You are on page 1of 28

BAB 2 ANDAI KAU DI KASUTKU

Loceng pulang dibunyikan jam 12.20 tengahari. Aku lega akhirnya dapat meninggalkan

sekolah. Itu bermakna aku bebas mengasihani diriku. Berpura-pura normal itu sangat

melelahkan. Tubuh dan mentalku penat. Terlalu banyak hal yang terjadi di sekolah hari ini. Hal

yang tidak enak untuk dijamah dan sangat keterlaluan untuk sebuah hari pertama. Aku hanya

ingin menangis di bilikku.

Aku berjalan sendirian menyusur landasan keretapi yang berbatu. Jarak antara sekolah

dan tempat tinggal lebih kurang 500 meter. Abah tidak menyediakan kenderaan mahupun

menyewakan bas sekolah untukku, juga untuk adik lelakiku, Rian, yang kini bersekolah rendah

di pekan Papar. Makanya kami harus berjalan kaki pergi dan balik ke sekolah. Tapi aku sudah

terbiasa. Mujur cuaca di daerah Papar hangatnya tidak separah di Kota Labuan.

Seharusnya sebagai anak pegawai polis, kami sekeluarga tinggal di quaters yang

disediakan. Namun keluargaku bukanlah jenis manusia yang boleh beradun mesra dalam

komuniti msayarakat. Ibuku – umi gelarannya – seorang surirumah, gemar berkelahi dengan

jiran. Dia lebih paranoid dari aku dan selalu merasakan yang dunia ini diam-diam menikam

belakangnya. Manakala abah pula, meski peramah tapi panas baran. Dia seorang lelaki yang kuat

tetapi kalah pada provokasi umi. Kukira umi seperti batu kripton yang mampu membuat abah

menjadi lemah dan tidak berdaya. Kalau rumah kami tidak ribut kerana cakar mulutnya dengan

umi, maka ia akan ribut kerana memarahi kami tiga beradik. Makanya untuk kesejahteraan

bersama, abah memilih untuk menyewa di luar. Seingatku, kali terakhir kami tinggal di quaters

polis ketika usiaku 7 tahun. Hanya kali ini kami tidak menyewa, tapi tinggal di rumah nenek.

Meskipun secara literalnya daerah datar yang sinonim dengan belacan dan sawah padi ini

adalah kampungku, tapi kami sekeluarga jarang pulang ke sini. Semuanya bergantung pada cuti
dan kewangan abah. Pun begitu aku tetap merasa keterdekatan dengan kampungku ini. Segala

tentangnya masih sama seperti kali terakhir kutinggalkan. Jalan raya aspalnya sempit dan

berlubang, tak ubah seperti permukaan bulan dan sentiasa dipenuhi najis kerbau. Lopak-lopak air

akan wujud ketika musim hujan sedalam setengah kaki menyebabkan ramai pejalan kaki lebih

memilih untuk menggunakan landasan keretapi. Kiri kanan jalan dipenuhi kebun getah dan

rumah-rumah persendirian yang jaraknya saling berjauhan antara sama lain menimbulkan kesan

seram dan sunyi.

Akhirnya aku pun tiba di perkarangan rumah. Rumah jenis panggung bertiang 16 itu

adalah gabungan senibina tradisional dan moden. Hanya ada 3 bilik tidur di dalamnya. Satu

ditempati abah dan umi, satu lagi kukongsi bersama nenek, dan satu lagi bilik kakakku, Izyan.

Kak Izyan adalah guru pelatih di maktab perguruan di bandar KK dan hanya akan pulang setiap

hujung minggu. Biliknya menjadi stor barangan dari rumah lama yang masih berada di dalam

kotak. Rian tidur di ruang tamu yang luas dan cukup menempati jumlah tetamu yang ramai

semasa majlis kenduri. Ruang dapur adalah yang kedua terbesar. Halaman rumah agak luas

menyebabkan kami sedikit terpisah daripada jiran lainnya. Rumah paling hampir adalah rumah

makcikku – Mak Ngah - kakak ketiga abah, yang jaraknya lima puluh meter ke kanan. Pada

bahagian kiri rumah dan belakang dipenuhi hutan belukar

Sepi mengitari rumah saat kakiku menginjak anak tangga. Kuyakin hanya ada nenek dan

umi waktu ini. Aku melepaskan lelahku di tangga. Sambil memeluk beg sekolahku, aku dapat

merasa pergelutan emosiku yang semakin memburuk. Tenagaku seakan diperas keluar dari

badan. Perutku lapar dan tekakku haus. Aku berharap agar ada makanan di dapur untuk kujamah.

Musim bulan tua adalah masa-masa yang perit. Apalagi di awal tahun pembukaan sekolah.
Biasanya bila begini, umi hanya akan memasak nasi goreng kosong yang dicampur dengan

bawang putih yang banyak. Kalau ada telur, itu sudah dikira mewah.

Sungguhpun abah menjawat jawatan kerajaan, tapi gaji abah hanya cukup-cukup untuk

memenuhi keperluan asas, membayar bil utiliti dan hutang bank. Kalau musim gaji, dapat

jugalah kami merasa lauk ayam. Minggu berikutnya, abah akan membeli dua atau tiga kilo ikan

selayang yang akan digoreng atau direbus oleh umi. Kadang abah membeli kima, yang akan umi

masak dalam porsi yang banyak lalu dipanaskan berulangkali sampai seminggu lamanya. Kima

masak kari. Aku betul-betul benci masakan itu. Aku lebih rela berlapar daripada memakannya. .

Belum pun habis lelahku, Rian pun menyusul dengan nafas tercungap-cungap. Wajahnya

kelelahan. Kulitnya yang agak gelap kelihatan bersinar di bawah terik mentari. Peluh membanjiri

kepala hingga baju sekolahnya. Kasihan dia. Sekolahnya lebih jauh dari sekolahku.

“Lama sudah Kadi sampai? Kenapa tak naik?” tanyanya begitu duduk di sisiku. Kadi

adalah singkatan daripada perkataan 'kakak' dan 'Dian'.

Bau tengik matahari keluar dari tubuhnya. Aku segera menekup hidungku.

“Kau bau! Bagus kau mandi duluan di kamar mandi bawah sebelum naik. Ada tuala di

jemuran,” marahku tanpa menjawab soalannya.

“Tapi Rian lapar. Ada telurkah di dapur?” tanyanya dengan wajah polos. Aku

menatapnya hiba.

“Ada rasanya. Kau mandilah dulu. Nanti Kadi gorengkan kau telur, mau?" pujukku

perlahan.

"Mau! Telur mata lembu ah, yang goyang-goyang kuningnya. Tapi Rian mau 2, boleh?"

tanyanya dengan matanya yang penuh harapan.


“Habis tu, Kadi mau makan apa kalau kau ambil dua? Kau fikir Kadi tak lapar? Kau mau

jadi si Pekan? Biar Kadi mati kena makan batu belah batu bertangkup?” jawabku emosi. Sakit

pula hatiku dengan ketamakannya.

“Main-main ja bah. Itupun marah. Kicap cap ayam masih ada,kan? Semalam tinggal

sedikit,” sambungnya dengan nada yang mulai merendah.

