You are on page 1of 3

BAHAGIAN C : RINGKASAN (1)

[Masa yang dicadangkan: 15 minit]

[15 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut tulis satu ringkasan tentang
manfaat makan coklat. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 100 patah
perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud petikan asal.

Coklat bukan sahaja digemari oleh kanak-kanak tetapi juga orang dewasa. Suatu ketika
dahulu coklat hanya boleh dinikmati oleh golongan kaya-raya. Namun, kini coklat boleh
dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Menurut kajian sains, pengambilan coklat mampu melegakan otot. Namun jika dimakan
secara berlebihan, coklat boleh menyebabkan otot menjadi terlalu rehat sehingga asid perut
mudah masuk ke dalam bahagian saluran makanan. Hal ini boleh mengakibatkan kecederaan
dalaman terhadap manusia. Pengambilan coklat juga dapat menimbulkan perasaan relaks. Hal
ini dikatakan demikian kerana bahan kimia yang terkandung dalam coklat mampu memberikan
rangsangan psikologi yang membuatkan diri seolah-olah sentiasa bertenaga. Namun begitu,
bahan kimia yang terkandung dalam coklat boleh menjadi racun kepada haiwan peliharaan
seperti kucing, kuda dan anjing.

Kebaikan makan coklat yang seterusnya ialah, coklat dapat menggembirakan perasaan
pemakannya. Aroma coklat dikatakan mampu merehatkan minda si pemakan coklat tersebut.
Kebaikan coklat yang seterusnya ialah coklat mampu melanjutkan usia seseorang yang
mengambilnya. Hasil penyelidikan mendapati bahawa sekiranya seseorang mengunyah coklat
sebanyak tiga kali sebulan, mereka dikatakan dapat hidup setahun lebih lama daripada mereka
yang tidak makan coklat langsung.

Coklat juga turut dikatakan dapat mengurangkan risiko serangan strok. Selain itu,
penghidap asma digalakkan agar makan coklat untuk melegakan saluran pernafasan dalam
paru-paru. Di samping itu, bahan kimia dalam coklat juga sesuai untuk melegakan batuk. Walau
bagaimanapun, kita mestilah berwaspada kerana pengambilan coklat yang terlalu banyak boleh
menyebabkan obesiti.
BAHAGIAN C : RINGKASAN (2)

[Masa yang dicadangkan: 15 minit]

[15 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut tulis satu ringkasan tentang
sebab-sebab pengangguran dalam kalangan siswazah. Panjang ringkasan anda hendaklah
tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa
mengubah maksud petikan asal.

Pengangguran dalam kalangan siswazah merupakan salah satu permasalahan


sosioekonomi di negara ini. Setiap tahun beribu-ribu orang siswazah menamatkan pengajian
mereka namun tidak semuanya bernasib baik dan memperoleh pekerjaan. Sikap terlalu
memilih pekerjaan adalah antara faktor berlakunya masalah siswazah menganggur. Mereka
terlalu mengharapkan kerjaya yang bergaya tinggi sahaja. Sesetengah siswazah pula berasa
tidak yakin dalam memilih bidang kerjaya. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka kurang
yakin akan kemampuan diri dan kelulusan yang dimilikinya.

Sikap majikan yang ragu-ragu akan kemampuan siswazah turut memburukkan keadaan.
Majikan bersikap sedemikian kerana siswazah tersebut tidak mempunyai pengalaman bekerja.
Sesetengah majikan melihat pengalaman lebih mustahak berbanding dengan tahap pendidikan
seseorang itu. Majikan juga lebih gemar menawarkan pekerjaan kepada orang yang tidak
berkelulusan tinggi dengan alasan untuk mengurangkan kos upah. Selain itu, kebanyakan
siswazah tidak memiliki kemahiran berkomunikasi secara berkesan. Hal ini turut menjadi punca
mereka gagal memperoleh pekerjaan. Tidak mempunyai kekuatan penguasaan bahasa kedua
seperti bahasa Inggeris juga dikenal pasti sebagai faktor siswazah gagal memperoleh pekerjaan.

Secara tuntasnya, tugas manusia telah diambil alih oleh pembangunan teknologi tinggi
dalam sektor pengeluaran. Keadaan menjadi bertambah buruk dengan kemasukan pekerja
asing yang kian bertambah dari masa ke masa. Bagi mengatasi masalah ini, siswazah mestilah
menilai kemampuan diri sebelum berusaha memperoleh sesuatu pekerjaan. Masalah
pengangguran ini mampu diatasi seandainya para siswazah melengkapkan diri dengan pelbagai
kemahiran dan meningkatkan kualiti diri mereka.
Isi Ringkasan (2)

1. Sikap terlalu memilih pekerjaan


2. Tidak yakin dalam bidang kerjaya
3. Sikap majikan yang ragu-ragu akan kemampuan siswazah
4. Majikan juga lebih gemar menawarkan pekerjaan kepada orang yang tidak berkelulusan tinggi dengan
alasan untuk mengurangkan kos upah.
5. Kebanyakan siswazah tidak memiliki kemahiran berkomunikasi secara berkesan.
6. Tidak mempunyai kekuatan penguasaan bahasa kedua seperti bahasa Inggeris
7. Tugas manusia diambil ahlik oleh pembangunan teknologi tinggi dalam sektor pengeluaran
8. Kemasukan pekerja asing

Isi Ringkasan (1)

1. Coklat mampu melegakan otot.


2. Coklat dapat menimbulkan perasaan relaks
3. Coklat dapat menggembirakan perasaan pemakannya
4. Coklat mampu melanjutkan usia seseorang yang mengambilnya
5. Coklat dapat mengurangkan risiko serangan strok
6. Penghidap asma digalakkan makan coklat untuk melegakan saluran pernafasan dalam paru-
paru
7. Coklat melegakan batuk

Rangka Jawaban Ringkasan (1)

Antara manfaat makan coklat ialah makanan ini mampu untuk melegakan otot. Selain
itu, coklat juga berupaya untuk menimbulkan perasaan relaks. Seterusnya, coklat juga
menggembirakan emosi pemakannya. Di samping itu, coklat juga dipercayai mampu
melanjutkan usia seseorang yang mengambilnya. Makanan ini juga dipercayai dapat
mengurangkan risiko serangan strok. Akhir sekali, penghidap asma amat digalakkan untuk
makan coklat kerana coklat dapat melegakan saluran pernafasan dalam paru-paru.

(63 patah perkataan)

*6 isi digunakan

You might also like