You are on page 1of 19

CONTOH SUKATAN PELAJARAN KELAB PENCEGAHAN JENAYAH.

1. JENAYAH ROGOL

Definisi:

Rogol boleh didefinisikan sebagai suatu perbuatan atau perlakuan seks ganas
seperti memperkosa mangsa khususnya perempuan secara paksaan atau tanpa kerelaan si
mangsa.

Pendahuluan :

Jenayah rogol semakin dahsyat dan berleluasa. Lebih teruk lagi mangsa diliwat
dan dibunuh dengan kejam tanpa perasaan betas kasihan. Menurut Ketua Polis Kuala
Lumpur, Datuk Meor Chek Hussein Mahyuddin, 43 kes rogol dicatatkan di ibu negara
sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun 2004.

Apa yang lebih menakutkan, sebahagian besar jenayah berat ini dilakukan oleh
golongan remaja lelaki dan mangsa rogol pula adalah terdiri daripada remaja perempuan
termasuklah kanak-kanak.

Cukupkah atau wajarkah sekadar perempuan atau wanita disuruh berjaga-jaga


agar tidak menjadi mangsa sedangkan lelaki bebas melakukan apa-apa sahaja? Apakah
pendidikan ibu bapa terhadap anak-anak kini perlu dikaji semula berdasarkan pengaruh
persekitaran seperti internet, VCD lucah dan sebagainya.

Kelab Pencegahan Jenayah SMK Pasir Putih menyoroti jenayah seks, punca dan cara
menanganinya.

Fakta Kes :

Berikut adalah, beberapa Fakta Kes Rogol untuk perhatian kita semua:

Kes 1:
Nurul Hanis Kamil, pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Datuk Abdul Rahman
Yaakub, Jasin Melaka dirogol dan diliwat sebelum dibunuh pada 3 Julai 2001 ketika
pulang dari sekolah oleh seorang pelajar

lelaki berusia 17 tahun dari sekolah yang sama.

Kes 2:

5 Julai 2003, Petaling Jaya:

Seorang remaja lelaki berumur 18 tahun dihukum penjara 9 tahun setelah mengaku
bersalah merogol adik kandungnya berumur 15 tahun.

Kes 3:

Mayat Siti Nadirah Budah, kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun ditemui dalam
keadaan separuh bogel di kawasan paya yang terletak kira-kira 500 meter dari Kampung
Sibuga Besar, Sandakan Sabah. Mangsa dipercayai dirogol sebelum dibunuh ketika
pulang dari kelas agama pada 7 Julai 2001.

Berikutan kejadjan itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan oleh pihak polis.

Mengapa Jenayah Rogol Ini Boleh Berlaku ? :

Berikut disenaraikan secara ringkas beberapa punca jenayah rogol

Punca kejadian rogol :

Kurangnya pendidikan agama dalam kalangan perogol,

Kesedaran akhlak dan moral yang amat rendah,

Ketagihan dadah dan minuman keras yang boleh merangsang seks si penjenayah
rogol,

Dorongan dan pengaruh VCD lucah dan internet yang amat berleluasa,
Pergaulan yang bebas dalam kalangan remaja lelaki dan perempuan, dan banyak lagi.

Mangsa suka melalui jalan, lorong atau tempat sunyi atau kawasan semak,

Suka menggunakan jalan pintas (short cut) walaupun jalan tersebut semak samun atau
berbahaya,

Mangsa suka berjalan bersendirian atau berseorangan tanpa teman,

Mudah menerima pelawaan orang lain dan mudah mempercayai kata-kata sama ada
orang yang tidak dikenali atau baru dikenali,

Mangsa kebiasaannya mereka yang suka berkelakuan yang boleh menarik perhatian
perogol seperti memakai pakaian mencolok mata iaitu pakaian ketat dan
terdedah,

Mangsa juga biasanya yang suka berjalan atau berkeliaran pada waktu malam,

Menaiki kenderaan awam secara bersendirian, dan banyak lagi.

Jenayah Rogol sebenarnya boleh dicegah. Bagaimana ?:

Selain mengenakan hukuman yang berat terhadap penjenayah rogol, kita, khususnya
kaum Hawa, boleh mengambil langkah awal untuk mengelakkannya :

Dengarlah nasihat kedua-dua ibu bapa, guru-guru atau orang yang lebih tua daripada
kita.

