You are on page 1of 13

MASALAH jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin dihadapi hampir

semua negara, sama ada negara mundur, membangun atau maju.

Keperluan merapatkan jurang perbezaan antara dua golongan ini boleh dikatakan
amat mendesak kerana kesannya terhadap masyarakat cukup besar.

Kebiasaannya kita akan merujuk senario yang kaya semakin kaya, manakala yang
miskin pula semakin miskin. Lantas jurang antara kedua-dua golongan ini semakin
meluas.

Ia mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan orang miskin yang merasakan diri mereka
ditindas, dipinggirkan, tidak dipedulikan dan jauh ketinggalan.
Ini boleh mengundang pemberontakan dalam kalangan masyarakat seperti di
negara luar, sehingga mencetus rusuhan dan perang saudara.

Di negara kita, isu jurang miskin dan kaya banyak dikaitkan dengan identiti kaum
serta lokasi kedudukan mereka

Tindakan penjajah mengagihkan penempatan penduduk Tanah Melayu dengan


menempatkan masyarakat Cina di bandar, Melayu di kampung dan India di estet,
mencorakkan struktur politik, ekonomi dan sosial kaum serta identiti mereka.

Senario ini memberi kesan besar kepada jurang antara miskin dan kaya sehingga
kini, di mana kelompok miskin dan kaya terus dirujuk kepada kaum tertentu.

Umumnya apabila takrifan miskin-kaya dirujuk berdasarkan identiti kaum, dengan


mudah kita mengkategorikan majoriti golongan berpendapatan rendah (B40) dan
pertengahan atau sederhana (M40) adalah Melayu dan India, manakala kelompok
berpendapatan tinggi (T20) pula majoritinya Cina.

Struktur ekonomi mengikut kaum

Ia selari struktur ekonomi mengikut kaum apabila orang Cina berada di bandar dan
menguasai aspek perniagaan atau ekonomi, manakala Melayu berada di luar bandar
dengan fokus kepada sektor pertanian dengan sebahagian berkhidmat dalam sektor
kerajaan.

Bagi masyarakat India pula, sentimen luar bandar dan estet masih menebal, struktur
ekonomi mereka juga masih tidak menentu dengan hanya sebilangan kecil berjaya
dalam bidang perniagaan atau menjadi profesional seperti peguam dan doktor.

Ringkasnya orang Melayu dan India masih bergelut menstabilkan struktur


sosioekonomi masing-masing. Ini mewujudkan jurang ketara antara kelompok kaya
dengan miskin di negara kita.

Bagi menangani isu ini, kerajaan perlu memberi penekanan kepada beberapa
indikator. Antaranya isu peluang pekerjaan, kadar gaji rendah, kenaikan kos sara
hidup tinggi, serta label dan imej sesuatu pekerjaan mengikut kaum dan lokasi.
Umum mengetahui masyarakat Cina suka berniaga dan tidak begitu gemar makan
gaji, berbeza dengan orang Melayu dan sebahagian kaum India.

Jika mahu kurangkan jurang antara B40, M40 dengan T20, peluang pekerjaan perlu
terus dipertingkatkan dan dipastikan selari dengan kadar gaji sesuai.

Perniagaan bukan milik kaum tertentu

Kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk terus merancakkan sektor ekonomi


golongan sasar dari kategori B40 dan M40, agar kedudukan sosioekonomi
masyarakat dapat diseimbangkan.

Sudah tiba masanya mentaliti orang Melayu diubah. Jika mahu terus maju dan kaya,
orang Melayu perlu bergiat aktif dalam perniagaan.

Identiti bidang perniagaan hanya dimiliki orang Cina tidak boleh lagi wujud.
Walaupun perniagaan dilihat sektor berisiko tinggi, hakikatnya inilah lubuk emas
yang boleh memajukan kedudukan diri dan keluarga serta membantu mengeluarkan
kita dari garis kemiskinan tegar.

Peluang, platform dan insentif berterusan perlu disediakan kerajaan untuk


membantu orang Melayu menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan
walaupun secara kecil-kecilan.

Selain itu, jurang kekayaan antara miskin dan kaya sering dirujuk kemampuan
pemilikan harta terutamanya rumah. Hari ini B40 dan M40 hanya mampu melihat
rumah dibina pemaju kerana harga jualannya terlalu tinggi.

