You are on page 1of 6

ULASAN KES

Kamaruddin bin Bappu v Pendakwa Syarie [2018] 1 SHLR 53

(a) Butiran Kes

Nama penuh kes ini bersama citation adalah Kamaruddin bin Bappu v Pendakwa Syarie
[2018] 1 SHLR 53. Kes ini telah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam,
Selangor. Perayu kemudiannya tidak berpuas hati terhadap hukuman yang diberikan oleh Hakim
Syarie Mahkamah Rendah Syariah dan seterusnya merayu ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah
Alam, Selangor dan didengar di hadapan Salehan Yatim SHHCJ pada 3 March 2016. Kes ini
merupakan kes Rayuan Jenayah NO 0500-138-0073 OF 2015

(b) Fakta Kes

Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes ini adalah perayu di peringkat Mahkamah Tinggi Shah
Alam. Maka, dalam konteks Ulasan Kes ini, saya akan menggunakan “Perayu” untuk merujuk
kepada OKT.

Perayu dalam kes ini adalah Kamaruddin bin Bappu. Perayu yang tersebut telah melakukan
kesalahan Jenayah Syariah di bawah Sekseyn 17(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995
(‘EJSS’) kerana berada di dalam premis judi. Ini kerana Perayu telah ditangkap berada di dalam
premis judi iaitu Sports Toto. Perayu kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di
mana Perayu mengaku bersalah dan dengan pengakuan itu sabitlah kesalahan ke atas Perayu.

Perayu dalam mitigasinya memohon agar Yang Arif Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah
agar memberikan hukuman yang ringan dan tidak memberikan hukuman penjara kepadanya
memandangkan Perayu merupakan seorang suami dan seorang bapa yang mempunyai
tanggungan di rumah. Hakim Bicara setelah meneliti hujah pemberatan pihak Pendakwaan
Syarie dan Mitigasi Perayu, menjatuhkan hukuman penjara sepuluh hari dan denda RM2,000
atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda terhadap Perayu. Perayu yang tidak berpuas
hati terhadap keputusan itu bertindak memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah
Alam dengan mengutarakan beberapa isu yang akan di bincangkan di bawah subtopik “isu
undang-undang Jenayah Syariah”.

(c) Isu-Isu Undang-Undang Jenayah Syariah

Dalam kes ini, terdapat lapan (8) isu yang dibangkitkan oleh pihak Perayu dalam rayuannya di
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. Namun, hanya tiga (3) isu yang dibincangkan
oleh Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang mana ianya berkaitan persoalan
samada Hakim biara di Mahkamah Rendah Syariah telah mengikuti prinsip peringanan hukum
sebetulnya. Isu-isu tersebut akan disertakan dibawah dan akan diterangkan dengan lebih lanjut
pada bahagian “Alasan Penghakiman”

Isu pertama: sama ada hakim bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila gagal
menimbangkan faktor-faktor peringanan hukuman (“isu pertama”)

Isu kedua: sama ada hakim bicara telah terkhilaf dari segi fakta apabila hanya melihat kepada
kepentingan umum dan bukan kepentingan diri perayu dari sebagai suami dan bapa yang
mempunyai tanggungan (“isu kedua”)

Isu ketiga: adakah wajar hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara diubah atau sebaliknya
atau rayuan perayu wajar dibenarkan atau sebaliknya (“isu ketiga”)

(d) Penghujahan di pihak Pendakwaan Syarie

Isu Pertama:

Bagi isu yang pertama, pihak Pendakwaan Syarie telah gagal mengemukakan sebarang fakta
yang boleh membuktikan bahawa Perayu adalah pesalah berulang kali. Pihak Pendakwa hanya
menekankan dan memberatkan bahawa Perayu telahpun mengaku bersalah. Hakim Bicara telah
menerima pemberatan ini.

Isu Kedua:

Pihak Pendakwaan Syarie menghujahkan bahawa hukuman yang setimpal termasuklah


pemenjaraan hendaklah diberikan kepada Perayu supaya pengajaran dapat diberikan kepada
masyarakat.
Isu Ketiga:

Pihak Pendakwaan Syarie berhujah bahawa Hakim Bicara tidak tersilap semasa menjatuhkan
hukuman kepada Perayu dan bahawa Hakim Bicara telah mengambil kira pelbagai faktor
peringanan hukuman tersebut.

(e) Penghujahan di pihak Perayu/ PeguamBela

Isu Pertama:

Pihak Perayu menghujahkan bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf untuk mengambilkira faktor
peringanan hukuman kesalahan kali pertama walaupun fakta ini telah disebut oleh Perayu dalam
mitigasi lisannya.