Pelajari dan amalkan ilmu agama yang diberikan kepada kita,

Jangan mudah mempercayai kata-kata orang yang baru kita kenali,

Jangan sekali-kali mengikuti orang yang kita tidak kenali,

Elakkan berjalan secara bersendirian,


Jangan sekali-kali menggunakan jalan atau lorong atau kawasan yang sunyi, semak-
samun atau gelap,

Elakkan daripada menaiki kenderaan awam seperti teksi apabila bersendirian,

Jika anda diperhatikan atau diekori oleh seseorang yang mencurigakan, segeralah
melarikan diri ke tempat yang ramai orang.

Jika ada kelapangan, pelajarilah ilmu seni mempertahankan diri seperti Seni Silat,
Tae Kwan Do, Karate dan sebagainya.

Penutup :

Berdasarkan paparan yang saya sampaikan tadi, saya mengharapkan agar `SLOT 5
MINIT CEGAH JENAYAH' ini dapat membantu kita untuk mencegah dan menghindari
jenayah rogol, bukan sahaja dalam kalangan kaum Hawa tetapi kita semua termasuklah
kaum Adam.

Ingatlah, JENAYAH ADA DI MANA-MANA,

Oleh itu, HINDARILAH JENAYAH, SAYANGILAH WANITA, JANGAN BIARKAN


HIDUP MEREKA TERSEKSA DAN MERANA ! JANGAN BIARKAN HAWA
NAFSU MENGUASAI DIRI KITA ! SEKIAN DAN TERIMA KASIH.

2. Buli

Pendahuluan

Jenayah dalam kalangan remaja belasan tahun di Malaysia bukan perkara baru, malah
wujud sejak berpuluh tahun yang lampau. Antaranya ialah kegiaat samseng. Walau
bagaimanapun, sejak kebelakangan ini timbul fenomena baru, iaitu mereka bukan sahaja
berani membelasah dan membuli , tetapi juga nekad membunuh.

Apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka yang disyaki ialah seseorang yang
sememangnya dikenali oleh mangsa.
KPJS mengupas Isu ini.

Fakta Kes

Berikut, dipaparkan beberapa Fakta Kes Belasah, Buli dan Bunuh yang pernah mengisi
muka depan akhbar-akhbar tempatan dan menjadi tajuk-tajuk utama siaran berita di kaca
TV.

Kes 1 : (Nak Tunjuk Hero)

Pada 7 Julai 2004, polis telah menahan 15 orang pelajar Sekolah Menengah Teknik
Pendang, Kedah dan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerara disyaki
merusuh dan membelasah dengan teruk Mohd. Isa Nayan, seorang pelajar sekolah sama.
Mangsa dipercayai mengalami lebam di bahagian belakang, dada, dan pinggang, serta
sukar untuk berjalan dan menerima rawatan di Hospital Alor Setar.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa dibelasah di dalam sebuah bilik di
asrama sekolah berkenaan selepas berlaku perselisihan faham dengan sekumpulan 15
orang pelajar terbabit. Selepas kejadian itu kumpulan 15 orang pelajar terbabit mengugut
mangsa agar tidak melaporkan kejadian itu kepada guru atau warden, asrama.

Siasatan awal kes ini mendapat bahawa kumpulan 15 orang pelajar terbabit cuba menjadi
dominan atau 'nak tunjuk hero' di sekolah yang baru dibuka dengan jumlah pelajar yang
sedikit iaitu seramai 300 orang.

Tindakan awal yang telah diambil terhadap kumpulan pelajar terbabit. Selain disiasat
mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana disyaki merusuh dan membelasah,
mereka juga telah digantung sekolah selama 14 hari.

Kes 2 : (Gara-Gara Sebuah Cerek)

Muhammad Farid Ibrahim, pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato'
Klana Petra Maamor, Ampangan Seremban Negeri Sembilan, dibelasah hingga mati di
antara pukul 10.30 pagi dan 4.15 petang, pada 28 Mac 2004 di Dorm Osman, Tingkat 2,
Asrama Putera sekolah berkenaan oleh 8 orang rakan seasramanya akibat mangsa tidak
meminjamkan cereknya kepada tertuduh.

