You are on page 1of 18

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/326543152

ISU SENSITIF BERKAITAN DENGAN KEPENGGUNAAN DALAM MASYARAKAT


MAJMUK DI MALAYSIA

Chapter · July 2012

CITATIONS READS

0 21,626

1 author:

Mohd Anuar Ramli


University of Malaya
339 PUBLICATIONS   355 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

PG218-2015B-PENGGUNAAN SUTUR DALAM BIDANG PERUBATAN HALAL: ANALISIS DARI PERSPEKTIF SAINS DAN ISLAM View project

WCP-2018 PENDEKATAN WASATIYYAH View project

All content following this page was uploaded by Mohd Anuar Ramli on 22 July 2018.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


ISU SENSITIF BERKAITAN DENGAN KEPENGGUNAAN DALAM
MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA
Mohammad Aizat Jamaludin & Mohd Anuar Ramli

PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Keunikan ini dapat digambarkan dengan
masyarakat majmuk. Kemajmukan bukan hanya melibatkan masyarakat berbilang kaum, ia
turut diwarnai dengan masyarakat yang berbeza kepercayaan dan agama serta berlainan
budaya. Ia digelar sebagai pentas miniatur Asia. Ini kerana dalam komposisi yang membentuk
masyarakat Malaysia, terdapat pelbagai kaum yang mempunyai akar peradaban Asia yang
kukuh, iaitu kaum Melayu, kaum Cina dan India. Setiap kaum mempunyai identiti budaya yang
tersendiri.
Identiti budaya ini termasuklah corak pemakanan atau lebih umumnya
kepenggunaan. Setiap masyarakat mempunyai kepercayaan dan pantang larang tersendiri,
yang mana ia berkait rapat dengan tradisi dan pegangan agama masing-masing. Setiapnya
ada perbezaan dan ciri-ciri yang tersendiri. Kadangkala ia bersifat kontradik antara satu
masyarakat dengan yang lain.
Sebagai contoh, dalam isu melibatkan khinzir dan derivatifnya, ia menimbulkan konflik
antara golongan Islam dengan bukan Islam. Dalam konteks masyarakat Malaysia, yang mana
pengenalan kaum seiring dengan status keagamaannya, isu khinzir melibatkan orang Melayu
dengan Cina. Bagi orang Melayu dan Islam, khinzir adalah binatang yang dilarang dan ia jelas
termaktub di dalam al-Qur’an, sedangkan bagi orang Cina, tradisinya amat menggemari
makanan berasaskan khinzir.
Begitu juga dengan isu binatang lembu, yang mana menimbulkan konflik antara orang
Islam dan penganut Hindu ataupun, orang Melayu dengan orang India. Bagi orang Melayu
dan Islam, lembu adalah binatang yang halal, boleh disembelih dan makan serta dapat
dijadikan haiwan qurban pada musim perayaan Aidil Adha, sedangkan bagi penganut Hindu,
lembu adalah binatang suci, tidak boleh disembelih ataupun dimakan.
Kontradiksi dalam budaya kepenggunaan ini kadangkala menimbulkan rasa tidak
puas hati, malah timbul konflik apabila ia dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu.
Sehubungan dengan itu, setiap pihak perlu menanamkan sikap saling hormat-menghormati
terutama dalam menjaga sensitiviti setiap kaum agar masyarakat majmuk di Malaysia dapat
terus hidup dalam suasana aman lagi harmoni.

