You are on page 1of 22

MASALAH TINGKAHLAKU DALAM BILIK DARJAH, FAKTOR

PENYEBAB DAN CADANGAN MENANGANINYA.

Pengenalan.
Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama kepada kerjaya seorang
guru. Di bilik darjah inilah mereka menunjukkan kebolehan dan keupayaan dalam
melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran. Guru biasanya berhadapan dengan
pelbagai cabaran semasa berada di bilik darjah iaitu menangani masalah tingkah laku
sejumlah pelajar, memastikan matlamat pengajaran tercapai dan hambatan masa yang
terhad. Namun begitu hambatan yang paling mencabar bagi guru ialah masalah
disiplin ketika dalam bilik darjah iaitu masalah tingkah laku. Masalah tingkah laku
merujuk kepada sebarang tingkah laku yang boleh menjejaskan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran.
Manakala perkataan disiplin adalah berasal daripada perkataan Latin discere
yang bermaksud mempelajari atau penyerahan kepada peraturan yang menstrukturkan
apa yang perlu dipelajari (Abdul Rahman Aroff & Zakaria Kasa, 1987:112).
Guru-guru sering berhadapan dengan pelbagai isu mengenai masalah tingkah
laku pelajar apabila berada di dalam bilik darjah. Namun skop masalah tingkah laku
pelajar dalam bilik darjah hanyalah sebahagian daripada jenis tingkah laku
bermasalah di kalangan pelajar. Berbagai jenis tingkah laku pelajar yang menjadi
masalah telah dibincangkan untuk menanganinya dan pihak guru disarankan
menggunakan pelbagai pendekatan yang sesuai. Tidak salah bagi seorang guru untuk
cuba mendekati serta menyelami perasaan pelajar melalui pelbagai kaedah dan sistem
yang sesuai. Namun pendekatan dan sistem yang sesuai harus diperhalusi agar guru
dapat merapatkan diri serta untuk membina hubungan yang akrab di kalangan pelajar
khasnya yang mempunyai masalah tingkah laku. Selain matlamat untuk membantu
meningkatkan pencapaian akademik, matlamat menggunakan pelbagai kaedah dan
sistem juga harus menjurus kepada pembentukan peribadi pelajar. Justeru itu,
penggunaaan pelbagai kaedah dan sistem di dalam bilik darjah khasnya harus
diteruskan oleh guru dan di peringkat sekolah amnya bagi menangani permasalahan
tingkah laku di kalangan pelajar dari akar umbinya.
Untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang sihat dan harmonis, seterusnya
menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran agar berlaku dengan lebih
berkesan lagi, disiplin memainkan peranan yang sangat penting. Bagaimanapun,

1
dalam setiap bilik darjah, masalah disiplin sentiasa ada. Masalah disiplin ini wujud
disebabkan oleh beberapa faktor. Persoalan yang timbul adalah berkaitan dengan
beberapa masalah disiplin yang kebiasaannya wujud dalam sesebuah bilik darjah dan
disarankan pelbagai kaedah bagi menyelesaikannya.

FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI TINGKAH LAKU / DISIPLIN DI


DALAM BILIK DARJAH
Bukti tentang tingkah laku yang membawa keruntuhan memperlihatkan
bahawa ia mempunyai banyak sumber dan faktor yang rumit yang ada pada diri
kanak-kanak dan juga kuasa yang ada di luar diri kanak-kanak. Sebahagian masalah
berpunca daripada perwatakan kanak-kanak dan masalah yang lain pula berpunca dari
guru yang tidak cekap. Kadangkala masalah keluarga dan cara denda menyebabkan
kanak-kanak membawa masalah tersebut ke sekolah. Akhir sekali suasana sosio-
emosi dan struktur nilai yang ada pada sekolah dan komuniti mungkin membawa
kepada masalah tingkah laku. Setiap satu faktor tersebut akan dibincangkan dengan
ringkasnya.

Kaedah dan Pengajaran Guru


Antara faktor yang menyebabkan gejala ini boleh terjadi disebabkan
pengajaran guru yang kurang menarik perhatian pelajar (Omardin Ashaari, 1998:201).
Oleh itu, ini menyebabkan kesukaran bagi murid untuk menerima pengajaran yang
disampaikan oleh guru. Selain itu, ada kemungkinan bahan pengajaran yang
disampaikan oleh guru tersebut gagal menarik minat pelajar ataupun terlalu sukar
untuk mereka ikuti. Isi pelajaran yang terlalu mudah juga akan menimbulkan
kebosanan kerana kurang mencabar di minda pelajar. Kaedah mengajar yang sesuai
adalah diperlukan untuk merangsang pelajar agar memberi tumpuan dan perhatian
terhadap penyampaian guru.

Keadaan Fizikal
Keadaan Fizikal bilik darjah yang terlalu sesak juga boleh menimbulkan masalah
disiplin. Bilangan pelajar yang terlalu ramai untuk dikawal oleh guru pada sesuatu
masa. Demikian juga dengan keadaan bilik darjah yang tidak mempunyai cahaya
yang mencukupi akan menimbulkan suasana kurang selesa dan seterusnya penumpuan
pelajar terhadap penerangan guru akan berkurangan.

2
Suasana Sosio Emosi
Guru yang autokratik dan tegas tidak bertempat juga menyebabkan perasaan emosi
pelajar sering tertekan. Ini akan menjejaskan keupayaan para pelajar untuk menerima
pelajaran. Sebagai seorang guru, pendidik dan pengasuh mereka perlu memberi
peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti kumpulan secara terbuka
dan menikmati kejayaan bersama-sama.

Kesihatan
Para pelajar yang kurang sihat, kurang rehat, tidak cukup tidur akan berada dalam
keadaan gelisah, letih dan mengantuk dan proses pengajaran dan pembelajaran yang
diikuti oleh pelajar akan menjadi tidak berkesan.

Kurang Daya Usaha


Seorang guru yang proaktif dan mempunyai daya inisiatif dan kreatif akan dapat
menghasilkan bahan pengajaran yang mampu menarik perhatian dan minat para
pelajar. Oleh itu, masalah disiplin dapat diatasi oleh guru. Guru yang mempunyai
sahsiah yang baik akan dihormati oleh pelajar-pelajarnya. Para pelajar yang gemar
dan menyenangi guru mereka disebabkan kemesraan mereka yang memudahkan
proses pengajaran dan pembelajaran.

