You are on page 1of 9

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/312215216

PIMPINAN DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA: KETOKOHAN TUN PERAK


BERDASARKAN TEKS SULALAT US-SALATIN SEJARAH MELAYU DAN HIKAYAT
HANG TUAH

Conference Paper · October 2016

CITATIONS READS
0 11,199

2 authors:

Al-Amril Othman Mohamad Rodzi Abd Razak


Universiti Kebangsaan Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia
8 PUBLICATIONS   0 CITATIONS    3 PUBLICATIONS   0 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Kajian Tentang Peralihan Kuasa Kerajaan Pusat dalam aspek Raja, orang Melayu, Sabah, Sarawak dan Media Sosial View project

All content following this page was uploaded by Al-Amril Othman on 12 January 2017.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak
Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP)
17 Oktober 2016

PIMPINAN DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA: KETOKOHAN TUN PERAK


BERDASARKAN TEKS SULALAT US-SALATIN SEJARAH MELAYU DAN HIKAYAT
HANG TUAH

Al-Amril Othman
Mohamad Rodzi Abd. Razak
Universiti Kabangsaan Malaysia

PENGENALAN

Dalam konteks pembinaan sebuah negara mahupun bangsa, pemimpin merupakan aktor penting yang
berperanan mencetuskan wawasan dan halatuju dalam melestarikan kedaulatan negara berkenaan. Jatuh
bangun sebuah negara mahupun tamadun akan banyak bergantung kepada keupayaan seseorang pemimpin
dalam menerajui, mencorak serta menegakkan kawalan ke atas sistem, struktur mahupun institusi yang
mendasari kewujudan dan kelangsungan negara berkenaan. Sejarah memperlihatkan sejak zaman tradisi
hingga moden, kemunculan dan peranan pemimpin yang silih berganti mewujudkan pelbagai senario dan
fenomena dalam sejarah perkembangan manusia, negara dan tamadun. Dalam perkembangan sejarah
Malaysia misalnya, pemimpin-pemimpin besar seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato’
Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun
Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak 1 mencetuskan pelbagai gerakan dan
wawasan dalam usaha membina masyarakat dan negara dalam era masing-masing.
Dalam konteks sosiobudaya dan sistem politik tradisional Melayu, Tun Perak dan Hang Tuah
begitu menonjol, baik secara tersirat mahupun tersurat sebagai tokoh agung dalam kapasitinya masing-
masing. Ia menjadikan kedua-dua tokoh ini berperanan begitu berkesan sebagai pemimpin yang cekap dan
pahlawan yang berani bagi mewakili citra orang Melayu melalui Kesultanan Melaka sebagai pendokong
citra tersebut. Bagaimanapun, tidak seperti Hang Tuah yang mempunyai hikayat khusus bagi
memperihalkan ketokohannya, Tun Perak ternyata banyak bergantung kepada Sulalat us-Salatin Sejarah
Melayu sebagai wadahnya sejajar dengan latar kedudukan pengarang yang mempunyai hubungan darah
dengannya. Namun Tun Perak tidak memperlihatkan banyak isu untuk diperdebatkan secara kontroversi
seperti Hang Tuah, suatu keadaan yang selamat bagi tokoh ini mengekalkan kewibawaannya dalam memori
kolektif orang Melayu hingga kini.
Apabila memperkatakan tentang ketokohan Tun Perak, fikiran kita lazimnya akan diletakkan
kepada dua konteks jangka waktu berbeza namun saling berkaitan dalam rantaian peristiwa yang terakam
dalam sejarah Malaysia, khususnya politik tradisi Melayu. Dari konteks masa silam seperti yang tercatat
dalam Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu, 2 kewibawaan Tun Perak diperlihatkan berdasarkan latar
keturunannya yang disusur-galurkan kepada Demang Lebar Daun, 3 bakat kepimpinannya menerusi

1
Sekadar mengambil contoh beberapa nama dalam perkembangan sejarah Malaysia. Terdapat ramai lagi
pemimpin baik di peringkat lokal mahupun nasional yang memainkan peranan penting dalam usaha mencetuskan
kesedaran kepada masyarakat dan seterusnya memimpin, membentuk dan memacu kemajuan negara hingga dikenali
di peingkat antarabangsa.
2
Menurut Cheah Boon Kheng, terdapat kira-kira 32 buah naskhah atau versi teks Sejarah Melayu yang masih
tersimpan di perpustakaan-perpustakaan universiti dunia. Namun begitu, makalah ini akan hanya menggunakan dua
versi sahaja, iaitu Sulalat us-Salatin versi Raja Bongsu yang dirumikan semula oleh Abdul Rahman Haji Ismail dan
disusun Cheah Boon Kheng, MBRAS no. 17, Kuala Lumpur, 1998 dan Sulalatus Salatin selenggaraan A. Samad
Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1979.
3
Sulalat us-Salatin menggambarkan beliau sebagai pemerintah Palembang. Keturunannya turut disusur-
galurkan kepada Raja Suran dan Iskandar Zulkarnain. Setelah mengetahui kehadiran Seri Teribuana, beliau telah
bersetuju dilantik sebagai Mangkubumi bagi meneruskan khidmatnya kepada baginda. Untuk keterangan lanjut, sila
lihat Abdul Rahman Haji Ismail, Sulalat us-Salatin, edisi rumi baru, MBRAS no. 17, Kuala Lumpur, 1998. Hlm. 83.