LATAR BELAKANG MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA

Negara-bangsa Malaysia telah lahir dan berkembang dalam satu suasana budaya dan
peradaban Melayu yang ditunjangi oleh sifat Melayu Islam selama hampir 1000 tahun.
Landskap budaya ini diwarnai pula oleh golongan pendatang terutama pada abad ke-19M dan
ke-20M dan keturunan mereka yang telah bermastautin dan menjadikan negara dan wilayah
ini sebagai tanah air mereka (Musa, 2002).
Secara umumnya, masyarakat Malaysia telah mengalami hubungan budaya (cultural
contact) dengan kebudayaan India (Hindu-Buddha) sejak 1500 tahun yang lalu, Arab-Parsi
(Islam) sejak 800 tahun lalu dan pengaruh Barat sejak 500 tahun yang lampau (Bakar, 1985).
Pada dasarnya, masyarakat Malaysia yang ada telah ditentukan oleh proses sejarah
khususnya kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu. Melalui dasar “pintu terbuka”,
Tanah Melayu menjadi tumpuan golongan imigran dari China, India dan Indonesia (Abraham,
1997). Aliran penduduk ini merupakan asas utama terdapatnya komposisi ras dan etnik di
negara-negara yang pernah dijajah.
J.S. Furnivall menyarankan idea bahawa dalam masyarakat majmuk terdapat
beberapa masyarakat yang tinggal sebelah menyebelah di dalam satu unit politik yang sama
tetapi dalam beberapa hal, hidup mereka terpisah. Setiap masyarakat mempunyai
kepercayaan agama, kebudayaan, bahasa, idea dan cara hidup yang tersendiri.
Pembahagian masyarakat atau kaum ini berlanjutan dalam sektor ekonomi di mana terdapat
pembahagian jenis pekerjaan berasaskan bangsa (Furnivall, 1967). Pendek kata, masyarakat
majmuk yang berkembang di dalam masyarakat Malaysia boleh dilihat dalam empat dimensi
iaitu politik, ekonomi, sosial dan budaya.
Bangsa Melayu merupakan penduduk asal dan teras kepada bangsa Malaysia.
Menurut Abdul Halim Othman, terdapat empat tahap pembentukan identiti etnik Melayu di
Malaysia. Pertama, di antara 1874M-1920M, etnik Melayu merupakan bumiputera Melayu
pelbagai negeri seperti Terengganu, Kedah dan lain-lain. Kedua, antara tahun 1920M-1942M
mengandungi kelompok tambahan dari Indonesia seperti Jawa, Boyan dan lain-lain. Tahun
1948M ke atas mengandungi orang Arab, India dan Cina Muslim. Peringkat terakhir selepas
1961M mengandungi kelompok tambahan dari kalangan orang Asli dan kaum Bumiputera
timur Malaysia (Othman, 1978). Dengan itu, etnik Melayu diperkuatkan oleh kehadiran imigran
dari kepulauan Indonesia dan selatan Thailand dan diperkayakan oleh pemelayuan
keturunan Arab dan India. Menjadi suatu realiti yang berkembang dapat membantu
kelangsungan kaum Melayu dalam perubahan demografik yang membimbangkan.
Kemasukan beramai-ramai orang Cina ke Tanah Melayu berlaku dalam jangka masa
antara 1870M-1939M. Kebanyakannya berasal dari kawasan Kwantung, Fukien dan Kwangsi.
Terdapat sembilan bahasa utama, iaitu Hokkien (penduduk Amoy dan pedalaman) yang
dominan, diikuti Kantonis yang kedua terbesar, Hakka (Kheh) yang berasal dari barat selatan
Fukien, Tiechiu dari Swatow, Hainan (Hailam) dari pulau Hainan, Kwongsai dari tengah dan
barat bahagian Kwangsi, Hokchiu dari pulau bandar Foochow serta pedalaman Fukien,
Hokchia dari kawasan kecil di bawah Foochow dan Henghua dari bahagian Fukien utara
Chuanchow. Kebanjiran imigran dari negara China adalah refleksi kemelesetan yang teruk
serta peperangan dan polisi kerajaan British di Tanah Melayu. Bentuk keagamaan
masyarakat Cina di Tanah Melayu sama seperti di negara China walaupun terdapat beberapa
modifikasi kesan hubungan dengan realiti tempatan. Konfusianisme, Taoisme dan Buddha
merupakan tiga kepercayaan utama (Purcell, 1975).
Perkembangan sektor perladangan momentum kemasukan buruh dari India. Imigrasi
India bermula dalam jangka masa 1857M-1938M melalui tiga cara, iaitu buruh kontrak, sistem
Kangany dan buruh bebas. Proses imigrasi ini adalah fenomena India selatan. Kumpulan
yang bertutur bahasa Tamil merupakan komposisi yang terbesar diikuti Malayalam yang
banyak bekerja di bandar sebagai buruh berbanding di estet. Selain itu, terdapat kumpulan
kecil India Muslim dan Punjabi (Sikh) dari utara India terlibat dalam pasukan keselamatan dan
pekerjaan komersial serta kewangan di bandar. Agama Hindu merupakan agama utama
imigran India (Arasaratnam, 1970).
Selain pendatang dari negara China dan India, Tanah Melayu juga menjadi tumpuan
imigran etnik Indonesia. Populasi Indonesia didominasi oleh etnik Jawa dan Banjar diikuti
Sumatera (etnik Minangkabau, Mandailing, Kerinchi dan lain-lain), Boyan dan Bugis (Othman,
1970). Imigrasi pelbagai etnik dari kepulauan Indonesia kemudiannya menjadi sebahagian
populasi homogen bangsa Melayu kerana persamaan keagamaan selain untuk mengimbangi
komposisi heterogen kaum imigran dari China serta India dan juga kekuatan politik dan
ekonomi bagi orang Melayu. Ini disebabkan pada tahun 1931M sebelum Perang Dunia II,
populasi golongan pendatang melebihi orang Melayu (Jen, 1982).
Justeru, masyarakat Malaysia hari ini telah melalui proses interaksi sosio-budaya
yang berlangsung dengan baik. Dalam proses interaksi ini, ada yang berbentuk penyesuaian,
peminjaman malah ada persaingan. Walaupun orang Cina bersusur galur dari tanah besar
China dan orang India dari benua India, namun mereka cuba untuk menyesuaikan diri dengan
budaya tempatan, walaupun tidak mengalami asimilasi seperti etnik Baba dan Nyonya.
Senario ini berlaku kerana ketika kehadiran imigran dari luar, budaya Melayu mengalami
zaman kegelapan dalam iklim penjajahan Barat, hinggalah kemerdekaan negara. Berbanding
dengan etnik Baba Nyonya, kehadiran mereka ketika mana budaya dan peradaban Melayu
berada di kemuncak. Hasil dominasi budaya Melayu, etnik Cina asalnya mengalami proses
asimilasi struktur, natijahnya lahir etnik Baba Nyonya seperti yang ada di Melaka pada hari ini.
Keadaan ini selaras dengan karakter sesebuah masyarakat itu sendiri, yang mana
masyarakat dominan akan menguasai masyarakat yang subordinat. Namun kini, setiap
masyarakat mengekalkan identiti budaya masing-masing. Dalam konteks masyarakat majmuk
di Malaysia, mereka dapat hidup dengan harmoni dan dapat mengamalkan cara hidup
masing-masing di dalam sebuah negara, tanpa penekanan dan pemaksaan unsur keagamaan
dan perkauman, sebaliknya berasaskan konsensus nilai yang sama, neutral dan universal
(Muzaffar, 2001). Sejajar dengan itu, lahir cita rasa makanan lintas budaya (cross-culture
food) yang mana ada unsur peminjaman serta perkongsian antara satu sama lain.
Menurut Taib Osman, asas cara hidup ala-Malaysia telah lama wujud (Osman, 1988).
Dari segi makanan, masyarakat Malaysia dapat menerima capati, nasi lemak, roti canai,
maruku, tosei, kuew teau, tauhu, steam boat tanpa sebarang masalah. Setiap kaum dapat
menerima budaya pemakanan kaum lain tanpa halangan. Ini merupakan satu interaksi positif
dan ia dapat membentuk perpaduan menerusi aspek pemakanan. Walaupun begitu, realiti
hari ini menzahirkan bahawa wujud juga isu-isu sensitif berhubungkait dengan kepenggunaan
umumnya dan pemakanan khususnya. Isu ini walaupun tidak menimbukan konflik serta
rusuhan kaum dan agama, ia wajar dielakkan oleh semua pihak yang terlibat bagi menjaga
keharmonian kaum dan kedamaian negara.