“Makan sajalah apa yang ada dulu. Nanti petang kau pergi kedai Babu Limah beli kicap,”

ujarku malas.

“Kenapa tak sekarang?”

“Kau sekolah agamalah!”

“Alah...malasnya ke sekolah agama. Jauh lagi tu di Buang Sayang. Kenapa abah tak

hantar kita, ah? Kan abah ada kereta? Atau sewakan van sekolah macam Ijam?” Ijam adalah

sepupu kami yang tinggal di sebelah rumah, anak Mak Ngah.

“Abahkan kerja. Manalah dia ada masa mau menghantar mengambil kau pulang. Kadi

dan Along kecil-kecil dulupun jalan kaki tau!”

Rian mengeluh dengan wajah cemberut. Aku memahami perasaannya. Jarak dari

Kampung Takis ke Buang Sayang mungkin lebih daripada 1.5km.

“Tapi Kadi ada duitkah mahu beli kicap? Boleh bagi Rian dua puluh sen? Rian mau beli

keropok Mimi,” kata Rian mengharap.

“Ada lagi sikit duit tabung Kadi. Ya, nant Kadi bagi.”

“Tapi duit tu Kadi mau bikin beli kaset M.Nasir, kan?”

“Tak apa. Nanti Kadi beli ja yang cetak rompak di tamu. Murah sikit.”

“Tapi kita mana boleh beli kaset cetak rompak. Nanti kena tangkap, macammana?”
“Astaga. Banyak betul persoalan kau, kan? Kau mau mandi sekarang atau tidak? Atau

kau mahu Kadi panggil umi sekarang? Biar kau kena pukul!” gertakku sambil menggenggam

tangan Rian. Geram pula aku dengan sikapnya. Setelah berjanji untuk tidak menyemakkan

kepalaku lagi, dia pun aku lepaskan.

Kesal, aku menarik beg sekolahku dan naik ke rumah. Ketika pintu rumah kubuka,

sayup-sayup kedengaran suara radio dari bilik umi. Umi memang obses dengan radio,

terutamanya stesen Radio Sabah. Suara juruhebah dan lagu-lagu yang dimainkan itulah

penemannya di rumah. Dia paling suka rancangan tuju lagu dan selalu berharap agar keluarganya

di Kuching mengutus rasa rindu melalui rancangan itu. Kadang, dia akan memaksaku menelefon

stesen berkenaan untuk menujukan lagu dan menyampaikan ucapan. Ketika juruhebah

menyampaikan berita keluarga, dia akan menangis sungguhpun orang yang meninggal itu tidak

dikenalnya langsung. Kulirik pintu bilik umi yang tertutup lalu menyeret langkahku ke bilik yang

kukongsi bersama nenek.

Nenek sedang duduk di atas sejadah lengkap bertelekung sambil membaca Al-Quran

ketika pintu bilik kubuka. Dia segera menghentikan pembacaannya begitu melihatku.

“Eh? Sudah pulang cucu nenek? Nda dengar pun kau bagi salam. Macamana hari

pertama sekolah? Bagus? Dapat kawan baru?” tanyanya lembut sambil mempamerkan barisan

gusinya yang rata. Kusalam tangannya sekadar formaliti lalu duduk di birai katil sambil

membuka tudung sekolahku.

“Ya, bagus,’ bohongku, suaraku lemah. Nenek memandangku tidak percaya.

“Rian mana?”

“Mandi di bawah.”
“Kau pun pergilah bersihkan diri, lepas tu solat. Entah mamakmu ada masakkah tidak.

Kalau tiada, pandai-pandailah goreng telur,” kata nenek. Aku hanya mengangguk kecil, acuh tak

acuh.

“Lepas jemur kain tadi, mamakmu terus masuk bilik. Seharian tak keluar. Entah apa

dibuatnya berkurung lama-lama. Jangankan makanku, makan anak sendiri pun tak dipeduli. Aku

ingat, ada anak menantu di rumah ni senang sikit hidupku...” omel nenek membuatku tidak

nyaman. Aku memicit-micit lenganku dengan kuku hingga kulitnya terasa perih, berusaha

mengusir kekhuatiran yang mulai kualami. Aku berharap dia mahu memperlahankan suaranya

agar tidak didengar umi. Frekuenasi pendengaran umi sangat tajam dengan julat 20 Hz kitaran

sesaat yang boleh mengesan orang mengumpatnya dari belakang, bahkan dalam hati sekalipun.

Dia malah boleh memisahkan bunyi radio dan bunyi percakapan di persekitarannya dengan

mudah seperti Puspawangi memisahkan rempah yang dibawa oleh Tun Nila Utama.

Nenek terus mengoceh dengan kata-kata yang sudah kutahu arah tujunya. Pada

penghujung cerita, pasti nenek akan mengungkit cerita masa silam yang menjadi dendamnya

hingga ke hari ini. Sejarah yang tidak ingin dikenang tentang cerita menantu yang tidak direstui.

Skripnya sama saja, diulang ratusan kali seolah-olah ia tidak pernah didongengkan pada kami.

Nenek pula tidak pernah segan memburukkan umi di hadapan cucunya sendiri. Padahal aku anak

umi! Seburuk apapun seorang ibu itu, tetap tidak akan ada anak yang sanggup mendengar kata

nista untuk ibunya. Apakah nenek berharap agar aku membenci ibuku sendiri? Atau melayan

umi seperti buruknya nenek melayannya? Aku bosan dengan semua ini. Usia perkahwinan abah

dan umi sudah mencecah 23 tahun namun keluarga ini tetap dihantui cerita silam yang

menyakitkan.
Nenek akhirnya kembali mengaji setelah kata-katanya tidak kusambut sama sekali.

Semudah itu dosa ditebus, batinku mengusir kejengkelanku melihat tingkahnya. Buru-buru aku

keluar dari bilik menuju ke dapur dan berharap agar Rian belum selesai mandi agar dia tidak

mempertikaikan kelewatanku menggorengkan telur untuknya.

Begitu aku sampai ke dapur, umi ternyata sedang duduk di meja makan. Rambutnya

tersisir rapi, belah tengah seperti selalu. Aku dapat menghidu bau krim muka Golden Horse yang

selalu dipakainya. Bau khas umi. Dia melemparkan pandangan parah padaku sambil menongkat

dahinya. Nafasnya termengah-mengah. Tampak jelas dia menahan marah. Melihat tatapannya,

bulu kudukku berdiri. Firasatku mengatakan kalau umi mendengar umpatan nenek tadi. Mungkin

yang kutakutkan benar-benar terjadi.

“Hai, Mi," sapaku ragu-ragu. Perlahan, aku berjalan melintasi umi menuju rak dapur,

mengambil sebiji mangkuk porselin dan sebatang garfu. Aku kemudiannya membuka tray telur

dan mendapati masih ada 5 biji telur yang tinggal. Aku mengambil dua biji dan memecahkannya

ke dalam mangkuk.

“Puas hatimu mengumpat aku sama nenek? Kamu fikir aku tak dengar? Apa kamu fikir

aku tuli?" bentak Umi dengan suara tertahan.

