You are on page 1of 9

Keutuhan Pengurusan Kerajaan

Kerajaan mengambil perhatian berat terhadap isu dan masalah penyelewengan


dan penyalahgunaan kuasa di kalangan penjawat awam. Pelbagai usaha telah
diambil untuk memastikan supaya gejala ini tidak menjadi satu beban yang harus
dipikul oleh rakyat dan negara. Salah satu usaha terpenting ialah dengan
menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan
Kerajaan (JKKMKPK) pada tahun 1988. Tujuan utama penubuhan
Jawatankuasa ini ialah untuk mewujudkan pentadbiran Kerajaan dan
Perkhidmatan Awam yang cekap, berdisiplin serta mempunyai integriti yang
paling tinggi dengan mempertingkatkan amalan nilai-nilai murni di samping
berusaha mengatasi masalah-masalah dan kelemahan terutamanya dalam
pengurusan kewangan Kerajaan, pentadbiran awam, pengendalian kes
tatatertib, rasuah, penyalahguanaan kuasa dan penyelewengan yang ditegah
oleh peraturan, perundangan serta agama. Jawatankuasa ini dipengerusikan
oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai oleh beberapa orang
Menteri Kabinet dan pegawai-pegawai tertinggi Perkhidmatan Awam. Senarai
keanggotaan JKKMKPK ini adalah seperti di Jadual 4.1.

Pada tahun 1998, mekanisme JKKMKPK ini telah diperluaskan ke seluruh


peringkat jentera pentadbiran melalui penubuhan Jawatankuasa Keutuhan
Pengurusan Pentadbiran Kerajaan (JKP) di peringkat persekutuan, negeri dan
daerah. Ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam usaha mewujudkan
sebuah pentadbiran yang bersih, cekap, amanah, akauntabel dan berintegriti.
Penubuhan JKP di pelbagai peringkat pentadbiran Kerajaan ini adalah bertujuan
untuk memastikan semua keputusan JKKMKPK mengenai sesuatu isu dan
masalah yang dikemukakan kepadanya dapat disalur dan dilaksanakan oleh
semua agensi Kerajaan, di samping mendapatkan maklumbalas mengenai
pelbagai isu dan masalah yang sering dihadapi oleh agensi-agensi awam di
pelbagai peringkat pentadbiran. Melalui mekanisme perhubungan dua hala ini,
Perkhidmatan Awam yakin pelbagai isu dan masalah yang berkait rapat dengan
terma rujukan JKKMKPK dan JKP, khususnya yang berkaitan dengan dasar dan
peraturan; sistem dan prosedur kerja; nilai dan etika serta tatatertib dan disiplin
akan dapat diatasi dan dengan demikian membantu meningkatkan keutuhan
jentera pengurusan Kerajaan.

Bagi memastikan JKP benar-benar berfungsi dengan berkesan dan memenuhi


objektif penubuhannya, tiga Pasukan Khas Perunding Jawatankuasa Keutuhan
Pengurusan Kerajaan (PKPJKP) turut ditubuhkan. Setiap pasukan mempunyai
tanggungjawab khusus iaitu pasukan pertama bertanggungjawab dalam bidang
dasar, undang-undang dan peraturan serta sistem dan prosedur kerja; pasukan
kedua bertanggungjawab dalam bidang nilai dan etika, kod etika dan kod tata
kelakuan serta pengiktirafan; manakala pasukan ketiga bertanggungjawab dalam
bidang kawalan dalaman, tindakan pengesanan, punitif dan pemulihan. Peranan
ketiga-tiga pasukan ini ialah membantu JKKMKPK di dalam mengkaji dan
seterusnya mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap isu-isu dan
masalah yang dibangkitkan oleh JKP di peringkat persekutuan dan negeri.
Pendekatan ini membolehkan sesuatu isu atau masalah dikaji, diteliti dan
diselesaikan secara menyeluruh, bersepadu dan terancang selaras dengan
usaha mewujudkan pengurusan berkonsepkan good governance.