Jurang pemilikan rumah juga yang semakin besar terutamanya di bandar perlu
ditangani segera. Ia untuk mengelak golongan kaya terus mempelopori hartanah di
bandar, manakala orang miskin akan terus dipinggirkan dan ditolak jauh ke luar
bandar.

Jika dibiarkan, ia berisiko membawa kita kepada situasi penempatan sama seperti
ketika zaman pemerintahan British - yang kaya duduk di bandar dan yang miskin di
luar bandar.

Apa pun inisiatifnya, kita perlu mencapai impian negara maju 2025 tanpa
meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat. Dalam erti kata lain, kita tidak
mahu ada kelompok tertentu yang ketinggalan atau tercicir.

Penulis adalah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra


Malaysia (UPM)
Literasi umumnya difahami sebagai kemampuan seseorang untuk
membaca dan menulis. Namun demikian, kemajuan sosial dan teknologi
yang pesat telah memperluas definisi literasi seiring dengan
perkembangan manusia. Sesuatu yang dahulunya bermaksud pemahaman
teks kini didefinisikan melalui berbagai sudut baru : antaranya ialah literasi
digital, literasi kewangan dan literasi kesihatan. Dalam perkembangan
Malaysia sebagai sebuah negara, literasi dalam bidang-bidang tersebut
turut perlu ditingkatkan bagi menjamin kesamarataan pembangunan dalam
semua lapisan masyarakat. Mari kita fahami aspek-aspek literasi berikut
dengan lebih mendalam:

Literasi Membaca
Kemampuan membaca memainkan peranan penting dalam menentukan
hala tuju atau kejayaan seseorang individu. Literasi membaca
membolehkan mobiliti sosial. Kajian juga membuktikan bahawa kemahiran
ini memberi kesan positif terhadap perkembangan kerjaya dan kemampuan
seseorang untuk bertindak balas terhadap perubahan[1].
Organisation for Economic Co-operation and Development
(OECD) mendefinisikan literasi sebagai kemampuan seseorang untuk
memahami, menilai dan menggunakan teks bertulis untuk mencapai
matlamat dan mengembangkan potensi diri.
Dalam sebuah tinjauan UNESCO pada tahun 2018, kadar literasi di
negara kita didapati berada pada tahap 94.85%, meletakkan Malaysia
di kedudukan ke-72 pada peringkat global[2]. Walaupun kadar literasi ini
kelihatan tinggi, sebenarnya terdapat penurunan berbanding tahun-tahun
sebelumnya.
Programme for International Student Assessment, lebih dikenali
sebagai PISA, memberikan perspektif yang lebih mendalam mengenai
angka-angka ini. Diselaraskan oleh OECD, PISA merupakan peperiksaan
antarabangsa yang diiktiraf secara global. Program ini dilaksanakan untuk
menilai kecekapan membaca serta keupayaan Matematik dan Sains bagi
pelajar-pelajar berusia 15 tahun di seluruh dunia. Dalam PISA 2018,
Malaysia menduduki tangga ke-58 daripada 79 negara. Walaupun prestasi
pelajar Malaysia pada umumnya meningkat berbanding dengan angka
PISA tahun 2009, Malaysia masih belum mencapai purata OECD dalam
ketiga-tiga kategori, termasuklah membaca[3].
Sumber: EPIC Journal and MYReaders

Walaupun Malaysia berjaya meningkatkan kadar literasi dalam dekad yang


lalu, beberapa lapisan masyarakat masih ketinggalan. Realitinya, ramai
keluarga B40 dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar masih
berdepan dengan banyak halangan dalam pendidikan.
[Membaca] memberi kesan yang signifikan bukan hanya pada kemajuan
anak, tetapi juga terhadap keadaan sosio-politik dan ekonomi negara. –
Prof Sharon Wilson, Universiti Tunku Abdul Rahman
Turut membimbangkan ialah, pelajar yang mencapai tahap kecekapan
minimum dalam membaca didapati lebih kuat dalam “mencari maklumat”
daripada benar-benar “memahami”. Ini menunjukkan bahawa rakyat
Malaysia masih perlu meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi,
iaitu keupayaan untuk bukan sahaja membaca, tetapi untuk
mensintesis, menganalisis, mentafsir dan menilai maklumat secara
kritis.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) membuktikan fakta
bahawa pelajar-pelajar Malaysia sememangnya berupaya menghafal
kandungan mata pelajaran, tetapi kemahiran ini semata-mata, tanpa diiringi
pemahaman kritis, kurang relevan dalam ekonomi mencabar masa kini[4].
Daripada hanya mengulangi maklumat, pelajar perlu bijak menilai dan
mengaplikasikan pengetahuan mereka secara kreatif dalam pelbagai
konteks baru[4].

