembangan politik tanah air. Minatnya untuk melihat negara ini bebas daripada
penjajahan begitu ketara sekali.

Bab 15: Buku Bertemu Ruas


Adnan terpaksa menahan ejekan dan cemuhan daripada beberapa orang pemuda di kampungnya.
Bagi mereka, askar merupakan tali barut orang putih dan pembelot bangsa. Untuk ke Port Dickson,
Adnan bersama-sama dengan tiga orang rakannya yang lain telah menumpang sebuah lori. Setibanya
di Port Dickson, mereka berempat terus ke Kem Haig Lines. Perasaan mereka berdebar-debar ketika
menjalani proses temu duga. Akhirnya, Adnan telah terpilih menjadi tentera. Dia akan menjalani
latihan ketenteraan. Kejayaannya telah menjadi buah mulut orang di pelosok kampung. Pak Saidi
mengadakan majlis doa selamat bersempena dengan pemergian Adnan ke Port Dickson untuk
menjalani latihan ketenteraan.

Bab 16: Perwira


Seorang pegawai mengalu-alukan kedatangan para rekrut baharu. Beliau mengucapkan tahniah dan
memberikan kata-kata perangsang.Daripada 1000 pemohonan, hanya 25 orang yang terpilih dalam
pasukan yang digelar pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu. Mereka merupakan
skuad pertama yang akan menjalani latihan ketenteraan. Pada 1 Mac 1933, semua rekrut bersedia
untuk menjalani latihan ketenteraan. Akhirnya, Adnan berjaya menamatkan latihan ketenteraan
selama setahun. Adnan telah terpilih sebagai rekrut terbaik dan seterusnya diserapkan ke dalam
pasukan Askar Melayu. Adnan telah diarahkan bertugas di Singapura.

Bab 17: Kehidupan Baharu


Adnan telah dinaikkan pangkat sebagai sarjan. Namun begitu, bukan pangkat yang dikejar sebaliknya
kewajipan menjalankan tanggungjawab dan amanah perlu diberikan keutamaan. Adnan telah dipilih
mewakili platun Askar Melayu dalam perbarisan memberi hormat bagi menyambut upacara pertabalan
King George VI di London. Pihak British berpuas hati dengan kegigihan yang ditunjukkan Askar
Melayu. Mereka telah mengambil lebih banyak pemuda Melayu berkhidmat dalam Rejimen Askar
Melayu. Bilangannya bertambah menjadi 232 orang. Adnan telah dinaikkan pangkat sebagai Leftenan
Muda dan dilantik mengetuai Platun ke-7, Kompeni 'C'. Hal ini berdasarkan prestasi cemerlang yang
telah ditunjukkannya selama berkhidmat dalam Askar Melayu. Pak Saidi telah menjodohkan Adnan
dengan seorang gadis bernama Sophia.

Bab 18: Berhari Raya di Kampung


Perkahwinan Adnan semakin bahagia apabila dikurniai dua orang cahaya mata. Anak lelaki yang
sulung bernama Mokhtar dan yang kedua pula bernama Zainudin. Adnan berkhidmat di Singapura
manakala isteri dan anak-anaknya menetap di Kajang.
Adnan membawa keluarganya berpindah ke Singapura. Dia memulakan tugas baharunya di
pangkalan tentera Pasir Panjang.  Isterinya mudah menyesuaikan diri dengan cara hidup di tempat
baharu. Jiran-jirannya terdiri daripada isteri anggota tentera yang berkhidmat di sana.

Bab 19: Perang Dunia Kedua


Berita yang mengejutkan diterima oleh Adnan. Ada ura-ura mengatakan bahawa Jepun akan
menyerang Tanah Melayu dan Singapura. Adnan terpaksa menghantar Sophia dan anak-anaknya
pulang ke kampung bagi menjamin keselamatan mereka walaupun hatinya berat untuk berpisah
daripada mereka. Sophia berjanji akan menjaga anak-anak mereka dengan baik. Nordin yang suatu
ketika dahulu kerap memusuhi Adnan kini telah berubah. Dia menjadi tentera dan rakan setugas
Adnan.

