You are on page 1of 14

Aktiviti Lisan dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Pengenalan

Kemahiran lisan adalah kemahiran asas dalam pengajaran dan pembelajaran. Apabila
seseorang pelajar dapat menguasai kemahiran lisan dengan baik, maka akan
memudahkannya menguasai kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran membaca dan
menulis.

Kemahiran bertutur dan mendengar merupakan dua komponen dalam kemahiran


lisan. Kemahiran mendengar merupakan kemahiran yang melibatkan aktiviti penerimaan
mesej atau maklumat dan kemahiran bertutur pula merupakan kemahiran yang
melibatkan aktiviti penghasilan maklumat. (Siti Hajar Haji Abdul Aziz, 1997:1)

Pengajaran lisan mempunyai beberapa objektif. Antaranya adalah untuk


menyebut perkataan atau ayat dengan betul, melatih seseorang itu untuk berinteraksi
dengan orang lain secara tepat, mendengar dan memahami pertuturan orang lain,
membolehkan kanak-kanak bertutur menggunakan ayat yang tersusun, dan
memperoleh kemahiran membaca dan menulis dengan baik.

Mengapa Aktiviti Lisan Perlu Diajar?

Seperti mana yang telah dinyatakan, kemahiran lisan adalah kemahiran asas dan
terpenting bagi seseorang pelajar untuk dikuasai sebelum menguasai kemahiran-
kemahiran lain. Kemahiran lisan penting untuk semua peringkat persekolahan sama ada
rendah atau menengah supaya dapat menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan.
Kemahiran lisan lebih penting di peringkat sekolah rendah kerana kanak-kanak masih di
peringkat awal persekolahan. Bagi pelajar yang menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa kedua (pelajar bukan Melayu) kemahiran ini amat penting untuk
memudahkannya bertutur dan memahami pertuturan orang lain.

Berikut dinyatakan beberapa alasan mengapa aktiviti lisan perlu diajar kepada
para pelajar:
1. Pengajaran lisan merupakan aspek terpenting dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa. Kemahiran lisan menjadi asas kepada kemahiran-
kemahiran lain yang seterusnya seperti kemahiran membaca dan
menulis.
2. Untuk membolehkan pelajar menyebut perkataan dan ayat dengan betul.
Sebutan mesti jelas dan tepat serta dituturkan dalam bentuk
pertuturan
yang biasa.
3. Memudahkan seseorang pelajar meluahkan perasaan, pengalaman dan
pendapat yang jelas dan tepat terutama dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas. Kemahiran ini juga boleh digunakan
97

apabila pelajar berinteraksi dengan pelajar lain atau masyarakat


sekeliling.
4. Memudahkan para pelajar bertutur menggunakan bahasa Melayu dengan
betul setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang
mengandungi aktiviti lisan seperti syarahan, ucapan, bercerita, lakonan dan
sebagainya.
5. Untuk menanamkan rasa yakin dan percaya kepada diri sendiri. Ini akan
menjadikan seseorang pelajar itu aktif untuk bercakap, memberi
pendapat dan meluahkan perasaan.
6. Membolehkan kanak-kanak mendengar pengajaran di dalam kelas
dengan baik dan berkesan. Biasanya pengajaran yang disampaikan oleh
guru menggunakan bahasa Melayu. Jika seseorang pelajar itu tidak
memahami pertuturan guru maka keadaan itu akan menimbulkan
masalah.
7. Menguasai bahasa Melayu baku dengan baik.
Bahasa Melayu baku meliputi sebutan, ejaan, tatabahasa, istilah dan kosa
kata.
8. Menggunakan bahasa dalam situasi-situasi tertentu sama ada di dalam
kelas, persekitaran sekolah dan di luar sekolah.
9. Menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan dalam perhubungan
harian.
10. Menambah dan memperbanyakkan penguasaan perbendaharaan kata.

Masalah Pelaksanaan Aktiviti Lisan

Walaupun kemahiran lisan sangat penting dikuasai oleh para pelajar terdapat beberapa
masalah yang dihadapi di dalam bilik darjah. Antara masalah-masalah tersebut ialah:
1. Pelajar tidak mempunyai asas berbahasa yang kukuh di peringkat rendah.
2. Belajar berorientasikan peperiksaan tanpa mengambil kira penguasaan
kemahiran lisan.
3. Sikap ibu bapa yang lebih berminat terhadap bahasa lain seperti bahasa
Inggeris dan bahasa ibunda (Cina, India, Jawa, Banjar dan lain-
lain)
4. Penggunaan dialek yang masih tebal seperti loghat daerah dan negeri.
5. Sikap ambil mudah dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Ada di kalangan murid yang beranggapan bahasa Melayu itu
mudah.
6. Guru yang tiada mempunyai banyak masa untuk melaksanakan aktiviti
lisan. Selain itu, ditambahi pula dengan bebanan kerja guru.
7. Bahasa Melayu menjadi bahasa baru yang dipelajari kepada murid dan
pelajar bukan Melayu.
8. Gangguan daripada bahasa ibunda dalam aspek struktur ayat,
tatabahasa, ejaan dan lain-lain.
9. Pelajar hanya terhad mempelajari bahasa di sekolah sahaja. Tiada aktiviti
luar yang menggunakan bahasa Melayu dengan betul terutama pelajar
bukan Melayu.
98