Persekitaran Sekolah
Pelajar-pelajar akan kurang bermotivasi untuk belajar dengan keadaan persekitaran
sekolah seperti organisasi dan struktur belajar yang kurang baik.

Kekurangan Kemudahan
Adakalanya terdapat kekurangan kemudahan dan peralatan dalam bilik darjah seperti
kerusi meja yang tidak mencukupi, kipas angin dan lampu dan sebagainya. Perkara
ini perlu dimaklumkan kepada pihak pentadbir sekolah agar masalah dapat diatasi.

Masalah Keluarga
Institusi keluarga akan menjadi porak-peranda sekiranya keadaan dalam keluarga
tidak aman dan sering berlaku pertengkaran antara ahli keluarga. Bapa sentiasa

3
mabuk, bermain judi, kaki perempuan dan sebagainya manakala ibu pula suka
berleter, pilih kasih terhadap anak dan mengongkong anak-anak menjadikan jiwa
kanak-kanak cepat memberontak, stress, tertekan dan suka melawan (Ab. Malik
Abdullah, 2005:5).
Kajian yang dibuat oleh Universiti Chicago mendapati purata masa yang dikongsi
oleh anak-anak dengan ibu bapa yang bekerja hanya 12 jam seminggu. Ini
mengakibatkan kekurangan masa bagi ibu bapa untuk mengasuh, mendidik dan
membimbing anak mereka. Ibu bapa juga tidak sepatutnya menyerahkan
tanggungjawab mendidik anak mereka pada guru sepenuhnya. Mereka juga
sepatutnya mengunjungi sekolah sekali sekala supaya lebih memahami situasi anak
mereka di sekolah.

Rakan Sebaya
Rakan sebaya di alam persekolahan adalah kumpulan rujukan pelajar yang
memberikan sokongan moral dalam mencari identiti diri dan pembentukan imej
(Abdullah Sani Yahya, 2005:101). Rakan sebaya memberi peluang kepada mereka
untuk mengikut piawai kumpulan itu dalam aspek-aspek gaya pakaian, pertuturan,
sikap dan lain-lain. Masalah yang timbul apabila pendedahan seperti ini biasanya
melibatkan nilai-nilai buruk yang membawa kepada keruntuhan disiplin di dalam dan
luar bilik darjah.

Jenis-Jenis Masalah Tingkahlaku Murid Dalam Darjah.


Terdapat berbagai masalah tingkah laku pelajar di dalam bilik darjah yang
boleh mengganggu suasana pengajaran dan pembelajaran . Antaranya ialah.
i. Tingkah laku Merosakkan/Destruktif
Biasanya tingkahlaku destruktif ini kerap dilakukan oleh kalangan pelajar
yang berumur di antara 10 hingga 14 tahun (Ee Ah Meng1996:72). Mereka
akan memperlihatkan sikap agresif mereka dalam bentuk tingkah laku
destruktif.
Jenis-jenis tingkah laku destruktif termasuk permusuhan nyata, vandalisme
iaitu merosakkan kerusi, meja, peralatan di dalam bilik darjah dan sebagainya,
amalan tumbuk menumbuk, menconteng dan melukis lakaran lucah pada
dinding bilik darjah.

4
Permusuhan Nyata (Overt hostility)
Satu keadaan di mana wujud tingkah laku fizikal atau lisan yang bertujuan
untuk menyakiti atau melukai perasaan seseorang.
Antara situasi yang menimbulkan permusuhan nyata ialah apabila seseorang
itu mengalami kekecewaan, tersinggung dan mendapat penilaian yang negatif.
Mengapa permusuhan nyata berlaku?
Menurut ahli psikologi sosial, terdapat tiga pandangan yang utama tentang
permusuhan nyata iaitu:
1. Dalam setiap individu terdapat desakan yang agresif yang cenderung untuk
menimbulkan permusuhan nyata
2. Pengalaman yang mengecewakan boleh menyebabkan permusuhan nyata.
3. Tingkah laku agresif atau permusuhan nyata boleh dipelajari.

Permusuhan Nyata- Suatu sifat biologi


Menurut Lorenz (1967) permusuhan nyata adalah satu sifat biologi yang
terdapat di dalam diri seseorang (Ee Ah Meng, 1996:73), Pendapat ini
disokong pula oleh Sigmund Freud. Misalnya seorang kanak-kanak itu merasa
seronok sekiranya melihat musuh sekelasnya dimarahi oleh guru kerana tidak
membuat kerja rumah.

Permusuhan Nyata Disebabkan Kekecewaan


Sekiranya seorang kanak-kanak itu telah berusaha bersungguh-sungguh untuk
melakukan sesuatu yang terbaik seperti membuat buku skrap tetapi apabila
dinilai oleh gurunya ada lagi hasil kerja pelajar lain yang lebih baik. Kanak-
kanak tadi akan merasa kecewa dan akan menunjukkan sikap permusuhan
nyata akibat kekecewaannya kepada pelajar yang menerima pujian gurunya
tadi.
John Dollard dan rakan-rakannya di Universiti Yale mengesahkan bahawa
permusuhan nyata selalunya akibat kekecewaan dan kekecewaan selalunya
membawa kepada suatu bentuk permusuhan nyata.

5
Permusuhan Nyata – Dipelajari
1. Permusuhan dipelajari daripada individu yang berhampiran. Anak-
anak akan menjadi agresif akibat tingkah laku ibu bapanya yang agresif
dan suka menghukum (Ee Ah Meng, 1996:74).
2. Permusuhan dipelajari daripada sikap masyarakat. Dalam
kebanyakan masyarakat, masih terdapat anggapan, apabila seseorang
membuat salah akan ditentang dengan tindakan yang sama.
3. Permusuhan nyata dipelajari daripada televisyen. Tayangan dalam
televisyen sering menonjolkan siri keganasan. Kanak-kanak yang
menontonnya setiap hari akan terpengaruh dan mengikut lakonan watak di
dalam filem itu tadi.

