You are on page 1of 3

TEKS 

UCAPAN ENCIK MOHAMMAD BIN SAID 
PK PENTADBIRAN, SMK UNDANG REMBAU 
SEMPENA 
PERASMIAN  MAJLIS PELANCARAN BULAN  BAHASA,  PROGRAM NILAM  (READING 
SESSION) DAN KEMPEN  GALAKAN MEMBACA DAN DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN 
PERINGKAT SEKOLAH 2022. 

Tarikh: 18 Mei 2022 ( Rabu ) 
Masa: 7. 40 pagi 
Tempat:  Dataran Perhimpunan 

Yang dihormati, Ustaz Zaidi bin Pain, PK Hal Ehwal Murid, SMK Undang Rembau 

Yang dihormati, Encik Zubir bin Mohd, PK Kokurikulum, SMK Undang Rembau 

Yang dihormati Pn. Rohani bt. Yusop, PK PPKI SMK undang Rembau 

Yang dikasihi barisan guru dan murid sekalian. 

 Assalammualaikum dan selamat sejahtera.  SALAM URESS NO. 1. WE ARE THE BEST. 
HENDAK MAJU BERUSAHA 
 

Terlebih  dahulu  marilah  kita  bersama‐sama  memanjatkan  kesyukuran  kepada  Allah  SWT 
kerana dengan limpah dan kurnia‐Nya kita masih diberi ruang dan peluang untuk berkumpul 
bersama‐sama pada pagi yang indah ini.   Saya  juga ingin mengucapkan terima kasih kepada 
pihak majlis kerana diberikan penghormatan untuk bersama‐sama  dengan  murid dan guru‐
guru pada pagi ini dalam majlis TIGA DALAM SATU   yang sungguh bermakna bagi kita semua.    

Saya ingin merakamkan  ucapan tahniah kepada Bidang Bahasa   dan Pusat Sumber Sekolah 
(PSS) SMK Undang  Rembau kerana  menganjurkan  Program Bulan Bahasa, Program NILAM  
(Reading Session) Dan Kempen  Galakan Membaca Dan Dekad Membaca  (DKM) Peringkat 
Sekolah 2022.  

Murid‐murid  dan guru‐guru yang dihormati, 

Kita  harus  bersyukur  dan  berasa  amat    bertuah kerana  dapat  menikmati  kehidupan  yang 
aman dan harmoni di bumi Malaysia ini walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, 
budaya  dan  agama.  Keadaan  inilah  menjadikan  rakyat  Malaysia  amat  unik  dan  berbeza 
dengan  negara  lain.  Namun  begitu,  kemajuan  sesebuah  negara  tidak  boleh  diukur  pada 
kemajuan fizikal  dan kebendaan  semata‐mata sebaliknya perlu menyeluruh dan bersepadu.  
Setelah  negara  mencapai  kemerdekaan,  bahasa  Melayu  telah  dinobatkan  sebagai  bahasa 
rasmi dan bahasa kebangsaan. Oleh yang demikian, sekolah mempunyai peranan yang sangat 
besar dalam usaha mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu yang turut berfungsi 
sebagai bahasa ilmu dan perpaduan rakyat. Namun, dalam masa yang sama penekanan turut 
diberikan kepada murid‐murid untuk menguasai penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa 
kedua  tanpa  mengabaikan  bahasa  ibunda  masing  seperti  bahasa  Cina  dan  bahasa  Tamil. 
Aktiviti yang telah dirancang diharap akan berjaya mencapai objektifnya, iaitu memupuk dan 
mencari  bakat‐bakat  baharu  untuk  aktiviti  bahasa  dan  meningkatkan  kemahiran  
berkomunikasi  dalam pelbagai bahasa dalam kalangan murid.  Pada tahun lepas, murid SMK 
Undang  Rembau  telah  menyertai  banyak  aktiviti  koakademik  berbahasa  pada  peringkat 
daerah, negeri dan kebangsaan. Murid kita juga telah berjaya  muncul sebagai johan pada 
beberapa    pertandingan  peringkat  daerah  dan  negeri.  Pencapaian  terbaik  murid  aliran 
perdana kita dalam aktiviti berbahasa pada tahun 2021 ialah pencapaian  saudari Asna Izzati 
bt. Shahrul  Imran (4 Al‐Bukhary) yang telah mendapat tempat keempat dalam pertandingan 
deklamasi sajak  pada peringkat kebangsaan. Saya berharap pada tahun ini  lebih ramai murid 
SMK Undang Rembau dapat melakar kejayaan yang lebih gemilang. 

