You are on page 1of 11

-=' .

-=' - --
-' '- '= '-- ---=-

PEMURNIAN TASAWWUF OLEH IMAM AL-GHAZALI
OLEH:

MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY

Insya Allah dalam nota ini akan dibicarakan bagaimana Imam al-Ghazali rd yang terkenal
sebagai mujaddid abad ke-lima Hijrah atau abad ke dua belas Masihi itu memperjuangkan
kedudukan tasawwuf sehingga ia menjadi ilmu Islam yang teguh kedudukannya dalam senarai
ilmu-ilmu Islam yang muktabar, serta amalan tasawwuf menjadi amalan yang amat dihormati
sebagai dimensi kerohanian murni Islam berpaksikan al-Quran dan Sunnah.

Beliau bertanggungjawab memurnikan tasawwuf daripada unsur-unsur yang merosakkan
kemurniannya. Antara yang paling nyatanya ialah sebagaimana yang beliau huraikan dalam
manifesto kerohaniannya yang teragung yaitu Ihya Ulumid-Din yang sangat popular itu.

Kedudukan beliau yang agung dalam ummat ini jelas bila beliau diakui sebagai mujaddid pada
zamannya, tanpa dipertikai lagi, sama seperti Umar ibn Abd al-Aziz dan Imam Shafii untuk
zaman mereka masing-masing, sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi.


Riwayat hidupnya secara ringkas*

Sebelum daripada dibicarakan perkara-perkara lain eloklah dibicarakan riwayat hidupnya secara
ringkas untuk memberi gambaran berkenaan dengan alam di mana beliau dilahirkan dan
perkembangan peribadinya yang utama itu. Beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad
bin Muhammad bin Taus Ahmad al-Tusi al-ShafiI yang terkenal secara umumnya dengan nama
al-Ghazali, yang dilahirkan pada 450 Hijrah/1058 Masihi di Tabaran, satu daripada dua buah kota
kecil di Tus, sekarang dalam kawasan Meshed di Khurasan.

Beliau bukannya ulama yang tersohor pertama dalam keluarganya, kerana datuk saudaranya
bernama abu Hamid al-Ghazali (men.435 H/1043 M) merupakan seorang ahli ilmu kalam dan ahli
fiqh yang terkenal; mungkin beliau ini menjadi contoh ikutan bagi orang muda yang berhemah
tinggi itu.

Semenjak awal lagi beliau terdedah kepada pengaruh amalan-amalan dan ilmu tasawwuf,
ayahandanya seorang yang beramal dengan amalan tasawwuf yang sangat warak, mengikut
laporan al-Subki, sehingga dikatakan ia hanya makan dari hasil usaha tangannya sendiri, dan
beliau selalu bersama dengan mereka yang alim.

Imam Ghazali rh yang yatim itu dididik oleh sufi yang menjadi sahabat ayahandanya, bersekali
dengan saudaranya Ahmad. Semenjak masa kanak-kanaknya Imam al-Ghazali mempelajari ilmu
kalam dan fiqh, mula-mulanya dalam kota kecil kelahirannya dengan Shaikh Ahmad ibn
Muhammad al-Radhkhani al-Tusi, kemudian beliau pergi melanjutkan pengajiannya di Jurjan di
bawah didikan Imam abu Nasr al-Ismaili.

Ibn Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali mengambil ilmu tentang hadith al-Bukhari
daripada Abu Sahl Muhammad ibn Ahmad al-Hafsi, dan antara syaikh-syaikhnya yang lain dalam
ilmu hadith ialah Nasr ibn Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, Abd Allah ibn Muhammad ibn Ahmad
al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad ibn Sujai al-Zawzani dan seterusnya.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari Jurjan ada kisah yang menarik tentang Imam ini yang
berkisar bagaimana beliau dirompak. Bila para perompak itu meninggalkannya, beliau mengikuti
mereka, tetapi beliau diberi amaran agar tidak mengikuti mereka itu kalau tidak beliau akan mati.
Lalu beliau meminta dengan nama Allah supaya dikembali kertas-kertas yang mengandungi
catitan-catitan pelajarannya kerana kertas itu tidak ada gunanya untuk mereka. Bila ditanya
tentang kertas apa yang ada dalam beg itu beliau menjawab bahawa itu mengandungi catitan-
catitan ilmunya yang didengarinya yang kerananya beliau jauh mengembara. Perompak itu
ketawa dan bertanya bagaimana kamu memperolehi ilmu mereka bila kami ambil kertas itu
maka kamu tidak berilmu lagi. Ini suatu yang aneh berlaku. Bagaimanapun catitan-catitannya
diserahkan kembali. Apabila beliau kembali ke Tus lepas itu, imam al-Ghazali mengambil masa
tiga tahun menghafal semua catitan-catitan yang dipelajarinya itu.

Setelah beliau kembali dari Jurjan dan berada di Tus buat beberapa waktu, mungkin di waktu ini
beliau mempelajari tasawwuf di bawah Shaikh Yusuf al-Nassaj dan mungkin juga melakukan
latihan-latihan kesufian. Sewaktu berumur lebih kurang dua puluh tahun beliau pergi melanjutkan
pelajarannya ke Maktab Nizamiyyah di Nishapur untuk berguru kepada Imam al-Haramain iaitu
Abu al-Maali al-Juwaini, yang merupakan guru generasi yang keempat dari Imam al-Ashari
sendiri dalam akidah ajaran Imam itu. Dalam akademi itu beliau mempelajari ilmu-ilmu seperti
usul al-din, fiqh, falsafah, logik, ilmu-ilmu sains tabiI, tasawwuf dan lainnya.

Imam al-Haramain memberi kepada para pelajar kebebasan berfikir dan kebebasan
mengeluarkan pendapat mereka, dan mereka digalakkan dalam mengambil bahagian dalam
perdebatan dan perbincangan tentang pelbagai jenis persoalan yang dihadapi. Dalam
perdebatan-perdebatan dengan rakan-rakannya Imam al-Ghazali menunjukkan kemampuan
berfikir yang luas dan tajam, dan ia mempunyai kebolehan yang tinggi dalam kepetahan berhujah
yang ini terbukti kemudiannya dalam tulisan-tulisannya seperti Tahafut al-Falasifah.