Bagaimana Guru Boleh Membantu Mengurangkan Permusuhan Nyata


Guru boleh melaksanakan perkara berikut bagi mengurangkan permusuhan
nyata:
1. Mengenal pasti pelajar yang agresif. Adakan sesi bimbingan dan memberi
kesedaran bahawa tingkah laku agresif tidak akan menguntungkan.
2. Agar tingkah laku agresif dapat dibendung, adakan program pendidikan
moral.
3. Terapkan nilai-nilai murni dalam bilik darjah.
4. Pelajar yang kecewa biasanya cenderung bertindak agresif. Tubuhkan
kelab bimbingan rakan sebaya yang akan membantu menyelesaikan
kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh pelajar.
5. Pelajar yang menimbulkan masalah disiplin hendaklah dirujuk kepada
guru kaunseling.
6. Galakkan perbincangan yang sihat di antara pelajar agar mereka tahu
mengurus masalah dengan bijak.
7. Adakan sesi perbincangan dan bentangkan bagaimana menyelesaikan
masalah agar mereka dapat belajar cara menyelesaikan perbalahan dan
pergaduhan.
8. Beritahu pelajar mana program televisyen yang sesuai ditonton dan yang
mana perlu dielakkan.

6
Bagaimana Guru Boleh Mengurangkan Tingkah Laku Merosakkan (Destruktif)
Untuk mengurangkan tingkah laku bermasalah, Eric Digest, mencadangkan beberapa
tindakan yang perlu diambil bagi mengurangkan tingkah laku yang dapat merosakkan.
Antaranya ialah
a. Undang-undang yang jelas
Peraturan dan undang-undang serta akibat daripada pelanggaran undang-undang
hendaklah jelas dan disampaikan kepada pelajar dan juga ibu bapa melalui surat
siaran, perhimpunan atau buku panduan sekolah (Mohd. Ismail Othman, 2006:89).
Undang-undang ini hendaklah diperjelas dari semasa kesemasa terutama selepas cuti
semestar
b. Tindakan yang adil.
Ketika undang-undang telah dihebahkan, tindakan-tindakan yang diambil ke atas
pelajar-pelajar mestilah konsisten dan adil agar pelajar boleh menghormati sistem
perundangan sekolah. Ingatkan pelajar tentang peraturan dan akibat melanggar
peraturan yang ditetapkan. Bertindaklah dengan tegas menurut apa-apa yang telah
anda tetapkan terhadap para pelajar yang sengaja melanggar peraturan (Pendidik, Bil
4/2007).
c. Peluang untuk dibicarakan
Peluang untuk dibicarakan dan mendengar penjelasan dari pihak pelajar adalah
penting untuk mendapat keadilan.
d. Rayuan
Rayuan daripada pelajar dan ibu bapa adalah satu proses yang baik agar persepsi dari
ibu bapa tentang keadilan dapat diperlihatkan.

Tingkah Laku Disruptif


Tingkah laku disruptif merupakan tingkah laku yang boleh menjejaskan
kelicinan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Jenis-jenis tingkah laku disruptif termasuk tingkah laku hiperaktif, perubahan
yang melampau, kebisingan, pergerakan murid yang tidak perlu, mengganggu rakan
sekelas, gelak ketawa yang amat kuat dan kelakuan agresif fizikal seperti tolak
menolak atau tumbuk menumbuk di dalam kelas (Tiwi Kamidin, 2004).
Antara sebab timbulnya tingkah laku disruptif ialah:
1. Kaedah pengajaran guru yang kurang menarik

7
2. Keadaan fizikal yang kurang sesuai dan tidak boleh menampung
pelajar yang terlalu ramai.
3. Suasana sosioemosi yang kurang sihat di mana terdapat klik-klik kecil
di dalam bilik darjah
4. Terdapat pelajar yang kurang sihat yang menyebabkan ia tidak dapat
menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru.
5. Sifat guru yang kurang tegas. Keadaan seperti ini menggalakkan
timbulnya masalah disiplin
6. Arahan yang kurang jelas. Ini mungkin menimbulkan kekeliruan di
kalangan pelajar.

Cara-cara Mengatasi Tingkah Laku Disruptif


1. Pastikan arahan jelas apabila memberi tugasan kepada pelajar.
Keadaan ini memudahkan pelajar melaksanakan arahan tersebut.
2. Objektif tugasan hendaklah dijelaskan kepada pelajar. Kefahaman
tentang objektif-objektif akan memotivasikan pelajar ke arah
pencapaiannya.
3. Tugasan yang diberi hendaklah mencukupi. Kekurangan bahan atau
tugasan yang kurang mencabar akan menimbulkan kegelisahan di
kalangan pelajar.
4. Sebut nama pelajar sekiranya menghendakinya menjawab soalan atau
membuat sesuatu
5. Peraturan bilik darjah hendaklah teratur dan mudah difahami.
6. Hormati pelajar kerana mereka juga ada harga diri. Jangan mengutuk
pelajar di hadapan pelajar-pelajar lain.
7. Jangan suka menyindir kerana pelajar yang merasa tersindir akan
merasa dendam dan ingin membalas.
8. Elakkan mengutuk atau mendenda seluruh kelas hanya kerana
kesalahan beberapa orang pelajar.
9. Jangan suka menengking atau berleter kerana suasana yang tegang
tidak akan menggalakkan pengajaran dan pembelajaran
10. Berikan pujian sekiranya pelajar menunjukkan tingkah laku positif atau
melakukan kerja dengan baik

8
11. Dengar cadangan-cadangan pelajar dan jika sesuai terima pakai
cadangan tersebut.
12. Bersikap tegas tetapi adil dalam melaksanakan peraturan bilik darjah.
13. Kenal pasti pelajar yang pendiam dan pemalu. Kenal pasti juga
keperluan mereka agar mereka tidak bertindak negatif sebagai menarik
perhatian guru.
14. Beri peluang kepada pelajar untuk mengemukakan masalah mereka.