Kelapan-lapan tertuduh sudahpun dihadapkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi


Seremban Negeri Sembilan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan
dibaca bersama dengan Seksyen 149 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan mereka boleh
dihukum mati.

Kes 3: (Mati Akibat Teman Wanita)

Pada 7 Julai 2004, seorang mahasiswa undang-undang, Darren Kang Tien Hua dibelasah
hingga mati oleh sekumpulan 11 orang lelaki yang sebahagiannya terdiri daripada pelajar.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi, mangsa pergi ke sebuah restoran bersama-sama teman
wanitanya. Mangsa menegur sekumpulan 11 orang lelaki yang asyik memerhatikan
teman wanitanya. Teguran mahasiswa berkenaan mencetuskan pergaduhan sehingga
menyebabkan dia dibelasah dengan teruk hingga mati.

Ekoran kejadian itu, ke 11 lelaki terbabit termasuk beberapa orang pelajar telah ditahan
reman selama 14 hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan disiasat
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseskaan iaitu membunuh. Seksyen itu memperuntukkan
hukuman mati jika sabit kesalahan.

Persoalan :

Berdasarkan paparan beberapa fakta kes yang telah saya utarakan tadi, kami benar-benar
mengharapkan agar kes-kes seumpama ini tidak wujud dan tidak akan wujud di sekolah
kita.

Namun sebelum mengakhiri slot ini, KPJ S meninggalkan beberapa persoalan untuk
sama-sama kita hayati dan fikirkan;
Perlukah kita mengambil tindakan Buli, Belasah dan Bunuh terhadap rakan kita
sebagai jalan penyelesaian masalah yang kita hadapi ?,

Tidak ada cara lainkah yang lebih bermoral dan berakhlak yang boleh kita gunakan
untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi ?,

Sudah tidak adakah Guru-guru Pengawas atau Guru Kaunseling tempat kita mengadu,
berkongsi masalah atau melaporkan segala masalah yang kita hadapi ?

Adakah kita akan hanya menyesali dan menginsafi perbuatan negatif kita setelah kita
dikenakan hukuman berat seperti hukuman sebatan rotan, penjara dan hukuman
mati ?

Fikir-fikirkan, Renung-renungkan, tepuk dada tanya iman.

Penutup :

Berdasarkan beberapa persoalan tadi, carilah jawapannya. Saya pasti hanya diri kita
sahaja yang dapat memberikan jawapan yang terbaik.

INGAT…

JANGAN BULI KAWAN,

JANGAN BELASAH RAKAN,

JANGAN SEKALI-KALI BUNUH KAWAN,

TETAPI, JADIKAN PEDOMAN, PERKUKUH IMAN !

SEKIAN DAN TERIMA KASIH.

3. PENYALAHGUNAAN DADAH:

Definisi
Dadah ialah bahan kimia yang boleh menimbulkan kesan perubahan terhadap psikologi,
emosi atau tingkah laku seseorang.

Penyalahgunaan dadah ialah penggunaan bahan kimia secara tidak sah ataupun haram
yang mengakibatkan kerosakan fizikal, mental, emosi atau hubungan sosial seseorang.

Semua dadah adalah berbahaya. Kesan dadah bergantung kepada

dos atau kuantiti,

kekerapan dadah diambil

cara menggunakannya (seperti menghisap, menyedut, menyuntik melalu kulit dan


sebagainya).

Dadah terdiri daripada beberapa jenis seperti Morfin, Heroin, Ganja, Kanabis, Kosoin
dan banyak lagi. Jenis dadah yang paling popular dan mengancam negara masa kini
ialah'SYABU'

Kesan-Kesan Negatif Pengambilan Dadah :

Profil penagihan dadah di Malaysia menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada


penagih dadah adalah di dalam lingkungan umur 15 - 25 tahun. Sebahagian besarnya
ialah belia-belia yang masih bersekolah sama ada di sekolah ataupun di pusat-pusat
pengajian tinggi.

Antara faktor yang mendorong penagihan dadah ialah:

Keseronokan,

Perasaan Ingin Tahu,

Pengaruh Rakan Sebaya,

Meningkatkan Keseronokan Seksual,


Tekanan Jiwa.

