You are on page 1of 8

Mengenal Pasti Kandungan Logam

Berat di Kawasan Sawah Padi

Penanaman padi merupakan satu daripada aktiviti pertanian yang


penting di dunia. Padi yang diproses untuk mendapatkan beras
merupakan satu daripada produk tanaman yang mustahak dari segi
jumlah pengeluaran di negara membangun di samping menyediakan
hampir 30 peratus sumber tenaga untuk manusia.

Beras berkeupayaan untuk tumbuh mengikut jenis tanah dan keadaan


cuaca yang berbeza. Pada kebiasaannya, beras akan ditanam di
kawasan bersederhana lembap. Padi yang ditanam di Malaysia
terbahagi kepada dua jenis, iaitu padi sawah atau lebih dikenali sebagai
padi bendang dan padi huma yang juga dipanggil padi bukit.

Padi sawah ialah padi yang ditanam di sawah padi yang bertakung
dengan air pada peringkat pertumbuhannya, manakala padi huma ialah
padi yang ditanam di kawasan kering dan memerlukan air hujan sebagai
bekalannya. Padi huma ini ditanam di kawasan tanah tinggi atau tanah
rendah bergantung pada air hujan.

Di Malaysia, jenis padi yang paling banyak ditanam ialah padi sawah
kerana padi jenis ini membuahkan hasil yang agak tinggi. Hal ini
dikatakan demikian kerana cara penanamannya adalah teratur di
samping menggunakan air dan baja yang banyak.

Sawah padi diusahakan secara meluas di kebanyakan negeri di Malaysia.

Antara negeri yang menjalankan aktiviti penanaman padi sawah


termasuklah Kedah, Perlis, Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan.
Bagi mempercepatkan tumbesaran serta memastikan kualiti beras yang
dihasilkan berkualiti, petani cenderung menggunakan pelbagai baja dan
racun perosak untuk membunuh organisma perosak.

Sistem pengairan di kawasan tanaman padi lebih terdedah kepada


pencemaran akibat aktiviti di sekitar sungai atau mana-mana sumber
air. Bahan pencemar yang terdapat di dalam air sungai seperti logam
berat cenderung untuk terkumpul di dalam tanah sawah padi,
seterusnya diserap oleh padi dan akhirnya dipindahkan kepada
manusia secara langsung.
Logam berat ialah unsur semula jadi yang berasal daripada kerak bumi,
iaitu yang tidak boleh terurai, berketumpatan tinggi secara relatif dan
mempunyai sifat yang toksik walaupun pada kepekatan yang rendah.
Logam berat ini boleh wujud secara semula jadi atau antropogenik.

Sumber semula jadi biasanya terdapat di dalam tanah dan sedimen


seperti hakisan batu-batuan. Sumber antropogenik pula diperoleh
melalui pengairan kumbahan, penggunaan baja dan lain-lain. Antara
logam berat yang biasa dijumpai dalam sampel beras termasuklah
merkuri (Hg), kadmium (Cd), arsenik (As), plumbum (Pb) dan kromium
(Cr).

Proses biokimia dan fisiologi di dalam badan manusia memerlukan


logam berat seperti ferum (Fe), kuprum (Cu) dan zink (Zn) sebagai
sumber nutrien. Logam berat yang biasanya dipilih untuk menjalani
proses penilaian risiko ialah logam berat As, Cd dan Pb kerana
mencatatkan keracunan yang tinggi dalam semua sampel beras.

Logam berat amat berpotensi untuk terkumpul dan dipindahkan di


semua peringkat rantaian makanan yang boleh memberikan risiko
kepada manusia dan haiwan. Bioakumulasi ialah pengumpulan bahan
kimia dalam tisu organisma dan hal ini terjadi apabila sesuatu bahan
pencemar tidak boleh dimetabolismekan.

Logam yang terkumpul di dalam badan manusia melalui rantaian


makanan boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan memberikan
kesan kepada sistem saraf pusat. Hal ini berlaku apabila terjadinya
proses biomagnifikasi sekiranya organisma pada aras atas trofik
mengambil sumber makanan tercemar, iaitu beras.

Biokonsentrasi pula merujuk nisbah kandungan logam berat dalam


tumbuhan dan di dalam tanah. Risiko logam berat kepada kesihatan
manusia melalui rantaian makanan dapat dihitung menggunakan faktor
biokonsentrasi (BCF).

Menurut Alam et al. (2003), jika nilai BCF adalah kurang daripada satu,
hal tersebut bermaksud logam berat hanya boleh diserap oleh tumbuh-
tumbuhan dan tidak boleh terkumpul. Sementara itu, jika nilai BCF
adalah lebih daripada satu, tumbuh-tumbuhan tersebut berpotensi
untuk mengumpul logam berat.