Kemajuan Yang Dicapai

Pada tahun 1999, mekanisme JKKMKPK dan JKP telah dapat mengesan,
menganalisis dan mengesyorkan kaedah penyelesaian kepada beberapa isu dan
masalah, khususnya dalam bidang pengurusan pentadbiran, tatatertib dan
kewangan serta isu-isu mengenai etika dan amalan nilai-nilai murni. Antara
cadangan yang telah dipersetujui oleh Kerajaan untuk pelaksanaan adalah
seperti berikut:

a. memperkemaskan format Laporan Tahunan Ketua Audit Negara


dengan memasukkan butir-butir kemajuan tindakan yang diambil
oleh agensi-agensi yang ditegur di tahun-tahun sebelumnya;

b. langkah-langkah mengatasi masalah dalam bidang pengurusan


dan kewangan Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri Melaka;

c. memasukkan elemen nilai-nilai murni dalam kurikulum sekolah dan


institusi pengajian tinggi;

d. penggunaan peraturan tatatertib yang seragam untuk semua


Badan Berkanun melalui penggubalan undang-undang am;

e. pelaksanaan sistem pendaftaran terbuka berkomputer bagi


permohonan rumah kos rendah;

f. memperkenalkan format baru bagi Laporan Prestasi Pelaksanaan


Projek-projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ketujuh bagi
tahun 1999;

g. memperkenalkan Modul Pengurusan Integriti dalam kursus-kursus


untuk anggota Perkhidmatan Awam;

h. memperkenalkan program nilai-nilai murni dan sistem penyeliaan


ke atas pelaksanaan program oleh agensi-agensi awam;

i. penggubalan pelan tindakan bagi menghadapi cabaran-cabaran


terhadap keutuhan pengurusan Kerajaan dalam menghadapi arus
perkembangan Teknologi Maklumat dan Internet;
j. memperkenalkan sistem insentif bagi penjawat awam yang
melaksanakan pengkhususan kerja dalam bidang pengurusan
kewangan dan pengurusan stor;

k. kajian mengenai persepsi penjawat awam terhadap keputusan dan


dasar-dasar Kerajaan;

l. kajian untuk mempercepatkan proses mewartakan kawasan-


kawasan baru Pihak Berkuasa Tempatan;

m. memperkemaskan mekanisme penggunaan khidmat pengangkutan


dan kemudahan peralatan yang disediakan oleh kontraktor
menerusi kontrak kerja;

n. kajian mengenai keruntuhan akhlak dan moral khususnya di


kalangan pelajar-pelajar dan remaja Melayu;

o. langkah-langkah yang perlu diambil oleh Kerajaan bagi


mengelakkan unsur-unsur penyemaian nilai dan tanggapan negatif
terhadap dasar-dasar Kerajaan oleh penceramah-penceramah
agama Islam; dan

p. kaedah pembayaran secara Electronic Fund Transfer

Pekeliling Berkaitan Keutuhan


Pada tahun 1999, hasil daripada beberapa perbincangan yang diadakan,
JKKMKPK telah mencadangkan supaya Perkhidmatan Awam mengeluarkan
beberapa pekeliling baru yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kecekapan,
keberkesanan dan keutuhan pengurusan Kerajaan dalam bidang-bidang
tertentu. Pekeliling-pekeliling tersebut adalah mengenai pemberian insentif bagi
penjawat awam yang bertugas dalam bidang pengurusan kewangan dan
pengurusan stor, latihan pengurusan integriti dan program nilai murni dalam
Perkhidmatan Awam

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 Tahun 1999: Bayaran Insentif Tugas


Pengurusan Stor

Pekeliling ini dikeluarkan pada 18 Ogos 1999. Ia memberi kebenaran kepada


agensi awam untuk membayar elaun insentif kepada Pembantu Tadbir
(Perkeranian/Operasi) yang menjalankan tugas pengurusan stor

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 1999: Bayaran Insentif Tugas