Kesan pengambilan dadah akan menimbulkan kerugian atau kemudaratan kepada diri
sendiri, keluarga dan masyarakat. Orang yang paling dekat dengan penagih seperti ibu
bapa, keluarga dan rakan-rakan akan turut merasai kesan daripada penyalahgunaan dadah
itu seperti kehilangan wang ringgit, kerungsingan, penyakit berbahaya dan banyak lagi
yang boleh menghancurkan keluarga terlibat.

Tanda-Tanda Penagihan Dadah:

Kemerosotan peratus kehadiran ke sekolah.

Tekanan yang kerap mengakibatkan kemarahan, selalu menguap dan tidak bermaya,

Hilang fokus terhadap pelajaran,

Risiko penagihan amat tinggi dalam kalangan pelajar yang merokok,

Kemerosotan prestasi pelajaran secara mendadak seperti kerja rumah tidak siap,
peratus markah jatuh secara mendadak,

Mengelakkan diri daripada tanggungjawab,

Kemerosotan rupa paras dan kebersihan diri,

Tabiat suka menyembunyikan apa-apa yang dilakukan atau yang dimiliki,

Hilang selera makan, kurang berat badan, mata berkaca-kaca dan berair atau mata
kuyu,

Sering melakukan perbuatan menyedut melalui hidung seolah-olah melakukan


perlakuan menarik hingus,

Parut dan bekas suntikan di lengan dan di hujung jari bertukar warna akibat
menghisap ganja,
Bau badan kurang menyenangkan,

Berdampingan dengan mereka yang diketahui merokok atau menagih dadah,

Kerap meminta wang secara berlebihan daripada keluarga,

Kerap meminjam wang daripada rakan,

Sering mencuri barang-barang yang mudah dijual dari rumah, kelas atau sekolah,
saudara mara dan sebagainya,

Selalu mengunjungi tempat-tempat terpencil tanpa sebab seperti stor dan bilik atau
kawasan semak yang jauh daripada orang ramai dengan tujuan menagih dadah,
dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, kita tidak harus membuat kesimpulan sendiri yang seseorang
pelajar itu penagih dadah berdasarkan tanda-tanda yang saya katakan tadi. Ada baiknya
kita menyiasat dahulu, bertanya secara terus-terang kepada seseorang yang disyaki atau
merujuk Guru Pengawas, Guru Kaunseling atau pakar-pakar perubatan.

Penutup :

Secara realitinya, sama ada anda ada niat untuk menceburkan diri, atau baru mula
melibatkan diri atau sudah lama berkecimpung dengan dunia hina ini, Hanya anda yang
tahu.

Pesan KPJS

HINDARILAH DAN JAUHILAH NAJIS DADAH,

JANGAN SEKALI-KALI MENOLEH KEPADANYA, JANGAN CUBA - CUBA


DEKATI MEREKA YANG MENAGIH, JADILAH INSAN YANG BERGUNA DAN
BERMARUAH, INGAT, Dadah Musuh Negara.

4. AKADEMIK DAN AKHLAK : Mana Lebih Penting ?


Pendahuluan :

Adakah Sekolah kita, telah melahirkan generasi pelajar kurang berdisiplin dan kurang
bermotivasi sehingga setiap masa pihak sekolah, khususnya Pihak Pentadbir dan Badan
Pengawas perlu mengajar, memarahi, mendenda, mengambil tindakan disiplin seperti
gantung sekolah, hukuman rotan serta mengadakan program demi program seperti
Kempen Sifar Rokok, Kempen Menghormati Guru dan sebagainya?

Kelab Pencegahan Jenayah cuba untuk merungkaikan persoalan-persoalan ini.

Persoalan

Jika jawapannya 'tidak', kenapa pula pelbagai bentuk tindakan, hukuman atau dendaan
serta pelbagai program perlu dilancarkan dan jika jawapannya 'ya', kenapa boleh jadi
begitu?

Adakah pendidikan kita hanya memberikan penekanan pada kejayaaan kademik sehingga
lupa kepada pembinaan sahsiah yang baik serta disiplin yang tinggi?

Hari ini, bermula di peringkat sekolah rendah, ternyata kita hanya memberikan sanjungan
yang berlebihan kepada mereka yang berjaya dalam bidang akademik.

