You are on page 1of 8

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/275529137

KEPERCAYAAN ETNIK MELANAU DARI SUDUT PANDANG ISLAM: SUATU


ANALISA

Conference Paper · September 2014

CITATIONS READS

0 17,379

6 authors, including:

Intan Zarina Mazlan Ibrahim


Universiti Kebangsaan Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia
17 PUBLICATIONS 2 CITATIONS 40 PUBLICATIONS 129 CITATIONS

SEE PROFILE SEE PROFILE

Zaimuariffudin Shukri Nordin Ibtisam Abdullah


University Malaysia Sarawak National of Malaysia Universiti
27 PUBLICATIONS 442 CITATIONS 5 PUBLICATIONS 0 CITATIONS

SEE PROFILE SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Zaimuariffudin Shukri Nordin on 28 April 2015.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


KEPERCAYAAN ETNIK MELANAU DARI SUDUT PANDANG
ISLAM: SUATU ANALISA
Dr. Tengku Intan Zarina Bt Tengku Puji, Dr. Mazlan Bin Ibrahim, Dr. Zaimuariffudin Shukri
Bin Nordin, Ibtisam Bt Abdullah, Nozira Bt Salleh, Munirah Binti Abd Ghani.
Dr. Tengku Intan Zarina Bt Tengku Puji,
Universiti Kebangsaan Malaysia
tengkuintan97@yahoo.com

Abstract
Melanau atau a liko sering kali mengalami perubahan watak sosiobudaya. Istilah a liko mempunyai
pelbagai maksud, namun secara lebih meluas dirujuk sebagai dunia atau peribumi. Di negeri Sarawak,
etnik Melanau adalah antara yang paling ramai memeluk Islam. Masyarakat ini disusun secara
hierarki yang disebut sebagai adat bangsa dan mempunyai struktur sosial yang sangat rapat. Mereka
mempunyai pelbagai dialek seperti dialek Mukah, Dalat, Bintulu, Matu/Daro, Rejang dan sebagainya.
Justeru artikel ini cuba membincangkan tentang pegangan dan kepercayaan masyarakat etnik Melanau
Sarawak tentang asal usul makhluk, perubatan tradisional dan Pesta Kaul. Artikel ini juga
menjustifikasi kesahan kepercayaan tersebut dari sudut pandangan Islam berpandukan al-Qur‟an dan
al-Sunnah. Teknik analisa digunakan untuk menjusfikasi kepercayaan tradisional tersebut secara
kritis. Teknik tematik juga dimasukkan dalam perbahasan terutamanya dalam isu perubatan
tradisional Melanau seperti memaku, pengasapan, Baguda’, menggunakan Dakan dan Pulun.
Rumusannya, terdapat beberapa kepercayaan masyarakat Melanau yang mempunyai persamaan
konsep dengan kepercayaan masyarakat Melayu lama walaupun dalam konotasi bahasa yang berbeza
seperti tabik laut, tabik Ipok dan maaf Ipok. Ada juga kepercayaan etnik ini yang dilihat menyalahi
pandangan ajaran Islam seperti asal-usul makhluk dan manusia pertama yang dipercayai daripada
makhluk yang dikenali sebagai „Buah’, pergantungan dari sudut perubatan yang sepenuhnya kepada
Bayoh dan tow, penggunaan Dakan dalam kehidupan dan sebagainya. Kesemua adat kepercayaan
mereka ini diyakini dibantu oleh kuasa ghaib.

