You are on page 1of 3

UCAPAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN

PROGRAM JOM KE SEKOLAH


PERINGKAT SEKOLAH SERI SEDOHOK 2022

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan
Salam Keluarga Malaysia.

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT


kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, kita dapat sama-sama
menjayakan program “Jom Ke Sekolah” peringkat Sekolah Seri
Sedohok 2022.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat berbesar hati kerana diberi


kepercayaan untuk berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) dalam usaha menangani permasalahan disiplin dan salah
laku pelajar. Jelas sekali, matlamat program ini amat relevan dalam
proses pembentukan sahsiah dan displin masyarakat yang bermula seawal
peringkat sekolah rendah lagi.

PDRM amat prihatin tentang permasalahan sosial dan salah laku jenayah
dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar-pelajar sekolah
bermula dari sekolah rendah. Sehubungan itu, PDRM sentiasa memantau
pelajar-pelajar yang terlibat dengan salah laku disiplin, lebih-lebih lagi
yang menyumbang kepada perlakuan jenayah. Kerjasama rapat antara
pihak sekolah dengan PDRM dilihat berupaya membendung salah laku
ini daripada berleluasa.

Dalam menyokong usaha ini, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dari


kalangan pegawai dan anggota polis dilantik bagi setiap sekolah,
bertujuan mewujudkan komunikasi berterusan antara PDRM dan pihak
sekolah, ke arah meningkatkan kesedaran terhadap semua jenis
perlakuan jenayah yang berubah-ubah mengikut persekitaran sosial
sesebuah sekolah dari peringkat sekolah rendah.

PPS turut memainkan peranan dalam membantu mewujudkan suasana


sekolah yang selamat,aman dan sejahtera sebagaimana yang telah
digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
1
Antaranya termasuklah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk
diambil tindakan jika perlu, melakukan rondaan/lawatan berjadual dan
berkala di kawasan sekolah dan memberikan ceramah serta taklimat
berkaitan dengan hal-hal keselamatan dan displin kepada warga sekolah.

Menyedari akan peri pentingnya keselamatan sekolah dalam


mempengaruhi suasana pembelajaran murid-murid, maka setiap PPS
perlu lebih aktif, kreatif dan inovatif dalam menangani masalah disiplin
di kalangan pelajar, ke arah melahirkan warganegara yang berdisiplin dan
bersahsiah tinggi. Ia bukanlah sekadar memenuhi jadual penugasan PPS
semata-mata, tetapi direkabentuk pengisian aktivitinya bagi melahirkan
remaja yang berdisiplin tinggi, bersemangat jati diri, berjiwa patriotik dan
berakhlak mulia.

Penglibatan secara langsung PPS dalam program ini juga berupaya


mendorong dan meransang masyarakat sekolah untuk turut sama
memainkan peranan dalam mencegah salah laku disiplin murid. Menerusi
mekanisme ini, PPS dapat memberi kesedaran kepada warga sekolah
berkaitan peranan yang boleh dimainkan serta langkah-langkah
pencegahan yang boleh diimplementasi dalam usaha mengekang kes
salah laku disiplin murid terutama kadar tidak hadir ke sekolah
khususnya, sekali gus menjayakan program ini, insya-Allah.

Permasalahan disiplin di sekolah seperti buli, vandalisme, dan ponteng


adalah masalah tradisional di kalangan pelajar sekolah. Kini, kita
berhadapan pula dengan ruang lingkup jenayah baru hasil daripada
kecanggihan teknologi serta kebebasan penggunaan media sosial di
kalangan remaja. Saya turut difahamkan, bahawa bersempena pelancaran
Program Jom ke Sekolah ini, KPM telah mengambil inisiatif
menyediakan saluran aduan berkenaan isu dan masalah disiplin pelajar
melalui Peti Aduan Disiplin Murid yang diwujudkan di sekolah-
sekolah. Adalah diharapkan agar inisiatif ini dapat memberi pemahaman
dan pengetahuan yang menyeluruh kepada semua peringkat warga
sekolah, agar masalah disiplin pelajar dapat ditangani dengan pantas dan
bijaksana serta berkesan.

2
Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),barisan pentadbir guru-guru,
ibu bapa dan para Pegawai Perhubungan Sekolah serta semua pihak yang
sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada setiap program atau
aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh PDRM dalam melahirkan generasi
muda yang dinamik, berkualiti, berjati diri dan berwawasan. “Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara.”

Sekian, terima kasih.

You might also like