1
Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak
Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP)
17 Oktober 2016

kejayaannya mempertahankan Melaka daripada serangan Siam, pengorbanannya merelakan kakaknya, Tun
Kudu diperisterikan Tun Ali Seri Nara Diraja4 setelah diceraikan Sultan Muzaffar Syah, penentu bakal
pengganti Sultan Melaka sejak Sultan Mansur Syah hingga Sultan Mahmud Syah, Pembina empayar serta
pendidik moral yang disegani. Keagungan personaliti ini kemudiannya dijelmakan pula dari konteks masa
kini dalam bentuk pengiktirafan masyarakat apabila nama tokoh ini diabadikan kepada tempat-tempat
tertentu, misalnya jalan dan sekolah. 5
Makalah ini akan memberikan tumpuan kepada ketokohan Tun Perak berdasarkan konteks masa
silam sahaja. Adalah sukar untuk mengaitkan ketokohan Bendahara Melaka ini lantaran sisa-sisa
kegemilangannya telah musnah akibat penjajahan serta peredaran masa dengan konteks masa kini yang
sudah pasti jauh berbeza sudut pandangan dan pengalamannya. Bagaimanapun, perbincangan akhir
makalah ini cuba memperlihatkan keupayaan memori kolektif orang Melayu yang dapat melakar masa
silam tersebut menerusi penerapannya dalam konteks masa kini, baik dari sudut pengabadian nama
mahupun pengajaran dan teladan yang dapat diperolehi daripadanya. Meskipun kaedah ini menimbulkan
pertikaian dalam kalangan sejarawan, 6 namun dari sudut psikobudayanya, kaedah ini amat berguna untuk
meluaskan ruang lingkup tafsiran sejarah sambil menelusuri konteks masa silam yang tidak mampu
didokumentasikan secara biasa. Ianya lebih releven dalam kalangan masyarakat Melayu yang hanya banyak
bergantung kepada tradisi lisan serta batasan teknologi percetakan yang masih belum wujud ketika itu. Dua
hasil karya Melayu yang memperihalkan ketokohan Bendahara Melaka ini adalah Sulalat us-Salatin
Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.7 Kedua-dua karya ini walaupun memperlihatkan perbezaan dalam
memaparkan tokoh ini namun tetap merupakan sumber yang menjadi rujukan. Justeru, karya-karya tradisi
inilah yang akan menjadi sumber rujukan makalah ini seterusnya.

LATAR KETURUNAN DAN KEKELUARGAAN

Sebagai seorang Bendahara Melaka yang dianggap agung pada zamannya, kewibawaan Tun Perak telah
tergambar menerusi jurai keturunannya yang bukan calang-calang kehormatan dan kemuliaannya. Jika
ditelusuri jurai keturunannya, ia disusur-galurkan terus kepada Raja Iskandar Zulkarnain menerusi Demang
Lebar Daun, tokoh yang mewakili rakyat dalam waad antara beliau dengan Seri Teribuana yang masyhur
itu. Ia kemudiannya dikaitkan pula secara hubungan ipar-duai dengan keturunan Mani Purindan melalui
perkahwinan Tun Ali Seri Nara Diraja yang kemudiannya meneruskan legasi Tun Perak menerusi Tun
Mutahir Seri Maharaja sebelum Melaka ditakluki Portugis pada tahun 1511.
Dari sudut genetik, jurai keturunan ini memperlihatkan wujudnya percampuran darah dan budaya
yang melibatkan empat tamadun utama, iaitu Yunani-Greek, India, Arab-Parsi dan Melayu. Percampuran
darah budaya antara tamadun-tamadun itu telah mempengaruhi perwatakan dan personaliti Tun Perak
dalam setiap tindak-tanduknya ketika berhadapan dengan sesuatu keadaan. Kebijaksanaannya dalam
menyelesaikan masalah merupakan sesuatu yang kadang-kadang tidak pernah terfikir oleh orang biasa.
Misalnya, dalam menghadapi serangan kedua Siam ke atas Melaka, Tun Perak Paduka Raja telah
menggunakan muslihat dengan menambat semua pohon kayu bakau dan pohon-pohon kayu di sekitar pantai
Batu Pahat yang menjadi sasaran serangan itu dengan punting api bagi mengelirukan tentera musuh.

