Laporan Pengarah & Ketua Unit Aktiviti 5 Kategori A

You might also like

You are on page 1of 12

“PROGRAM INSPIRASI JAYA DESA BAKTI 2021 ”

SEKOLAH PENDIDIKAN
FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

Nama : Razieqah Aina binti Abdullah


Jawatan : Ketua Aktiviti
Kursus : SPPL

PENGENALAN
Aktiviti pembacaan ini merupakan salah satu program yang dilaksanakan semasa Kem Jelajah Cahaya
Ramadan yang melibatkan anak-anak komuniti Desa Bakti. Aktiviti yang diberi nama Our Forgotten Story
ialah sesi pengajaran Bahasa Inggeris yang memfokuskan kepada kemahiran bacaan yang merupakan elemen
kemahiran yang penting. Sesi ini telah berlangsung pada 26 April 2021, Isnin dan merupakan aktiviti kedua
yang dijalankan bagi kategori A (pelajar tingkatan 1 dan 2).

LAPORAN AKTIVITI

MASA PROGRAM TARIKH GERAK KERJA

SEBELUM PROGRAM 18- 25 April 2021

1. Menyediakan bahan pengajaran bagi aktiviti


pembacaan yang sesuai untuk pembelajaran
secara atas talian. Bahan pengajaran yang
disediakan ialah seperti:
● Poster Aktiviti
● Slaid Canva (Teks Bacaan: Puteri
Santubong)

https://www.canva.com/design/DAEasUOJ
MWY/share/preview?token=Z6XkYZF-Ics1
gJWoYffljg&role=EDITOR&utm_content=
DAEasUOJMWY&utm_campaign=designsh
are&utm_medium=link&utm_source=shareb
utton

● Video YouTube

https://www.youtube.com/watch?v=YeyRzd
LKKJg&t=2s

● Kertas Lampiran Aktiviti (kotak BINGO)


● Pautan mentimeter (sesi pengenalan)

https://www.menti.com/y8e2rsb5xx

● Kehadiran Google Form


https://forms.gle/NMZsxD63QZykRe9x6

2. Melakukan sesi raptai bagi memastikan


kelancaran program.
3. Menghubungi staf UTM yang terlibat bagi
tujuan mengumpulkan pelajar semasa
program berlangsung.

SEMASA PROGRAM 26 April 2021 1. Sesi pengenalan (Ice-breaking Session)

● Fasilitator menyambut kemasukan pelajar ke


Google Meet dan pelajar mengisi kehadiran
menggunakan Google Forms.
● Fasilitator memperkenalkan diri mereka
kepada pelajar.
● Fasilitator bertanyakan pengetahuan pelajar
tentang kisah rakyat.
● Pelajar menyenaraikan kisah rakyat yang
mereka ketahui menggunakan pautan
Mentimeter yang disediakan.
● Fasilitator menerangkan secara ringkas
mengenai kisah rakyat dan memperkenalkan
tajuk kisah rakyat yang akan dipelajari iaitu,
Puteri Santubong.

2. Sebelum Pembacaan (Pre-Reading)

● Fasilitator memainkan sebuah video pendek


berkaitan kisah Puteri Santubong.
● Fasilitator menghentikan video pada minit
kedua dan meminta pelajar untuk
menjangkakan apa yang terjadi pada babak
seterusnya.
● Pelajar mengutarakan pandangan mereka.

3. Semasa Pembacaan (While-Reading)

● Fasilitator memanggil pelajar secara rawak


untuk membaca teks mengenai kisah Puteri
Santubong pada slaid.
● Setelah pelajar selesai membaca satu
perenggan, fasilitator membuat ringkasan
tentang perenggan tersebut.
● Fasilitator membetulkan sebutan pelajar dan
menekankan beberapa perkataan yang agak
sukar difahami oleh pelajar.
● Pelajar mencatat perkataan-perkataan baharu
yang mereka pelajari daripada teks.
● Fasilitator merumuskan kisah Puteri
Santubong.