Kata kunci: Kepercayaan, Melanau, Islam, Quran. tradisional

1. Pendahuluan

Sarawak Bumi Kenyalang merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Bumi Kenyalang
sememangnya kaya dengan pelbagai hasil bumi, kehijauan dan masyarakat penduduknya yang
pelbagai suku dan etnik. Setiap suku mempunyai keistimewaan dan warisan budaya masing-masing
yang unik. Antara etnik yang terdapat di Sarawak adalah seperti Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh,
serta Melanau. Menurut statistik 2010 yang diambil dari Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia
2010 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Melanau merupakan suku kaum kelima terbesar
di Sarawak dengan peratusan 5% iaitu sebanyak 123,410 orang daripada keseluruhan 2,471,140
orang. Kebanyakan mereka memeluk agama Islam selain Kristian. Mereka mempunyai persamaan
dengan Melayu Sarawak dari segi cara hidup tetapi mereka memiliki budaya dan adat resam
tersendiri. Bagi Melanau bukan Muslim, mereka masih menyambut pesta tradisional animisme iaitu
Festival Kaul sebagai festival utama bagi kaum mereka. Menurut Aloysius J. Dris dalam The
Sarawak Museum Journal Edisi Disember (1997) yang dipetiknya melalui pernyataan daripada
Seminar Melanau I, “The melanaus are a definite and concrete group speaking different Melanau
dialects, sharing a common custom and culture, mainly residing in coastal areas between Kuala
Rejang in South-west and kuala Baram in the North-east.”

Melalui seminar itu juga, dapat dikenal pasti sekurang-kurangnya ada enam kumpulan dialek
Melanau dan mereka termasuk kumpulan kecil seperti Bliun, Kanowit, Balingian, Orang Miriek,

e-Proceeding of the World Conference on Integration of Knowledge (WCIK 2014),


15 - 16 September 2014, Bandung, INDONESIA. (e-ISBN 978-967-11768-9-4).
Organized by http://WorldConferences.net 141
Seduan, Segalang, Rajang, Paloh, Igan, Matu (Matu-Daro), Tatau, Segahan/ Preban, Segan (Bintulu),
Siuteng (Mukah), Oya dan Dalat.

Menurut Yasir Abd Rahman (1987) penempatan utama komuniti Melanau kebanyakannya
terletak di muara sungai dan juga anak sungai di kawasan persisiran dari daerah Rajang sehingga
daerah Bintulu. Dalam kawasan ini terdapat pusat penempatan tertentu yang berhampiran dengan laut
iaitu, Rajang, Paloh, Balawei, Daro, Matu, Igan, Oya, Mukah, dan Bintulu. Pusat-pusat yang agak di
pedalaman pula ialah seperti Dalat, Medong, Kut, Narub, Balingian dan Tatau. Pola penempatan
kesemua komuniti bercorak „lineal‟. Rumah mereka terletak di tebing sungai dan anak sungai di
kawasan tersebut. Pola penempatan ini berkaitan dengan kegiatan ekonomi kaum ini tetapi ia lebih
dipengaruhi oleh faktor alam seperti hutan dan paya yang luas.

Melalui penulisan artikel yang bertajuk “Wajah dan Identiti Melanau” oleh Nasrudin
Mohammed (1996) di dalam “Majalah Wawasan Melanau”, mengatakan mereka bergantung hidup
kepada sumber hutan tebal kerana rupa bentuk bumi di kawasan penempatan yang utama itu dibentuk
sebahagian besarnya oleh kawasan berpaya dan berhutan tebal. Sungai yang mengalir di kawasan
tersebut pula agak perlahan alirannya ke arah Laut China Selatan. Oleh sebab itu, faktor inilah yang
menjadi utama menjadikan sumber hutan sebagai kegiatan ekonomi mereka. Antara hasil hutan yang
memberi sumbangan paling besar kepada kehidupan orang Melanau sejak sekian lama adalah sagu,
rotan, madu lebah, bulu burung dan kayu balak. Menurut Yasir lagi dua kegiatan ekonomi yang paling
dikenali dan menjadi „tanda‟ kepada etnik ini adalah aktiviti penanaman dan memproses rumbia bagi
mendapatkan sagu. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, kita mengetahui bahawa pola
penempatan bagi masyarakat Melanau adalah di persisiran pantai dan tebing sungai. Faktor ini
memudahkan mereka mendapatkan bekalan air yang mencukupi yang amat perlu dalam pemprosesan
sagu. Landasan untuk menginjak isi ruyung rumbia yang sudah diparut dibuat supaya merentang dari
tiap-tiap rumah ke atas permukaan air agar ia dapat diambil dengan senang. Kegiatan ekonomi ini
dilihat begitu menarik dan penting bagi etnik Melanau sehinggakan H. S Morris (1971) di dalam
bukunya yang bertajuk “Report on a Melanau Sago Producing Community in Sarawak” telah
menghuraikan secara terperinci mengenai cara pemprosesan sagu dilakukan. Tidak dapat dinafikan
lagi, etnik Melanau adalah penanam utama rumbia, dan kebolehan mereka dalam memproses bahan
ini menjadi kanji dan bahan makanan (sagu, biskut) tidak ada tandingan daripada kaum lain.

