You are on page 1of 1

Yang berusaha,

Encik Ganapathy Bass, Pengetua SMK Damansara Jaya, Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Yang diraikan, Pn Tan Cheng Kiok.

Encik Azmuddin bin Muhammad, Penolong Kanan SMK Damansara Jaya,

Pn Shahlawati bt Ali, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,

Pn Sharon Ng Boon Peng, Penolong Kanan Kokurikulum,

Barisan guru kanan mata pelajaran, Pn Norita bt Muhammad, Pn Lim Swee Kim, Pn Sally Lim, Pn Mariam bt Zoolfakar,

Guru-guru serta rakan sekalian.

Selamat sejahtera diucapkan.

Pada pagi yang mulia ini, kita berkumpul untuk meraikan majlis persaraan guru yang kita sayangi, Pn Tan Cheng
Kiok. Saya tahu kebanyakan daripada anda kurang mengenali beliau tetapi bagi kami warga tingkatan 5, kami mengerti
akan kehebatan beliau dalam pelbagai bidang. Banyak yang mahu saya kongsikan namun dengan keadaan masa yang
kurang mengizinkan, saya hanya mengambil sebahagian kisah yang amat mendatangkan kesan.

Pertama sekali, beliau sangat hebat dengan Matematik Tambahan..Kelas bersama beliau sangat menyeronokkan.
Masih terbayang-bayang saat kami mengejar asam yang diberikan sehingga kadang kala asam tersebut lenyap sekelip
mata. Walaupun beliau seorang Ketua Panitia Matematik Tambahan, namun tahukah anda beliau seorang yang fleksibel?
Beliau mampu mengajar Fizik semasa ketiadaan Pn Ho Fung Chern. Saya sangat mengagumi kebolehan beliau. Terasa
seolah-olah semua konsep Fizik berada di belakang kepalanya. Saya dapat belajar dan memahami beberapa konsep dan
formula Fizik yang diajarkan.

Hadirin yang dihormati,

Jika anda mengenali Pn Tan dalam satu jangka masa yang agak panjang, pasti anda mengetahui kehebatan
beliau. Pn Tan salah seorang guru yang sangat komited pernah saya temui dalam hidup saya. Setiap kali saya
memandangnya dalam mana-mana acara atau majlis, beliau pasti sedang membantu atau mengambil gambar. Selepas ini,
saya pasti merindui gerak-geri beliau dalam setiap majlis yang dihadirinya. Kehebatan beliau semasa menerajui rumah
Unggul juga tidak boleh dipandang remeh. Bukan sedikit ahli rumah Unggul yang menyokongnya. Anda sendiri tahu
bukan?

Dalam tempoh 34 tahun perkhidmatan, satu tempoh yang sangat panjang, beliau telah menunjukkan komitmennya
kepada murid dan sekolah. Walaupun hanya berkesempatan bersama beliau untuk tempoh setahun, dengan segala
macam masalah yang kami timbulkan, beliau tetap bekerja keras untuk menanganinya. Beliau sanggup meluangkan masa
untuk memberikan kelas tambahan semata-mata mahu memastikan murid-muridnya berjaya.

Hadirin yang dimuliakan,

Walaupun Pn Tan akan meninggalkan kita, masih ada guru sehebat beliau. Jika anda berpeluang menemui guru
sehebat beliau, hargailah mereka kerana guru seperti inilah yang menceriakan kehidupan persekolahan anda. Buat Pn Tan
Cheng Kiok yang disayangi, mewakili semua warga DJ, saya mengucapkan selamat bersara. Selamat berehat dari segala
macam kerenah dunia pendidikan. Semoga semangat DJian terus hidup dalam sanubarimu. Terima kasih atas segala-
galanya yang telah dicurahkan kepada kami dan kepada SMK Damansara Jaya. Cikgu memang terbaik!!! Semoga Tuhan
akan merahmatimu dan menjagamu. Berehatlah sepuasnya!

Sekian, terima kasih.

You might also like