ISU-ISU SENSITIF BERKAITAN KEPENGGUNAAN DALAM MASYARAKAT MALAYSIA

Polemik berasaskan kepenggunaan terutama dalam membincangkan makanan dan


pemakanan tidak pernah susut walaupun masa dan keadaan sentiasa berubah (Rahman,
2009). Boleh dikatakan hampir saban tahun pelbagai isu berkaitan dengan kepenggunaan
timbul dalam masyarakat Malaysia terutamanya melibatkan pengguna Muslim. Di Malaysia,
isu-isu yang berkaitan kepenggunaan sangat memberi kesan dan sensitif di kalangan
pengguna Muslim.
Di antara isu tersebut adalah melibatkan khinzir seperti ternakan ikan yang diberi
makan organ dalamannya, tumbuhan yang dibajai dengan najis, sosej yang diperolehi
daripada usus, lemak yang digunakan sebagai bahan tambah, DNA khinzir dalam produk
berasaskan surimi, gelatin dalam ubatan dan derivatifnya yang lain dalam produk gunaan
semasa. Selain itu, terdapat juga isu kepenggunaan bersumberkan khinzir dalam produk
bukan makanan seperti berus, karbon penapis air, seramik dan seumpamanya.
Kebimbangan pengguna Muslim berhubung isu tersebut bukan hanya melibatkan
sumber daripada khinzir, malah dalam aspek sumber lain seperti percampuran plasma darah
serta alkohol yang tidak menepati piawaian yang dibenarkan dalam makanan. Di samping itu,
isu lain yang turut membelenggu pengguna Muslim adalah penyembelihan haiwan halal yang
tidak mengikut syariat Islam dan penyalahgunaan logo halal dalam produk barangan gunaan
yang tidak diberi sijil Halal oleh JAKIM. Berasaskan isu-isu tersebut, berikut huraian ringkas
bagi menjelaskan dengan lebih jelas.

1) Ternakan Ikan Yang Diberi Makan Organ Khinzir

Sekitar tahun 2006, masyarakat Malaysia digemparkan dengan isu ternakan ikan yang diberi
makan makanan bersumberkan khinzir dan derivatifnya. Malah sehingga kini isu tersebut
tetap dibincangkan walaupun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia telah
menggariskan panduan yang jelas tentang persoalan tersebut. 1 Berdasarkan laporan-laporan
akhbar yang telah dibuat, aktiviti penternakan ikan tersebut banyak dilakukan di beberapa
kawasan bekas lombong sekitar Batu Gajah, Tronoh dan Papan di negeri Perak, Negeri
Sembilan, Johor dan dibeberapa buah tempat yang lain di Malaysia. 2
Modus operandi yang dilakukan oleh penternak-penternak ini adalah
memaksimumkan penggunaan kawasan yang dimiliki untuk beberapa tujuan tertentu. Sebagai
contoh, kebanyakan penternak akan menternak khinzir di satu bahagian kawasannya
manakala dua bahagian yang lain akan digunakan untuk menternak ikan dan penanaman
buan-buahan atau sayuran.
Dalam hal ini, penternak khinzir akan memanfaatkan najis dan hasilan khinzir seperti
organ dalaman yang kemudiannya direbus lalu dijadikan sebagai bahan makan kepada
ternakan ikan. Antara ternakan ikan tersebut adalah keli, patin, talapia dan seumpamanya.

1 Lihat lebih lanjut dalam www.e-fatwa.gov.my berhubung status ikan yang diberi makan najis.
2 Harian Metro, 18 Januari 2006; Utusan Malaysia, 18 Januari 2006.
Kemudiannya, air najis daripada ladang ternakan khinzir akan dialirkan ke dalam kolam
ternakan ikan sebagai medium penyucian air sebelum dilepaskan ke sungai berhampiran.
Setelah itu, air kolam ternakan ikan dipam kembali untuk disalurkan ke ladang tanaman buah-
buahan dan sayuran.
Oleh kerana itu, tindakan segelintir pihak yang mementingkan keuntungan tanpa
memikirkan sensitiviti pengguna Muslim perlu dibendung dengan tindakan yang sewajarnya.
Malah, kebimbangan ini disuarakan juga oleh sebilangan pengguna bukan Muslim terhadap
aspek pencemaran alam sekitar hasil daripada sisa kumbahan ternakan haiwan yang tidak
dikawal dan mematuhi piawaian pihak berkuasa tempatan.

2) Sosej Daripada Usus Khinzir

Sikap pengusaha makanan dalam industri Halal yang tidak beretika juga perlu dibendung
apabila ia melibatkan sensitiviti sesetengah pihak. Hal ini dapat dikesan apabila terdapat
sebilangan pengusaha makanan yang menghasilkan sarung kulit sosej (casing) daripada usus
khinzir. Penggunaan kulit sosej daripada sumber ini lebih murah dan mudah didapati
berbanding bersumberkan haiwan halal seperti lembu dan kambing.
Pada awal pertengahan tahun 2005, dua buah kilang dilaporkan telah diserbu di
sekitar kompleks dan pasar borong di Selayang oleh pihak berkuasa terhadap penggunaan
usus khinzir di dalam sarung kulit sosej dan penyalahgunaan logo halal terhadap produk
halal.3 Hasil pemeriksaan tersebut, pihak berkuasa telah merampas 200 kotak berisi sosej,
kotak kosong dengan logo ‘halal’ yang tidak sah, pelekat dan sarung plastik. Disamping itu,
kedua-dua buah kilang tersebut merupakan pembekal utama sosej kepada kira-kira 56 pasar
raya dan hotel terkemuka sekitar Lembah Klang.