Selain pola penempatan dan kegiatan ekonomi, perbezaan dialek juga merupakan salah satu faktor
yang menyebabkan pelbagai kumpulan dalam etnik Melanau. Menurut Yasir (1987) perbezaan pada
dialek yang terdapat di dalam komuniti Melanau adalah satu fenomena yang telah mewujudkan
tanggapan bahawa kaum ini berpecah belah. Unsur ini sebenarnya tidak dianggap ganjil kerana ia
merupakan nilai sosial, dicerminkan pada perkara seperti sebab-sebab tertentu seperti perkahwinan.
Apabila hal ini berlaku mereka yang berpindah masih lagi mengekalkan cara pertuturan dan dialek
asal mereka. Perkara ini tidak dianggap ganjil dan ia merupakan cara yang sesuai dari segi sosial bagi
seseorang itu menandakan tempat asalnya, dan sekali gus secara tidak langsung menonjolkan identiti
dan pengenalannya.

Setiap kumpulan kaum etnik walau di mana jua akan mempunyai kepercayaan dan adat
masing-masing yang tidak dapat ditinggalkan. Begitu juga dengan etnik Melanau. Satu aspek penting
dalam kehidupan seharian suku kaum Melanau ialah sistem kepercayaan yang mengawal dan
mempengaruhi cara hidup dan pemikiran seseorang. Dalam mengerjakan tugas-tugas harian, sama ada
di dalam atau di luar rumah, seseorang tidak boleh lepas daripada perhitungan tentang kewujudan
dunia ghaib.

Menurut Yasir Abd Rahman (1987), pada asasnya kepercayaan suku kaum ini bercorak
animisme, dan dipercayai bahawa soal-soal penting dalam kehidupan berkaitan dengan kuasa ghaib.
Semua fenomena semula jadi yang tidak difahami juga dikatakan bersifat ghaib. Maka tidak hairan
jika pemikiran seperti ini meresap ke dalam segala bidang kehidupan dan adat resam.
Tidak semua masyarakat etnik Melanau mempercayai mengenai pengaruh animisme ini. Masyarakat
Melanau terbahagi kepada tiga golongan berasaskan kepercayaan atau agama yang dianuti iaitu

e-Proceeding of the World Conference on Integration of Knowledge (WCIK 2014),


15 - 16 September 2014, Bandung, INDONESIA. (e-ISBN 978-967-11768-9-4).
Organized by http://WorldConferences.net 142
golongan yang menganuti agama Islam, Kristian dan juga golongan yang masih berpegang dengan
kepercayaan lama. Golongan ini yang akan dibincangkan mengenai adat dan kepercayaan mereka.

1.1. Beberapa Kepercayaan Masyarakat Etnik Melanau Tradisional

1.1.1 Asal- usul makhluk

Terdapat banyak kepercayaan tradisional etnik Melanau sama ada berkaitan dengan manusia,
corak kehidupan, adat istiadat dan perayaan. Artikel ini hanya membincangkan tiga tema mengenai
kepercayaan tradisional masyarakat Melanau iaitu asal usul makhluk, perubatan tradisional dan Pesta
Kaul. Masyarakat etnik Melanau juga mempercayai alam dan pelbagai jenis makhluk termasuk
manusia dicipta oleh Allah Tacala atau disebut Alaataala‟ dalam istilah Melanau. Namun istilah
Alaatacala dalam kepercayaan Melanau berbeza dengan Allah dalam Islam. Menurut pandangan
Dzilfawati Haji Hassan (2006) istilah ini mungkin diambil daripada Islam kerana proses perubahan
yang berlaku dalam masyarakat dan percampuran dengan orang Islam.