Seterusnya saya akan bercakap pula tentang program NILAM. Seyogia, memang tidak dapat 
dinafikan bahawa membaca adalah asas kepada kecemerlangan seseorang. Program NILAM 
telah  mula  dilaksanakan    oleh  Kementerian  Pendidikan  Malaysia  (KPM)  pada  tahun  1999.  
Antara objektif program NILAM adalah menarik minat murid untuk mencintai dan mendalami 
ilmu pengetahuan . Selain itu, murid digalakkan membaca pelbagai bahan bacaan sama ada 
buku  atau  bukan  buku.    Usaha  murni  ini  turut  dizahirkan  oleh  pihak  sekolah  menerusi 
program Reading Session yang dilaksanakan pada setiap hari  di tapak perhimpunan atau  di 
dalam kelas (era pandemik) sebelum PdPC dijalankan. Pihak sekolah amat berharap program 
seumpama ini akan dapat meningkatkan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang selaras 
dengan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).  Sukacita saya maklumkan bahawa pada 
tahun 2021, saudari Nuraisyyah Aqilah  Binti Abdul Rahman ( 4 Al‐Firnas) telah memenangi 
tempat  ketiga    dalam  pertandingan  tokoh  NILAM  kategori  Bahasa  Inggeris  pada  peringkat 
daerah  Rembau.  Semoga  kejayaan  beliau  akan  menjadi  inspirasi  kepada  murid  lain  pada 
tahun ini untuk mencapai kejayaan yang lebih baik. 

Pengiktirafan dan ganjaran NILAM telah ditambahbaik oleh Kementerian Pendidikan


Malaysia. Pengiktirafan NILAM bukan lagi tertumpu kepada bilangan buku yang dibaca
bahkan mata ganjaran yang diberikan berdasarkan bilangan muka surat yang dibaca dan
jenis bahan bacaan yang dibaca oleh murid. Pengiktirafan NILAM dikira dalam bentuk
bintang, iaitu sehingga 5 bintang. Saya menyeru semua murid dan guru untuk berkunjung
ke perpustakaan dan menyertai program-program dan aktiviti yang dirancang. Selain itu,
gunakanlah kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan dengan sebaik
mungkin dalam menimba ilmu baharu.
Seterusnya saya beralih pula pada Program Galakan Membaca dan Dekad
Membaca Kebangsaan (DMK) yang bermatlamat untuk memupuk budaya membaca
sepanjang hayat dalam kalangan murid dan rakyat Malaysia. Budaya membaca secara
berterusan ini dapat membentuk masyarakat yang berilmu, berpengetahuan dan
bermaklumat. Perkara ini dapat menjadikan rakyat Malaysia duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi dengan negara-negara maju lain yang amat mementingkan amalan membaca.
Oleh yang demikian, saya menyeru semua murid dan guru membaca bahan yang berkualiti
untuk meningkatkan ilmu dalam pelbagai bidang. Sementelahan, banyak bahan bacaaan
dalam talian mudah diakses pada era globalisasi ini kerana semuanya berada di hujung jari.
Untuk makluman semua, Kuala Lumpur pernah dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia pada
tahun 2020 oleh UNESCO. Pengiktirafan ini diharap dapat menyemarakkan lagi budaya
membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,


Sebelum  mengakhiri  ucapan  ini  saya  ingi  mengucapkan  syabas  kepada  semua  ahli 
jawatankuasa    serta  semua  yang  telah  terlibat  dalam  menjayakan  program  pada  hari  ini  
secara langsung mahupun  tidak langsung.  Tanpa dedikasi anda semua majlis pada  hari ini  
dan segala aktiviti yang telah dirancang  tidak akan berjalan lancar. Hal ini kerana peribahasa 
Melayu ada disebut,  kalau  tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Saya berharap  
agar kesemua program ini akan berjaya mencapai matlamat dan objektifnya. 

 
Dengan ini, saya dengan sukacita dan lafaz yang mulia, Bismillahhirahmanirrahim
merasmikan Majlis pelancaran program Bulan  Bahasa,  Program Nilam  (Reading Session) 
Dan  Kempen  Galakan Membaca  dan  Dekad  Membaca   Kebangsaan  peringkat sekolah  bagi 
tahun 2022.

Sekian, terima kasih.


 

Wabillahi taufiq wal hidayah


Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

You might also like