You are on page 1of 2

Berhati hati terima nasihat pelaburan

Zuraida Mohd. Zakaria

KESILAPAN yang berlaku berulang-ulang kali sama ada perkara yang sama atau berlainan,
biasa terjadi kepada pelabur dan pedagang baharu mahupun yang lama. Ini disebabkan
kebanyakan pelabur dan pedagang saham tidak mempunyai penasihat atau diberi bimbingan
serta panduan sepanjang masa.

Dalam pelaburan di negara ini, tidak dinafikan pelabur dan pedagang saham tidak sentiasa
mendapat nasihat atau bimbingan pelaburan. Pelabur dan pedagang saham hanya mendapat
artikel penyelidikan tetapi tidak semua syarikat broker saham yang menyediakannya kepada pe-
langgan.

Ceramah saham atau pelaburan pula hanya dibuat sekali-sekala sahaja dengan cara menjemput
para pelanggan. Itu pun tidak semua syarikat broker saham atau bank pelaburan yang
menganjurkan majlis seperti itu.

Pemegang lesen berdaftar sama ada dealer mahupun remisier juga tidak dibenarkan untuk
memberi nasihat pelaburan kepada pelanggan apatah lagi saranan membeli kepada pelanggan.
Mereka hanya dibolehkan untuk memberi maklumat pasaran yang sahih sahaja serta melakukan
tugas yang telah digariskan oleh Bursa Malaysia.

Walau bagaimanapun, pemegang lesen berdaftar tetap memberikan perkhidmatan yang tidak
bercanggah dengan undang-undang Bursa Malaysia walaupun bidang tugas utama mereka ialah
mengambil pesanan jual dan beli daripada pelanggan.

Oleh kerana dengan adanya urus niaga dalam talian, pelanggan telah kurang menggunakan
khidmat wakil peniaga ini kerana pelanggan boleh membuat jual beli sendiri. Dengan
kemudahan urus niaga dalam talian ini, pelanggan mendapat caj pembrokeran yang rendah
dibandingkan jika menggunakan khidmat remisier.

Justeru, banyak broker saham telah mengurangkan atau tidak lagi memerlukan khidmat wakil
peniaga ini lebih-lebih lagi remisier. Dengan kurangnya bilangan remisier kerana sebahagiannya
telah berhenti, pelabur dan pedagang saham terpaksa membuat kajian dan analisis sendiri atau
mencari maklumat pasaran sendiri.

Oleh sebab ini juga, pelabur dan pedagang masa kini sangat menggemari menyertai kumpulan-
kumpulan saham di media sosial, telegram dan kumpulan WhatsApp untuk membantu mereka
mendapatkan senarai saham-saham berpotensi serta menyediakan maklumat pasaran terkini
setiap hari.

Dengan pengurangan jumlah wakil peniaga berlesen atau remisier, pelabur dan pedagang saham
baharu sangat mudah membuat kesilapan lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai pengetahuan
dan asas-asas pasaran saham. Pelabur dan pedagang saham baharu diibaratkan seperti seorang
bayi yang tidak tahu apa-apa dan terpaksa mencari haluan sendiri.

Walaupun muncul banyak kelas dan seminar saham, mereka mendapat bimbingan dan tunjuk
ajar setakat itu sahaja. Jika ada khidmat sokongan selepas tamat belajar, ia bukan khidmat
sokongan yang berterusan atau kekal.

Selain itu, dengan pengurangan wakil peniaga berlesen ini, tugas-tugas mereka telah diambil
oleh individu-individu yang tidak diketahui latar belakang di dalam pasaran saham. Daripada apa
yang dilihat dalam suasana sekarang, sesiapa sahaja boleh memberikan pendidikan saham
kepada orang ramai tanpa pemantauan dari pihak-pihak tertentu.

Tenaga pengajar juga tidak memberikan profil diri, kelayakan atau latar belakang serta
pengalaman. Persoalannya, adakah orang ramai diberikan maklumat yang betul daripada
individu-individu tersebut?

Walaupun seminar dan kelas saham tumbuh seperti cendawan, daripada maklum balas yang
diperoleh melalui mesej-mesej peribadi, ramai yang memberitahu bahawa mereka mengalami
kerugian walaupun telah mengikuti pembelajaran saham.

Apabila ditanya siapakah tenaga pengajar tersebut, ada yang tidak tahu langsung latar belakang
atau maklumat tenaga pengajar itu. Ini amat merisaukan kerana semakin banyak aduan diterima
hampir setiap hari.

Dan pelabur serta pedagang saham baharu ini tidak tahu kepada siapa dan bagaimana untuk
membuat rujukan jika mempunyai apa-apa kemusykilan tentang saham. Terdapat juga individu-
individu yang tidak dikenal pasti latar belakang dan kelayakan menawarkan perkhidmatan
nasihat pelaburan kepada orang ramai.

Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, silalah membuat pelaburan saham dengan terus pergi
ke syarikat broker saham yang terdekat sama ada berdekatan kediaman atau pejabat. Berurusan
dengan dealer atau remisier atau rujuk kepada mana-mana pegawai yang dikhaskan di syarikat
broker saham atau bank pelaburan.

Berhati-hati dalam mendapatkan pendidikan saham atau nasihat pelaburan daripada mana-mana
individu. Carilah mereka yang berpengalaman, diiktiraf serta dapat memberi latar belakang,
profil diri serta maklumat peribadi.

You might also like