You are on page 1of 2

Disediakan oleh: Muhammad Azri Firdaus Bin Mohd Rosdi

No. Matrik : 155248

“Perpaduan kaum di Malaysia dapat diibaratkan sebagai telur di hujung tanduk”.Bincangkan.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa perpaduan kaum adalah sesuatu perkara yang sangat
penting dalam pentadbiran sesebuah negara. Perpaduan kaum ini bermaksud kesepakatan dan
semangat kerjasama antara semua kaum dalam negara tersebut untuk mewujudkan sebuah negara
yang harmoni dan Makmur. Malaysia terkenal dengan kepelbagaian kaum seperti kaum cina, india,
melayu, kadazan dusun dan banyak lagi. Setiap kaum mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi
agama, budaya dan lain-lain. Telah terbukti selama ini bahawa perpaduan kaum di Malaysia amatlah
erat dan utuh kerana setiap kaum dapat hidup dengan harmoni. Namun , adakah perpaduan ini
dapat dikekalkan? Sekiranya berlaku sebarang masalah antara kaum, adakah perpaduan kaum di
Malaysia dapat diibaratkan sebagai telur di hujung tanduk?

Jika kita kenang kembali akan tragedi yang menimpa kaum-kaum di Malaysia pada masa
dahulu , pernah berlaku satu pertelingkahan besar antara kaum yang telah memecah belahkan
keharmonian negara. Isu 13 Mei 1969 masih lagi segar di ingatan rakyat-rakyat Malaysia. Peristiwa
ini amat tidak terkawal sehingga negara mengisytiharkan darurat pada 16 Mei 1969. Perbalahan ini
telah mewujudkan konspirasi dan sentimen yang tidak baik kepada negara. Maka, jika dilihat akan
isu ini, terbukti bahawa perpaduan kaum di Malaysia adalah seperti telur di hujung tanduk. Akan
tetapi, isu ini telah lama berlalu dan telah diselesaikan dengan sangat baik dan saksama kepada
kaum-kaum yang terlibat. Jika dilihat akan perkembangan kaum di Malaysia kini, sesungguhnya
setiap kaum tidak lagi berbalah antara satu sama lain malah saling membantu demi keharmonian
negara. Oleh itu , selagi isu-isu seperti yang tertera dapat dielakkan, maka perpaduan kaum ini dapat
dikekalkan sehingga generasi yang akan datang.

Seterusnya, dapat dilihat juga bahawa setiap rakyat tidak mengira kaum mempunyai hak
untuk mengundi. Sistem pilihan raya yang diwujudkan adalah satu bukti yang kukuh bahawa
perpaduan kaum di Malaysia ini amatlah erat. Dalam sistem pilihan raya ini, setiap rakyat diberi
peluang untuk memilih calon-calon daripada pelbagai kaum yang mewakili parti politik masing-
masing. Ini membuktikan bahawa setiap kaum memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada calon
yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat tanpa mengira kaum. Kepercayaan yang diberikan ini akan
digunakan sebaik mungkin demi mencapai perpaduan kaum yang erat. Dengan ini, terbuktilah
bahawa proses pilihan raya yang diwujudkan dapat memupuk semangat perpaduan antara
masyarakat yang berbilang kaum.

Tambahan lagi, dapat dilihat juga bahawa di Malaysia terdapat institusi-institusi pendidikan
yang rata-rata pelajar adalah terdiri daripada pelbagai kaum. Tidak dinafikan bahawa terdapat
institusi yang hanya membenarkan sesuatu kaum sahaja untuk belajar di situ. Namun, dengan
terdapatnya institusi-institusi yang mencampurkan pelajar-pelajar daripada latar belakang kaum
yang berbeza ini dapat memupuk perpaduan antara kaum. Apabila pelajar-pelajar ini belajar di
bawah satu bumbung maka secara tidak langsung dapat melahirkan semangat saling membantu dan
kerjasama antara mereka. Tambahan pula, amatlah sukar untuk berlaku sebarang pergaduhan
sekiranya mereka mempunyai kesefahaman yang jitu dan mencuba sedaya-upaya untuk belajar
bersungguh-sungguh supaya mereka dapat menjadi rakyat berbilang kaum yang berbakti kepada
negara tanah air mereka. Haruslah dihapuskan sebarang pemikiran-pemikiran negatif antara para
pelajar berbilang kaum dan perkara ini haruslah dititik beratkan oleh guru-guru di sekolah tersebut.
Oleh sebab itu, institusi-institusi pendidikan yang mementingkan perpaduan kaum ini haruslah dijaga
dengan sebaik mungkin untuk mengekalkan perpaduan kaum.

Akhir sekali, dapat dilihat juga bahawa sebarang program yang dilaksanakan dalam negara
adalah mengutamakan kerjasama antara pelbagai kaum. Sebagai contoh, ‘Hari Sukan Negara’
merupakan sebuah program yang dilaksanakan setiap tahun. Sekiranya kita lihat dari segi
perpaduan, bukankah terbukti bahawa setiap rakyat daripada pelbagai kaum keluar bersama-sama
menjayakan aktiviti-aktiviti yang dirancang dan berusaha mencapai tujuan yang sama. Maka,
sesungguhnya aktiviti-aktiviti ini sekiranya dilakukan secara bersama-sama antara semua kaum
sememangnya dapat mengekalkan perpaduan kaum.

Berdasarkan isi-isi yang dikemukan, maka jelaslah bahawa sebenarnya perpaduan kaum di
Malaysia bukanlah seperti telur di hujung tanduk. Sekiranya perpaduan ini dapat dikekalkan,
Malaysia dijamin dapat menepis segala masalah yang dihadapi dan rakyat akan bersatu-padu untuk
menyelesaikan isu-isu yang berbangkit. Diharapkan Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang
lebih maju pada masa hadapan dengan menitik beratkan perpaduan antara semua kaum.

You might also like