Walaupun hasil analisis makmal mendapati kilang tersebut bersih daripada tuduhan
yang dikatakan menggunakan sumber usus daripada khinzir, 4 persepsi masyarakat terhadap
percampuran bahan yang dikategorikan sebagai haram atau meragukan adalah
membimbangkan. Berdasarkan laporan analisis makmal menunjukkan tiada unsur khinzir
dalam sosej sebagaimana didakwa. Malah, ujian Deoxyribonucleic acid (DNA) itu mendapati
empat contoh sarung sosej itu dibuat daripada sumber bebiri, satu daripada tumbuh-
tumbuhan, tiga contoh sosej tanpa sarung daripada sumber ayam, manakala tiga sosej

3 Utusan Malaysia dan Berita Harian, Mei 2005.


4 Berita Harian, 29 Mac 2005.
bersarung daripada sumber ayam dan bebiri. Walaupun begitu, pengilang tersebut tetap
dikenakan pendakwaan di atas penyalahgunaan logo halal pada produk halal yang telah
tamat tempoh. Hal ini boleh mencetuskan rasa sensitiviti pengguna Muslim sebagai pengguna
majoriti di Malaysia.

3) Penggunaan Lemak Khinzir dalam Shortening dan Bahan Masakan

Selain itu, lemak daripada haiwan turut digunakan sebagai bahan tambah (additive food)
dalam makanan. Ia berfungsi sebagai agen emulsifier, lelemak (shortening), agen pewarna,
pengikat air serta minyak dan seumpamanya dalam produk seperti coklat, aiskrim, pastri, kek
dan sebagainya. Sumber lemak tersebut dapat diperolehi daripada dua bahan utama iaitu
haiwan dan tumbuhan. Bagi kategori haiwan, ia terdiri daripada sumber haiwan halal serta
disembelih dan haiwan yang diharamkan mengikut perundangan Islam.
Asasnya, lemak dan minyak yang bersumberkan haiwan halal dan tumbuhan
dibenarkan dan tidak menimbulkan kebimbangan dikalangan pengguna Muslim. Ia berbeza
daripada lemak yang bersumberkan khinzir (lard). Ini kerana penggunaan lemak daripada
khinzir dalam produk makanan dan bahan masakan sering kali dilaporkan dalam akhbar-
akhbar tempatan.
Berdasarkan laporan akhbar pada bulan September 2o1o, sebuah syarikat pengilang
minyak sapi jenama QBB Pure Ghee telah ditarik balik status halalnya oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 19 Ogos tahun yang sama kerana didapati
mengandungi elemen yang meragukan dipercayai bersumberkan lemak daripada khinzir
(lard).5 Walaupun begitu, setelah kajian dilakukan oleh pihak berkuasa didapati produk QBB
disahkan halal dan suci daripada elemen yang meragukan. 6

4) Gelatin Khinzir Dalam Makanan dan Kapsul Ubatan

Penggunaan gelatin begitu meluas di dalam industri sehingga mendapat perhatian dikalangan
pengguna. Kajian oleh Gelatine Manufacturers of Europe (GME) menunjukkan 46% sumber
gelatin diekstrak daripada sumber khinzir.7 Selain itu, ia juga diperolehi daripada sumber yang

5 Berita Harian, 4 September 2010.


6 Berita Harian, 11 November 2010.
7 Lihat lebih lanjut dalam http://www.gelatine.org/en/about-gelatine/manufacturing/raw-materials.html [Dilayari
pada 05-07-2011]
lain seperti ikan, lembu, biri-biri dan ayam. Malah terdapat juga penggunaan gelatin yang
diekstrak daripada plasenta manusia dan seumpamanya.
Disebabkan ciri-ciri gelatin yang unik, ia banyak digunakan secara meluas didalam
pelbagai aspek kepenggunaan. Penggunaan gelatin bukan sahaja melibatkan bidang
makanan, malah terdapat juga dalam bukan makanan. Sebagai contoh, gelatin digunakan
sebagai bahan asas pembuatan kapsul dalam ubat-ubatan.
Di dalam industri makanan, gelatin banyak digunakan di dalam produk-produk seperti
konfeksi khasnya untuk membaiki tekstur, kestabilan buih dan keboleh-kunyahan. Di dalam
produk tenusu ia digunakan untuk meningkatkan kestabilan dan tekstur. Selain itu, gelatin
dalam produk bakeri berfungsi sebagai pengemulsi, agen pengelan dan penstabil. Malah
gelatin digunakan dalam produk daging untuk meningkatkan kadar pegangan air dan
penstabil tekstur (Karim & Bhat, 2009).
Timbul beberapa isu berasaskan gelatin bersumberkan khinzir dalam bahan makanan
dan produk farmaseutikal. Sebagai contoh, gelatin dalam makanan digunakan sebagai agen
pengenyal bagi produk seperti gummies buah-buahan, agen pengemulsi bagi produk keju,
dadih dan yogurt dan agen penjernih bagi menghalang rasa, bau dan warna yang tidak
diingini dalam minuman. Di Malaysia, masyarakat pernah didedahkan dengan laporan
penemuan gelatin daripada khinzir dalam produk jeli dan seumpamanya. Hal ini terutama
apabila jeli tersebut dimport daripada luar negara yang mana status bahan ramuannya banyak
bersumberkan khinzir dan derivatifnya.
Bagi penggunaan gelatin dalam produk farmesutikal, ia digunakan sebagai
pembinaan dinding kapsul keras, pemplastik bagi mengekalkan keelastikan kapsul lembut dan
pengganti plasma darah yang hilang jika tiada darah sebenar. Terdapat beberapa isu
berkaitan penggunaan gelatin daripada khinzir dalam produk farmaseutikal pernah dilaporkan
oleh akhbar-akhbar tempatan. 8 Berikutan tersebut, senario ini telah menimbulkan
kebimbangan pengguna Muslim dalam memilih produk farmaseutikal yang diyakini kesucian
dan halal. Sejajar dengan itu, pihak berkuasa telah mengambil inisiatif dengan melakukan
beberapa analisis makmal yang lebih komprehensif terhadap produk yang terdapat dalam
pasaran semasa.