Kewangan
Pekeliling ini telah dikeluarkan pada 30 April 1999. Ia bertujuan untuk
meningkatkan komitmen dan motivasi di kalangan penjawat awam yang
menjalankan tugas dalam bidang pengurusan kewangan. Dengan adanya
pekeliling ini, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dan Pembantu Akauntan
yang menjalankan tugas pengurusan kewangan boleh dibayar elaun insentif

Pekeliling Am Bil. 4 Tahun 1999 - Modul Pengurusan Integriti


Pekeliling yang dikeluarkan pada 16 Julai 1999 ini memperkenalkan modul
latihan khusus tentang pengurusan integriti untuk anggota sektor awam di semua
peringkat. Antara lain pekeliling ini menggariskan kaedah pelaksanaan Modul
Pengurusan Integriti untuk kursus-kursus induksi umum, kursus asas, kursus
kenaikan pangkat dan kursus pra-perkhidmatan. Walaupun sebelum ini telah ada
elemen keutuhan yang dimasukkan dalam kursus-kursus yang disediakan untuk
anggota sektor awam, namun keperluan mewujudkan satu pakej latihan yang
lebih komprehensif yang menggabungkan aspek-aspek perundangan, teori dan
praktikal didapati lebih berkesan dalam usaha memupuk dan mendidik dalam
persekitaran masa kini yang semakin mencabar. Melalui modul latihan yang lebih
tersusun, mantap dan bersepadu ini, ia dijangka dapat memenuhi objektif
meningkatkan kefahaman, kesedaran, kemahiran, ketahanan diri dan kerjasama
anggota sektor awam di bawah gerakan menyeluruh membanteras
penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah dalam Perkhidmatan Awam

Arahan YAB Perdana Menteri - Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem


Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia
Arahan ini menetapkan supaya semua agensi Kerajaan mewujud dan menyelia
program nilai murni masing-masing bagi memastikan ia dilaksanakan secara
lebih terancang, bersepadu dan berterusan. Dalam hubungan ini, agensi
Kerajaan dikehendaki melaksanakan aktiviti penggalakan, penerapan dan
penghayatan nilai-nilai dan etika murni bagi memperkukuhkan tahap integriti
anggota organisasi masing-masing. Program ini diperkenalkan atas keyakinan
bahawa pengaruh etika yang disepadukan dengan pengaruh undang-undang
akan lebih berjaya dan berkesan dalam usaha mengekang hawa nafsu daripada
melakukan segala bentuk rasuah, salahguna kuasa dan penyelewangan

Konvensyen JKP 1999

Konvensyen JKP 1999 telah diadakan pada 20-21 September 1999 di Putrajaya.
Ini merupakan Konvensyen JKP kali kedua dan telah dirasmikan oleh YAB
Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi JKKMKPK. Lebih daripada 350
orang yang terdiri daripada Ketua-ketua Setiausaha Kementerian selaku
Pengerusi JKP peringkat Kementerian, Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri
selaku Pengerusi JKP peringkat Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan
Persekutuan terpilih selaku Pengerusi JKP peringkat jabatan dan pegawai-
pegawai bertugas Urusetia JKP peringkat kementerian, jabatan dan Kerajaan
Negeri serta jemputan-jemputan khas terdiri daripada ahli-ahli JKKMKPK,
penceramah dan pembentang kertas dari agensi pusat, institusi pengajian tinggi,
Pasukan-pasukan Khas Pakarunding JKP dan Urusetia Bersama JKKMKPK
telah menghadiri konvensyen tersebut.
Konvensyen kali ini telah membincangkan sembilan kertas kerja menerusi tiga
bengkel yang diadakan. Antara resolusi yang dihasilkan adalah seperti berikut:

a. sistem Pengurusan Akauntabiliti dan Integriti (SPAI) hendaklah


diiktiraf sebagai salah satu alat pengurusan yang berkesan dan
agensi Kerajaan hendaklah digalak untuk melaksanakannya bagi
membantu JKP menutup sebarang ruang atau peluang berlakunya
jenayah rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kelemahan
pengurusan;