“Di tak  cakap apa-apa pun, Mi,” balasku berusaha tenang agar tidak terserap oleh emosi

umi. Aku mudah terprovokasi, itu kelemahanku.

“Iya, tapi kau suka dengar kalau aku diburuk-burukkan oleh nenekmu, kan?” tukas umi

sengit.

Aku membuat keputusan untuk tidak memperdulikan tuduhan liar umi. Kuaduk telur

dengan kuat hingga suara umi tenggelam timbul di telingaku.


“Yah...pukul lagi kuat-kuat telur tu, biar pecah mangkuk tu. Sengaja kau kan supaya tak

dengar omelku!” teriak Umi menghentikan tanganku. Aku memerhatikan telur yang sudah

bercampur sebati dan baru menyedari kalau aku tidak sepatutnya mengaduk telur itu. Bukankah

tadi Rian mengatakan dia mahu makan telur mata lembu yang bergoyang-goyang kuningnya?

“Dasar kamu semua anak derhaka! Tiada satu pun anak yang membahagiakan hati aku.

Setiap saat, setiap detik kamu hanya menyakiti hatiku saja. Sia-sia aku tinggalkan kampung

halamanku, tinggalkan mamakku, keluargaku, demi kamu semua. Tapi apa aku dapat? Umpat

keji? Kalau kamu semua tak hargai aku, lebih baik aku pulang ke kampungku...”

Kata-kata itu sudah ratusan atau barangkali sudah ribuan kali dimuntahkan di depanku.

Aku bahkan sudah menghafal skripnya dengan baik sekali. Demi Tuhan, aku betul-betul bosan

mendengarnya sepertimana aku benci mendengar umpatan nenek.

“Umi mahu Di buat apa? Bergaduh dengan nenek?” desisku dingin. Aku berharap agar

kata-kata itu hanya kuucapkan dalam hati. Tapi tidak. Telingaku mendengarnya dengan baik

sekali.

“Kenapa tidak? Sepatutnya kau bela aku. Aku yang melahirkan kau! Apa guna kau jadi

anak kalau tidak tahu membela orang tua?” balas umi sengit sambil memutarkan tubuhnya

menghadapku. Dia menatapku dengan luapan api kemarahannya.

Aku memejam mataku, menghindar kobaran api di mata umi yang cuba membakarku

hidup-hidup. mengusir bunyi desing yang mulai meliuk di telingaku. Aku menggenggam kuat

mangkuk di tanganku seakan ingin meremukkannya sampai hancur. Apa yang kuharus lakukan

saat ini? Membalas serangan umi dengan jawapan-jawapan yang tiada berguna sama sekali? Aku

yakin umi juga tidak memerlukan sebarang penjelasan. Dia hanya ingin melepaskan

kemarahannya dan memuntahkan kebenciannya. Dia hanya ingin mengenyangkan nafsu


narsisnya dengan melempariku tuduhan yang tak berkepala. Dia hanya ingin mencipta keadaan

yang membuatnya merasa seperti mangsa keadaan, walaupun dialah sebenarnya pemangsa yang

menyepit aku dalam situasi buruk ini.

“Pandang sini, Di! Jawab aku!”

Aku diam tidak bergeming. Aku tidak mahu membalas tatapan umi agar tidak melihat air

mata yang sudah menitis di pipiku. Entah atas alasan apa emosiku seakan terikat dengan air

mata. Kalau kumarah, air mata itu akan menitis sendiri. Segera aku mengelap pipiku dengan

belakang tapak tangan.

“Dian!”

Bunyi desing di telingaku pun berubah menjadi riuh gendang. Bunyi itu saling bersahut

dengan suara-suara yang tidak kukenal - namun sangat akrab - yang mengejek malangnya

nasibku. Suara setan. Aku kenal benar suara-suara itu. Mereka akan berkumpul di tengah

kepalaku dan bersorak mentertawai aku. Sebahagiannya akan membisikkan kata-kata nista dan

menghasutku untuk membalas serangan. Sebahagiannya lagi akan memujukku dan menyuruhku

bersabar. Mereka pun bertengkar dan saling mempertahankan pendapat masing-masing.

Jantungku berdegup kencang. Tanganku menggeletar.

Bingit!

- Diamlah kamu semua, diam! Umi sedang marah tu. Nanti aku yang kena pukul!

- Biar kau kena pukul, padan muka kau. Kau memang anak tak guna.

- Jangan hasut dia lagi. Kasihan dia.

- Tengok tangannya, menggeletar.

- Pecahkan saja mangkuk itu ke lantai biar umimu tahu kau marah.

- Jangan.
- Wui, diamlah bah. Kesian dia.

- Kau memang anak tak guna. Ibumu sendiri pun kau tak boleh bela.

- Betul. Lebih baik kau mati.

- Aku bilang diam! Diam! Fahamkah?

- Tidak. Kami tidak faham hahaha.

“Diam aku bilang, diam!” teriakku seraya membanting mangkuk porselin di

genggamanku ke lantai. Bunyinya beradu dengan jubin lantai menerbitkan rasa puas di hatiku.

“Kau melawan aku, Di?”

- Nah, kan...tengok...marah sudah mamak dia.

Serentak itu bunyi ketawa terbahak-bahak saling bersahutan di kepalaku. Aku

menutup

telingaku dan menampar-namparnya dengan kuat. Duniaku menjadi gelita dan sempit.

“Diamlah! Diam!”

Aku mencapai bangku kayu di tepi dinding lalu kuhempas sekuatnya ke lantai. Sekali,

dua kali, tiga kali, sampai kaki bangku pecah bercerai 4.

- Itu saja? Lagi bah, Dian.

Aku mencapai tudung dulang di atas meja dan menyeretnya begitu saja hingga ke hujung

meja. Pinggan kaca yang ada di dalamnya turut terseret sama lalu jatuh berderai di atas jubin.

Aku mendengar bunyi sorakan di kepalaku. Sayup-sayup, irama trasher - Break the water 

menyusup masuk di balik sorakan membuat aku merasa begitu bersemangat dan penuh energi.

“Kau memang gila, Di!”


Aku tertawa senang. Jadi orang gila memang mengasyikkan. Kita bebas melakukan apa

saja yang melanggar hukum lalu dihalalkan atas nama kurang waras. Tapi aku tidak gila.

Kamulah yang memaksaku menjadi gila.

"Kadi! Sudah! Bawa mengucap, Kadi!”

Mengucap?

Aku menoleh ke samping. Aku melihat Rian berdiri di pintu dapur, bertuala separuh

badan. Tanganku yang sedang memegang sesuatu, yang entah apa, mendadak terhenti di udara.

“Ambil air, Rian! Siram kakakmu. ” Itu suara nenek.

Aku menoleh pada Rian, cuba menghentikannya agar tidak melakukan arahan nenek.

Terlambat. Rian sudah mengguyurku dengan segayung air di tangannya. Dingin air membasahi

kepala sampai ke bajuku. Aku memejamkan mata saat air itu mengalir masuk ke dalam kelopak

mataku. Pedih. Alam pun sunyi. Tiada bunyi sorakan, tiada teriakan. Lagu kumpulan Gack mati

di kepalaku. Aku menarik nafas, cuba mencantumkan kembali titik kesedaranku.

