You are on page 1of 16

Penggubalan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Mata Pelajaran Sains:


Pengalaman Penggubal Kurikulum
Zainon Abd Majid1, Nuraini Abu Bakar2, Kamarul Azlan Ahmad3,
Kumutha a/p Krishnamoorthy4
Sektor Sains & Matematik,
Bahagian Pembangunan Kurikulum
1
zainon.majid@moe.gov.my, 2nuraini.abubakar@moe.gov.my,
3
kamarul.ahmad@moe.gov.my, 4kumutha@moe.gov.my

Abstrak

Pendidikan sains di Malaysia bertujuan menghasilkan murid yang boleh menguasai ilmu sains
dan berketrampilan teknologi, telah ditekankan sejak pelaksanaan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah (KBSR). Dalam proses transformasi kurikulum, penandaarasan telah dibuat
dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan
kebangsaan yang dibangunkan setanding dengan pendidikan negara maju. Transformasi ini
telah melahirkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang masih berpegang kepada
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan prinsip dalam KBSR. Pembangunan KSSR sains sekolah
rendah yang dibuat secara menyeluruh dari aspek reka bentuk, kerangka konsep, matlamat,
objektif, organisasi kandungan, peruntukan masa, pedagogi serta pentaksiran telah bermula
sejak tahun 2011. Kertas ini seterusnya mengupas secara terperinci proses yang terlibat
semasa penggubalan kurikulum KSSR Sains terutamanya dari sudut konsep dan prinsip
penulisan berdasarkan pengalaman penggubal kurikulum itu sendiri.

Kata Kunci: KSSR, kurikulum sains sekolah rendah, penandaarasan, big idea, standard
pembelajaran

PENGENALAN

Kurikulum Sains di Malaysia yang bermula dari sebelum merdeka telah melalui
beberapa perubahan bagi disesuaikan dengan perkembangan dalam dunia pendidikan yang
berlaku di dalam dan luar negara sehinggalah kepada kurikulum terkini yang diguna pakai
dalam sistem persekolahan Malaysia sekarang.
Falsafah Pendidikan Sains Kebangsaan (FPSK) menyatakan “Selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, pendidikan sains di Malaysia bertujuan memupuk budaya Sains dan
Teknologi dengan memberi tumpuan kepada perkembangan individu yang kompetitif, dinamik,
tangkas dan berdaya tahan serta dapat menguasai ilmu sains dan ketrampilan teknologi”.
Berdasarkan falsafah yang dinyatakan ini, pembangunan Kurikulum Sains di Malaysia
memberi fokus kepada usaha merealisasikan hasrat FPSK dalam menghasilkan murid yang
dapat menguasai ilmu sains dan teknologi. Penandaarasan yang dibuat oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kurikulum negara-negara maju serta penandaarasan yang
dibuat oleh pihak ketiga juga turut diambil kira dalam pembangunan kurikulum sains negara
kita. Transformasi yang dibuat dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) adalah
untuk memenuhi aspirasi negara seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM 2013 - 2025). Sehubungan dengan itu, penulisan ini berfokuskan kepada
proses pembangunan kurikulum Sains Sekolah Rendah bagi KSSR yang bermula pada 2011
mengikut pengalaman sebenar pengubal kurikulum.
LATAR BELAKANG

Sejak daripada sebelum era Perang Dunia Kedua lagi, pendidikan sains telah diberikan
tempat dalam sistem pendidikan di Malaysia. Selepas merdeka sehinggalah sebelum
Rancangan Malaysia Kedua, Sains dijadikan mata pelajaran wajib bagi semua murid dalam
sistem persekolahan di negara ini. Sebagai sebuah negara bekas jajahan British yang baru
merdeka pada tahun 1957, Malaysia telah mengadaptasi sistem pendidikan British. Menurut
Lee (1992) dan Tan (1991), tiga buah kurikulum sains telah diadaptasi, iaitu The Scottish
Integrated Science Syllabus for Lower Secondary School, The Nuffield Secondary School
Science Curriculum for the Non-Science Stream of Upper-secondary School, dan The Nuffield
O Levels Pure Science Syllabus for the Upper-secondary Science Stream. Kurikulum ini
digunakan mulai tahun 1968 sehingga tahun 1981. Adaptasi kurikulum sains daripada Britain
ke dalam pendidikan Malaysia berlaku kerana kekurangan pakar dari dalam negara pada masa
itu, sesuai dengan status negara yang baru merdeka.
Setelah lebih kurang dua dekad merdeka, negara memutuskan supaya pendidikan di
Malaysia mempunyai kurikulum yang dibina berasaskan acuan sendiri, bagi memenuhi
keperluan negara yang sedang membangun. Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan untuk
mengkaji pelaksanaan dasar pelajaran dalam Rancangan Malaysia Kedua. Jawatankuasa ini
mengeluarkan satu laporan yang dipanggil Laporan Kabinet pada tahun 1979 untuk menyahut
cabaran sains dan teknologi serta Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya KBSR dan KBSM
dilancarkan menjadikan Sains sebagai mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua
murid dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 (11 tahun persekolahan).
Sepanjang pelaksanaan KBSR dan KBSM terdapat banyak intervensi yang dijalankan
oleh pihak KPM dalam usaha menambahbaik pendidikan sains di Malaysia. Antara usaha
terbesar yang dijalankan oleh KPM yang melibatkan pendidikan sains ialah penubuhan sekolah
Bestari serta Pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Semasa pelaksanaan Sekolah Bestari dan PPSMI kurikulum KBSR masih diguna pakai dengan
pengubahsuaian dibuat kepada kurikulum KBSR untuk disesuaikan dengan konsep sekolah
Bestari dan PPSMI. Pada tahun 2009, KPM telah mengambil keputusan untuk memansuhkan
PPSMI dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), walau bagaimanapun murid masih
mengikuti kurikulum sains KBSR yang sama.
Berdasarkan kepada maklum balas dan cadangan yang dikumpulkan sepanjang
pelaksanaan KBSR dan KBSM daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan
Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu bapa pada tahun 2010 KPM telah memulakan
usaha secara rasmi untuk mentransformasikan KBSR kepada kurikulum baru yang dikenali
sebagai KSSR seiring dengan penyediaan PPPM. KSSR telah dilancarkan secara berperingkat
di semua sekolah rendah mulai tahun 2011 bermula dengan murid Tahun 1.