Tingkah Laku Bergantung


Tingkah laku bergantung merujuk kepada keadaan di mana seseorang itu bergantung
kepada orang lain, sama ada guru atau rakannya untuk menjalankan sesuatu tugasan
atau membuat sesuatu keputusan.
Individu-individu yang tergolong dalam kumpulan ini termasuk mereka yang
menunjukkan sifat pergantungan berlebihan, kebimbangan dan pengunduran diri.

Pergantungan Berlebihan
Pergantungan berlebihan merujuk kepada suatu keadaan di mana seseorang individu
amat bergantung kepada orang lain atau tidak dapat berdikari (Tiwi Kamidin, 2004).
Individu seperti ini juga tidak berupaya membuat keputusan sendiri dan dengan itu
bergantung kepada orang lain atau kelompok tertentu untuk membuat keputusan bagi
pihaknya.
Biasanya, individu seperti ini mudah mengikut percakapan orang lain. Oleh
itu, individu ini senang dipengaruhi. Pendiriannya terhadap satu-satu pendapat
biasanya kurang tegas.
Antara faktor yang boleh menimbulkan keadaan pergantungan berlebihan
adalah seperti berikut:
1. Ibu bapa yang mengamalkan perlindungan terlampau, sama sekali tidak
membenarkan anaknya membuat sebarang keputusan (Tiwi Kamidin,
2004).
2. Pelajar yang kurang berkeyakinan, biasanya bergantung kepada orang lain
untuk membuat keputusan.
3. Konsep kendiri pelajar yang lemah. Pelajar menganggap dirinya kurang
baik dan kurang cekap.

9
4. Pendekatan pengajaran guru yang tidak banyak memberi peluang kepada
pelajar untuk membuat rumusan atau keputusan terhadap satu-satu tugasan
atau projek.
5. Aktiviti pengajaran-pembelajaran terlalu sukar untuk diikuti oleh pelajar-
pelajar. Dalam keadaan seperti ini pelajar akan banyak bergantung kepada
guru untuk mendapatkan bimbingan atau tunjuk ajar.
6. Suasana rumahtangga yang terlalu tegang. Ibu bapa yang bersifat
autokratik tidak menggalakkan anak-anaknya mencuba sesuatu yang baru
atau membuat sesuatu keputusan, walaupun dalam perkara yang kurang
penting.
Pelajar yang mengalami masalah pergantungan berlebihan akan membesar
menjadi individu yang kurang berkeyakinan. Dalam keadaan sedemikian ia akan
menghadapi banyak masalah dalam kehidupan harian sekiranya ia sentiasa tidak dapat
membuat keputusan.
Individu seperti ini mudah dipengaruhi oleh orang lain, dia mungkin menjadi
terlalu peka terhadap teguran atau kritikan orang lain. Akibatnya, dia akan
mengalami kebimbangan dan tekanan. Dengan kata lain, ketenteraman jiwanya akan
turut terjejas.

Bagaimana Guru Dapat Mengurangkan Masalah Pergantungan Berlebihan


Antara langkah yang boleh diambil oleh guru termasuk:
1. Tekankan kepada pendekatan berpusatkan pelajar.
2. Adakan aktiviti-aktiviti di mana pelajar mempunyai peluang untuk
membuat keputusan atau rumusan.
3. Pastikan aktiviti-aktiviti yang diselidik itu sejajar dengan kebolehan
pelajar. Cara ini akan mengurangkan pergantungan kepada guru ketika
menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.
4. Berikan layanan yang sepatutnya kepada pelajar-pelajar yang lemah. Pada
peringkat awal, aktiviti asuhan dan bimbingan boleh diberikan. Selepas
suatu tempoh masa tertentu, ia boleh dikurangkan secara beransur-ansur.
5. Adakan sesi-sesi peningkatan konsep kendiri untuk pelajar-pelajar.
Konsep kendiri yang positif biasanya akan membantu pelajar memperoleh
sifat berdikari.

10
6. Dedahkan pelajar-pelajar kepada teknik membuat keputusan yang
bijaksana. Ini boleh dilakukan dengan bantuan guru bimbingan dan
kaunseling. Dengan adanya teknik tersebut, pelajar akan kurang
bergantung kepada orang dewasa untuk membuat keputusan.

Hiperaktiviti
Hiperaktiviti merujuk kepada keadaan seseorang individu yang terlampau aktif
berbanding keadaan yang biasa. Kanak-kanak seperti ini tidak boleh duduk diam,
sentiasa bergerak ke sana kemari tanpa sebarang tujuan dan sukar dikawal.
Antara ciri kanak-kanak yang mengalami hiperaktiviti adalah seperti berikut:
1. Melibatkan diri dalam aktiviti secara berlebihan
2. Perbuatan dilakukan secara tiba-tiba tanpa memikirkan akibatnya.
3. Gemar merengut
4. Berasa gelisah
5. Tidak boleh duduk diam
6. Penglibatan tidak kekal dalam satu-satu aktiviti
7. Tangan, kaki dan badan sentiasa bergerak
8. Tindak balas berlebihan terhadap sesuatu rangsangan
9. Kurang sabar
10. Tingkah laku sukar diramal
11. Tingkah laku kurang arah tujuan
12. Gemar memulakan banyak tugasan atau aktiviti tetapi jarang
menyemprunakannya.
13. Perasaan mudah terangsang
14. Mudah naik darah.

Menurut Feingold (1976), hiperaktiviti atau hiperkinesi disebabkan oleh kecederaan


otak atau makanan yang mengandungi bahan pengawet, bahan pewarna atau salisilat
(Ee Ah Meng, 1996:82). Makanan yang mengandungi salisilat ialah epal, buah
anggur, limau, strawberi, tomato dan minuman teh.
Antara masalah yang sering ditimbulkan oleh murid-murid yang hiperaktif
adalah seperti berikut:
1. Pelbagai jenis masalah pembelajaran.
2. Potensinya tidak dapat dikembangkan ke peringkat yang optimum.