Suasana tidak menunjukkan bahawa mereka yang berdisiplin tinggi dan berakhlak mulia
dijadikan contoh kepada kejayaan kepada pelajar-pelajar lain. Kini kekayaan dan
kejayaan seseorang dari segi material dipandang tinggi tanpa melihat kepada peribadi
mereka.

Tidak hairanlah jika kita melihat ada kalangan masyarakat kita yang mempunyai
kedudukan tinggi dalam satu-satu bidang terlibat dengan rasuah.

Jika akhlak dipandang remeh, maka terjadilah apa yang kita katakan sikap kurang
berdisiplin dan berakhlak membiak begitu sihat dalam kalangan kita.
Kita sering terbaca dan mendengar berita mengenai 'Mat Rempit' melanggar nenek tua.
Kita terbaca kisah pelajar dipenjarakan kerana tuduhan rogol. Kita terbaca pelajar buli
rakan. Kita terbaca pelajar pukul guru.

Malah di sekolah kita juga, suatu masa dahulu kita pernah dikejutkan dengan isu-isu
pelajar menghina dan melempar seorang Mak Cik penjaga tandas, kita pernah dikejutkan
dengan berita pelajar membuang seluar dalam ke dalam tangki pam tandas pelajar lelaki,
kita pernah disajikan dengan isu papan tulis di kelas dikopak dan dirosakkan, kita pernah
dihidangkan dengan kes pelajar kencing di dalam kelas dan banyak lagi.

Kempen saja tidak memadai jika kebanyakan pelajar tingkatan 5, 4 atau 3 gagal
menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik pelajar yang lain. Contoh, yang baik
datang daripada diri kita sendiri. Bagaimana adik-adik pelajar tingkatan 1 atau 2 mahu
menghormati abang atau kakak pelajar tingkatan 4 atau 5 jika mereka membuli atau
menunjukkan contoh teladan yang kurang sopan. Pendek kata, tidak ada yang lebih indah
melainkan `abang atau kakak hormat adik' dan 'adik hormat abang atau kakak'.

Hari ini pihak pentadbir mahupun guru-guru kita, berasa amat kecewa melihat kita
kurang menghormati guru, kurang menunjukkan disiplin dan moral serta akhlak yang
baik. Lebih-lebih lagi jika kita tidak menunjukkan perubahan sama ada perubahan
prestasi akademik mahupun prestasi disiplin serta akhlak kita.

Apapun tindakan, hukuman, program atau kempen yang dilakukan oleh pihak sekolah,
KPJS pasti, itu semua hanya membazirkan wang pihak sekolah dan masa guru-guru
sahaja jika semua pelajar yang ada di sini termasuk saya, gagal memberikan dan
menunjukkan penekanan sahsiah yang baik setanding dengan usaha mencapai kejayaan
akademik.

Anda mungkin setuju dengan pandangan saya bahawa guru-guru kita lebih bangga
melihat seorang pelajar berkelulusan rendah tetapi mempunyai disiplin dan budi pekerti
yang tinggi, daripada pelajar yang mempunyai prestasi akademik yang tinggi tetapi
bersikap 'hidung tinggi'.
Malah pengetua kita, guru-guru pengawas dan semua guru akan bertambah bangga jika
kita mampu memiliki prestasi pelajaran yang cemerlang dan memiliki akhlak yang
gemilang.

Kesimpulan

Jika ini berlaku, KPJS pasti dan amat pasti, guru-guru khususnya guru disiplin, tidak
perlu lagi banyak membazirkan masa mereka untuk mengambil tindakan disiplin dan
hukuman kepada kita yang sering melanggar peraturan sekolah dan pihak sekolah juga
tidak perlu lagi membazirkan wang mengadakan pelbagai program membentuk sahsiah
dan disiplin kita, malah masa guru dan wang sekolah boleh dihabiskan sepenuhnya untuk
meningkatkan prestasi akademik kita.

Mungkin ini sesuatu yang terlalu ideal. Satu impian KPJS yang terlalu besar. Tetapi tanpa
impian, kenyataan tidak akan kesampaian. Marilah kita semua pelajar jadikan disiplin
dan akhlak yang baik sebagai satu wawasan menuju Visi dan Misi Sekolah iaitu
melahirkan pelajar-pelajar gemilang akhlak.