Bab 20: Bukit Candu


Adnan telah diarahkan bertugas di Bukit Candu yang terletak di kawasan berbukit di sebelah timur
yang menghadap ke laut. Leftenan Adnan telah mengarahkan anggota tenteranya menggali lebih
banyak parit untuk dijadikan kubu. Guni-guni pasir diletakkan di sekitar kawasan Bukit Candu.
Leftenan Adnan dan Sarjan Hasan telah bertemu dengan Penghulu Sidek bagi membincangkan
masalah penduduk kampung yang enggan berpindah. Samad bertengkar dengan Penghulu Sidek. Dia
mengatakan bahawa bukannya Jepun yang mahu menjajah Tanah Melayu tetapi British yang mahu
menguatkan cengkaman penjajahannya.

Bab 21: Di Ambang Perang


Pada hari Sabtu, 6 Disember 1941, pegawai-pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat mengadakan 
persidangan di Manila, Filipina. Antara yang hadir ialah Laksamana Thomas C. Hart, pegawai
pemerintah Angkatan Asia Amerika Syarikat (U.S. Asiatic Fleet), dan Laksamana Sir Thomas Phillips,
komander Tentera Laut British, Timur Jauh. Mereka membincangkan persiapan tentera Jepun untuk
menakluk Asia termasuk Tanah Melayu dan Filipina. Masing-masing yakin serangan tentera Jepun itu
dapat dipatahkan tambahan pula dengan adanya askar Melayu yang diberi tugas bersama tentera
Inggeris untuk mempertahankan Tanah Melayu.

Bab 22: Hati-hati yang Resah


Sebuah pesawat peninjau Lockheed Hudson Australia yang berpangkalan di lapangan terbang Tanah
Melayu terjumpa konvoi Jepun yang berlepas dari Saigon, Indochina Perancis. Komander pesawat
tersebut, Pegawai Penerbangan Ramshaw, melaporkan pada mulanya hanya tiga buah kapal belayar,
diikuti selepas itu oleh sekurang-kurangnya 25 buah kapal pengangkut lain. Angkatan itu diiringi oleh
sebuah kapal tempur, lima buah penjajap dan tujuh buah kapal pembinasa (Ramshaw tersilap
melaporkan kapal penjajap berat sebagai kapal tempur). Pada pendapatnya, kapal-kapal tersebut
sedang menuju ke arah Thailand yang berkecuali, atau ke Tanah Melayu. Situasi merupakan isyarat
yang amat jelas kepada kedua-dua laksamana bahawa perang akan meletus. Kedua-dua laksamana
itu bertindak dengan segera. Empat buah kapal pembinasa Amerika Syarikat di Balikpapan menerima
arahan agar belayar ke laut lepas, sementara Laksamana Muda Arthur E.F. Palliser dan Panglima
Besar Phillips menerima arahan agar memerintah HMS Repulse untuk membatalkan pelayarannya ke
Darwin, Australia, dan kembali ke Singapura secepat mungkin. Lebih banyak perutusan mengenai
konvoi Jepun tiba. Pesawat British diperintahkan agar melakukan lebih banyak penerbangan
peninjauan lanjut, tetapi pihak Jepun bernasib baik pada hari itu kerana cuaca buruk menghalang
pesawat British daripada berlepas. Pada pukul 7 petang, angkatan penjajahan Jepun bertukar arah
dan belayar ke utara menuju Teluk Siam.

Bab 23: Bermulanya Sengketa


Penduduk di Tanah Melayu mula berasa cemas dengan berita tentera Jepun akan menyerang.
Namun ada juga yang berasa gembira kerana kononnya Jepun hendak menghalau penjajah dan
memerdekakan Tanah Melayu. Penduduk kampung Sungai Ramal juga bercerita mengenai perang.
Pak Saidi  tetap tidak mahu berlakunya perang. Namun dia berserah kepada takdir kerana tiga orang
anaknya iaitu Leftenan Adnan dalam askar Melayu, Ahmad dalam angkatan tentera Laut dalam kapal
HMS Pelanduk, dan Amarullah juga dalam askar Melayu. Pak Saidi bangga kerana ketiga-tiga
anaknya berada dalam angkatan tentera. Namun ibunya tetap risau sekiranya berlaku peperangan.
Leftenan Adnan sering mengutus surat kepada adik beradiknya sambil memberi kata peransang 
supaya berjuang bersungguh-sungguh demi tanah air.