Rasional perubahan dalam kurikulum Sains Sekolah Rendah

Kurikulum Sains Sekolah Rendah telah melalui beberapa siri perubahan dan penambahbaikan.
Seiring dengan perkembangan dalam kaedah saintifik pada awal tahun 1900an, para pendidik
dalam bidang sains telah menekankan bahawa wujudnya satu set kemahiran yang digunakan
oleh saintis untuk menyelesaikan masalah. Kemahiran ini juga dilabelkan sebagai pemikiran
kritikal, penyelesaian masalah, pemikiran saintifik dan kemahiran proses sains (Padilla, Cronin
& Twiest, 1985). Bersandarkan aliran pemikiran ini, Kurikulum Sains KSSR dibina dengan
memastikan pemerolehan pengetahuan sains berlaku melalui penerapan kemahiran yang
digunakan oleh saintis di seluruh dunia menerusi aktiviti PdP. KPM berpandangan, penekanan
kepada kemahiran saintifik ini dalam kurikulum perlu dinyatakan secara eksplisit, seperti yang
dilaksanakan di negara-negara lain bagi membolehkan kurikulum sains negara kita diletakkan
setanding dengan kurikulum sains di peringkat global.
Justeru itu, Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009
telah memberikan kelulusan untuk membangunkan kurikulum baru dan dinamakan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (BPK, 2019). Pembangunan KSSR ini masih berasaskan prinsip
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan masih berlandaskan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis telah dilakukan
di sekolah rendah terpilih di seluruh negara bagi melihat kebolehlaksanaan kurikulum yang
baharu dibangunkan.

KURIKULUM SAINS DALAM KSSR

Pembangunan kurikulum Sains dalam KSSR dibuat secara menyeluruh, merangkumi aspek
reka bentuk, kerangka konsep, matlamat, objektif, organisasi kandungan, peruntukan masa,
pedagogi serta pentaksiran.

Kerangka konsep KSSR Sains

Kurikulum Sains merangkumi tiga domain iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Ketiga-
tiga domain ini perlu dilalui oleh murid melalui pendekatan inkuiri bagi menghasilkan individu
yang fikrah sains. Individu yang fikrah sains dapat dilahirkan dengan memberi peluang kepada
mereka untuk memperoleh pengetahuan tentang sains, kemahiran dan nilai melalui pengalaman
pembelajaran yang dapat menanam rasa tanggungjawab terhadap persekitaran dan mensyukuri
penciptaan alam semulajadi. Murid yang berfikrah sains juga boleh memahami idea sains dan
berkomunikasi, seterusnya boleh mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran saintifik.
Kemahiran saintifik membolehkan murid untuk mencari jawapan kepada persoalan yang timbul
secara sistematik. Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif diperlukan untuk murid menilai
sesuatu idea dengan sistematik sebelum menerima idea tersebut di samping menerapkan sikap
saintifik dan nilai murni dalam diri murid. Kerangka ini digambarkan dalam Jadual 1.

Rajah 1: Kerangka Kurikulum Sains Rendah KSSR


Matlamat dan Objektif KSSR Sains
Matlamat KSSR Sains adalah untuk menanam minat dan mengembangkan kreativiti murid
melalui pengalaman dan penyiasatan bagi menguasai ilmu sains, kemahiran saintifik dan
kemahiran berfikir serta sikap saintifik dan nilai murni.

Objektif KSSR Sains bertujuan membolehkan murid mencapai perkara berikut:

1. Menggunakan pendekatan inkuiri untuk memenuhi sifat ingin tahu bagi mendapatkan
pengetahuan baharu dengan meneroka tentang dunia di sekeliling mereka.
2. Mengaplikasikan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
untuk menerangkan fenomena secara saintifik.
3. Memperoleh pengetahuan tentang fakta dan konsep sains yang lebih abstrak dan
kompleks.
4. Mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai secara kritis, kreatif dan analitis bagi
membuat keputusan, menyelesaikan masalah serta mereka cipta.
5. Membudayakan sikap saintifik dan nilai murni dalam kehidupan.
6. Menunjukkan sikap responsif dalam menjaga alam sekitar bagi menghadapi cabaran
di peringkat tempatan, negara dan global.

Organisasi KSSR Sains


Kandungan Kurikulum Sains disusun semula dan ditambah baik untuk memastikan murid
dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa.
KSSR Sains dari Tahun 1 hingga Tahun 6 dibangunkan mengikut enam tema iaitu Inkuiri
Dalam Sains, Sains Hayat, Sains Fizikal, Sains Bahan, Bumi dan Angkasa serta Teknologi dan
Kehidupan Lestari.
Setiap tema diorganisasikan berdasarkan kepada kecenderungan tema tersebut mengikut
bidang sains/kemahiran yang dihasratkan. Tema Inkuiri Dalam Sains mengandungi 12
Kemahiran Proses Sains (KPS) yang perlu dikuasai oleh murid. Tema tersebut merupakan satu
proses mental yang menggalakkan pemikiran secara kreatif, analitis dan sistematik. Tema Sains
Hayat menjurus kepada bidang biologi, tema Sains Fizikal kepada bidang fizik manakala tema
Sains Bahan kepada bidang kimia. Sementera itu, tema Bumi dan Alam Semesta dibangunkan
menjurus kepada sains bumi, Sistem Suria, buruj serta galaksi. Teknologi dan Kehidupan
Lestari ialah tema terakhir yang menjurus kepada penggunaan teknologi dengan mengambil
kira kesedaran yang perlu dipupuk di peringkat sekolah rendah bagi menjadikan kehidupan
yang lebih lestari.