10. Kurang latihan dan aktiviti lisan seperti menyebut huruf, perkataan, dan
membina ayat.
11. Pelajar cepat lupa.
12. Pengajaran guru tidak sistematik. Pengajaran tidak diikuti sepenuhnya.
13. Guru kurang memberi tumpuan kepada murid yang lemah kerana
bilangan pelajar yang ramai.
14. Murid dan pelajar lemah mengecam bunyi yang hampir sama seperti /d/,
/b/, /p/ dan /v/.
15. Pelajar tidak berminat apabila pengajaran lisan dijalankan.

Masalah-masalah yang disenaraikan adalah secara keseluruhan. Ianya tidak


tertumpu kepada satu-satu kelas sahaja. Keadaan agak berlainan apabila seseorang
guru menghadapi murid-murid sekolah rendah yang kesemuanya cerdas dan aktif di
dalam kelas. Sebaliknya banyak masalah akan timbul jika guru itu masuk ke dalam kelas
yang dihuni oleh murid yang lemah dan bermasalah. Begitu juga jika pelajar sekolah
menengah, agak berlainan pelajar sekolah menengah di kampung, di bandar, sekolah
agama, sekolah menengah jenis kebangsaan dan sebagainya.

Daripada masalah-masalah yang disenaraikan, dapat disimpulkan bahawa para


pelajar mempunyai masalah dalam pembelajaran lisan. Sementara itu, guru juga
mempunyai sedikit masalah dalam pengajaran yang berpunca daripada murid dan guru
itu sendiri.

Beberapa langkah telah diambil untuk mengatasi masalah tersebut. Antaranya


ialah:
1. Mengadakan aktiviti lisan yang menarik minat dan melibatkan kesemua
murid di dalam kelas. Contohnya mengadakan pertandingan
perbahasan
di dalam kelas. Murid terlibat sebagai peserta pertandingan (pembahas),
sebagai hakim, penjaga masa, pengerusi majlis, penyedia hadiah,
penyediaan pentas, menyusun meja dan sebagainya.
2. Mengenal pasti kelemahan murid mengikut tahap pencapaian,
kemampuan, dan kemahiran.
3. Bertemu dan berbincang dengan pelajar itu sendiri atau berjumpa
dengan ibu bapanya jika perlu.
4. Guru melaksanakan pengajaran yang menarik seperti menggunakan
gambar-gambar, kad perkataan, filem dan lagu (muzik).
5. Guru memperbanyakkan Bahan Bantu Mengajar (BBM) untuk menarik
perhatian murid.
6. Guru menggalakkan murid memahami bukan menghafal.
7. Sentiasa bersoal jawab antara guru dengan murid.
8. Murid berbincang dengan rakan-rakan dalam suasana terkawal. Bentuk
kumpulan perbincangan antara empat hingga enam orang lalu
melantik ketua kumpulan, pencatat, dan pembentang hasil
perbincangan.
9. Mengadakan beberapa aktiviti lisan mengikut minggu, bulan atau
semester. Aktiviti lisan yang dicadangkan ialah seperti bercerita,
99

berlakon, syarahan, ucapan, wawancara, forum, persembahan boneka,


nyanyian bahasa, bersyair, mendeklamasi puisi dan berbalas pantun.
10. Mengadakan pertandingan aktiviti lisan peringkat kelas atau sekolah
dengan menyediakan hadiah yang sesuai.

Langkah-langkah penyelesaian masalah di atas bukanlah jalan terbaik untuk


mengatasi masalah pengajaran lisan dan pelaksanaan aktiviti lisan. Namun begitu,
kreativiti guru sangatlah penting untuk mengatasi beberapa masalah dalam pengajaran
lisan. Beberapa faktor lain juga perlu diambil kira seperti :
1. Persediaan pelajar.
2. Persediaan guru.
3. Alat-alat atau bahan-bahan yang digunakan.
4. Masa yang diperuntukkan.
5. Komitmen dan minat yang ditunjukkan oleh pelajar.