Sumber: Flickr

Walaupun guru-guru sekolah memainkan peranan penting dalam


perkembangan anak, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa
penglibatan ibu bapa juga memberi kesan signifikan dalam pembelajaran
seseorang. Tinjauan Kementerian Pendidikan pada tahun 2011 mendapati
bahawa meluangkan sejumlah masa setiap hari untuk bercakap dengan
anak-anak mengenai sekolah, atau membantu mereka membuat kerja
rumah, memberi impak positif terhadap prestasi membaca pelajar.
Kuncinya kini adalah untuk memastikan amalan ini diterapkan di setiap isi
rumah, lantas menjadikan keluarga sebagai penyumbang penting dalam
proses pembelajaran anak-anak[5].
Ibu bapa tidak perlu mempunyai Ph.D. atau meluangkan masa yang lama
untuk memperbaiki pendidikan anak-anak mereka. Apa yang diperlukan
hanyalah dedikasi ikhlas dan penglibatan aktif, diiringi kefahaman
bahawa pendidikan adalah tanggungjawab bersama.[4]– OECD (2011)
Literasi Digital
Sejak munculnya COVID-19, pembelajaran dalam talian dan budaya kerja
dari rumah telah mendedahkan betapa pentingnya literasi digital – tidak
kira umur, latar belakang, mahupun kerjaya. Dari membeli-belah dalam
talian hingga ke pembelajaran ODL, memang jelas bahawa sebahagian
besar kehidupan kita telah beralih ke dunia maya. Amat penting bagi kita
untuk melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk
menavigasi landskap maklumat dalam talian secara selamat dan berkesan.
Dalam dunia yang diubah semalaman oleh wabak COVID, amat penting
untuk kita terapkan teknologi digitalisasi dan 4IR dalam kehidupan. –
Datuk Wira Dr. Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC
Menurut sebuah laporan UNESCO 2018, literasi digital merupakan
kemampuan seseorang untuk mendefinisi, mengakses, mengintegrasikan
dan menilai maklumat melalui teknologi digital secara selamat untuk tujuan
ekonomi dan sosial. Literasi digital merangkumi literasi komputer, literasi
maklumat, literasi data dan literasi media[6].

Sumber: MIDA

Terdapat kesalahfahaman umum bahawa literasi digital adalah hanya


tentang mengetahui cara untuk mengirim teks atau memaparkan sesuatu
di media sosial, sedangkan pada realitinya, skop literasi digital jauh lebih
mendalam.
Dalam bidang pendidikan, guru dan pelajar kedua-duanya perlu
membiasakan diri dengan pelbagai fungsi platform kompleks seperti Zoom,
Google Classroom, Cisco dan Microsoft Teams untuk menjalankan
pembelajaran dalam talian dengan berkesan[7].  Dalam dunia kerja, orang
dewasa di setiap industri perlu meningkatkan kemahiran dan
menyesuaikan diri dengan tuntutan digitalisasi untuk meningkatkan daya
saing dan jangkauan syarikat[8]. Bahkan untuk pelajar universiti, kemahiran
digital penting bukan hanya penting untuk penyelidikan dan pengambilan
data, tetapi juga untuk menjamin kebolehpasaran mereka setelah tamat
pengajian[9].
Menurut Laporan World Economic Forum (WEF)’s ‘The Future of Jobs’
Report pada tahun 2020, lapan daripada sepuluh pekerjaan yang baru
muncul di Malaysia memerlukan kemahiran teknologi digital. Ini
merangkumi pekerjaan sebagai penganalisis data, pakar Internet of
Things (IoT), pakar transformasi digital, dan pakar keselamatan siber[10].
Laporan Global Skills Report terkini Coursera mendedahkan bahawa
pelajar Malaysia lebih mahir dalam kemahiran digital seperti
Pengkomputeran Awan dan Analisis Data. Negara kita menduduki tempat
ke-46 di peringkat global dan ke-4 di Asia Tenggara, ketinggalan daripada
negara-negara jiran seperti Singapura (ke-10), Vietnam (ke-20) dan
Indonesia (ke-45)[10].