Lihat juga A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia,
Kuala Lumpur, 1979. Hlm. 18.
4
Terdapat perbezaan ketara dari segi ejaan antara kedua-dua versi ini. Versi Abdul Rahman Haji Ismail
meletakkan “al” dalam setiap gelaran Diraja yang ditemui dalam teks, hal yang tidak dilakukan A. Samad Ahmad
dalam versinya.
5
Nama tersebut telah diabadikan kepada sebatang jalan di Kuala Lumpur dan sebuah sekolah di daerah Muar.
6
Pertikaian mengenai objektiviti dan subjektiviti dalam sejarah boleh dirujuk menerusi perbincangan oleh
R. Suntharalingam, Pengenalan kepada sejarah, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1985, terutama bab
5.
7
Makalah ini menggunakan Hikayat Hang Tuah selenggaraan Kassim Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1975.

2
Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak
Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP)
17 Oktober 2016

Kebijaksanaan tersebut memperlihatkan pandangan jauh beliau ketika berhadapan dengan situasi kritikal
ketika beliau benar-benar diperlukan. Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu dalam hal ini telah menyamakan
kebijaksanaan Tun Perak dengan dua tokoh dari dua kerajaan sebelumnya menerusi kaedah anakronistik, 8
iaitu Patih Aria Gajah Mada di Majapahit dan Orangkaya Raja Kenayan di Pasai.Menerusi kaedah ini,
pengarang cuba meningkatkan kewibawaan Tun Perak sejajar dengan kebesaran kerajaan-kerajaan tersebut
sebagai memuliakan tokoh itu, apatah lagi beliau mempunyai hubungan darah dengan pengarang.
Suatu hal yang agak menarik dan jarang dibincangkan adalah kecenderungan pengarang untuk
mengaitkan keturunannya dengan Mani Purindan berbanding Raja Melaka yang disusur-galurkan kepada
Iskandar Zulkarnain, raja yang diiktiraf agung pada zamannya. Ia dibuktikan daripada keterangannya secara
terperinci di awal karya ini 9 berbanding keterangan mengenai jurai keturunannya dengan Raja Melaka
hanya diletakkan di bahagian pertengahan teks. Apakah motif pengarang berbuat demikian tidaklah
diketahui. Namun satu andaian mungkin boleh dibuat. Sungguhpun keturunan Sultan Melaka dianggap
keturunan terbilang, namun akibat beberapa peristiwa pelanggaran waad yang dilakukan oleh raja-raja
tersebut telah mendorong pengarang untuk lebih selesa mengaitkan keturunannya dengan Mani Purindan,
satu situasi yang dapat memelihara kedudukan Bendahara Melaka itu daripada tercemar dengan insiden
tersebut.
Dalam menghuraikan latar kekeluargaannya pula, Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu menjelaskan
bahawa Tun Perak merupakan anak Bendahara Seri Wak Raja, Bendahara ketiga bagi Kesultanan Melaka.
Beliau merupakan anak kedua daripada tiga beradik termasuk kakaknya, Tun Kudu dan Tun Perpatih Putih,
adiknya yang bongsu. Dalam pada itu, Tun Seri Lanang menerusi karyanya tidak pula memaparkan secara
jelas tentang berapakah bilangan wanita yang diperisterikan Tun Perak seperti yang lazim dilakukan para
bangsawan Melaka ketika itu. Pengarang hanya menyatakan bahawa beliau telah memperisterikan seorang
wanita dari Kelang dan kemudiannya dilantik sebagai penghulu di situ. Justeru itu, tidak ada satu keterangan
yang jelas tentang berapakah bilangan sebenar anak Tun Perak. Namun Sulalat us-Salatin menjelaskan
bahawa selain Tun Besar yang mati dibunuh Raja Muhammad sebelum itu, terdapat dua nama yang dirujuk
sebagai anak Tun Perak, iaitu Tun Zainal Abidin dan Paduka Tuan. Akibat tragedi itu, Bendahara Paduka
Raja Tun Perak telah menumpahkan kasih sayangnya kepada dua anak saudaranya, Tun Tahir dan Tun
Mutahir 10 sejajar dengan kehendak wasiat Tun Ali Seri Nara Diraja yang menjadi iparnya dan ayah kepada
kedua-dua mereka. Jika sekiranya usia Tun Besar dilanjutkan hingga pemerintahan Sultan Mahmud Syah,
apakah beliau bakal dilantik menjadi Bendahara Melaka menggantikan Tun Perak? Persoalan ini sukar
dijawab namun situasi berbeza mungkin wujud jika ia berlaku.