Menurut beliau masyarakat etnik Malanau mempercayai asalnya Alataala‟ menjadikan


manusia daripada tanah. Makhluk yang pertama diciptakan itu bernama Buah sebagai pesuruhNya.
Menurut asal cerita Buah diturunkan ke bumi dan tinggal di hulu Sungai Mukah di tempat yang
bernama Sungai Buah. Buah mempunyai seorang isteri dan anak. Suatu hari, anaknya bermain-main
di dalam sumpitannya lalu terperangkap di situ. Pada waktu senja Buah mengambil sumpitnya bagi
tujuan membersihkannya tanpa menyedari anaknya berada di dalam sumpit tersebut. Dia menilik ke
dalam lubang sumpitnya itu dan melihat ada makhluk kecil di dalamnya dan menganggap makhluk
tersebut adalah angkut-angkut, sejenis binatang dan dia tidak tahu itu ialah anaknya. Melihat ada
„binatang‟ di dalam sumpitnya, Buah menghalakan sumpitnya ke arah matahari terbenam lalu
menyumpitnya. Pada malam itu, Buah dan isterinya bermimpi anaknya datang dan memberitahu
bahawa sebenarnya dialah yang disumpitnya oleh ayahnya. Jika mahu dia kembali, ibu bapanya perlu
menetak sebuah batu yang berada di tengah-tengah hulu Sungai Mukah. Buah dan isterinya mengikut
syarat anaknya itu tetapi mereka gagal. Akhirnya Buah dan isterinya telah menjadi batu dan dipaksa
tinggal bersama-sama anaknya yang telah berada di likow a-matai (dunia kematian). Mereka tidak
dibenarkan kembali ke dunia oleh Alataala‟ dan mereka dikatakan menjadi penunggu di alam akhirat.

Menurut Jeniri (1989) kepercayaan masyarakat etnik Melanau terdapat empat elemen menjadi
asas pembentukan makhluk iaitu badan, roh (bedua), perasaan (naseng), dan nyawa. Apabila
keempat-empat elemen ini digabungkan membolehkan semua makhluk hidup dan elemen ini mesti
berada dalam keadaan yang seimbang untuk menjamin kesihatan diri mereka. Hal ini kerana
dikatakan elemen badan merupakan bahagian yang paling mudah diserang penyakit dan gangguan.
Sekiranya bahagian ini hilang keseimbangan maka naseng akan turut menjadi lemah. Akibat daripada
ketidakstabilan unsur-unsur tersebut dipercayai akan menyebabkan seseorang itu jatuh sakit atau
maut.

1.1.2 Perubatan Tradisional

Kepercayaan umum di kalangan masyarakat Melanau ialah jika sesuatu ubat tidak dapat
menyembuh penyakit, maka penyakit itu adalah disebabkan oleh makhluk halus atau kuasa ghaib.
Bomoh yang handal yang dipanggil sebagai a-bayoh yang bertindak sebagai perantara dengan kuasa
ghaib dalam usaha menyembuhkan penyakit. Menurut kebiasaan, mengubati penyakit dengan
menggunakan a-bayoh hanya dilakukan apabila cara-cara lain sudah gagal atau tidak boleh dilakukan.
Apabila cara-cara lain sudah gagal, upacara be-bayoh akan diadakan. Jika usaha ini juga gagal,
sebagai langkah terakhir, upacara pengubatan yang paling tinggi iaitu payun dilakukan. Jika tidak
sembuh juga, harapan untuk sembuh dianggap tipis. Dalam proses mengendalikannya kerana
kebolehan mereka menghubungi dan menggunakan kuasa ghaib tow dan sebagainya. Setiap a-bayoh
akan dibantu dengan tow-tow yang tertentu bagi menolong a-bayoh mengenal pasti asal-usul penyakit
yang dihadapi oleh pesakit.

e-Proceeding of the World Conference on Integration of Knowledge (WCIK 2014),


15 - 16 September 2014, Bandung, INDONESIA. (e-ISBN 978-967-11768-9-4).
Organized by http://WorldConferences.net 143
Menurut Amran & Hamidah (1993) dalam karya mereka bertajuk “Adat Resam” telah
mengemukakan beberapa cara pengubatan tradisional yang biasa dilakukan oleh masyarakat Melanau.
Kenyataan ini juga turut disebut di dalam karya Yassir (1987).