Aktiviti Lisan

Empat aktiviti lisan telah dipilih dan dihuraikan seterusnya. Aktiviti-aktiviti lisan tersebut
ialah:
1. Syarahan.
2 Wawancara
3. Deklamasi Puisi
4. Bercerita

1. Syarahan

Syarahan atau pidato adalah ucapan yang dilakukan oleh individu tentang sesuatu
tajuk. Dalam masa yang ditentukan, penyampai syarahan akan berusaha
memperjelaskan idea atau pokok persoalan yang dibicarakan untuk mendapat sokongan
serta mempengaruhi pendengar.

Syarahan merupakan kaedah penyampaian maklumat untuk meyakinkan para


pendengar dan penonton. Gerak geri atau gaya pemidato ini amatlah penting untuk
meyakinkan penonton atau audiens. Gerak geri ini termasuklah mimik muka, cara
berpakaian dan perwatakan pemidato. Sekiranya syarahan ini dilaksanakan dalam situasi
yang betul, ia boleh membawa kesan dalam perkembangan diri individu.

Syarahan boleh dilakukan secara formal atau tidak formal. Ia juga memerlukan
satu penghuraian dan analisis bagi memperjelas perkara pokok yang ingin dinyatakan.

Aktiviti syarahan mempunyai beberapa tujuan seperti berikut:


i. Memberi penerangan
Memperjelaskan tentang tajuk yang dipilih atau diberi dan menghuraikan
perkara penting berdasarkan tajuk tersebut. Di sini penonton atau
pelajar akan mendapat maklumat baru atau mengukuhkan maklumat
yang sedia ada.
100

ii. Memberitahu
Untuk memberitahu penonton atau pendengar akan perkara baru seperti
peristiwa, perkara yang menarik hati ataupun hal ehwal semasa.
iii. Memberi keyakinan
Pemidato akan berusaha meyakinkan penonton dengan pendiriannya
tentang sesuatu perkara.
iv. Mempengaruhi
Pemidato memilih isu-isu semasa yang penting dan perlu diberi
penekanan. Pemidato akan memberi hujah-hujah untuk mempengaruhi
penonton agar memberi perhatian kepada perkara tersebut.

Pemilihan tajuk hendaklah berdasarkan beberapa perkara seperti pengalaman,


minat atau pengetahuan pelajar. Para pelajar akan menguasai syarahan dengan fasih
dan lancar jika memahami tajuk yang hendak dibincangkan tetapi berasa sukar jika
sebaliknya.

Setiap aktiviti yang dijalankan di dalam kelas atau bilik darjah hendaklah
berupaya mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang diharapkan. Objektif
pengajaran syarahan adalah untuk membolehkan para pelajar mengukuhkan kemahiran
lisan mereka. Pelajar akan dapat bertutur dengan fasih dan lancar serta boleh berhujah
secara kritis dan analisis. Mereka juga dapat melafazkan pengucapan bertatasusila,
bertutur dengan gaya, sebutan dan intonasi yang sesuai. Selain itu para pelajar juga
mampu menyusun idea dan fakta secara teratur. Pelajar-pelajar juga perlu
mempersembahkan gaya yang menarik semasa menyampaikan syarahan di samping
dapat berinteraksi dengan audiens secara langsung.

Pelaksanaan aktiviti syarahan dapat dibahagikan kepada empat objektif utama


iaitu:
i. Meningkatkan kemahiran berbahasa.
Aktiviti syarahan menjadi perkara penting untuk mengasah kemahiran
menyampaikan buah fikiran. Ketika menyampaikan syarahan, penggunaan
perkataan yang tepat dan struktur ayat yang betul sangat penting supaya
penonton memahami apa yang ingin disampaikan. Melalui aktiviti pelajar akan
berlatih menggunakan perkataan yang tepat dan bermakna dengan struktur ayat
yang betul. Dalam syarahan, penggunaan bahasa yang bertatasusila sangat-
sangat dituntut, terutama ketika memulakan syarahan, seperti ucapan salam dan
kata panggilan hormat.

ii. Meluaskan ilmu pengetahuan.


Dalam proses menyediakan syarahan, pelajar perlu membuat rujukan yang
mendalam tentang tajuk yang berkaitan. Dengan cara ini guru dapat
memupuk minat membaca di kalangan pelajar. Selain itu, aktiviti
ini
memperluaskan ilmu pengetahuan para pelajar dalam pelbagai bidang.

iii. Memupuk nilai-nilai murni.


Pelajar menggunakan pengucapan bertatasusila ketika menyampaikan
syarahan. Mereka dilatih menajamkan menajam keprihatinan mereka
101

terhadap nilai-nilai masyarakat. Dengan sendirinya, mereka dilatih


agar sentiasa peka terhadap persekitaran mereka.

iv. Mengembangkan asas kepimpinan.