4. Selepas Pembacaan (Post-Reading)

● Fasilitator memulakan permainan BINGO


dengan menerangkan cara bermain dan
peraturan permainan.
● Fasilitator menunjukkan senarai 16
perkataan yang perlu dimasukkan dalam
kotak BINGO.
● Fasilitator menunjukkan contoh kotak
BINGO dan cara bermain.
● Pelajar melukis kotak BINGO dan
mengisinya dengan 16 perkataan yang
disenaraikan oleh fasilitator.
● Fasilitator menyebut sinonim bagi
perkataaan di dalam kotak dan pelajar
memangkah perkataan yang berkenaan.
● Tiga pelajar terawal yang melengkapkan
kotak BINGO dikira sebagai pemenang.

5. Penutup (Closing)

● Fasilitator meminta pelajar memberi


pengajaran daripada kisah Puteri Santubong.
● Pelajar menyatakan pendapat mereka.
● Fasilitator menyimpulkan pengajaran kisah
tersebut.
● Aktiviti diakhiri dengan sesi swafoto
bersama pelajar.
● Fasilitator memberi ucapan penghargaan
kepada pelajar.

SELEPAS PROGRAM 27 April 2021


1. Fasilitator mengumpulkan kertas lampiran
aktiviti daripada para peserta yang terlibat
dan menyemak lampiran kerja mereka.
2. Fasilitator memasukkan maklumat tentang
pengskoran markah para peserta di Google
Sheet.
3. Fasilitator mengira jumlah keseluruhan
markah bagi setiap peserta dan memilih
seorang pemenang bagi aktiviti yang telah
dijalankan.
PERMASALAHAN

Antara masalah yang dihadapi adalah sewaktu peringkat perancangan dan persiapan aktiviti. Permainan yang
dipilih untuk para peserta ialah permainan BINGO yang memerlukan mereka mengisi kotak 5x5. Namun
begitu, aktiviti ini melibatkan pelajar tingkatan bawah yang mungkin tidak begitu mahir atau tahu bagaimana
permainan ini dimainkan. Masa yang diperuntukkan untuk mengisi kotak bagi menyelesaikan permainan ini
perlu diubah beberapa kali agar bersesuaian dengan tahap kemahiran peserta. Malah, terdapat juga beberapa
peraturan yang perlu diambil kira dan disesuaikan untuk memudahkan para peserta lebih faham tentang
pelaksanaan permainan tersebut dari segi perkataan yang perlu mereka isi dalam kotak masing-masing. Selain
itu, sewaktu aktiviti hendak dilangsungkan, sebilangan besar peserta yang terlibat untuk aktiviti ini lambat
masuk ke dalam Google Meet lantas menyebabkan aktiviti bermula agak lambat daripada masa yang
sepatutnya. Tambahan pula, terdapat beberapa peserta yang tidak mengisi borang kehadiran yang telah
disediakan.

CADANGAN / PENYELESAIAN

Demi mengatasi masalah yang dihadapi, beberapa jalan penyelesaian telah kami ambil. Antaranya, kami mengubahsuai
permainan BINGO yang mempunyai kotak 5x5 tersebut menjadi BING sahaja dengan kotak 4x4. Hal ini demikian
kerana, kami ingin menyesuaikan tahap kesukaran permainan tersebut kepada tahap kemahiran para peserta supaya
mereka tidak mengambil masa begitu lama untuk bermain. Selain itu, kami juga mengubah peraturan permainan menjadi
lebih mudah dan senang difahami. Sebagai contoh, kami telah bersiap sedia meletakkan sinonim di sebelah senarai
perkataan yang perlu para peserta tulis di kotak BING mereka. Hal ini menyenangkan para peserta untuk terus mengesan
perkataan mana yang perlu mereka silang sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk belajar perkataan sinonim
bagi setiap kosa kata yang terlibat.

Berikutnya, bagi masalah keterlewatan para peserta untuk masuk ke dalam Google Meet menyebabkan kami memilih
untuk beramah mesra terlebih dahulu dengan beberapa orang peserta yang telah nasuk awal untuk mengisi masa dan
mengelakkan mereka bosan sementara menunggu permainan bermula. Sementara itu, bagi para peserta yang tidak
mengisi borang kehadiran pula, oleh kerana telah menjangka perkara sebegini berkemungkinan besar berlaku, kami
mengambil alternatif untuk menyertakan sekali ruangan nama dan no. kad pengenalan di kertas BING yang diedarkan
supaya para peserta boleh mengisi ruangan tersebut dan menangkap gambar kertas mereka pada akhir sesi.