Ketika mataku buka, Rian berdiri di hadapanku dengan wajah ketakutan. Namun bukan

itu yang membuatku terperangah kaget. Melainkan kerana dapur kami yang sudah hancur

berantakan. Apa yang sudah kulakukan? Sisa telur mentah membasahi lantai bersama serpihan

mangkuk porselin dan pinggan kaca yang berserakan. Rasa bersalah segera menyusup ke dalam

hatiku. Dengan bibir terketar, aku menoleh ke arah umi, yang menatapku murka. Mataku

kemudiannya beralih pada nenek yang sedang menangis penuh hiba.

“Maafkan Di, Mi...” kataku lemah. Kujambak rambutku penuh kesal. Kali ini aku benar-

benar menangis. Menangisi diriku.

“Dasar kau anak derhaka!” teriak umi bergerak laju menyerangku. Dia menujah tubuhku

sampai aku tertiarap di atas lantai.


Umi menghimpit tubuhku dengan caci maki yang tak ingin kau dengar, berselang dengan

suara nenek yang berusaha menghentikan tindakan umi. Umi menarik rambutku dan

menghantukkan kepalaku ke lantai. Leher bajuku ditarik dari belakang hingga aku tercekik dan

terbatuk mencari ruang udara. Tak cukup itu, dia menggigit bahuku dengan rakus hingga giginya

terbenam menembusi isi dagingku.

Namun anehnya, aku tidak merasa sakit sama sekali.

Aku memang sial. Anak bejat! Aku layak dihukum. Aku merasa seperti seorang ahli gusti

yang tewas. Smack down.

Kubiarkan umi mengerjakan aku sampai hatinya puas. Salahku. Aku tidak sepatutnya

menghancurkan dapurnya. Sepatutnya aku bergaduh dengan nenek. Sepatutnya aku

menggorengkan telur mata lembu untuk Rian. Sepatutnya abah tidak mengajak kami pindah ke

sini. Keliru kalau abah berharap agar nenek dan umi akan serasi tinggal bersama. Dan itu semua

salahku!

Sebuah tumbukan hinggap ke kepalaku. Tumbukan yang lemah. Aku menanti serangan

seterusnya, tapi tiada. Dari geraian rambut yang menutupi wajahku, aku melihat Rian menangis

dalam pelukan nenek. Kualihkan mataku sedikit ke samping. Umi terduduk di atas lantai,

meraung. Dia menyandarkan tubuhnya pada almari kayu yang sudah usang. Nafasnya naik

turun. Akhirnya dia lelah jua, fikirku tersenyum. Kufikir umi akan membunuhku hari ini.

Nenek menghampiriku. Bersama esak tangis dan tubuh tuanya, dia cuba membantuku

berdiri. Aku menolak tangannya dengan marah. Penuh angkuh, aku bangkit merapikan rambutku

yang berantakan dan membersihkan sisa telur yang melumuri baju sekolahku. Ketika aku ingin

melangkah, baru aku menyedari beberapa pecahan kaca menembusi kaki dan lenganku.

“Tolong Kadi bersihkan dapur, Rian,” kataku dengan suara begetar.


“Ya.”

Saatku meninggalkan ruangan dapur, umi masih meraung di sudut almari. Entah

mengapa aku terkekeh menang. Waktu itu baru aku menyedari, betapa sakitnya bibir dan tulang

pipiku.

Malam itu, usai jam Isyak, setelah memberesi dapur yang babak-belur bersama Rian, aku

berisolasi di dalam bilik Kak Izyan yang sunyi dan tepu. Aku membawa semangkuk ais kiub,

berniat untuk menuam bengkak di tulang pipi dan bibirku. Mujur wajahku tidak terkena pecahan

kaca. Aku harap agar bengkak itu hilang menjelang subuh.

Aku duduk di atas lantai sambil menyandar pada hujung katil. Kuletakkan mangkuk ais

di atas lantai lalu memasang walkman dengan volume yang maksima. Sakit di tubuhku mulai

terasa seakan ototku ditarik kencang. Aku menekuri kesan-kesan luka di lengan dan kakiku yang

bersulam dengan parut lama. Serpihan kaca yang menembusi lapisan epidermis kulit sudah

kubuang petang tadi. Namun yang paling sakit adalah kesan gigitan umi di bahuku dan juga dada

kiriku, dekat tulang selangka yang luka akibat pecahan kaca yang agak besar saiznya.

Aku menyelak seluar paras lututku dan melihat pehaku yang calar-balar hasil torehanku

sendiri. Setiap goresan itu, ada cerita dan sejarahnya tersendiri. Kalau kulit di pehaku itu boleh

menangis, pastilah dia sudah minta ampun padaku agar jangan melukainya lagi. Aku mempunyai

kecenderunganku melukai diriku sendiri sejak dulu lagi. Mulanya aku hanya mencucuknya

dengan mata pensil yang tajam. Lalu seiring dewasa, aku sudah berani menorehnya dengan pisau

lipat kecil seharga dua puluh sen yang kubeli di kedai buku. Ia adalah sebuah kesakitan yang

nikmat. Goresan-goresan luka nyata di setiap kulitku itu adalah sebuah bentuk pelampiasan

emosi kekecewaanku pada diriku sendiri. Tidak cukup dengan semua luka, aku pernah mencuba

mengakhiri hidupku dua kali. Pertama, aku menekup wajahku sendiri dengan bantal hingga
nafasku sesak; dan kedua, aku berkurung dalam almari pakaian yang gelita dan berharap agar

aku mati kerana klaustrafobia.

- Kau benar-benar bermasalah, Di.

- Ya, sakit mental hahahaha.

- Diamlah!

Pintu bilik di buka. Nenek muncul dengan langkahnya yang renta. Dia membawa sebotol

minyak batu Sai Kong dan segulung kapas mayat di tangannya. Aku segera menurunkan

seluarku dan dan memalingkan wajahku dengan kebiadapan yang tidak kusembunyikan. Dia

adalah orang terakhir yang ingin kulihat waktu ini. Tidak sudi aku menghadapnya setelah apa

yang terjadi hari ini.

Nenek menyedari kemarahanku, tapi dia berlagak tidak peduli dan duduk di hadapanku.

Demikian hampirnya dia hingga aku dapat menghidu bau minyak Zam-zam dari rambutnya.

Perlahan dia mengoyak kapas dan menggentelnya menjadi bulatan kecil. Dia kemudiannya

membuka penutup minyak batu dan menuang isinya pada gumpalan kapas. Dia menunjuk ke

arah walkman-ku dan menyuruhku mematikannya. Kesal, aku menekan butang off.

“Nenek mahu apa? Belum puas lagi mengumpat umi?” tanyaku kasar.

“Mari kulihat lukamu,” kata nenek menarik tanganku. Aku menepisnya laju.

“Tak perlu. Di boleh ubat sendiri,” kataku degil. Dia menarik tanganku kembali dan

menyapu ubat ke atasnya sebelum sempat kutarik semula. Aku mengaduh kesakitan.

