You are on page 1of 7

TEKS UCAPAN

YB DR. MASZLEE BIN MALIK


MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

MAJLIS PERMUAFAKATAN KPM DAN PDRM:


PROGRAM JOM KE SEKOLAH
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2019

SMK BANDAR TASIK KESUMA


11 FEBRUARI 2019

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

(SALUTASI AKAN DIBERIKAN)

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat


Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat
sama-sama berhimpun dalam Majlis Permuafakatan KPM dan
PDRM: Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun
2019 pada pagi ini. Selamat datang saya ucapkan kepada Yang
Dihormati CP Dato' Sri Rosli bin Ab. Rahman, Pengarah Jabatan
Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Polis
Diraja Malaysia atas usaha dan inisiatif melaksanakan program
secara kolaboratif dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

1
2. Pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah
kepada semua pihak atas inisiatif menganjurkan majlis pelancaran ini.
Untuk makluman para hadirin sekalian, sekolah-sekolah di bawah KPM
akan melancarkan program ini secara serentak pada 18 Februari 2019 di
seluruh negara.

3. Saya amat bersyukur kerana program kerjasama strategik pelbagai


pihak ini telah menggabungkan kepakaran dan tenaga antara Kementerian
Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia melalui Jabatan Pencegahan
Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pegawai Perhubungan Sekolah,
komuniti setempat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta seluruh
warga pendidik yang berusaha untuk menjayakan program ini.
Sememangnya ini bukanlah kali pertama kita mengadakan permuafakatan
bersama bahkan hubungan erat antara kita telah sekian lama terjalin.

4. KPM berharap menerusi Program Jom Ke Sekolah akan


mempertingkatkan kerjasama yang lebih mantap antara pihak
sekolah dengan Pegawai Perhubungan Sekolah. Program ini juga
diharapkan dapat menghindari murid daripada ponteng sekolah,
membantu mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat
dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-
undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah.

5. Saya difahamkan minggu lalu Ketua Polis Negara, Tan Sri


Mohamad Fuzi Harun mengumumkan terdapat penurunan kes
jenayah di kalangan pelajar sekolah iaitu penurunan sebanyak 437
kes pada 2018 berbanding tahun sebelumnya iaitu 2017. Saya

2
percaya antara sebab yang menyumbangkan penurunan ini adalah
kerana kerjasama rapat yang digembleng antara sekolah dan juga
komuniti terutama pihak PDRM.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

6. Asas pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang berfungsi


di tengah-tengah setiap komuniti dan masyarakat. Ini bermakna,
sekolah sewajarnya menjadi tempat yang paling selamat dan
menyeronokkan. Bagi merealisasikan hasrat ini, KPM memberikan
penekanan khusus kepada hala tuju mengembalikan cinta ke dalam
pendidikan dengan memberi tumpuan kepada tiga nilai dan budaya
teras iaitu cinta (love), kegembiraan (happiness) dan saling
menghormati (mutual respect). Saya yakin bahawa sistem
pendidikan yang berteraskan nilai ini mampu untuk melahirkan insan
yang mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan akhirnya
mencintai negara.

7. Saya juga yakin kerjasama dan permuafakatan bersama


PDRM, komuniti, ibu bapa dengan pihak sekolah akan dapat
mempertingkatkan minat murid untuk hadir ke sekolah. Saya
berharap Pegawai Perhubungan Sekolah dapat mengadakan
kunjungan ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali agar dapat
memberi nasihat dan panduan kepada murid-murid semasa
perhimpunan di sekolah. Pegawai Perhubungan Sekolah juga boleh
menjadi sumber rujukan pihak sekolah berkaitan undang-undang dan
salah laku disiplin.
3
8. Program Jom ke Sekolah adalah sebahagian daripada usaha
KPM dengan kerjasama PDRM untuk meningkatkan kecemerlangan
dan kemenjadian murid dalam membentuk sahsiah murid yang
terpuji. Oleh itu, menerusi program ini, diharapkan pihak sekolah
terutamanya guru-guru dapat berperanan sebagai pendidik,
pembimbing dan pemudahcara di samping berperanan sebagai guru
disiplin seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.
10/2001 bahawa semua guru adalah guru disiplin.

