You are on page 1of 31

Isi Kandungan

1.0 Pengenalan ................................................................................................................................ 1


2.0 Definisi Keterangan Dengar Cakap .......................................................................................... 3
3.0 Jenis-Jenis Keterangan Dengar Cakap ...................................................................................... 6
4.0 Kerelevanan Keterangan Dengar Cakap (Pengecualian Dengar Cakap) .................................. 9
4.1 Seksyen 32 (1) (a) ............................................................................................................... 10
4.2 Seksyen 32 (1) (b) ............................................................................................................... 11
4.3 Seksyen 32 (1) (c) ............................................................................................................... 12
4.4 Seksyen 32 (1) (d) ............................................................................................................... 13
4.5 Seksyen 32 (1) (e) ............................................................................................................... 13
4.6 Seksyen 32 (1) (f) ................................................................................................................ 15
4.7 Seksyen 32 (1) (g) ............................................................................................................... 16
4.8 Seksyen 32 (1) (h) ............................................................................................................... 16
4.9 Seksyen 32 (1) (i) dan (j)..................................................................................................... 16
5.0 Kaedah Bertentangan Dengan Keterangan Dengar Cakap ..................................................... 18
5.1 Seksyen 73A AK ................................................................................................................. 18
5.2 Keadaan–Keadaan yang membolehkan Pernyataan Boleh Diterima di bawah Seksyen
73A ............................................................................................................................................ 18
5.2.1 Pembuat pernyataan dipanggil untuk memberi keterangan .......................................... 18
5.2.2 Pembuat pernyataan tidak dipanggil untuk memberi keterangan ................................. 19
5.2.3 Pengemukaan Dokumen Asal ....................................................................................... 21
5.3 Perbezaan Antara Seksyen 32(1)(b) dan Seksyen 73A AK ................................................ 22
6.0 Kes Yang Berkaitan Pengecualian Dengar Cakap Di Malaysia ............................................. 23
7.0 Penutup ................................................................................................................................... 27
8.0 Rujukan ................................................................................................................................... 29
9.0 Lampiran ................................................................................................................................. 30
1.0 Pengenalan

Prinsip am di dalam undang-undang keterangan ialah hanya keterangan yang terbaik sahaja

boleh diterima sebagai keterangan di mahkamah. Ini bermakna sesuatu keterangan hanya

boleh dikemukakan oleh seorang saksi berdasarkan fakta yang beliau tanggap melalui

pancaindera sahaja. Keterangan yang diberikan oleh seorang saksi berdasarkan apa yang dia

dengar daripada pihak lain tidak boleh diterima sebagai keterangan jika pembuat pernyataan

itu tidak hadir di mahkamah sebagai saksi. Keterangan jenis ini dikenali sebagai keterangan

dengar cakap. Namun keterangan dengar cakap ini mempunyai beberapa pengecualian yang

telah diperuntukkan di dalam Akta Keterangan. Dengan kata lain ianya adalah satu

keterangan dengar cakap yang boleh diterima oleh mahkamah dan boleh di angkat menjadi

satu keterangan yang relevan.

Melalui beberapa pembacaan, beberapa isu pengecualian keterangan dengar cakap

seakan-akan berkait dengan Doktrin Res Gestae yang mana merupakan salah satu

pengecualian kepada keterangan dengar cakap yang terpakai dalam common law.

Pengecualian tersebut dinyatakan dalam seksyen 6 Undang-undang Keterangan 1950 (AK).

Doktrin Res Gestae berbeza aplikasinya dalam common law dan daripada perspektif

Malaysia. Perbezaan tersebut menunjukkan bahawa peruntukkan undang-undang di Malaysia

sudah semakin berkembang dan mampu berdiri dengan sendiri. Hal ini kerana, pemakaian

doktrin Res Gestae dalam menjadi satu pengecualian bagi kebolehterimaan keterangan

dengar cakap di Malaysia adalah berbeza dari segi pendekatannya yang digunakan

berbanding common law.

Seperti yang telah diketahui, keterangan dengar cakap secara semula jadinya adalah

satu keterangan yang lemah. Oleh yang demikian, pengecualian bagi keterangan dengar

cakap adalah untuk memberi satu kekuatan kebolehterimaan keterangan dengar cakap ini

1
untuk menguatkan sesuatu kes dalam perbicaraan yang kekurangan bukti sokongan di

mahkamah. Justeru, dalam tugasan kerja khusus kali ini, akan dibincangkan beberapa perkara

penting berkaitan pengecualian keterangan dengar cakap dan kebolehterimaannya di

mahkamah.

2
2.0 Definisi Keterangan Dengar Cakap

Keterangan dengar cakap adalah satu penegasan yang dibuat oleh seseorang yang tidak

dipanggil sebagai saksi di mahkamah. Walau bagaimanapun, tidak semua penegasan yang

dibuat oleh seseorang yang tidak dipanggil sebagai saksi di mahkamah akan terjumlah kepada

keterangan dengar cakap. Di dalam kes Public Prosecutor v Tan Kok An, Hakim Abdul Malik

Ishak menyatakan:

Ujian untuk menentukan keterangan secara langsung dan keterangan dengar cakap

adalah: “Jika ianya adalah keterangan secara langsung, untuk membuktikannya, mahkamah

akan bergantung kepada kenyataan seorang saksi, manakala jika ianya keterangan dengar

cakap, ianya bukan hanya bergantung kepada saksi tersebut sahaja tetapi saksi yang lain

juga”.

Keterangan dengar cakap tidak boleh diterima masuk oleh mahkamah sebagai satu

bentuk keterangan kerana ia adalah bertentangan dengan prinsip bahawa keterangan lisan

mestilah diberikan secara langsung di samping untuk mengelak bahaya keterangan tersebut

direka-reka oleh saksi. Keterangan dengar cakap juga boleh diperiksa balas untuk menguji

kebenaran keterangan tersebut. Didalam kes Teper v R. Lord Normand menyatakan bahawa

keterangan dengar cakap bukanlah satu keterangan terbaik kerana ia boleh direka-reka dan

disesuaikan dengan keterangan seseorang saksi. Di samping itu, seseorang hakim juga tidak

mempunyai peluang untuk memerhatikan gerak geri pembuat pernyataan tersebut di

mahkamah. Proses memerhati gerak- geri seseorang saksi adalah penting untuk menentukan

kebolehpercayaan keterangan saksi berkenaan.1

1 Jal Zabdi Mohd Yusoff. 2003. Pengenalan Undang-Undang Keterangan di Malaysia. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya. Hlm.85-86.

3
Menurut Sir Agustine Paul dalam bukunya bertajuk Evidence Practice and Procedure,

beliau mengatakan bahawa Keterangan dengar cakap adalah bukti yang tidak langsung.

