You are on page 1of 3

KARANGAN KEBAIKAN INTERNET

Masyarakat pada zaman alaf milenium ini amat mudah untuk mendapat maklumat melalui internet.
Berdasarkan pernyataan berkenaan huraikan kebaikan internet dalam kalangan masyarakat kini.

Saban hari penggunaan internet semakin digemari oleh setiap lapisan masyarakat di negara
kita. Tahukan anda bahawa penggunaan internet di negara kita ibarat cendawan tumbuh selepas
hujankerana pertambahan penggunaannya amat ketara sama ada di kawasan bandar mahu pun di
kawasan luar bandar. Penggunaan internet juga bertambah dalam kalangan rakyat di negara kita
disebabkan wujudnya rangkaian jaringan sosial seperti Facebook, Friendster, My Space dan Tagged
dalam internet yang semakin meluas. Bahkan, negara kita tersenarai dalam sepuluh negara yang
paling banyak menggunakan jaringan sosial iaitu Facebook. Sedar atau tidak, penggunaan internet
juga telah sampai di segenap desa apatah lagi selepas wujudnya teknologi ‘3G’ dan "4G". Apa yang
pasti, kajian telah menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh buah rumah di negara kita
menggunakan kemudahan internet untuk pelbagai tujuan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa
pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada kemudahan penggunaan internet dalam kalangan
masyarakat sekaligus mengubah ajakan paradigma masyarakat dalam era teknologi maklumat kini
kerana maklumat berada di hujung jari.

        Mari kita melebarkan lensa perbincangan dengan mengupas kebaikan penggunaan internet
dalam kalangan masyarakat kini. Pertama kita gunakan minda pelajar kelas pertama dalam
memperinci tajuk perbincangan pertama dengan kata kunci internet bermanfaat untuk mencari dan
mengumpul maklumat dalam masa yang singkat.  Hal ini kerana dalam era globalisasi ini segala
maklumat sama ada formal atau tidak formal telah dimuat naik dalam rangkaian internet oleh
pelbagai pihak dengan cepat sehingga mengalahkan media cetak seperti surat khabar.  Dalam soal
ini, pengguna hanya perlu menaip sahaja maklumat yang dikehendaki dalam carian enjin google atau
yahoo dan segala maklumat yang diperlukan akan tertera di skrin komputer. Malah, setiap maklumat
yang kita perlu dapat kita peroleh menggunakan pelbagai sumber yang boleh dipercayai
keesahannya.  Sebagai contoh, jika kita ingin mencari maklumat berkenaan berita terkini di akhbar,
kita akan memperoleh banyak maklumat kerana hampir semua akhbar telah dibuka atas talian
seperti Utusan Malaysia Online, Berita Harian Online, Malaysia Kini dan News Strait Times. Malahan,
pelajar juga boleh mendapat maklumat mengenai berita terkini berlaku di dunia kerana dengan
internet kerana dunia ibarat tanpa sempadan. Perkara ini secara tidak langsung memudahkan kita
mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber dan kita juga akan memperoleh berita terbaru
kerana dalam media mungkin berita berkenaan masih belum disiarkan.  Contohnya, kita akan
mengetahui peristiwa seperti bencana tsunami yang pernah berlaku di Acheh dan Jepun, serangan
Israel ke atas negara kecil iaitu di Palestin. Justeru, pada zaman milineum ini bergantung kepada
seseorang pelajar untuk mencari maklumat dan sekiranya mereka malas berbuat demikian mereka
boleh  diibarat seperti  katak di bawah tempurung. Oleh itu, kita dapat membuat kesimpulan
bahawa mencari maklumat akan menjadi lebih mudah dengan menggunakan  kemudahan internet.
    Seterusnya mari kita memperinci perbincangan selanjutnya dengan kata kunci penggunaan jalur
lebar dapat menyelesaikan pelbagai urusan seharian seperti membayar bil dan urusan perbankan
Kini, kehidupan masyarakat kita terutama mereka yang tinggal di bandar sangat sibuk dek tekanan
tempat kerja dan kesesakan lalu lintas sebelum serta selepas pulang dari pejabat.  Jadi, kesuntukan
masa yang dialami ini amat menyusahkan apabila mereka hendak menguruskan hal-hal berkaitan
rumah tangga dan pembayaran pelbagai bil. Oleh sebab itu, masyarakat di bandar sering mengalami
tekanan kehidupan atau stress yang membelenggu kehidupan mereka seharian. Justeru, masyarakat
milenium mereka perlu sedar akan kemudahan yang telah disediakan oleh pelbagai agensi sama ada
agensi kerajaan mahupun swasta dalam meringankan bebanan dan masa. Bak kata pepatah, masa
itu emas, sekiranya kita tidak memotongnya masa akan memotong kita.  Oelh sebab itu satu cara
untuk menyelesaikan masal pembayaran bil dalam kehidupan seharian adalah dengan  penggunaan
internet. Justeru, pembayaran bil dan urusan perbankan boleh dilakukan pada bila-bila masa sama
ada sambil minum kopi dan berbual bersama-sama ahli keluarga di rumah, atau dipejabat. Perkara
ini dapat dibuktikan apabila banyak bank seperti Maybank, CIMB Bank, Agro Bank dan RHB Bank
menyediakan perniagaan secara ‘online’ di internet kepada para pelanggan untuk memindahkan
wang ke dalam akaun lain dan menyimpan wang secara ‘online’, begitu juga dengan pembayaran bil
kad kredit. Pembayaran bil elektrik, bil air dan bil telefon juga dapat dibayar dengan penggunaan
internet di rumah melalui laman web kerajaan iaitu myeg.com. Pendek kata, kita dapat
menguruskan pembayaran bil dan urusan perbankan di rumah melalui internet sekaligus
menjimatkan masa kita.

