You are on page 1of 2

ORANG TERAKHIR YANG MASUK KE DALAM SYURGA

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Sesungguhnya aku tahu tentang orang yang terakhir akan keluar dari neraka, dan orang yang terakhir
memasuki syurga. Dia adalah seorang lelaki yang akan keluar dari neraka dalam keadaan merangkak.
Lalu Allah berkata: “Pergi dan masuklah ke dalam syurga!. Lalu lelaki itu pergi ke syurga tetapi
dibayangkan kepadanya bahawa syurga telah penuh. Lelaki itu pun kembali kepada Allah lalu berkata:
“Wahai Tuhan, aku mendapati syurga telah penuh!.

Allah berkata: “Pergi dan masuklah ke dalam syurga!”. Lalu lelaki itu pergi ke syurga tetapi dibayangkan
kepadanya bahawa syurga telah penuh. Lelaki itu pun kembali kepada Allah lalu berkata: “Wahai Tuhan,
aku mendapati syurga telah penuh!”. Lalu Allah berkata: “Pergi dan masuklah ke dalam syurga.
Sesungguhnya untuk engkau seperti dunia dan sepuluh kali gandanya!.

Lelaki itu berkata: “Adakah Engkau mempermainkan aku, atau mentertawakan aku, sedangkan Engkau
adalah Raja?” (Ibn Mas’ud berkata): “Aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam ketawa sehingga
nampak gigi gerahamnya”. Lalu dia berkata: “Itulah penghuni syurga yang paling rendah
kedudukannya!”.

[Hadith Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, hadis no: 6571]

Daripada Ibn Mas’ud radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“ Orang terakhir memasuki syurga ialah seorang lelaki yang sesekali berjalan, sesekali tersungkur dan
sesekali disambar oleh api neraka. Maka apabila dia telah melepasi api itu, dia berpaling kepada api
tersebut lalu berkata: “Maha suci tuhan yang telah menyelamatkan aku daripada engkau, sesungguhnya
Allah telah memberikan kepada aku sesuatu yang tidak pernah dia berikan kepada seorang pun daripada
orang-orang terdahulu dan terkemudian.

Lalu ditumbuhkan sebatang pokok untuknya, lalu dia berkata: “Wahai tuhanku, dekatkanlah aku dengan
pokok ini supaya aku dapat berteduh di bawahnya dan minum daripada airnya”. Allah SWT menjawab:
“Wahai anak Adam, boleh jadi jika Aku memberikannya kepada engkau, engkau akan meminta yang lain
pula.” Lelaki itu menjawab: “Tidak, wahai tuhan ku! Dia berjanji tidak akan meminta selain itu, dan
tuhannya memberikan keuzuran kepadanya melihatkan kerana dia tidak mampu menahan sabar
daripadanya. Lalu dia didekatkan kepada pokok itu, lalu dia berteduh dan minum daripada airnya.

Kemudian ditumbuhkan sebatang pokok untuk lelaki itu dan pokok itu lebih baik daripada yang awal
tadi. Lelaki itu berkata: “Wahai tuhan ku, dekatkan aku dengan pokok ini supaya aku dapat minum
airnya dan berteduh di bawahnya. Aku tidak akan meminta yang lain lagi daripadamu.”

Allah berkata: “Wahai anak Adam, bukankah engkau telah berjanji kepadaku untuk tidak meminta yang
lain lagi!? Boleh jadi jika aku dekatkan engkau kepada pokok ini, engkau akan meminta yang lain lagi!?”.
Lelaki itu berjanji untuk tidak meminta yang lain lagi, dan tuhannya memberikan keuzuran kepadanya
kerana melihatkannya tidak mampu bersabar daripadanya. Lalu didekatkannya kepada pokok itu, lalu
lelaki itu berteduh di bawahnya dan meminum airnya.
Kemudian ditumbuhkan untuknya sebatang pokok di pintu syurga, pokok ini lebih baik daripada dua
pokok yang awal tadi. Lelaki itu berkata: “Tuhan ku, dekatkan aku kepada pokok ini agar aku dapat
berteduh di bawahnya dan meminum airnya. Aku tidak akan meminta selain daripada itu!. Allah
menjawab: “Wahai anak Adam, bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada
aku? Lelaki itu menjawab: “Ya, wahai tuhan ku. Ini sahaja dan aku tidak akan meminta hal lain lagi”.
Tuhannya memberikan keuzuran kepadanya kerana melihatkannya tidak dapat bersabar daripadanya.
Lalu dia dibawa dekat kepada pokok itu.

Apabila dia sudah menghampiri pokok itu, dia mendengar suara-suara ahli syurga, lalu dia berkata:
“Wahai tuhan ku, masukkan aku ke dalamnya!. Tuhannya berkata: “Wahai anak adam, apa yang akan
menghentikan engkau daripada meminta kepada ku? Adakah itu akan membuatkan engkau redha jika
aku memberi kepada engkau dunia dan semisal dengannya bersamanya? Lelaki itu menjawab: “Tuhan
ku, adakah engkau mempermainkan aku sedangkan engkau tuhan sekalian alam?”

Kemudian Ibn Mas’ud ketawa. Beliau bertanya: Tidakkah kalian bertanya kenapa aku ketawa? Mereka
bertanya: Kenapa engkau ketawa? Ibn Mas’ud menjawab: Beginilah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa
sallam ketawa. Para sahabat bertanya: Kenapa engkau ketawa ya Rasulullah? Baginda menjawab:
Kerana ketawanya Allah ketika lelaki itu berkata: Adakah engkau mempermainkan aku sedangkan
Engkau tuhan sekalian alam?. Lalu Allah menjawab: “Aku tidak mempermainkan engkau, sebaliknya Aku
mampu melakukan apa yang aku mahu!”.

[Hadith Sahih Muslim, Kitab at-Tauhid, no: 187]

You might also like