i. Memaku
Memaku adalah cara pengubatan yang paling mudah kerana hanya menggunakan paku. Cara ini
diamalkan bagi penyakit seperti sakit gigi yang amat bisa. Gigi yang sakit akan disentuh tiga kali
dengan sebatang paku kucil diikuti dengan pemujaan tertentu. Kemudian paku itu akan ditukul ke atas
sebatang tiang, dan dikatakan bahawa sakit itu akan terus hilang.
ii. Pengasapan
Cara ini digunakan terutama sekali bagi kanak-kanak yang selalu menangis bagi tempoh yang lama
tanpa henti. Cara perubatannya ialah menggunakan sabut kelapa,arang dan kemenyan yang
dinyalakan dalam bekas tertentu dan ditiup supaya kuat berasap. Bekas yang berasap itu akan dibawa
di sekeliling katil kanak-kanak tersebut oleh bomoh dengan membaca mantera-mantera tertentu bagi
menghalau hantu-hantu yang mengacau anak itu. Selepas itu barang-barang yang dinyalakan itu
dibuang ke luar jendela.

Pengasapan juga digunakan untuk mengubat orang yang sering tidak sedarkan diri. Caranya
ialah dengan mengambil sarang labah-labah dari lelangit rumah, bekas penyapu dan segenggam daun
atap diletakkan di dalam tempurung untuk dinyalakan. Pesakit akan dibaringkan dekat dengan sehelai
kain hitam. Kemudian bomoh akan membacakan mantera dengan menyeru nama-nama tow yang
dipercayai menyakiti pesakit tersebut agar berhenti daripada mengacau pesakit lagi. Kepentingan
terletak pada perbuatan mengipas asap itu pada kadar tertentu ke atas badan pesakit dan juga
penyalaan sarang labah-labah kerana tow-tow dipercayai bergantung dari situ. Selepas asap dikipas
dengan kain hitam pada kali terakhir, barang-barang yang dinyalakan dibuang di satu sudut bilik.

iii. Baguda‟
Cara ini digunakan oleh a-bayoh kerana mereka boleh menggunakan bahasa sukat untuk menghalau
tow-tow. Caranya pesakit itu akan ditilik oleh a-bayoh dengan menggunakan lilin yang dipanggil
pesilok. Kemudian kemenyan akan dinyalakan dan asapnya akan digunakan oleh a-bayoh dan digosok
pada badan pesakit. Jika tilikan a-bayoh itu betul badan pesakit akan menggigil setiap kali asap
kemenyan digosok pada badannya maka ini bermakna pemujaan a-bayoh berkesan terhadap pesakit
itu dan kemenyan itu terus digosok pada badan pesakit sehinggalah pesakit itu tidak menggigil lagi.

iv. Menggunakan Dakan

Menurut Jeniri, Rosline & Rudi (2007) cara pengubatan ini menggunakan patung-patung tow tertentu.
Dakan, merupakan patung yang diukir daripada dahan pokok rumbia oleh pakar dalam bidang ini.
Orang yang mengamalkan cara ini tidak semestinya a-bayoh atau bomoh. Kebolehan mengukir dakan
dan mengetahui penyakit yang dapat diubati itu akan diperturunkan secara ajaib melalui mimpi.
Mereka boleh mengetahui penyakit yang disebabkan tow-tow dan menentukan jenis dakan yang
sesuai untuk digunakan bagi menyembuhkannya. Antara tow yang sering menyebabkan penyakit
adalah seperti berikut:

a. Anea‟ Jejah - demam panas yang boleh menyebabkan seseorang


hilang ingatan dan akhirnya gila.
b. Gelap Da-at - pening kuat dan pengsan bagi seseorang yang baru
pulang dari laut.
c. Gelap Gu-un - sakit kepala yang biasa
d. Putih Anea‟ - menyebabkan tubuh lelaki gatal dan perempuan hamil
tumpah darah secara mengejut.
e. Pulun - berjalan tanpa sedar semasa tidur

Dalam pengamalan perubatan ini, pakar dakan itu mesti mengenali terlebih dahulu tow yang
menyebabkan penyakit. Kemudian barulah dia akan mengukir sebuah patung kecil yang menyerupai

e-Proceeding of the World Conference on Integration of Knowledge (WCIK 2014),


15 - 16 September 2014, Bandung, INDONESIA. (e-ISBN 978-967-11768-9-4).
Organized by http://WorldConferences.net 144
tow tersebut. Sirih pinang dikunyah kemudian akan disemburkan kepada patung tersebut dengan
menyeru,

“Ka-aw (nama tow) a-menyingen, ka-awlah ba‟ mengadiak”


Maksudnya, kamu (nama tow) yang menyebabkan penyakit ini, maka kamulah yang
menyembuhkannya.

