You are on page 1of 3

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

KEJADIAN “HEPATITIS AKUT YANG TIDAK DIKETAHUI


PENYEBABNYA” DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Pada 23 April 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui WHO


Event Information Site (EIS) telah melaporkan kejadian “Hepatitis Akut
yang Tidak Diketahui Penyebabnya” (Acute Hepatitis of Unknown
Aetiology) yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur antara
satu (1) bulan hingga 16 tahun.

Sehingga 21 April 2022, WHO telah menerima pelaporan sebanyak 169


kes melibatkan 12 buah negara. United Kingdom melaporkan bilangan
kes tertinggi sebanyak 114. Negara lain yang turut melaporkan kes adalah
Sepanyol, Israel, Amerika Syarikat, Denmark, Ireland, Itali, Belanda,
Perancis, Norway, Belgium dan Romania. Setakat ini hanya satu (1)
kematian telah dilaporkan.

Kejadian hepatitis akut yang dilaporkan ini dikategorikan sebagai


“Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya” kerana penyebab
lazim hepatitis seperti virus hepatitis A, B, C, D atau E tidak dikesan
melalui ujian makmal.
Selain itu, WHO turut melaporkan bahawa sebanyak 74 kes dari 169 kes
yang dilaporkan dikesan positif Adenovirus dan 20 kes dikesan positif
SARS-CoV-2. Walau bagaimanapun penyebab hepatitis akut ini belum
dapat ditentusahkan dan masih dalam siasatan. Dianggarkan 10%
daripada 169 kes yang dilaporkan ini memerlukan transplantasi hepar.

Sehubungan itu, KKM telah mempertingkatkan survelan bagi hepatitis


akut di semua klinik kesihatan dan hospital dengan menggunakan definisi
kes yang telah dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan klinikal dan
kesihatan awam. Protokol rujukan dan pengurusan kes “Hepatitis Akut
yang Tidak Diketahui Penyebabnya” sedang dibangunkan.

Dalam pada itu, Pengamal Perubatan di Klinik Kesihatan Kerajaan dan


Swasta diminta untuk merujuk kanak-kanak berumur satu (1) bulan
hingga kurang dari 18 tahun yang menunjukkan gejala jaundis dan
gejala lain hepatitis akut seperti hilang selera makan, loya, muntah,
kelesuan atau air kencing berwarna gelap ke Hospital untuk
pengurusan kes selanjutnya.

Hasil pemantauan yang telah dijalankan, buat masa ini terdapat seorang
kanak-kanak lelaki warganegara berumur 4 tahun 11 bulan di Sabah
dengan gejala hepatitis akut telah mendapatkan rawatan di sebuah
hospital di Sabah pada bulan Mac 2022. Kes ini mengalami gejala jaundis,
demam, kurang selera makan, loya dan muntah.

Selanjutnya, dilaporkan fungsi hepar kanak-kanak ini semakin merosot


sehingga memerlukan transplantasi hepar pada 30 Mac 2022 di sebuah
hospital di Lembah Klang. Kanak-kanak ini telah discaj dari hospital pada
21 April 2022 dalam keadaan sihat.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak ini tidak mempunyai sejarah
penyakit lain selain jangkitan SARS-CoV-2. Siasatan masih lagi
dijalankan untuk menentukan sama ada kes ini memenuhi kriteria
“Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya”.

Ibu bapa ataupun penjaga kepada kanak-kanak yang mengalami gejala


berkaitan hepatitis akut seperti yang dinyatakan di atas adalah
dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang
berhampiran.

Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi kejadian


“Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya” (Acute Hepatitis of
Unknown Aetiology) dalam kalangan kanak-kanak dan akan
memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

KHAIRY JAMALUDDIN
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
6 MEI 2022

You might also like