You are on page 1of 3

ULASAN BUKU

Diulas oleh : Levviyana Binti Jaual


27 September 2022

Kesejahteraan Mental. Anis Rahaizak. Selangor : Sama Publications &


Distributors Sdn. Bhd. 2015. 44 Muka Surat.

Kesihatan mental bermaksud seseorang berupaya untuk mengekalkan perhubungan


yang harmoni dengan orang lain, mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan
dan boleh menyumbang dalam masyarakat (WHO). Seseorang individu mempunyai
mental yang sihat jika mereka selesa dengan diri sendiri, selesa dengan manusia dan
persekitaran sekeliling serta mampu memenuhi tuntutan kehidupan.
Kesihatan mental perlu dijaga kerana pengabaian kesihatan mental boleh
mengakibatkan perasaan rendah diri, stres, pertelingkahan dengan orang sekeliling,
kecenderungan untuk melakukan maksiat dan peningkatan risiko penyakit mental.
Golongan sakit mental juga merangkumi mereka yang gagal menyesuaikan diri
dengan ketegangan dan gagal mengatasinya seperti masalah rumah tangga, ekonomi
dan tekanan kerja.
Masalah mental adalah penyakit yang membabitkan gangguan pada fungsi otak
yang boleh menyebabkan perubahan pada proses pemikiran, perasaan dan tingkah
laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalankan aktiviti seharian
dengan baik. Pada masa kini, masalah penyakit mental menjadi salah satu ancaman
utama kepada seluruh penduduk dunia dan masyarakat dalam negara Malaysia ini
khususnya.
Dasawarsa ini, masyarakat menganggap seseorang individu yang mengalami
masalah mental atau penyakit mental ini sebagai satu ancaman kepada keselamatan
masyarakat kerana akhbar sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan
gangguan-gangguan yang dilakukan oleh individu yang mengalami masalah mental.
Sebagai contohnya, kita sering dikejutkan dengan berita seperti kes bunuh diri iaitu
meminum racun dan terjun dari bangunan yang tinggi. Selain itu, kes membunuh ahli
keluarga juga sering terdengar dan menjadi berita hangat yang menjadi salah satu
ancaman keselamatan kepada masyakarat kini.
Hal yang demikian, peranan masyarakat dalam penerimaan golongan ini hanya
boleh dicapai apabila setiap individu dalam masyarakat mempunyai pengetahuan
mengenai penyakit mental secara umumnya.
Buku ini sangat menarik perhatian saya sebagai salah seorang rakyat Malaysia.
Pentingnya untuk setiap individu menjaga kesihatan mental dan mengambil berat
tentang penyakit mental yang semakin kian meningkat ini, misalnya kita hendaklah
bijak mengurus dan menangani stres yang dihadapi. Walaubagaimanapun, pesakit
mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana individu yang
mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan menjadi
sebahagian daripada anggota masyarakat. Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana
ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup yang berat sehingga
mereka cenderung menghidap masalah mental.
Dengan itu, sebagai sebuah negara yang ingin mencapai taraf negara maju
pelbagai perkhidmatan seperti kaunseling dan psikoterapi harus diketengahkan
kerana ia berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan
isi hati mereka, selain perlunya mempunyai rutin pemakanan yang sihat dan rehat
secukupnya termasuk tidur. Sesi kaunseling ini juga dapat memberikan nasihat agar
membantu individu terbabit menyelesaikan masalahnya. Tidak dinafikan setiap agen
sosialisasi turut mempunyai peranan penting bagi membantu dan menangani penyakit
mental ini daripada melonjak naik dalam kalangan masyarakat Malaysia. Wajarlah
masyarakat perlu membudayakan amalan yang terbaik sebagai satu cara hidup ke
arah kesejahteraan, kemakmuran dan kebaikan bersama. Seseorang yang sihat mental
gembira dengan kehidupannya.

Dapatkan buku di Perpustakaan Cawangan Kinabatangan.

Tajuk : Kesejahteraan Mental


Penulis : Anis Rahaizak
Koleksi DDC : MJN 362.2 ANI

You might also like