You are on page 1of 2

Tugasan 3_Karangan : C.

Tatakelakuan dan Tatatertib dalam Perkhidmatan Awam

Sejak kebelakangan ini, jumlah kes tatatertib di Kementerian Pendidikan


Malaysia semakin meningkat. Salah laku penjawat awam termasuklah menipu tipu
sakit, mengambil rasuah dan sebagainya. Tatatertib bermaksud tindakan yang memberi
kesan kepada perkhidmatan awam misalnya turun pangkat, turun gaji, penamatan
pemangkuan dan sebagainya. Dalam perkhidmatan awam, pegawai awam yang dilantik
tertaluk kepada undang-undang, peraturan, pekeliling dan arahan yang dikeluarkan.
Antara tatatertib am dalam perkhidmatan awam ialah seseorang pegawai
hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan
Agong, negara dan Kerajaan. Contohnya pegawai tersebut tidak boleh bersubahat
dengan musuh negara dan membocorkan rahsia Kerajaan. Selain itu, seseorang
pegawai tidak boleh membelakangkan tugas awam demi kepentingan peribadinya.
Misalnya pegawai berkenaan tidak boleh menguruskan perniagaan sendiri atau
saudara mara dalam waktu tugas rasmi. Seterusnya seseorang pegawai tidak boleh
berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan kepentingan
peribadinya bercanggah dengan tugas awamnya seperti menguruskan tender
sedangkan pegawai mengetahui ada di antara mereka yang mengemukakan tender
terdiri daripada saudara-maranya. Pada masa yang sama, seseorang pegawai juga
tidak boleh menggunakan kedudukan awamnya bagi faedahnya sendiri. Misalnya
pegawai tersebut tidak boleh menggunakan dan memandu kenderaan jabatan untuk
kegunaan sendiri seperti pergi ke pejabat dan balik dari pejabat, menghantar anak ke
sekolah dan lain-lain.
Tatatertib am yang lain ialah seseorang pegawai tidak boleh berkelakuan dengan
cara yang boleh memburukkan nama atau mencemarkan nama perkhidmatan awam
seperti terlibat dengan penyalahgunaan dadah, berjudi di pejabat, disabitkan kesalahan
jenayah dan seumpamanya. Di samping itu, seseorang pegawai tidak boleh kurang
cekap atau kurang berusaha. Misalnya pegawai tersebut gagal menguruskan penyata
bank dan buku tunai dengan teratur dan bersistematik. Pada masa yang sama,
seseorang pegawai tidak boleh tidak jujur dan tidak amanah. Misalnya pegawai
berkenaan tidak boleh menggunakan wang tabung amanah untuk kegunaan sendiri.
Tambahan pula, seseorang pegawai tidak boleh tidak bertanggungjawab seperti tidak
hadir bertugas tanpa cuti atau tanpa kebenaran atau tanpa sebab yang munasabah.
Salah satu tatatertib am yang mustahak ialah seseorang pegawai tidak boleh
membawa atau cuba membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk
menyokong atau memajukan apa-apa tuntutan berhubung dengan atau terhadap
perkhidmatan awam, sama ada tuntutan itu ialah tuntutannya sendiri atau tuntutan
mana-mana pegawal lain. Misalnya meminta orang kenamaan untuk menggunakan
jasa baiknya mempengaruhi Lembaga Kenaikan Pangkat untuk menaikkan pangkatnya.
Selain itu, seseorang pegawai tidak boleh ingkar perintah dengan berkelakuan dengan
apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah.
Contohnya tidak melaporkan penerimaan hadiah kepada Ketua Jabatan atau membawa
keluar fail terperingkat Jabatan tanpa kebenaran bertulis Ketua Jabatan. Tambahan
pula, seseorang pegawai tidak boleh cuai dalam melaksanakan tugas-tugasnya seperti
menghilangkan harta Kerajaan dalam simpanan pegawai.
Larangan mutlak bagi seseorang pegawai awam termasuk gangguan seksual,
penyalahgunaan dadah, memberi atau menerima keraian, menyelenggara taraf hidup
melebihi daripada emolumen rasmi dan pendapatan yang sah, meminjam wang atau
menjadi penjamin, keterhutangan kewangan yang serius, meminjamkan wang dengan
bunga, penglibatan dalam pasaran niaga hadapan, cabutan bertuah dan loteri,
penerbitan buku berdasarkan maklumat terperingkat, penyunting akhbar, majalah atau
jurnal, kegiatan politik kumpulan pengurusan tertinggi serta tidak hadir bertugas tanpa
cuti, kebenaran atau sebab yang munasabah. Sesetengah larangan boleh dibuat
dengan kebenaran pihak atasan. Misalnya melakukan pekerjaan luar, menerima
hadiah, menerima keraian dan pemunyaan harta perlu mendapatkan kebenaran ketua
jabatan. Penyataan awam pula mesti mendapatkan kebenaran menteri. Kegiatan politik
hendaklah mendapatkan kebenaran KSU KPM. Memulakan prosiding undang-undang
bantuan guaman wajib mendapatkan kebenaran KSU.
Jenis-jenis hukuman bagi seseorang pegawai perkhidmatan termasuk buang
kerja, iaitu dikeluarkan dari perkhidmatan awam. Seseorang pegawai juga akan
diberikan amaran sebagai satu bentuk peringatan. Selain itu, seseorang pegawai boleh
dikenakan denda maksimum 7 hari emolumen. Denda hak emolumen tiada hadnya,
bersesuaian dengan jumlah ketidakhadiran bertugas tanpa sebab. Di samping itu,
seseorang pegawai boleh ditangguh pergerakan gaji bagi tempoh 3, 6, 9 atau 12 bulan.
Denda turun gaji yang minimum ialah 1 pergerakan gaji selama 12 bulan manakala
yang maksimum ialah 3 pergerakan gaji selama 36 bulan. Di samping itu, seseorang
pegawai boleh didenda turun pangkat dalam skim perkhidmatan yang sama. Walau
bagaimanapun, seseorang pegawai yang telah dikenakan hukuman tatatertib boleh
membuat rayuan kepada lembaga rayuan tatatertib dalam tempoh 14 hari dari
keputusan diterima oleh pegawai.
Kesimpulannya, penjawat awam memainkan peranan yang amat penting dalam
perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, setiap penjawat awam hendaklah sentiasa
mementingkan tugas awamnya, bukan menguruskan kepentingan peribadi dalam waktu
bertugas. Akhir kata, setiap penjawat awam perlu mematuhi peraturan mengenai
tatakelakuan dan tatatertib serta pada setiap masa memberikan taat setianya kepada
Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.

You might also like