KPJS mengakhiri slot ini dengan sebahagian kata-kata hikmah dari Buku Peraturan
Sekolah untuk pedoman kita semua, yang berbunyi :

Tanpa 'peraturan' pelajar-pelajar tidak ada hala tuju dan tidak

mengetahui norma-norma sosial yang menjadi adapt pegangan masyarakatnya

SAMA-SAMALAH KITA BERHIJRAH,

Dari kurang baik kepada baik

Dari kurang bermoral kepada lebih bermoral,

Dari kurang menghormati guru kepada lebih menghormati guru, dan

Dari berfikiran negatif kepada berfikiran lebih positif,


SEKIAN DAN TERIMA KASIH.

5. PONTENG

`TAK NAK PONTENG?

Betulkah kita Tak Nak Ponteng ?,

Itulah isu yang ingin KPJS paparkan pada kali ini.

KPJS mendefinisikan ponteng sebagai 'tidak menghadirkan diri' atau `tidak wujud
semasa orang lain wujud' tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

KPJS juga mengklasifikasikan ponteng kepada 5 jenis iaitu:

ponteng sekolah (tidak hadir ke sekolah pada satu atau lebih hari)

ponteng kelas (tidak hadir ke kelas semasa suatu-satu pengajaran dan pembelajaran
dijalankan)

ponteng perhimpunan (tidak hadir perhimpunan tanpa sebab)

ponteng GERKO dan SUKAN (tidak hadir untuk menjalankan sebarang aktiviti
GERKO atau SUKAN)

ponteng solat (bagi pelajar Islam )

MENGAPA KITA TIDAK HARUS PONTENG KE SEKOLAH?

Kita sudah sedia maklum, sekolah merupakan institusi sosial paling penting kerana
sekolah ialah tempat kita dididik dengan ilmu pengetahuan serta diterap dengan disiplin
dan nilai-nilai murni. Oleh itu, saya amat yakin dan saya mengangap bahawa sekolah kita
merupakan salah sebuah pusat latihan yang memberikan pendidikan kepada para pelajar
agar bersedia menghadapi cabaran hidup dan seterusnya mampu memimpin diri sendiri
serta generasi akan datang.
Tidak dinafikan bahawa sekolah merupakan tempat kita menimba ilmu pengetahuan serta
menerima pendidikan secara formal dan segala aspek yang berkaitan. Tanpa bimbingan
dan pengajaran yang sewajarnya, saya yakin, kita tidak akan ke mana-mana. Kita tidak
akan dapat mengikuti arus pemodenan negara pada masa ini.

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,

Di sekolah, guru ialah individu yang paling bertanggungjawab terhadap pendidikan yang
diberikan kepada kita. Mereka terlatih dan profesional dalam pendidikan segala ilmu
yang diajarkan dapat membuka minda kita untuk berfikir secara kritis dan kreatif.
Penerapan nilai-nilai positif dan disiplin yang tegas pula dapat membentuk imej dan
keperibadian seseorang pelajar. Ilmu yang dipelajari di sekolah merupakan benteng yang
boleh menghalang kita daripada terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang boleh
merosakkan kita. Di samping itu, kegiatan KoKurikulum yang dijalankan di sekolah
dapat membentuk dan mencungkil bakat kepimpinan seseorang pelajar yang
berpengetahuan dan berwawasan tetapi dapat memberikan daya kekuatan untuk
menangkis segala kegiatan jenayah .

Bayangkanlah kita ponteng sekolah hari ini,

Sudah tentu kita akan ketinggalan satu-satu formula atau topik yang diajarkan setiap mata
pelajaran. Jika pada hari ini ada 5 subjek yang diajarkan, kita sudah mengalami kerugian
5 subjek. Kalau setiap guru memberikan kerja rumah dan sudah mengalami kerugian 5
kerja rumah dan sudah tentu kita tidak dapat menyelesaikan tugasan atau kerja rumah
yang diberikan. Keesokan harinya pula guru pasti akan memeriksa kerja rumah yang
diberikan, dan sudah pastinya akan menerima hukuman. Bayangkan kalau kita ponteng
berhari-hari. Sudah tentu kerugian dan masalah yang banyak akan kita alami.