Keterangan langsung adalah testimoni orang yang membuktikan secara langsung kepada

Mahkamah menurut pengetahuannya sendiri atau pemerhatian suatu fakta. Keterangan yang

tidak langsung adalah apa yang saksi buktikan di Mahkamah tentang apa yang beliau dengar

daripada pihak ketiga yang tidak dipanggil sebagai saksi. Keterangan saksi itu tidak boleh

diterima untuk membuktikan kebenaran fakta yang dinyatakan. Ini adalah bentuk paling

umum keterangan dengar cakap. Merujuk kepada satu kenyataan yang dibuat kepada saksi

oleh seseorang yang bukan dirinya dipanggil sebagai saksi bermakna bahawa prinsip am itu

digambarkan sebagai keterangan dengar cakap. (sila lihat Pendakwa v Dato' Seri Anwar bin

Ibrahim:

"Keterangan dengar cakap adalah keterangan sekunder yang terdiri daripada apa-apa

pernyataan lisan, misalnya Bilakah saksi A berkata bahawa B memberitahu beliau tentang

berlakunya peristiwa X (walaupun B bukanlah dihadapan Mahkamah). Penegasan A tentang

kejadian X tidak berasaskan pemerhatian sendiri yang dia tidak layak untuk bercakap

dengannya. Pernyataan B yang dibuat di luar Mahkamah tidak boleh diterima kerana ia tidak

boleh tertakluk kepada pemeriksaan balas dan teks-teks lain. Tetapi jika objektif adalah

hanya untuk membuktikan pernyataan B (dan bukan untuk membuktikan keterangan kejadian

tersebut), A ialah kompeten untuk bercakap dengannya dan ia boleh diterima jika ia

mempunyai perkaitan apa-apa dalam kes.2

Manakala penulis buku Phipson on Evidence pula mendefinisikan keterangan dengar

cakap sebagai "Keterangan dengar cakap" keterangan tersebut adalah tidak boleh di bawa

masuk ke dalam mahkamah. Perkataan (dengar-cakap) membayangkan bahawa seorang saksi

2 Augustine Paul. 2003. Evidence Practice and Procedure. Third Edition. Kuala Lumpur: Malayan Law
Journal Sdn Bhd. Hlm.550-551.

4
dihalang daripada memberi keterangan yang didengar di luar. Keterangan dengar cakap tidak

ditakrifkan oleh sifat bukti-bukti (dengan membuat kenyataan), tetapi penggunaan yang

mana ia diletakkan. Untuk mengecualikan sesuatu keterangan itu sebagai keterangan dengar

cakap, keterangan tersebut harus bergantung atas tujuan membuktikan perkara yang

dinyatakan itu.3

Walaubagaimanapun, prinsip am keterangan dengar cakap yang tidak diterima oleh

mahkamah ini boleh ditentang dengan peruntukkan undang-undang mengenai beberapa

pengecualian keterangan dengar cakap. Dengan kata lain keterangan yang diberikan oleh

seorang saksi itu adalah sejenis keterangan dengar cakap namun keterangan tersebut

mendapat pengecualian disisi mahkamah berdasarkan peruntukkan di dalam Akta

Keterangan 1950. Elemen pengecualian keterangan dengar cakap adalah sangat penting

untuk di bawa ke dalam mahkamah kerana terdapat unsur-unsur keadilan yang perlu diteliti

dalam proses mahkamah membuat keputusan.

3 Hodge M. Malek. 2005. Phipson on Evidence. 16th Edition. London: Sweet and Maxwell. Hlm.773.

5
3.0 Jenis-Jenis Keterangan Dengar Cakap

Di dalam undang-undang keterangan, terdapat beberapa kategori keterangan dengar cakap.

Pertama, keterangan dengar cakap dalam bentuk pernyataan, kedua, keterangan dengar cakap

melalui kelakuan dan ketiga, keterangan dengar cakap dokumentari.4

(i) Bentuk pernyataan

Keterangan pernyataan atau lisan' bermaksud segala pernyataan yang mahkamah dibenarkan

atau dikehendaki dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta

yang ditakrifkan oleh seksyen 3 Akta Keterangan (AK). Seksyen 119 AK juga

memperuntukkan bahawa keterangan saksi yang tidak dapat bercakap dan diberikan dalam

apa-apa cara, seperti, misalnya, dengan tulisan atau dengan tanda-tanda boleh disifatkan

sebagai keterangan lisan. 5

Contohnya, prinsip am keterangan dengar cakap diaplikasikan pada common law di

mana pihak pendakwaan, untuk membuktikan bahawa tertuduh telah membunuh si mati,

ianya bergantung dengan kenyataan lisan yang dibuat oleh si mati sejurus selepas dia

diserang di mana beliau menamakan penyerang beliau. Ia harus diperhatikan bahawa

kenyataan tersebut adalah diterima di bawah pengecualian prinsip am keterangan dengar

cakap.

(ii) Bentuk perlakuan

Keterangan berbentuk perlakuan adalah satu keterangan oleh mana-mana orang yang

dipanggil sebagai saksi mengenai perlakuan yang dilakuan semasa kejadian tersebut. Sebagai

contoh di dalam kes jenayah, prinsip am dengar cakap adalah terpakai juga kepada pihak

4 Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm. 86.


5 Augustine Paul. Op. Cit. Hlm. 540.

6
pendakwaan untuk membuktikan bahawa tertuduh telah membunuh si mati dengan syarat

bahawa selepas leher si mati dikelar oleh tertuduh, dia mengenali identiti tertuduh itu yang

telah mengelar lehernya. Berdasarkan kes R v Chandrasekera, Keterangan Chandrasekera

adalah diterima sebagai satu pengecualian keterangan dengar cakap.6

(iii) Bentuk dokumentari

Prinsip am di dalam keterangan dengar cakap juga terpakai kepada keterangan dokumentari.

Jika sesuatu pihak ingin membuktikan kebenaran sesuatu pernyataan yang dibuat di dalam

sesuatu dokumen, maka pembuat dokumen itu hendaklah dipanggil untuk memberi

keterangan di mahkamah. Kegagalan untuk mengemukakan pembuat dokumen di mahkamah

akan menyebabkan kandungan dokumen itu dianggap sebagai keterangan dengar cakap.

Perkataan dokumen ditakrifkan dalam Seksyen 3 Akta Keterangan yang bermaksud

apa-apa hal yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-

apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung didalam

cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua pun peranti lain, dengan menggunakan 7

(a) huruf angka, tanda, simbol, isyarat, lambang, atau apa jua pun bentuk pernyataan,

perihalan, atau gambaran lain ;

(b) apa-apa rakaman visual (sama ada imej kaku atau bergerak);

(c) apa-apa rakaman bunyi, atau apa-apa jua pun rakaman elektronik, magnetik,

mekanikal atau rakaman lain dan walau bagaimana jua pun dibuat, atau apa-apa

bunyi, dedenyut elektronik, atau apa jua pun data lain;

6 Michael Stockdale & Christina McAlhone. 2008. Evidence in a Nutshell. 5th Edition. London: Sweet
& Maxwell. Hlm.96-97.
7 Augustine Paul. Op. Cit. Hlm. 565.