           Di samping itu, manfaat penggunaan internet di rumah dapat memudahkan kita
berkomunikasi di antara jarak jauh dan dekat malah merentasi lautan seantero dunia. Hal ini kerana
terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di internet untuk tujuan komunikasi. Malah, syarikat
gergasi telekomunikasi berlumba-lumba membuka laman web mereka untuk memudahkan
pengguna berkomunikasi di internet. Berkomunikasi di internet bukan sahaja melibatkan suara
orang yang dihubungi malah kita dapat bersua muka dan melihat wajah kenalan atau individu yang
baru kita kenali dengan hanya duduk di kerusi dan mengadap komputer serta tangan bermain
dengan tetikus melalui beberapa klik. Perkara ini amat memberi kebaikan kepada ahli keluarga yang
jauh meninggalkan keluarga untuk bekerja dan belajar di luar negara seperti di Asia Barat dan
Eropah. Oleh sebab itu dengan penggunaan internet hubungan ahli keluarga yang jauh dapat
dipererat dengan menggunakan internet. Mereka hanya perlu mengakses aplikasi ‘yahoo
mesengger’ untuk berkomunikasi bagi melihat wajah dan mendengar suara ahli keluarga yang jauh
bagi melepaskan kerinduan. Tambahan pula, gajet telefon sekarang seperti ipad dan telefon pintar
lain boleh diaplikasi sebagai akses kemudahan internet dan ini mempermudah komunikasi antara
masyarakat berlaku dengan mudah. Tuntasnya, penggunaan internet amat bermanfaat dalam
kalangan masyarakat untuk mereka berkomunikasi jarak jauh. 

