You are on page 1of 2

Sebagaimana yang sudah sedia maklum, sektor pelancongan merupakan antara penyumbang kepada pendapatan Negara.

Dewasa ini , perkembangan sector pelancongan begitu memberangsangkan dan dilihat berpotensi memberikan pulangan yang amat lumayan kepada pengusaha pusat pelancongan dan Negara. Di Malaysia, sector pelancongan banyak tertumpu di kawasan peranginan khususnya kawasan pantau, kawasan tanah tinggi dan pulau-pulau. Apabila kawasan ini dijadikan destinasi pelancongan, lokasi sekitarnya turut menerima tempias pembangunan. Antaranya, tempat-tempat penginapan seperti hotel dan calet dibina, infrastrukturnya turut dimajukan selian banyak perniagaan diusahakan oleh penduduk setempat. Seterusnya, sektor pelancongan juga dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar terpaksa menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan mahupun di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara. Sektor pelancongan dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej .Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Tidak dinafikan peluang yang datang memberi rezeki yang melimpah ruah kepada peniaga yang ringan tulang. Secara tidak lansung dapat mengurangkan masalah pengangguran di Negara kita terutamanya dalam kalangan graduan. Selain itu , sektor pelancongan dapat memajukan industri kraftangan di Malaysia. Barangan kraftangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraftangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli-belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, dan lain-lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraftangan tempatan.

Sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan songket boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia. Namun begitu , terdapat kesan buruknya dalam sektor pelancongan ini . Antara kesan buruk yang timbul akibat perkembangan industri pelancongan ialah pembaziran. Walaupun industri ini menguntungkan, tetapi kos yang digunakan utuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan terlalu tinggi. Untuk membangunkan Pulau Langkawi sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia, pihak kerajaan dan swasta terpaksa melabur sebanyak RM4.5 bilion. Kos yang terlalu tinggi ini tentulah lebih bermanfaat dan bererti seandainya disalurkan untuk memenuhi keperluan rakyat yang lebih mendesak. Contohnya, membina lebih banyak rumah kos rendah untuk mereka yang masih tidak berumah. Dengan cara ini, kehidupan masyarakat kita, terutamanya di kalangan mereka yang miskin dan terabai akan lebih terjamin. Perkembangan industri pelancongan turut memberi kesan buruk kepada pembiakan flora dan fauna di negara kita. Alam semula jadi negara yang cantik telah dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk dijadikan lokasi pelancongan. Pembinaan chalet, rumah tumpangan dan prasarana lain telah menyebabkan banyak pokok yang terpaksa ditebang seperti yang berlaku di Pusat Peranginan Stong, Jelawang, Kelantan. Pembangunan sekitar Tasik Kenyir dan Tasik Pedu pula telah menyebabkan banyak kawasan daratan ditenggelami air. Eksploitasi ini boleh mengganggu pembiakan flora dan fauna di tempat tersebut. Konklusinya , kemajuan sektor pelancongan ini membawa rahmat yang melimpah ruah ke Negara kita terutama dari segi ekonomi walaupun ada keburukannya. Namun , keburukan ini tidak seharusnya mematahkan semangat kita untuk terus bergiat dalam industri ini. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan keindahan destinasi pelancongan Negara dan semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia .

You might also like