You are on page 1of 6

TEKS UCAPAN PENGETUA

Terima kasih Pengacara Majlis,

Yang Berbahagia Encik Idlan bin Abdullah, Yang Dipertua PIBG SMK TAR,

Barisan Guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru SMK TAR, murid-murid yang diraikan dan
seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan. 

Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana pada pagi yang penuh bermakna ini, kita dapat
berkumpul bersama-sama bagi memberikan pengiktirafan kepada para murid  yang telah
memperoleh tahap pencapaian yang cemerlang khusus dalam bidang kurikulum sepanjang tahun
2021.  Sesungguhnya majlis indah yang telah disusun atur oleh pihak pengurusan sekolah ini
merupakan satu agenda pendidikan yang bertujuan untuk menghargai kejayaan-kejayaan yang
telah diperoleh para pelajar kita. Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola
Majlis yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini dapat berjalan dengan lancar
dan teratur seterusnya mencapai matlamatnya.  Kita sedar bahawa majlis seumpama ini amat
perlu dilaksanakan untuk memberi makna dan penghargaan kepada kehidupan anak-anak
generasi  pewaris  masa depan negara.  Saya juga mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan
kehadiran tuan puan.  Saya percaya kerjasama yang padu serta sokongan yang berterusan
daripada ibu bapa akan meningkatkan lagi semangat warga sekolah untuk terus mencatat
kejayaan yang membanggakan.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Sepertimana yang kita sedia maklum, keputusan SPM 2017 telah pun diumumkan pada 15 Mac
yang lalu.  Alhamdulillah  SMK TAR telah berjaya mendapat keputusan yang membanggakan
SPM 2017 ini,walaupun  terdapat penurunan GPS sebanyak 0.14 Untuk perkongsiaan bersama
Gred Purata Sekolah (GPS)  untuk SPM pada tahun ini ialah 5.71 manakala peratus lulus adalah
sebanyak 76.15 %.  Kelulusan 100% telah berjaya diperoleh bagi tiga mata pelajaran iaitu BC ,
BT, Tasawwur Islam, Prinsip Perakuanan dan Pend.Seni Visual. , bagi mata pelajaran
B.Inggeris, B. Melayu dan Pend. Islam ia juga telah berjaya mencapai sasaran yang telah
ditetapkan. Tahniah diucapkan kepada murid-murid yang telah berjaya mendapat keputusan
SPM yang baik.

Sekalung tahniah juga untuk semua guru yang telah bekerja keras demi menyediakan dan
menyampaikan pembelajaran yang berkualiti supaya pada akhirnya murid yang menerima
pembelajaran di sekolah ini dapat menyumbang terhadap jati diri dan daya saing negara
seterusnya mampu menjadi insan yang cemerlang dan dapat membangunkan negara sejajar
dengan kehendak semasa pada masa akan datang. Syabas diucapkan kepada semua guru yang
sememangnya tidak pernah jemu dan sentiasa bekerja keras untuk melaksanakan perubahan dan
pendekatan baharu dalam sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran untuk
menggembleng bakat dan potensi murid secara optimum.  Syabas juga kepada ibu bapa kerana
turut memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka.  Namun
demikian , pada hemat saya yang paling utama kejayaan ialah terletak pada diri murid itu sendiri
agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi
kecemerlangan.

Para hadirin sekalian,

Sebagaimana yang telah saya nyatakan di awal tadi bahawa majlis ini merupakan satu
pengiktirafan kepada para murid yang berjaya .  Oleh itu, saya mengucapkan tahniah dan syabas
kepada semua penerima anugerah pada hari ini.  Saya berharap kejayaan para murid ini akan
berterusan dan akan menjadi pembakar semangat kepada para murid yang lain agar sentiasa
mempunyai sikap daya saing untuk mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang
akademik bahkan dalam bidang kokurikulum juga.  Bagi pihak sekolah, saya mendoakan agar
murid-murid akan terus melakar kejayaan yang bakal membanggakan diri sendiri, keluarga ,
sekolah, masyarakat, bangsa dan negara.

Akhir kata, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah dan
terima kasih daun keladi kepada jawatankuasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2021
Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman.  Kepada tetamu dan hadirin, sokongan
tuan puan akan dikenang sampai bila-bila.

            Ikan sembilang sepat dan kelah,

                Guna bubu biasa di hujung,

                Pencapaian cemerlang dapat hadiah,

                Petanda ilmu sentiasa dijunjung.

Sekian sahaja ucapan saya. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi
wabaratuh.
UCAPAN YDP PIBG / PERASMI

Selamat Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia

Terima kasih  Pengacara Majlis.

Yang Dihormati Tuan Haji Kamarudin bin Kudong pengetua SMK TAR, Encik Roslan bin
Ahmad NYDP PIBG SMK TAR , Guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru Kanan Mata
Pelajaran, guru-guru, murid-murid yang diraikan, ibu bapa, dan hadirin yang dikasihi sekalian.

Beras kunyit saya taburi,

                                                Air mawar direnjis wangi.

                                     Berkembang kasih menabur budi,

                                                Undangan tuan amat disanjungi.