MENGASAH BAKAT KEPIMPINAN

Dari Penghulu Kelang ke Bendahara Melaka. Beliau merupakan Bendahara Melaka kelima setelah Tun
Ali Seri Nara Diraja yang menjadi Bendahara Melaka sebelumnya meletakkan jawatan. Beliau berkhidmat
di bawah empat orang Sultan bermula dengan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin
Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Namun begitu, pelantikannya ke jawatan itu tidaklah semudah
seperti kalangan bangsawan lainnya yang memperolehi jawatan mereka secara warisan. Pelbagai liku-liku

8
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Muhammad Yusoff Hashim, Pensejarahan Melayu: kajian tentang
tradisi sejarah Melayu Nusantara, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur,
1992, terutama bab 3.
9
Keterangan mengenai jurai keturunannya adalah seperti berikut: “…Setelah fakir mendengar demikian, jadi
beratlah atas anggota fakir allazi murakkabun ala jahlihi Tun Muhammad namanya Tun Seri Lanang timang-
timangannya, Paduka Raja gelarannya, Bendahara anak Orangkaya Paduka Raja, cu u Bendahara Seri Maharaja, cicit
Bendahara Tun Narawangsa, piut Bendahara Seri Maharaja, anak Seri Nara Diraja Tun Ali anak baginda Mani
Purindan qaddasallahu sirrahum, …” A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (pngr.), Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1979. Hlm. 2.
10
Berbeza dengan versi A. Samad Ahmad, Abdul Rahman Haji Ismail mengeja nama-nama Mutahir dan
Tahir dengan Muzzahir dan Zahir.

3
Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak
Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP)
17 Oktober 2016

dan rintangan terpaksa dihadapinya bagi memperolehi jawatan itu. Namun semua itu dianggapnya sebagai
suatu elemen yang dapat mengasah bakat kepimpinannya.
Gambaran awal tokoh ini tidaklah diperihalkan secara langsung oleh Sulalat us-Salatin Sejarah
Melayu. Tambahan pula, negeri Melaka ketika itu sedang berhadapan dengan pergolakan dalaman akibat
perebutan takhta antara Raja Kasim dengan adindanya, Raja Ibrahim yang dibonekakan Raja Rekan. Apatah
lagi ayahnya, Bendahara Seri Wak Raja telah meninggal dunia kerana meminum racun setelah mengesyaki
Sultan Muzaffar Syah murka kepadanya yang lewat mengadap baginda. Sulalat us-Salatin hanya
menyatakan bahawa:
“…Adapun akan Tun Perak itu tiada kena kerja Raja, maka ia pergi beristeri ke Kelang,
maka ia pun diamlah di Kelang sekali….”,11
suatu ungkapan lembut yang secara tidak langsung cuba mengelakkan Tun Perak daripada pergolakan
tersebut. Sebagai pengarang yang mempunyai hubungan darah dengan tokoh ini, Tun Seri Lanang mungkin
akan berbuat demikian dengan meneutralkan Tun Perak daripada terlibat dengan pergelutan tersebut kerana
dirasakan akan menjejaskan prestijnya sebagai bakal Bendahara Melaka kelak.
Kewibawaan dan karisma tokoh ini mula mendapat perhatian daripada masyarakat Kelang apabila
Penghulu sebelumnya digesa meletakkan jawatannya bagi memberi laluan kepada Tun Perak dilantik ke
jawatan itu. Bakat kepimpinannya terserlah apabila beliau mengambil langkah membawa orang Kelang
beserta anak-isterinya menghadapi serangan Siam kali pertama, suatu tindakan yang tidak pernah terfikir
oleh sesiapa pun ketika itu. Dalam jawapannya kepada Seri Amerta 12 yang menjadi Bentara Melaka ketika
itu,13 beliau antara lain menyatakan:
“…Akan Duli Yang Dipertuan dalam negeri ini dengan anak isteri baginda dan segala
perkakasannya; benarkah pekerjaan tuan hamba kami sekalian datang dengan laki-laki
sahaja dengan jauh Selat? Jika barang suatu hal negeri itu apa hisabku padanya? Sebab
itulah maka segala orang Kelang ini kami bawa dengan segala anak isterinya sekali supaya
ia berperang dengan musuh bersungguh-sungguh hati, kurang ia berlawankan Duli Yang
Dipertuan, ia bertikamkan anak isterinya bersungguh-sungguh….” 14
Kenyataan tersebut telah menarik perhatian Sultan Muzaffar Syah dan setelah kejayaan Melaka
menghadapi serangan pertama itu, beliau dilantik sebagai Bentara. Beliau kemudiannya telah digelar
Paduka Raja dan dinaikkan pangkatnya setaraf dengan Seri Nara Diraja Tun Ali. Tindakan Sultan ini telah
menimbulkan implikasi negatif apabila ia menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat
Melaka yang berpunca dari perselisihan kedua tokoh tersebut. Sultan Muzaffar Syah yang menyedari hal
itu akhirnya bersetuju berkorban dengan menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk diperisterikan Seri Nara
Diraja Tun Ali. Tun Ali yang telah memperolehi hajatnya bersetuju meletakkan jawatannya sebagai
Bendahara untuk memberi laluan kepada Tun Perak memegang jawatan itu.
Di bawah kepimpinannya sebagai Bendahara Melaka dan atas restu Sultannya, wilayah takluk
Melaka telah diperluaskan meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Riau. Di
Semenanjung Tanah Melayu, wilayah-wilayah yang ditakluki termasuklah Kedah, Terengganu, Johor,
Selangor dan Perak. Di Sumatera pula, wilayah-wilayah yang dikuasai termasuklah Siak, Kampar, Rekan,
Inderagiri dan Haru. Manakala di Kepulauan Riau pula, Karimon, Bintan dan Singapura adalah tertakluk
di bawah penguasaan Melaka. 15 Wilayah-wilayah takluk ini tidak hanya membekalkan barang-barangan
untuk aktiviti dagangan, tetapi juga ia merupakan pembekal sumber makanan bagi Melaka yang tidak

