You are on page 1of 6

TAJUK : USAHA PEMBENTUKAN UMMAH DI MADINAH

Contoh soalan : Terangkan usaha pembentukan ummah di Madinah pada zaman


Nabi Muhammad SAW.

Ummah membawa maksud rakyat, umat atau masyarakat manusia dalam


bahasa Arab. Dalam konteks Madinah, ummah merujuk kepada semua penduduk
Madinah baik yang beragama Islam ; Muhajirin dan Ansar mahupun golongan bukan
Islam seperti Yahudi yang mengakui kekuasaan Nabi Muhammad SAW sebagai
pemimpin. Selepas Piagam Madinah diperkenalkan, ummah dispesifikasikan sebagai
mereka yang mematuhi undang-undang kerajaan Islam. Namun, konsep ummah ini
akhirnya merujuk kepada umat Islam sahaja setelah Yahudi diusir dari Madinah
selepas mengkhianati Piagam Madinah. Terdapat beberapa usaha Nabi Muhammad
SAW laksanakan untuk membentuk ummah di Madinah.

Usaha terawal yang dilakukan oleh Baginda Nabi ialah mengukuhkan


penyatuan golongan Ansar dan Muhajirin. Penyatuan ini dilaksanakan melalui
penerapan iman dan konsep persaudaraan Islam yang menyebabkan mereka tidak
terbeza. Selain itu, nabi juga turut melibatkan kedua-dua golongan ini berkecimpung
dalam bidang terpenting dalam pentadbiran seperti ketenteraan, utusan dan
sebagainya. Disamping itu, nabi turut mempersaudarakan golongan Ansar iaitu kaum
Aus dan Khazraj yang selama ini bermusuh ekoran semangat assabiyah yang
menebal selepas peristiwa Perang Bu’ath. Kesan daripada penyatuan ini membawa
kepada kemunculan umat Islam sebagai penduduk majoriti di Madinah dan menjamin
kekuatan pentabiran kerajaan Islam di Madinah.

Seterusnya, nabi juga berusaha membentuk ummah di Madinah melalui


memperkasakan fungsi masjid dan kitab al-Quran sebagai medium penyatuan
ummah. Pada peringkat awal, Masjid Quba dan Masjid Nabawi dibina dan
menjalankan fungsi sebagai tempat perbincangan isu-isu politik, agama dan sosial
selain tempat beribadat. Sementara itu, al-Quran pula menjadi asas dan panduan
dalam mengurus tadbir negara untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan dalam
segala bentuk tindakan dalam pentadbiran. Pemerkasaan kedua-dua entiti ini menjadi
punca penting terbentuknya masyarakat di Madinah. Kombinasi pemerkasaan masjid
dan al-Quran ini sebagai medium penyatuan adalah bukti agama memainkan perana
penting dalam menjadi asas perpaduan.

Penggubalan dan pelaksanaan Piagam Madinah antara lain usaha nabi


membentuk ummah di Madinah semasa era pemerintahannya. Piagam tertua yang
merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia ini digubal oleh Baginda Nabi
khusus untuk seluruh warga Madinah yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi
perpaduan pelbagai kaum dan agama dengan menjadikan undang-undang sebagai
asas kepada pembentukan masyarakat yang bersatu-padu. Dalam Fasal 25 piagam
ini memperuntukkan bahawa “orang Yahudi Bani Auf merupakan ummah bersama
orang-orang mukmin”. Kandungan dalam fasal ini jelas membuktikan pembentukan
ummah merupaka teras penting dalam piagam ini. Disamping itu, masyarakat Yahudi
juga mengakui kedudukan mereka sebagai zimmi dan harus patuh kepada pelaksaan
piagam ini. Maka, dapat disimpulkan Piagam Madinah merupakan sebuah
perlembagaan yang menitiberatkan keadilan dan perpaduan.