Kemampuan menyampaikan maklumat yang berkesan dan bermakna adalah
asas dalam pemupukan sifat-sifat kepimpinan seseorang. Kebolehan
menyampaikan syarahan dengan sendirinya memantapkan keyakinan diri serta
menonjolkan kemampuan seseorang untuk mempengaruhi orang lain. Aktiviti
bersyarah melatih pelajar berucap di khalayak ramai. Ini dapat memupuk sifat
berani tampil ke hadapan bagi menyelesaikan masalah dan bertanggungjawab
terhadap diri sendiri dan orang lain.

Syarahan boleh dijalankan secara terbuka atau dalam bentuk pertandingan.


Seandainya syarahan dijalankan dalam bentuk pertandingan, beberapa orang pengadil
atau hakim mestilah dilantik. Selain itu penjaga masa, pengerusi majlis, juga diperlukan.
Aspek-aspek yang diadili dalam pertandingan syarahan ialah:
a. Isi syarahan.
b. Kelancaran.
c. Gaya penyampaian.
d. Intonasi.

Sebelum pengajaran syarahan dilakukan, persediaan rapi harus dilakukan untuk


menghasilkan syarahan yang baik dan bermutu. Persediaan terbahagi kepada dua iaitu
persediaan sebelum dan selepas.

Sebelum menyampaikan syarahan, seseorang pelajar yang ingin menghasilkan


syarahan yang baik dan bermutu mestilah membuat persediaan rapi. bahan yang dipilih
mestilah ditentukan terlebih dahulu. Kemudian bahan itu hendaklah diolah
menggunakan bahasa yang baik dan enak didengar. Dalam pemilihan bahan itu,
hendaklah dipastikan ianya memenuhi kehendak tajuk dan bersesuaian. Isi-isi dan fakta
hendaklah tepat. Selain itu, hujah perlu diperkukuhkan dengan mengambil contoh-
contoh yang mudah difahami dan relevan dengan tajuk.

Setiap teks syarahan yang ingin ditulis mestilah mempunyai rangka teks
(karangan) terlebih dahulu. Setiap syarahan hendaklah dimulakan dengan kata-kata
aluan yang bermula dengan pengucapan bertatasusila seperti memberi salam,
menyebut nama tetamu terhormat, hakim, menyatakan tajuk dan sebagainya. Dalam
bahagian isi, ia hendaklah dimulakan dengan definisi dan seterusnya menghuraikan
tajuk syarahan satu demi satu secara keseluruhan. Contoh-contoh hendaklah diberi bagi
memantapkan syarahan tersebut.

Untuk menjadikan penyampaian lebih menarik, bolehlah diselitkan unsur-unsur


pantun, sajak dan ungkapan yang bermakna seperti peribahasa. Akhir sekali bahagian
penutup hendaklah dibuat satu penegasan tentang tajuk sebagai kesimpulan dan
mengundur diri. Pastikan masa yang diperuntukkan dapat dipenuhi ketika
menyampaikan syarahan.
102

Latihan syarahan dan vokal hendaklah kerap diadakan. sebaik-baiknya syarahan


yang ingin disampaikan mestilah dihafal. Latihan yang kerap akan menimbulkan rasa
yakin terhadap diri pemidato.

Ketika hari pertandingan, pemidato hendaklah menyampaikan syarahannya


bersungguh-sungguh. Biasanya pertandingan diadakan peringkat bawah hinggalah ke
peringkat yang lebih tinggi. di sesebuah sekolah, pertandingan peringkat kelas boleh
diadakan untuk memilih wakil kelas. Seterusnya setiap wakil kelas ini akan bertanding
untuk mewakili sekolah di peringkat zon atau daerah. Apabila telah berjaya, wakil
daerah tersebut akan bertanding di peringkat negeri. Setelah berjaya, wakil negeri akan
dipilih untuk bertanding di peringkat kebangsaan.

2. Wawancara

Wawancara bermaksud soal jawab antara wartawan atau seseorang dengan orang yang
terkemuka untuk mendapatkan keterangan. Wawancara juga disebut temu bual, temu
ramah atau interviu. Wawancara adalah proses yang melibatkan dua pihak, iaitu
penemu ramah dan pihak yang ditemu ramah. dalam proses wawancara terdapat soalan
dan jawapan. satu pihak akan bertanya bergilir-gilir atau satu persatu manakala pihak
yang satu lagi akan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

Wawancara juga adalah proses komunikasi dua hala yang terancang dan formal.
Namun begitu, dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, aktiviti wawancara
ini boleh dijalankan di dalam kelas untuk mendedahkan para pelajar berkomunikasi
secara formal.

Aktiviti wawancara membolehkan pelajar mempertingkatkan kemahiran


berkomunikasi. Serentak dengan itu, pelajar dapat memperkembangkan kemahiran
mendengar dan bertutur dengan lebih berkesan. Selain itu aktiviti wawancara dapat
meluaskan pengetahuan para pelajar dalam berbagai-bagai disiplin ilmu. Dengan
melaksanakan aktiviti wawancara, pelajar sudah dapat melahirkan pandangan atau
pendapat dengan bernas dan relevan. Secara tidak langsung, pelajar yang mendengar
perbincangan dan penjelasan itu dapat memahami tema dan isi-isi penting dan
diperkatakan.