Bab 24: Perangkap Tidak Mengena


Sejurus selepas tengah malam, tentera Jepun bergerak ke arah pantai yang dipertahankan oleh
pasukan India British yang mengawal pantai. Pasukan meriam British mula membedil sepanjang
kawasan persisiran pantai dan laut sewaktu telah jelas bahawa tentera Jepun sudah memulakan
pendaratan mereka. Tembakan suar menerangkan kawasan pendaratan Jepun dan unit Dogra mula
menembak ke arah pesawat pendarat sebaik sahaja pesawat itu diterangi suar. Usaha pertahanan
dilakukan bersungguh-sungguh oleh unit Dogra tetapi mereka menghadapi tentangan yang sengit.
Kubu mesingan (MG) di pantai digunakan dengan berkesan terhadap tentera Jepun yang mula
mendarat di pantai dan membunuh banyak askar Jepun termasuk komander batalionnya, Mejar
Nakamura, yang mengetuai orang-orangnya menyerbu kedudukan musuh. Kolonel Masanobu Tsuji
menulis dalam bukunya mengenai Kempen Tanah Melayu: "Kubu-kubu kecil musuh yang disediakan
dengan teliti bertindak dengan ganas dan sepenuh kekuatan sehinggakan orang-orang kami terbaring
di pantai, separuh dalam air, separuh di pantai, tidak dapat mengangkat kepala mereka". Tidak
sehingga tentera Jepun memusatkan serangan mereka terhadap dua buah kubu kecil dan parit
pertahanan sokongan yang menguasai kawasan pendaratan, barulah mereka menguasai tempat
mendarat. Dalam pertempuran secara berhadapan, tentera Jepun berjaya menumpaskan tentera
India British yang bertahan di kawasan penting ini. Semasa pertempuran ini berlaku, gelombang
penyerang kedua tersangkut di pantai terbuka dihujani tembakan meriam British yang mengakibatkan
jumlah korban yang teruk. Bagaimanapun, sebaik sahaja kubu kecil telah dimusnahkan, pasukan ini
mampu bergerak ke hadapan dan mebolosi kedudukan Dogra. Walaupun membuat serangan balas,
kedudukan supai India tidak dapat dipertahankan lagi dan pasukan pertahanan mula berundur.

Bab 25: Gagalnya Operasi Matador


Pada pagi 8 Disember 1941, bertempat dalam Bilik Gerakan Tentera British, Kota Bharu, suatu
mesyuarat tergempar diadakan. Pemerintah Kor. Jeneral Heath segera menghubungi Ibu Pejabat bagi
memaklumkan bahawa tinjauan dari udara di Teluk Siam mendapati adanya gerakan besar-besaran
tentera Jepun di Songkla dan di Pattani. Namun Ops Matador tidak dapat dilakasanakan kerana
Jeneral A. E. Percival yang bertanggungjawab dengan Ops Matador sedang menghadari mesyuarat
Majlis Perundangan Negeri Selat. Mereka mendapati tentera Jepun sudah mendarat di Kota Bharu.
Keadaan di Barat, nasi sudah menjadi bubur. Jeneral A. E. Percival menghubungi Panglima Sir
Brooke-Popham memaklumkan perkara tersebut barulah Ops Matador dapat dijalankan. Di Kota
Bharu, kemaraan tersekat di Sungai Kelantan. Pihak tentera Jepun telah terkorban akibat letupan
yang kuat.

Bab 26: Serangan Bertali Arus


Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang telah diserang oleh tentera Jepun dalam masa yang
singkat. Kebanyakan pertahanan telah pun musnah. Empat buah kapal pembinasa yang menjadi
kapal pengiring tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka juga diserang oleh kapal terbang Jepun.
Jeneral A.E Percival mengarahkan tentera India British menyerang tentera Jepun. Dalam keadaan
kelam kabut, berundur dari Nongka, Panglima Brid. Jen. Garret dilaporkan hilang semasa
menyeberangi sungai dan mereka terputus hubungan. Pada masa yang sama, Jeneral Yamashita
memerintahkan 85 buah pesawat pengebom Jepun menyerang pertahanan British di Pulau Pinang.
Pak Saidi mengatakan bahawa Ahmad sudah tiada. Pegawai tentera laut telah membawa berita
kematian Ahmad yang sudah terkorban di medan perang. Penduduk kampung beramai-ramai
membacakan Yasin untuk Ahmad.