Manakala, bagi program masa hadapan yang bakal dikendalikan oleh junior, kami mencadangkan agar peraturan
permainan lebih jelas lagi diterangkan dan supaya dipastikan terlebih dahulu bahawa para peserta benar-benar faham
sebelum memulakan permainan. Mungkin lebih baik sekiranya fasilitator mengambil sedikit masa untuk membuat
simulasi bagi menunjukkan cara bermain kepada peserta supaya tiada timbul sebarang masalah sewaktu permainan
berlangsung.

KESIMPULAN

Tuntasnya, aktiviti ini telah menerima respons yang begitu baik daripada para peserta dan para ibu bapa kerana
mereka berasa begitu berpuas hati dengan aktiviti pembacaan yang dijalankan. Menurut para ibu bapa,
meskipun aktiviti dijalankan secara atas talian, namun anak-anak mereka bersemangat untuk melaksanakan
aktiviti yang berlangsung. Peserta juga yakin bahawa mereka telah memperoleh manfaat yang berguna
menerusi aktiviti pembacaan yang dijalankan kerana pendekatan yang diambil untuk menyampaikan kemahiran
membaca amatlah ringkas akan tetapi padat dengan poin-poin yang berguna. Jelaslah bahawa, aktiviti seperti
ini cukup relevan untuk terus di laksanakan lagi pada masa akan datang dengan lebih banyak kolaborasi dengan
komuniti setempat.
REFLEKSI

1. Zeenatun Nisa binti Zaine (A17PP0101)

Kumpulan saya telah terlibat dalam pelaksanaan aktiviti pada 26 April 2021, Isnin (reading activity)
yang melibatkan peserta kategori A iaitu menengah bawah. Secara keseluruhan, sesi berjalan dengan lancar.
Sememangnya tidak dapat dinafikan terdapat beberapa cabaran yang timbul dalam menjalankan program
berskala besar seperti Program Jelajah Ramadan. Antara cabaran yang saya hadapi ialah daripada segi
penyertaan peserta daripada komuniti Desa Bakti. Mungkin disebabkan program dilakukan pada bulan puasa di
samping para peserta juga terlibat dalam sesi persekolahan pada waktu siang, maka cabaran seperti ini
sememangnya tidak dapat dielakkan. Walaupun begitu, saya bersyukur kerana pihak komuniti Desa Bakti
khususnya Kak Su terlibat secara aktif dalam menggalakkan anak-anak untuk menyertai aktiviti yang
dijalankan. Para peserta juga turut memberi kerjasama penuh serta menunjukkan minat yang mendalam untuk
belajar bersama. Penyertaan mereka dalam program seperti ini sebenarnya telah menyebabkan saya sedar
tentang betapa bermaknanya sekiranya lebih banyak aktiviti pembelajaran yang berunsurkan Bahasa Inggeris
dapat dilaksankan bersama komuniti setempat. Hal ini kerana, anak-anak ini mempunyai minat dan potensi
yang tinggi tetapi mungkin kurang pendedahan diberikan kepada mereka melalui kem bahasa seperti ini.

Selain itu, cabaran berkaitan kemudahan Teknologi juga turut berlaku daripada pihak peserta dan juga
kumpulan saya sebagai fasilitator aktiviti. Isu kemudahan internet dan kekangan kemudahan seperti telefon
pintar dan komputer riba merupakan antara cabaran yang sering kali timbul sepanjang proses pembelajaran atas
talian. Berkat kerjasama semua pihak, semasa sesi aktiviti kumpulan saya dijalankan, kami telah meminta
bantuan Kak Su untuk mengumpulkan para peserta di salah satu rumah di Desa Bakti bagi memudahkan proses
pembelajaran terutamanya pelajar yang mempunyai masalah Teknologi. Walaupun tempoh masa perancangan
program ini agak singkat, kumpulan saya telah Berjaya untuk menghasilkan bahan pengajaran yang menarik
dan kreatif serta sesuai untuk kelas atas talian. Para peserta juga memberi maklum balas yang positif dan
mereka seronok diberikan peluang untuk menyertai program seperti ini. Akhir kata, saya dapat merumuskan
bahawa program Jelajah Cahaya Ramadan ini bukan hanya memberi impak kepada komuniti setempat sahaja,
tetapi turut bermanfaat kepada saya sebagai pelajar universiti kerana tanggungjawab saya untuk memberi
sumbangan kepada masyarakat.