KONSEP PENULISAN KURIKULUM SAINS SEKOLAH RENDAH

Proses dalam mereka bentuk kurikulum adalah satu perkara yang sangat penting,
kompleks dan sentiasa diperdebatkan dalam kalangan para pendidik mahu pun ahli akademik
(Eisner 1994, Tyler 1949). Kurikulum Sains Sekolah Rendah dibentuk berdasarkan beberapa
teori pembelajaran. Satu daripadanya ialah Teori Pembelajaran Kognitif Piaget. Menurut Piaget
(1952), isi kandungan pelajaran hendaklah disusun mengikut peringkat perkembangan kognitif
kanak-kanak iaitu daripada konkrit kepada abstrak, dekat kepada jauh, pengalaman yang sedia
ada kepada pengalaman baru, kasar kepada halus dan mengikut perkembangan individu (Mok
Soo Sang, 2009).
Berpandukan teori perkembangan kognitif ini, maka satu prinsip umum telah
dipersetujui dan digunakan dalam penggubalan kurikulum sains sekolah rendah di BPK dengan
mengambil kira beberapa kriteria seperti; penyusunan kandungan pembelajaran daripada
konkrit ke abstrak, mudah ke sukar, dekat ke jauh, kebolehan membuat perkaitan, keboleh
laksanaan, penyusunan kandungan pembelajaran secara spiral (pengalaman yang sedia ada
kepada pengalaman baru) dan penyusunan kandungan daripada umum kepada spesifik
(deduktif).
Panel penggubal telah mengambil kira aspek pendekatan konkrit ke abstrak, mudah ke
sukar, penyusunan kandungan pembelajaran secara spiral dan dijadikan panduan dalam
menyusun kandungan kurikulum, Jadual 1 menunjukkan contoh hasil penggubalan kandungan
kurikulum berdasarkan prinsip tersebut.

Jadual 1
Contoh hasil penggubalan kandungan Kurikulum Sains Sekolah Rendah
Tahun 2 Tahun 5

Litar elektrik Litar bersiri dan litar selari


 Mengenal pasti komponen dalam litar  Mengenal pasti susunan mentol secara
elektrik iaitu sel kering, mentol dan suis. bersiri dan selari dalam litar elektrik lengkap
 Menerangkan fungsi komponen dalam litar melalui pemerhatian menerusi pelbagai
elektrik lengkap. media.
 Membina litar elektrik lengkap dengan  Mengeksperimen untuk membezakan
menggunakan sel kering, mentol, suis dan kecerahan mentol dalam litar lengkap dgn
wayar penyambung. mengubah bilangan mentol.
 Meramal sebab mentol tidak menyala dalam  Mengeksperimen untuk membeza kecerahan
litar yang dibina. mentol dalam litar lengkap dengan
 Merekod nyalaan mentol dengan mengubah bilangan sel kering.
mengantikan suis dengan objek atau bahan  Membanding dan membeza kecerahan mentol
dengan menjalankan penyiasatan. dalam litar bersiri dan litar selari.
 Mengitlak objek yang boleh menyalakan  Menyatakan keadaan mentol apabila
mentol dalam litar adalah konduktor dan beberapa suis dalam litar bersiri dan litar
yang tidak menyalakan mentol adalah selari ditutup atau dibuka.
penebat.

Contoh dalam Jadual 1 diambil daripada DSKP KSSR (Semakan) Sains Sekolah
Rendah Tahun 2 dan DSKP KSSR (Semakan) Sains Sekolah Rendah Tahun 5 yang mana
penulisannya berlandaskan prinsip yang telah dipersetujui. Tajuk litar elektrik disusun secara
spiral iaitu litar elektrik ini diajar pada Tahun 2 dan Tahun 5. Walaupun masih berkisar kepada
tajuk yang sama, fokus dan kedalaman kandungannya adalah berbeza sesuai dengan peringkat
umur murid. Pada Tahun 2 murid mempelajari litar elektrik berdasarkan pemerhatian mereka
terhadap perkara yang mudah dan konkrit seperti membina litar elektrik lengkap dengan
menggunakan sel kering, mentol, suis dan wayar penyambung. Manakala padaTahun 5 murid
mempelajari konsep litar elektrik pada peringkat yang lebih kompleks dan abstrak seperti litar
bersiri dan litar selari dengan mengambil kira murid telah mempelajari tentang litar elektrik
asas padaTahun 2 juga murid telah mempunyai pengetahuan asas tentang maksud garis selari
yang dipelajari dalam KSSR Matematik pada Tahun 4. Murid juga telah mempelajari dan boleh
melukis litar elektrik dengan menggunakan simbol dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan
Teknologi pada Tahun 4. Pengalaman murid melukis litar elektrik menggunakan simbol sangat
diperlukan bagi mereka memahami susunan mentol dan suis dalam litar bersiri dan litar selari.
Dalam contoh di atas juga, dapat dilihat murid Tahun 2 hanya perlu menguasai KPS
asas iaitu meramal dan berkomunikasi (merekod) manakala pada Tahun 5 murid perlu
menguasai KPS yang tertinggi iaitu mengeksperimen. Pada tahap ini, murid harus
mengaplikasikan sekurang-kurangnya tujuh KPS yang lain iaitu, memerhati, mengukur
mengguna nombor, membuat inferens, berkomunikasi, mentafsir data, mengawal pemboleh
ubah serta membuat hipotesis bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran
mengeksperimen. Dalam contoh ini, penulisan kurikulum masih lagi berpegang kepada konsep
boleh laksana yang sesuai bagi peringkat umur murid. Contoh di atas juga menunjukkan pada
Tahun 5 murid dikehendaki membuat perkaitan yang lebih kompleks iaitu antara keadaan
nyalaan/kecerahan mentol dalam litar bersiri dan litar selari dengan penggunaan suis.
Keupayaan murid membuat keputusan yang abstrak dan kompleks telah diambil kira dalam
penyusunan tajuk dalam penggubalan kurikulum ini.
Teori Pembelajaran Resepsi David P. Ausubel pula menyatakan pembelajaran
bermakna ialah satu proses yang membolehkan murid sendiri sedar bahawa bahan
pembelajaran yang dipelajari adalah berguna untuknya. Sekiranya murid hanya mempunyai
tujuan untuk menghafaz sahaja, hasil pembelajarannya akan berupa hafalan dan tidak memberi
bermakna kepada mereka (Mok Soo Sang, 2008).
Walaupun kandungan kurikulum Sains Sekolah Rendah disusun mengikut tema,
terdapat keperluan untuk guru membimbing murid membuat perkaitan (making connections)
antara tema/tajuk supaya pembelajaran tersebut menjadi bermakna (make sense) kepada murid
dan berguna khususnya dalam konteks aplikasi kehidupan seharian. Sekiranya pembelajaran
murid hanya sekadar menghafal, hasil pembelajarannya tidak akan memberi makna kepada
mereka. (Mok Soo Sang, 2008). Jadual 2 menunjukkan contoh susunan kandungan KSSR Sains
dalam Standard Kandungan (SK) dan Standard Pembelajaran (SP) disusun secara berperingkat
mengikut tahun supaya Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) menjadi bermakna kepada murid.