Oleh itu, janganlah ponteng jika tidak ada sebab-sebab yang terlalu penting seperti sakit
atau sebagainya. Jika kita tidak pernah ponteng sekolah, sudah tentu kita dapat menguasai
sesuatu topik atau bab yang diajarkan oleh guru dengan baik. Apabila kita dapat
menguasai mata pelajaran itu dengan baik, kita boleh menjawab soalan dengan mudah.
Dan bila kita boleh menjawab soalan dengan mudah, saya amat yakin, kita mampu lulus
dengan cemerlang dalam ujian atau peperiksaan. Bahkan bukan itu saja, di sekolah juga
kita diterapkan dengan nilainilai murni yang menjadikan kita sebagai seorang pelajar
yang cemerlang disiplin dan cemerlang akhlak. Bukankah itu sesuatu yang
membanggakan pihak sekolah dan ibu bapa kita.

Ingatlah, jika sering ponteng, kita amat terdedah kepada banyak gejala sosial yang negatif
di luar sana. Mula-mula melepak. Apabila melepak cuba mengganggu orang, merokok,
menghidu gam, mengambil syabu dan menagih dadah. Tidak cukup dengan itu, kita
mengugut, membuli, kemudian membelasah orang. Tidak puas lagi, kita terjebak dalam
kegiatan hina seperti mencuri. menyamun, meragut , merompak dan seterusnya mungkin
membunuh.

Adakah ini matlamat hidup kita? Adakah ini sikap seorang yang terpelajar? Adakah ini
yang diharapkan oleh pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat kita? Adakah kita rela
untuk hidup tanpa hala tuju, jadi penganggur ukur jalan sana, sini? Bolehkah kita,
'Menuju Ke Arah Kegemilangan Yang Menyeluruh' seperti yang termaktub dalam
Falsafah Sekolah, jika kita sering saja ponteng sekolah ? Adakah kita ? Bolehkah kita ?
atau Mampukah kita ?.Tanyalah diri kita kerana kita penentu segala-galanyanya.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,

Pihak sekolah mempunyai peraturan yang tegas lagi adil

Di dalam Buku Peraturan Sekolah : ponteng sekolah dan ponteng kelas adalah
dianggap sebagai Perkara 26.0 : Kes Salah laku Berat, yang boleh dikenakan
tindakan gantung dan buang sekolah serta merta, dan

hukuman rotan boleh dikenakan kepada mereka yang Lewat Hadir dan Tidak hadir ke
sekolah tanpa sebab yang munasabah serta ponteng perhimpunan rasmi dan
ponteng solat (bagi pelajar Islam sesi petang)

KPJS mengajak rakan-rakan semua, janganlah kerana kita rajin hadir ke sekolah kerana
kita takut akan hukuman dan tindakan yang akan diambil. Tetapi
hadirlah ke sekolah kerana diri kita penuh dengan motivasi,

hadirlah ke sekolah kerana ilmu, dan

hadirlah ke sekolah kerana ingin berjaya.

6. GENGSTERISME

ADAKAH anda seorang gengster ?

Adakah kita ahli mana-mana 'geng'di sekolah kita ?

Kali ini, KPJS mengutarakan satu isu yang hangat di pasaran `GENGSTERISME'

Golongan remaja dapat didefinisikan sebagai satu golongan peralihan iaitu peralihan dari
segi sikap, fizikal, mental, emosi, rohani dan jasmani daripada golongan atau alam kanak-
kanak ke alam dewasa. Golongan ini merangkumi individu lelaki dan perempuan yang
berusia dalam lingkungan umur 13 hingga 20 tahun dan termasuklah semua pelajar.

Atas hakikat inilah, maka sesetengah remaja masih lagi terikut-ikut dengan gaya hidup
kanak-kanak dan sesetengahnya pula mahu kelihatan matang seperti orang dewasa. Hal
ini mengakibatkan remaja semakin tersepit dalam arus pemodenan negara dan akhirnya
munculah golongan remaja yang terjerumus dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial.