b. perkembangan globalisasi dan IT menuntut semua agensi Kerajaan


menentukan keselamatan maklumat demi menjamin keutuhan
pengurusan Kerajaan;

c. Ketua-ketua Perkhidmatan perlu menangani masalah corruption


mind-set dengan merangka strategi-strategi yang dapat
menentukan penerapan pemikiran anti-corruption mind-set di
kalangan anggota dalam perkhidmatan masing-masing;

d. semua pihak termasuk ketua jabatan hendaklah memastikan


penguatkuasaan undang-undang dan peraturan dilaksanakan
dengan lebih tegas untuk menangani jenayah rasuah,
penyelewengan dan salahguna kuasa;

e. penggerak etika (whistle-blower) perlu digalakkan dalam


mendedahkan amalan-amalan negatif dalam sesebuah organisasi
dan bagi membolehkan tindakan susulan diambil bagi menangani
salahlaku anggota awam. Ketua-ketua jabatan perlu memastikan
penggerak etika dilindungi (termasuk identitinya) dan mewujudkan
satu prosedur dalaman yang jelas bagi memudahkan organisasi
bertindak bagi menyelesaikan masalah-masalah yang didedahkan
oleh penggerak etika;

f. usaha dan tindakan ke arah membudayakan nilai-nilai murni dalam


Perkhidmatan Awam perlu dipertingkatkan. Di samping itu, sistem
audit nilai-nilai yang dihayati oleh anggota Perkhidmatan Awam
perlu juga diperkenalkan;

g. sistem imbuhan dan kemudahan-kemudahan asas kakitangan


Kerajaan bagi kategori-kategori tertentu perlu dikaji semula bagi
mengurangkan tekanan sara hidup, terutamanya bagi mereka yang
tinggal di bandar-bandar besar; dan

h. anggota Perkhidmatan Awam dan orang ramai adalah


berkewajipan melaporkan perbuatan jenayah memberi dan
menerima rasuah di bawah seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah
1997. Laporan sebegini akan membantu membendung jenayah
rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa. Usaha
menggalakkan amalan seperti ini perlu dilakukan menerusi risalah
dan poster, sistem pelaporan yang mantap dan sesi penerangan
yang menyeluruh.

Acara kemuncak Konvensyen ialah pembacaan Ikrar Integriti Perkhidmatan


Awam yang diketuai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Naskah ikrar telah
diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara sebagai simbolik menunjukkan
komitmen padu anggota awam melaksanakan janji seperti yang telah diikrarkan.
Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam adalah seperti berikut:

"Kami, Pegawai Awam Malaysia, dengan sepenuh dan rela hati berikrar mempertahan
dan memperkukuhkan integriti Perkhidmatan Awam dengan mencegah dan membanteras
segala bentuk rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan melalui tindakan-tindakan
berikut

Pertama: Berusaha memupuk dan mengamalkan nilai-nilai membenci rasuah;


Kedua: Menutup semua ruang dan peluang yang mendedahkan kepada amalan
rasuah;
Ketiga: Bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang,
peraturan dan etika jabatan;
Keempat: Bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak untuk memerangi
sebarang perlakuan jenayah rasuah;
Kelima: Bertindak tegas terhadap mereka yang cuba menggugat integriti dan
imej pegawai awam; dan
Keenam: Mematuhi sepenuhnya kod etika jabatan dan mengamalkan nilai-nilai
murni yang berteraskan ajaran agama dalam melaksanakan tugas."