Jadual 2
Contoh Susunan Kandungan KSSR Sains

Tahun 4 Tahun 5 Tahun 6


SK:4.2 SK:3.3 SK: 5.1
Fotosintesis Hubungan Makanan Antara Pemeliharaan dan Pemuliharaan
Hidupan untuk Keseimbangan Alam

SP: 4.2.4 SP:3.3.3 SP:5.1.6


Menaakul kepentingan Merumus tentang hubungan Mengumpul maklumat tentang
fotosintesis terhadap tumbuhan makanan antara hidupan termasuk kesan pemeliharan dan
dan hidupan lain proses fotosintesis dari segi pemuliharaan haiwan dan
perpindahan tenaga tumbuhan yang mengalami
ancaman kepupusan

Merujuk kepada Jadual 2, dapat dilihat strategi penyusunan kandungan kurikulum


mengikut tahun pengajian. Walaupun tahun pengajian tidak sama dan tajuk juga berlainan,
kandungan bagi setiap tahun pengajian boleh dihubungkan dengan satu faktor sepunya.
Akhirnya murid boleh membuat hubung kait tentang pengetahuan yang mereka perolehi pada
peringkat rendah dengan pengetahuan yang diperolehi pada peringkat yang lebih tinggi.Apabila
murid boleh membuat perkaitan, pemerolehan pengetahuan akan menjadi lebih bermakna
kepada murid.
Contoh dalam Jadual 2 menunjukkan pada Tahun 4 murid mengetahui proses
fotosintesis membekalkan makanan kepada tumbuhan serta menyerap karbon dioksida dan
membebaskan oksigen. Pada Tahun 5 pula, murid mempelajari bahawa makanan yang terhasil
daripada proses fotosintesis merupakan sumber tenaga utama bagi semua hidupan. Murid
mempelajari bahawa hidupan di Bumi dihubungkan melalui siratan makanan. Seterusnya
apabila murid berada pada Tahun 6, murid menggunakan pengetahuan yang dipelajari pada
Tahun 4 dan 5 untuk menjana idea tentang kesan pemeliharan dan pemuliharaan haiwan dan
tumbuhan daripada aspek bekalan oksigen dan bekalan makanan untuk menghasilkan tenaga.
Faktor sepunya dalam contoh ini ialah menjaga keseimbangan alam. Sekiranya murid dapat
membuat satu perkaitan antara fotosintesis, siratan makanan serta kepentingan pemeliharan dan
pemuliharaan haiwan dan tumbuhan dalam menjaga keseimbangan alam, pengetahuan yang
diperolehi akan memberi makna kepada mereka dan akan kekal dalam minda seterusnya boleh
diaplikasikan dalam kehidupan harian mereka.

Penulisan Kurikulum Sains Sekolah Rendah KSSR

Setelah konsep kurikulum Sains Sekolah Rendah ditentukan seperti kerangka konsep
KSSR Sains serta prinsip umum yang telah dipersetujui, terdapat beberapa peringkat lagi yang
lebih detail dan teknikal perlu dijalankan sebelum dan semasa penggubalan kurikulum tersebut
dijalankan seperti proses menentukan big idea bagi sesuatu topik, merangka perincian topik,
pemilihan kata kerja dan menentukan pentaksiran. Peringkat ini tidak semestinya berjalan
secara linear iaitu selepas selesai satu peringkat panel penggubal akan ke peringkat seterusnya.
Peringkat yang telah ‘siap’ berkemungkinan perlu dilihat semula daripada peringkat awal
sekiranya terdapat cadangan lain atau idea yang baik atau lebih praktikal sebelum diteruskan.
Cadangan-cadangan atau idea baru ini diperolehi dengan merujuk banyak sumber seperti
kurikulum luar negara, buku-buku teks dari luar negara, bahan-bahan kursus yang pernah
dihadiri.

Penentuan kandungan kurikulum Sains


Peringkat terawal dalam pembangunan kurikulum Sains rendah bermula dengan
mengenal pasti dan menentukan kandungan Sains yang hendak diajarkan kepada murid sesuai
dengan tahap kognitif mereka dari usia 7 hingga 12 tahun. Seringkali panel penggubal
kurikulum sains rendah ditanya, mengapa tajuk ini dimasukkan, mengapa tajuk ini tidak
digugurkan dan pelbagai persoalan. Cabaran terbesar dalam penulisan kurikulum adalah untuk
menjawab persoalan seperti berikut:
 Apakah topik yang murid perlu belajar?
 Mengapakah topik itu diajar?
 Bilakah murid patut belajar topik tersebut?
 Bagaimanakah pengajaran tersebut boleh ditaksir?