PUNCA

Memang tidak dapat dinafikan bahawa punca utama masalah ini datangnya daripada
masalah kekeluargaan. Kajian mendapati hampir 70% remaja yang terlibat dalam
masalah ini terdiri daripada keluarga yang porak peranda. Remaja terbabit
merasakan bahawa mereka sudah kehilangan tempat untuk mengadu segala
masalah dan malu untuk menghadapi masyarakat.

Dalam proses memajukan negara, kita disogokkan dengan pelbagai rancangan dan
artikel yang kurang bermutu dari Barat yang bertentangan dengan ajaran agama
dan budaya kita. Rancangan dari Barat menonjolkan ciri-ciri keganasan yang
sesuai dengan naluri mereka yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca utama berlakunya masalah
gengsterisme dalam kalangan remaja. Hal ini kerana rakan adalah pengaruh
terbesar yang boleh mengubah pendirian seseorang. Remaja seharusnya
menjauhkan diri daripada rakan yang bersikap negatif kerara dalam usia yang
meningkat naik, remaja perlu dapat menilai antara yang baik dengan yang buruk.

Remaja tidak akan melakukan jenayah sekiranya wujud kesedaran bahawa kegiatan
tersebut menyalahi undang-undang negara atau peraturan sekolah, melangcar batas
agama dan budaya bangsa remaja itu sendiri. Selain kurangnya kesedaran, remaja masa
kini juga terlalu cetek dari segi didikan rohani dan jasmani.

HUKUMAN ATAU TINDAKAN:

Hukuman atau tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan terhadap remaja
yang melakukan jenayah. Contohnya, Kes bunuh Muhammad Farid Ibrahim,
seorang pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato' Klana Petra
Maamor, Ampangan Seremban Negeri Sembilan, yang dibelasah hingga mati.
Hukuman yang dikenakan ialah dihadapkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi
serta didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan
mereka boleh dijatuhi hukuman mati.

Kita merujuk kepada peraturan sekolah kita pula: Berdasarkan Buku Peraturan
Sekolah pindaan 2003, Perkara 26 tindakan ke atas pelajar yang terlibat dengan
kes-kes 'gengsterisme' seperti bergaduh, mengugut, memukul, melepak dan
sebagainya boleh digantung atau dibuang sekolah serta merta dan akan dikenakan
sebatan rotan.

Sebenarnya terlalu banyak yang boleh diperkatakan tentang masalah gengsterisme dalam
kalangan remaja. Semua masalah ini akan berakhir jika semua pihak bersatupadu, tidak
kiralah sama ada ibu bapa, pihak sekolah, pihak kerajaan, masyarakat sekeliling ataupun
remaja itu sendiri.

KPJS mengingatkan diri kami sendiri dan juga rakan-rakan sekalian, janganlah pula kita
jadikan alasan bahawa jika kita mempunyai masalah keluarga atau institusi kekeluargaan
di rumah tidak kukuh, kita sewenang-wenangnya membabitkan diri ke arah budaya yang
tidak bermoral ini.

Janganlah pula, apabila ibu bapa kurang memberikan perhatian, kita jumps 'geng' kita.
Kalau 'geng' yang kita jumpa itu baik, sering menasihati kita atau boleh berkongsi
masalah dengan kita, kita selamat. Tetapi, kalau 'geng' itu sendiri 'membatu api' atau
mengajak kita melakukan sesuatu yang negatif untuk melupakan masalah kita, saya rasa
kita amat-amat rugi.

Satu lagi pesanan KPJS, adalah lebih baik kita menubuhkan 'geng perbincangan' atau
'study group' daripada kita menubuhkan 'geng-geng yang melampau' yang amat
merugikan dan suka membuang masa, seperti suka membuli, suka menganggu, suka
lepak dan banyak lagi.

Saya ingin bertanya kepada kita semua, ada berapa banyak 'study group' atau `kumpulan-
kumpulan perbincangan' yang ada di sekolah kita ini? Saya rasa kita boleh hitung dengan
jari.

Rakan-rakan semua, kita anak-anak bangsa yang bakal meneraju negara Malaysia yang
tercinta.

Fikirlah, bukalah mata, jangan sekali-kali kita asyik terleka,

Jangan asyik dibuai mimpi,

zaman remaja hanya sekali, sekiranya tersilap langkah, kita yang akan merana

SEKIAN DAN TERIMA KASIH.

You might also like