11
3. Tahap kesabaran yang kurang dan konsep kendiri yang rendah.
4. Pelbagai jenis masalah sosial seperti tidak digemari oleh lain dan
seterusnya menyebabkannya sentiasa keseorangan.
Bagi mengatasi masalah hiperaktiviti, Feingold (1975) menggunakan makanan
Kaiser-Permanente (K-P) yang terdiri daripada makanan yang tidak mengandungi
bahan pewarna, bahan pengawet atau salisilat sejati.
Selain makanan, latihan tingkah laku juga boleh digunakan untuk membaiki
keadaan pelajar yang mengalami hiperaktiviti.
Mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra dan tenang juga boleh
mententeramkan pelajar yang terlalu aktif. Guru yang berusaha untuk memahami
pelajar-pelajar seperti ini juga dapat membantu pelajar-pelajar yang mengalami
masalah hiperaktiviti.

Tingkah Laku Bimbang


Satu lagi jenis tingkah laku bermasalah ialah tingkah laku kebimbangan atau
kerisauan. Kerisauan adalah pengalaman emosi yang tidak menggembirakan yang
dialami oleh seseorang ketika ia merasa takut atau menghadapi ancaman dari sesuatu
yang tidak dapat ditentukan dengan jelas (Tiwi Kamidin, 2004). Perbezaan antara
kebimbangan dengan ketakutan adalah kurang jelas. Walau bagaimanapun, apa yang
jelas ialah kita dapat mengenal pasti sebab yang menimbulkan ketakutan itu dan kita
mengetahui apa yang kita takuti.
Situasi-situasi yang Menimbulkan Kebimbangan
Walaupun sebab-sebab timbulnya kebimbangan adalah sukar untuk dikenal pasti,
tetapi terdapat beberapa situasi dalam mana ia dapat dilihat.
1. Motif yang bercanggahan. Seorang pelajar ingin meminjamkan kawannya alat
tulis tetapi dalam waktu yang sama ia juga memerlukan alat tulis tersebut. Ia
bersimpati dengan kawan tersebut tetapi sekiranya ia meminjamkan kawannya
alat tulis itu maka ia takut tidak dapat menyiapkan kerja yang diarah oleh
guru.
2. Individu yang mengalami konflik antara tingkah lakunya dengan nilai
sebenarnya. Contohnya, seseorang pelajar yang tidak menyiapkan kerja
rumah. Dia datang awal ke sekolah dan meniru kerja rumah kawannya
walaupun dia tahu bahawa meniru itu perbuatan salah.

12
3. Individu menghadapi suatu keadaan baru di mana dia terpaksa menyesuaikan
diri. Contohnya, kali pertama seorang pelajar itu masuk ke dalam kelas kerana
baru pindah sekolah.
4. Apabila individu menghadapi sesuatu keadaan yang mana hasilnya adalah
sukar diramal. Contohnya, setelah menduduki peperiksaan, pelajar masih
belum tahu keputusan tersebut, sama ada lulus atau gagal. Keadaan sebegini
memang menyebabkan para pelajar merasa bimbang.
5. Apabila individu menghadapi kemungkinan kehilangan seseorang yang
dikasihi. Contohnya, seorang kanak-kanak akan merasa bimbang sekiranya
ibu atau bapanya sakit tenat.

Bagaimana Guru Dapat Mengurangkan Kebimbangan Pelajar


Kebanyakan guru-guru yakin bahawa sikap pelajar mempengaruhi tingkah laku
mereka. Oleh itu guru-guru yakin apabila sikap pelajar berubah, tingkah laku mereka
ikut berubah (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 2002:146). Bagi membantu pelajar
mengurangkan kebimbangan, guru boleh melakukan perkara berikut:
1. Mengelolakan aktiviti-aktiviti yang boleh melibatkan kebanyakan pelajarnya.
2. Isi pelajaran yang disediakan perlu disusun dengan teratur iaitu daripada tahap
yang senang kepada tahap yang susah.
3. Matlamat pencapaian yang ditetapkan untuk pelajar perlu munasabah, iaitu
yang boleh dicapai.
4. Ganjaran perlu diberi kepada pelajar yang berjaya.
5. Dorongan perlu diberi kepada pelajar yang lemah.
6. Ancaman dan ugutan perlu dielakkan.
7. Bantu pelajar menghadapi cabaran dengan sikap yang positif.
8. Elakkan daripada amalan membeza-bezakan pelajar. Layanan yang adil perlu
diberi kepada pelajar yang cerdas dan juga yang lemah.
9. Tekankan penerapan nilai-nilai murni seperti tolong menolong, hormat
menghormati, bekerjasama dan sebagainya.
10. Wujudkan peluang untuk pelajar merasa nikmat kejayaan. Oleh itu, pelajar
yang cerdas perlu diberikan aktiviti-aktiviti yang mencabar manakala pelajar
yang lemah perlu didedahkan kepada pendidikan pemulihan.
11. Hentikan daripada menggunakan kata-kata (seperti bodoh, tak berguna dan
sebagainya) yang boleh menghina pelajar.

13
12. Tunjukkan kasih sayang, perhatian , penerimaan dan kemesraan terhadap
pelajar-pelajar yang diajar.
13. Adakan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan konsep kendiri pelajar.
14. Luangkan masa untuk mendengar masalah para pelajar. Jika anda tidak
berupaya membantu pelajar yang menghadapi masalah yang serius,
rujukkanlah kepada kaunselor sekolah.
15. Kelolakan kursus motivasi dari semasa ke semasa. Motivasi yang tinggi akan
mendorong seseorang ke arah pencapaian yang lebih baik. Ini akan
meningkatkan keyakinan diri seseorang. Individu yang lebih berkeyakinan
biasanya kurang mengalami kebimbangan.