7
(d) sesuatu rakaman, atau pemancaran, dari sudut jarak, apa-apa hal dengan mana-

mana, atau apa-apa kombinasi, cara yang disebut dalam perenggan (a), (b) atau (c),

atau dengan lebih daripada satu cara yang disebut dalam perenggan (a), (b), (c) dan

(d), yang dimaksudkan untuk digunakan atau yang mungkin digunakan bagi tujuan

menyatakan, memperihalkan, atau dengan apa jua cara sekalipun.

8
4.0 Kerelevanan Keterangan Dengar Cakap (Pengecualian Dengar Cakap)

Di dalam seksyen 32 Akta Keterangan (AK), terdapat beberapa keadaan sesuatu keterangan

dengar cakap itu boleh diterima sebagai keterangan yang relevan. Terdapat beberapa elemen

yang harus dipenuhi sebelum seksyen 32AK boleh digunakan. Pihak yang ingin

menggunakan seksyen 32AK harus membuktikan bahawa pernyataan berkenaan dibuat oleh

seseorang yang telah mati atau tidak dapat dijumpai, atau yang telah menjadi tak daya

memberi keterangan, atau kehadirannya tidak dapat diperolehi tanpa kelengahan atau

perbelanjaan yang pada pendapat mahkamah tidak berpatutan. Di samping itu, pihak

berkenaan juga harus membuktikan bahawa fakta yang hendak dikemukakan itu adalah satu

fakta yang relevan dan akhir sekali memenuhi salah satu perenggan dalam seksyen 32(1)(a)

hingga (j).8

Oleh itu, sebelum seksyen 32 AK boleh terpakai, syarat-syarat yang telah dinyatakan

di atas hendaklah dibuktikan. Peruntukan seksyen 32(1) AK biasanya terpakai kepada kes-kes

berbentuk sivil terutamanya perenggan (a) hingga (h) AK. Seksyen 32(1); pernyataan,

bertulis atau lisan, mengenai fakta yang relevan yang dibuat oleh seseorang yang telah mati

atau yang tidak dapat dijumpai, atau yang telah menjadi tak daya memberi keterangan, atau

yang kehadirannya tidak dapat diperolehi tanpa kelengahan atau perbelanjaan yang pada

pendapat mahkamah tidak berpatutan, menurut hal keadaan itu, adalah fakta relevan dalam

hal-hal berikut.9

8
Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm. 98.
9
Lihat Seksyen 32 Akta Keterangan 1950.

9
4.1 Seksyen 32 (1) (a)

Perenggan (a) kepada seksyen 32(1) AK memperuntukkan bahawa pengisytiharan

nazak atau dying declaration yang dibuat oleh orang yang membuat pernyataan tersebut

adalah keterangan yang relevan. Di dalam kes-kes pengisytiharan nazak, orang yang

membuat pernyataan tersebut mestilah telah mati semasa keterangan berkenaan dikemukakan

di mahkamah. Seseorang itu dikatakan membuat pengisytiharan nazak apabila dia membuat

sesuatu pernyataan tentang sebab kematiannya, atau tentang apa-apa hal keadaan transaksi

yang telah mengakibatkan kematiannya yang mana kematiannya menjadi fakta dalam isu.

Dalam keadaan ini, pernyataan yang dibuat oleh si mati itu berkenaan adalah relevan.

Pernyataan sedemikian adalah relevan sama ada pada waktu pernyataan itu dibuat orang yang

membuatnya telah menjangka atau tidak menjangka dia akan mati, dan walau apa jua jenis

prosiding dalam mana sebab kematiannya itu dipersoalkan.

Di bawah perenggan (a) ini juga, keterangan mengenai sebab kematian mangsa yang

hendak dibawa masuk mestilah mempunyai kaitan antara kecederaan yang dilakukan oleh

tertuduh dan kematian mangsa. Di dalam kes Chanderasekara v R, tertuduh telah dituduh

dengan kesalahan membunuh seorang wanita. Wanita berkenaan telah cedera di leher dan

telinga. Mangsa kemudiannya telah menganggukkan kepalanya apabila ditanya sama ada

tertuduh telah melakukan perkara berkenaan. Mangsa kemudiannya telah meninggal dunia.

Mahkamah menerima anggukan itu di bawah seksyen 32(1)(a) AK sebagai keterangan yang

relevan bahawa tertuduh telah menyebabkan kematian mangsa.

Seksyen 32(1) AK juga menerima masuk keterangan yang menunjukkan keadaan-

keadaan bagaimana kecederaan itu berlaku. Walau bagaimanapun, pihak yang ingin

menggunakannya harus membuktikan elemen kedekatan dari segi masa antara pernyataan

yang dibuat dengan kematian si pembuat pernyataan tersebut. Di dalam kes Haji Salleh v

10
Public Prosecutor10, mangsa telah membuat satu pernyataan sebulan sebelum kematiannya

bahawa beliau takut bahawa salah seorang daripada tertuduh mungkin akan membunuhnya.

Isunya ialah sama ada pernyataan yang dibuat itu terjumlah kepada keadaan transaksi yang

mengakibatkan kematiannya. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa, tempoh satu bukan

adalah terlalu lama untuk sesuatu pernyataan itu terjumlah kepada satu transaksi.

4.2 Seksyen 32 (1) (b)

Seksyen 32(1)(b) AK menerima masuk apabila pernyataan itu telah dibuat oleh mana-

mana orang dalam perjalanan biasa urusan dan khususnya apabila pernyataan itu terdiri dari

sesuatu catatan atau memorandum yang telah dibuat olehnya dalam buku-buku yang

disenggara dalam perjalanan biasa urusan atau pada menjalankan tugas professional; atau dari

akuan terima yang ditulis atau ditandatangani olehnya mengenai penerimaan wang, barang-

barang, sekuriti-sekuriti atau apa jenis harta; atau dari suatu dokumen yang digunakan di

dalam perdagangan, yang ditulis atau ditandatangani olehnya, atau mengandungi tarikh bagi

sesuatu surat atau dokumen lain yang biasanya ditarikh, dituliis atau ditandatangani olehnya.

