You are on page 1of 7

KONSEP ‘LAILAHA ILLALLAH’ SEBAGAI SUATU CARA

HIDUP YANG MENOLAK JAHILIYYAH

Muqaddimah

Islam adalah nizam (sistem hidup) yang kamil (lengkap) dan syamil (menyeluruh).
Islam terbina di atas asas yang kukuh. Islam terdiri daripada rukun-rukun yang besar
hinggalah kepada cabang-cabang dan ranting-rantingnya yang kecil. Rukun, cabang dan
ranting tertegak di atas asasnya dan saling perlu memerlu antara satu sama lain. Islam
umpama pokok, bermula daripada biji benih, kemudian mengeluarkan akar dan pucuk.
Seterusnya ia membesar dan membentuk batang, dahan, cabang, ranting dan dedaun
hingga menjadi sebatang pokok yang rendang, tegak dan kukuh. Namun, setiap helai
daun dihubungkan terus dengan akarnya.

Islam juga bererti penyerahan diri

Islam juga bererti penyerahan diri sepenuhnya tanpa sebarang bantahan atau
pengecualian kepada Allah SWT semata-mata. Implikasi daripada hakikat ini dengan
tegasnya menyekat manusia daripada segala bentuk perhambaan kepada sesama hamba
(manusia dan makhluk-makhluk lain). Yang dikehendaki ialah perhambaan manusia hanya
kepada Allah SWT Yang Maha Esa. Orang Mu’min hanya akan tunduk dan patuh kepada
kekuasaan dan peraturan Allah di dalam segenap urusan hidupnya.

Tugas utama para rasul

Tujuan utama Islam diturunkan ialah untuk memperbetulkan perhambaan manusia.


Inilah juga tugas utama setiap Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad SAW didatangkan untuk
mengembalikan seluruh manusia supaya patuh dan memperhambakan diri hanya kepada
Allah SWT dan seterusnya mengukuhkan kedudukan syari’at Allah SWT di muka bumi
supaya benar-benar berfungsi dalam mengatur kehidupan manusia.

Islam datang untuk membawa manusia supaya patuh kepada kekuasaan dan
pemerintahan Allah SWT seperti alam ini yang berjalan di atas landasan dan peraturan-
Nya. Oleh kerana manusia adalah sebahagian daripada alam ini, manusia juga mestilah
patuh kepada peraturan-Nya. Dengan itu barulah kehidupan manusia menjadi harmoni,
bahagia dan sejahtera.
Kehidupan yang terpancar daripada tauhid

Konsep Lailaha Illallah membawa pengertian perhambaan diri kepada Allah SWT di
dalam kehidupan manusia. Kesan kalimah tauhid meliputi ini perasaan, tingkah laku,
pegangan, konsep hidup dan segala amalan hidup manusia tanpa terpisah antara satu
sama lain. Aqidah tauhid yang betul akan meresapi dalam setiap aspek hidup sama
sepertimana darah dan urat saraf yang mengalir ke seluruh bahagian tubuh manusia.

Kebebasan manusia

Aqidah tauhid merupakan pentafsiran yang menyeluruh tentang kewujudan dan


kehidupan manusia. Inilah rupa bentuk aqidah yang mesti disebatikan ke dalam jiwa
manusia. Apabila hakikat ini jelas dan pentafsirannya ditegakkan dalam pemikiran
manusia, hati manusia akan bersih daripada seluruh kepalsuan dan kekotoran. Lepas
bebaslah manusia daripada segala ikatan lain kecuali ikatan Allah Yang Maha Kuasa, Zat
Yang Mutlak dan berkuasa penuh di alam ini. Hati manusia akan bebas daripada
sebarang bentuk perhambaan selain daripada perhambaan kepada-Nya.

Apabila manusia membebaskan hatinya daripada beriman kepada yang lain kecuali
kepada Allah Yang Maha Esa serta berpegang teguh dengannya, manusia akan bebas
daripada sebarang konkongan ideologi lain. Pemikirannya hanya tertumpu kepada Allah
SWT Lenyaplah sebarang kekeliruan dan kekacauan yang menyesatkan manusia. Dia
bebas daripada sebarang bentuk kemungkaran. Dia juga bebas daripada takut kepada
kuasa-kuasa di dunia yang cuba menghalangnya untuk mengabdikan diri kepada Allah
SWT semata-mata.