Melalui wawancara dapat membentuk cara berfikir yang kreatif , kritis dan
analitis. Dengan kata lain, sesuatu wawancara itu akan dapat membentuk pelajar yang
dapat berfikir secara menimbangkan sesuatu perkara dari pelbagai sudut sama ada baik
atau buruknya.

Aktiviti wawancara berpusatkan pelajar. Oleh itu, wawancara menggalakkan


pelajar mencari bahan secara ‘inkuiri penemuan’. Secara tidak langsung dapat menarik
minat pelajar dalam pembelajaran. Ianya juga dapat membuat pengekalan dengan lebih
baik dan berkesan.

Antara ciri-ciri atau sifat umum wawancara adalah seperti berikut:


103

i. Selalunya dijalankan dalam bentuk lisan, iaitu mendengar, bertutur dan


bersoal
jawab.
ii. Dalam bentuk temu bual atau temu ramah yang melibatkan dua atau tiga

orang penutur.
iii. Dijalankan dengan memberi penekanan dalam sesi bersoal jawab. Ada
soalan,
ada jawapan.
iv. Soalan pewawancara mestilah jelas, tepat dan haruslah mudah difahami

oleh semua peringkat masyarakat.


v. Dijalankan dalam dua keadaan iaitu formal dan tidak formal. Keadaan formal
melibatkan tempat dan suasana yang sesuai manakala tidak formal
dilakukan secara spontan berdasarkan peristiwa dan tempat kejadian.
vi. Wawancara yang dijalankan mestilah mempunyai tajuk khas yang ingin
dibincangkan. Topik-topik ilmiah dan ehwal semasa biasanya menjadi
pilihan. Contohnya seperti masalah pendidikan, masalah sosial, politik,
seni dan budaya, sukan dan sebagainya.
vii. Dalam sesi wawancara melibatkan dua atau tiga orang iaitu penyoal
(pewawancara) sebanyak seorang atau dua dan seorang tokoh yang ingin
diwawancara.

Aktiviti wawancara memerlukan perancangan yang teliti sama seperti aktiviti


bahasa yang lain. secara amnya, perancangan ini dibahagikan kepada tiga tahap iaitu
sebelum wawancara, semasa wawancara dan selepas wawancara.

Sebelum wawancara, kumpulan sasar untuk menjalankan aktiviti ini mestilah


ditentukan terlebih dahulu. Pelajar-pelajar yang terlibat mestilah pelajar yang
mempunyai kemahiran dalam komunikasi dan mempunyai pengetahuan sedia ada yang
cukup. Selain menentukan tajuk, guru juga harus menentukan objektif pengajaran
dalam konteks wawancara, bentuk wawancara, latar dan tokoh-tokoh yang hendak
diwawancara. guru harus merancang dan menyediakan tempat yang sesuai, alatan yang
digunakan, dan alat bantu mengajar yang sesuai. Pewawancara juga harus
menyediakan set soalan untuk diajukan kepada tokoh yang ingin diwawancara. Tokoh
tersebut boleh dilakonkan oleh rakan pelajar. bagi tokoh yang ingin diwawancara, dia
juga perlu menyediakan jawapan yang tepat bagi soalan-soalan yang akan
dikemukakan.

Semasa sesi wawancara dijalankan, pastikan alat-alat yang ingin digunakan


berfungsi dengan baik. jika ingin menggunakan perakam video, pastikan ada petugas
yang berkemahiran mengendalikannya. Pewawancara harus peka terhadap tindak balas
orang yang diwawancara. Pewawancara juga mestilah bijak mengawal soalannya satu
demi satu. unsur-unsur spontan banyak berlaku dalam situasi seperti ini.

Selepas wawancara, pewawancara harus mengucapkan terima kasih kepada


tokoh yang diwawancara. Berikan cenderahati sebagai kenangan. Pewawancara boleh
menyusun semula hasil wawancara dalam bentuk laporan atau membuat ulasan.
104

Penyusunan isi hendaklah jelas untuk memudahkan pendengar atau penonton membuat
rumusan dan kesimpulan pula.

3. Deklamasi Puisi

Aktiviti deklamasi puisi adalah pembacaan puisi dengan cara terancang dan penuh
perasaan agar pendengar dan penonton dapat memahami kandungan serta mesej yang
terkandung dalam puisi tersebut. Deklamasi puisi hendaklah dibuat dengan sebutan
yang baik agar persembahan menjadi menarik dan menimbulkan minat pendengar serta
penonton. Pendeklamasi puisi atau deklamator perlulah memahami isi, menghayati
mesej dan seterusnya melafazkan puisi dengan sebutan jelas dan teratur. Sebaik-
baiknya, deklamator menghafal puisi yang ingin disampaikan terlebih dahulu.