Lokasi persampelan tanah di sawah padi.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah


melakukan satu kajian untuk melihat nilai biokonsentrasi dan faktor
biokonsentrasi logam berat di kawasan sawah padi di Sawah
Sempadan, Selangor. Sebanyak 26 titik persampelan terlibat dalam
kajian ini.
Hasil kajian tersebut mendapati bahawa logam berat As, Cd dan Pb
yang dikaji dalam sampel tanah berada pada paras yang dibenarkan
menurut The United States Department of Agriculture (USDA) 2000,
iaitu sebanyak 0.1555 miligram per kilogram (mg/kg), 0.0086 mg/kg
dan 0.8715 mg/kg.

Bagi hasil kajian terhadap logam berat dalam sampel beras, kesemua
logam berat juga berada pada paras yang dibenarkan mengikut garis
panduan dalam Peraturan-Peraturan Makanan Malaysia 1985, iaitu
sebanyak 0.3639 mg/kg, 0.0106 mg/kg dan 0.1155 mg/kg.

Sementara itu, untuk nilai BCF, masing-masing sebanyak 2.3402,


1.2326 dan 0.1325 bagi As, Cd dan Pb. Nilai BCF yang melebihi 1.00
menunjukkan bahawa terdapat potensi berlakunya proses
pengumpulan logam berat dalam sampel beras, manakala nilai BCF
kurang daripada 1.00 menunjukkan berlakunya penyerapan logam
tanpa pengumpulan logam tersebut. Secara keseluruhannya, hasil
kajian mendapati bahawa terdapat kehadiran logam berat dalam
sampel tanah dan beras di Sawah Sempadan, Selangor.

Untuk sampel tanah, paras maksimum kepekatan logam berat di dalam


tanah yang ditetapkan oleh USDA 2000 digunakan sebagai julat piawai
dalam kajian ini. Sampel tanah menunjukkan kepekatan logam berat As,
Cd dan Pb masih di bawah kepekatan maksimum dan berada pada
paras yang dibenarkan.

Kehadiran Pb dalam sampel tanah sawah padi berpunca daripada


penggunaan baja dan racun perosak selain terhasil secara semula jadi.
Kedua-dua faktor ini menyumbang kepada nilai kepekatan logam berat
yang paling tinggi berbanding dengan As dan Cd.
Sampel tanah yang diperoleh di Sawah Sempadan, Selangor.

Bagi sampel beras yang telah dikaji, Jadual Keempat belas (Peraturan
38) dalam Peraturan-Peraturan Makanan Malaysia 1985, iaitu Kadar
Maksimum yang Dibenarkan bagi Cemaran Logam dalam Makanan
Tertentu menjadi rujukan sebagai julat piawai. Kepekatan logam berat
As mencatatkan nilai yang paling tinggi berbanding dengan Pb dan Cd.
Sampel beras di Sawah Sempadan, Selangor.

Hal ini berlaku kerana As yang berasal dari tanah dan udara terkumpul
di dalam beras. Penggunaan racun perosak untuk mengawal serangga
perosak ialah racun yang mengandungi bahan kimia yang berbahaya,
termasuklah logam berat seperti As. Hal ini menjadi satu daripada
punca berlakunya pencemaran terhadap logam berat di kawasan sawah
padi.

Selain itu, nilai BCF juga telah digunakan untuk menentukan sama ada
sesuatu tumbuhan itu boleh menyerap dan mengumpulkan logam berat
atau menyerap tetapi tidak boleh mengumpulkan logam berat yang
hadir.

BCF ialah nisbah kepekatan logam berat di dalam beras berbanding


dengan di dalam tanah. Hasil kajian ini mendapati nilai BCF bagi logam
berat As dan Cd ialah kurang daripada satu yang menunjukkan
tumbuhan ini boleh menyerap dan mengumpulkan logam berat.
Sementara itu, Pb yang mempunyai nilai BCF kurang daripada satu
menandakan bahawa terdapat penyerapan logam berat, namun tidak
berlakunya proses pengumpulan logam itu.

Sebagai kesimpulannya, walaupun kandungan logam As, Cd dan Pb


tidak melebihi nilai piawai yang telah ditetapkan, seharusnya beras
yang dihasilkan adalah bebas daripada kesemua logam berat. Hal ini
penting bagi golongan kanak-kanak dan warga emas yang lebih sensitif
terhadap kehadiran logam berat dalam makanan yang diambil sehari-
hari.

Oleh hal yang demikian, Jabatan Pertanian haruslah menggalakkan


petani menggunakan racun perosak dan baja organik yang lebih
selamat dalam penanaman padi di seluruh negara, termasuklah di
Sawah Sempadan, Selangor.

Profesor Madya Dr. Normah Awang dan Dr. Nurul Farahana


Kamaludin, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti
Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Kuala
Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan


tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Buletin JendelaDBP

Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

You might also like