11
Rujuk Abdul Rahman Haji Ismail, Sulalat us-Salatin, hlm. 135. Lihat juga A. Samad Ahmad, Sulatus
Salatin, hlm. 83.
12
Abdul Rahman Ismail mengeja dengan ejaan imarat.
13
Abdul Rahman Ismail mengeja Bentara dengan Abintara. Lihat Ibid.
14
Ibid. 137.
15
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Paul Wheatley, Impressions of the Malay Peninsula in ancient times,
Eastern University Press, Singapore, 1964. Hlm. 139-142.

4
Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak
Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP)
17 Oktober 2016

mempunyai kawasan pertanian yang luas. Situasi inilah yang amat dibimbangi oleh mana-mana pemimpin
Melaka ketika itu. Ia diburukkan lagi oleh senario penghayatan Islamnya yang dianggap bersifat ritual dan
feudal-sentrik sehingga ajaran agama itu tidak dapat dijiwai oleh pemimpin dan rakyat Melaka
keseluruhannya. Natijahnya, Melaka tidak mempunyai jati diri dalaman yang kuat ketika berhadapan
dengan musuh.
Pengarang Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu telah secara tersirat menggambarkan
kebimbangannya dengan menyelitkan beberapa peristiwa hitam yang mencemarkan keagungan Melaka.
Antaranya termasuklah fitnah terhadap Hang Tuah, pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang
Jebat/Kasturi dan kebakaran istana setelah ia dibina bagi menggantikan istana sebelumnya yang dicemari
penderhakaan Hang Jebat/Kasturi. Elemen post-eventum turut diselitkan bagi meramalkan kejadian yang
akan berlaku ke atas dua anak saudaranya, Tun Mutahir dan Tun Tahir. 16 Menerusi wasiatnya, Tun Perak
telah menasihati mereka agar tidak bertindak secara sewenang-wenangnya terhadap sesuatu keadaan yang
mungkin berpotensi memusnahkan Negeri Melaka. Nasihat yang sama juga turut ditujukan kepada Sultan
Melaka.17 Situasi ini secara jelas memperlihatkan kegagalan Tun Perak dalam mengekalkan legasinya
dalam pemerintahan Kesultanan Melaka kerana setelah kematiannya, empayar itu mulai memperlihatkan
tahap kemerosotannya.