“Kau tak sepatutnya melawan ibumu. Itu namanya derhaka. Kau tahu apa hukumnya

anak derhaka?” katanya tegas.

“Nenek punya pasallah semua ni,” bidasku geram.


“Kenapa aku? Aku tidak bertengkar dengan ibumu. Kau yang bertengkar dengannya,”

dalih nenek cepat.

“Jangan kuatlah, nek, sakit! Tapi kami bertengkar gara-gara nenek mengumpat umi tadi.

Tak habis-habis mengungkit cerita lama,” bantahku tak mahu mengalah.

“Mamakmu memang gila. Itulah kularang abahmu kahwin sama dia sebab dulu lagi aku

sudah tahu dia gila. Nanti kuadukan sama bapakmu kalau dia pulang kerja,” cemuh nenek geram.

“Ya, baguslah. Lepas tu dorang bergaduh. Kami juga yang jadi mangsa. Nenek tak

kasihankah dengan kami? Nenek yang paksa kami pindah ke sini tapi nenek buat kami begini,

baru dua bulan tinggal sini rasanya macam dalam neraka. Bagus lagi sebelum ni setidak-tidaknya

tiada pengadu domba macam nenek,” kataku sedih.

“Kau pernah hidup dalam neraka? Apa katamu? Aku pengadu domba? Jadi kau menyesal

pindah ke sini? Pergilah ajak mamakmu pulang ke kampungnya. Tapi jangan lagi bawa anakku.

Aku perlukan dia. Dia satu-satunya anak lelakiku. Anak lelaki itu wajib berbakti untuk ibunya.

Ibumu, ibumu, ibumu, sabda Rasulullah, ingat? Pusing belakang.” Nenek memutarkan bahuku

kasar. Dia menyelak kolar baju t-shirtku dan melihat kesan gigitan umi di bahu. “Ya, Allah!

Mamakmu ni keturunan pontianakkah? Habis belakang anak digigit,” seru nenek terkejut.

“Dan nenek juga jangan lupa yang jodoh, ajal dan maut, semuanya di tangan Allah.

Aduh, sakit nek!” Aku mengeringis kesakitan. Resapan mintak gamat ke kulitku menimbulkan

rasa pedih yang luar biasa. Kurasa nenek melempias kekesalannya dengan menonyoh lukaku

dengan kuat.

“Kau diam! Kau budak-budak apa tahu? Aku duluan makan garam. Pandai-pandai saja

kau mengajar orang tua. Sebiji beras pun belum pernah kau beli, sudah mahu berlagak pintar,”
bentak nenek sambil menunjal bahuku. “Mulut kau tu sama macam mamak kau. Penjawab!

Dasar waris gila!”

“Sudahlah. Tak payah ubat lagi.” Aku menolak tangan nenek dan menaikkan semula

kolar bajuku. Aku tidak suka disama-samakan dengan umi. Pula, perbicaraan ini sepertinya tidak

akan membawa kami kemana-mana. “Pergilah balik bilik nenek. Tak payah sok-sok jadi

jururawat,” marahku semakin kesal. Nenek menutup semula botol minyak gamatnya dan berdiri

dengan susah payah.

“Dasar keras kepala. Aku tidak pernah mendidik abahmu jadi anak kurang ajar. Ini semua

pasti kerana didikan mamakmu,” katanya sambil berjalan ke pintu. Kemudian, dia berhenti dan

menoleh semula.

“Kalau kau tidur di sini jangan lupa pasang racun nyamuk. Besok tak payah pergi

sekolah. Terus pergi hospital. Takut lukamu berkuman,” arah nenek berlagak seperti diktator.

“Biarlah berkuman. Biar Di mati. Boleh kamu dua bergaduh puas-puas,” balasku dingin.

“Haih mulut kau ni, Di. Biadap! Maunya di lada baru kau insaf. Dikasihan salah,

dinasihat salah,” gerutu nenek lalu keluar tanpa menutup pintu.

Begitu nenek pergi, aku menendang sebuah kotak di hadapanku dengan perasaan cuak.

Orang tua semuanya sama saja. Egois! Setiap anak dituntut untuk tidak derhaka terhadap orang

tua kerana redha Allah SWT berasal dari redha orang tua. Mereka menuntut untuk dimengerti

dan dihormati, tetapi mereka sendiri tidak pernah dewasa secara emosional. Mereka tidak pernah

sedar dampak buruk egoisme mereka terhadap jati diri anak dan keharmonian keluarga. Umi

terlalu sibuk memikirkan nasib malangnya, abah terlalu mementingkan keperluan fizikal

keluarga hingga lupa menuang jiwa di dalamnya. Sementara nenek, masih terperangkap dengan

masa lalunya.
Siapakah sebenarnya yang lebih derhaka antara kami?

Sayup, aku mendengar bunyi enjin kereta abah dari bawah rumah, juga bunyi derit pintu

bilik umi. Buru-buru aku bangun menutup pintu dan menguncinya dari dalam. Aku tahu

lanjutannya apa. Sebentar lagi umi akan menyambut abah di muka pintu, bukan dengan

senyuman seperti yang dituntut Rasulullah, tetapi dengan aduan. Umi akan membuat laporan

penuh kejadian dengan emosinya yang berkobar-kobar dan tentu saja ditambah dengan

penambah rasa monosodium glutamate untuk menyedapkan cerita. Sesudahnya, abah akan

mendatangiku dengan tali pinggang kulit berkepala besi dan menghukumku tanpa memberiku

kesempatan membela diri. Dia akan terus memukuliku meski aku berteriak minta ampun atau

menangis kesakitan. Sementara umi, dia akan menyelamatkanku dengan memeluk kaki abah atau

melindungiku dengan tubuhnya dengan gayanya dramatis hingga aku hiba melihatnya.

Kesal, aku merebahkan tubuhku ke atas katil yang tilamnya diperbuat daripada kapuk tua.

Kurenung siling dengan perasaan hampa. Telingaku menangkap suara umi dari ruang tamu

membuat fikiranku semakin kacau. Suara itu tenggelam timbul dengan esak umi. Aku berusaha

mengalihkan perhatianku namun semakin kuredam, bunyinya semakin menggema di kepalaku.

Rasa bersalah mulai membelit jiwaku. Aku tidak sepatutnya memperlakukan umi seperti itu.

Umi sudah banyak berkorban demi keluarga kami. Dia tinggalkan kampungnya dan rela hidup

susah demi cintanya pada abah. Bukan salah umi kalau abah tetap memilihnya menjadi suri

hidupnya. Bukan juga salah umi kalau akhirnya dia mengalami depresi.

Dan abah?

Dia sudah berusaha melakukan yang terbaik buat keluarga ini. Bukan mudah menjadi

jejaka rebutan isteri dan ibu. Ia seperti sebuah persaingan yang tidak berguna sama sekali.
Kadang kufikir dialah sebenarnya mangsa keadaan. Seorang lelaki, yang berusaha

mempertahankan cinta tanpa restu seorang ibu. Tiada keberkatan dalam perjuangannya. Mungkin

kerana itu hidup kami susah. Baik abah atau umi, keduanya sudah banyak menderita. Sayat luka

terngaga seakan tak pernah menyembuh dan aku, semakin menambah penderitaan mereka.