2. Fatin Nurazirah binti Zulkepli (A17PP0015)

Pada 26 April 2021, saya dan ahli kumpulan saya telah menjalankan aktiviti Bahasa Inggeris bagi
projek ‘e-service learning’. Kumpulan saya melaksanakan aktiviti yang mengfokuskan kepada kemahiran
membaca pelajar di samping mendedahkan pelajar dengan beberapa perkataan (vocabulary) berdasarkan teks
pembacaan yang disediakan. Secara umumnya, sesi ini yang melibatkan pelajar menengah rendah, telah
berjalan dengan lancar. Namun begitu, pada masa yang sama, terdapat beberapa masalah yang timbul
sepanjang projek berjalan. Saya turut mengenal pasti langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko
berlakunya masalah tersebut.

Sebelum aktiviti dijalankan, saya dan rakan sekumpulan telah menjalankan beberapa siri perbincangan
bagi memastikan keberkesanan aktiviti. Disebabkan kami tidak mengetahui tahap penguasaan Bahasa Inggeris
para peserta terlibat, kami terpaksa menukar aktiviti dan permainan kepada aktiviti yang lebih umum dan boleh
dilakukan oleh semua pelajar. Kami juga telah mengubah format asal permainan BINGO untuk memudahkan
pelajar menyelesaikan tugasan. Oleh sebab beberapa ketidakpastian tentang maklumat para peserta, saya dan
rakan-rakan mengalami sedikit kesukaran untuk menentukan aktiviti yang sepadan dengan kemampuan pelajar.
Jadi, untuk penambahbaikan di masa hadapan, saya percaya bahawa para fasilitator perlu mengenal pasti atau
mengenali para peserta terlebih dahulu bagi melancarkan pemilihan aktiviti dan tugasan.

Di samping itu, semasa aktiviti sedang berjalan, kumpulan saya berhadapan masalah pendaftaran
pelajar. Terdapat pelajar yang berkumpul di tempat yang sama dan ada juga pelajar yang berada di rumah
sendiri. Oleh itu, saya perlu memastikan semua pelajar yang terlibat mengisi kehadiran di Google Forms.
Tetapi, pada waktu kejadian, terdapat beberapa pelajar yang tidak berbuat demikian. Hal ini telah menyukarkan
kami untuk mengenal pasti pelajar yang menyertai sesi pada malam tersebut. Kami terpaksa mengingat nama
pelajar dan bertanya di WhatsApp untuk pengesahan penyertaan dan urusan sijil pelajar. Untuk
penambahbaikan bagi isu ini, saya berpendapat bahawa pihak penganjur perlu menyediakan senarai nama
pelajar yang benar-benar akan menyertai sesi tertentu sebelum sesi tersebut berlangsung. Jika tidak, ini pasti
akan menyukarkan fasilitator untuk ‘mencari’ peserta dan pemenang.

Kesimpulannya, program seumpama ini adalah sangat baik untuk diteruskan pada masa hadapan.
Walaupun begitu, saya yakin masih ada ruang-ruang untuk penambahbaikan yang perlu dilihat kembali bagi
memastikan keberhasilan program.

3. Razieqah Aina binti Abdullah (A17PP0088)

Pada 26 April 2021 yang lepas, saya dan ahli kumpulan yang lain telah berpeluang untuk menjayakan
aktiviti Jelajah Cahaya Ramadan yang berlangsung sepanjang dua minggu pada bulan Ramadan. Kumpulan
saya diberi kepercayaan untuk menjalankan satu aktiviti bahasa Inggeris khusus kepada anak-anak tahap
menengah rendah di Desa Bakti UTM. Memandangkan aktiviti kumpulan saya memfokuskan kepada
kemahiran membaca, maka objektif utama kami adalah untuk memastikan anak-anak Desa Bakti
sekurang-kurangnya memperoleh pemahaman yang jelas mengenai aktiviti yang kami cuba laksanakan.
Pelbagai bentuk kaedah dan cara yang perlu dianalisis sebelum menjayakan aktiviti sebenar. Hal ini kerana
kami agak gusar dengan tahap penguasaan bahasa Inggeris anak-anak di Desa Bakti kerana belum pernah
bersua dengan mereka. Maka kumpulan kami telah melancarkan beberapa kali simulasi sebelum memutuskan
kaedah penyampaian dan aktiviti terbaik yang dapat kami berikan kepada anak-anak tersebut nanti. Aktiviti
BINGO yang paling ringkas dan mudah untuk diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat telah menjadi pilihan
kami untuk dimasukkan ke dalam aktiviti kami. Kumpulan kami juga mengehadkan penggunaan teknologi
kerana faktor masalah capaian internet, kemudahan gajet dan juga masa yang terbatas. Oleh itu, kumpulan
kami memastikan agar semua anak-anak memperoleh akses kepada aktiviti yang dijalankan secara adil.