9. Aspek kemenjadian murid harus dilihat secara holistik dan


menyeluruh daripada segi akademik, sahsiah, kokurikulum dan
sukan. Bagi menarik minat murid hadir ke sekolah, pendekatan
sekolah terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran haruslah
sentiasa menarik dan berkesan. Justeru, Kementerian Pendidikan
Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penerapan
elemen pembelajaran menyeronokkan dengan konsep sekolah
penyayang dan menangani isu keciciran murid bagi memastikan
murid-murid gembira ke sekolah.

10. KPM berusaha membentuk ekosistem pembelajaran abad ke-


21 bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
tercapai melalui budaya sekolah, prasarana, pelibatan ibu bapa dan
komuniti, guru yang profesional serta proses pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Saya yakin bahawa pentadbir sekolah
yang berkesan akan berupaya menghasilkan pembelajaran yang
kondusif, menyeronokkan, memberi aspirasi dan inspirasi kepada
4
murid untuk datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan gembira,
bersemangat dan seronok untuk belajar.

11. Selain daripada itu, keprihatinan ibu bapa bagi memastikan


anak-anak hadir ke sekolah juga adalah amat penting. Saya ingin
menegaskan bahawa kemenjadian murid merupakan perkara penting
dalam mewujudkan generasi masa depan yang holistik dan
seimbang. Sememangnya menjadi harapan kita semua agar
pengetahuan yang diperoleh murid akan membentuk mereka menjadi
remaja yang lebih jelas dan fokus untuk menyumbang kepada
pembinaan negara maju yang berwawasan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

12. Bagi tujuan menyampaikan maklumat atau memberi informasi


kepada sekolah dan pihak berkuasa polis melalui peranan Pegawai
Perhubungan Sekolah (PPS), KPM menggalakkan sekolah menyedia
dan menggunakan ‘Papan Kenyataan PPS’ di semua sekolah.
Papan Kenyataan PPS ini dapat digunakan semaksimum mungkin
oleh warga sekolah dan PPS sebagaimana yang dibuat pada papan
notis masjid dalam Program 1Masjid 1Polis (1M1P). Menerusinya,
diharapkan pihak berkepentingan dapat menyalurkan maklumat
kepada pihak sekolah yang memuatkan informasi dan berita tentang
kepolisan. Pihak sekolah juga perlu sentiasa prihatin dan mengambil
tindakan yang bersesuaian dengan maklumat yang disalurkan.

5
13. Sukalah saya mengingatkan anak-anak agar dapat hadir ke
sekolah serta memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada
pelajaran. Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba
ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda
menjadi insan yang berjaya. Jadikanlah sekolah sebagai tempat
menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat dan
mengasah daya kepimpinan kerana anda merupakan aset negara
yang bernilai pada masa hadapan. Jauhilah perkara yang tidak
berfaedah dan jangan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat
dan tidak bermoral seperti ponteng, buli, penyalahgunaan dadah
serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa
depan anak-anak sekalian. Sayangi diri, hormati ibu bapa, guru-guru
dan komuniti anda. Berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam
dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya.

14. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan tahniah dan
syabas kepada semua pihak yang terlibat khususnya warga SMK
BANDAR TASIK KESUMA kerana bertungkus lumus menjayakan
program pada pagi ini. Begitu juga, jutaan terima kasih dan setinggi-
tinggi penghargaan saya ucapkan kepada PDRM dan Persatuan Ibu
Bapa Guru atas sokongan dan kerjasama padu dengan KPM bagi
merealisasikan majlis ini. Besarlah harapan saya agar kesepakatan
begini bukan sahaja dapat memastikan kejayaan program, bahkan
turut memperkasakan lagi keakraban dan rangkaian kerjasama
strategik antara kita semua. Semoga program seumpama ini dapat
diperluaskan lagi pada masa akan datang, insya-Allah.

6
Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Program Jom Ke
Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 dan melancarkan Papan
Kenyataan PPS di sekolah-sekolah KPM.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi


Wabarakatuh. Sekian. Terima Kasih.

YB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

You might also like