Bersangkut-paut dengan Piagam Madinah dan bangsa Yahudi juga telah


membawa kepada usaha nabi untuk mengusir kaum ini dari Madinah. Akibat daripada
perlanggaran mereka terhadap Piagam Madinah, Yahudi Qainuqa, Yahudi Nadir dan
Yahudi Quraizah telah diusir dari kota ini. Pengusiran ini dilaksanakan mengikut
peruntukan hukum undang-undang dan keadilan. Tindakan mengusir golongan ini
serba sedikit dapat mengawal kegiatan kaum munafik yang diketuai oleh Abdullah bin
Ubay yang secara senyap-senyap mempunyai pertalian dengan bangsa Yahudi.
Pengusiran mereka mengukuhkan lagi kedudukan ummah dan agama Islam
terutamanya di Madinah dan akhirnya mewujudkan kerajaan Islam yang bersatu padu.

Tuntasnya, kewibaan Nabi Muhammad SAW terserlah melalui usaha dan


tindakannya membentuk ummah di Madinah selepas berjaya menubuhkan kerajaan
Islam. Kredibiliti nabi sebagai seorang pemimpin yang tersohor juga dapat dilihat
melalui segalanya usaha menyatuhkan ummah. Perjuangan penyatuan ummah ini
seterusnya diwariskan pula kepada khalifah-khalifah yang menggantikan pentadbiran
selepas kewafatan nabi.
TAJUK : PERANAN MUHAJIRIN DAN ANSAR

Contoh soalan : Ulaskan pernyataan berkenaan peranan penting yang dimainkan


oleh golongan Muhajiran dan Ansar dalam keutuhan kerajaan Islam di Madinah pada
zaman Nabi Muhammad SAW.

Semasa Nabi Muhammad SAW menubuhkan kerajaan Islam di Madinah,


golongan Muhajiran dan Ansar merupakan penyokong perjuangan nabi yang menjadi
tulang belakang dalam mempertahankan negara dan agama Islam. Golongan
Muhajirin yang dikenali sebagai Arab Quraisy sebelum peristiwa Hijrah merupakan
penduduk asal Makkah yang terawal menerima Islam. Golongan ini berdepan dengan
ancaman daripada kaum musyikiran menyebabkan mereka terdesak berhijrah
bersama nabi ke Madinah. Manakala golongan Ansar yang terdiri dari kaum Aus dan
Khazraj pula penduduk asal Madinah yang memeluk agama Islam melalui Perjanjian
Aqabah 1 dan 2. Kedua-dua golongan ini memainkan perana tersendiri dalam
memantapkan kerajaan Islam di Madinah.

Bagi golongan Muhajirin, peranan mereka banyak ditumpahkan dalam


membantu nabi melicinkan urusan pentadbiran. Hal ini disebabkan sebahagian
mereka banyak dilibatkan dalam Majlis Syura Tertinggi yang meletakkan mereka
sebagai pembantu utama Nabi Muhammad SAW dalam bidang politik. Contoh
golongan ini yang menjadi pembantu utama nabi ialah Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin
al-Khattab dan lain-lain. Sumbangan terbesar mereka dalam bidang politik adalah
terlibat dalam penggubalan dan pelaksanaan Piagam Madinah. Penglibatan mereka
ini adalah bukti kepercayaan nabi terhadap mereka yang tidak berbelah bahagi.

Selain itu, golongan Muhajirin juga berperanan penting dalam


mempertahankan kedaulatan agama dan negara. Mereka saling bekerjasama dengan
golongan Ansar untuk memelihara dan menjaga agama dan kerajaan Islam sesuai
dengan tuntutan Fasal 18, 19 dan 24 dalam Piagam Madinah. Mereka juga banyak
terlibat dalam misi ketenteraan dan perang contohnya Perang Uhud, Perang Khandak
dan sebagainya. Semasa Perang Khaibar tercetus, peranan mereka juga penting
untuk memerangai bangsa Yahudi. Disamping itu, mereka juga gigih menentang
golongan munafik yang selalu mencari cara memporak-perandakan umat Islam.
Peranan mereka ini membuktikan betapa murninya jiwa mereka terhadap Islam
hingga sanggup berkorban.
Peranan yang sama penting turut dimainkan oleh golongan Ansar yang
mengambil keputusan untuk mengangkat nabi sebagai pemimpin di Madinah.
Semasa Nabi Muhammad SAW dan para pengikutnya diancam oleh musyikirin di
Madinah, golongan ini telah membuka pintu kepada nabi dan pengikutnya untuk
berhijrah dan mendapatkan perlindungan di Madinah. Perpindahan nabi dan
pengikutnya yang dikenali sebagai Peristiwa Hijrah ini menjadi titik tolak terbentuknya
sebuah kerajaan Islam di Madinah sekaligus menamatkan kehidupan getir golongan
Muhajiran di Makkah. Melalui peranan golongan ini dapat dilihat hikmah disebalik
Perjanjian Aqabah 1 dan 2 yang berjaya membentuk peribadi yang mulia golongan
ini.