Disiplin

JKKMKPK memberi perhatian sama berat terhadap aspek disiplin. Tiga daripada
lapan terma rujukan JKKMKPK adalah berkaitan aspek disiplin iaitu tindakan
pengesanan dan punitif, kawalan dalaman dan tindakan pemulihan. Selaras
dengan ini, pegawai penyelia di semua peringkat pengurusan telah diminta
mempamer ketegasan melalui pendirian dan tindakan segera terhadap salahlaku
oleh semua lapisan anggota di bawahnya. Mereka juga perlu menyediakan
mekanisme dan saluran untuk menerima pengaduan mengenai salahlaku
anggota mereka sama ada datangnya daripada orang awam mahupun daripada
warga jabatan sendiri. Selain itu, sikap peka kepada tanda-tanda kemungkinan
wujudnya penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah dalam sesuatu sistem
dan prosedur kerja juga akan membolehkan tindakan mencegah diambil dan
seterusnya mengatur langkah-langkah kawalan dalaman yang lebih sistematik
dan bersepadu. Tindakan pemulihan sebagai susulan daripada pencegahan dan
penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan oleh pegawai penyelia terhadap
anggota mereka yang telah dikenakan tindakan tatatertib. Ini bertujuan bagi
memastikan mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama di samping
memberi ingatan kepada anggota yang lain.

Perkhidmatan Awam terus memastikan tindakan tegas dan segera diambil oleh
pihak yang berkenaan terhadap kesalahan-kesalahan tatatertib, surcaj dan
rasuah. Ini bertujuan bagi memantapkan sistem pengurusan tatatertib dalam
Perkhidmatan Awam. Tindakan tegas tanpa tangguh-tangguh di pihak jabatan
adalah penting bagi memastikan setiap kesalahan menerima hukuman yang
setimpal. Dalam hal ini, JPA terus berusaha mengawasi pengurusan tindakan
tatatertib ke atas pegawai-pegawai dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan,
Badan Berkanun Persekutuan dan Pihakberkuasa Tempatan serta mengambil
tindakan penyelesaian yang bersesuaian dengannya. Beberapa syor juga telah
dikemukakan bagi meningkatkan kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan
keutuhan dalam pengurusan tatatertib di semua peringkat perkhidmatan. Syor-
syor yang telah dipersetujui oleh pihak Kerajaan menerusi JKKMKPK adalah
meliputi perkara-perkara berikut:

a. mewujudkan peraturan tatatertib yang lengkap dan teratur serta


boleh dipertahankan dari segi undang-undang bagi semua Badan
Berkanun Persekutuan, agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Pihak
Berkuasa Tempatan;

b. memperketatkan peraturan tatatertib sedia ada, khususnya bagi


kes-kes tidak hadir bertugas tanpa sebab dan tanpa kebenaran
serta kes penyalahgunaan dadah;

c. mengambil tindakan segera ke atas kes-kes tatatertib terutamanya


kes tidak hadir bertugas;

d. kementerian mengadakan latihan, bengkel, ceramah dan


seumpamanya mengenai pengurusan tatatertib;

e. agensi awam mewujudkan suasana persekitaran kerja yang


menarik dan baik bagi mendorong keseronokan bekerja di
kalangan pegawai dan kakitangan masing-masing;

f. agensi awam meningkatkan usaha menerapkan nilai murni dan


etika kerja di kalangan anggota masing-masing; dan

g. ketua jabatan mempertingkatkan usaha pemantauan tatatertib bagi


jabatan dan agensi di bawah kawalan masing-masing

Nilai Murni dan Kod Etika


Penghayatan kod etika yang berlandaskan nilai-nilai murni merupakan salah satu
faktor penentu kepada pencapaian matlamat mewujudkan sebuah pengurusan
pentadbiran yang mempunyai integriti yang tinggi. Selaras dengan matlamat
tersebut, pelbagai program telah diperkenal dan dilaksanakan oleh Perkhidmatan
Awam sejak awal tahun 1980an. Ini termasuklah penggubalan Etika
Perkhidmatan Awam; pelaksanaan program Bersih, Cekap dan Amanah;
penerapan nilai-nilai Islam; program Kepimpinan Melalui Teladan; Gerakan
Budaya Kerja Cemerlang; dan memperkenalkan elemen nilai-nilai murni dalam
setiap siri Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam. Melalui JKKMKPK
pelaksanaan program ini terus diperkemaskan dengan menjadikan semua
bentuk program dan aktiviti penggalakan, penerapan dan penghayatan etika dan
nilai murni sebagai satu program bersepadu dan seragam. Ini disusuli dengan
komitmen dan kesungguhan dalam pelaksanaannya menerusi mekanisme
penyeliaan yang sistematik dan berterusan. Untuk maksud ini, satu garis
panduan yang komprehensif telah dikeluarkan yang antara lain menjelaskan
aspek-aspek berikut:

a. struktur pentadbiran dan penyeliaan yang menjelaskan pusat


tanggungjawab program nilai murni;

b. nilai-nilai murni iaitu terdiri daripada nilai teras dan nilai kembangan
dan kod etika;

c. petunjuk prestasi nilai yang perlu disediakan menerusi audit nilai;

d. mekanisme pelaksanaan program yang meliputi lima peringkat iaitu


menimbulkan kesedaran, menjana penghayatan, meningkatkan
amalan, menjamin pengekalan dan membuat penilaian;

e. mekanisme pemantauan dan penilaian program nilai murni; dan

f. sistem pelaporan kemajuan program nilai murni.

Dua kategori nilai murni yang diperkenalkan ialah nilai teras atau nilai induk dan
nilai kembangan. Nilai teras merupakan nilai-nilai yang ditetapkan dan dijadikan
sebagai nilai induk yang dipunyai bersama oleh seluruh warga Perkhidmatan
Awam. Nilai kembangan pula merupakan nilai yang dipilih dan ditetapkan oleh
agensi sendiri. Nilai teras dan nilai kembangan ini adalah saling lengkap
melengkapi. Nilai teras yang telah dipersetujui ialah amanah; benar; bijaksana;
adil; telus; dan bersyukur.

Kebanyakan agensi awam telahpun menetapkan nilai kembangan masing-


masing dan dijadikan sebagai kod etika jabatan. MAMPU misalnya telah
mengenalpasti 10 nilai kembangan yang berkait rapat dengan bidang tugas
utamanya. Nilai-nilai tersebut ialah bertanggungjawab, berdedikasi, berdisiplin,
bekerjasama, bersih, berbudi mulia, ikhlas, tekun, sederhana dan sabar. Setiap
satu nilai kembangan ini dihuraikan secara terperinci bagi membantu warga
jabatan memahami, mengingati dan menghayatinya. Selain itu, kod etika
MAMPU juga menyenaraikan standard prestasi yang perlu ada pada setiap
warga MAMPU yang meliputi lima bidang iaitu penghasilan kerja, pengetahuan
dan kemahiran, kualiti peribadi, jalinan hubungan dan kerjasama serta kegiatan
dan sumbangan.

Kementerian Pendidikan Malaysia pula telah mengenalpasti enam nilai


kembangan iaitu niat yang betul; perlakuan yang baik; penggerak ke arah
kebaikan; memperkotakan apa yang dikatakan; berdisiplin dan beradab; serta
menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi.
Kementerian turut menjelaskan perincian kedua-dua nilai teras dan nilai
kembangan yang disesuaikan dengan persekitaran kerja kementerian.
Pelancaran buku etika ini telah disempurnakan oleh YB Menteri Pendidikan
bersempena sambutan Hari Kualiti Kementerian.

Manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempunyai tujuh


nilai kembangan iaitu profesionalisme, bertanggungjawab, berdisiplin,
bekerjasama, berakhlak, adil dan mesra. Jabatan Imigresen juga mempunyai
tujuh nilai kembangan yang merupakan himpunan nilai-nilai sejagat yang baik
dan terpuji iaitu profesional, bekerjasama, taat setia, komited, berakhlak,
berbangga dan bersyukur. Jabatan Imigresen berharap penghayatan dan
pengamalan nilai-nilai kembangan ini dapat mendokong pencapaian nilai-nilai
teras yang telah ditetapkan

You might also like