Keberkesanan aktiviti mendeklamasi puisi banyak bergantung pada suara


pendeklamasi. Suara yang lantang dan sedap didengar ini lebih menarik. Persembahan
puisi menjadi lebih menarik sekiranya diiringi dengan aksi lakonan atau irama muzik
yang sesuai.

Puisi ialah bidang kesusasteraan yang mengandungi bahan kreatif yang


mempunyai kesenian tersendiri yang indah. Oleh sebab sifatnya demikian, ia mestilah
disampaikan dengan hasrat untuk memupuk dan menyuburkan daya kreatif dan
imaginasi para pelajar. Pengajaran puisi harus mementingkan nilai-nilai kehalusan dan
keindahan.

Bahan puisi amat relevan dalam pengajaran bahasa Melayu. Dengan


penggunaan puisi, aktiviti pengajaran bahasa dapat dipelbagaikan untuk meningkatkan
keberkesanan sesuatu pengajaran. Antara kegunaan puisi dalam pengajaran bahasa
Melayu ialah sebagai bahan latihan, isi pelajaran atau sebagai satu aktiviti penglahiran
idea, perasaan dan pengolahan kata-kata yang indah dan kadangkala simbolik. Hakikat
ini disokong pula oleh sifat puisi itu sendiri yang mempunyai daya tarikan agar pembaca
terus membacanya.

Matlamat penggunaan bahan puisi adalah untuk membimbing pelajar ke arah


mewujudkan masyarakat yang seimbang di samping melahirkan anggota masyarakat
yang berperibadi dan berakhlak mulia serta berpegang kepada nilai-nilai murni. Dalam
penggunaan bahasa, bahan puisi itu sendiri digunakan untuk mengajar kefahaman,
perbendaharaan kata, erti rangkai kata, dan tatabahasa.

Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu


harus mengambil kira perbezaan-perbezaan yang wujud di kalangan para pelajar.
Mereka berbeza dari segi kebolehan, bakat, kemahiran, latar belakang keluarga,
pengalaman dan minat. Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
i. Cara-cara penyampaian pengajaran.
ii. Guru hendaklah bertindak sebagai penggerak atau pembimbing.
iii. Guru hendaklah sentiasa kreatif dan imaginatif.
iv. Guru bijak menggunakan latar yang sesuai.
v. Beri kebebasan pelajar memberi pendapat.
105

vi. Guru hendaklah mementingkan nilai-nilai keindahan. Pengajaran hendaklah


bertumpu kepada nilai-nilai keindahan itu untuk dihayati.
vii. Guru mempunyai kesungguhan dan minat.
viii. Pengajaran dan pembelajaran bahan puisi bersifat kognitif kerana guru dapat
mengukur perluasan perbendaharaan kata pelajar berhubung dengan
bahasa yang digunakan dalam sesebuah puisi.

Terdapat dua kaedah yang biasa digunakan dalam pengajaran puisi iaitu kaedah
struktural dan kaedah mengalami dan menghayati.
i. Kaedah Struktural
Digunakan untuk memahami aspek-aspek kesusasteraan, struktur dan
binaan sesebuah puisi. Pelajar dapat mengupas tema dan pandangan
yang ingin disampaikan oleh pengarang. Selain itu, pelajar dapat
menggunakan gaya bahasa, nada atau simbol yang betul dan tepat.
Ianya juga dapat
menggambarkan suasana yang ingin disampaikan oleh penulis (penyair)
dalam puisinya.

ii. Kaedah Mengalami dan Menghayati


Menekankan penikmatan untuk dirasakan dan dihayati sepenuhnya.
Tujuannya supaya pelajar dapat menghayati sesuatu karya itu sepenuhnya
dengan melibatkan aspek-aspek kerohanian dan jiwa iaitu sifat-sifat
intrinsik manusia, iaitu sesuatu yang abstrak dan tidak dapat dirasai
dengan pancaindera manusia tetapi hanya dapat berfikir. Pelajar
juga dibimbing dengan aktiviti mentafsir persoalan-persoalan
yang rumit daripada puisi.

4. Bercerita

Bercerita merupakan satu teknik yang penting dalam pengajaran bahasa. Pelajar
didedahkan dengan pelbagai corak cerita bukan untuk tujuan hiburan semata-mata
tetapi ia lebih menekankan kepada tujuan untuk menambahkan pengetahuan.