Tingkah Laku Murung


Kemurungan merujuk kepadan satu-satu keadaan yang amat sedih (Kamus
Dewan,1994:846). Ia boleh dialami oleh sesiapa jua. Pelajar yang mengalami
kemurungan tidak berupaya berfungsi dengan baik di dalam bilik darjah. Dia
akan sentiasa termenung dan berkhayal. Ini akan menyebabkan pelajarannya
terganggu akibat kemurungan tersebut.
Ada beberapa faktor yang menyebabkan kemurungan berlaku;
1. Masalah keluarga. Keluarga yang kurang harmoni akan menyebabkan
seseorang pelajar mengalami kemurungan. Sekiranya kedua ibu bapa sentiasa
berkelahi, anak-anak akan turut berasa sedih dan terganggu emosi mereka.
2. Kurang penerimaan. Pelajar yang kurang diterima oleh rakan-rakan
sekelasnya akan merasa kekurangan sesuatu. Ini akan menyebabkan dia
berasa rendah diri dan sedih kerana tidak popular.
3. Kegagalan mencapai sesuatu. Seseorang pelajar yang gagal mencapai gred
atau markah yang diimpikan akan mengalami kemurungan sekiranya
kesedihannya berlanjutan.
4. Konflik dengan ibu bapa. Pelajar yang mengalami perselisihan faham dengan
ibu atau bapa juga akan berasa sedih. Dia akan mengalami perasaan tegang
apabila menghadapi ibu bapa di rumah. Jika keadaan berlanjutan akan
mengganggu pembelajaran pelajar di dalam bilik darjah.
5. Kekurangan kasih sayang ibu bapa. Ibu bapa yang jarang berada di rumah
akan menyebabkan anaknya sentiasa berasa kekosongan dan menganggap ibu

14
bapa tidak menyayanginya. Hal ini menyebabkan pelajar tersebut mengalami
kemurungan.

Bagaimana Guru Dapat Mengurangkan Tingkah Laku Murung di Kalangan


Pelajar
Untuk mengurangkan tingkah laku murung dikalangan pelajar terdapat beberapa
cadangan untuk mengatasinya antaranya ialah:
1. Rujukkan pelajar berkenaan kepada guru kaunseling.
2. Dedahkan pelajar ini kepada latihan menenangkan diri.
3. Galakkan dia berkongsi masalah dengan rakan karib.
4. Libatkan pelajar tersebut dalam aktiviti kumpulan supaya dia tidak terus
berkhayal.
5. Galakkan pelajar menyertai aktiviti yang boleh mendatangkan kepuasan dan
perasaan kejayaan.
6. Minta pelajar-pelajar lain mendampingi pelajar berkenaan dengan tujuan
membantunya dari segi sosioemosi.
7. Berikan pelajar sedikit masa untuk menenangkan diri jika dia tidak ingin
mengambil bahagian dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
8. Tunjukkan layanan dan perhatian terhadap pelajar berkenaan.
9. Berikan dia harapan bahawa peristiwa yang pahit itu sudah berlalu. Dia
seharusnya berfikir secara rasional untuk menghadapi cabaran-cabaran hidup
yang lain.
10. Minta kerjasama guru-guru lain agar memberi sokongan kepada pelajar
berkenaan.
11. Adakan sesi temu bual dengan ibu bapa pelajar berkenaan. Minta mereka
tunjukkan perhatian dan layanan sepanjang tempoh kemurungan yang dilalui
oleh anak mereka.

Pengunduran Diri
Pengunduran diri bermakna penarikan diri daripada suatu situasi yang kurang
selamat atau mengancam. Contohnya, Siti , seorang pelajar yang pemalu
dikatakan membuat pengunduran diri apabila dia menolak untuk membuat
pembentangan hasil kerja kumpulannya kerana bimbang penyampaiannya tidak
menarik atau tidak tepat.. Dengan itu, lebih selamat bagi Siti untuk membuat

15
pengunduran diri. Dalam keadaan ini, pengunduran diri digunakan oleh Siti
sebagai satu jenis helah bela diri.
Kadangkala, pengunduran diri juga dilakukan untuk berfikir dan mencari jalan
penyelesaian terhadap satu-satu masalah. Dalam bilik darjah, pengunduran diri
adalah nyata apabila seseorang pelajar tidak berupaya menjawab soalan guru.
Pengunduran diri boleh menyebabkan beberapa kesan yang buruk seperti
berikut:
1. Pelajar tidak yakin untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar lain.
2. Menyebabkan pembentukan konsep diri yang rendah.
3. Pelajar sukar menyesuaikan diri dengan keadaan baru.
4. Perkembangan sosial, emosi dan intelek boleh terjejas akibat pengunduran
diri.
5. Pengunduran diri, boleh menjadikan seseorang individu itu kurang popular.
Lama kelamaan, dia akan berasa terancam dan kurang selamat di dalam kelas.
6. Individu yang mengamalkan pengunduran diri kurang berupaya untuk
menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya. Akibatnya, dia akan
sentiasa mengalami kebimbangan dan ketakutan.

Bagaimana Guru Dapat Mengurangkan Masalah Pengunduran Diri


1. Adakan aktiviti-aktiviti yang menarik dan digemari oleh pelajar.
2. Pastikan aras pencapaian yang ditetapkan tidak terlalu tinggi. Penekanan
berlebihan terhadap pencapaian yang tinggi boleh menyebabkan pelajar berundur
diri.
3. Pelbagaikan jenis aktiviti agar pelajar yang mempunyai kebolehan pelbagai
mempunyai peluang untuk merasai nikmat kejayaan.
4. Bantu pelajar yang mengalami kesulitan ketika menguruskan sesuatu projek atau
tugasan.
5. Elakkan daripada menghukum pelajar jika dia kurang berjaya dalam sesuatu
aktiviti pengajaran-pembelajaran. Sebaliknya, bimbingan dan tunjuk ajar perlu
diberikan.
6. Galakkan penyertaan pelajar yang maksimum. Pastikan kebanyakan pelajar
diberi peluang untuk menyertai aktiviti guru.
7. Ganjaran dan pujian perlu diberikan kepada kebanyakan pelajar. Ini akan
mendorong para pelajar untuk terus menyertai aktiviti guru.

16
8. Adakan perbincangan dengan ibu bapa yang agresif, iaitu yang sentiasa
mendenda, mengerah, memukul dan bertindak keterlaluan terhadap anak-anak.

Tingkah Laku Pengasingan Diri


Seseorang pelajar yang kerap kali mengasingkan diri perlu diberi perhatian oleh guru.
Amalan seperti ini mungkin disebabkan oleh personaliti pelajar sendiri yang tidak
gemar bercampur gaul dengan rakan-rakan di dalam kelas. Dia mungkin tidak
diterima oleh pelajar lain. Pelajar seperti ini juga didapati mempunyai harga diri yang
rendah yang akan mengakibatkan masalah-masalah lain yang mana pelajar berkenaan
akan cenderung menunjukkan tingkah laku antisosial bagi tujuan mendapatkan
perhatian atau layanan guru.