Proses penentuan kandungan untuk kurikulum Sains Sekolah Rendah, adalah hasil
daripada penandaarasan yang telah dibuat dengan mengkaji kurikulum negara lain khususnya
negara yang berada di kedudukan teratas dalam Trend in International Mathematics and
Science Study (TIMSS) Grade 4 dan juga trend global dalam pendidikan. Penandaaras
antarabangsa yang telah dibuat bagi memastikan murid di negara ini memperoleh pengetahuan
dan kemahiran yang mereka perlukan dalam abad ke-21. Di samping itu penandaarasan
kurikulum Sains sekolah Rendah juga dibuat oleh pihak ketiga iaitu Pearson dalam laporan
yang bertajuk Benchmarking Review of the Malaysian Primary School Curriculum &
Assessment, Dec 2013. Laporan ini mencadangkan beberapa perkara tentang kurikulum Sains
Sekolah Rendah iaitu keperluan menggunakan kata kerja yang lebih tinggi bagi sesuatu hasil
pembelajaran bagi menunjukkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang perlu dicapai
oleh murid. Selain daripada itu laporan ini juga menyarankan supaya KPM menyediakan
panduan dan bimbingan bagaimana guru perlu menjalankan pendekatan inkuiri bagi membantu
murid dalam pemerolehan pengetahuan di samping penguasaan KBAT dan juga penerapan
kemahiran abad ke 21.
Selain daripada penandaarasan yang dibuat, KPM juga mengambil kira input yang
diperolehi sepanjang pelaksanaan sains KBSR dan trend global dalam pendidikan bagi
memenuhi hasrat negara. Sebagai contoh, merujuk pada kerangka TIMSS Grade 4 tahun 2011
menunjukkan topik sistem peredaran darah manusia terdapat dalam kurikulum sains sekolah
rendah di kebanyakan negara yang menyertai TIMSS Grade 4 tetapi dalam KBSR topik ini
tidak diperkenalkan kepada murid sekolah rendah di Malaysia. Justeru, menyedari
kelompangan ini, panel penggubal kurikulum melihat satu keperluan untuk memasukkan topik
Sistem Peredaran Darah Manusia sebagai salah satu kandungan baharu dalam KSSR Sains.
Selain itu, perbandingan juga dibuat dengan melihat kedalaman topik ini dengan merujuk
kurikulum sains sekolah rendah di beberapa buah negara lain seperti yang ditunjukkan dalam
Jadual 3.

Jadual 3
Perbandingan Kedalaman Topik Sistem Peredaran Darah dalam Kurikulum antara Negara

TAJUK KERANGKA MALAYSIA UK FILIPINA SINGAPURA


TIMSS
Sistem √ X √ √ √
Peredaran  Fungsi struktur  Saluran darah  Sistem  sistem peredaran
Darah utama benda mengangkut peredaran darah
Manusia hidup darah ke seluruh  bahagian dan  perbandingan cara
(peredaran badan (Blood fungsi setiap bahan
darah) vessel carry bahagian (substances)
blood around the dalam sistem diangkut/
body) peredaran diedarkan antara
darah tumbuhan dan
manusia
 saluran darah yang
mengangkut
makanan dicerna,
oksigen dan
karbon dioksida

Jadual 3 menunjukkan sebahagian daripada perbandingan kurikulum yang telah dibuat.


Pembacaan yang luas telah dijalankan untuk mengkaji kurikulum Sains Sekolah Rendah dari
negara lain bagi membolehkan jadual perbandingan seperti di atas dibuat. Selain daripada itu
pemahaman tentang perincian sesuatu topik yang terdapat dalam kurikulum luar negara pelru
dikaji dengan mendalam dengan cara membuat semak silang dengan buku teks dan modul yang
telah dihasilkan berasaskan kurikulum tersebut. Langkah ini penting bagi melihat bagaimana
cara kurikulum tersebut ditulis dan bagaimana pemahaman pihak lain ke atas kurikulum
tersebut diterjemahkan kepada buku teks dan modul.
Satu lagi aspek yang diberi pertimbangan dalam penentuan kandungan kurikulum adalah
pandangan ahli panel penggubal itu sendiri tentang topik baru yang hendak dimasukkan
ataupun topik yang hendak digugurkan. Ini sesuai dengan dapatan kajian yang menyatakan
penglibatan para pemegang taruh yang terdiri daripada pensyarah, guru cemerlang, guru pakar
dan pegawai kurikulum yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza turut mempengaruhi
setiap keputusan yang diambil apabila berbincang tentang kandungan kurikulum baharu (Chin,
& Poon 2014).

Big idea bagi topik yang telah ditentukan


Peringkat seterusnya adalah mengenal pasti dan menentukan skop pembelajaran yang
ingin difokuskan bagi topik/kandungan baharu tersebut yang dikenali sebagai big idea. Big idea
ini juga boleh dikatakan sebagai skop atau apakah tujuan topik ini diperkenalkan. Setelah
merujuk pelbagai sumber, antara skop yang relevan tentang topik Sistem Peredaran Darah
Manusia, ini adalah fungsi, struktur jantung, struktur salur darah, kapilari dan arteri, mekanisma
degupan jantung, tekanan darah, sel darah merah serta penjagaan kesihatan kardiovaskular.
Panel penggubal telah membuat perbincangan serta merujuk kepada kurikulum lain sebelum
memutuskan skop yang bersesuaian dengan tahap kognitif murid sekolah rendah bagi topik ini
adalah hanya sekadar memperkenalkan bahagian utama dalam Sistem Peredaran Darah
Manusia, peredaran bahan dalam darah, serta kepentingan sistem peredaran darah. Skop lain
yang lebih kompleks seperti degupan jantung dan tekanan darah tidak dimasukkan dalam
kurikulum di peringkat ini. Rajah 2 menunjukkan big idea bagi topik Sistem Peredaran Darah
Manusia.

Rajah 2: Big idea Sistem Peredaran Darah.

Perincian big idea


Beberapa siri sumbang saran dan perbahasan dibuat antara panel penggubal kurikulum
ini, proses ini dijalankan untuk menentukan langkah perincian idea dan konsep yang lebih
terperinci bagi setiap big idea yang telah dipersetujui. Proses perincian ini sangat kritikal kerana
perlu menentukan kedalaman dan skop pembelajaran yang dihasratkan sesuai dengan tahap
umur murid di samping mengambil kira anggaran masa yang diperlukan untuk PdP bagi murid
yang berpencapaian sederhana.
Kebiasaannya, guru yang terlibat sebagai panel penggubal kurikulum ini juga banyak
mempengaruhi penentuan perincian sesuatu SP. Penglibatan guru adalah sangat penting kerana
mereka perlu memahami falsafah, hasrat dan matlamat kurikulum Sains secara terperinci bagi
memastikan kelangsungan pelaksanaannya (Chin & Poon 2014). Bagi topik Sistem Peredaran
Darah Manusia, panel penggubal telah membuat perincian tentang kedalaman bagi skop yang
telah ditentukan seperti yang dijelaskan dalam Rajah 3.
Rajah 3: Perincian bagi tajuk Sistem Peredaran Darah

Setelah menetapkan big idea bagi Sistem Peredaran Darah Manusia iaitu bahagian utama
dalam sistem peredaran darah manusia, kitaran laluan darah dalam tubuh serta kepentingan
sistem peredaran darah, panel penggubal harus memperincikan lagi big idea tersebut iaitu
menentukan skop bagi big idea tersebut. Dalam Rajah 3, skop yang dipersetujui oleh panel
penggubal bagi bahagian utama dalam sistem peredaran darah manusia merangkumi jantung,
peparu dan salur darah serta fungsi masing-masing. Harus ditegaskan bahawa walaupun
peranan jantung dipelajari dalam topik ini, panel penggubal memutuskan sturktur jantung tidak
perlu dimasukkan ke dalam penulisan kurikulum bagi peringkat murid Tahun 5. Begitu juga
dengan tajuk kitaran laluan darah manusia dan kepentingan sistem peredaran darah manusia
yang mana kedalaman skop tajuk ini diputuskan oleh panel penggubal mengambil kira
kesesuaian skop ini dengan peringkat umur murid.