KOTOKOHAN TUN PERAK

Impak moral dan kaitannya dengan konteks masa kini. Dalam menghuraikan sikap positif Bendahara
Melaka ini, makalah ini akan memperturunkan dua sikap yang mewarnai tindakannya yang seharusnya
diteladani pemimpin dan masyarakat masa kini. Dua hal tersebut merujuk kepada sikapnya dalam konteks
daulat derhaka serta sikap jiwa besarnya ketika berhadapan dengan karenah Laksamana.
Merujuk kepada konteks situasi pertama, Tun Perak nampaknya memperlihatkan sikap, pendirian
dan kefahamannya yang tersendiri tentang perlu atau tidaknya taat kepada raja. Tidak seperti Hang Tuah
yang bersikap taat setia kepada raja tanpa soal jawab serta Hang Jebat/Kasturi yang bersikap sebaliknya,
Tun Perak ternyata mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap situasi ini. Sebagai penasihat raja,
pandangannya sering diperlukan baginda ketika mempertimbangkan sebarang keputusan. Namun jika
keputusan telah dibuat, tindakan yang tepat harus diambil walaupun kadangkala ia bercanggah dengan
keputusan tersebut. Menurut Hikayat Hang Tuah, ketika melaksanakan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah,
Tun Perak tidak melaksanakan hukuman tersebut. Sebaliknya, beliau menyembunyikan Hang Tuah di Hulu
Melaka.18 Tindakan ini jelas melanggar waad yang dimeterai sejak turun temurun dan ia boleh dianggap
sebagai suatu penderhakaan terhadap Raja. Bagaimanapun, tindakan tersebut akhirnya dipersetujui baginda
setelah menyedari keputusan sebelumnya suatu kesilapan.
Dua insiden berikutnya memperlihatkan sikap sebaliknya apabila Tun Perak secara bersungguh-
sungguh mempertahankan ketaatsetiaannya kepada Sultan Melaka. Insiden pertama berlaku apabila Raja
tua 19 berniat meracun Sultan Mahmud yang masih kecil kerana mengharapkan anaknya menaiki takhta.
Hasrat tersebut dihalang oleh Bendahara dan Laksamana walaupun terpaksa menderhaka kepada Raja Tua
yang menjadi sebahagian daripada kerabat diraja Melaka. Pendirian ini dipengaruhi oleh keutamaan

16
Sulalatus Salatin menggambarkan bahawa Tun Perak ketika hendak sembahyang subuh melihat cahaya
memancar daripada kepala Tun Mutahir terus ke langit tetapi kemudian hilan secara tiba-tiba. Beliau mentafsirkan
bahawa kebesaran Tun Mutahir melebihi kebesarannya tetapi tidak kekal. Untuk keterangan lanjut, rujuk A. Samad
Ahmad, hlm. 136.
17
Untuk keterangan lanjut mengenai wasiat Tun Perak kepada Sultan Mahmud dan anak-anak saudaranya,
rujuk Ibid., hlm. 178.
18
Sulalat us-Salatin menjelaskan orang yang menyembunyikan Hang Tuah adalah Seri Nara Aldiraja.
Tempoh pengasingan itu berlangsung kira-kira setahun di mana Hang Tuah diletakkan dalam pasungan. Rujuk Abdul
Rahman Haji Ismail, hlm. 160. Manakala Hikayat Hang Tuah pula menjelaskan bahawa beliau dihantar oleh
Bendahara ke dusunnya untuk berguru dengan syiekh Mansur selama 20 hari sebelum dijemput ke istana. Lihat
Kassim Ahmad (pngr., Hikayat Hang Tuah, hlm. 312.
19
Perkatan tua dieja oleh Abdul Rahman Haji Ismail sebagai tuha. Lihat Ibid.

5
Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak
Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP)
17 Oktober 2016

