You are on page 1of 1

Amalan Gaya Hidup Sihat

Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup
sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang
dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung
sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat
melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras
dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.
Amalan yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang
dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan
mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal,
berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas
kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.
Amalan lain yang perlu dilakukan oleh anggota masyarakat ialah pengambilan makanan yang seimbang. Oleh
itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan.
Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-
buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu,
penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi, dan diabetis akan dapat dielakkan kerana
mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.
Selain itu, setiap anggota masyarakat perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan
memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi
dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah
tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah
pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini dikatakan demikian kerana alat-alat perubatan moden dapat
mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah.
Sebagai kesimpulannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat
yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian
negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat
dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi
realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

You might also like