Meskipun aktiviti telah dirancang dengan begitu rapi oleh ahli kumpulan, namun sudah pasti terdapat
beberapa kesulitan yang dihadapi sewaktu menjalankan aktiviti tersebut. Cabaran yang paling dirasai adalah
sewaktu proses mendapatkan nama-nama anak di Desa Bakti yang menyertai aktiviti kami. Walaupun kami
telah menyediakan Google Form bagi memudahkan proses pendaftaran, namun disebabkan kekangan gajet
menyebabkan perkara tersebut tergendala. Maka, kami terpaksa mendapatkan pertolongan Puan Suriani untuk
menjejak nama anak-anak Desa Bakti yang menyertai aktiviti kami. Bagi saya, segala permasalahan dan
cabaran yang dihadapi sepanjang program ini berlangsung sebenarnya boleh diatasi sekiranya mendapat
kerjasama yang mapan dari semua pihak. Justeru bagi melicinkan lagi program ini, langkah awal boleh diambil
seperti pihak fasilitator mengenal pasti terlebih dahulu tahap penguasaan bahasa Inggeris peserta-peserta yang
mengambil tempat dalam setiap aktiviti atau program yang dianjurkan. Hal ini bagi memudahkan fasilitator
untuk menentukan aktiviti yang bersesuaian dengan tahap peserta. Selain itu, proses pendaftaran juga bagi saya
dapat dielakkan sekiranya penganjur atau pihak terlibat menetapkan jumlah dan maklumat peserta yang ingin
mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan.

Tuntasnya, saya merasakan bahawa aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan kami telah berjaya
mencapai objektif utamanya iaitu untuk memberi pemahaman kepada anak-anak di Desa Bakti mengenai
aktiviti kami. Ini kerana anak-anak di Desa Bakti yang menyertai program kami memahami dengan jelas
aktiviti yang disampaikan apabila ada sebahagian daripada mereka dapat menyimpulkan keseluruhan aktiviti
pembacaan yang disampaikan. Perkara tersebut telah memberi satu respons yang positif bagi saya bahawa
program dan aktiviti seperti ini sebenarnya dapat dijalankan dengan jayanya sekali lagi pada masa akan datang.