(priority) yang harus ditekankan dengan mempertahankan batang tubuh Sultan yang telah diinstitusikan
sebagai Raja berbanding kaum kerabatnya sendiri. Pendirian tersebut wajar memandangkan Melaka pada
ketika itu mulai mengalami konflik dalaman dan luaran yang jika tidak ditangani akan membawa
kemusnahan yang lebih cepat daripada yang dijangkakan.
Dalam satu insiden lain, Tun Perak bersikap konsisten dengan mempertahankan ketaatsetiaannya.
Ini dapat dibuktikan daripada reaksinya terhadap kesediaan anak-anak buahnya yang melengkapkan
peralatan senjata mereka bagi menuntut bela di atas kematian Tun Besar, anak Tun Perak. Beliau dengan
nada marah antara lain menyatakan:
“…Hei! Hei! Hendak derhakakah ke bukit? Hendak derhakakah ke bukit? Niah! Niah!
Kamu semua; niah! Kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak
raja seorang ini janganlah kita pertuan….” 20
Sultan Mansur Syah pula dalam reaksinya turut senada dengan keputusan Tun Perak itu walaupun
pada awalnya baginda berhasrat menabalkan Raja Muhammad sebagai penggantinya. Baginda yang amat
murka dengan kejadian itu bertitah:
“…Celaka si Muhammad ini. Hei Muhammad! Apatah dayaku engkau ditolak muka bumi
Melaka…”21
Kenyataan tersebut memperlihatkan begitu berpengaruhnya Tun Perak dalam setiap tindak-tanduk dan
keputusan Sultan akibat wujudnya hubungan kekeluargaan antara Bendahara dengan Sultan Melaka.
Pengaruh ini seterusnya dilanjutkan kepada dua Sultan berikutnya, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan
Mahmud Syah. Menerusi wasiatnya, Tun Perak telah memperingatkan Sultan Mahmud Syah agar tidak
terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan tanpa usul periksa kerana ia mungkin mengakibatkan
penyesalan di kemudian hari.22 Wasiat peringatan itu merupakan mekanisme yang digunakan Tun Perak
bagi meramalkan masa depan Kerajaan Melaka ekoran pemerhatiannya terhadap Sultan Mahmud yang
kelihatan terpengaruh dengan Seri Maharaja Tun Mutahir berbanding dengan dirinya sendiri.Natijahnya,
Tun Mutahir Seri Maharaja sendiri telah dihukum bunuh oleh baginda kerana keengganannya
memperlihatkan anak perempuannya, Tun Fatimah kepada baginda sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali.
Pembunuhan tersebut juga telah melemahkan Melaka sehingga memudahkannya ditakluki Portugis pada
tahun 1511.
Huraian di atas jelas memperlihatkan peranan Bendahara Paduka Raja Tun Perak dalam
mengendalikan Negeri Melaka, khususnya tindak-tanduk yang berkaitan dengan pemerintahnya.
Keteguhannya dalam mempertahankan prinsip tidak menderhaka kepada Raja itu tidaklah dilaksanakan
secara melulu seperti diperlihatkan Hang Tuah. Sebaliknya, ia dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan
demi kelangsungan institusi Kesultanan Melaka sendiri.
Keberkesanan peranan Tun Perak tidak sahaja dipengaruhi oleh latar hubungan kekeluargaannya
dengan sultan-sultan Melaka, bahkan ia turut dibantu oleh kewibawaan personalitinya yang cemerlang
dalam memimpin pentadbiran harian negeri itu. Salah satu daripada ciri khusus yang membentuk
kecemerlangan personaliti tersebut adalah sikapnya yang cenderung merendahkan diri walaupun gelaran
kebesarannya sebagai Bendahara Paduka Raja itu melebihi para pembesar lainnya.
Laksamana merupakan salah seorang pembesar yang amat terkesan dengan sikap Bendahara
Melaka ini. Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu menggambarkan bahawa telah wujud rasa tidak puas hati
dalam jiwa Laksamana akibat keengganan Bendahara untuk menabalkan semula Sultan Zainal Abidin
sebagai Sultan Pasai yang enggan mengakui pertuanan Melaka. Akibat ketidakpuasan hati itu, Laksamana
telah menyembahkan segala keburukan Bendahara ketika ekspedisi di Pasai itu kepada Sultan. Baginda
yang murka telah memanggil Bendahara untuk mengadap baginda. Dalam pertemuan tersebut, Bendahara
bersikap sebaliknya dengan memuji-muji Laksamana ketika ekspedisi itu. Sultan yang kagum dan hairan

20
Lihat A. Samad Ahmad, hlm. 144.
21
Ibid., 145.
22
Ibid., hlm. 178.

6
Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak
Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP)
17 Oktober 2016

