You are on page 1of 4

Muhammad

Hari ini ialah 12 Rabiulawal, hari kelahiran Nabi Muhammad saw - seorang Rasul dan pemimpin agung yang merupakan contoh tertinggi (mathalul a'la) dalam segala aspek kehidupan. Sempena Maulidur Rasul ini, 'Fokus', menerusi halaman ini dan halaman berikutnya, membentangkan sejarah ringkas Rasulullah daripada kelahirannya hinggalah kepada kewafatannya yang juga jatuh pada tarikh yang sama, 63 tahun kemudian. Perjuangan Rasulullah saw tegakkan Islam tiada tolok bandingannya>/b> SEJARAH AWAL SEJARAH kehidupan Nabi Muhammad saw bermula dengan perkawinan bapanya, Abdullah bin Abdul Mutalib dengan ibunya, Aminah binti Wahab. Menurut ahli sejarah, Abdullah meninggal dunia ketika Aminah hamil dua bulan. Setelah cukup bulan, Aminah melahirkan Nabi pada Isnin, 12 Rabiulawal pada Tahun Gajah (sempena tahun tentera bergajah Abrahah dari Habsyah, yang memerintah Yaman, menyerang Makkah), bersamaan 20 April 571 Masihi. Nabi dilahirkan di rumah pak ciknya, Abu Talib. Datuknya, Abdul Mutalib, menamakannya Muhammad. Semasa kecil, Nabi diasuh oleh Ummu Aiman, seorang hamba kepunyaan bapa Nabi dan disusukan oleh Halimah As-Sadiah sehingga berusia empat tahun. Semasa kecil, berlaku peristiwa pembelahan dada/perut Nabi oleh dua malaikat. Sebahagian ulama menjelaskan bahawa ia pembedahan pembersihan spiritual awal untuk menerima wahyu kelak. Ketika berusia enam tahun, ibunya, Aminah, meninggal. Ummu Aiman terus menjaganya. Ketika berusia lapan tahun, datuknya, Abdul Mutalib, pula meninggal. Kehidupannya ditanggung pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib. TANDA AWAL Ketika berusia 12 tahun, Nabi mengikut Abu Talib ke Syam atas urusan perniagaan. Semasa singgah di kota Basra, seorang pendeta bernama Bahira (Buhaira) yang sudah membaca kitab akan kelahiran nabi akhir zaman, melihat tanda-tanda kenabian pada diri Muhammad (seperti awan sentiasa memayungi Nabi) lalu menyuruh mereka berpatah balik demi keselamatan. TUGAS SEBELUM MENJADI NABI Hidupnya semasa kecil jauh daripada kemewahan duniawi. Baginda pernah bekerja sebagai penggembala kambing (semua nabi melakukan pekerjaan ini, hikmahnya antara lain bagi mendidik hati menjadi belas dan lembut). Apabila mencapai usia dewasa, beliau berniaga, termasuk membawa barang dagangan bagi usahawati, Khadijah Khuwailid. PERKAHWINAN DENGAN KHADIJAH Pada usia 25 tahun, lantaran sifat amanah dan budi pekerti yang baik, Nabi diminta oleh Khadijah membawa dagangan ke Syam. Kejujuran Nabi dan keupayaan menghasilkan keuntungan membuat Khadijah, 40 tahun, tertarik padanya. Mereka akhirnya berkahwin. CIRI KEPIMPINAN Ketika berusia 35 tahun, banjir besar melanda Makkah dan merosakkan dinding Kaabah. Masyarakat Quraisy lalu membetulkannya semula. Ketika hendak meletakkan semula hajar aswad (batu hitam) di tempat asal, berlaku pertelingkahan di kalangan kabilah siapa yang layak meletakkannya semula. Sebagai jalan keluar, Nabi yang kebetulan masuk ke kawasan Kaabah, diberi kepercayaan meletakkannya semula, apatah lagi dengan sikap jujur dan amanah yang diakui masyarakatnya. Namun, Nabi bertindak bijak dengan menghamparkan sarbannya, meletakkan batu itu di tengah, dan meminta wakil setiap kabilah bersama-sama mengangkat sebelum beliau sendiri meletakkannya di tempat asal. Pendekatan beliau itu disenangi semua pihak. AKHLAK NABI Mempunyai akhlak yang terbaik, menjauhi kejahatan, menjaga maruah, paling baik pergaulan dan percakapan, sentiasa bercakap benar dan amanah sehingga digelar Al-Amin.