Bab 27: Perancangan Dua Jeneral


Penduduk Johor Bharu gempar dengan kehadiran ramai tentera Jepun. Mereka tiba di Johor Bharu
setelah hampir sebulan mendarat di Kota Bharu.Pertempuran demi pertempuran telah berlaku dan
jatuhnya satu demi satu negeri-negeri di Semananjung Tanah Melayu dalam masa yang singkat Pihak
British terpaksa berputih mata dan terpaksa mengundurkan tenteranya ke Singapura lalu membuat
pertahanan di situ. Panglima Tertinggi British di Timur Jauh, Sir Robbert Brooke-Propham dilucutkan
jawatan dan digantikan oleh LT. Jen. Sir Henry Pownall. Petang 31 Januari 1942, seluruh
Semenanjung Tanah Melayu jatuh ke tangan tentera Jepun. Tentera Jepun telah menawarkan Samad
agar bekerjasama dengan mereka untuk membebaskan Singapura, Samad bersetuju dengan tawaran
tersebut. Jeneral A. E. Percival agak tertekan dengan keadaan yang sedang melanda. Panglima
Tentera Australia Henry Gordon Bennett membuat pemeriksaan kedudukan pertahanan pasukan
tenteranya di bahagian Barat Laut. Kapten Rix dan Adnan mengatur persiapan bagi menentang
tentera Jepun di Bukit Candu dan di Pasir Panjang.

Bab 28: Pertempuran Demi Pertempuran


Serangan mengejut segera dibalas angkatan tentera diraja British. Serangan balas tersebut
membuatkan tentera Jepun menggandakan bedilan yang bertubi-tubi. Pasukan tentera India dan
tentera British yang bertahan tidak berupaya memberikan tentangan berkesan dan terpaksa berundur.
Kejayaan tentera Jepun amat menggembirakan hati Jeneral Yamashita. Jeneral Yamashita telah
menghantar surat kepada Jeneral A. E. Precival supaya menyerah kalah. Leftenan Adnan akan
mempertahankan Pasir Panjang dan Bukit Candu dengan apa cara sekalipun.

Bab 29: Terus Berjuang


Penghulu Deraman bersama anak-anak buahnya yang terdiri daripada pengawal kampung datang
bertemu dengan Leftenan Adnan. Tujuan mereka adalah untuk menyatakan persediaan mereka
bertempur membantu pasukan Askar Melayu menentang tentera Jepun. Pasukan Rejimen Askar
Melayu memilih mengadakan pertahanan di satu rabung yang dipanggil dengan nama Rabung Pasir
Panjang. Jeneral Yamashita berang apabila tiga pengintipnya mati ditembak Askar Melayu. Berita
penawanan Askar Melayu daripada Kompeni "B" meresahkan Leftenan Adnan. Leftenan Adnan terus
bersemangat untuk berjuang hingga  titisan yang terakhir.

Bab 30: Serangan Balas


Suasana pagi itu hening, Askar Melayu yang tidak bertugas sedang tidur-tidur ayam.Tiba-tiba,
suasana yang tenang itu dikejutkan dengan satu jeritan. Tentera Jepun sudah menyerang Tanah
Melayu. Leftenan Renya memimpin pasukan penggempur memerintahkan orang-orangnya terus
melepaskan tembakan mortar ke arah pertahanan pihak lawan. Kebanyakan tembakan tepat
mengenai sasaran. Jeneral Yamashita bertambah berang, dia mahu pasukannya mencari jalan
bagaimana mahu menembusi kubu pertahanan tentera Melayu. Tentera Jepun memakai pakaian
tentera Sikh untuk mengelirukan musuh. Dua puluh orang tentera Jepun yang memakai turban telah
dibunuh dari jarak yang dekat.

Bab 31: Biar Putih Tulang


Kehebatan Askar Melayu yang berjaya menghidu tipu helah yang dibuat oleh tentera Jepun telah
menyebabkan Leftenan Renya Mutuguchi berang. Oleh sebab itu, tentera Jepun telah bertekad untuk
menyerang Askar Melayu di Bukit Candu secara besar-besaran. Serangan kali ini menggunakan kapal
terbang untuk serangan udara dan disusuli dengan serangan pasukan artileri. 