Sumber: The Star

Walaupun negara kita telah menyaksikan peningkatan dalam kemahiran


digital dalam dekad yang lalu, sayangnya kemajuan ini tidak dikongsi sama
rata oleh mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan kampung Orang
Asli. Mereka masih berdepan dengan pelbagai halangan, terutamanya
ketidakmampuan untuk membeli komputer riba dan kekurangan
akses terhadap rangkaian internet serta infrastruktur berkaitan
(misalnya, grid elektrik)[11].
Perkembangan pesat teknologi diiringi dengan tanggungjawab besar untuk
memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan. Lebih banyak usaha
perlu dilaksanakan untuk meningkatkan literasi digital rakyat, dan juga
untuk mewujudkan ekosistem yang membolehkan semua orang menikmati
taraf hidup yang lebih baik. Dan yang paling penting adalah, hasil
kemajuan ini perlu dikongsi sama rata oleh semua lapisan masyarakat.

Literasi Kewangan
Literasi kewangan ditakrifkan oleh Organisation for Economic Co-operation
and Development (OECD) sebagai gabungan kesedaran, pengetahuan,
kemahiran, sikap dan tingkah laku yang diperlukan oleh seseorang individu
untuk membuat keputusan kewangan yang tepat dan akhirnya mencapai
kesejahteraan kewangan[12]. Dalam istilah mudah, ia merujuk kepada
kemampuan seseorang untuk memahami dan mempraktikkan kemahiran
kewangan secara berkesan. Antara aspek yang dirangkuminya ialah
pengurusan kewangan peribadi, penganggaran bajet dan pelaburan.

Sumber: The Star
Mempunyai keyakinan dan keupayaan untuk mengurus kewangan
seseorang dengan berkesan adalah penting untuk memastikan kualiti
hidup yang baik. Individu yang celik dari segi kewangan berupaya
membuat keputusan kewangan yang tepat dalam kehidupan mereka,
dan hal ini membawa kepada peningkatan taraf hidup yang
berterusan. Mereka juga lebih bersedia untuk bertahan sekiranya
ditimpa kecemasan atau krisis.
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dikuatkuasakan pada bulan
Mac, ekonomi negara sememangnya terhenti seketika. Ini
mempengaruhi pendapatan rakyat Malaysia yang tidak dapat bekerja,
dan mereka terpaksa mengambil potongan gaji atau diberhentikan kerja
oleh syarikat.[13] – Pengasas dan Pengarah Eksekutif RinggitPlus, Hann Liew
Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus pada tahun 2020
menunjukkan bahawa 53% responden tidak mampu bertahan lebih dari 3
bulan dengan simpanan semasa jika mereka kehilangan pekerjaan. 46%
membelanjakan cukup-cukup atau lebih daripada apa yang mereka peroleh
setiap bulan. Hampir separuh daripada semua responden belum mula
merancang untuk persaraan[14].
Statistik yang merisaukan ini menyamai penemuan Multiply, sebuah
platform literasi kewangan. Dalam tinjauan mereka pada tahun 2020, 48%
responden didapati tidak mempunyai simpanan kecemasan. 41%
menghadapi masalah menguruskan gaji bulanan mereka dan bimbang
tidak mempunyai cukup wang untuk bertahan sehingga gaji berikutnya.
Hanya 32% responden mengetahui skor kredit mereka dan memeriksanya
secara berkala[15].
Namun, tidak semuanya buruk – 53% responden merancang peruntukan
awal, 31% mempunyai insurans asas sekiranya berlaku kemalangan
kenderaan, dan 52% mempunyai beberapa bentuk simpanan untuk masa
sukar.
Source: Malay Mail

Tinjauan ini juga menekankan betapa pentingya kesedaran rakyat


mengenai cara memanfaatkan instrumen dan alat kewangan – 32%
responden mengatakan mereka lebih suka menyimpan dalam akaun
simpanan yang mudah berbanding meneroka pulangan yang lebih tinggi
melalui pelaburan[15].
Strategi komunikasi yang berkesan diperlukan untuk meningkatkan inisiatif
pendidikan kewangan. Dalam hal ini, teknologi dapat dimanfaatkan untuk
memudahkan akses terhadap maklumat. Walau bagaimanapun, kita harus
terlebih dahulu menyedari realiti kewangan kendiri dan bukannya
menafikannya. Literasi kewangan semata-mata tidak cukup sekiranya tidak
disertai dengan perubahan tingkah laku. Kesedaran tentang
tanggungjawab individu adalah langkah pertama untuk menentukan nasib
kewangan seseorang.
Rakyat Malaysia perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan
kewangan supaya mereka dapat menguruskan simpanan dan
perbelanjaan mereka, melabur dengan bijak, dan meminjam secara
bertanggungjawab sesuai dengan matlamat dan keadaan kewangan
mereka. Ia juga berfungsi sebagai perlindungan terhadap penipuan
kewangan. – Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid 