Sebagai contoh, suatu catatan dalam buku harian seorang doktor bedah yang telah mati, yang

biasanya disenggara dalam perjalanan urusan, menyatakan bahawa pada suatu hari tertentu

dia telah merawat ibu A yang melahirkan seorang anak lelaki, adalah suatu fakta yang

relevan.11 Di dalam kes Sim Tiew Bee v Public Prosecutor, tertuduh telah dituduh dengan

kesalahan mengimport baranng-barang tanpa membayar cukai kastam. Semasa perbicaraan,

manifes kapal telah dikemukakan tanpa memanggil kapten kapal tersebut untuk membuktikan

kandungan manifes berkenaan. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keterangan

dokumen berkenaan adalah keterangan dengar cakap kerana kapten kapal tersebut tidak

10
Rafiah Salim. 1989. Evidence In Malaysia And Singapore: Cases, materials and commentary.
Butterworths: Minn. Hlm.251.
11
Lihat Seksyen 32 Akta Keterangan 1950.

11
dipanggil untuk memberi keterangan. Walau bagaimanapun, menurut Mahkamah

Persekutuan, memandangkan dokumen berkenaan disediakan dalam perjalanan biasa urusan

syarikat perkapalan tersebut, maka dokumen berkenaan boleh diterima masuk jika dapat

memenuhi keperluan di dalam seksyen 32(1) AK. 12

4.3 Seksyen 32 (1) (c)

Seksyen 32 (1) (c) memperuntukkan bahawa pernyataan seseorang itu menentang

kepentingan kewangan atau kepentingan kepunyaan orang yang membuatnya, atau apabila,

jika benar, pernyataan itu akan mendedahkan atau mungkin mendedahkan orang itu kepada

suatu pendakwaan jenayah atau kepada suatu guaman untuk ganti rugi. 13 Di dalam kes Public

Prosecutor v Foster Frank Edald Heinrich, tertuduh telah dituduh di bawah Akta Dadah

Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah. Tertuduh dan dua orang kawannya telah

menginap di sebuah hotel. Apabila pihak polis menyerbu bilik hotel mereka, pihak polis telah

menjumpai dadah di dalam beg kepunyaan tertuduh. Tertuduh kemudiannya telah ditangkap

dan dituduh dengan kesalahan mengedar dadah. Kedua-dua kawannya yang tidak ditangkap

telah pulang ke Jerman. Semasa perbicaraan, tertuduh ingin mengemukakan satu affidavit

yang ditandatangani oleh kawannya di Jerman yang menyatakan bahawa dadah yang

dirampas di dalam bilik hotel itu adalah kepunyaan mereka dan mereka telah meletakkannya

di dalam beg tertuduh semasa bilik mereka diserbu oleh pihak polis. 14

12
Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm. 102.
13
Lihat Seksyen 32 Akta Keterangan 1950
14
Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm. 102.

12
4.4 Seksyen 32 (1) (d)

Seksyen ini memperuntukkan kekecualian kepada kaedah menentang keterangan dengar

cakap yang keempat, iaitu pernyataan mengenai pendapat tentang kewujudan hak awam atau

adat atau sesuatu yang ada kepentingan awam atau am. Pengecualian kepada kaedah

keterangan dengar cakap ini dimasukkan kerana adalah sukar sesuatu hak awam atau adat

dibuktikan melalui keterangan langsung. Rasional bagi penerimaan keterangan seumpama ini

kerana ia melibatkan hak awam dan hak awam biasanya akan diperkatakan oleh umum.

Antara kepentingan atau hak awam yang boleh terjatuh di bawah kategori ini ialah

kepentingan kewangan atau kepentingan undang-undang atau liabiliti sesuatu komuniti.

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum perenggan (d) boleh digunakan ialah:

(a) Hak tersebut mestilah melibatkan hak awam;

(b) Orang yang memberi pendapat itu hendaklah orang yang mungkin menyedari

kewujudan hak tersebut;

(c) Dan pendapat atau pernyataan tersebut mesti dibuat sebelum kontroversi tentang hak

itu timbul.15

4.5 Seksyen 32 (1) (e)

Seksyen ini memperuntukkan mengenai kewujudan pertalian darah, perkahwinan,

pengangkatan anak antara orang-orang tertentu orang yang membuat pernyataan itu

mempunyai cara yang istimewa bagi mengetahuinya dan apabila pernyataan itu dibuat

sebeblum berbangkitnya soal yang menjadi pertikaian itu adalah keterangan yang relevan. 16

15
Ibid. Hlm. 103.
16
Lihat Seksyen 32 Akta Keterangan 1950.

13
Di dalam kes Shanmugam v Pappah, plaintif telah memohon satu deklarasi bahawa

dia adalah anak sah taraf kepada si mati. Bagi membuktikan penegasannya, plaintif telah

mengemukakan pengisytiharan statutori yang dibuat oleh si mati semasa memohon kad

pengenalan bagi plaintif yang mana plaintif kemudiannya diberi kad pengenalan. Pihak

defendan menghujahkan bahawa kandungan pengisytiharan statutori itu adalah keterangan

dengar cakap. Menurut mahkamah, seksyen 32 (1)(e) AK memperuntukkan kekecualian

kepada prinsip keterangan dengar cakap. Mahkamah menyatakan terdapat beberapa syarat-

syarat yang harus dipenuhi sebelum perenggan (e) boleh digunakan, iaitu orang yang

membuat pernyataan berkenaan hendaklah mempunyai cara yang istimewa untuk mengetahui

tentang isu berkenaan dan pernyataan tersebut dibuat sebelum timbulnya kontroversi. 17

Sebagai contoh yang perrtama, suatu pernyataan oleh A bahawa B adalah anaknya

adalah suatu fakta yang relevan. Kedua, sepucuk surat daripada bapa A yang telah mati

kepada seorang sahabatnya, memberitahu menganai kelahiran A, yang berlaku pada suatu

hari tertentu, adalah suatu fakta relevan.18 Di dalam kes Mohamed Syedol Ariffin v Yeoh Ooi

Gark, isu yang ditimbulkan adalah sama ada plaintif adalah seorang minor semasa dia

memasuki satu kontrak. Sebuah buku rekod yang disimpan oleh bapanya dikemukakan

sebagai keterangan. Buku berkenaan merekodkan tarikh keelahiran dan perkahwinan di

dalam keluaraga tersebut. Menurut mahkamah, seorang bapa mempunyai cara yang istimewa

untuk mengetahui tentang kelahiran di dalam sesebuah keluaraga dan pernyataan berkenaan

telah dibuat sebelum kontroversi itu timbul. Ahli-ahli keluarga di anggap mempunyai cara

istimewa untuk mengetahui sesuatu perkara kekeluargaan di dalam kes mengenai ahli

keluaraga mereka.19

17
Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm.104.
18
Lihat Seksyen 32 Akta Keterangan 1950.
19
Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm. 105.