8 “Ubat ada gelatin babi dijual di kaunter tertutup”. Berita Harian, 6 Mac 2011 dan Kosmo, 4 Julai 2011.
5) Penggunaan Tulang Babi Dalam Penapis Air Dan Seramik

Selain penggunaan khinzir dalam makanan, tulang turut digunakan sebagai bahan penapis air
dan agen percampuran dengan produk-produk seramik. Sebagai contoh, terdapat laporan
yang menyatakan katrij sistem penapis air diperolehi daripada tulang khinzir yang
dihancurkan, diproses secara mampatan serta dibentuk seperti tiub untuk dipasang pada katrij
sistem penapis air. Ia digunakan sebagai bahan awal yang menyaring bahan lumpur, lumut,
mikro-organisma dan bahan-bahan cemar yang besar sebelum melalui proses penyaringan
berikutnya. Hal ini menimbulkan kegelisahan dikalangan pengguna Muslim. Penggunaan katrij
daripada sumber ini lebih murah dan mudah diperolehi daripada sumber bahan yang halal.
Disamping itu, set pinggan yang disebut sebagai fine bone China adalah merupakan
di antara produk yang efektif dan mudah didapati dalam pasaran. Barangan seramik ini
dikatakan kuat, keras, tidak mudah pecah dan kelihatan berkilat serta keputihan. Ciri-ciri
keputihan inilah yang membezakannya dengan pinggan mangkuk biasa. Dalam proses
pembuatan barangan seramik ini, campuran adunan porselin dengan 40-50% daripada abu
tulang. Ia bertindak sebagai bahan pemutih dan menguatkan porselin sekaligus
mengurangkan suhu pembakaran sehingga 150° – 200°C.
Kebiasaannya, abu tulang diperolehi daripada tulang binatang yang dibakar dan
dikisar. Seterusnya tisu dibuang daripada tulang dan dibakar pada kadar suhu 1000° C.
Setelah itu, abu yang telah terbentuk ditumbuk sehingga menjadi serbuk dan dicampurkan
dengan air sebelum ditambah ke dalam ramuan lain porselin. Di antara jenama pinggan
mangkuk yang terkenal adalah Noritake dan Wedgewood.
Di Malaysia, di antara pengeluar terkenal dalam barangan seramik adalah syarikat
pengilang Claytan Group. Sekitar tahun 90-an, syarikat ini pernah dilabel menggunakan abu
tulang bersumberkan daripada khinzir. Walaubagaimanapun, hal tersebut disangkal oleh
pemilik syarikat berkenaan bahawa kesemua produknya adalah bebas daripada campuran
abu tulang daripada khinzir malah menggunakan sebatian percampuran yang tidak
memudaratkan.
Namun begitu, masyarakat Malaysia terutama pengguna Muslim perlu peka dan
berwaspada dengan penggunaan tulang berasaskan khinzir terutamanya produk import
daripada negara luar. Adalah disarankan para pengguna menggunakan barangan seramik
daripada tembikar dan kaca melainkan produk berasaskan tulang tersebut telah diyakini halal
dan suci.
6) Penggunaan Bulu khinzir Dalam Berus

Penggunaan derivatif khinzir dalam barangan gunaan termasuklah bulu. Hal ini jelas dalam
pembuatan berus lukisan, berus cat, berus menggosok kasut dan songkok, berus gigi, berus
cukuran, berus menyapu kek dan seumpamanya. Ia digunakan secara meluas dan mudah
didapati disebabkan kos pembuatannya yang lebih murah berbanding bulu yang dihasilkan
daripada binatang lain seperti kuda dan keladai.
Kebiasaanya, berus yang diperbuat daripada sumber berasaskan khinzir disebut
sebagai ‘Pure Bristle’. Didapati Bristle daripada wilayah Chungking China adalah yang terbaik
untuk digunakan untuk mengecat. Untuk tujuan itu, bulu khinzir hutan digunakan kerana ia
mempunyai daya kelikatan cat yang lebih baik berbanding bahan-bahan sintetik lain seperti
nilon.
Beberapa kaedah telah dikenalpasti bagi mengetahui keadaan bulu bersumberkan
khinzir samada secara fizikal dan penggunaan bahan kimia. Secara fizikalnya, bulu khinzir
mempunyai sifat yang unik iaitu mempunyai tiga cabang dihujungnya (flagged tips) dan
bersifat lebih keras (stout bristle hairs). Begitu juga, apabila dibakar menghasilkan bau yang
sama seperti bau rambut manusia. Ini berbeza dengan berus bersumberkan bulu kambing
atau biri-biri yang banyak digunakan untuk kaligrafi. Hujungnya tidak bercabang seperti bulu
khinzir bahkan bulu kambing atau biri-biri ini mempunyai hujung yang tajam.