Bab 32: Tumpah Darah Perwira


Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom
tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis Gun.
Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran dengan berhadapan menggunakan
bayonet tetapi mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang
berikutnya, pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya
menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang
menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.
Tentera Jepun yang marah kerana keberaniannya menentang musuh  sehingga ramai yang terkorban
telah berjaya menawan Leftenan Adnan lalu diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah
menggantungkan Leftenan Adnan yang cedera parah itu pada dahan pokok ceri. Disebabkan
meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun telah berbaris panjang dan kemudiannya
berjalan di bawah pokok ceri itu. Setiap orang yang lalu di bawah pokok ceri itu telah menikam tubuh
Leftenan Adnan yang tergantung pada pokok tersebut dengan bayonet. Kejadian itu dilihat oleh
Koperal Yaakob.

Bab 33: Jatuhnya Kota Singa


Dua hari selepas pertempuran di Bukit Candu dan setelah askar British menyerah kalah, Haji Burhan
dan beberapa orang penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan Bukit Candu telah
memanjat bukit tersebut. Mereka menjumpai sebuah banglo lalu memasukinya. Di sana terlihat
berpuluh-puluh mayat askar Melayu yang bergelimpangan. Ada yang putus lehernya dan ada pula
yang terburai perutnya akibat tikaman dan tetakan senjata tajam. Mereka juga terjumpa seorang askar
yang masih hidup lalu merawatnya. Kemudian Koperal Yaakob pun menceritakan kehebatan askar
Melayu yang menentang Jepun sehingga titisan darah terakhir. Kemudian penduduk kampung
mengumpulkan mayat-mayat askar Melayu lalu mengebumikannya.

Bab 34: Darah Mengalir di Sungai Ramal


Pada suatu hari, berpuluh-puluh askar Jepun sampai ke kampung Sungai Ramal, Kajang. Mereka
mencari keluarga Leftenan Adnan. Namun penduduk kampung telah berpakat tidak akan bekerjasama
dengan tentera Jepun. Mereka menyembunyikan keluarga Leftenan Adnan. Keberanian Leftenan
Adnan menjadi pencetus semangat anak-anak muda bagi menentang tentera Jepun. Ramai yang
menyertai pasukan pembebasan rakyat bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Bab 35: Perjuangan Belum Berakhir


Penduduk Pekan Sungai Ramal hidup dalam ketakutan dan kesusahan di bawah pemerintahan
Jepun. Peniaga-peniaga Cina menutup kedai kerana takut dengan keganasan Jepun. Penduduk
kampung yang menjadi mangsa, hidup dengan serba kekurangan. Rakyat terpaksa memakan ubi,
pisang dan apa saja yang boleh menjadi alas perut. Sophia dan anak-anaknya dijaga oleh ayahnya
iaitu Pakih Muda. Sophia diuji lagi dengan kematian anak perempuannya, Fatimah akibat demam
panas.
       Pada 15 Ogos 1945, Jepun telah menyerah kalah dan Tanah Melayu diperintah semula oleh
British. Rakyat telah kembali memulakan kehidupan baharu dengan mengerjakan ladang dan sawah
sebagai kegiatan harian. Sophia bekerja di sawah dan menoreh getah untuk menyara anak-anaknya.
Setelah Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal dibuka semula, Sophia telah ditawarkan semula
mengajar di sekolah itu. Pada hari pertama memulakan tugas di sekolah, Sophia telah berkenalan
dengan Ustaz Ridwan dan akhirnya mereka berdua telah berkahwin lalu menjadi pasangan suami 
isteri yang bahagia. Selepas empat tahun berkahwin, mereka telah berpindah ke Melaka. Sophia pula
disahkan menghidap penyakit leukimia.

Tema
Keberanian dan keperwiraan anak muda yang bernama Adnan bin Saidi dalam usaha untuk
mempertahankan negara ini daripada dijajah oleh orang asing.

Persoalan
1 Persoalan harapan seorang ayah terhadap anaknya.
Contoh: Ayah Leftenan Adnan iaitu Pak Saidi mempunyai harapan tinggi untuknya agar dapat menjadi
askar dan mempertahankan kedaulatan negara.
2 Persoalan semangat cinta akan negara.
Contoh: Leftenan Adnan yang bertugas sebagai guru sanggup meninggalkan kerjaya untuk memasuki
bidang ketenteraan demi mempertahankan tanah air.