Masyarakat bertunjangkan pengabdian kepada Allah

Masyarakat Islam ialah masyarakat yang menterjemahkan tuntutan kalimah tauhid


secara menyeluruh dalam kehidupan mereka.

Setiap cabang dan bidang kehidupan masyarakat Islam dikuasai dan diawasi
sepenuhnya oleh asas tauhid yang kukuh. Semua tindakannya terbit daripada pancaran
cahaya aqidah. Setiap permasalahan hidupnya di bina di atas perhambaan atau
pengabdian kepada Allah SWT semata-mata.
Lailaha Illallah merupakan aqidah yang betul yang mampu mengangkat masyarakat
Islam kepada suatu darjat yang paling tinggi dan mulia. Aqidah ini meletakkan masyarakat
Islam dan anggota-anggotanya di tempat yang betul. Aqidah ini sentiasa membetul dan
memperbaiki setiap langkah dan tindakan mereka dalam setiap keadaan, masa dan
tempat. Aqidah ini merupakan tenaga penggerak yang sentiasa mengarahkan mereka
kepada matlamat hidup yang suci dan jelas. Aqidah ini memimpin mereka untuk melalui
jalan hidup yang terang dan selamat.

Aqidah tauhid menolak jahiliyyah

Konsep Lailaha Illallah atau hakikat pengesaan Allah sebenarnya menolak segala
bentuk jahiliyyah sama ada berupa nilai, pemikiran atau pegangan hidup.

Lailaha Illallah membina satu asas kepada cara hidup masyarakat Islam dalam
setiap bidang dan urusan. Oleh itu, masyarakat yang praktik hidupnya tidak
menterjemahkan tuntutan tauhid ini digolongkan sebagai masyarakat jahiliyyah. Jahiliyyah
adalah satu penyusunan masyarakat yang menolak hukum dan peraturan-peraturan Allah
SWT Jahiliyyah melawan dan memusuhi Islam sebagai ad-din. Jahiliyyah merupakan
musuh paling ketat kepada ‘Aqidah Islam.

Sistem hidup jahiliyyah, pada hakikatnya, tidak menjadikan Allah sebagai Rabb dan
Ilah walau pun mengakui ketuhanan Allah SWT Sistem hidup jahiliyyah hanya mengikut
kehendak dan keputusan hawa nafsu manusia serta berhakimkan thaghut.

Masyarakat jahiliyyah juga adalah masyarakat yang mengamalkan ciri-ciri hidup


yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam, yang tidak mengarahkan diri dan
perhambaannya kepada Allah SWT semata-mata sama ada dalam i’itiqad, ‘ibadat atau
syari’at yang merangkumi setiap aspek peraturan hidup.

Masyarakat jahiliyyah ialah masyarakat yang mengakui Islam tetapi praktik


ubudiyyah (pengabdian) dalam peraturan-peraturan dan perundangan hidupnya tidak
kepada Allah SWT semata-mata. Masyarakat ini, walaupun merasakan beri’tiqad kepada
Allah SWT, tetapi secara tidak disedari amalan dan penguatkuasaan undang-undang,
peraturan-peraturan dan nilai-nilai hidupnya bersumberkan selain daripada sumber Allah
SWT.
Bentuk masyarakat yang dijelaskan di atas tidak diakui Islam sebagai masyarakat
Islam. Islam tidak memandang kepada cogan kata, sepanduk dan laungan sahaja
sedangkan hakikat kehidupan masyarakat itu diisi dengan sifat-sifat jahiliyyah.

Perlunya mengetahui hakikat jahiliyyah

Sesiapa yang ingin menghayati Islam dalam kehidupannya dan memperhambakan


diri kepada Allah perlu sekali mengetahui hakikat jahiliyyah seperti diterangkan di atas.
Jahiliyyah yang meliputi pemikiran, aliran, perancangan dan segala cacat cela serta
bahayanya agar terselamat dan terpelihara daripada tipu dayanya. Dengan itu dapatlah
seseorang itu membuat persediaan dan kelengkapan yang perlu untuk menentang dan
menghadapinya.

Menanggalkan jahiliyyah

Manusia yang inginkan Islam mestilah menanggalkan diri dan memisahkan jiwa
daripada cara hidup Jahiliyyah. Dia hendaklah memulakan perjalanan hidup baru bersama
Islam. Perjalanan hidup yang bebas daripada tekanan nilai jahiliyyah sama ada dalam
bentuk, konsep, adat istiadat, tradisi mahupun pimpinan.