14
4.6 Seksyen 32 (1) (f)

Seksyen 32(1)(f) agak sempit jika dibandingkan dengan seksyen 32(1)(c) kerana mengikut

sub-seksyen ini pertalian itu mestilah antara orang yang telah mati dan kenyataan itu dibuat di

dalam wasiat atau surat ikatan berhubung dengan hal ehwal keluarga mana-mana orang yang

telah mati, sama ada di atas batu nisan, potret keluarga atau lain-lain benda.20 Pernyataan-

pernyataan itu mestilah dilakukan sebelum kontroversi itu timbul atau dipertikaikan.

Orang yang membuat kenyataan ini tidak semestinya mempunyai jalan istimewa

untuk mengetahui perhubungan itu.21 Kes Mohamed Syedol Ariffin v. Yeoh Ooi Gark 22

merupakan kes yang melibatkan tindakan untuk mendapatkan kembali wang di mana

defendan cuba membuat pembelaan masih kanak-kanak, satu catatan berkaitan dengan tarikh

lahirnya di dalam diari ayahnya adalah relevan. Menurut mahkamah, seorang bapa

mempunyai cara istimewa untuk mengetahui tentang kelahiran di dalam sesebuah keluarga

dan pernyataan berkenaan telah dibuat sebelum kontroversi itu timbul. 23 Ahli-ahli keluarga

dianggap mempunyai cara yang istimewa untuk mengetahui sesuatu perkara kekeluargaan di

dalam kes-kes mengenai ahli keluarga mereka.24

Begitu juga dalam kes In Re Estate of Chan Chin Hee25, yang mana isu yang

ditimbulkan ialah sama ada Chan Choon Lay yang masih hidup adalah anak kepada Chan

Chin Hee yang telah mati. Mahkamah telah menerima masuk nama yang terpahat di batu

nisan sebagai keterangan yang relevan di dalam kes ini.26

20
Afridah Abbas. 1991. Keterangan Dengar Cakap Mengikut Akta Keterangan 1950 Dan Undang-
undang Keterangan Islam: Satu Perbandingan. The Law Majallah UIAM. 4: 99.
21
Ibid. Hlm. 99.
22
[1916] 2 A.C 575.
23
Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm. 105.
24
Ibid. Hlm. 105.
25
[1948] SCR 6
26
Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm. 106

15
4.7 Seksyen 32 (1) (g)

Menurut seksyen ini, keterangan dengar cakap adalah diterima sebagai keterangan jika ia

berkenaan dengan kenyataan dalam sesuatu surat ikatan atau lain-lain suratan yang

terkandung dengan apa-apa urusan seperti yang tersebut dalam seksyen 13(1) AK. 27 Seksyen

ini memperuntukkan pernyataan mengenai transaksi hak atau adat.

4.8 Seksyen 32 (1) (h)

Seksyen ini adalah mengenai kenyataan oleh beberapa orang dan menyatakan perasaan atau

sangkaan mereka berkaitan dengan perkara yang berkenaan adalah diterima 28 walaupun orang

yang membuat kenyataan itu tidak dipanggil sebagai saksi seandainya keadaan di dalam

seksyen 32 dipenuhi.

4.9 Seksyen 32 (1) (i) dan (j)

Seksyen ini adalah peruntukan yang spesifik bagi prosiding jenayah. Walaubagaimanapun,

ada yang berpendapat bahawa perenggan (i) dan (j) sedikit sebanyak akan menjejaskan

tertuduh dalam beberapa keadaan tertentu; antaranya ialah pernyataan yang dibuat di bawah

Seksyen 112 dan 113 Kanun Prosedur Jenayah boleh diterima tanpa pemberi maklumat atau

pencatat pernyataan tersebut dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah. Perenggan

(i) adalah berkenaan kerelevanan pernyataan yang dibuat semasa penyiasatan yang

diperuntukkan dalam mana-mana statut. Manakala perenggan (j) adalah berkenaan

pernyataan yang dibuat oleh pegawai awam pada menjalankan tugas-tugasnya.

27
Afridah Abbas. Op. Cit. Hlm. 99
28
Ibid. Hlm. 99

16
Kes Public Prosecutor v Mohd Jamil29, satu pernyataan telah dibuat kepada pihak

polis mengenai dadah yang dijumpai di dalam kereta yang dipandu oleh salah seorang

tertuduh. Pembuat pernyataan yang mengaku bahawa dia adalah seorang pengedar dadah

telah membuat pernyataan kepada pihak polis yang cuba mengaitkan tertuduh pertama dan

kedua dengan dadah yang dirampas. Semasa kes berkenaan di bawa ke mahkamah, pembuat

pernyataan tersebut telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, mahkamah memilih untuk

tidak bergantung kepada keterangan ini kerana kebolehpercayaan pembuat pernyataan

tersebut boleh dicabar.

29
[1993] 3 MLJ 702

17
5.0 Kaedah Bertentangan Dengan Keterangan Dengar Cakap

5.1 Seksyen 73A AK

Seksyen 73A AK merupakan seksyen yang menerima masuk keterangan dokumentari di

Malaysia. Namun begitu, hanya keterangan dokumentari di dalam kes-kes sivil sahaja yang

diterima masuk seperti yang telah diputuskan oleh seksyen 73A AK. Secara amnya, seksyen

ini memperuntukkan kebolehterimaan sesuatu pernyataan yang dibuat dalam suatu dokumen

yang mana pembuatnya dipanggil untuk memberi keterangan ataupun tidak dipanggil sebagai

saksi di mahkamah.30

5.2 Keadaan–Keadaan yang membolehkan Pernyataan Boleh Diterima di bawah


Seksyen 73A

5.2.1 Pembuat pernyataan dipanggil untuk memberi keterangan

Pihak yang ingin menggunakan seksyen 73A mestilah buktikan bahawa pernyataan

berkenaan telah dibuat di dalam dokumen dan dokumen asal mestilah dikemukakan sekali.

Selain itu, pembuat pernyataan itu mestilah mempunyai pengetahuan sendiri berkaitan

perkara – perkara yang dinyatakan dalam pernyataan tersebut. Pembuat pernyataan mestilah

dipanggil sebagai saks di mahkamah.

Di dalam kes Alliedbank (M) Bhd v Yau Jiok Hua, mahkamah menyatakan bahawa

perkataan “pernyataan” dalam seksyen 73A mestilah diluaskan tafsirannya. Mahkamah telah

merujuk kes Public Prosecutor v Paneerselvan & Ors yang menyatakaan bahawa

“pernyataan” hendaklah bermaksud “apa – apa yang tercatat dan tidak termasuk apa – apa

yang dikomunikasikan kepada pihak lain. Menurut Pesuruhjaya Kehakiman S.Augustine

Paul, apa yang dimaksudkan dalam kes Paneerselvan adalah terpakai kepada seksyen 73A

30
Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm. 91.

