You are on page 1of 1

Pertahan keharmonian agama menjelang PRU

 Mohammad Faizal Che Yusof


 
 5:22PM Apr 2 2013
Berikutan pelbagai aduan yang diterima oleh pihak Pemantau Kelantan berkaitan aktiviti hasutan
agama dan perkauman menjelang kempen PRU 13, selain membuat aduan polis, pihak kami juga
mengadakan kunjung hormat kepada mereka yang bertanggungjawab dalam pelbagai agama.
 
Terbaru pasukan Pemantau Kelantan mengadakan perbincangan ringkas bersama Sahibul
Fadhilah Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, timbalan mufti negeri  di pejabatnya baru-baru
ini.
 
Apa yang boleh disimpulkan, beliau amat kesal dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang
menggunakan sentimen agama untuk memupuk kebencian antara rakyat menjelang PRU13.
 
Beliau juga menasihati pasukan Pemantau Kelantan agar terus iltizam mempertahankan
keharmonian agama dan saling menghormati antara kaum yang pelbagai di negara ini.
 
Kunjung hormat pasukan Pemantau Kelantan juga telah diadakan kepada Timbalan Ketua Sami
Wat Photivihan, Tumpat, Sami Sun Kok Wai dan Ketua Paderi Gereja Lady Fatima, Kota Bharu,
Rev Father Robert Daniel.
 
Kedua-dua mereka mengucapkan setinggi terima kasih dan amat menghargai peranan Pemantau
Kelantan yang disifatkan sebagai mewakili suara rakyat bertindak mempertahankan keharmonian
agama dan perkauman yang mesti dipertahankan terutamanya di Kelantan, negeri yang aman
damai.
 
Justeru sebagai mendokong prinsip-prinsip demokrasi yang diamalkan selama ini, pasukan
Pemantau Kelantan amat mengalu-alukan sebarang laporan berkaitan apa jua tindakan yang
condong mencabuli prinsip-prinsip sejagat demokrasi menjelang PRU 13.
 
 Laporan berkaitan hasutan, penyalahgunaan tempat awam secara tidak adil, ugutan dan sebarang
tindakan pengaruh tak berpatutan bagi meraih undi boleh diadukan ke talian 017 9231724 untuk
tindakan dan pemantauan kami.
 
Sila nyatakan butiran kejadian termasuklah siapa yang terlibat,apakah tindakan, di mana dan bila
ia berlaku. Kami menerima SMS atau pun panggilan.
 
Pemantau Kelantan akan sedaya mampu mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi berparlimen
yang sihat ke arah pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia.

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF ketua Pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan. Artikel
ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi
Malaysiakini.

You might also like