7) Penggunaan Plasma Darah Dalam Makanan

Lambakan sisa buangan daripada rumah sembelihan seperti darah turut digunakan sebagai
sumber bahan yang diproses kembali untuk tujuan pemprosesan produk baru. Sebagai
contoh, penggunaan enzim transglutaminase dan serbuk plasma adalah di antara bahan
penambah makanan (additive food) yang bersumberkan daripada darah. Ini kerana enzim
transglutaminase mempunyai kemampuan melarut dan mengemulsi yang tinggi, kelikatan
yang rendah serta kemampuan untuk membentuk gel-gel yang kuat, mudah melentur serta
dapat mengekalkan ciri-ciri tersebut. Selain itu, ia boleh menambah tekstur dalam produk
makanan diproses seperti daging dan ikan.
Manakala penggunaan protein plasma darah bersumberkan bekalan darah dari
rumah sembelihan diempar (centrifuged) untuk menyingkirkan platelet darah (yang
memberikan warna merah kepada darah). Seterusnya yang tinggal adalah plasma darah iaitu
cecair berwarna kuning air yang kemudiannya dikeringkan secara semburan dan digunakan
sebagai sumber protein. Sumber darah ini datangnya daripada haiwan seperti lembu,
kambing, ayam dan sebagainya.
Penggunaan plasma darah dalam makanan seperti produk surimi yang terdiri
daripada bebola ikan, bebola ketam dan seumpamanya adalah di antara polemik yang sering
dibincangkan dalam masyarakat Malaysia. Hal ini kerana, sehingga kini penggunaannya
masih meluas apabila kos mendapatkannya lebih murah dan mudah diperolehi dalam
pasaran.

8) Penyembelihan Yang Tidak Ikut Syariat

Salah satu pra syarat utama haiwan halal bagi pengguna Muslim apabila hendak di makan
mestilah disembelih mengikut hukum syarak. Empat asas utama perlu diteliti iaitu halkum,
mari’, karotid arteri dan jugular vein perlu dipastikan sempurna sembelihannya. Selain itu,
beberapa syarat lain perlu dititik beratkan seperti keadaan kesihatan haiwan, persekitaran,
alat pemprosesan dan seumpamanya juga membantu memastikan haiwan yang disembelih
bersih dan suci. Hal ini berbebeza apabila haiwan yang tidak memenuhi garis panduan
tersebut disebut sebagai haram dan tidak dibenarkan untuk di makan.
Soal haiwan yang tidak disembelih mengikut syariat pernah dilaporkan oleh akhbar
tempatan apabila haiwan tersebut tidak sempurna potongan sembelihannya. Malah terdapat
juga haiwan tersebut mati bukan disebabkan disembelih tetapi disebabkan faktor lain seperti
lemas, terseksa dan sebagainya.
Pada tahun 2003 dan penghujung 2009, masyarakat digemparkan dengan
pemeriksaan mengejut oleh pihak berkuasa terhadap rumah-rumah sembelihan di sekitar
lembah Klang.9 Di antara tempat yang diserbu adalah di rumah sembelihan ayam, kampung
Sg. Kayu Ara, Damansara dan sekitar Selayang. Hasil pemeriksaan mendapati rumah
sembelihan tersebut tidak memperolehi sijil sah untuk menjalankan penyembelihan halal dan
keadaan persekitarannya yang kotor. Begitu juga, ayam yang telah disembelih oleh
penyembelih yang tidak bertauliah dan tidak mengamalkan amalan kebersihan yang
ditetapkan. Selain itu, terdapat juga sebilangan ayam yang mati disebabkan lemas di dalam
air panas selepas penyembelihan dilakukan dan mencampurkan haiwan yang halal
disembelih dan tidak halal sekaligus di atas lantai.

9 Mat Gian sembelih Ayam, Harian Metro, 19 Januari 2003 & 9 Disember 2009.
9) Penggunaan Alkohol Dalam Masakan/Kek

Dalam industri pemprosesan makanan, alkohol merupakan di antara bahan pelarut yang
penting selain air. Ia banyak digunakan sebagai perasa tambahan dalam makanan seperti
kek, masakan makanan laut dan seumpamanya (Joslyn, 1963). Dalam penghasilan perasa
makanan, bahan yang dipanggil sebagai minyak essential dilarutkan dalam alkohol dengan
tujuan supaya tahan lebih lama serta mampu mengekalkan bauannya. Selain itu, dalam
penghasilan produk makanan seperti kek biasanya ia disapu atau dicampur untuk
menghasilkan kek yang lebih bermutu. Begitu juga dalam industri penternakan, alkohol juga
digunakan untuk menambah kualiti daging. Contohnya, lembu Kobe. 10 Ia diberi minum sake,
diperdengarkan muzik dan dinamakan sebagai Wagyu.
Tambahan pula, dalam penghasilan kek terdapat wain yang disapu atau dicampur
pada doh asalnya. Kandungan alkohol dalam wain berbeza mengikut jenis yang mana
julatnya adalah di antara 6 hingga 21%. Percampuran ini berlaku sama ada secara internal
atau external pada kandungan asal doh tersebut. Isu berkaitan dengan alkohol dalam produk
makanan sentiasa dibincangkan apabila tiada piawaian yang tepat berhubung dengan
persoalan tersebut. Hal ini kerana, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
hanya menggariskan panduan umum, iaitu hanya sedikit sahaja tidak memabukkan. 11
Disebabkan tiada satu garis panduan yang jelas, timbul beberapa isu berkaitan
alkohol dalam produk gunaan semasa di Malaysia. Sebagai contoh, akhbar pernah
melaporkan terdapat kandungan alkohol di dalam perisa minuman segera atau produk
pemeraman seperti coca-cola, perisa vanilla, tapai dan minuman Istak serta Barbican yang
melebihi piawaian yang dibenarkan. 12 Begitu juga, penggunaan alkohol dalam produk gunaan
lain bukan makanan seperti kosmetik dan ubat-ubatan.