Bukankah lebih baik kalau aku mati saja?

Tiba-tiba aku merasa detak jantungku melaju. Nafasku sesak. Peluh dingin mengucur

keluar dari kepalaku. Tengkukku terasa panas. Dinding-dinding di sekitarku seakan bergerak

mengecil dan bersedia untuk menghimpitku di dalamnya. Aku ingin berteriak, tapi tubuhku

mulai kejang. Mataku melirik ke pintu, dan berharap agar ia terbuka sendiri dan mengeluarkan

aku dari sini. Tapi pintu itu kukunci tadi. Klaustrofobia! Rasa takut menyerangku. Kuseru nama

Rian disela-sela nafasku. Mustahil dia mendengarnya.

Bertenang, Dian. Tarik nafas.

Padanganku mulai berpinar, bersilih ganti dengan cahaya lampu kalimantang yang kini

berkelap-kelip di mataku. Bayangan seorang kanak-kanak pun muncul. Usianya 8 tahun dan dia

memakai gaun merah jambu dengan rambut panjang separas bahu. Gadis kecil itu dikurung di

sebuah bilik yang sempit dan gelap. Sepenuh tenaga dia menggendang pintu bilik yang dikunci

sambil meraung minta dilepaskan. Dia mengulang-ngulang janji untuk tidak melakukan

kesalahan lagi tapi tiada siapa yang mendengarnya.

Rasa mual tiba-tiba singgah di perutku lalu menjalar ke tenggorakanku. Dengan susah-

payah aku bangun dan berpaut di hujung katil besi yang sudah berkarat. Muntahku keluar

sebelum sempat kutahan. Isinya air kuning yang pahit. Dadaku terasa pijar, seakan tulang

rusukku bertemu dan saling cuba mematahkan. Perutku seakan dipom, memaksaku untuk

mengeluarkan semua isi di dalamnya.


“Dian! Buka pintu!” Pintu bilik digendang kuat disusuli suara teriakan abah. Suara nenek

menyabarkan abah menyusul sesudahnya. Aku menyudahkan muntahan terakhirku dengan sisa-

sisa tenaga yang tinggal. Kusandarkan tubuhku yang lemah di birai katil. Dadaku terasa panas.

Ulu hatiku pedih. Lemah, aku membuang pandanganku ke pintu yang masih digedor abah. Aku

berharap masih tersisa tenagaku ke sana dan membuka kuncinya. Tapi aku benar-benar tidak

mampu. Inilah masanya kematianku, fikirku getir. Bayangan hal-hal negatif menyentak kepalaku

dan itu membuat dadaku semakin terasa panas.

“Dian! Buka pintu. Aku pecahkan pintu ni nanti!” Suara abah memetir di balik pintu.

Serentak itu, sebuah hentakan keras berbunyi lalu pintu pun terbuka. Aku yakin abah

menendangnya. Aku siap menyerahkan diriku untuk dihukum mati. Tapi abah tidak memukuliku

seperti selalu. Dia hanya terpaku memandangku. Jesteru nenek dan Rianlah yang segera menerpa

ke arahku. Perkara terakhir yang kulihat adalah wajah umi yang berdiri nanar di belakang abah.

Aku tidak tahu berapa lama aku kehilangan kesedaran. Begitu mataku terbuka, aku

mendapati aku sudah berbaring di ruang tamu, beralaskan tilam span yang sudah tipis. Tilam

Rian. Nenek duduk bertimpuh di sisiku, memegang sebiji gelas dan membacakan ayat suci ke

dalamnya. Rian duduk bersila di sisinya, menatapku hiba dengan mata mengantuk. Nenek

menyapu wajahku dengan air, lalu menyuruhku duduk dan meminum lebihan air daripada gelas

yang dipegangnya.

Aku melakukan arahan nenek tanpa bantahan. Perlahan, aku menoleh ke samping. Tidak

ada umi di situ. Kuyakin dia sedang meredam perasaannya di biliknya. Jesteru yang ada hanya

abah yang kini duduk terpekur di bangku panjang rotan. Dia masih lengkap dengan seragam

birunya. Dia menyilangkan jari-jemari antara telapak tangan kanan dan kiri. Tasybik. Tampak

jelas dia sedang berperang dengan jiwanya. Kasihan abah. Seharian keluar rumah mencari rezeki
untuk kami sekeluarga. Seharusnya dia dilayan sebagai raja. Namun yang didapatnya hanyalah

sisa-sisa kemanusiaan.

“Kamu sudah makankah, Di?” tanya abah memecang hening. Suaranya dingin.

“Sudah,” bohongku tergagap.

“Belum,” tingkah nenek laju. Aku menjegilkan mataku padanya.

“Muntahmu kuning. Itu tandanya kau belum makan,” sahut abah, masih dingin.

“Sudah tadi. Tapi sedikit,” lanjutku mempertahankan kebohongan.

“Bila kau makan? Makan apa?” tanya nenek tidak puas hati seakan sengaja menambah

garam pada luka. Belum cukupkah dia melihat nanarnya situasi ini?

“Tadi Di goreng nasi waktu nenek mengaji lepas solat maghrib,” jawabku perlahan,

sangat tidak menyakinkan.

“Rian?” Abah bertanya lagi.

“Rian sudah makan di masjid. Ada kenduri tahlil,” jawab Rian laju.

Hening. Hanya bunyi kipas yang kedengaran. Aku menimbang-nimbang alasan untuk

berlalu dari situ. Atmosfera di ruangan ini sangat tidak sihat.

“Tidurlah. Esok sekolah. Abah penat. Nanti saja kita cerita,” kata abah akhirnya. Kali ini

suaranya tidak dingin, tapi pasrah.

Nanti saja kita cerita.

Bunyinya sederhana, tapi maknanya tidak. Itu bermaksud hutang. Dan kau harus tahu

kalau hutang selalu dibayar bersama bunga. Pengalaman mengajar kalau ‘cerita’ itu lebih baik

diselesaikan hari ini, diselesaikan secara tunai. Ingin saja kuambil rotan yang tergantung di atas

rak TV dan menyerahkan tubuhku padanya.


Kuperhatikan abah membuka seragamnya dan meletakkanya kemas-kemas di belakang

bangku. Dia mengambil sebuah kusyen lalu menyandarkannya pada pemegang bangku. Dia pun

berbaring di situ dan memejamkan matanya. Abah hanya akan tidur di ruang tamu kalau ada

keributan bersama umi.

Nenek kemudiannya mencuit bahuku dan memberi isyarat agar aku bergerak ke bilik.