4. Noor Hamimah binti Hairul Anuar (A17PP0064)

Pada 26 April 2021, saya dan ahli kumpulan telah diberi peluang untuk menjalankan satu aktiviti
bahasa Inggeris bersama pelajar tingkatatan bawah di kawasan Desa Bakti, Johor Bahru, Johor. Aktiviti ini
adalah di bawah program servis komuniti yang berbentuk e-service learning di mana kami bertanggungjawab
untuk menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada masyarakat di sana. Dalam erti kata lain, kami telah
diberi tanggungjawab untuk berkhidmat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran kami dalam bahasa
Inggeris bagi mengajar para pelajar di sana. Kumpulan saya telah melaksanakan sebuah aktiviti membaca di
mana kami memfokuskan kepada peningkatan kemahiran membaca dalam kalangan peserta dengan
memberikan teks bacaan diikuti dengan pembelajaran kefahaman. Aktiviti ini juga merangkumi pembelajaran
perbendaharaan kata sebagai kemahiran pelengkap bagi kemahiran utama membaca yang diajar.
Secara keseluruhannya, aktiviti ini telah dilaksanakan dengan jayanya. Namun begitu, dalam setiap
program yang dijalankan, sudah pasti terdapat beberapa cabaran yang dihadapi dalam memastikan kelancaran
sesuatu aktiviti tersebut. Sewaktu peringkat perancangan dan persiapan, saya bersama ahli kumpulan telah
banyak mengadakan sesi perbincangan dalam menentukan jenis aktiviti yang sesuai untuk dijalankan bersama
para peserta. Hal ini kerana saya dengan yang lain tidak mengetahui tentang tahap kemahiran mahupun
penguasaan peserta-peserta ini dalam bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, kami banyak menghabiskan masa
dalam mengubah dan memperbaiki aktiviti serta permainan kami supaya ianya menjadi mudah untuk para
peserta selesaikan. Saya dapati bahawa ianya agak sukar untuk memikirkan aktiviti atau permainan yang
bersifat pendidikan serta cukup menarik bagi para peserta mengambil bahagian secara aktif, lagi-lagi apabila
kami tidak mengetahui apa-apa tentang peserta yang terlibat. Hal ini juga telah menyebabkan kami banyak
mengadakan sesi simulasi sendiri bagi aktiviti membaca ini supaya kami dapat anggarkan sejauh mana
lancarnya aktiviti ini dapat dijalankan dalam masa yang telah diperuntukkan. Terdapat banyak percubaan yang
kami jalankan. Oleh sebab itu, saya dan ahli kumpulan dapati bahawa untuk aktiviti seperti ini, ianya sangatlah
penting untuk para penganjur atau fasilitator mengenal pasti terlebih dahulu maklumat peserta yang akan
menyertai bagi pelaksanaan aktiviti dengan baik.

Di samping itu, sewaktu aktiviti sedang berlangsung juga, saya dan ahli kumpulan menghadapi masalah
dalam mengenal pasti nama peserta yang hadir. Hal ini berlaku kerana sebilangan besar peserta memasuki kelas
Google Meet kami lambat daripada waktu yang sepatutnya. Terdapat juga sebilangan peserta yang tidak
mempunyai kemudahan telefon pintar mereka sendiri lantas menyebabkan mereka terpaksa berkongsi atau
menunggu telefon pintar milik ibu bapa mereka untuk dipinjam. Bukan itu sahaja, malah beberapa orang
peserta tidak begitu mahir dalam menggunakan navigasi Internet dan telefon pintar mereka. Oleh itu, ramai
antara peserta ini yang terlepas untuk mendapat pautan kehadiran Google Forms yang telah kami sediakan
dalam ruangan mesej. Masalah ini menyebabkan kami susah untuk mengesahkan kehadiran mereka bagi tujuan
penyertaan dan urusan sijil pelajar. Walau bagaimanapun, saya bersama ahli kumpulan dapat memikirkan
penyelesaian pada waktu terakhir untuk menghubungi para peserta ini melalui kumpulan WhatsApp yang telah
disediakan sebelum program besar ini bermula.

Walaupun terdapat beberapa cabaran atau masalah yang dihadapi, aktiviti ini masih mempunyai kekuatan
yang tersendiri dan saya juga banyak memperoleh pengalaman baru yang bermakna. Pelaksanaan aktiviti ini
telah mengajar saya cara mengendalikan program dalam talian secara serentak. Sebelum ini, saya banyak
mengadakan program dan kem bahasa, namun semuanya dijalankan secara tidak serentak hanya dengan
menggunakan platform seperti WhatsApp atau Telegram. Hal ini menyebabkan sebelum ini saya tidak perlu
risau tentang sambungan Internet menjadi buruk pada pertengahan aktiviti atau yang sewaktu dengannya
kerana aktiviti-aktiviti yang dijalankan bukanlah secara langsung. Namun, pada kali ini saya perlu mengambil
perhatian tentang isu-isu seperti ini. Ilmu dan pengalaman yang saya peroleh ini dapat saya gunakan untuk
jangka masa panjang sekiranya saya perlu mengendalikan apa-apa program lagi yang perlukan dijalankan
secara serentak dalam talian. Lebih-lebih lagi pada masa kini di mana kelas dalam talian semakin menjadi
keperluan.