TERIMA WAHYU Pada usia 40 tahun, lantaran mahu menjauhi diri daripada kesesatan dan kejahilan masyarakatnya, Nabi sering menyendiri beberapa hari di gua Hira di Jabal Nur. Di gua inilah Nabi menerima wahyu pertama Iqra (Bacalah!) daripada Allah menerusi malaikat Jibrail. DAKWAH Sejak menerima wahyu itu dan beberapa wahyu lain selepas itu, Nabi mula berdakwah secara rahsia, mengajak orang menyembah Allah swt. Antara orang yang pertama menyahut seruannya ialah isterinya, Khadijah; sepupunya, Sayidina Ali bin Abu Talib; bekas hambanya, Zaid bin Harithah, dan beberapa yang lain termasuk Abu Bakar As-Siddiq, teman rapatnya. Selepas beberapa waktu, Nabi menyampaikan dakwah secara terang-terangan setelah menerima perintah berbuat demikian (rujuk surah Al-Hijr: 94) dan mendapat tentangan besar-besaran daripada kaum musyrikin dengan pelbagai cara, baik kasar mahupun licik. HIJRAH PERTAMA Lantaran keganasan yang ditimpakan oleh kaum musyrikin terhadap orang Islam, Nabi menyuruh sebahagian pengikutnya berhijrah ke Habsyah. Sementara itu, pakciknya, Hamzah, sudah memeluk Islam. Kemudian, seorang lagi orang kuat kaum musyrik, Umar AlKhattab, mendapat hidayah dan memeluk Islam. CABARAN Di tengah-tengah kekerasan pihak musyrikin, isteri Nabi, Khadijah, meninggal tiga tahun sebelum hijrah. Ini disusuli kematian pakciknya, Abu Talib, sebulan kemudian. Dengan ketiadaan dua orang yang menjadi tulang belakangnya, Nabi semakin tertekan. Dengan segala tekanan dan penghinaan, Nabi berhijrah ke Thaif tetapi ketibaannya disambut dengan lontaran batu sehingga baginda cedera. Dalam kesedihan dan tekanan itu, Allah memuliakan Nabi dengan peristiwa Israk Mikraj (rujuk surah Al-Isra': 1). Nabi diangkat ke sidratul muntaha melepasi lapisan langit ketujuh menemui Tuhan. Antara lain, baginda menerima perintah solat lima waktu. BAIAH AQABAH Dua kali Nabi menerima kunjungan daripada wakil orang Madinah. Ini disebut sejarawan sebagai Baiah Aqabah yang pertama dan kedua. Pada dasarnya, keduda-dua baiah (perjanjian) itu merupakan pengisytiharan masuk Islam di hadapan Rasulullah dan perjanjian taat setia kepada agama Islam. HIJRAH Dengan tekanan yang semakin teruk, Nabi mengarahkan pengikutnya berhijrah ke Madinah. Mereka berhijrah secara senyapsenyap kerana bimbang dihalangi musuh. Nabi berhijrah ke Madinah dengan ditemani sahabatnya, Abu Bakar. Pada malam keberangkatan, rumah Nabi dikepung musuh yang sudah merancang membunuhnya. Nabi meminta Sayidina Ali menggantikannya di tempat tidur. Nabi dapat meloloskan diri dan bersembunyi di Gua Thur bersama Abu Bakar selama tiga hari sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah. Sebelum sampai di Madinah, Nabi singgah di Quba dan mendirikan masjid di situ. Ketibaan Nabi di Madinah disambut dan dirai dengan penuh gembira oleh penduduk di sana. Hijrah adalah sunah para nabi. Semua nabi yang diutus tidak diterima penduduk setempatnya. Dengan itu, mereka berhijrah. Mereka bersabar supaya menjadi teladan. BINA NEGARA Antara langkah awal yang dilakukan ialah membina masjid yang menjadi pusat pentadbirannya dan membina ikatan persaudaraan sesama Islam antara Ansar (kaum Aus dan Khazraj Madinah) dengan Muhajirin (penghijrah).