Bingkas kubangun dan berjalan beriringan dengan nenek meninggalkan Rian yang segera

menempati tempat tidurnya. 5 minit kemudian, kami pun berbaring di atas katil dengan lampu

terpadam. Pintu bilik seperti biasa kututup separuh agar cahaya dari luar menembus masuk ke

dalam. Aku memaksa diriku tidur namun sehingga kokok ayam pertama kedengaran, aku masih

gagal melelapkan mataku. Insomnia. Inilah penyakitku bertahun-tahun. Akhirnya kuputuskan

untuk menulis dalam diariku. Perlahan aku bangun dan mengambil begku, merogoh isinya dan

mengambil diariku yang berwarna kuning cair. Muka depan diari itu dihiasi lakaran love dalam

bentuk garisan grunge. Seseorang dari masa lalu memberikannya padaku.

Tidak ingin menganggu nenek, aku membawa diari itu keluar bersama sebatang pen. Aku

bercadang untuk meluah rasaku di dapur. Kubuka pintu bilik perlahan agar deritnya tidak

membuat nenek terjaga. Lalu kemudiannya aku pun terpana.

Di ruang tamu, beberapa meter ke depan, umi dan abah saling duduk bertentangan, dalam

jarak yang demikian hampir. Umi menangis, sementara abah memegang kepalanya yang seakan

ingin terlepas dari tubuhnya. Aku melirik jam di dinding, pukul 3.15 pagi. Dalam sela tangisnya,

umi meluah isi hatinya, dalam suara yang sangat perlahan. Esaknya kedengaran lebih kuat

daripada kata-kata yang keluar dari mulutnya. Sesekali abah membalas kata-kata umi, tetapi

kata-katanya tidak pernah habis kerana segera dipotong oleh umi. Aku tidak dapat mendengar

dengan jelas butir bicara mereka dan aku tidak merasa harus tahu. Hatiku mendadak sakit.
Begitulah umi. Kalau hatinya tidak puas, dia akan membanguni kami di tengah malam dan

meleteri kami sampai ke subuh. Kalau kami membalas debatnya, dia akan mengajak kami

bertengkar, malah memukuli kami kalau terlelap. Tapi tidak wajar dia melakukan itu pada abah.

Aku pun berundur pelahan, penuh hati-hati seperti seorang pencuri yang memecah masuk

ke rumah orang. Malangya, daun pintu yang kutolak perlahan, sudah terlanjur berderit nyaring.

Aku menyumpah dalam hati. Serentak itu, abah dan umi memalingkan kepala mereka ke arahku.

Check mate.

Mataku bertembung dengan mata umi yang tampaknya masih murka padaku. Kualihkan

mataku pada abah. Ekspresinya kecewa, dan tentu saja, mengantuk.

“Maafkan Di, Bah. Semua salah Di...” kataku tergagap. Apa boleh buatlah. Sudah

terlanjur tertangkap basah, lebih baik aku selesaikan saja.

“Ya, memang salahmu!” sahut umi angkuh di balik esaknya.

“Kenapa, Di? Kenapa?” Abah berdesis tajam.

Aku menggeleng laju. Tidak ada apa yang harus dijelaskan. Semuanya tidak berguna

sama sekali. Umi akan membuang semua kesalahan itu padaku, atau pada nenek dan berlagak

sebagai mangsa trauma yang malang.

“Tidurlah, Di. Pergilah sebelum kau mati di tanganku," ujar abah lirih.

Dia pun bangun dan mengambil kunci kereta di atas meja kopi di hadapannya, melewati

umi dan menyambar baju seragamnya. Dia kemudiannya berjalan menuju ke pintu, membukanya

dan menutupnya dengan kuat. Betapa inginnya aku waktu itu mengejarnya dan memohon

kemaafannya. Tapi itu tidak mungkin.

Tidak lama, kedengaran bunyi enjin kereta dihidupkan, lalu menderu pergi membelah

pekatnya malam. Esak umi bertukar menjadi raung yang menyedihkan.


“Puas hatimu, Di? Sekarang abahmu pun tinggalkan aku. Kau mahu tunggu sampai kami

bercerai-berai baru kau berubah?” erang umi membelah jantungku.

Aku memutarkan tubuhku ke bilik. Aku berharap agar nenek tidak terjaga dan

menanyaiku soalan-soalan yang semakin membuatku kesal. Kutekup wajahku dengan bantal dan

tangisku pun pecah.

Puas?

Itu tuduhan yang tidak adil. Kenapa aku perlu puas melihat keruntuhan keluargaku

sendiri?

Betapa melelahkan hidup ini. Dulunya tidaklah separah ini. Pernah juga ada musim-

musim bunga yang mengitari kehidupan kami sekeluarga saat usiaku masih dini. Waktu itu,

keharmonian adalah bahagian daripada keluarga. Ia hidup di tengah kami menjadikan keluarga

ini nyaris sempurna. Setiap hujung minggu, abah mengajak kami berkelah ke pantai. Kalau dia

pulang setelah berbulan-bulan di laut, abah akan membelikan kami pelbagai hadiah dan pakaian

baru. Umi begitu gembira dan aku melihat senyumnya setiap hari. Lalu perlahan, semuanya

menyusut beriring kejatuhan ekonomi abah dan kewarasan umi. Aku tidak tahu dari mana ia

mulai dan bagaimana ia berlaku. Sedar-sedar, kami sudah terperangkap dalam kehidupan yang

menyakitkan. Aku harap aku dapat kembali menjadi anak kecil yang selalu membuat orang

bangga padaku. Tapi hakikatnya aku menjadi individu yang rapuh dan kadang membuatku

merasa sudah begitu hampir dengan kegilaan.

Aku tidak tahu berapa lama aku menangisi diriku hinggalah nenek mengejutkan untuk

solat subuh. Aku pura-pura tidak mendengar dan masih menekup wajahku dengan bantal, dengan

posisi membelakanginya, menghadap ke dinding. Bahkan ketika azan subuh berkumandang dari
surau kampung yang hanya sepelaung dari rumah, aku tetap tidak berganjak dari perbaringanku.

Aku menulikan telingaku saat nenek mengomeliku. Bahkan ketika dia mulai solatnya dan

mengaji, aku masih tetap dengan kesedihanku.

“Kadi tak sekolahkah?” Aku mendengar suara Rian bertanya ragu-ragu.

“Biarlah kakakmu tak sekolah. Kusuruh dia ke hospital hari ni,” jawab nenek

menghentikan bacaannya.

“Kadi sakit?” tanya Rian lagi, entah ditujukan padaku atau nenek.

“Ya,” sahut nenek.

Aku mendengar langkah kaki mendekat. Kuyakin itu Rian. Dia memegang bahuku

lembut dengan tangan kecilnya. Dia kemudiannya memegang tengkukku.

“Badan Kadi panas, nek. Demam,” kata Rian dengan nada simpati.

“Tidak. Kadi tak demam.” sangkalku lalu membuang bantalku ke samping. Simpati Rian

mencalar egoku. Aku tidak ingin simpati dari anak sekecil dia.

“Eh? Jadi Kadi mahu sekolah?” tanya Rian lagi. Matanya bulat memandangku. “Badan

Kadi panas. Pipi Kadi pun masih bengkak. Dan mata Kadi macam disengat tebuan.”