Pemilihan Kata Kerja


Pemilihan kata kerja bagi penulisan SP menggambarkan aras berfikir yang dihasratkan
untuk dikuasai oleh murid. Kata kerja ini membolehkan murid menunjukkan kompetensi
mereka dalam pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam bentuk yang boleh diukur.
Penyataan kata kerja yang bersesuaian ditulis secara eksplisit dalam SP.
KBAT yang didefinisikan sebagai keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan,
kemahiran, dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah,
membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu (KPM, 2013) diberi keutamaan
dalam penentuan kata kerja semasa penulisan SP. Kata kerja bagi tahap pemikiran KBAT iaitu
mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta digunakan sebagai panduan dalam memilih
kata kerja yang sesuai bagi menunjukkan elemen KBAT. Langkah ini adalah seiring dengan
salah satu daripada 6 aspirasi murid yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing
pada peringkat global seperti yang terkandung dalam PPPM. Jadual 4 menunjukan contoh
pilihan kata kerja yang berkaitan dengan tahap pemikiran.
Jadual 4
Kata Kerja bagi Tahap Pemikiran dalam KBAT

Tahap pemikiran Contoh Kata kerja


KBAT
Mengaplikasi Menunjuk cara, menggunakan, meramal, mengubah suai, menyesuaikan,
melukis, melaksana, memeriksa.

Menganalisis Mencerakinkan, membuat andaian, membezakan, menyelesaikan masalah,


membuat urutan, mengasingkan, menyiasat.

Menilai Mentaksir, mengkritik, membuat kesimpulan, menyokong, merumuskan,


mempertahankan, mewajarkan, menguji, membuat keputusan.

Mencipta Menggabungkan, merancang, meringkaskan, mereka bentuk, mencipta,


menghasilkan, menganalogikan, membuat gambaran mental.

Pemilihan kata kerja yang sesuai dan tepat akan memberi implikasi dalam menentukan
kemahiran yang perlu dicapai oleh murid. Contoh sekiranya murid boleh menunjuk cara
bagaimana cara yang memasang litar elektrik dengan betul, murid tersebut telah
mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi tentang litar elektrik lengkap dan kemahiran
manipulative iaitu menggunakan dan mengendalikan peralatan sains dengan betul.
Mengaplikasi adalah salah satu kemahiran yang dikategorikan sebagai KBAT. Berdasarkan
contoh yang diberikan, penerapan KBAT dalam PdP adalah boleh dilaksana dan tidaklah sukar
dicapai oleh murid seperti tanggapan sesetengah pihak.
Berkaitan dengan pemilihan kata kerja ini juga disebut dalam laporan yang dibuat oleh
Pearson iaitu kurikulum KSSR Sains Malaysia mengandungi 16% KBAT berbanding dengan
24% UK dan 12% Singapura. Aras KBAT ditentukan dengan mengira penggunaan kata kerja
iaitu mengaplikasi, menganalisis dan menilai berbanding dengan keseluruhan kata kerja yang
terdapat dalam kurikulum seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 4.

Rajah 4: Perbandingan Peratus Penggunaan kata kerja KBAT dalam kurikulum sains
rendah bagi Malaysia, England dan Singapura.

Daripada Rajah 4 dapat disimpulkan bahawa kurikulum KSSR Sains di Malaysia adalah
setara dengan kurikulum Sains di UK dan juga Singapura dari aspek KBAT yang terdapat
dalam mata pelajaran Sains sekolah rendah.
PENTAKSIRAN
Pentaksiran bilik darjah (PBD) bagi sains dilaksanakan bersandarkan tiga domain utama
yang diintegrasikan iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Pentaksiran dalam sesuatu tema
bertujuan melihat sejauh mana murid menguasai SK dalam tema tersebut. Hierarki tahap
penguasaan (TP) murid dibahagikan kepada 6 tahap mengikut taksonomi Bloom yang disemak
iaitu mengetahui, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Standard
Prestasi (SPi) merupakan satu set kriteria umum yang perlu murid pamerkan sebagai eviden
sesuatu SK itu telah dikuasai oleh murid.
Dalam penulisan SPi KSSR Sains, setiap tajuk atau tema akan dikelompokkan bagi
menghasilkan satu set SPi. Setiap tahap penguasaan menggambarkan apa yang murid boleh
lakukan dan boleh diukur. Guru perlu membaca keseluruhan SP dalam tema dan SPi sebelum
melaksanakan PdP supaya pentaksiran dapat dijalankan seiring dengan tajuk yang diajar. Guru
akan mengajar menggunakan SP dan membuat pentaksiran dengan merujuk pada SPi. Di akhir
semester guru akan menentukan satu TP akhir bagi mata pelajaran Sains yang menunjukkan
pencapaian murid dalam tempoh tersebut, guru perlu membuat pertimbangan professional
berdasarkan pengalaman guru bersama murid, kebijaksanaan serta perbincangan bersama rakan
sejawat.