Tidak lama kemudiannya beliau berkesempatan memberi kuliah kepada rakan-rakannya, dan
membuat penulisan. Beliau merupakan seorang yang berfikir secara kritilal dan bebas merdeka;
sewaktu beliau menjadi pelajar di Nizamiyyah di Nishapur beliau merasa tidak berpuas hati
dengan pegangan yang dimilikinya, dan membebaskan dirinya daripada cara bertaklid semata
dalam pegangan agama.

Sewaktu di Nishapur beliau menjadi murid kepada ulama sufi abu Ali al-Fadl ibn Muhammad ibn
Ali al-Farmadhi; daripada guru sufi inilah beliau lebih banyak lagi mempelajari ilmu berkenaan
dengan pengetahuan dan amalan kesufian. Al-Farmadhi itu sendiri adalah murid kepada bapa
saudara beliau sendiri dan juga murid al-Qushairi (men.465/1074) yang terkenal itu. Beliau
mengamalkan juga amalan-amalan kezahidan yang ketat di bawah bimbingan beliau ini;
sebagaimana yang disebutkan oleh beliau sendiri keadaannya tidaklah sampai ke tahap boleh
mendapat inspirasi murni dari alam tinggi.

Waktu itu juga beliau merasa tidak puas hati dengan pemikiran secara falsafah yang dihadapinya
itu termasuk apa yang diterima secara otoriti dalam hubungan dengan usul al-din. Tekanan
dalam tasawwuf tentang hubungan yang rapat dan mesra dengan Tuhan menjadikan imam
utama ini lebih tidak berpuas hati lagi dengan huraian falsafah dalam usul al-din itu. Al-Farmadhi
meninggal pada tahun 477 /1074 M dan Imam al-Haramain meninggal di tahun 478 H/1085 M.
Waktu itu Imam al-Ghazali berumur dua puluh lapan tahun; ianya masih sangat bertenaga, dan
namanya masyhur dalam alam Islam.

Beliau pergi ke istana Nizam al-Mulk wazir Malikshah (memerintah waktu itu 465 H/1072-485
H/1092 M) dan berada dalam kalangan para ahli ilmu kalam dan fuqaha di istana beliau itu.
Nizam al-Mulk itu seorang wazir yang memberi galakan kepada perkembangan ilmu-ilmu, sains,
sastera, dan menghimpunkan sekelilingnya para ulama dan ilmiawan yang terkenal dan
mempunyai ilmu yang mendalam. Beliau biasa mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmiah
dan al-Ghazali mendapat namanya yang terkenal kerana kebolehan debatnya yang sangat baik.


Ilmu pengetahuan al-Ghazali berkenaan dengan fiqh, usul al-din, dan falsafah sedemikian
dikagumi oleh Nizam al-Mulk sehingga beliau dilantik sebagai professor Usul al-Din di
Nizamiyyah itu (diasaskan pada tahun 458460 H/1065-67 M) di Baghdad pada tahun
484H/1091M. Waktu itu beliau berumur tiga puluh empat tahun. Ini merupakan kemuliaan yang
sedemikian tinggi di alam Islam, dan beliau itu diangkat kepada jawatan yang sedemikian
sewaktu umur sedemikian muda, yang tidak pernah orang lain dilantik kepada jawatan
sedemikian sewaktu bermur semuda itu.

Beliau sedemikian berjaya sebagai professor di Akademi itu; kuliahnya yang sedemikian
cemerlang dan kedalaman ilmu pengetahuannya serta kejelasan huraiannya menarik semakin
ramai para pelajar atau pendengar kepadanya, termasuk mereka dari kalangan para sarjana
yang terkenal di zaman itu. Dengan segeranya ramai mereka mengiktirafi kefasihan, kedalaman
pengetahuan, dan kemampuan beliau sebagai pembicara ilmu, dan kemudiannya beliau
dikirakan sebagai ahli usul al-din yang teragung dalam tradisi Ashairah. Maka beliau diminta
nasihat dalam perkara-perkara keagamaan dan siasah dan beliau menimbulkan pengarah yang
sebanding dengan pengaruh pegawai-pegawai negara yang tertinggi.

Beliau mencapai kejayaan tertinggi sebagai ulama dilihat dari segi keduniaan lahiriahnya, tetapi
dari segi batinnya beliau mula mengalami krisis intelektuil dan kerohanian yang amat mendalam.
Rasa syaknya dan menyoal semua perkara yang ada dahulunya pada beliau mula menimbulkan
dirinya semula dan beliau sampai bersikap kritikal terhadap mata-mata pelajaran yang
diajarkannya sendiri. Beliau merasa kekosongan dalam huraian-huraian yang berupa helah-helah
di kalangan para fuqaha. Sistem huraian di kalangan ahli ilmu kalam tidak merupakan keyakinan
secara ilmu dan intelektuilnya. Beliau menentang huraian mereka yang memberi penekanan
yang berlebihan tentang perkara-perkara doktrinal, kerana yang demikian membawa agama
menjadi lingkungan sistem ortodoksi dan berupa sebagai soal-jawab yang dangkal sahaja;
perbalahan-perbalahan di kalangan para mutakalimun berupa perakara-perkara soal-jawab
tentang pegangan agama yang tidak ada hubungan sebenar dengan kehidupan manusia dengan
agamanya.

Sekali lagi beliau menumpukan dirinya kepada penelitian tentang falsafah secara bersungguh-
sungguh dan menyeluruh, dan beliau mendapati bahawa pegangan dan keyakinan tidak boleh
dibinakan atas pemikiran semata-mata. Akal ada peranannya pada tahap-tahap tertentu, tetapi
akhirnya Kebenaran Yang Terakhir memang tidak boleh dicapai dengan akal fikiran. Dengan
menyedari tentang batasan-batasan pemikiran dalam hubungan dengan teologi, beliau berada
dalam rasa syak berkenaan dengan ilmu dan pegangan lalu beliau merasa tidak tenang jiwanya
dan hatinya. Beliau merasa beliau berada dalam kedudukan yang tidak sebenar.