Satu perkara yang penting, terutama di peringkat awal da’wah dan pendidikan
untuk menghayati Islam, ialah manusia perlu membersih dan memutuskan jiwa daripada
sebarang campur aduk dan pencemaran antara Islam dengan jahiliyyah. Da’wah Islam
sekali-kali tidak menerima sebarang tolak ansur dengan jahiliyyah atau mematuhi
jahiliyyah. Tidak pernah terdapat titik pertemuan di antara Islam dengan jahiliyyah. Yang
dikehendaki ialah menanggalkan sepenuhnya suasana, adat, tradisi, pemikiran dan
konsep jahiliyyah. Juga yang dikehendaki ialah tertegak sepenuhnya pemahaman Islam
dan praktik hidup Islam di bawah pimpinan Islam, dimana seluruh ketaatan serta
penglibatan tertumpu kepada Islam.

Kewujudan jahiliyyah melata

Jahiliyyah sekarang dan pada setiap zaman tetap menolak hukum Allah SWT.
Inilah antara pengenalan jahiliyyah di setiap tempat, keadaan dan jenis masyarakat.
Jahiliyyah berada dalam segenap kemajuan dunia sama ada dalam pemikiran, politik,
sosial mahupun ekonomi. Apabila manusia enggan menghubungkan diri dengan Allah
SWT, maka di situ terdapat jahiliyyah. Dewasa ini manusia telah dikongkong oleh
jahiliyyah yang amat pekat sehingga perkara yang dianggap sebagai aktiviti Islam pun
diasaskan atas jahiliyyah.

Jahiliyyah menolak hukum Allah

Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa orang Arab Jahiliyyah memang
mengetahui dan mengakui Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir segala sesuatu,
tetapi mereka menolak peraturan dan hukum Allah SWT dalam urusan hidup. Firman Allah
SWT:

“Sesungguhnya sekiranya engkau (Muhammad) bertanyakan mereka:


Siapakah yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka akan
menjawab: Allah.” (Luqman: 25)

“Katakanlah (Muhammad): Siapakah yang memberikan rezeki kepadamu dari langit


dan bumi, atau siapakah yang berkuasa menciptakan pendengaran dan penglihatan, atau
siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari
yang hidup, dan siapakah mengatur segala urusan? Maka mereka menjawab: Allah. Maka
katakanlah: Kenapakah kamu tidak bertaqwa (kepada Allah SWT)? (Yunus: 31)

Golongan jahiliyyah mengakui hakikat ketuhanan tetapi mereka tidak mengikuti apa
yang mereka akui. Mereka memperhambakan diri kepada ilah-ilah (termasuk isme-isme)
selain Allah SWT. Mereka mengetahui Allah SWT tetapi tidak melaksanakan syari’at-Nya
dalam realiti kehidupan.

Syari’at dan aqidah tidak boleh dipisahkan

Persoalan syari’at tidak boleh dipisahkan dengan persoalan asas Aqidah. Kata
pemutus atau garis pemisah ialah sama ada berhukum dengan syari’at Allah SWT atau
disifatkan sebagai jahiliyyah. Jika manusia ikhlas beriman dengan Allah SWT dan
bertekad menerima Uluhiyyah Allah SWT, sudah tentu dia menerima hakimiyyah
(pemerintahan) Allah SWT. Allah SWT Pencipta dan Pemilik kepada alam semesta. Allah
SWT Penentu hukum dan undang-undang. Dialah yang patut ditaati dan syariat-Nya
sahaja yang wajib dipatuhi. Jika tidak, akan lahirlah jahiliyyah dan tertegaklah hukum-
hukum yang mengikut hawa nafsu.
Islam diturunkan untuk memastikan bahawa hanya satu sahaja tali penghubung
yang menghubungkan manusia dengan Allah SWT. Apabila terputus tali ini maka tidak
terdapat tali lain lagi yang dapat menghubungkan manusia dengan Allah SWT dengan
hubungan yang suci, tinggi dan mulia.

Jalan untuk menegakkan masyarakat Islam

Masyarakat Islam bukan satu khayalan. Masyarakat Islam contoh telah pun wujud
dan terbentuk secara praktik pada zaman Rasulullah SAW. Tenaga pembentukannya
tidak lain melainkan ‘Aqidah at-Tauhid di bawah panji “Lailaha Illallah”. Aqidah inilah yang
dibawakan baginda Rasulullah SAW mengikut arahan Allah SWT.