10) Penggunaan DNA khinzir sebagai bahan tambah makanan dan produk meatball di
IKEA

Pada bulan Mei 2011, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui kenyataan laman
web miliknya menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei 2011 telah memutuskan

10 Lihat Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Perak (2006), “Daging Kobe Gred Dunia Keluaran Malaysia”,
www.jphpk.gov.my.
11 Alkohol sebagai penstabil minuman ringan. Lihat lebih lanjut dalam www.e-fatwa.gov.my [Dilayari pada
28.9.2011]
12 Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (2006), Op. cit., hlm. 175-178.
permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA
khinzir dalam produk Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat
berkenaan.13 Hal ini telah menimbulkan kerisauan dikalangan pengguna Muslim kepada
sebuah syarikat yang terkenal iaitu Secret Recipe Malaysia apabila dikaitkan dengan
penemuan bahan ramuan tersebut.
Namun begitu, hal ini disanggah oleh pegawai halal syarikat berkenaan yang
menyatakan keraguan timbul apabila syarikat Puratos Sdn. Bhd. menggunakan nama secret
recipe pada bahan ramuan mereka. Pihak syarikat terbabit juga menyatakan dengan jelas
semua bahan ramuan yang digunakan adalah suci dan mendapat sijil Halal daripada pihak
berkuasa, JAKIM.
Hal ini turut dikesan apabila sekitar bulan Mei 2011, akhbar melaporkan terdapat DNA
khinzir di dalam produk surimi seperti bebola daging di medan selera IKEA, Damansara.
Sehinggakan premis tersebut terpaksa ditutup bagi satu tempoh tertentu untuk tujuan
pembersihan dan penyamakan.

Berasaskan huraian yang telah dibincangkan di atas, jelas menunjukkan pelbagai isu
berkaitan kepenggunaan dalam masyarakat timbul terutama melibatkan pengguna Muslim di
dalam pasaran semasa. Polemik perbincangan ini bukan sahaja melibatkan produk gunaan
berasaskan makanan malah bukan makanan. Ini disebabkan kurangnya kesedaran
dikalangan pengguna dan pengusaha dalam menitik beratkan sensitiviti masyarakat sekeliling
terhadap pengambilan barangan gunaan harian. Justeru itu, sikap pengguna yang
berpengetahuan dan pengusaha yang beretika perlu diterapkan dalam masayarakat Malaysia
khususnya supaya amalan percampuran bahan halal dengan bahan yang haram dapat
dibendung dengan sewajarnya.

PENYELESAIAN KEPADA ISU SENSITIF DALAM KEPENGGUNAAN

Tidak dapat dinafikan, isu sensitif yang timbul dalam masyarakat Malaysia dapat membibitkan
rasa prejudis serta kecurigaan antara kaum dan agama. Perasaan ini perlu ditangani dengan
berhemah agar tidak terus membarah dalam masyarakat. Di antara penyelesaian yang boleh
diguna pakai adalah:

13 JAKIM tidak memberikan sijil halal kepada Syarikat Puratos Sdn. Bhd. kerana bahan ramuan mereka yang
meragukan. Lihat lebih lanjut dalam www.halal.gov.my [Dilayari pada
1. Mempromosikan program kesedaran halal (halal awareness) kalangan pengusaha
industri khususnya dan khalayak pengguna amnya. Pengenalan kepada konsep
halalan toyyiba (halal lagi baik) adalah perlu memandangkan ia asas kepada
kepenggunaan bagi masyarakat Islam. Begitu juga bagi masyarakat bukan Islam,
mereka turut mempunyai peraturan yang tertentu dalam aspek kepenggunaan, lebih-
lebih lagi pemakanan. Penanaman kesedaran halal ini dapat memberi maklumat
kepada pengusaha bukan Islam khususnya dalam aspek penyediaan barangan
pengguna yang berkait dengan umat Islam.

2. Mengetatkan prosedur kelulusan sijil halal kepada pengusaha industri. Dengan kata
lain, Akta Halal perlu dikuatkuasakan untuk mengelakkan sikap sambil lewa
pengusaha industri makanan khususnya dalam mengabaikan aspek halal tayyiban.
Begitu juga dengan mewajibkan perjawatan Eksekutif Halal dalam syarikat-syarikat
pemegang sijil Halal di Malaysia. Ini bagi memastikan pemantauan dan
penguatkuasaan terhadap pengaplikasian prinsip-prinsip halal dapat dilaksanakan
dengan berkesan.

3. Memperbanyakkan dialog untuk menanam rasa hormat, meningkat tahap toleransi


antara kaum dan hidup umat beragama dalam kerukunan. Proses dialog ini dapat
diterokai berdasarkan dialog peradaban (Bakar, 1997) dan inter-agama (Cornell,
1994). Melalui dialog, persefahaman antara kaum dan agama dapat dipupuk. Ianya
melalui proses membina nilai-nilai bersama yang mana ia adalah nilai-nilai umum
yang boleh dicungkil dari sistem-sistem agama tanpa membezakan sama ada itu
Islam ataupun bukan Islam.

Asas ini penting memandangkan nilai bersama sesebuah negara harus


dibentuk dan dibina berasaskan keperluan seluruh masyarakat, bukan keperluan
sesuatu kumpulan kaum dan agama tertentu (Tong, 1986). Sebagai contoh, sikap
toleransi, kesederhanaan, kasih sayang, hormat menghormati, keperibadian agung,
alami dan sebagainya (Sung-Joo & Noor, 1999). Walaupun begitu, nilai adalah suatu
yang relatif bukan universal.
Latar belakang peradaban Asia adalah kukuh dan selari dengan nilai
keagamaan. Ia dapat dilihat dalam tiap kaum di Malaysia. Kaum Melayu berpaksikan
peradaban Melayu yang ditunjangi agama Islam, kaum Cina berasaskan peradaban
Cina yang berpaksikan agama Buddha, Confucius dan Taoisme, sedangkan kaum
India berlandaskan peradaban India yang beragama Hindu. Setiap peradaban
tersebut mempunyai nilai-nilai universal yang dapat dikongsi dalam masyarakat
majmuk di Malaysia. Budaya Asia ini mempunyai karakter yang tersendiri berbanding
budaya Barat. Keunikan ini perlu dieksploitasi oleh tiap kaum yang ada di Malaysia
bagi mewujudkan persefahaman antara satu sama lain.
Proses internalisasi budaya sepunya untuk mewujudkan persefahaman pada
peringkat awal lagi. Sehubungan dengan itu, penekanan sistem aksiologi ini dapat
diaplikasikan dalam usaha mengurangkan jurang antara kaum di Malaysia. Sistem
aksiologi Melayu berasaskan budi Melayu dan dapat dilihat dalam epistemologi
Melayu (Ahmad, 2003). Manakala sistem aksiologi Islam berdasarkan wahyu iaitu al-
Qur’an dan al-Sunnah, sedangkan sistem aksiologi kaum atau agama lain
berasaskan nilai positif, universal dan sejagat yang tidak bercanggah dengan adat
Melayu dan syariat Islam.
Walau bagaimana pun, proses dialog ini mesti disertai oleh golongan pakar
yang mempunyai latar belakang pengetahuan yang jelas, dengan memberi
penekanan terhadap isu semasa yang dapat memberikan manfaat di samping dapat
menyelesaikan permasalahan manusia. Selain itu, unsur perdebatan yang boleh
menjatuhkan maruah serta memperkecilkan agama pihak lain perlu dihindarkan
(Khatami, 1998). Kriteria ini perlu diambilkira bagi memastikan berjayanya tiap dialog
yang dianjurkan.