Perayu juga telah menyatakan bahawa Perayu telah membuat pengakuan bersalah sebanyak tiga
(3) kali tanpa sebarang paksaan dari mana-mana pihak. Namun, Hakim Bicara terkhilaf/ gagal
mengambil kira faktor peringanan hukuman yang tersebut,

Isu Kedua:

Pihak Perayu menghujahkan bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf apabila Hakim Bicara hanya
meilhat kepada kepentingan awam sahaja dan tidak melihat kepada keadaan diri perayu sebagai
suami dan bapa yang menyara keluarganya. Perayu telah menghujahkan bahawa hukuman
penjara akan menyebabkan beliau hilang pendapatan dan akan mengalami kesukaran dan
kesusahan untuk menyara keluarganya.

Isu Ketiga:

Perayu menghujahkan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara adalah berlebihan
dan tidak bertepatan dengan prinsip yang diguna pakai di dalam kes Mohd Ibrahim bin Mohd
Sharif v Pendakwa Syarie Pulau Pinang [1998] 13 (2) JH 185.
(f) Keputusan/ Alasan Penghakiman

Isu Pertama:

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah (“Mahkamah”) bersetuju bahawa Hakim Bicara telah gagal
mengambil kira faktor kesalahan kali pertama dan pengakuan bersalah Perayu dalam
menjatuhkan hukuman kepada Perayu. Mahkamah juga berpuas hati bahawa pihak Pendakwaan
gagal membentangkan sebarang bukti atau fakta yang menunjukkan Perayu merupakan pesalah
berulang kali.

Mahkamah juga menyatakan bahawa Hakim Bicara tidak boleh mengambil pengakuan salah
Perayu untuk dijadikan alasan untuk menjatuhkan hukuman yang lebih berat. Seterusnya
Mahkamah menyatakan bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf untuk memberi justifikasi akan
mengapa beliau tidak menyentuh/ mengulas tentang pengakuan bersalah Perayu. Persoalan sama
ada hakim bicara hendak menerimanya atau sebaliknya adalah kuasa budi bicaranya. Namun,
pertimbangan terhadap faktor tersebut hendaklah disentuh dan dinyatakan di dalam alasan
penghakimannya.

Isu Kedua:

Mahkamah mengatakan bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf untuk mengambil kira keadaan dan
kepentingan diri Perayu sebagai seorang pesara keluarganya. Mahkamah seterusnya mengatakan
bahawa hukuman penjara akan menyebabkan Perayu dan keluarganya hilang punca pendapatan
semasa Perayu berada di dalam tempoh pemenjaraan.

Isu Ketiga:

Untuk isu ini, Mahkamah berpuas hati bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara
kepada Perayu adalah berlebihan setelah mendapati Hakim Bicara gagal/ terkhilaf dalam
mengikuti prinsip peringanan hukuman. Malah, Mahkamah juga bersetuju bahawa pertuduhan
yang dibacakan oleh pihak Pendakwaan Syarie (judi) adalah tidak selari dengan kesalahan yang
dilakukan oleh tertuduh (berada di dalam premis judi). Maka, Mahkamah berpendapat bahawa
Perayu hendaklah diberi peluang dan kelebihan dalam kes ini setelah mengambil kira bahawa
Hakim Bicara membuat kekhilafan semasa menjatuhkan hukuman kepada Perayu.
Keputusan:

Setelah mahkamah meneliti rekod rayuan dan setelah meneliti hujahan pihak perayu, hujahan
responden dan hujahan balas perayu serta hujahan lisan kedua-dua pihak dan autoriti-autoriti
yang dikemukakan, maka dengan ini, mahkamah memutuskan seperti berikut:

(a) rayuan perayu diterima; dan

(b) hukuman denda sebanyak RM2,000 diubah kepada denda sebanyak RM3,000 atau tiga bulan
penjara sekiranya gagal membayar denda

(g) Ulasan Pelajar ((pendapat, syor, kritikan dan lain-lain)

Pada pendapat saya, keputusan dan ulasan yang diberikan oleh Hakim Syarie Mahkamah Tinggi
Syariah Shah Alam adalah bertepatan dengan prinsip peringanan hukuman. Saya bersetuju
bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf apabila tidak mengambil kira kesalahan kali pertama dan
pengakuan salah pelaku. Saya juga berpendapat bahawa keadaan Perayu sebagai pesara
keluarganya hendaklah dijadikan sebagai faktor penting dalam menjatuhkan hukuman. Hukuman
denda adalah mencukupi dalam kes ini memandangkan Perayu bukanlah dari keluarga yang
senang dan merupakan pesalah kali pertama. Saya percaya hukuman denda sahaja (tanpa
penjara) adalah cukup untuk membuat Perayu berasa insaf dengan perlakuannya. Saya juga
bersetuju bahawa tuduhan yang dibacakan oleh pihak Pendakwaan Syarie adalah tidak
bertepatan dengan kesalahan yang dilakukan oleh Perayu. Ini kerana tuduhan yang dibacakan
adalah berkaitan judi manakala kesalahan perayu adalah berada di dalam premis judi.

You might also like