Bagaimana Guru Dapat Membantu Pelajar Yang Mengasingkan Diri


1. Libatkan pelajar berkenaan dengan aktiviti-aktiviti kumpulan.
2. Pilih aktiviti yang sesuai dengan kebolehan pelajar berkenaan untuk
membolehkannya menikmati kejayaan.
3. Berusaha untuk meningkatkan harga dirinya. Guru harus memuji pelajar
tersebut bagi tugasan yang disiapkan.
4. Adakan sesi kaunseling dengan pelajar berkenaan, kenal pasti punca yang
menyebabkan dia mengasingkan diri.
5. Jika didapati pelajar ini tidak diterima oleh rakan-rakan sekelasnya, guru perlu
berusaha untuk mendapatkan sokongan dan bantuan daripada kelas agar
menerima pelajar berkenaan.
6. Jika terdapat ciri peribadi pelajar yang kurang sihat seperti suka
memperagakan diri, sifat ini perlu dikikis melalui kaunseling.
7. Dedahkan murid berkenaan kepada kemahiran-kemahiran berkomunikasi agar
dia dapat berinteraksi dengan lebih berkesan.
8. Dedahkan murid in i kepada kemahiran antara individu agar dia lebih mudah
diterima oleh rakan-rakannya.

TINGKAH LAKU POSITIF YANG DIANGGAP BERMASALAH


Sesetengah pelajar akan bertindak dengan segera sebelum mendapat arahan.
Misalnya, dalam membuat ujikaji, ada pelajar yang ingin mengetahui hasilnya dengan
segera. Oleh itu, ia akan mula bertindak sebelum mendapat arahan yang jelas. Ini

17
merupakan tingkah laku proaktif. Tingkah laku seperti ini adalah positif tetapi boleh
menimbulkan masalah yang lain. Tanpa arahan yang jelas dan tepat, kemalangan
boleh berlaku terutamanya di dalam makmal. Selain tingkah laku proaktif, tingkah
laku-tingkah laku lain dalam kategori ini sendiri daripada tingkah laku ingin tahu,
cepat belajar dan pintar cerdas.

Tingkah Laku Dorongan Naluri Ingin Tahu


Naluri ingin tahu terdapat pada setiap individu. Pada peringkat awal, kanak-kanak
akan bergerak menuju ke arah bungkusan yang terletak di atas meja. Seterusnya, dia
akan mengoyakkan pembalut bungkusan tersebut untuk melihat barang yang terdapat
di dalamnya. Perbuatan seperti ini akan menyebabkan pelajar bertindak dengan cepat
tanpa menerima arahan daripada guru. Tingkah laku seperti ini boleh menimbulkan
situasi berbahaya terutamanya di dalam makmal.

Bagaimana Guru Dapat Mengawal Tingkah Laku Dorongan Naluri Ingin Tahu
1. Sediakan satu set peraturan bilik darjah atau makmal yang jelas dan mudah
dipatuhi.
2. Tekankan kepentingan mematuhi arahan pada diri pelajar berkenaan.
3. Para pelajar dilarang masuk ke makmal sebelum ketibaan guru. Ini dapat
mengelakkan uji kaji dijalankan tanpa sebarang pengawasan disebabkan
naluri ingin tahu.
4. Gunakan naluri ingin tahu pelajar secara positif. Pastikan setiap pelajaran
mengandungi unsur suspens agar dapat menarik minat pelajar.
5. Gunakan permainan dan kaedah pertanyaan dalam pengajaran. Kaedah
pengajaran seperti ini akan memenuhi keperluan pelajar.

Tingkah Laku Murid Cepat Belajar


Pelajar dalam kategori ini biasanya akan dapat memahami sesuatu konsep
dengan cepat. Oleh itu, jika guru mengulangi penerangannya, pelajar yang cepat
belajar ini akan berasa bosan dan tidak akan memberi penumpuan lagi. Lantaran itu,
mereka mula menimbulkan pelbagai jenis gangguan. Mereka mungkin mengusik
rakan yang duduk di sebelah atau di hadapan mereka. Ada pula yang melemparkan
kapal terbang mainan ke arah rakan. Kenakalan seperti ini tentu akan menjejaskan
kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

18
Bagaimana Guru Dapat Menangani Masalah Murid Cepat Belajar.
1. Merancang suatu projek individu bersama-sama pelajar cepat belajar
berkenaan. Selepas pelajar menyelesaikan tugasannya, dia boleh diberi
kepercayaan untuk mengendalikan projek tersebut.
2. Sediakan aktiviti pengayaan sama ada pengayaan mendatar atau menegak
untuk pelajar berkenaan. Pengayaan mendatar bermakna pelajar itu akan
didedahkan kepada lebih banyak soalan atau latihan yang mempunyai aras
kesukaran yang hampir sama. Sementara pengayaan menegak pula
melibatkan pemberian soalan yang lebih susah.
3. Pelajar cepat belajar perlu digalakkan supaya membaca dan menulis bahan
bacaan tambahan. Masa terluang boleh digunakan untuk membaca buku-buku
cerita atau menulis karangan atau cerpen.
4. Galakkan pelajar seperti ini melibatkan diri dalam hobi-hobi yang kreatif dan
menarik.
5. Pelajar cepat belajar juga boleh diminta untuk membantu rakan-rakan yang
lembap. Ini dapat dilakukan dengan bimbingan guru kelas.