Mengikut kepercayaan, jika tow yang dinamakan itu betul, penyakit akan keluar dari badan
pesakit dan memasuki patung itu. Bagi memudahkan perkara itu, tow akan digantung di bawah rumah
pesakit selepas dicurahkan air ke atas dakan dan dikumpulkan untuk memandikan pesakit. Selepas
tiga hari, apabila dipastikan tow tersebut telah memasuki dakan, ia akan diambil dan dibuang atau
diletakkan di tempat tow jenis itu tinggal seperti hutan, sungai atau laut.

1.1.3 Perayaan Kaul

Antara lain kepercayaan masyarakat etnik Melanau terhadap kuasa ghaib yang perlu dipuja dalam
pesta-pesta keramaian termasuklah perayaan Kaul. Menurut Jeniri & Awang Azman (2001) perayaan
ini merupakan suatu acara tahunan yang diraikan oleh komuniti Melanau. Kaul merupakan satu
daripada adat paling lama yang masih diamalkan. Perayaan ini amat penting pada masa dahulu dari
segi kepercayaan Melanau. Perayaan ini merupakan penyembahan terhadap makhluk halus iaitu ipok
kala. Kala dalam dialek Melanau bermaksud muara sungai manakala ipok kala bermaksud kuasa
ghaib yang menguasai tempat itu. Perayaan kaul ini diadakan di sebelah kanan muara sungai kerana
tempat itu dianggap penting disebabkan pertemuan di antara darat, laut dan sungai iaitu tempat
semula jadi yang penting dalam kegiatan ekonomi kaum ini. Ipok kala dianggap sebagai kuasa ghaib
yang amat kuat. Semasa meraikan upacara kaul, doa ditujukan kepada ipok ini supaya mewujudkan
kedamaian dan meningkatkan hasil tangkapan atau tuaian pada tahun yang akan datang.

Upacara kaul ini diadakan tiap-tiap tahun pada bulan Mac iaitu selepas musim landas.
Masyarakat Melanau tradisional di Mukah menggunakan takwim yang berdasarkan peredaran bulan.
Satu „tahun‟ dalam takwim ini mempunyai dua belas unit yang dikenali sebagai bulan. Bulan pertama
dalam pusingan tahunan ini digelar bulan pengejin dan upacara kaul diadakan pada bulan ini.

Persediaan untuk upacara dibuat lebih awal oleh orang ramai termasuk menyediakan barang
makanan tertentu untuk dipersembahkan dan juga talam-talam untuk meletakkan jamuan ini. Talam
dibuat daripada daun nipah. Benda ini dinamakan serahang yang dihiaskan dengan bendera kecil
(mengikut pangkat seseorang itu), burung dan sebagainya. Antara lauk yang perlu disediakan ialah
papit (nasi pulut yang dimasak dalam daun), belen (sirih pinang) dan apung (rokok daun).

Pada hari perayaan itu sarahang-sarahang itu akan didirikan di sekitar muara sungai dan
barang makanan dihidangkan di dalam talam itu. Seterusnya, bapak kaul akan menaburkan beras
kuning di sekeliling makanan tersebut dan menjemput ipok kala memakan jamuan yang disediakan.
Kemudian bapak kaul membacakan doa yang dituju kepada ipok kala supaya memberi rezeki yang
banyak pada tahun yang akan datang. Apabila upacara membaca doa itu selesai, acara hiburan seperti
pertunjukan panca silat atau kutaw, lumba perahu dan sebagainya. Peserta-peserta yang mengambil
bahagian dalam perayaan ini digalakkan berkongsi makanan yang dibawa kerana dipercayai perkara
ini amat disukai oleh ipok kala yang akan menambahkan lagi rezeki kepada komuniti itu.