3 Persoalan pengorbanan seorang isteri. Contoh: Isteri Leftenan Adanan iaitu Sophia sanggup
berkorban dengan berpisah daripada suaminya dan menjaga anak-anak.
4 Persoalan pandangan jauh seorang ketua keluarga.
Contoh: Ayah Leftenan Adnan iaitu Pak Saidi menyekolahkan Leftenan Adnan di sekolah Inggeris
walaupun anak-anak Melayu lain bersekolah pondok.

5 Persoalan kebijaksanaan menggunakan taktik dalam peperangan.


Contoh:  Leftenan Adnan bijak membaca helah tentera Jepun walaupun tentera Jepun menyamar
sebagai askar India dengan memakai turban ketika cuba menyerang askar Melayu.
WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama: Leftenan Adnan


Watak Sampingan: Pak Saidi, Sophia, Nordin, Samad, Jeneral A.E Percival, Leftenan Jeneral
Tomoyuki Yamashita dan sebagainya.

Leftenan Adnan

Fizikal
•Dilahirkan di kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor dan mendapat pendidikan di sekolah
Inggeris pekan Sungai Ramal.
•Anak sulung daripada tiga orang adik beradik.  Bapanya bernama Pak Saidi dan ibunya bernama
Mak Milah.
•Pernah menjadi guru pelatih sebelum memasuki bidang ketenteraan yang bertempat di Kem Latihan
Haig Lines Port Dickson.
Dalaman
•Berani
Contoh :  Leftenan Adnan berani berjuang menentang tentera Jepun sehingga titisan darah terakhir
walaupun tanpa senjata.

•Bijaksana.
Contoh : Leftenan Adnan bijak mengesan helah tentera Jepun yang menyamar sebagai tentera India
yang memakai turban ketika menyerang askar Melayu di Pasir Panjang.

• Patriotik
Contoh :  Laftenan Adnan yang bertugas sebagai guru sanggup meninggalkan kerjaya untuk
memasuki bidang ketenteraan demi cinta akan tanah air.

•Rajin
Contoh :  Leftenan Adnan rajin membantu ayahnya bekerja di sawah dan menoreh getah pada setiap
pagi walaupun baru berusia 10 tahun.

•Penyayang
Contoh :  Leftenan Adnan sangat sayang akan isterinya dan berasa sayu ketika ingin
meninggalkannya di Sungai Ramal sebelum dia berangkat ke Singapura untuk berjuang menyekat
kemaraan Jepun.
          
Watak Sampingan
Pak Saidi
•Mempunyai isteri yang bernama Mak Milah dan mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Adnan,
Ahmad dan Amarullah.
•Tinggal di Kampung Sungai Ramal dan bekerja sebagai pesawah.
•Berpandangan jauh
Contoh :  Seorang yang mementingkan pelajaran anak-anak dengan menghantar Adnan ke sekolah
Inggeris walaupun anak-anak kampung yang lain hanya bersekolah pondok.
•Bertanggungjawab
Contoh :  Setiap pagi  mengayuh basikal menghantar Adnan ke sekolah Inggeris sebelum pergi ke
sawah dan menjemputnya balik pada waktu tengahari.
•Rajin
Contoh :  Setiap pagi, dia menoreh getah dan mengerjakan sawah.

Sophia
Nama sebenarnya ialah Sophia Pakih Muda.
Isteri kepada Leftenan Adnan dan mempunyai 3 orang anak.
Seorang guru di sekolah Sungai Ramal sebelum berkahwin dan selepas kematian suaminya.
Penyayang
Contoh : Seorang yang sangat sayang akan suaminya.  Sophia menangis ketika hendak berpisah
dengan Leftenan Adnan sebelum berlepas ke Singapura.
Tabah
Contoh :  Tabah dengan kematian suaminya di Bukit Candu.
Bertanggungjawab
Contoh :  Menyara anak-anaknya sendiri setelah kematian suami dengan bekerja sebagai penoreh
getah dan pesawah sebelum menjadi guru semula.

Mamat
Sahabat baik Leftenan Adnan.
Menyertai pasukan askar Melayu.
1.Setia kawan
Contoh :  Tetap berkawan dengan Leftenan Adnan walaupun  Adnan dipulau oleh rakan-rakan yang
lain kerana bersekolah Inggeris.