18
kecuali pernyataan yang terjatuh di bawah seksyen 73A(1)(a)(ii) AK yang berkenaan dengan

pernyataan oleh seseorang berdasarkan apa yang telah disampaikan kepadanya. Mahkamah di

dalam kes Alliedbank (M) Bhd v Yau Jiok Hua telah memutuskan bahawa pernyataan dalam

surat tuntutan dan kad AR adalah pernyataan mengikut seksyen 73A AK.31

5.2.2 Pembuat pernyataan tidak dipanggil untuk memberi keterangan

Seksyen 73A memperuntukkan dua keadaan yang mana pernyataan seseorang yang tidak

dipanggil sebagai saksi itu boleh diterima masuk sebagai keterangan. Umumnya, keterangan

dengar cakap tidak boleh diterima di dalam mahkamah tetapi seksyen ini telah menwujudkan

pengecualian statutory kepada prinsip itu.

1. Keadaan pertama ialah dimana proviso kepada subseksyen (1) seksyen 73A AK

terpakai. Proviso tersebut memperuntukkan :

Dengan syarat bahawa syarat yang mengkehendaki orang yang membuat pernyataan

itu dipanggil sebagai saksi tidak perlu dipenuhi jika dia telah mati atau jika oleh

sebab keadaan tubuh badan atau keadaan mentalnya dia tidak layak hadir sebagai

saksi atau jika dia berada di seberang laut dan pada praktiknya tidak munasabah

untuk mendapatkan kehadirannya, atau jika segala usaha yang munasabah untuk

mencarinya telah dibuat tanpa kejayaan.32

Jika pihak yang ingin mengemukakan suatu keterangan dokumentari itu gagal

mendapatkan kehadiran pembuat dokumen berkenaan dan ia berpunca daripada

keadaan-keadan yang telah dinyatakan dalam proviso tersebut maka keterangan

dokumentari tersebut boleh diterima masuk.

31
Ibid. Hlm. 92.
32
Seksyen 73A Akta Keterangan 1950.

19
2. Keadaan kedua pula telah diperuntukkan dalam seksyen 73A (2) AK yang mana

pernyataan di dalam sesuatu dokumen boleh diterima walaupun pembuat pernyataan

tidak dipanggil sebagai saksi. Namun begitu, pihak yang ingin menggunakan seksyen

ini perlu membuktikan bahawa akan berlaku kelewatan atau perbelanjaan yang tidak

sepatutnya sekiranya terpaksa mendapatkan pembuat pernyataan tersebut atau

mengemukakan dokumen yang asal. Penerimaan keterangan dokumentari yang

pembuatnya tidak dipanggil sebagai saksi telah diterangkan di dalam kes Arab

Malaysian Merchant Bank Bhd v Chong On Foh Medical Hall & Liquor Dealers

yang mana hakim telah menyatakan bahawa subseksyen (2) kepada seksyen 73A

adalah berasingan dengan subseksyen (1). Menurut Yang Arif Hakim 33 :

Ia harus difahami bahawa sub-s.(2) adalah berasingan dari sub-s.(1). Di bawah sub-

s. (1), pernyataan itu tidak boleh diterima kecuali:

(a) Pembuatnya sendiri memberi keterangan; atau

(b) Proviso terpakai.

Proviso itu adalah proviso kepada sub-s.(1), bukan kepada sub-s.(2). Jadi, jika

kenyataan itu tidak boleh diterima di bawah sub-s.(1), majistret sepatutnya

mempertimbangkan sama ada ia boleh diterima di bawah sub-s.(2). Pernyataan itu

boleh diterima jika Mahkamah berpuas hati bahawa kelewatan yang tidak wajar atau

perbelanjaan akan berlaku untuk memanggil pembuat itu untuk memberikan

keterangan.

Di dalam kes Kubita Agricultural Machinery Sdn Bhd v Sharizan Sdn Bhd & Anor; Sharizan

Sdn Bhd & Ors (Third Parties), mahkamah menyatakan memandangkan kes berkenaan telah

tertangguh selama 16 tahun di mahkamah kerana kesemua pembuat pernyataan di dalam

33
Jal Zabdi Mohd Yusoff. Op. Cit. Hlm. 94.

20
dokumen-dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah telah meninggalkan syarikat

tersebut dan tidak dapat dikesan maka seksyen 73AK terpakai dalam kes ini.

Seksyen 73A (6) memperuntukkan mahkamah hendaklah memberi pertimbangan

kepada segala hal keadaan dari mana sesuatu kesimpulan boleh dibuat dengan munasabahnya

mengenai ketepatan pernyataan tersebut dalam menentukan keberatan atau nilai yang hendak

diberikan kepada pernyataan yang diterima itu. Mahkamah juga harus memberikan perhatian

yang khusus dalam soal ada atau tidak pernyataan itu dibuat serentak dengan berlakunya atau

wujud fakta-fakta itu atau orang yang membuat pernyataan itu mempunyai insentif untuk

menyembunyikan atau menyalahnyatakan fakta-fakta itu.34

5.2.3 Pengemukaan Dokumen Asal

Dokumen-dokumen yang hendak dibuktikan kandungannya mestilah merupaka dokumen

yang asal. Hal ini telah diperuntukkan dibawah seksyen 73A AK. Namun begitu, salinan

yang telah disahkan boleh juga dikemukan di mahkamah. Di dalam kes Alliedbank (M) Bhd

v Yau Jiok Hua, dokumen yang dikemukan adalah salinan pendua kepada dokumen asal yang

dihasilkan dengan mesin taip. Mahkamah menyatakan bahawa dokumen salinan pendua

yang dihasilkan itu merupakan keterangan utama tetapi mestilah dibuktikan bahawa ia dibuat

pada masa yang sama. Mahkamah merujuk seksyen 73A(2)(b) AK yang membenarkan

penerimaan dokumen salinan pendua dengan syarat ia memenuhi garis panduan tertentu dan

dokumen sekunder itu mestilah disahkan sebagai salinan kepada dokumen yang asal. 35

34
Ibid. Hlm. 95.
35
Ibid. Hlm. 96

21
5.3 Perbezaan Antara Seksyen 32(1)(b) dan Seksyen 73A AK

Seksyen 32(1)(b) AK adalah terpakai bagi kes-kes jenayah dan sivil. Di bawah seksyen ini

juga, pembuat pernyataan itu mestilah mempunyai pengetahuan sendiri tentang kandungan

dokumen tersebut. Manakala seksyen 73A AK pula terpakai bagi kes-kes sivil sahaja dan ia

akan terpakai walaupun pembuat pernyataan itu tidak mempunyai pengetahuannya sendiri

tentang kandungan dokumen tersebut. Kesimpulannya, seksyen 32(1)(b) AK menerima

firsthand hearsay dan seksyen 73A AK pula menerima secondhand hearsay.36

36
Ibid. Hlm. 97

22
6.0 Kes Yang Berkaitan Pengecualian Dengar Cakap Di Malaysia

Kes Pendakwaraya lwn Mohd Fazli bin Ismail dan Esma Faizul binti Zainul Nor. Kes

ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur seterusnya tertuduh membuat

rayuan di Mahkamah Rayuan. Perayu pertama Mohd Fazli Bin Ismail dan perayu kedua,