Aku memegang bawah mataku yang sembab. Urat mataku terasa kencang. Aku kalau

habis menangis memang hodoh sekali. Mataku akan menjadi merah dan bengkak. Saat itu juga

baru aku menyedari betapa sakitnya kepalaku. Migrain. Kepalaku seakan diikat ketat seakan ada

lingkaran gelang Sun Wukong yang menyempit ketika dia berbuat onar. Badanku pegal dan otot-

ototku sakit semua. Luka-luka di badanku terasa nyeri dan panas. Suhu badanku juga meninggi.

“Janganlah sekolah, Di. Pergilah hospital,” kata nenek khuatir.

Dan bilang apa? Apa yang harus kujelaskan pada doktor kalau dia bertanya soal luka-

luka di tubuhku? Yang aku didera ibu sendiri?


“Kalau Kadi tak sekolah, Rian pun tak mahu sekolahlah. Rian temankan Kadi ke hospital,

boleh?” tanya Rian dengan sengih lebar.

“Siapa yang mahu ke hospital? Sudah! Pergi bersiap sana. Kadi mau mandi,” balasku

jengkel.

Tanpa menunggu jawapannya, bingkas aku bangun dari katil dan menggapai tualaku yang

bersangkut di kepala bangku. Tidak mungkin aku ke hospital dan tidak mungkin juga aku

bertahan di rumah ini. Kedua-duanya adalah idea yang buruk. Meski ke sekolah juga bukan idea

yang baik tapi setidaknya itulah pilihan terbaik buat masa ini.

Sakit di kepalaku semakin parah setelah aku selesai mandi. Aku baru menyedari kalau

aku belum mencuci seragam sekolah yang kurendam sejak kelmarin untuk menghilangkan bau

hanyir telur. Mujur hari ini ada subjek PJ, dan aku punya dua helai tudung sekolah.

Saat aku mengenakan tudung, kuperhatikan wajahku dengan cermat di hadapan cermin.

Rian benar. Mataku seperti disengat tebuan. Bengkak di tulang pipi sebesar dua puluh sen dan

sudut bibirku sudah berubah menjadi lebam berwarna ungu gelap. Tidak teruk sangat, tapi sangat

ketara di atas kulitku yang kuning langsat. Tidak mungkin aku dapat berjalan di muka bumi ini

tanpa mengundang rasa ingin tahu sesiapa. Tapi aku sudah menyiapkan alasan dan pembohongan

untuk semua itu. Aku sudah pakar melakukannya selama bertahun-tahun.

Setelah lengkap berpakaian, aku memberesi buku-bukuku mengikut jadual dan

mencampakkan walkman yang selalu kubawa ke atas katil. Walkman itu sudah kehabisan betri

jadi tiada guna aku membawanya. Aku mengabaikan pujukan nenek yang berkeras melarangku

ke sekolah. Nenek pun akhirnya mengalah dengan kepala batuku. Ketika aku menyalam

tangannya, nenek memberikan dua keping duit syiling lima puluh sen untuk belanja sekolah. Aku
terharu dan mencium pipi tuanya yang renta tanda terima kasih dan bergerak keluar dari bilik.

Aku memandang pintu bilik umi yang tertutup tanpa niat untuk meminta maaf atau sekadar

memberitahunya pemergianku. Dia pasti akan marah sekali kalau aku ke sekolah tanpa

menyalam tangannya. Tapi aku juga tidak mahu menanggung risiko dileteri.

“Kenapa kau belum bersiap lagi Rian? Akhir sudah ni,” tanyaku terkejut begitu melihat

Rian masih duduk di ruang tamu dengan tualanya.

“Rian tak mau pergi sekolah,” ujarnya perlahan, hampir menangis.

“Hah? Kenapa?”

“Kadi tak cuci pun baju Rian semalam,” balasnya cemberut.

Aku tergamam. Rasa bersalah terbit di hatiku. Terlalu banyak hal yang berlaku semalam

hingga aku lupa mencuci bajunya. Baju sekolah kami memang cuma ada sepasang, itupun sudah

dua tahun tidak berganti.

“Kau sepatutnya sudah belajar basuh baju sendiri, Rian. Bukannya susah pun. Campak

saja dalam mesin basuh,” omelku mengusir rasa bersalah yang mulai menyelinap di hatiku.

“Ya. Tapi sekarang macamana? Kalau abah tahu Rian bolos, habislah Rian,” rengek Rian.

“Kau bagitahulah abah Kadi yang salah.”

“Tak mahu. Nanti Kadi kena pukul lagi.”

“Tak apa. Memang salah Kadi pun. Bye Rian.” Aku menggalas beg sekolahku dan

membuka pintu. Sungguh, aku kasihan padanya tapi tidak mungkin aku dapat menyelesaikan

masalahnya. Segera kucapai kasutku dan memakainya. Ketika aku menuruni anak tangga, Rian

mengejarku.
“Kadi, tolonglah!” rayu Rian menghentikan langkahku. Kesal, mendongak ke arahnya.

“Susah-susah, kau sembunyilah di bilik Kak Izyan,” cadangku akhirnya.

“Kalau umi masuk sana mahu ambil barang macamana?”

“Sembunyi bawah katil.”

“Kalau mau kencing?”

“Kencing di botol.”

“Kalau mau berak?”

“Tahan! Dan jangan kentut pun sebab kentut kau bau. Ada lagi soalan?”

Rian mendongak ke langit. Menimbang-nimbang masalah yang ingin dilemparkannya

padaku. Tapi aku tidak ingin menunggunya. Laju aku berlari anak menuju ke tingkat bawah.

Rian sekali lagi mengejarku.

“Apalagi Rian?” Marahku semakin kesal.

“Kalau terbatuk camana?”

“Tutup mulut dan hidungmu guna kain. Jangan batuk, jangan sendawa, jangan bernafas

pun!”

“Kalau mati?”

“Baguslah kalau mati. Selesai masalah. Rian! Cukup! Selesaikan masalahmu sendiri.

Kalau susah sangat, kau terus-terang sajalah. Bukan salah kau pun. You can put all the blame on

me! Memang salah Kadi pun. Puas? Boleh Kadi pergi sekolah sekarang?” Aku berteriak geram.

Rian menatapku ketakutan lalu terkocoh-kocoh memutar tubuhnya dan naik semula ke rumah.
Aku pun membalikkan tubuhku, dengan sumpah seranah di mulutku. Ketika itu, mataku

menangkap garaj kereta yang kosong. Tampaknya abah benar-benar tidak pulang semalam.

Entah di mana dia tidur. Mungkin di pejabat, atau mungkin dia memarkir keretanya di mana-

mana dan tidur di dalam kereta. Rasa bersalah kembali menyelimutiku.

“Puas hatimu, Di? Sekarang abahmu pun tinggalkan aku. Kau mahu tunggu sampai

kami bercerai-berai baru kau berubah?”

Ya. You can put all the blame on me. Aku adalah kambing hitam dalam keluarga beracun.

Aku sudah terbiasa memikul beban dipersalahkan di bahuku.

Perlahan, aku melangkah longlai menuju ke jalan raya. Hatiku hancur. Aku seperti daun

yang melayang-layang ditiup angin. Kakiku bahkan seakan tidak berpijak di atas bumi.

Salahku. Semua salahku.

You might also like