You are on page 1of 2

TEKS PIDATO KOMUNITI PRIHATIN ALAM SEKITAR

TERJAMIN
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Barisan hakim yang arif dan berpaksikan keadilan,
penjaga masa yang setia dengan randiknya,seterusnya rakan seperjuangan yang saya segani
serta hormati sekalian. Assalamualaikum w.b.t.

KOMUNITI PRIHATIN ALAM SEKITAR TERJAMIN

Begitulah tajuk pidato saya pada hari ini. Sebelum lidah meneruskan bicara izinkan saya
mendefinisikan dahulu tajuk pidato pada hari ini. Menurut Syeikh Tatiudin An Namahani dalam
nukilannya As-Syakhsiah Al Islamiyah ,komuniti prihatin merupakan kelompok masyarakat yang
memiliki sikap mengambil berat , memahami perasaan dan rela berkongsi keperluan. Manakala
Datuk Dr Mazan Osman menterjemahkan alam sekitar sebagai keadaan sekeliling yang mempunyai
fenomena dan kehidupan tersendiri. Tuntasnya, komuniti prihatin alam sekitar terjamin
membicarakan masyarakat yang saling mengambil berat terhadap alam sekitar akan dapat
memastikan kehijauan bumi terus berpanjangan.

Hadirin yang dihormati,

Memelihara dan menjaga keindahan alam sekitar ialah tanggungjawab semua pihak. Alam
sekitar ialah anugerah yang bernilai dalam kehidupan. Negara kita Malaysia sedang dilanda dengan
kehidupan arus pembangunan yang hebat. Namun, di sebalik pembangunan yang sangat rancak ini
jangan kita leka dengan isu pembangunan alam sekitar.

Hujah saya yang pertama, bagi memastikan masyarakat bersikap prihatin terhadap alam
sekitar langkah-langkah yang boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Pada hari ini,
media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna.
Media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam
sekitar, terutamanya dalam siaran di televisyen, surat khabar ataupun di laman sosial seperti
facebook dan twitter. Pihak berwajib juga sepatutnya perlu peka dengan mengambil langkah
mendedahkan isu-isu pencemaran ini secara lebih luas di jaringan internet kerana masyarakat kini
lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.

Hadirin yang dirahmati,

Hujah saya yang seterusnya, langkah untuk menjaga alam sekitar perlu juga dilaksanakan
melalui kempen alam sekitar sama ada dalam komuniti setempat ataupun di peringkat institusi
seperti di sekolah dan universiti. Dalam kempen ini, masyarakat akan didedahkan tentang
pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaganya seperti menguruskan sisa pembuangan
supaya kurang berlakunya pencemaran. Antaranya ialah Kempen Kitar Semula dapat menggalakkan
pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula, lebih-lebih lagi bahan
yang sukar dilupus seperti plastik. Secara tidak langsung, masyarakat akan dapat menjimatkan kos
pengeluaran dan penggunaan bahan tersebut. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti seperti
penanaman pokok boleh dijalankan. Penanaman pokok hijau bukan sahaja dapat mencantikkan alam
sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat. Secara tidak langsung, ia
dapat memupuk perasaan sayang dan rasa syukur terhadap anugerah alam.

Hujah saya yang terakhir ialah kita perlu menggalakkan penggunaan teknologi moden yang
mesra alam. Penggunaan teknologi moden ini dapat mengawal dan mengurangkan pencemaran
dengan lebih cepat dan efektif. Contohnya, kita dapat menggunakan teknologi moden untuk
menjalankan aktiviti pelupusan bahan-bahan buangan dan sisa-sisa pepejal. Hal ini, sudah tentu
akan dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak
sempurna. Penggunaan teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan
dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian juga dapat mengurangkan kadar gas karbon
monoksida yang dilepaskan. Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan kadar pencemaran udara
di sekeliling.

Hadirin yang dimuliakan,

Sudah terang lagi bersuluh, pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan
haruslah memainkan peranan penting dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar. Sebagai
golongan yang mendapat mandat, mereka pasti dapat menjaga dan mengawal alam sekitar daripada
terus tercemar. Tindakan tegas turut boleh diambil kepada masyarakat ataupun individu yang
melanggar peraturan. Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya menyampaikan serangkap
pantun:

Daun selasih di tepi sumur,


Di petik sudah si anak teruna,
Negara bersih rakyatnya makmur,
Persekitaran indah tanggungjawab bersama.

Sekian, terima kasih

You might also like