PLOT 
Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat lima peringkat garapan plot
iaitu:

Permulaan
Pengarang menceritakan kehidupan Leftenan Adnan semasa kecil yang membesar bawah jagaan
bapanya Pak Saidi dan Mak Milah.  Adnan mendapat pendidkan awal di sekolah Inggeris di pekan
Sungai Ramal sebelum memasuki kem tentera di Port Dickson untuk melayakkannya menjadi askar
Melayu.  Dia berkahwin dengan Sophia dan mendapat tiga orang anak sebelum Perang Dunia Kedua.

Perkembangan
Perkembangan cerita bermula apabila Jepun mula mendarat di Kota Bharu dan tercetusnya Perang
Dunia Kedua.  Leftenan Adnan dan kumpulannya daripada Kompeni C diarahkan ke Pasir panjang
dan Bukir Candu  bagi menyekat kemaraan tentera Jepun yang ketika itu sudahpun berjaya
menguasai beberapa tempat di Tanah Melayu.  Pasir Panjang dan Bukit Candu merupakan laluan ke
Alexandria yang merupakan depot penyimpanan peluru dan hospital tentera.  Di Pasir Panjang,
pasukan Leftenan Adnan berjaya menembak mati beberapa orang tentera Jepun sehingga memaksa
tentera Jepun berundur.  Namun begitu, kedatangan semula pasukan tentera Jepun dengan bilangan
yang lebih ramai menyebabkan askar dalam Kompeni C berjuang bermati-matian sehingga kehabisan
peluru.

Klimaks
Pertahanan di Bukit Candu semakin meruncing kerana askar Melayu terus diasak oleh tentera Jepun. 
Askar Melayu terus berjuang dan tidak menyerah kalah.  Ketika itu peluru hampir habis dan banyak
askar Melayu terkorban sedangkan tentera Jepun semakin ramai menghampiri Bukit Candu.  Semua
askar Melayu terkorban dan Leftenan Adanan turut tercedera.  Tentera Jepun telah berjaya menawan
Leftenan Adnan lalu diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan
Leftenan Adnan yang cedera parah itu pada dahan pokok ceri lalu ditikam bertubi-tubi oleh setiap
tentera Jepun dengan bayonet sehingga mayatnya hancur.

Peleraian
Pada 15 Ogos 1945, Jepun telah menyerah kalah dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. 
Sophia membesarkan anak-anaknya dengan mengerjakan sawah dan menoreh getah sebelum
berkhidmat semula sebagai guru di sekolah Sungai Ramal.  Akhirnya, Sophia berkahwin dengan
Ustaz Ridwan dan berpindah ke Melaka.

Teknik plot
Pemerian
Contoh :  Pengarang menggambarkan watak utama iaitu Adnan yang menghunus keris kayu
pemberian ayahnya lalu menikam batang pisang.
Dia berlagak seperti Hang Tuah yang menikam musuhnya.  Pak Saidi yang baru pulang dari kebun
tersenyum melihat telatah anak sulungnya itu

Dialog
Contoh:
“Macamana belajar di sekolah orang putih?  Seronok?”, Tanya Mamat ingin tahu.  
Imbas Kembali
Contoh:
Koperal Yaakob menceritakan kepada penduduk kampung tentang pembunuhan kejam  Leftenan
Adnan yang digantung dengan kepala ke bawah di pokok ceri dan ditikam bertubi-tubi dengan
bayonet oleh tentera Jepun setelah kesihatannya pulih.

Imbas Muka
Contoh :
Semasa berbual-bual dengan Mamat, Leftenan Adnan menyatakan keinginannya untuk menjadi
seorang askar.  Beliau ingin menjadi askar kerana ingin menjaga negeri ini dan akan akan menembak
musuh yang datang.

Adnan membayangkan bagaimana rasanya apabila digigit kerengga.  Dia memang selalu digigit
kerengga apabila memanjat pokok buah-buahan.  Dan setiap kali digigit kerengga, pasti terasa
sakitnya.  Apatah lagi kalau digigit pada bahagian yang paling sulit.

Monolog Dalaman
Contoh :
Inilah Tok Mudin yang akan mengkhatankan aku, bisik hati Adnan.