Literasi Kesihatan
Kecenderungan untuk menangguh rawatan, mengambil suplemen
kesihatan yang tidak diiktiraf, dan kewujudan pergerakan anti-vax
kesemuanya merupakan simptom bagi suatu masalah yang lebih besar:
tahap literasi kesihatan yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dalam krisis kesihatan yang meluas seperti COVID, amat penting bagi kita
untuk membuat pilihan yang bijak demi melindungi bukan hanya kesihatan
kita sendiri, tetapi juga orang lain.

Source: The Star

Dalam Kajian Kesihatan dan Mobiliti Nasional (NHMS) pada tahun


2019, Institut Kesihatan Umum (IKU) mendefinisikan literasi kesihatan
sebagai kemampuan untuk mencari, memahami, dan mengaplikasikan
maklumat dan perkhidmatan yang diperlukan untuk membuat
keputusan berkenaan kesihatan. Antara aspek yang dirangkum adalah
kemampuan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, memahami maklumat
kesihatan dan mengikuti arahan perubatan. Literasi kesihatan juga merujuk
pada kemampuan seseorang untuk menganalisis risiko dan manfaat
berbagai pilihan rawatan yang ditawarkan, serta mengaturkan temujanji
doktor.
Kajian NHMS 2019 mendapati bahawa 1 dari 3 orang dewasa
mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah[16]. 
Peratusan tepat dari kajian ini diperincikan lebih lanjut dalam
sebuah laporan yang diterbitkan oleh pasukan penyelidik dari Kementerian
Kesihatan Malaysia, yang mengkategorikan literasi kesihatan kepada tiga
tahap: terhad, mencukupi, dan sangat baik.
Hasil kajian mereka menunjukkan bahawa sebilangan besar rakyat
Malaysia mempunyai tahap literasi kesihatan yang cukup dalam ketiga-tiga
aspek – penjagaan kesihatan, pencegahan penyakit dan gaya hidup sihat
(masing-masing 49.1%, 44.2%, dan 47.5%). Namun, jika dibandingkan
dengan keseluruhan spektrum, skor purata rakyat Malaysia adalah 35.5
daripada jumlah keseluruhan 50. Skor ini menunjukkan bahawa, walaupun
secara keseluruhan populasi berada di bawah kategori yang mencukupi,
sebilangan besar populasi tergolong dalam bahagian bawah kategori
tersebut[17]. 

Sumber: Malay Mail

Tahap literasi kesihatan juga berkaitan dengan ciri sosiodemografi.


Literasi kesihatan yang terhad lebih meluas dalam kalangan mereka
yang berumur (68%), bertahap pendidikan rendah (64.8%), dan
berpendapatan rendah (49.5%)[17]. 
Responden muda dari latar belakang pendidikan dan pendapatan tinggi
merangkumi sebahagian besar responden yang mencapai literasi
kesihatan yang mencukupi atau cemerlang. Namun secara keseluruhan,
status literasi kesihatan Malaysia tetap dikategorikan pada tahap
kecukupan yang lebih rendah.
Angka-angka ini menunjukkan bahawa lebih banyak yang perlu dilakukan
untuk meningkatkan literasi kesihatan di Malaysia, terutama usaha yang
disasarkan kepada masyarakat yang rentan. Tanpa kemahiran ini,
seseorang akan lebih cenderung untuk membuat pilihan kesihatan yang
lebih berisiko dan tidak berupaya untuk menguruskan kesihatan diri
dengan baik. Kadar kemasukan mereka ke hospital juga lebih tinggi, dan
kesihatan mereka secara keseluruhannya turut lebih terjejas. Oleh itu,
usaha literasi kesihatan sangat penting untuk memastikan rakyat dapat
memahami, menilai dan mengaplikasikan maklumat perubatan untuk
membuat keputusan yang tepat. Dengan ini, mereka secara
keseluruhannya dapat meningkatkan kesejahteraan hidup dengan lebih
berkesan. 

You might also like