Akhirnya beliau mendapat kesedaran bahawa jalan yang sebenarnya ialah jalan tasawwuf yang
membawa manusia kepada kebenaran yang sebenarnya melalui pengalaman rohaniah yang
sahih. Beliau telahpun mempelajari ilmu tasawwuf secara teori dan bahkan ada juga melakukan
amalan-amalannya; tetapi beliau belum lagi mara ke dalam pengalamannya secara yang sangat
jauh. Dia memikirkan bahawa kalaulah beliau menumpukan dirinya kepada perjalanan kesufian
melalui ciri-ciri kezuhudan, serta menekuni amalan-amalan spiritual, berserta dengan tafakur
yang mendalam, beliau berkemungkinan akan mencapai nur yang sedang dicari-carinya.

Tetapi yang demikian ini melibatkan beliau meninggalkan kerjaya ilmiah yang cemerlang dan
kedudukan keduniaan yang sedemikian tinggi itu. Beliau terasa juga runtunan untuk mendapat
kemasyhuran dan kehebatan dirinya dalam kehidupan. Tetapi runtunan untuk mencari kebenaran
terlalu amat kuatnya. Beliau merasakan bahawa beliau memerlukan keyakinan yang menetap
pada pegangan, yang diperkuatkan lagi dengan pemikirannya tentang kedatangan maut. Beliau
berada dalam konflik pemikiran dan perasaan sedemikian selama enam bulan lamanya mulai
dari bulan Rajab 488H/ Julai 1095.

Beliau menjadi merusut kesihatan badannya dan pemikirannya juga amat terganggu; selera
makannya dan penghadamannya hilang sampai suaranyapun tidak ada lagi. Maka senanglah
baginya untuk melepaskan jawatannya sebagai professor lalu ia meninggalkan kota Baghdad
pada bulan dhul-Qaidah 488 H/ November 1095 M, secara lahirnya beliau menunjukkan bahawa
beliau sedang hendak menunaikan fardhu haji; beliau meminta saudaranya Ahmad
menggantinya memberi pengajaran kepada orang ramai dalam masa pemergiannya itu;
sebenarnya beliau menjalankan uzlah sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama sufi demi
untuk mencapai kedamaian fikiran dan hati serta keselamatan untuk rohnya sendiri.

Beliau menyedekahkan semua harta miliknya melainkan bahagian-bahagian tertentu yang
diamanahkan untuk perbelanjaan keluarganya, kemudian beliau terus pergi ke Syria.

Selama dua tahun lamanya beliau berada dalam uzlah (tahun 488 H/1095 M ) di salah sebuah
daripada menara-menara masjid Umayyah di Damsyik; kemudian beliau pergi ke Jerusalem
untuk menjalankan uzlah lagi di mana beliau melakukan tafakur yang mendalam di Masjid Umar
dan Qubbat al-Sakhr (The Dome of the Rock). Selepas daripada melawat makam Nabi Ibrahim
a.s. di Hebron, beliau melaksanakan hajinya ke Makkah dan pergi ke Madinah. Itu diikuti dengan
amalan beruzlah di tempat-tempat yang mulia dan masjid-masjid, serta mengembara di padang-
padang pasir. Selepas daripada sebelas tahun berada dalam pengembaraan beliau kembali ke
kota kelahirannya Tus, dalam tahun 499 H/1105 M.

Berkenaan dengan pengalaman-pengalamannya mengikut apa- apa yang berlaku selepas beliau
meninggalkan kota Baghdad, tidak ada apa-apa yang diberitahu olehnya kepada kita. Apa yang
diberitahu ialah bagaimana adanya perkara-perkara yang tidak boleh dihuraiakan yang terlalu
banyak yang berlaku kepadanya dalam bentuk ilham-ilham sewaktu beliau berada dalam masa
uzlahnya itu. Pengalaman-pengalaman itu nampaknya membawa sebagai natijahnya kepada
beliau menerima otoritas Nabi s.a.w. dan tunduk dengan sepenuhnya kepada kebenaran-
kebenaran yang diwahyukan dalam al-Quran.

Antara tanda-tanda awal tentang beliau memberi pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah wal-
jamaah (yang memang dahulunya memang beliau memberi pembelaan terhadapnya, tetapi
sekarang pembelaan itu diberikan selepas daripada berlaku sesuatu yang boleh disebut sebagai
pengesahan secara kerohanian tentang kebenaran-kebenaran itu) ialah penulisannya berjudul
ar-Risalah al-Qudsiyyah yang digubah sewaktu beliau berada dalam uzlahnya di Jerusalem,
mungkin sebelum 492 H/1099 M sebab pada bulan Syaban tahun tersebut Jerusalem ditawan
oleh tentera Salib. Ini dimasukkan ke dalam bab ke tiga kitab teragungnya Ihya Ulumid-Din
dalam bab berkenaan dengan dasar-dasar Aqidah; di dalam kitab itu beliau mencatitkan apa
yang dipelajarinya dalam masa beliau beruzlah sambil melakukan latihan-latihan kerohanian dan
menjalankan tafakur yang mendalam itu.

Dalam masa pengembaraan itu beliau terus menerus mengarang kitab-kitab selain daripada Ihya
Ulumid-Din dan dari semasa ke semasa beliau kembali memberi pengajaran kepada para
muridnya. Beliau merasakan bahawa ia mempunyai peranan untuk menyelamatkan agama
daripada aliran kezindikan dan kekufuran dan beliau mengarang kitab-kitab untuk menegakkan
akidah Ahl al-Sunnah wal-jamaah sebagaimana yang jelas daripada bahagian akidah dalam
Ihya Ulumid-Din dan kitab-kitab lain seperti al-Iqtisad fil-Itiqad; beliau juga mengarang kita
tentang kesesatan Batiniyyah dalam kitabnya al-Fadih al-Bataniyyah dan juga kesesatan dan
kekufuran dalam kitab Faisalat al-Tafriqah bainal-islam waz-zanadiqah. Beliau juga meneruskan
pemerhatiannya terhadap hadith-hadith Nabi s.a.w.