RUMUSAN

Sebagai masyarakat yang berbilang kaum, agama serta budaya, isu-isu sensitif yang timbul
dalam masyarakat perlu ditangani dengan sewajarnya. Ia tidak wajar dibiarkan berlanjutan
kerana ia dapat menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk. Setiap anggota masyarakat
dari setiap kaum perlu untuk bersama-sama menjaga sensitiviti kaum. Tindakan ini perlu
memandangkan tiap konflik yang terjadi biasanya membabitkan isu perkauman dan
keagamaan. Selain itu, semua pihak perlu gembleng tenaga dalam mewujudkan perpaduan
kaum agar cita-cita kerajaan melahirkan 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan berkesan.
BIBLIOGRAFI

Abraham, C.E.R. (1997), Divide and Rule : The Roots of Race Relations in Malaysia. Kuala
Lumpur : Institute for Social Analysis (INSAN).
Ahmad, H. (2003), Metafora Melayu : Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan
Membentuk Epistemologinya. Kajang, Selangor : Akademi Kajian Ketamadunan, h.
32.
Arasaratnam, S. (1970), Indians in Malaysia and Singapore. Kuala Lumpur : Oxford University
Press.
Bakar, A. L. A. (1985),“Sejarah dan Pemikiran Konsep Kebudayaan di Malaysia”, dalam Abdul
Latif Abu Bakar (ed.), Warisan Dunia Melayu Teras Peradaban Malaysia. Kuala
Lumpur : Penerbitan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA).
Bakar, O. (1997), Islam and Civilizational Dialogue : The Quest For Truly Universal
Civilization. Kuala Lumpur : University Malay Press.
Cornell, V. J. (1994),“Towards a Cooperation Among People of Different World Religions”,
dalam Abdul Monir Yaacob & Ahmad Faiz Abdul Rahman (eds.), Towards a Positive
Islamic World-View. Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Furnivall, J.S. (1967), Netherlands India : A Study of Plural Economy. Cambridge : Cambridge
University Press.
Ginsburg, N. & Roberts J, C. F. (1958), Malaya. Seattle : The American Ethnological Society.
Jen, L. D. (1982), British Malaya : An Economic Analysis. (edisi semakan kedua), Kuala
Lumpur : Institute for Social Analysis (INSAN).
Joslyn, M. A. (1963), “Alcoholometry” dalam Maynard A. Joslyn (ed.), Methods in Food
Production, London: Academic Press.
Karim, A. A. dan Bhat, R. (2009), “Fish Gelatin: Properties, Challenges and Prospects As An
Alternative to Mammalian Gelatins,” Food Hydrocolloids, 23 (3), 563-576.
Khatami, M., (1998) Membangun Dialog Antara Peradaban : Harapan dan Tantangan,
Bandung : Mizan.
Musa, H. (2002),“Strategi Membangunkan Peradaban Malaysia : Perspektif Peradaban Islam-
Melayu”, Seminar Nilai-nilai Peradaban dan Wawasan 2020, Kuala Lumpur: Pusat
Dialog Peradaban Universiti Malaya.
Muzaffar, C. (2001), Rights, Religion and Reform : Enhancing Human Dignity Through
Spiritual and Moral Transformation. London : Routledge & Curzon.
Noor, F. A. (1999),“Values in the Dynamics of Malaysia’s Internal and External Politic
Relations”, dalam Han Sung-Joo (ed.), Changing Values in Asia : Their Impact on
Governance and Development. Singapore : Institute of Southeast Asian Studies.
Osman, M. T. (1988), Kebudayaan Melayu dalam Beberapa Persoalan. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman, M. A. (1977), Ethnic Identity in a Malay Community in Malaysia. Ann Arbor Michigan
: University Microfilms.
Othman, W. A. H. [1978], Ethnogenesis : A Case Study of the Malay of West Malaysia, Tesis
Ph.D. [Tidak diterbitkan], University of Bristol.
Purcell, V. (1975), The Chinese in Malaya. Kuala Lumpur : Oxford University Press.
Rahman, L.A. (2009), Isu Halal Tiada Penghujungnya, Melaka: Alambaca Sdn. Bhd.
Sung-Joo, H. “Asian Values : An Asset or a Liability”, dalam Han Sung-Joo (ed.), Changing
Values in Asia : Their Impact on Governance and Development. Singapore : Institute
of Southeast Asian Studies.
Tanpa Nama, (2006), Halal Haram: Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Pulau
Pinang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
Tong, C. H. (1986),“Peranan Nilai-nilai Bukan Islam Dalam Konteks Kebudayaan
Kebangsaan”, dalam Cheu Hock Tong (ed.), Beberapa Asas Integrasi Nasional : Pro
dan Kontranya. Kuala Lumpur : Penerbit Karya Kreatif.

View publication stats

You might also like