PEDAGOGI

Penambahbaikan dalam pedagogi perlu seiring dengan transformasi KSSR yang berlaku.
Pedagogi perlu menekankan kepada pembelajaran secara mendalam melalui pendekatan PdP
yang mengarah kepada KBAT. Fokus diberikan kepada PdP berasaskan inkuiri, penyelesaian
masalah, pembelajaran kontekstual, pembelajaran kolaboratif, pembelajaran berasaskan projek
dan pendekatan STEM. Kesemua ini dipakejkan sebagai Pendidikan Abad ke- 21 (PAK-21).
Selain itu, panel penggubal juga telah membuat tinjauan dengan meminta pandangan guru-guru
sains daripada pelbagai lapisan seperti pensyarah, Ketua Panitia, guru cemerlang, guru Sains
yang berpengalaman dan guru Sains yang baharu berkhidmat untuk mencadangkan tempoh
masa yang diperlukan untuk mengajar sesuatu topik yang sesuai dengan pedagogical content
knowledge (PCK). Sampel yang diambil adalah sekitar 200-300 orang semasa proses
penggubalan kurikulum. Menurut Shulman (1987), PCK adalah satu kombinasi pengetahuan
tentang sesuatu subjek dan pedagogi yang paling sesuai untuk menyampaikan topik tersebut
kepada murid yang mempunyai minat yang pelbagai serta tahap kebolehan yang berbeza.

Dalam penulisan kurikulum KSSR Sains, tidak semua cadangan aktiviti dinyatakan
dalam DSKP bagi mencapai sesuatu SP. Cadangan aktiviti hanya ditulis sekiranya terdapat
keperluan, seperti dalam contoh Jadual 5.
Jadual 5
Contoh Cadangan aktiviti bagi standard pembelajaran Litar elektrik.
Standard Pembelajaran Catatan
Litar elektrik Cadangan aktiviti:
 Mengenal pasti komponen dalam litar elektrik
iaitu sel kering, mentol dan suis. Kebolehan mentol menyala diuji dengan
 Menerangkan fungsi komponen dalam litar menggunakan pelbagai objek atau bahan seperti
elektrik lengkap. pensil, paku, pemadam, duit syiling, klip kertas
 Membina litar elektrik lengkap dengan dan jus limau. Daripada aktiviti ini, murid
menggunakan sel kering, mentol, suis dan wayar mengitlak konduktor dan penebat.
penyambung.
 Meramal sebab mentol tidak menyala dalam litar Nota: Beri peluang kepada murid menggunakan
yang dibina. motor, buzzer dan lain-lain selain dari mentol
 Merekod nyalaan mentol dengan mengantikan sekiranya ada.
suis dengan objek atau bahan dengan
menjalankan penyiasatan.
 Mengitlak objek yang boleh menyalakan mentol
dalam litar adalah konduktor dan yang tidak
menyalakan mentol adalah penebat.

Berdasarkan contoh sama yang diambil daripada DSKP KSSR (Semakan) Sains Sekolah
Rendah Tahun 2, penulisan kurikulum bagi tajuk Litar Elektrik ini memberi cadangan dan
panduan dengan mengambil kira PCK yang paling sesuai bagaimana guru boleh menjalankan
aktiviti PdP bagi mencapai SP yang dihasratkan dengan berkesan. Selain daripada cadangan
aktiviti yang bersifat setempat, ruangan catatan juga mengandungi nota dan skop sebagai
panduan untuk guru.

PERUNTUKAN MASA

Wajaran peruntukan jumlah jam setahun bagi setiap mata pelajaran memerlukan satu
keputusan yang sangat sukar kerana setiap mata pelajaran mempunyai kepentingan masing-
masing dalam membina sahsiah murid bagi membentuk generasi akan datang. Perbahasan di
peringkat dasar BPK sebelum membuat keputusan jumlah jam yang perlu diperuntukkan untuk
setiap mata pelajaran telah mengambil kira bilangan jam bagi waktu persekolahan setahun dan
bilangan mata pelajaran yang telah diputuskan di peringkat tertinggi KPM serta semua input
yang telah diterima. Peruntukan masa ini adalah berdasarkan pengiraan seperti dalam Jadual 6.

Jadual 6
Contoh pengiraan minggu pembelajaran berdasarkan takwim persekolahan bagi tahun 2019
yang dikeluarkan oleh KPM

Perkara Bil. minggu


Bilangan minggu setahun 52 minggu
Bilangan minggu persekolahan setahun (tidak termasuk cuti penggal) 43 minggu
Bilangan minggu cuti semester 9 minggu
Bilangan minggu peperiksaan dan sambutan hari perayaan dll 11 minggu
Bilangan minggu PdP setahun (yang diambil kira semasa membangunkan 32 minggu
kandungan kurikulum untuk 1 tahun persekolahan)
Setelah mempertimbangkan semua perkara yang releven, pihak dasar BPK telah
menetapkan peruntukan masa minimum bagi pelaksanaan mata pelajaran Sains seperti yang
terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bil.8 Tahun 2016. Waktu minimum
yang diperuntukkan bagi Sains Tahap I adalah 48 jam setahun manakala bagi Tahap II adalah
64 jam setahun.
Walaupun SPI ini mencadangkan bilangan waktu minimum setahun bagi setiap mata
pelajaran, pihak sekolah diberi keluwesan untuk mengatur jadual waktu mengikut keperluan
sekolah mereka asalkan waktu PdP untuk mata pelajaran diagihkan tidak kurang daripada
waktu minimum seperti yang ditetapkan dalam SPI. Mengikut SPI ini, pihak sekolah
‘diperuntukkan’ 11 minggu setahun untuk menjalankan peperiksaan dan sambutan hari
tertentu, iaitu 11 minggu ini adalah merupakan anggaran pihak KPM sahaja. Kandungan
kurikulum yang telah dibangunkan oleh KPM adalah berdasarkan waktu PdP selama 32 minggu
setahun, bukan 43 minggu setahun setelah mengambil kira faktor ini.
Pengurusan sekolah boleh mengubahsuai penggunaan 11 minggu yang diperuntukkan ini
mengikut keperluan sekolah. Contohnya sekiranya sekolah menggunakan hanya 6 minggu
untuk peperiksaan dan 2 minggu untuk sambutan hari tertentu, terdapat baki 3 minggu lagi di
mana sekolah boleh mengagihkan 3 minggu ini untuk menjalankan PdP bagi mata pelajaran
mengikut keperluan murid mereka. Sekiranya 3 minggu ini dibahagikan kepada mata pelajaran
yang ditentukan oleh pihak sekolah, contohnya 1 minggu daripada lebihan 3 minggu ini adalah
untuk mata pelajaran Sains, peruntukan waktu setahun bagi Sains akan bertambah dan melebihi
daripada waktu minimum 64 jam setahun seperti yang dinyatakan dalam SPI. Jadual 7 di bawah
menerangkan contoh yang dibincangkan.