Esma Faizul Bin Zainul Nor telah dituduh membunuh Una Angelia Oliveiro pada

menjalankan niat bersama mereka pada 14/11/2001 kira-kira jam 11.15 pagi di No 20, Jalan

Bukit Travers, Brickfields, Kuala Lumpur. Mahkamah Tinggi telah mendapati Fazli dan

Esma bersalah atas pertuduhan tersebut, mensabitkan mereka dan menjatuhkan hukuman

mati ke atas mereka. Mereka telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Namun,

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Hukuman

tersebut dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Apandi Ali dengan

memutuskan bahawa pihak pendakwa telah membuktikan melampaui keraguan yang

munasabah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun

yang sama.

Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz telah

mengemukakan 20 saksi pendakwaan. Manakala, Peguam Amer Hamzah Arshad yang

mewakili Esma Faizul dan Mohd. Fazli yang diwakili peguam Zamri Ibrahim mengemukakan

empat saksi termasuk tertuduh. Hakim Mohamed Apandi dalam penghakimannya berkata,

pada asasnya pembelaan kedua-dua tertuduh hanya penafian semata-mata dan tidak berupaya

menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Tertuduh

menafikan sebarang penglibatan dan fakta yang mengaitkan mereka dengan pembunuhan itu

kecuali fakta mengenai mereka pergi bersama-sama ke rumah mangsa kononnya untuk

menghantar kad jemputan kahwin, yang mana pada ketika itu identiti mangsa serta tertuduh

kedua, Esma Faizul dikenali oleh mangsa.

23
Hakim turut meneliti pengakuan yang dibuat oleh Esma Faizul kepada teman

wanitanya iaitu saksi pendakwa ke-10, Siti Sarah Ismail. Menurut hakim, pengakuan seperti

itu adalah suatu pengecualian kepada keterangan dengar cakap dan boleh diterima sebagai

keterangan di bawah peruntukkan Seksyen 17(2) Akta Keterangan 1950. Beliau menjelaskan

bahawa pengakuan tersebut adalah keterangan substantive yang berkaitan fakta yang diakui

dan terdapat juga undang-undang yang mengatakan sesuatu pengakuan itu adalah suatu

keterangan yang terbaik walaupun ia mengandungi kenyataan yang melepaskan (exculpatory

statement). Menurutnya lagi, selagi pengakuan itu menunjukkan penglibatan kesalahan oleh

seseorang tertuduh maka keterangan itu masih boleh diterima sebagai pengakuan.

Selain itu, Hakim Mohamed Apandi mendapati semua keterangan saksi pendakwaan

boleh dipercayai dan tiada sebab bagi mahkamah untuk tidak menerimanya. Hal ini kerana,

keterangan terbaik adalah pengakuan tertuduh yang disokong oleh fakta-fakta lain. Ia

memberikan kekuatan kepada pengakuan kerana dibuat pada hari yang sama beberapa jam

selepas kejadian bahawa mereka telah membunuh seorang wanita yang pernah berlakon

dalam drama Melayu, Kipas Anggun. Hakim pada akhir prosiding turut memberitahu

tertuduh: ''Hukuman ini bukan berakhir di sini, masih banyak peringkat lagi yang perlu

dilalui. Hanya Tuhan yang dapat menentukan masa depan kamu berdua.”

Jelas dalam kes ini, keterangan yang diberikan oleh saksi pendakwaan terhadap

pengakuan yang diberikan tertuduh adalah satu keterangan dengar cakap yang dikecualikan

kerana ianya berkait rapat dengan kejadian tersebut dan merupakan keterangan substantive

dengan fakta kejadian pembunuhan tersebut. Hakim Mohamed Apandi dalam kes ini telah

menggunakan pendekatan yang liberal terhadap keterangan dengar cakap yang mana turut

24
mngandungi elemen res gestae terhadap fakta yang terbentuk daripada satu transaksi kejadian

yang sama yang dinyatakan dalam Seksyen 6 Akta Keterangan 1950 37.

Sehubungan dengan itu, kes lain yang berkaitan adalah kes Dato’ Seri Anwar bin

Ibrahim v Public Prosecutor yang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya dengan

dialdili oleh 5 orang hakim iaitu Zulkefli, Richard Malanjum, Hasan Lah, Abu Samah Nordin

dan Zaharah Ibrahim. Kes ini diputuskan pada tahun 2016. Di dalam kes ini, pemohon

membuat permohonan untuk penerimaan keterangan tambahan bagi semakan pendengaran

permohonan. Antara persoalan yang timbul adalah, sama ada keterangan dengar cakap boleh

diterima pakai dan adakah prinsip R v Parks terpakai dalam menentukan keterangan dengar

cakap?

Di dalam kes ini, Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskan pemohon

kerana kesalahan sodomi yang boleh dihukum di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Walau bagaimanapun, atas rayuan Mahkamah Rayuan telah mengakas keputusan Mahkamah

Tinggi. Berikutan itu, pada 10 Februari 2015, mahkamah ini telah menolak rayuan perayu

terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Pemohon sekarang memohon untuk semakan semula

keputusan yang dibuat oleh mahkamah ini.

Melalui permohonan ini pemohon memohon untuk memperkenalkan keterangan lisan

Dato’ Ramli bin Yusuff (Dato’ Ramli), Timbalan Pengarah CID pada masa matan, untuk

digunakan sebagai keterangan di perbicaraan permohonan semakan semulanya, menurut s 93

Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (AMK). Dalam keterangan lisannya Dato’ Ramli telah

merujuk kepada satu kejadian di mana pemohon mengalami mata lebam (kejadian mata

lebam) semasa dia berada dalam tahanan polis akibat ditumbuk oleh mantan Ketua Polis

Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor dan konspirasi yang dikatakan oleh mantan Peguam

37
Fatin Nazirah. 2012. http://primafaciejourney.blogspot.my/2012/12/keterangan-dengar-cakap-dan.html. 9
Disember.

25
Negara Tan Sri Gani Patail dan mantan KPN Tan Sri Musa Hassan untuk mengadakan

penutupan serangan pemohon. Pemohon mendakwa bahawa keterangan lisan Dato’ Ramli

adalah keterangan tambahan yang menunjukkan rancangan yang telah diatur terlebih dahulu

sama seperti kejadian mata lebam itu, yang konsisten dengan niat untuk memerangkap

pemohon dan menyokong dakwaannya tentang satu konspirasi politik.