Bila beliau kembali ke Tus beliau meneruskan hidup uzlahnya serta tafakkur yang diamalnya;
bagaimanapun Fakhr al-Mulk anak lelaki Nizam al-Mulk yang memberi lindungan kepadanya,
yang waktu itu menjadi wazir kepada Sultan Sanjar menggesa beliau menerima jawatan
professor ilmu akidah di Maktab Maimunah Nizamiyyah di Nishapur yang beliau setujui akhirnya,
dengan perasaan hati yang berat; tetapi beliau tidak lama bertugas di sana dan kemudiannya
kembali ke kota kelahirannya lagi dan membina madrasah di mana beliau memberi pengajaran di
sana berkenaan dengan usul al-din dan tasawwuf.

Kemudiannya bila beliau disuruh oleh wazir al-Said mengajar pula dan Nizamiyyah di Baghdad,
beliau membuat pilihan untuk menetap di Tus; di sana beliau hidup dengan aman dengan para
muridnya; hidupnya dipenuhi dengan pendidikan dan ibadat kepada Allah sehingga beliau
meninggal dunia pada 14 Jamadil-Akhir tahun 505 H/19 Disember 1111 M dengan kitab hadith
atas dadanya, kata kisahnya.

Ibn al-Jawzi meriwayatkan dalam kitab al-Thabat Inda al-Mamat kisah yang didapatinya daripada
Ahmad saudara Imam al-Ghazali bahawa pada Hari Isnin (14 Jamadil-Akhir) pada waktu masuk
Subuh saudaraku Abu Hamid mengambil wudunya, sembahyang Subuh, kemudian berkata:
Bawa kepadaku kain kafanku; beliau mengambil kain itu, menciumnya dan meletakkannya pada
matanya, sambil berkata: Kami mendengar dan taat dengan penuh persediaan untuk hadhir ke
Hadhrat Tuhan, Raja (Yang Maha Berkuasa); kemudian beliau melunjurkan kakinya, mengadap
kiblat,dan meninggal dunia sebelum matahari naik.

Diceritakan bahawa Shaikh Abul-hasan al-Shadhili rd bermimpi bahawa ia melihat Nabi s.a.w.
menunjukkan Imam Al Ghazali kepada nabi Musa dan Isa, sambil bertanya kepada kedua
mereka, Adakah terdapat orang alim yang bijaksana dalam umat anda berdua?, jawab
keduanya tidak ada.

Dalam hayatnya beliau menyedari bahawa beliau mesti bertanggungjawab untuk menghadapi
aliran ilhad atau kekufuran yang sedang muncul pada waktu itu menyanggahi ajaran Islam
berdasarkan Quran dan Sunnah sebagaimana yang ada dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah.
Kerana itu beliau memberi pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah dalam teks-
teks karangannya.

Antara kita-kitab karangannya yang disebut dalam catitan al-Zabidi dan Ibn al-Subki ialah:

Empat buah kitab dalam bidang fiqh mazhab ShafiI; iaitu yang besar al-Basit, yang sederhana
besarnya al-Wasit, dalam tujuh jilid, dan yang ringkas dalam dua jilid, iaitu al-Wajiz; yang
diringkaskan dalam al-Khulasa. Al-Wasit diberi syarahnya dan juga diringkaskan isinya
antaranya oleh Imam Nawawi dalam kitab Rawdah al-Talibin.
Empat buah kitab berkenaan dengan usul al-fiqh, al-Mankhul, yang dikarang waktu gurunya
Imam al-Haramain masih hidup, Shifa al-Ghalil fi Masail (atau Masalik) al-Talil; al-Maknun;
dan al-Mustashfa. Kitabnya yang boleh disebut sebagai ensiklopedianya tentang metodologi
punca-punca Shariah pendapatnya yang terakhir dalam bidangnya, ialah al-Mustashfa, yang
banyak kali diterbitkan di Mesir dan lainnya. Kitab ini dikarangnya selepas daripada beliau
keluar daripada uzlah dan bersuluk serta tafakkur.
Ihya Ulum al-Din, antara kitabnya yang terakhir.
Al-Imla ala Mushkil al-Ihya yang di dalamnya beliau memberi jawapan terhadap
setengah persoalan-persoalan yang diperkatakan berkenaan dengan kitab Ihya
dalam zaman hidupnya. Kitab ini juga dipanggil dengan judul al-Ajwibah al-Muskita
an al-Asilah al-Mubhita.
Tafsir al-Quran al-Azim, sekarang tidak ada lagi;
Jawahir al-Quran;
Al-Arbaun fit-Tauhid, asalnya bahagian daripada Jawahir al-Quran;
Al-Asma al-Husna;
Al-Maakhidh berkenaan dengan perkara-perkara khilaf antara ahli hukum Islam;
Tahsin al-Maakhidh, sebagai sharah bagi al-Maakhidh;
Kimiya as-Saadah, atau Rahsia Kebahagiaan, asalnya ditulis dalam Farsi;
Lubab al-Muntakhal, berkenaan dengan kaedah-kaedah perbahasan;
Al-Iqtisad fi al-Itiqad, yang dalamnya beliau membuat kenyataan: Golongan yang
menafsir ayat-ayat dan hadith-hadith secara zahir lafaznya (al-Hashawiyyah)
menegaskan ada arah bagi Allah manakala dalam masa yang sama mengawal diri
mereka daripada mengosongkan Tuhan daripada Sifat-SifatNya (tatil), dengan itu
mereka terjatuh (ke dalam kesalahan) menjadikan Allah seperti para makhluk
(tashbih). Allah Taala mengurniakan kejayaan kepada Ahl al-Sunnah dalam
menetapkan kebenaran. Mereka mengakui matlamat yang sebenar dan yang layak
dalam menetapkan kaedah mereka (dalam menetapkan akidah-p) dan mereka
memahami bahawa arah dinafikan dan ditolak bagi Allah kerana itu bergantung
dengan jisim-jisim dan mengikutinya, manakala memandangNya ditetapkan
dengan teguhnya kerana itu secara langsungnya menuruti ilmu dan melayaninya
sebagai bahagian yang menyempurnakannya.
Miyar al-Nazar
Mihakk al-nazar
Bayan al-Qaulain, berkenaan dengan dua kaul Imam Shafii.
Al-Mustazhiri, penolakan terhadap faham Batiniyah;
Qawasim al-Batiniyyah, sebuah lagi penolakannya.
Tahafut al-falasifah, yang menyatakan terkeluarnya para ahli falsafah daripada
keimanan, yang diberikan responsnya oleh qadhi Andalus iaitu Ibn Rushd al-Maliki
dengan bukunya Tahafut al-Tahafut;
Al-Maqasid fi Bayan Itiqad al-Awail, yang terkenal juga sebagai Maqasid al-
Falasifah.
Asrar Muamalah al-Din;
Asrar al-Anwar al-Ilahiyyah bi al-Ayat al-Matluwwah;
Akhlaq al-Abrar wa al-Najat Min al-Ashrar;
Asrar Ittba al-Sunnah;
Asrar al-Huruf wa al-Kalimat;
Bayan Fadaih al-Ibahiyyah, yang menentang mereka yang tidak percaya kepada
Tuhan;
Badai al-Sani;
Tanbih al-Ghafilin;
Talbis Iblis, nama kitab yang kemudiannya digunakan oleh Ibn al-Jawzi untuk
menentang al-Ghazali;
Khulasah al-Rasail ila Ilm al-Masail, ringkasan kitab fiqh al-Mukhtasar karangan
al-Muzani;
Al-Risalah al-Qudsiyyah fi Ilm al-Kalam;
Al-Sirr al-Masun sebuah kitab berkenaan dengan doa-doa atau bacaan-bacaan dari
ayat-ayat Quran dalam menghadapi musuh;
Sharah Dairah Ali ibn Abi Talib, juga terkenal sebagai Nukhbah al-Asma;
Aqidah al-Misbah;
Unqud al-Mukhtasar, ringkasan bagi ringkasan Imam al-Haramain terhadap kitab
Mukhtasar oleh Muzani;
Rasail (terdiri daripada surat-surat) yang diterbitkan dalam suatu jilid dalam tujuh
bahagian, terdiri daripada:
1. Al-Hikmah fi Makhluqat Allah-Subhanahu wa Taala; Miuraj al-Salikin;
2. Rawdat al-talibin wa Umdah al-Salikin (dalam tasawwuf dan tauhid);
Qawaid aql-Aqaid fi al-tauhid yang dimasukkan ke dalam kitab Ihya
sepenuhnya; Khulasah al-Tasanif fi al-Tasawwuf yang di dalamnya beliau
mentakrifkan tasawwuf sebagai Ketahuilah bahawa tasawwuf itu dua
perkara; bersifat benar dengan Allah Yang Maha Berkuasa dan berakhlak baik
dengan manusia. Sesiapa yang mengamalkan dua perkara ini ia seorang sufi.
Sifat benar dengan Allah ertinya seseorang hamba itu memutuskan habuan
bagi nafsunya dalam menjalankan suruhan Tuhan. Berakhlak baik dengan
orang ramai ialah tidak mengutamakan tuntutan diri sendiri ke atas tuntutan
mereka sejauh mana tuntutan mereka itu berjalan dalam lingkungan hukum
Syara. Sesiapa yang bersetuju dengan amalan bercanggah dengan Syara
atau yang menentangnya ia tidak mungkin menjadi orang tasawwuf, dan
kalau ia mendakwa (ia orang tasawwuf) maka ia berbohong (Terjemahan
daripada catitan Dr G.F. Haddad dari Laman Al Ghazalil Website petikan
asal dari http://www.sunnah.org/history/Scholars/imam_alghazali.htm).
3. Al-Qistas al-Mustaqim; Minhaj al-Arifin; al-Risalah al-Laduniyyah;
Faisal al-Tafriqah (fi al-Takfir); Ayyuhal Walad, asalnya tertulis dalam Farsi;
4. Mishkat al-Anwar; Risalah al-Tayr; al-Risalah al-Waziyyah; Iljam al-
Awwam an Ilm al-kalam; al-Mad-nun bihi ala Ghairi ahlihi; al-Ajwibah al-
Ghazzaliyyah fi al-Masail al-Ukhrawiyyah;
5. Bidayah al-Hidayah; Kimiya as-Saadah; al-Adab fi al-Din; al-Kashf wa
al-Tabyin fi Ghurur al-Khalq Ajmain;
6. Sirr al-Alamain wa Kashf ma fi al-Darayn; al-Durrah al-Fakhirah fi
Kashf Ulum al-Akhirah;
7. Qanun al-Tawil; al-Ahadith al-Qudsiyyah; al-Munqidh Min al-Dalal; di
dalam kitab ini beliau membuat kenyataan: Jalan tasawwuf terdiri daripada
usaha membersihkan hati daripada segala yang lain daripada Allah. Saya
membuat kesimpulan bahawa orang-orang tasawwuf adalah orang-orang
yang menuntut dalam Jalan Tuhan, dan perangai mereka adalah perangai
yang terbaik sekali, dan adab-adab mereka adalah adab-adab yang paling
bersih; mereka telah menyucikan hati mereka daripada segala yang lain
daripada Allah dan mereka menjadikannya sebagai jalan-jalan bagi berlalunya
sungai-sungai mengalir, yang membawa ilmu atau marifah tentang Allah.
Fatawa, yang di dalamnya beliau membuat kenyataan:
Soalan: Apakah jawapan yang perlu diberikan kepada orang yang menganggap
sembahyang sebagai jalan untuk mencapai ibadat yang sebenarnya, dan pengenalan
sebenar terhadap Allah, sehingga bila ia mencapai yang kedua itu ia merasa tidak
lagi perlu sembahyang, walaupun ia memang masih juga melakukan sembahyang?
Jawapan: Orang yang terpedaya ini mestilah sedar bahawa ibadat yang sebenar
dan pengenalan terhadap Allah adalah matlamat-matlamat sembahyang, tetapi
bukan itu sahaja matlamatnya. Sebagaimana juga keadaannya kata-kata yang
dilafazkan dan yang tertulis dan bacaan-bacaan untuk menjaga diri (al-ruqyah) ada
kesan yang tertentu dalam mengawal orang daripada ular sebenarnya, ke arah
menundukkan jin-jin dan setan-setan; dan sebagaimana juga dengan doa-doa yang
disampaikan kepada kita dalam bentuk-bentuk puitis menarik khidmat dari para
malaikat sebagai jawapan bagi doa-doa orang-orang yang berdoa, fikiran manusia
tidak terjangkau untuk memahami cara dan ciri yang sebenar bacaan-bacaan ini,
yang boleh difahami hanya melalui kuasa seorang nabi, bila para nabi itu
ditunjukkan makna itu semua dalam lauh al-Mahfuz; demikian pula bentuk-bentuk
amalan sembahyang yang menjadikan orang ruku dan sujud dua kali, dengan
bilangan-bilangan (tasbih-tasbih dan bacaan-bacaannya), serta ayat-ayat Quran
yang tertentu, yang dibaca, dengan panjangnya secara tertentu dan juga
bilangannya, waktu matahari naik, tengahhari, dan waktu matahari jatuh, ada
mempunyai kesan tertentu bagi menenangkan ular yang bersarang dalam dada
manusia dan menimbulkan ular banyak kepalanya pula, (ini bahasa perlembangan-p)
yang menyamai bilangan perangai dirinya, yang menggigit dan memagutnya dalam
kubur (dalam alam barzakh-p) bahayanya merebak pergi kepada rohnya pula,
sebagaimana yang diisyaratkan oleh nabi dalam sabdanya - Allah memberi rahmat
dan kesejahteraan kepadanya - Naga dengan sembilan puluh sembilan kepala diberi
berkuasa dalam kubur orang yang tidak beriman, yang melakukan sekian sekian
perbuatan Maka banyaklah naga yang demikian dalam tabiat kejadian manusia, dan
tidak ada yang boleh menundukkannya melainkan kewajipan-kewajipan yang
ditentukan oleh Tuhan
Berkenaan dengan Imam al-Ghazali:

Ibn al-Subki menyebut kenyataan dari orang-orang yang sezaman dengan Imam al-
Ghazali:

Imam al-Haramain berkata: Al-Ghazali adalah laut yang menghilangkan dahaga.
Murid al-Ghazali bernama Imam Muhammad ibn Yahya ibn Mansur al-Naysaburi al-Shahid
menyatakan: Beliau adalah ShafI yang kedua.
Asaad al-Mihani menyatakan: Tidak ada orang yang mencapai ilmu seperti al-Ghazali, juga
tidak ada yang mencapai kelebihannya melainkan orang yang mencapai atau hampir-hampir
mencapai kesempurnaan pada akalnya:

Ibn al-Subki membuat huraian: Aku sukakan kenyataan sedemikian ini, kerana
orang yang hendak melihat kepada tahap pencapaian orang yang berada di atas
daripadanya dalam ilmu, ia memerlukan kepada akal dan kefahaman yang dalam.
Saya mendengar syaikh dan imam (Syaikh al-Islam Taqi al-Din al-Subki) berkata:
Tidak ada orang yang mengetahui pangkat orang lain dalam ilmu melainkan orang
yang sama setaraf dengan orang itu, dan yang mengenalinya secara peribadi, dan ia
mengenalinya hanya setakat apa yang diizinkan untuknya mengetahui tentangnya.

Pemurniaan tasawwuf oleh Imam al-Ghazali rd:


Antaranya ialah pemurnian aqidah daripada pengaruh-pengaruh yang menyesatkan. Kerana itu
al-Ghazali rd memberi jawapan kepada akidah-akidah yang sesat dan menyesatkan:
Mutazilah, Jabariyyah, Khawarij, Syiah, Batiniyyah, golongan ahli falsafah; semuanya adalah
dengan tujuan membina hidup kerohanian atau tasawwuf yang benar atas asas akidah yang
hak. Sebab itulah pada bahagian awal Ihyanya selepas berbicara tentang ilmu beliau
memaparkan akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah, mengikut aliran Imam Abul-Hasan al-Asyaari.
Demikianlah akidah yang hak ini mendapat pembelaan dalam teks-teks beliau seperti Al-Iqtisad
fil-Itaqad, Faisalut Tafriqah, Fadaih al-batiniyyah, dan lainnya.

Antaranya beliau membersihkan amalan-amalan rohaniah mengikut rangka Quran dan
Sunnah, serta mengikut Imam al-ShafiI rd. Ini jelas dalam beliau memberi huraian berkenaan
dengan amalan-amalan ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, membaca Quran,
mengamalkan wirid dan zikir dan seterusnya, dengan tafakkur dan lainnya. Dengan ini amalan
tasawwuf berjalan dalam rangka ajaran kerohanian sebagaimana yang ada dalam fiqh imam
mujtahid.

Tambahan ialah beliau memberi makna-makna kerohanian di sebalik amalan-amalan seperti
sembahyang, puasa, zakat dan haji di bawah apa yang beliau sebut sebagai asrar dan adab-
adab dengan maksud-maksud di sebaliknya. Misalnya dalam hubungan dengan ibadat
sembahyang beliau mahukan orang yang melakukan sembahyang mengamalkan enam sifat
batin, selain daripada rukun tiga belas sembahyang itu dengan amalan-amalan yang sunatnya.
Amalan batin yang beliau kehendaki itu ialah memahami apa yang dibaca (al-tafahhum), hadir
hati dalam melakukan ibadat dan jangan lalai (hudur al-qalb), takut kepada Tuhan (al-khauf),
merasa dan menyedari keagungan dan kehebatan serta kemuliaan Tuhan (al-tazim),
harapkan rahmat dana penerimaan Tuhan (al-raja ), dan akhirnya malu, yaitu malu kerana
kekurangan-kekurangan diri dalam ibadat (al-haya). Dengan adanya dimensi rohani dalam
ibadat maka amalan itu memperkasakan rohani manusia dan berkesan dalam membentuk
peribadinya, bukan ia setakat melakukan amalan secara mekanikal semata, walaupun itu
memang sah amalannya.