         Negara kita sedang mengorak langkah untuk menjadi negara maju, justeru Kementerian
Pelajaran Malaysia sentiasa meningkatkan mutu pendidikan negara dengan  dengan memperkenal
pelbagai kemudahan seperti  Sistem Aplikasi Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang memudahkan ibu
bapa melihat keputusan anak mereka diinternet sama ada untuk mengetahui keputusan ujian
bulanan dan peperiksaan. Melalui capaian internet ini ibu bapa akan mudah mendapat keputusan
peperiksaan anak secara cepat dan berkesan. Seterusnya, ibu bapa boleh membuat langkah susulan
bertemu dengan para pendidik di sekolah untuk mengetahui keputusan anak mereka dengan lebuh
lanjut. Selain itu program pengajaran dan pembelajaran secara maya sedang diaplikasi oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia dengan memudahkan guru dan pelajar untuk berinteraksi melaui
capaian internet. Sistem berkenaan yang dikenali sebagai Frog Vle merupakan satu sistem
pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan
mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya. Sebagai contoh, guru-guru
dapat memberi tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara pelajar dapat
menghantar tugasan dan menyemak markah menerusi VLE. Ibu bapa boleh berkomunikasi dengan
pihak sekolah manakala pentadbir sekolah boleh menguruskan kalendar sekolah dan mewar-warkan
notis sekolah melalui Internet. Justeru, pembelajaran kini boleh berlaku di mana-mana sahaja dan
sudah pasti pembelajaran secara berterusan akan memantapkan lagi prestasi pelajaran dan anak-
anak akan lebih tertarik belajar secara interaktif. Malahan ibu bapa juga mampu mengetahui
prestasi pembelajaran anak mereka sebagai sokongan Sistem Aplikasi Peperiksaan Sekolah (SAPS)
yang diguna pakai sekarang. Tegasnya, Kementerian Pelajaran Malaysia kini berusaha membuat
Transformasi Pendidikan Negara ke araf pendidikan bertaraf dunia agar pendidikan negara kita
boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan pendidikan negara maju di dunia.

         Akhirnya, sebagai pelajar berminda kelas pertama saya ingin menggunakan kata kunci bahan-
bahan bloger di internet yang dikendalikan oleh guru-guru pakar dalam mata pelajaran mampu
memperkasakan kemahiran pelajar dalam mata pelajaran terutama pelajar yang akan menghadapi
peperiksaan awam. Hal ini terbukti apabila guru-guru yang bertanggungjawab, berdedikasi berusaha
untuk membantu pelajar menguasai kemahiran pelajar dalam mata pelajaran berkenaan. Bukan itu
sahaja, guru-guru berkenaan juga membuka ruang kepada pelajar untuk berinterksi di lamam web
seperti bmspmet, mohdramsul.blogspot, mohdrazak.bogspot, dan sebagainya dengan aplikasi
chatrool, face book, dan pelbagai aplikasi lain agar pelajar boleh sentiasa berhubung, sama ada
untuk bertanya hal berkaitan kemahiran yang sukar pelajar kuasai. Malangnya, pelajar tidak
mengambil kesempatan untuk menggunakan kemudahan yang ada untuk tujuan penguasaan
terhadap kemahiran berkenaan. Tambahan pula, guru-guru pakar berkenaan tidak mengenakan
bayaran kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam penguasaan kemhiran
tatabahasa, komsas, dan penulisan karangan. Usaha tangga kejayaan, setiap usaha akan ada
balasannya, begiutlah ungkapan pepatah Melayu yang membawa maksud sekiranya pelajar
berusaha apa sahaja yang mereka usahakan, akhirnya mereka akan menerima hasilnya. Justeru,
terbukti internet banyak memberikan kebaikan kepada peajar terutamapelajar yang bijak
menggunakan aplikasi ini untuk tujuan meningkatkan kemahiran dalam pembelajaran.

         Kesimpulannya, penggunaan internet mendatangkan pelbagai manfaat berguna kepada


masyarakat. Oleh itu, masyarakat di negara kita perlu memanfaatkan penggunaan internet  kerana
melalui penggunaan internet segala maklumat berada di hujung jari anda. Apa yang pasti, internet
mampu memberikan seribu satu macam kemudahan kepada pengguna jika digunakan sebaiknya.
Dalam era serba moden ini, penggunaan internet seakan tidak dapat dipisahkan lagi dengan
kemajuan negara sekarang. Jadi, pihak kerajaan perlu mendidik masyarakat menggunakan internet
bagi melahirkan generasi celik IT sekaligus setanding dengan masyarakat negara maju lain seperti
Jepun demi mencapai wawasan 2020. Selain itu, ibu bapa juga tidak ketinggalan perlu mendidik
anak-anak mempelajari internet di rumah kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Akhirul kalam, tidak dapat dinafikan bahawa kemudahan internet di rumah memberi pelbagai
faedah kepada kita.

You might also like