Tingkah Laku Pelajar Pintar Cerdas


Pelajar pintar cerdas mempunyai kebolehan atau potensi dalam aktiviti intelek seperti
pemikiran abstrak, pemikiran logik, kemahiran lisan dan mempunyai daya reka cipta
yang tinggi. Daya ingatan pelajar seperti ini adalah tinggi. Pelajar dalam golongan
ini juga mempunyai bakat khas dalam matematik, sains, seni lukis, penulisan, muzik
dan hubungan manusia. Pendek kata, ciri-ciri pelajar yang pintar cerdas adalah
seperti berikut:
1. Keupayaan untuk berfikir secara kreatif.
2. Mempunyai kebolehan intelek am.
3. Memiliki kebolehan akademik khas.
4. Berkebolehan dalam satu atau lebih bidang kesenian.
5. Mudah menyesuaikan diri dari segi sosial dan emosi.
6. Berupaya untuk memimpin.
7. Berpandangan jauh.
Oleh kerana pelajar pintar cerdas mempunyai kebolehan intelek yang tinggi,

19
mereka cepat mencapai pemahaman terhadap konsep-konsep yang disampaikan. Ini
menyebabkan mereka akan berasa cepat bosan sekiranya kaedah pengajaran guru
adalah lambat dan tidak menarik. Kebosanan ini akan menyebabkan mereka
menimbulkan pelbagai jenis masalah dalam bilik darjah. Ini bermakna proses
pengajaran dan pembelajaran akan terjejas sekiranya keperluan pelajar pintas cerdas
tidak dipenuhi.

Bagaimana Guru Dapat Membantu Pelajar Pintar Cerdas


1. Sediakan aktiviti pengayaan mendatar dan menegak bagi pelajar seperti ini.
2. Bantu mereka menyediakan projek kajian individu. Projek ini diharapkan
dapat mengisi masa terluang mereka.
3. Perkenalkan hobi-hobi yang kreatif kepada mereka. Masa terluang boleh
digunakan untuk menjalankan hobi-hobi seperti ini.
4. Benarkan pelajar berkenaan membuat rujukan dan bacaan tambahan bagi
mengisi masa terluang.
5. Galakkan pelajar berkenaan membantu pelajar-pelajar lain menyelesaikan
masalah.
6. Sediakan permainan pendidikan seperti scrabble dan mastermind untuk
mereka. Kegiatan-kegiatan seperti ini akan mengisi masa terluang mereka dan
seterusnya mengelakkan mereka daripada menimbulkan gangguan di dalam
bilik darjah.

Tingkah Laku Pelajar Proaktif


Pelajar-pelajar seperti ini sentiasa aktif dan bertindak dengan penuh semangat.
Mereka jarang menunggu arahan untuk melakukan sesuatu. Contohnya, selepas
sahaja memerhati satu demonstrasi di dalam makmal, mereka akan ingin menjalankan
uji kaji itu dengan serta merta. Tingkah laku ini boleh menimbulkan masalah kerana
tanpa arahan yang jelas, kemalangan boleh berlaku. Ini seterusnya akan
menyebabkan kecederaan kepada pelajar di dalam makmal. Oleh itu, guru perlu
bertindak untuk memenuhi keperluan pelajar yang proaktif.

Bagaimana Guru Dapat Menangani Masalah Pelajar Proaktif


1. Tekankan kepentingan mematuhi arahan dan peraturan kepada pelajar
proaktif.

20
2. Pastikan latihan yang diberi mengandungi bilangan soalan yang mencukupi.
3. Berikan peluang kepada pelajar proaktif untuk menyertai aktiviti-aktiviti
pengajaran dan pembelajaran.
4. Berikan tanggungjawab tambahan kepada pelajar proaktif seperti menjadi
ketua kumpulan bagi mengendalikan perbincangan berkumpulan atau aktiviti
berkumpulan yang lain.
5. Benarkan pelajar berkenaan membaca buku cerita atau bahan pelajaran yang
lain sekiranya dia telah menyempurnakan tugasan yang diberikan oleh guru.
6. Jika pelajar berkenaan telah memahami satu-satu konsep itu dengan baik dan
jelas, benarkan dia membantu rakan-rakan lain.

Kesimpulan
Para pelajar harus mempunyai rasa hormat menghormati antara satu sama lain
untuk menambahkan lagi rasa kemesraan di dalam bilik darjah. Dalam bilik darjah
juga mesti ada peraturan dan disiplin agar aktiviti pembelajaran dapat berjalan dengan
teratur dan berkesan. Sikap tolong menolong perlu diwujudkan untuk membantu
mereka yang menghadapi kerumitan dan masalah. Keluar masuk bilik darjah
dilakukan dengan cara yang teratur dan mendapat kebenaran guru dan segala kerja
yang dilakukan hendaklah dijalankan dengan sempurna. Semua ini merupakan
keharmonian hidup bermasyarakat dan bertatasusila. Ini adalah kerana generasi pada
masa sekarang yang akan mencorakkan negara pada tahun 2020 nanti.
Kesimpulannya, tingkah laku yang baik adalah sangat penting dalam hidup
kerana ia adalah suatu peraturan yang mana manusia umumnya akur dengan norma-
norma yang diterima dan diakui ramai. Bagi pelajar-pelajar yang belajar di dalam
satu bilik darjah, disiplin yang baik dapat memberikan suasana aman damai dan
teratur supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan baik.
Namun, secara realitinya, sekolah menghadapi banyak masalah disiplin kerana
terdapat pelajar yang sering melanggar peraturan yang ditetapkan. Pelbagai kesalahan
dilakukan sama ada berat ataupun ringan yang semakin meningkat peratusannya di
sekolah-sekolah.
Oleh itu penonjolan sikap-sikap positif seperti menepati masa, rajin,
berinisiatif, berdiplomasi bersikap penyayang, mematuhi peraturan, bersedia memberi
bantuan; dan seumpamanya perlu sentiasa wujud dalam penampilan setiap guru.

21
Dengan itu, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa guru adalah satu unsur yang
sama pentingnya dengan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah. Seorang guru mempunyai peranan dan tanggungjawab bukan sahaja
setakat mengajar tetapi juga mendidik iaitu membentuk sikap, nilai dan akhlak pelajar
melalui pelaksanaan disiplin yang baik. Sekiranya guru mempunyai sifat dedikasi
dan sikap positif, membina lagi menggalakkan, bukan sahaja pada tanggungjawab dan
tugasnya bahkan pada pelajar serta dirinya sendiri, satu disiplin yang baik dapat
dicapai. Akhir kata, bentuk manusia yang ingin dilahirkan oleh sistem pendidikan
telah digambarkan oleh Falsafah Pendidikan Negara. Manakala Wawasan 2020 pula
menggariskan bentuk masyarakat yang ingin dibangunkan dalam abad ke-21 iaitu
masyarakat istimewa yang serba maju. ;

22

You might also like