Latar Tempat
1.Sungai Ramal.
Contoh : Tempat kelahiran Leftenan Adnan dan tempat Laftenan Adnan dibesarkan.
2.Kem Latihan Haig Lines Port Dickson
Contoh :  Tempat Leftenan Adnan menerima latihan ketenteraan.
3. Pasir panjang
Contoh :  Kompeni C di bawah pimpinan Leftenan Adnan memberi tentangan hebat terhadap tentera
Jepun sehingga tentera Jepun terpaksa berundur.
4.Bukit Candu
Contoh :  Leftenan Adnan terkorban dan mayatnya digantung di dahan pokok ceri.  Mayatnya
digantung dengan kepala ke bawah dan ditikam bertalu-talu oleh tentera Jepun.
5.Alexandria
Contoh :  Benteng terakhir tentera British yang diserang oleh tentera Jepun.

Latar Masa
Tahun 1937
Contoh:  Leftenan Adnan dinaikkan pangkat menjadi Sarjan dan pada tahun yang sama juga dia pergi
ke London untuk menyertai upacara pertabalan King George VI.
Tahun 1941
Contoh :  Jepun menjajah Tanah Melayu melalui jalan darat.
Waktu pagi.
Contoh :  Setiap pagi, sebelum pergi ke sawah Pak Saidi mengayuh basikal menghantar Adnan ke
sekolah Inggeris di pekan Sungai Ramal.
Waktu malam.
Contoh :  Kompeni C menerima perintah untuk bergerak ke Bukit Candu
Waktu petang.

Contoh :  Tentera Jepun melancarkan serangan berhelah dengan menyamar sebagai tentera India
yang berturban.

Latar Masyarakat
Masyarakat kampung.
Contoh :  Pak Saidi dan penduduk kampung menjalani kehidupan di Kampung Sungai Ramal yang
bergantung hidup dengan bersawah.
Masyarakat yang mementingkan ilmu.
Contoh :  Pak Saidi menghantar anaknya Adnan ke sekolah Inggeris untuk menjadi orang yang
berpelajaran.
Masyarakat yang berani.
Contoh :  Kompeni C askar Melayu berani berjuang menentang tentera Jepun sehingga titisan darah
terakhir walaupun dalam jumlah yang sedikit dan kehabisan peluru.
Masyarakat yang bijaksana.
Contoh :  Leftenan Adnan bijak mengesan helah tentera Jepun yang menyamar sebagai tentera India
yang memakai turban ketika menyerang askar Melayu di Pasir Panjang.

Nilai
1. Keberanian
Contohnya, Leftenan Adnan merupakan seorang anggota tentera yang memiliki keberanian yang luar
biasa.
2. Cinta akan negara
Contohnya, Leftenan Adnan sanggup melepaskan jawatan guru pelatih dan memohon untuk menjadi
tentera.
3. Kasih sayang
Contohnya, Leftenan Adnan amat menyayangi isterinya, Sophia dan dua orang anaknya, iaitu Mokhtar
dan Zainuddin.
4. Kerajinan
Contohnya, semasa di sekolah rendah lagi, Adnan rajin membantu ibu dan bapanya.
5. Amanah dan bertanggungjawab
Contohnya, Leftenan Adnan bekerja keras bukan kerana pangkat tetapi kewajipannya sebagai
seorang anggota tentera.

Pengajaran
1. Kita perlulah berani mempertahankan negara.
Contohnya, keberanian Leftenan Adnan dan askar Melayu yang lain ketika mempertahankan negara
menjadi buah mulut pihak rakan dan pihak musuh.
2. Kita perlulah memiliki semangat cinta akan negara yang tinggi.
Contohnya, perjuangan Leftenan Adnan dan askar Melayu membuktikan mereka memiliki semangat
cinta akan negara yang tinggi.
3. Kita perlulah memiliki wawasan dan berpandangan jauh.
Contohnya, Pak Said memilih sekolah beraliran Inggeris untuk anak-anaknya kerana dia sedar banyak
ilmu pengetahuan yang dapat ditimba di sana.
4. Kita perlulah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.
Contohnya, Pak Said rajin membaca hasil penulisan Syed Syeikh al-Hadi dalam majalah Al Imam dan
Risalah yang diterbitkannya.
5. Kita perlulah pasrah menerima ketentuan takdir.
Contohnya, Pak Saidi dan Mak Milah pasrahakan kehilangan dua orang anak mereka yang mati
dalam pertempuran dengan tentera Jepun.

You might also like