Teknik bercerita mempunyai beberapa unsur membina yang terselindung di balik


cerita tersebut. Unsur-unsur positif ini dapat membina bahasa pelajar seperti melatih
pemahaman, memperluaskan perbendaharaan kata dan sebagainya. Oleh sebab
bercerita merupakan aktiviti lisan yang penting, ia memerlukan beberapa teknik dan
kaedah yang tertentu, misalnya menunjukkan gambar tunggal atau bersiri, menyuruh
pelajar menceritakan cerita-cerita pendek yang mereka tahu, melakonkan sesebuah
cerita serta mendengar cerita daripada guru ataupun pita rakaman.

Terdapat empat langkah utama bagi guru melaksanakan aktiviti cerita yang
difikirkan sesuai iaitu:
i. Penerangan guru tentang rangkai kata yang susah berdasarkan cerita.
ii. Mengarahkan pelajar supaya berkumpul di hadapan kelas.
iii. Menguji kefahaman pelajar dengan cara mengemukakan soalan.
iv. Mengungkapkan beberapa kesan dan pengajaran daripada cerita tersebut.
106

Berbagai-bagai aktiviti boleh dijalankan oleh guru dalam melaksanakan aktiviti


bercerita. Antaranya:
i. Menyampaikan cerita secara lisan. Boleh juga dilakukan melalui bahan seperti
buku cerita, video dan filem. Pelajar mendengar dan menghayati cerita.
ii. Menyambung cerita. Pelajar akan menggunakan daya imaginasi untuk
merangka
permulaan ataupun kesudahan cerita itu.
iii. Membina cerita daripada bahan rangsangan. contoh bahan rangsangan yang

boleh diambil ialah gambar-gambar daripada lukisan, buku, poster, foto,


lutsinar, slaid, kartun, potongan akhbar atau komik. Selain itu boleh juga
menggunakan gambar rajah, peta, jadual dan graf ataupun pelan.
Guru yang kreatif boleh menggunakan boneka sebagai bahan yang menarik.

Persamaan dan Perbezaan Aktiviti Lisan

Sebagaimana dinyatakan dari awal, empat aktiviti lisan yang dipilih ialah syarahan,
wawancara, deklamasi puisi dan bercerita. Berikut dinyatakan ciri-ciri persamaan dan
perbezaan setiap aktiviti tersebut. untuk melihat perbandingan dengan mudah, ciri-ciri
tersebut diturunkan dalam bentuk jadual di bawah.

Jadual 1: Perbandingan Empat aktiviti Lisan (Persamaan dan Perbezaan)

Ciri-ciri Syarahan Wawancara Deklamasi Bercerita


Puisi
1. Tujuan -meningkatkan -meningkatkan -menilai dan -menambahkan
kemahiran kemahiran menghayati ilmu
bahasa komunikasi bentuk puisi pengetahuan
-meluaskan ilmu - - -membina
pengetahuan memperkemban mengembangkan bahasa
-memupuk nilai- g-kan kemahiran kemahiran -memperluaskan
nilai murni lisan menilai perbendaharaan
- -melahirkan -memupuk nilai- kata
mengembangkan pendapat yang nilai murni -melatih
asas kepimpinan bernas pemahaman
-membentuk
cara berfikir
kreatif/kritis

2. Jenis -formal -formal -puisi moden -cerita lisan


-tidak formal -tidak formal (sajak) -menyambung
-puisi lama cerita
(pantun, syair, -membina cerita
gurindam) daripada bahan
rangsangan
107

3. Kaedah -secara terbuka -seorang -kaedah -bercerita


-bentuk pewawancara struktural daripada bahan
pertandingan dan seorang -kaedah -menonton
tokoh mengalami dan -mendengar
-lebih seorang menghayati -membuat
pewawancara ulasan
dan seorang
tokoh

4. -memberi tajuk -memberikan -menentukan -menentukan


Persediaan -menetapkan tema tema tema
guru masa -memilih peserta -memilih peserta -menetapkan
-menentukan (pelakon) (pendeklamasi) masa
bentuk aktiviti -menjelaskan -mengadakan -menyediakan
-menyediakan skop soalan yang latihan bahan bantu
peralatan hendak ditanya -menentukan mengajar (BBM)
-mengadakan -menyediakan masa dan -membuat
latihan tempat tempat perancangan
-melantik hakim -melantik -melantik hakim pengajaran
atau jurugambar (jika (jika
jawatankuasa perlu) pertandingan)
-membuat -membuat dan
rancangan rancangan jawatankuasa
pengajaran pengajaran -membuat
rancangan
pengajaran

5. -memilih tajuk -menyediakan -memilih puisi -memilih cerita


Persediaan -membuat soalan -menghafal dan -memahami
murid rujukan -menyediakan berlatih cerita
-menyediakan jawapan (jika -memahami puisi -mengambil
teks menjadi tokoh) -mendeklamasi nilai-nilai mulia
-menghafal dan -berlatih dengan baik -menghafal skrip
berlatih -tidak perlu (jika berlakon)
-bersyarah menghafal -menyediakan
dengan baik -melakukan pakaian dan
aktiviti dengan kostum (jika
baik berlakon)
-menyampaikan
cerita dengan
baik