Jalan yang bertitik-tolak dengan kalimah ‘Lailaha Illallah’ adalah jalan yang dilalui
oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Walaupun jalan ini menempuh pelbagai
kesusahan, rintangan dan kesakitan, Allah SWT Yang Maha Bijaksana tidaklah
bermaksud untuk menyiksa Rasulullah SAW dan orang-orang mu’min. Allah SWT Maha
Mengetahui bahawa itulah satu-satunya jalan untuk menegakkan masyarakat Islam yang
mematuhi Allah SWT. Jalan inilah yang dapat membersihkan bumi Allah SWT daripada
taghut. Bumi ini tidak akan bersih untuk Allah SWT semata-mata melainkan apabila
konsep Lailaha Illallah menjadi penghayatan hidup manusia seluruhnya.

Manusia adalah hamba Allah SWT. Manusia tidak akan menjadi hamba Allah SWT
yang sebenarnya melainkan apabila dia tunduk dan patuh kepada perintah Allah dengan
memegang panji Lailaha Illallah. Bagi hamba Allah yang hakiki, tiada kekuasaan selain
kekuasaan Allah SWT, tiada syariat selain syariat Allah SWT dan tiada kepatuhan selain
kepatuhan kepada Allah SWT. Hamba seperti inilah yang membentuk masyarakat Islam
dan bangsa Islam yang menghapuskan perbezaan warna kulit, di mana semua manusia
hidup di bawah panji-panji Allah SWT.

Menentang arus jahiliyyah

Jahiliyyah telah sekian lama berakar umbi dan bertapak kukuh dalam kehidupan
masyarakat. Jahiliyyah tidak sekadar menjelma dalam bentuk teori. Jahiliyyah menjelma
dalam bentuk gerakan kemasyarakatan. Oleh itu usaha-usaha untuk menentang dan
menghapuskannya tidak boleh sekadar teori, bahkan memerlukan kesungguhan dan
persediaan yang meliputi segenap bidang. Ia juga memerlukan peraturan yang mantap,
penyusunan yang rapi dan usaha-usaha yang berterusan. Dengan cara ini, InsyaAllah
jahiliyyah yang luas dan berkembang itu dapat dilumpuh dan dihapuskan.

Penutup

Masyarakat Islam hanya akan terbentuk apabila konsep Lailaha Illallah disebatikan
dalam jiwa individu dan jamaah muslimah. Masyarakat Islam tidak akan lahir selagi satu
golongan manusia tidak terbentuk terlebih dahulu melalui proses keimanan yang
mengikrarkan Lailaha Illallah. Proses imaniyyah ini sajalah yang dapat melahirkan
‘ubudiyyah kepada Allah SWT. ‘Ubudiyyyah ini merangkumi i’tiqad, ‘ibadat, syari’at dan
peraturan hidup yang benar-benar berfungsi lagi praktikal dalam semua suasana dan
amalan. Proses imaniyyah ini mampu membersihkan hati dan jiwa daripada sebarang
bentuk perhambaan selain daripada perhambaan kepada Allah SWT. Proses imaniyyah ini
akan mengawasi manusia daripada bermatlamatkan yang lain daripada Allah SWT.
Proses imaniyyah ini akan melahirkan manusia yang menghayati Islam sebagai ad-din
dan menolak segala bentuk jahiliyyah.

Jika pada permulaan Islam iman menjadi tenaga pembangunnya, sudah tentulah
iman jugalah yang akan membangunkan masyarakat Islam hari ini.

HAK CIPTA TERPELIHARA


TIDAK DIBENARKAN MENERBITKAN SEMULA BAHAN INI DALAM APA JUA BENTUK
SEKALIPUN, MELAINKAN SETELAH MENDAPAT KEIZINAN MANHAL PMRAM. HARGAILAH
PENGORBANAN ORANG LAIN YANG BERTUNGKUS LUMUS MENYIAPKANNYA. MENCETAK SEMULA
DAN MENERBITKANNYA DALAM APA JUA BENTUK SEKALIPUN DIANGGAP SEBAGAI JENAYAH DAN
DIKIRA BERCANGGAH DENGAN SYARIAH ISLAM.

©MANHAL PMRAM 2000

You might also like