Pemohon dengan itu mendesak mahkamah ini untuk melaksanakan bidang kuasa

sedia adanya di bawah kadeah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 (KMP)

untuk menyemak semula kesnya. Responden membantah permohonan pemohon atas alasan

bahawa seksyen 92 AMK tidak boleh digunakan berkenaan suatu permohonan bagi semakan

semula di bawah kaedah 137 KMP; dan bahawa keterangan tambahan yang dipohon perayu

untuk diterima tidak memenuhi nilai ambang keperluan yang ditetapkan oleh undang-undang

berkaitan dan di bawah prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam autoriti-autoriti kes yang telah

diputuskan.

Namun begitu, mahkamah telah menolak permohonan pemohon. Hal ini berhubung

keperluan ketiga di bawah adalah jelas bahawa kenyataan saksi Dato’ Ramli bukan

keterangan yang boleh dipercayai. Ini adalah kerana pemohon telah gagal mematuhi

keperluan statutori kaedah 76 KMP menyebabkan afidavit pemohon menjadi dengar cakap

kerana ia cuba membuktikan kebenaran kandungan kenyataan saksi tanpa pembuat, Dato’

Ramli, diperiksa tentang hal perkara itu. Dalam kes ini pemohon tidak mengemukakan

kenyataan saksi Dato’ Ramli dalam bentuk afidavit tetapi sebagai ekshibit kepada affidavit

pemohon sendiri. Selanjutnya, kenyataan saksi Dato’ Ramli yang dikatakan menunjukkan

kebersalahan Tan Sri Mohtar dan Tan Sri Abdul Gani Patail dalam pemalsuan keterangan

tentang kejadian mata lebam itu juga keterangan berat kerana perkara itu diketahuinya

melalui Tan Sri Musa Hassan. Melalui kes ini, keempat-keempat prinsip di bawah prinsip R v

Parks adalah terpakai.

26
7.0 Penutup

Secara umumnya, keterangan yang diberikan oleh seorang saksi berdasarkan apa yang

didengarinya daripada pihak lain adalah tidak boleh diterima sebagai keterangan di

mahkamah. Keterangan dengar cakap adalah suatu penegasan yang dibuat oleh seseorang

yang tidak dipanggil di mahkamah. Namun begitu, bukan semua penegasan yang dibuat oleh

seseorang yang tidak dipanggil sebagai saksi itu terjumlah kepada keterangan dengar cakap.

Terdapat beberapa pengecualian kepada keterangan dengar cakap ini. Keterangan dengar

cakap tidak boleh diterima sebagai keterangan kerana ia sebenarnya adalah bertentangan

dengan prinsip bahawa keterangan lisan mestilah diberi secara langsung di samping ingin

mengelak bahaya keterangan daripada direka-reka atau ditokok tambah oleh seseorang saksi

itu.

Di dalam undang-undang keterangan, prinsip amnya ialah hanya keterangan yang

terbaik sahaja yang boleh diterima di mahkamah yang mana seseorang saksi itu memberikan

keterangan berdasarkan fakta-fakta yang beliau tanggap melalui pancainderanya sahaja.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip am ini dan salah

satunya ialah keterangan dengar cakap. Terdapat tiga kategori di dalam keterangan dengar

cakap iaitu;

1. Keterangan dengar cakap dalam bentuk pernyataan.

2. Keterangan dengar cakap melalu kelakuan.

3. Keterangan dengar cakap dokumentari.

Walaupun pada dasarnya keterangan dengar cakap tidak boleh diterima, Akta Keterangan

1950 telah memperuntukkan beberapa pengecualian kepada prinsip am ini. Antara

peruntukkan-peruntukkan yang berkenaan adalah seksyen 32(1) (a)-(j) dan seksyen 73A.

Secara ringkasnya, di dalam seksyen 32 AK terdapat beberapa keadaan yang boleh menerima

27
masuk pemakaian keterangan dengar cakap. Tetapi sebelum seksyen 32 AK ini boleh

digunakan, beberapa elemen mestilah dipenuhi. Pihak yang ingin mengunakan seksyen 32

AK ini harus membuktikan bahawa pernyataan berkenaan dibuat oleh seseorang yang telah

mati atau tidak dapat dijumpai, atau tidak berdaya memberi keterangan atau kehadirannya

tidak dapat dipenuhi tanpa kelengahan atau perbelanjann yang tidak berpatutan. Oleh itu,

sebelum seksyen 32 AK boleh terpakai, syarat-syarat di atas hendaklah dibuktikan terlebih

dahulu.

Seksyen 73A AK pula adalah berkaitan dengan penerimaan masuk keterangan dengar

cakap dokumentari. Amnya, seksyen ini memperuntukkan kebolehterimaan sesuatu

pernyataan yang dibuat di dalam sesuatu dokumen yang mana pembuatnya dipanggil untuk

memberi keterangan di mahkamah. Seksyen ini juga memperuntukkan kebolehterimaan

pernyataan yang mana pembuatnya tidak dipanggil sebagai saksi di mahkamah.

Kesimpulannya, keterangan dengar cakap adalah tidak relevan pemakaianya dan tidak

boleh diterima sebagai keterangan di dalam mahkamah pada prinsip amnya. Namun begitu,

terdapat pengecualian kepada prinsip ini melalui peruntukkan-peruntukkan yang telah

dinyatakan di dalam Akta Keterangan 1950.

28
8.0 Rujukan

1) Buku

Augustine Paul. 2003. Evidence Practice and Procedure. Third Edition. Kuala

Lumpur: Malayan Law Journal Sdn Bhd.

Hodge M. Malek. 2005. Phipson on Evidence. 16th Edition. London: Sweet and

Maxwell.

Jal Zabdi Mohd Yusoff. 2003. Pengenalan Undang-Undang Keterangan di Malaysia.

Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Michael Stockdale & Christina McAlhone. 2008. Evidence in a Nutshell. 5th Edition.

London: Sweet & Maxwell.

Rafiah Salim. 1989. Evidence In Malaysia And Singapore: Cases, materials and

commentary. Butterworths: Minn.

2) Jurnal

Afridah Abbas. 1991. Keterangan Dengar Cakap Mengikut Akta Keterangan 1950

Dan Undang-undang Keterangan Islam: Satu Perbandingan. The Law Majallah

UIAM. 4: 99.

3) Sumber Internet

Fatin Nazirah. 2012. http://primafaciejourney.blogspot.my/2012/12/keterangan-

dengar-cakap-dan.html. 9 Disember.

4) Statut

Akta Keterangan 1950.

29
9.0 Lampiran

Bersama ini disertakan lampiran bagi kes Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim v Public Prosecutor.

30

You might also like