Terlebih  dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi menjemput saya
untuk merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMK TAR, bagi tahun 2021.
Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah yang berjaya
mengadakan program ini sebagai satu program tahunan demi kepentingan para murid. Walau apa
pun nama yang diberi untuk majlis seperti ini, yang pasti Majlis Anugerah Kecemerlangan
Akademik merupakan satu majlis khas untuk meraikan murid-murid yang telah membuktikan
kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada murid-
murid yang cemerlang sekolah ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi
tradisionalnya. Para murid bukan sahaja datang ke sini untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai
pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.  Hal ini selari
dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada
pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu
inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti
pendidikan negara. Kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam
sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan.

Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui
proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman. Lantaran Kementerian
Pendidikan telah memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sejak lima tahun yang
lalu sebagai kayu ukur kompetensi para pelajar. Dengan kata lain, kit perlu melahirkan para
pelajar yang cemerlang dan kompeten iaitu mencapai standard kualiti untuk merealisasikan
aspirasi dan agenda negara.

Hadirin sekalian,

Cendekiawan  ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu.
Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para murid sebagai peneroka ilmu dan
bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan
abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak
mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran
semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan
oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak anak.
Seyogianya, ibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di
sekolah tetapi juga di rumah.

Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah, apakah
memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah
semata-mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan
apabila murid-murid balik ke rumah. 

Tuan-tuan dan puan-puan,

Mahatma Gandhi ada menyatakan bahawakepuasan terletak pada usaha, bukannya kejayaan.


Maka kepimpinan institusi pendidikan seperti SMK TAR perlu memacu penghasilan daya
kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Bagi
menghasilkan pendidikan yang bermutu, para pengajar perlu melakukan anjakan paradigma
dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan para murid
untuk berfikir secara kreatif dan inovatif terutama para pelajar di sini yang berfokuskan
kemahiran.  Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan
(factory model of producing education) kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran
yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil
keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman penaakulan (reasoning) para
pelajar. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran
berbentuk hafalan (rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind
stimulating learning).

Imam Al-Ghazali pernh berkata bahawa ‘Beriman dan beramal sumbernya ialah ilmu.  Ilmu
diperoleh dengan belajar.  Tiada ertinya iman kalau tiada amal dan tiada erti amal kalau
tiada keikhlasan

Oleh itu, para pendidik perlu sedar orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur pencapaian
berdasarkan standard kualiti yang telah dijanjikan. Para pendidik jangan cepat berasa puas
dengan pencapaian  pada hari ini. Seorang pendidik mesti sentiasa berusaha meningkatkan
kualiti perkhidmatan agar perkhidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan
yang lain. Seperti yang kita semua sedia maklum, para murid merupakan tiang negara dan bakal
pemimpin negara kerana  Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jadi pengasuhan,
bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah amat
penting. Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai. Malahan pembangunan
dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu diberi perhatian yang
sama berat.

Saya percaya sambutan Majlis Hari Anugerah Cemerlang pada hari ini adalah selari dengan
matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para murid agar terus berusaha untuk mencapai
kecemerlangan dalam semua bidang. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat
berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga
yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada para murid
yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian
kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-
bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak
kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan
setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa
hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita
sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan
kecemerlangan.

Kepada para pelajar yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi ingatlah pesanan saya
ini. Untuk menjadi seorang murid yang cemerlang, kita harus mempunyai sikap rajin berusaha
dan tidak mudah berputus asa.Berpeganglah pada prinsip alang-alang menyeluk pekasam biar
sampai ke pangkal lengan. Saya percaya para murid yang mendapat anugerah pada hari ini
merupakan mereka yang rajin berusaha dan konsisten dalam usaha. Mereka yang cemerlang ini
biasanya rajin pada tiap-tiap hari dan bukannya rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau
rajin mengikut musim.. Saya percaya jika para murid dapat mencontohi mereka yang menerima
anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut pada tahun akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan yang hormati sekalian,

Ibnu Rusyd, seorang tokoh ilmuwan Islam pernah menukilkan antara lainnya bermaksud,
"Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian bersama". Dalam hal ini, semua pihak
semestinya berganding bahu dan mengatur langkah sederap berusaha untuk merealisasikannya.
Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu jaringan kecemerlangan akademik yang
tinggi mampu digapai. Kita perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah dan ibu bapa
sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan
sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.
Pemimpin dan barisan tenaga pengajar kolej  ini boleh bertukar ganti; boleh datang dan pergi,
namun organisasi  mesti dipertahankan walau sesiapa pun yang menerajui dan memacunya.
Ingatlah, kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh ditolak-ansurkan. Semua pihak
termasuk  ibu bapa dan murid patut memberi sokongan padu kepada pihak pentadbir sekolah jika
semua mimpi indah tentang kecemerlangan ingin direalisasikan.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas
kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan Majlis Hari Anugerah Cemerlang tahun
ini.

Sebelum saya berundur diri, saya juga ingin menarik perhatian hadirin sekalian padagurindam
ini;

          Jika murid mendengar kata

             Tidak guru berkata cela

             Jika ibu bapa bekerjasama

             Tidaklah anak berdukacita

             Jika kita seia sekata

             Tiada timbul sengketa

             Jika seiring kita berusaha

             Pasti semua akan berjaya

Digerak oleh iltizam mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz Bismillahhirrahmannirahim


(Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Penyayang) MERASMIKAN, Majlis Hari
Anugerah Cemerlang, tahun 2017.

You might also like