Seterusya, golongan Ansar juga berperanan membangkitkan semula golongan


Muhajirin yang jatuh ekoran daripada ancaman musyikiran di Makkah yang
menyebabkan mereka meninggalkan segala harta kekayaan semasa berhijrah ke
Madinah. Melalui konsep persauran yang diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW,
golongan Ansar sanggup membantu golongan Muhajirin yang sehelai sepinggang
untuk membina semula kehidupan melalui sumbangan pelbagai bentuk bantuan
seperti kediaman, modal perniagaan, makanan dan banyak lagi. Terbukti kejayaan
konsep persauraan yang diterapkan oleh nabi berjaya mencapai ukhwah Islamiah.

Kesimpulannya, peranan kedua-dua golongan ini boleh disimpulkan sebagai


satu gandingan yang mantap kerana masing-masing bergerak dengan memberi
sumbangan yang bermakna dalam pengukuhan kerajaan Islam di Madinah pada
zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW. Walau bagaimanapun, situasi sedikit
berubah selepas nabi wafat kerana golongan Muhajirin lebih menyerlah ekoran ramai
dari golongan ini dilantik menjadi khalifah untuk memimpin ummah dan kerajaan Islam
di Madinah.
TAJUK : PERKEMBANGAN MASYARAKAT ISLAM

Contoh soalan : Huraikan perkembangan masyarakat Islam pada zaman Nabi


Muhammad SAW dan zaman Khalifah al-Rasyidin.

Masyarakat secara amnya ditakrifkan sebagai kumpulan manusia yang


menduduki sesebuah tempat yang tertakluk kepada peraturan dan cara hidup yang
ditetapkan yang biasanya hidup dalam kepelbagaian ; agama dan budaya.
Masyarakat Islam terbentuk hasil daripada pembentukan kerajaan Islam oleh Nabi
Muhammad SAW di Madinah. Semasa pemerintahan nabi, masyarakat Islam hanya
terdiri golongan Muhajirin dan Ansar. Manakalah masyarakat Islam semasa zaman
Khalifah al-Rasyidin yang bermula pada tahun 632 masihi pula terdiri daripada
masyarakat Arab dan bukan Arab. Corak masyarakat pada zaman ini juga berubah
setelah perluasan kuasa berlaku.

Semasa pemerintahan Nabi Muhammad SAW, masyarakat Islam terdiri


daripada golongan Muhajirin yang berasal dari kota Makkah. Golongan yang dikenali
sebagai Quraisy ini juga merupakan kelompok terawal memeluk agama Islam dan
berdepan dengan ancaman musyikirin menyebabkan mereka menyertai nabi berhijrah
ke Madinah. Ketika di Madinah barulah golongan ini dikenali sebagai Muhajirin.
Golongan ini banyak terlibat dalam urusan pentadbiran misalnya menjadi ahli tertinggi
dalam Majlis Syura seperti Abu Bakar al-Siddiq dan lain-lain. Mereka juga banyak
terlibat dalam ekspedisi perang seperti Perang Khandak dan Perang Uhud. Antara
tokoh tentera yang terlahir dari golongan ini ialah Hamzah bin Abi Talib, Ali bin Abu
Talib dan ramai lagi.