Nabi juga membina perpaduan di kalangan penduduk Islam dengan bukan Islam menerusi perjanjian yang dipanggil Piagam Madinah. Beberapa perkembangan berlaku, antaranya: Untuk memanggil penduduk mendirikan solat, azan mula dilaungkan. Selepas 16 bulan di Madinah, Nabi menerima wahyu mengubah kiblat daripada arah ke Baitulmakdis kepada arah ke Makkah. Puasa Ramadan dimulakan pada tahun kedua hijrah. Zakat fitrah dan harta diwajibkan pada tahun kedua hijrah. Solat sunat Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban dimulakan pada tahun kedua hijrah. Pengharaman arak. Haji difardukan bagi yang mampu pada tahun kelima hijrah. Pengharaman riba. PEPERANGAN Nabi menghadapi banyak peperangan. Antara yang besar ialah: Perang Badar: Tentera Muslim seramai 313 orang berjaya menumpaskan tentera musyrikin yang jauh lebih ramai. Perang Uhud: Tentera musyrikin mengalahkan tentera Islam kerana arahan Nabi tidak dipatuhi. Dalam perang ini, bapa saudara Nabi, Sayidina Hamzah, terkorban. Perang Khandak (Ahzab): Tentera Islam menang kerana strategi berkesan (antara lain dengan menggali parit yang menyukarkan musuh menyerang). PERJANJIAN HUDAIBIYAH Nabi bersama rombongannya berangkat menuju Makkah untuk menunaikan umrah pada tahun keenam Hijrah. Mereka berkhemah di Hudaibiyah. Kunjungan itu menimbulkan kebimbangan besar di kalangan kaum musyrikin Makkah. Nabi mengirim Sayidina Uthman bin Affan kepada kaum Quraisy menerangkan tujuan kunjungan itu. Kaum musyrikin meminta Nabi agar tidak meneruskan perjalanan memasuki Makkah tetapi mengikat perjanjian dengan Nabi (Perjanjian Hudaibiyah). Antara kandungannya: Genjatan senjata selama 10 tahun. Nabi boleh ke Makkah pada tahun berikutnya dengan aman selama tiga hari. Keadaan yang aman itu membolehkan Nabi mengutus surat kepada beberapa pembesar dan raja di beberapa negara mengajak mereka memeluk Islam. PEMBUKAAN KOTA MAKKAH Nabi bersama 10,000 pengikutnya berangkat dalam pertengahan Ramadan tahun kelapan Hijrah menuju Makkah. Baginda memasuki Makkah dengan aman. Kaabah dibersihkan, semua berhala dikeluarkan. Baginda kemudian memasuki Kaabah dan melaungkan takbir di setiap penjurunya. Ramai penduduk Makkah memeluk Islam. HAJI WADA' Rasulullah mengerjakan haji wada' pada tahun ke-10 hijrah bersama 90,000 jemaah haji. Baginda bermalam di Mina pada 8 Zulhijah dan pergi ke Arafah pada 9 Zulhijah dan menyampaikan khutbah. (sila rujuk laporan sampingan). Selepas itu, Rasulullah meneruskan ibadah haji dengan melontar jamrah, menyembelih, bercukur dan bertawaf. Selepas 10 hari, Nabi kembali ke Madinah.

KEWAFATAN RASULULLAH Nabi ditimpa sakit dalam bulan Safar tahun ke-11 hijrah. Selepas beberapa hari, Nabi menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jumhur ulama menyatakan, Nabi wafat pada Isnin, 12 Rabiulawal 11 Hijrah (8 Jun 632 Masihi) pada usia 63 tahun mengikut kiraan hijrah atau 61 tahun 83 hari berdasarkan masihi. Nota: Antara bahan rujukan ialah buku 'Mengenal Rasulullah saw' susunan Ustaz Johari Yaman; 'Sirah Nabawiyah' oleh Syaikh Shafiyyur-Rahman Al-Mubarakfury; 'Muhammad Rasulullah' susunan Mohd Haji Nordin dan Wan Hassan Wan Ahmad dan beberapa rujukan lain.

You might also like