dengan sikap Bendahara itu berkenan mengurniakan persalinan kepada Bendahara. Laksamana yang
mengetahui hal itu telah menyembah Bendahara dan mengakui kesalahannya.
Apabila Sultan Mahmud Syah sembuh daripada geringnya, baginda berkenan mengurniakan
persalinan dan usungan kepada Bendahara dan Laksamana atas jasa mereka memelihara baginda.
Bagaimanapun, Bendahara tidak menggunakan usungan itu walaupun Laksamana menggunakannya. Sikap
Bendahara melebihkan Laksamana berterusan apabila segala peralatan senjata dan perahu yang sempurna
perbuatannya diberikan kepadanya. Apabila ditanya mengapakah Bendahara berbuat demikian, beliau
menyatakan bahawa usungan adalah hak Sultan, manakala Laksamana adalah hulubalang besar yang turut
berhak ke atas usungan dan wajar diberikan peralatan peperangan yang sempurna demi keselamatan
negeri.23
Sama ada jawapan tersebut dapat memuaskan hati anak-anak buah Tun Perak ataupun tidak, ia pada
hakikatnya tetap memberi manfaat dan keuntungan kepada Negeri Melaka sendiri. Sebagai seorang
pentadbir yang bijak dan berwawasan jauh, Tun Perak pastinya dapat merasakan bahawa keselamatan
Negeri Melaka adalah segala-galanya. Kedudukan ekonomi Melaka yang banyak dipengaruhi aktiviti
perdagangan berbanding lain-lain aktiviti ekonomi, terutama yang berorientasikan hasil bumi telah
mendedahkannya kepada sebarang kemungkinan, sama ada dari dalam ataupun luar. Dalam keadaan
demikian, Melaka amat memerlukan sosok panglima, pahlawan dan perwira yang gagah perkasa dan
sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan tersebut. Justeru, tindakannya
melebihkan Laksamana merupakan satu mekanisme bagi mengambil hati pahlawan Melaka dalam usaha
mengekalkan keselamatan negeri dan ceruk rantaunya daripada sebarang ancaman, sama ada dari dalam
ataupun luar.
Sebagai sebuah komuniti berhierarki dan begitu menekankan aspek susun lapis dalam struktur
kemasyarakatannya, tindakan ini mungkin menimbulkan perdebatan hangat walaupun ianya tidak
disuarakan secara langsung, baik dalam kalangan bangsawan mahupun bawahan. Dalam hal ini, langkah
Tun Perak itu mungkin dipengaruhi latar pengalaman silamnya sebagai Penghulu Kelang hinggalah
menjawat jawatan Bendahara Melaka, satu latar pengalaman kerjaya yang dapat membentuk bakat
kepimpinan dan seterusnya mematangkan tindak-tanduk politiknya sejajar dengan tuntutan semasa negeri
itu. Ia juga turut seiring dengan kehendak ajaran Islam yang menjadi anutan kepercayaan penduduk Melaka
sendiri. Justeru, adalah wajar bagi Bendahara Melaka itu untuk memecahkan tembok darjat yang
membentengi kelas yang masih wujud di negeri itu. Ini dilakukan menerusi upacara makan beramai-ramai
melibatkan para pembesar dan tentera Melaka dengan berkongsi satu hidangan daun yang dibentangkan
sepanjang pantai Pasai dalam satu ekspedisi menabalkan Sultan Zainal Abidin sebagai pemerintah di situ.
Langkah tersebut nyata berkesan dalam memupuk perasaan kekitaan tentera Melaka sehingga akhirnya
Berjaya dalam ekspedisi tersebut.

KESIMPULAN

Tun Perak, seperti yang disorot dalam makalah ini, berupaya menempatkan dirinya dalam kelasnya yang
tersendiri menerusi memori kolektif orang Melayu. Meskipun tidak mempunyai hikayat khusus bagi
memperihalkan kewibawaan dan ketokohannya, peranannya dalam institusi Kesultanan Melayu masih
dapat dirasakan menerusi tindakannya yang aggak kritis dalam menerapkan konsep daulat derhaka seperti
yang dimateraikan antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba dahulu. Mengambil pengajaran dan
semangat daripada tindakan tersebut, Dato’ Onn dan orang Melayu keseluruhannya menerusi UMNO dalam
reaksi mereka terhadap gagasan Malayan Union yang diperkenalkan British secara tergesa-gesa ke Tanah
Melayu tidak memperlihatkan kemarahan mereka kepada raja-raja Melayu yang menandatangani
penubuhannya. Sebaliknya, kemarahan tersebut dilontarkan kepada British yang telah memaksa Duli-Duli
Baginda untuk menurunkan tandatangan mereka.
Tegasnya, tindakan Tun Perak sesungguhnya telah menyiratkan mesej bahawa institusi kesultanan
Melayu harus dipertahankan kerana ia merupakan sandaran utama bagi orang Melayu bernaung dan

23
Ibid., hlm. 172.

7
Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak
Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP)
17 Oktober 2016

menonjolkan citra dan identitinya. British juga nampaknya terpaksa akur dengan status-quo ini meskipun
keakuran mereka bermotifkan kepentingan ekonomi-politik kolonial. Inilah warisan yang ditinggalkan Tun
Perak kepada struktur kenegaraan kita walaupun kesultanan Melaka dan institusi Bendahara itu telah lama
luput ditelan masa. Justeru, adalah wajar untuk kita mengangkat tokoh ini selain Hang Tuah dalam kerangka
nasionalisme kita kerana walaupun Hang Tuah simbol kepahlawanan, namun Tun Perak lebih dari itu.

RUJUKAN

Abdul Rahman Haji Ismail (1998) Sulalat us-Salatin. Kuala Lumpur: MBRAS.
Gullick, J.M. (1958) Indigenous Political System Of Western Malaya. London, The Athlone Press.
Harun Daud & Abdul Rahman Haji Ismail (pnyt.) (2014) Hang Tuah wira bangsa. Kota Baru: Penerbit Universiti
Malaysia Kelantan.
Kassim Ahmad (pngr.) (1975) Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Muhammad Yusoff Hashim (1992) Pensejarahan Melayu: Kajian Tentang Tradisi Sejarah Melayu Nusantara. Kuala
Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia.
Muhammad Yusoff Hashim (1989) Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Samad Ahmad (1979) Sulalatus Salatin, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.

View publication stats

You might also like