5. NUR ‘AFINA YASMIN BINTI ROSLY

Pada 19 April sehingga 30 April yang lalu, saya dan rakan sekelas telah menjayakan sebuah kem bahasa
Inggeris yang diberi nama Jelajah Cahaya Ramadan. Kem ini berlangsung selama dua minggu di mana ianya
disertai oleh para pelajar sekolah menengah yang menetap di kawasan Desa Bakti, Johor Bahru. Terdapat
pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan melalui kem bahasa ini, terutamanya aktiviti yang dikendalikan oleh
kumpulan saya sendiri iaitu, Our Forgotten Story. Kumpulan kami khususnya menyediakan sebuah permainan
yang memfokuskan kepada kemahiran membaca di mana kami memilih satu kisah dongeng Melayu yang
terkenal dan membuat aktiviti pemahaman berdasarkan kisah tersebut. Walaupun secara keseluruhannya kami
berpuas hati slot permainan kami berjalan dengan lancar, tidak dinafikan masih ada beberapa masalah yang
kami tempuh sepanjang mengendalikannya.

Antara cabaran yang kami hadapi pada awalnya adalah dalam menentukan apakah aktiviti yang sesuai
untuk dijalankan. Hal ini demikian kerana, kami tidak diberikan informasi mengenai tahap kemahiran para
peserta yang akan terlibat. Oleh kerana kami tidak mengetahui tahap penguasaan mereka di dalam bahasa
Inggeris, kami terpaksa melalui pelbagai siri perbincangan dan pengubahsuaian demi membina sebuah aktiviti
yang bersesuaian dan pada masa yang sama, bermanfaat untuk para peserta kami. Sebagai bakal guru, kami
jelas bahawa penyediaan aktiviti yang bersesuaian dengan pelajar adalah sangat penting demi memastikan
proses pembelajaran dapat berlaku dengan baik. Oleh itu, kami sendiri bermain permainan kami terlebih dahulu
untuk melihat keberkesanan aktiviti tersebut dengan meletakkan diri kami sebagai pelajar menengah rendah.
Hal ini telah membantu kami dalam menganggarkan kelancaran aktiviti sewaktu hari kejadian kelak dengan
mengambil kira tahap kesukaran aktiviti serta masa yang diperuntukkan.

Selain itu, kami juga menghadapi masalah dari segi para peserta tidak mengisi borang kehadiran. Borang
kehadiran tersebut adalah penting untuk diisi demi melancarkan proses pemberian sijil. Kami percaya perkara
ini berlaku oleh kerana terhadnya gajet yang dimiliki oleh para peserta. Mujur Puan Suriani banyak membantu
kami dalam proses mendapatkan senarai nama peserta yang hadir. Bukan itu sahaja, Puan Suriani juga
membantu kami dari pelbagai sisi yang lain. Jujur kami tidak menghadapi sebarang masalah dalam
berkomunikasi dengan Puan Suriani. Tanpa beliau, tentu aktiviti kami tidak dapat berjalan dengan lancar. Hal
ini menyedarkan saya bahawa mendapatkan kerjasama yang baik dari setiap pihak adalah amat penting dalam
ingin merealisasikan sesebuah program. Tambah lagi apabila program tersebut terpaksa dijalankan atas talian
oleh kerana pandemik yang menyerang. Dalam kes kami, Puan Suriani lah yang menjadi tulang belakang kami
dalam memastikan para peserta yang terlibat kekal aktif sewaktu program berlangsung. Namun, sebagai
penambahbaikan untuk program seperti ini pada masa hadapan, para penganjur hendaklah lebih peka mengenai
penyertaan para pelajar dan memastikan maklumat peserta dikenal pasti terlebih dahulu supaya masalah yang
kami hadapi kali ini dapat dielakkan.

Secara keseluruhannya, walaupun terdapat beberapa cabaran yang perlu kami tempuh dalam
merealisasikan aktiviti kami, saya dan ahli kumpulan yakin kami telah buat yang terbaik. Para peserta juga
kelihatannya aktif dan berasa seronok dengan aktiviti yang telah kami sediakan buat mereka. Namun begitu,
tidak dinafikan bahawa pastinya ada lagi ruang-ruang yang boleh ditambah baik untuk program masa hadapan.

Disediakan oleh,

Razieqah Aina

Nama : Razieqah Aina binti Abdullah


Jawatan : Ketua Aktiviti
LAMPIRAN

You might also like