6. -pemidato -pewawancara -pendeklamasi -pencerita


Penglibata -penjaga masa -tokoh yang -juruacara -pelakon
n murid -penyedia alatan diwawancara -penonton -penonton
108

-pengerusi majlis -penonton -pencatat


-penonton

7. -menyediakan -memilih tema -menyetujui puisi -memilih cerita


Bimbingan teks -menentukan yang dipilih -menentukan
guru -menganjurkan soalan -menganjurkan aktiviti
pertandingan -memilih tokoh pertandingan -
-berlatih -mencari -berlatih mempelbagaikan
-melantik jurugambar -melantik aktiviti
jawatankuasa -menentukan jawatankuasa
tempat

8. Bahan -teks syarahan -teks /skrip -puisi -cerita atau skrip


-pembesar suara -pembesar suara -pembesar suara -pembesar suara
-kertas -hadiah/ -kertas -kostum
pemarkahan cenderamata pemarkahan -pelakon
-hadiah -kamera -hadiah

9. Tajuk -bebas -bebas -bebas -bebas


-ehwal semasa -ehwal semasa -diambil dari -diambil dari
karya orang lain cerita orang lain
-ditulis sendiri -ditulis sendiri

10. -membuat -membuat -membuat -membuat


Selepas rumusan ulasan dan ulasan ulasan
aktiviti -memberi hadiah rumusan -memberi hadiah
-mengambil
-memberi iktibar
cenderamata -memberi hadiah
(jika perlu)
11. Hasil -menarik minat -menarik minat -menarik minat -menarik minat
P&P -membina -membina -membina -membina
keyakinan keyakinan keyakinan keyakinan
-menambah ilmu -menambah ilmu -meminati karya -meminati karya
dan maklumat dan maklumat seni dan sastera seni dan sastera
-menambah ilmu -menambah ilmu
dan maklumat dan maklumat

Daripada rajah di atas dapatlah kita lihat perbandingan iaitu persamaan dan
perbezaan setiap satu aktiviti lisan yang dipilih. Setiap ciri yang diberikan adalah ciri
utama yang perlu diberi perhatian dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti tersebut.
Dapat kita simpulkan di sini bahawa ada aktiviti yang mempunyai persamaan
dalam beberapa aspek. contohnya pertandingan syarahan dan pertandingan deklamasi
puisi memerlukan pelajar menghafal, bertanding, menyampaikan gaya yang menarik
dan diadili oleh hakim. Namun terdapat juga perbezaan yang ketara seperti aktiviti
wawancara yang tidak sesuai dijalankan secara pertandingan. Manakala aktiviti cerita
pula boleh dipelbagaikan.
109

Penutup

Aktiviti lisan memainkan peranan penting untuk menarik perhatian para pelajar dalam
sesi pengajaran dan pembelajaran. dengan adanya aktiviti lisan, pelajar berpeluang
menampilkan bakat, selain dapat berinteraksi dengan baik dan teratur bersama-sama
guru dan rakan-rakan. Sekali gus objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai. Selain
itu, penguasaan pelajar terhadap bahasa Melayu akan bertambah baik.

Minat pelajar untuk terus mengikuti pelajaran pada hari berikutnya dan masa-
masa yang mendatang sangat baik. Cara pengajaran aktiviti yang teratur, adil dan
menarik akan menjadikan pelajar cepat memahami dan menguasai apa yang dipelajari.
di sini kreativiti guru sangat penting dan disokong pula oleh komitmen dan kesungguhan
pelajar.

Banyak lagi aktiviti lisan yang boleh dijalankan di sekolah. Antaranya ialah
ceramah, ucapan, perbahasan, laporan, berita, forum, pengumuman, rumusan, lakonan
drama, pengacara majlis, taklimat, perbualan, perbincangan dan beberapa aktiviti lagi.

Rujukan

Dewan Bahasa dan Pustaka,1992, Siri Panduan Guru Kurikulum Baru Sekolah Rendah
Jilid 7: Aktiviti Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Jilid 4 . Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamarudin Hj.Husin, 1988, Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya: Longman Malaysia
Sdn.Bhd.
Kamarudin Hj.Husin, 1990, Pengajaran dan Pembelajaran Lisan . Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Kamarudin Hj.Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, 1995, Permainan Bahasa. Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Kamarudin Hj.Husin, 1989, KBSM dan Model-model Pengajaran Bahasa . Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, 1997, Aktiviti Lisan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman
Sdn.Bhd.

* daripada Bab 10 buku Interpretasi dan Pedagogi Bahasa Melayu (Ariff Mohamad,
2012, penerbit UPSI)

You might also like