Dengan yang demikian Imam al-Ghazali menggabungkan pertimbangan hukum fiqh dan
pertimbangan rohani atau tasawwuf; dengan itu teguhlah kedudukan tasawwuf dalam senarai
ilmu-ilmu Islam, dan jadilah fiqh sebagai ilmu yang menjaga kemaslahatan ummat, bukannya
berupa sistem mengadakan helah-helah supaya manusia tidak perlu sangat mentaati hukum
Syara sebab para fuqaha pandai membuat helah-helah.

Dalam bahagian akhir jilid tiga kitab Ihya Imam Ghazali berbicara berkenaan dengan ghurur
atau keadaan manusia terpedaya. Beliau menyebut bagaimana manusia itu mesti mengelak
dirinya daripada terpedaya dalam mengamalkan agama supaya ia tidak sia-sia hidupnya di
alam yang kekal nanti. Antara keadaan terpedaya itu disebutkan oleh beliau seperti berikut:
Antara mereka yang paling kuat terpedaya ialah mereka yang tidak membawa iman; maka
hidup mereka dalam kegelapan rohaniah kerana tidak ada panduan. Panduan hanya boleh
didapati dengan sebenar-benarnya bila orang itu membawa iman dan hiduplah ia dalam
ibadat menjayakan keimanan yang diyakininya.
Antara mereka yang terpedaya itu ialah mereka yang merasa dirinya memadai dengan ilmu-
ilmu setakat menyentuh amalan-amalan lahiriah sahaja tanpa mempedulikan aspek-aspek
yang batin dalam amalan hidup. Maka Imam al-Ghazali rd mengutip kata-kata ulama yang
dahulu-dahulu yang bermaksud Sesiapa yang tidak ada baginya habuan daripada aspek
yang batin daripada ilmu ahli tasawuf, maka dibimbangkan ia itu mati dalam kejahatan akhir
hayatnya. Dan yang sehabis kurang sekali daripada habuan ilmu demikian ialah
menyerahkan hal itu kepada mereka yang ahlinya jangan dibantah. Imam al-Ghazali
menyebutkan pula bahawa kalau seseorang itu mengetahui ilmu yang batin dalam tasawwuf
tetapi ia tidak berusaha untuk memperbaikkan dirinya dan amalannya serta hatinya, maka ia
terpedaya juga. Hendaklah keadaan ini dijauhi.
Antara mereka yang dibimbangkan binasa ialah orang-orang yang merasa memadai dengan
amalan-amalan lahiriah sebagai orang-orang yang taat kepada aturan-aturan hukum agama.
Orang yang demikian merasa memadai sebagai orang-orang yang salih dan mengamalkan
agama, walhal ia tidak peduli untuk membersihkan diri daripada sifat-sifat yang keji seperti
riya (yaitu melakukan amal kebajikan dalam agama untuk mendapat sanjungan orang ramai
atau untuk menjadi masyhur), ujub iaitu rasa tercengang dengan kebaikan diri sendiri, takbur
membesarkan diri atas orang lain; demikian seterusnya.
Antara mereka yang binasa dan terpedaya ialah orang-orang yang meringan-ringankan
peraturan Syara berkenaan dengan cara masuk ke dalam amalan yang dikehendaki Allah.
Ini kerana sikap memandang rendah kepada ilmu, kononnya dikatakanya ilmu ini kulit luar
sahaja; yang penting ialah yang batin.
Antara orang-orang yang binasa walaupun mereka beramal ibadat ialah orang-orang yang
mengamalkan amalan-amalan seperti sembahyang, puasa dan lainnya, tetapi mereka
memandang remeh kepada perbuatan mengumpat kepada orang lain serta dengki terhadap
mereka.

Secara terang Imam Ghazali menyebut di kalangan mereka yang menisbahkan diri kepada
tasawwuf menjadi binasa kerana mereka mengambil berat tentang resmi dan pakaian seperti
orang-orang tasawwuf dengan kain yang mereka pakai, dan tabiat mereka seperti ahli zikir.
Beliau mahu supaya selain daripada resmi lahiriah dan kerja-kerja atau cara hidup lahiriah
seperti orang sufi perlulah dijaga adab-adab batinnya.

Golongan yang menisbahkan mereka kepada tasawwuf juga ialah orang-orang yang mengaku
mempunyai pengetahuan yang tinggi-tinggi seperti aspek-aspek mukasyafah termasuk ilmu
tentang Tuhan dan sifat-sifatNya dengan dalamnya tetapi ia mencuaikan amalannya dalam
mentaati Tuhan dan menjalankan aturan agamaNya dengan ikhlas.

Antaranya disebutkan orang-orang yang terpedaya ialah orang-orang yang menganggap
Syara itu adalah tidak penting kerana ia aspek lahiriah tidak inti bagi agama. Ini bagi agama ia
huraian tentang perkara-perkara yang tinggi-tinggi dan mereka ini menghafal kata-kata istilah
yang tinggi-tinggi untuk menonjolkan diri sebagai orang-orang tasawwuf yang mencapai darjat
yang tinggi, walhal itu adalah hafalan saja

Dalam Faisalah at-Tafriqah Imam Ghazali menyebut tentang mereka yang meringan-ringankan
aturan Syara seperti orang-orang Zindik.