Jadual 7
Contoh pelarasan jadual waktu yang boleh dibuat oleh pentadbir sekolah.
Perkara Bil. minggu Pelarasan oleh pihak sekolah
Bilangan minggu persekolahan setahun (tidak 43 minggu
termasuk cuti penggal)

Bilangan minggu peperiksaan dan sambutan hari 11 minggu 8


perayaan dll

Bilangan minggu PdP setahun (yang diambil kira 32 minggu 32 + 1


untuk membangunkan kurikulum untuk 1 tahun
persekolahan)

Bilangan jam setahun bagi Sains 64 jam 65 jam


(minimum)

Penggunaan masa minimum jam setahun untuk mata pelajaran adalah satu transformasi
baharu dalam KSSR berbanding dengan KBSR. Sesuai dengan Anjakan ke enam dalam PPPM
yang menyatakan ‘mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus
berasaskan keperluan’ dengan memberi kuasa autonomi kepada pihak pentadbir sekolah untuk
membuat keputusan dari aspek pelaksanaan kurikulum mengikut keperluan dan kesesuaian di
sekolah mereka. Pihak sekolah haruslah mengambil peluang ini dalam menentukan
pelaksanaan kurikulum yang efektif bagi sekolah mereka.
RUMUSAN

Transformasi Kurikulum Sains Sekolah Rendah daripada KBSR kepada KSSR telah
mengalami pengkonsepsian semula secara menyeluruh dari aspek reka bentuk, kerangka
konsep, matlamat dan objektif serta organisasi kandungan KSSR Sains. Proses pembangunan
KSSR Sains sehingga terhasilnya Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang diguna
pakai di sekolah-sekolah melibatkan beberapa peringkat yang perlu dilalui oleh panel
penggubal kurikulum. Peringkat yang dilalui adalah penentuan kandungan kurikulum,
penetapan big idea, perincian bagi setiap big idea yang dipilih, pemilihan kata kerja yang sesuai
dengan tahap umur murid serta pentaksiran yang boleh menguji tahap penguasaan mereka.
Aspek lain yang turut diambil kira dalam pembangunan kurikulum sains ini adalah pemilihan
PCK yang sesuai supaya PdP bagi topik tersebut menjadi bermakna kepada murid sesuai
dengan peruntukan masa. Keluwesan dan kelebihan yang diberikan kepada pihak sekolah untuk
mengatur jadual waktu mengikut keperluan sekolah mereka menjadi bukti transformasi baharu
bagi KSSR berbanding dengan KBSR. Revolusi yang berlaku dalam pembangunan sesebuah
kurikulum akan sentiasa diperbaharui seiring dengan peredaran masa bagi memastikan
kurikulum yang diguna pakai sentiasa relevan.

RUJUKAN

Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2011). Buku Penerangan Kurikulum Standard Sekolah


Rendah. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2017). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran
(KSSR) (Semakan 2017) Sains Tahun 2. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2018). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran
(KSSR) (Semakan 2017) Sains Tahun 5. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Chin, T. & Poon, C. (2014). Design and Implementation of the National Primary Science
Curriculum : A Partnership Approach in Singapore. doi:10.1007/978-981-4585-78-1
Eisner, E. W. (1994). The Educational Imagination: On the Design and Evaluation of School
Programs (3rd Ed.). Upper Saddle River, NJ: Prentice Hall.
Gettinger, M. & Seibert, J. K. (1995). Best Practices in Increasing Academic Learning Time.
Guo, N. & Wills, R. (2004). An investigation of factors influencing English comprehension and
possible measure for improvement. Diperoleh daripada
http://www.aare.edu.au/05pap/guo05088.pdf.
Jadhav, M. S. & Patankar, P. (2013). Role Of Teachers’ In Curriculum Development For
Teacher Education (October).
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-
2025. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Marsh, C. (2009). Key Concepts for Understanding Curriculum. New York: Routledge.
Mok Soon Sang. (2009). Pengurusan Kurikulum. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Selangor.
Mok Soon Sang. (2008). Psikologi Pendidikan untuk Pengajaran dan Pembelajaran.
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Selangor.
Noriati, A. R. (2012). Penggubalan Kurikulum. Diperoleh daripada
http://www.ipbl.edu.my/intra/sistem/iso/jun12/K09-15%20Mei%202012/IPGM-PPK-
PT- 04/IPGM-PPK-PT-04.pdf
Noriati, A. R. (2012). Penggubalan Kurikulum. Diperoleh daripada
http://www.ipbl.edu.my/intra/sistem/iso/jun12/K09-15%20Mei%202012/IPGM-PPK-
PT- 04/IPGM-PPK-PT-04.pdf
Noraini, M. L. & Suhaida, A. K. (2013). Penerimaan guru terhadap pentaksiran berasaskan
sekolah (pbs) dengan komitmen guru dalam melaksanakan pbs sekolah rendah. Seminar
Pasca Siswazah dalam Pendidikan.Universiti Putra Malaysia.
Palanisamy Kathirveloo & Marzita Puteh. (2016). Effective teaching : pedagogical
contentknowledge.
Pearson (2013). Final Report Benchmarking Review of the Malaysian Primary School
Curriculum & Assessment.
Piaget, J. & Cook, M. T. (1952). The origins of intelligence in children. New York,
NY:International University Press.
Sulaiman Ngah Razali. (1997). Pegagogi: teori dan praktik. Dewan Bahasa dan Pustaka.
KualaLumpur.
Shulman, L. (1987). Knowledge and teaching: Foundations of the new reform. Harvard
Educational Review, 57(1), 1-22.
International Bureau of Education, United Nations Educational, Scientific and Cultural
Organization (UNESCO). (2017). Training Tools for Curriculum Development, A
Resource Pack (Part 1). UNESCO
Tyler, R. W. (1949). Basic Principles of Curriculum and Instruction. Chicago: University
ofChicago Press.

You might also like