1.2. Analisa terhadap kepercayaan masyarakat Melanau dari sudut Islam.

Masyarakat Melanau merupakan kumpulan etnik yang masih berpegang kuat dengan ajaran-ajaran
yang dibawa oleh nenek moyang mereka terdahulu. Walaupun Islam sudah datang sudah sekian lama
mereka tetap dengan pegangan turun temurun itu. Hal ini boleh dikaitkan dengan kisah-kisah di dalam
al-Qur‟an di mana kaum-kaum terdahulu yang dicela oleh Allah SWT kerana enggan mengikut ajaran
yang dibawa oleh rasul pesuruh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud ““Dan apabila
dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab:
"(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya".

e-Proceeding of the World Conference on Integration of Knowledge (WCIK 2014),


15 - 16 September 2014, Bandung, INDONESIA. (e-ISBN 978-967-11768-9-4).
Organized by http://WorldConferences.net 145
Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang
perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?” (al-Baqarah: 170)

Menurut Sayid Qutb (2000) di dalam tafsirnya mereka yang dimaksudkan dalam ayat di atas
sama ada ditujukan kepada kaum Musyrikin yang selalu mengulang-ulang jawapan ini setiap kali
mereka diseru supaya menganut agama Islam dan menerima undang-undang, peraturan dan lambang
ibadat mereka dari Islam serta meninggalkan adat-adat kebiasaan mereka pada zaman Jahiliyyah yang
tidak diakui Islam. Ayat ini juga ditujukan kepada kaum Yahudi yang berdegil dengan pegangan-
pegangan dan amalan-amalan yang diterima dari datuk nenek moyang mereka dan enggan menerima
agama baru baik secara umum mahupun terperinci. Allah SWT mencela dan mengecam perbuatan
menerima sesuatu urusan agama selain daripada agama Islam dengan hanya taqlid tanpa berfikir dan
memahami dengan mendalam. Mereka terus berdegil mengikuti tradisi datuk nenek mereka. Dalam
ayat lain Allah SWT berfirman yang bermaksud ““(tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan
mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan
agama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja". (al-Zukhruf :22)

Menurut Sayid Qutb lagi dalam Tafsir Fi Zilal al-Qur’an (2000), ini adalah jawapan yang
membayangkan sikap pak turut dan bertaqlid buta tanpa berfikir, tanpa alasan dan tanpa dalil. Mereka
digambarkan seperti sekumpulan kambing yang berjalan mengikut ke mana sahaja ia ditarik yang
tidak pernah bertanya ke mana ia akan dibawa pergi. Terdapat banyak lagi ayat-ayat yang dipaparkan
di dalam al-Qur‟an yang menceritakan mengenai perbuatan taqlid orang Musyrikin dan Yahudi.

Jika dilihat kepada adat, kepercayaan dan pengamalan masyarakat Melanau mereka sangat
mempercayai dan bergantung pertolongan dengan kuasa ghaib dalam setiap aspek dalam kehidupan
seharian. Dari sudut perubatan tradisional yang diamalkan seperti memaku, pengasapan, Baguda‟, dan
menggunakan Dakan semuanya meminta pertolongan daripada kuasa ghaib yang dipanggil tow. Di
dalam apa-apa perkara yang disembah melainkan Allah SWT adalah merupakan perbuatan syirik
kerana menyekutukan Allah SWT dan ia merupakan dosa besar. Firman Allah SWT di dalam al-
Quran, yang bermaksud “dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang
lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat
mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka
pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan
perbuatan syirik itu). (Yunus: 106)

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa hanya Allah SWT sahaja yang wajib
disembah dan dipatuhi kerana selain daripada Allah SWT tidak dapat mendatangkan manfaat dan
todak dapat menolak kemudaratan yang datang. Dalam tafsir karangan Sayid Qutb menghuraikan
mengenai ayat ini yang melarang manusia menyembah selain Allah SWT iaitu menyembah sekutu-
sekutu dan pemberi-pemberi syafacat mengikut kepercayaan Musyrikin yang tidak memberi faedah
dan mendatang mudarat.