Selain itu, semasa pemerintahan Nabi Muhammad SAW juga masyarakat


Islam juga dapat diteliti melalui golongan Ansar yang terdiri daripada Aus dan Khazraj.
Golongan ini merupakan penduduk asal Madinah yang memeluk agama Islam setelah
Perjanjian Aqabah 1 dan Aqabah 2 termeterai antara mereka dengan Nabi
Muhammad SAW. Sumbangan terbesar mereka dalam tamadun Islam ialah
mempelawa Nabi Muhammad SAW dan rakan-rakannya untuk berhijrah ke Madinah
bagi memulakan hidup baru dan menegakkan syiar Islam. Golongan ini juga saling
bekerjasama dengan golongan Muhajirin untuk memelihara Madinah dan bertoleransi
dengan mereka yang memerlukan bantuan membina semula kehidupan. Antara
tokoh-tokoh tentera yang dilahirkan dari golongan ini ialah Saad bin Ubadah, Saad bin
Muaz dan Salman al-Farisi.
Semasa zaman Khalifah al-Rasyidin pula, kota Madinah didiami majoriti
golongan Arab Madinah yang merupakan asalnya adalah golongan Muhajirin dan
Ansar. Ketika itu, semua khalifah yang diangkat menggantikan pemerintahan Nabi
Muhammad SAW terdiri daripada golongan Muhajirin. Semasa khalifah yang pertama
iaitu Khalifah Abu Bakar memerintah, muncul golongan ar-riddah yang masih diracuni
oleh pengaruh assabiyah. Golongan ini banyak bertapak di sebahagian Tanah Arab
kecuali di Makkah, Madinah dan Taif. Golongan ini dibahagikan kepada tiga jenis lagi
iaitu golongan murtad yang kembali ke ajaran jahiliah selepas kewafatan Nabi
Muhammad SAW dan dikatakan golongan yang lemah iman. Golongan ini dikepalai
oleh al-Hattan bin Dzabiah. Kedua, golongan yang enggan membayar zakat kerana
menyalahtafsir al-Quran. Mereka berpendapat zakat hanya perlu dibayar pada zaman
nabi sahaja. Antara ketua golongan ini ialah Abdul Malik bin al-Mughirah. Golongan
yang ketiga pula ialah terdiri daripada nabi-nabi palsu seperti Sajah bin Harith.
Golongan ditangani melalui kaedah diplomasi yang dilaksanakan oleh Khalifah Abu
Bakar.

Semasa zaman ini juga, muncul satu lagi masyarakat yang dikenali sebagai
Ahl al-Ayyam dan al-Qurra. Ahl al-Ayyam berasal dari suku Syaiban yang muncul
semasa Khalifah Umar al-Khattab memerintah. Mereka asalnya adalah golongan
peneroka yang membantu Khalifah Umar dalam misi membuka tanah di Iraq dan
Syam dan terlibat dalam membantu tentera dalam perang. Golongan ini terdiri
seramai 12 000 orang dan diberi gelaran Ahl al-Ayyam sebagai tanda hormat khidmat
mereka ke atas Khalifah Umar. Manakala golongan al-Qurra pula berasal dari Ahl al-
Ayyam yang diberi tanggungjawab mengurus tanah di Iraq. Golongan ini juga dikenali
sebagai orang-orang kampung dan menggunakan gelaran tersebut untuk
membezakan mereka dengan Ahl al-Ayyam yang kebanyakkan terdiri daripada
golongan murtad. Golongan ini menjadi pemberontak semasa pemerintahan Khalifah
Uthman al-Affan kerana isu rampasan tanah dan pembayaran cukai kharaj yang
membawa kepada pembunuhan Khalifah Uthman. Namun, mereka menjadi
penyokong kepada Khalifah Ali bin Abu Talib dalam Perang Jamal dan Perang Siffin.

Kesimpulannya, perkembangan masyarakat Islam dikedua-dua zaman ini


memperlihatkan perkembangan yang ketara. Semasa zaman Nabi Muhammad SAW,
masyarakat Islam hanya terdiri daripada Golongan Muhajirin dan Ansar yang menjadi
penduduk majoriti di Madinah. Golongan ini berkembang dan semakin kompleks
semasa zaman Khalifah al-Rasyidin. Namun, ikhtiar dari pemimpin membawa kepada
pembentukan ummah yang kekal berlandaskan aqidah Islamiah.

You might also like