Kita boleh melihat kekuatan tasawwuf dalam huraian Imam al-Ghazali berdasarkan kepada
sifat-sifat keutamaan rohaniah terdiri daripada pelbagai sifat yang perlu diperjuangkan
kejayaannya dalam nafsu atau diri batin manusia. Sifat-sifat itu antaranya ialah: taubat, syukur,
sabar, takut, harap, zuhud, faqir, tawakkal, tauhid, mahabbah dan syauk kepada Tuhan, niat
yang baik, keikhlasan, sifat benar, muraqabah, muhasabah, mengingati maut.

Sifat-sifat yang mesti dibuang daripada jiwa manusia antaranya ialah: kegelojohan nafsu perut
dan kelamin, kebinasaan lidah, (berkata-kata tentang perkara yang tidak berfaedah, berbantah-
bantah, memberat-berat diri untuk menggunakan bahasa berperhiasan, suka memaki,
melaknat, mempersenda-sendakan orang, dan lainnya, mengumpat, mengadu orang),
bercakap orang awam berdalam-dalam berkenaan dengan Tuhan, sifat marah, berseteru,
dengki dan dendam, kegilaan kepada hidup dunia, bakhil, tamak haloba, riya, suka kepada
kemasyhuran, kasihkan pangkat, takabur, ujub atau tercengang dengan kebaikan diri.

Dalam tasawwuf Imam al-Ghazali ada aspek yang menyentuh hubungan manusia dengan
Tuhan dalam pengalaman rohaniah sampai seolah-olah manusia merasa dirinya seperti tidak
ada yang sebenar-benar ada hanya Tuhan. Ini boleh dikesankan dalam perbincangannya
tentang mahabbah atau kasih, kejinakan atau al-uns, serta hal tauhid. Aspek yang satu lagi
ialah bagaimana beliau menyebut Tuhan dengan Sifat-sifatNya yang sempurna dan sediakala
(qadim); ini seperti yang disebut di kalangan sufiah: Tuhan kekal sebagai Tuhan walaupun ia
tajalli (seperti tajalli di bukit Tursina) dan hamba kekal hamba walaupun ia meningkat
makamnya. Berhubung dengan ini maka kita boleh memandang bahawa akidah itu akidah
juga Tuhan adalah Yang menjadikan, Yang Kekal dan Sediakala, manusia adalah makhluk,
yang baharu. Hanya kita perlu sebutkan bahawa pengalaman ahli-ahli rohani dalam sejarah
Islam adalah pengalaman yang benar dan kita menerimanya.
Dalam tasawwuf Imam al-Ghazali terdapat penghayatan akidah Ahlis-Sunnah sampai ke
kemuncaknya, dengan perlaksanaan amalan berdasarkan fiqh imam mujtahid yang diikuti oleh
orang yang berkenaan; amalan rohaninya pula adalah terdiri daripada amalan-amalan yang
diakui ulama, serta dengan penekanan ke atas sifat-sifat keutamaan yang baik (asl-fadail),
dan pengikisan dari jiwa sifat-sifat yang buruk (al-akhlak almadhmumah); pengiktirafan ada
terhadap pengalaman rohani yang sahih yang sampai kepada tahap bahawa orang yang
berkenaan itu sampai mengalami bahawa wujud yang sesungguhnya adalah Tuhan dan wujud
hamba adalah wujud yang bukan hakiki, walaupun memang ia real pada paras alam benda.
Dalam rangka akidah yang sedemikian ini selaraslah akidah manusia di Dunia Melayu dan
akidah ini hendaklah dikawal dan diteruskan supaya ia bersemarak; janganlah dibiarkan akidah
lain berkembang di kalangan orang Dunia Melayu ini supaya aliran Ahl al-Sunnahnya tetap
segar. Antaranya hendaklah jangan dibiarkan berkembang di Dunia Melayu ini pegangan
seperti yang ada dalam ajaran Muhammad bin Abd al-Wahhab yang sampai menuduh Nabi
Adam a.s. syirik, Syaikh al-Busiri dalam al-Burdahnya dikatakan syirik, dikatakan mengucap
syahadah dengan tahu maknanya, dengan berikrar, dengan menyeru kepada Tuhan belum
menjadikan selamat nyawa dan harta, berdoa di kubur wali sampai dikatakan syirik dan kafir,
mengikut imam mujtahid sebagai orang bertaklid sama seperti Orang Ahlil-Kitab mengambil
rahib-rahib dan ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.

Wallahu alam.

--------------------------------------------------

* Sumber-sumber tentang riwayat hidup Imam al-Ghazali rd banyak terdapat di
laman web al-Ghazalis website: www.muslimphilosophy.com/gz/default.htm;
antaranya:

At-Tabaqat al-Shafiiyyah al-Kubra, oleh Imam Taj al-Din al-Subki (1327-1370),
ed.Abd al-Fattah Muhammad al-Juluyy dan Mahmud Muhammad al-Tanahi, jld.
VI.cetakan pertama, Isa al-Babi al-halabi, Kahirah, hlm.191-227;
Siyar Alam al-Nubala, Imam al-Dhahabi,
Tibyan Kathib al-Muftari, Ibn Asakir,
Shadharat al-Dhahab,
Wafayat al-Wafayat
Mirat al-Jinan
al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir
The Life of al-Ghazali with special reference to his religious experiences and opinions, D
Black MacDonald, (JAOS).1887,
Al-Ghazali: Life and Works oleh Massimo. Campanini (e-teks),
Al-Ghazali: Philosophy and Works, oleh K. Nakamura, dari Routledge Encyclopedia of
Philosophy,
The faith and Practice of Al-Ghazali artikel oleh Montgomery Watt,
Al-Ghazali: A standard web biography and review of his works oleh G.F.Haddad,
Syarah Ihya (Ithaf al-Sadat) oleh Murtadha al-Zubaidi, mukaddimah jld I hlm 1-55
M.Saeed Shaeik, M.A. al-Ghazali, bab XXX, bahagian awal tentang Imam ini, termasuk
riwayat hidupnya dalam History of Muslim Philosophy, di bawah al-Ghazali Life and Works,
dlm http://www.muslimphilosophy.com/gz/articles/hmp-4-30.htm.

You might also like