Mengenai perubatan tradisional yang diamalkan oleh masyarakat Melanau ini seperti
menggunakan dakan, „doa‟ yang dibaca iaitu “Ka-aw (nama tow) a-menyingen, ka-awlah ba’
mengadiak” yang membawa maksud kamu (nama tow) yang menyebabkan penyakit ini, maka
kamulah yang menyembuhkannya. Perkara ini jelas bertentangan dengan agama Islam kerana
masyarakat Melanau mempercayai tow yang dianggap makhluk ghaib itu yang punya kuasa untuk
menyembuhkan penyakit sedangkan dalam hadis Nabi SAW daripada Jabir bin Abdullah sabdanya
yang bermaksud: "Tiap-tiap penyakit itu(ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit
tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah" (Riwayat Muslim dan Ahmad.)

1.4 Kesimpulan

Berdasarkan isu-isu yang telah dikemukakan, dapat dilihat bahawa Islam menyatakan secara jelas
manusia yang pertama diciptakan adalah Nabi Adam as. Bukanlah daripada Buah seperti mana yang
dipercayai oleh masyarakat etnik Melanau. Mengenai perubatan tradisional pula, dalam amalan dan

e-Proceeding of the World Conference on Integration of Knowledge (WCIK 2014),


15 - 16 September 2014, Bandung, INDONESIA. (e-ISBN 978-967-11768-9-4).
Organized by http://WorldConferences.net 146
kepercayaan agama Islam cara mengubati pesakit tidak perlu kepada pertolongan a-bayoh iaitu bomoh
serta dibantu pula oleh tow bagi mengenal pasti penyakit yang dialami. Perubatan hanyalah dengan
kekuasaan Allah, manakala kepercayaan mengenai pertolongan daripada makhluk ghaib menyalahi
akidah Islam. Begitu juga dalam perayaan Kaul yang menjadi acara tahunan mereka juga perlu
kepada pemujaan kuasa ghaib. Justeru, upacara dan adat yang diamalkan membayangkan hubungan
erat manusia dengan kuasa ghaib, makhluk-makhluk halus dan semangat di persekitaran mereka.
Manusia disifatkan sebagai makhluk yang lemah yang dikuasai oleh makhluk dan unsur-unsur
berkenaan.

References

Aloysius J. Dris. An Qverview: The Cultural Future of The Melanau Community. The Sarawak
Museum Journal. Vol XLVII. Disember 1997. Sarawak Museum Department.

Al-Quran al-Karim

Amran Abdullah & Hamidah Husain. 1993. Adat resam: Siri mengenal Sarawak. Kuching: Pisma.

H.S. Morris. 1971. Report on a Melanau Sago producing community in Sarawak. New York: Johnson
Reprint Corporation

Jeniri Amir & Awang Azman Awang Pawi. 2001. Kaul: Suatu Interpretasi Sosiobudaya. Kuching:
Massa Kasturi Management.

Jeniri Amir, Rosline Sandal & Rudi Affendi Khalik. 2007. The Sarawakiana Series Culture &
Heritage. Dakan:The Diminishing Medium of Melanau Tradisional Healing.
Kuching:Pustaka Negeri Sarawak.

Jeniri Amir. 1989. Adat Resam Kaum Melanau. The Sarawak Museum Journal.Vol. XL. Special Issue
No.4. Part II. Desember 1989.

Nasrudin Mohamed. 1996. Wawasan Melanau. Wajah Dan Identiti Melanau. Kuching: Lembaga
Amanah Kebajikan Kaum Melanau dan Persatuan Melanau Sarawak.

Saiee Driss. 1996. Wawasan Melanau. Wajah Dan Identiti Melanau. Kuching: Lembaga Amanah
Kebajikan Kaum Melanau dan Persatuan Melanau Sarawak.

Sayid Qutb. 2000. Tafsir Fi Zilal al-Qur’an. Jilid 1 & 8 Terjemahan: Yusoff Zaky Haji Yacob.
Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd

Yasir Abdul Rahman. 1987. Melanau Mukah: Satu Kajian Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahawa
dan Pustaka.

e-Proceeding of the World Conference on Integration of Knowledge (WCIK 2014),


15 - 16 September 2014, Bandung, INDONESIA. (e-ISBN 978-967-11768-9-4).
Organized by http://WorldConferences.net 147

View publication stats

You might also like