You are on page 1of 10

 Keahlian

Pancaragam:
Strategi Menarik
Minat & Mengekal
KeahlianOleh:
Prof. Madya Zaharul Lailiddin Saidon

PENGENALAN
Tanpa ahli tidak wujudlah sesebuah pancaragam. Sementara itu, sekiranya
bilangan ahli tidak mencukupi akan menyebabkan kepincangan dari segi kualiti
persembahan pancaragam, sama ada dari segi muzik mahupun formasi. Sukar
bagi seseorang jurulatih pancaragam membentuk sebuah persembahan yang
mempunyai imbangan bunyi yang baik, permainan yang ekspresif serta
mendapatkan kualiti ton pancaragam yang bermutu sekiranya tidak mempunyai
pemain yang cukup untuk setiap seksyen dalam pancaragam di bawah
bimbingannya. Begitu juga sekiranya ahli mempunyai sikap yang kurang baik
atau disiplin ahli yang rendah, maka sudah tentu memberi implikasi kurang baik
kepada kualiti keseluruhan sesebuah pasukan pancaragam.

Begitulah pentingnya aspek keahlian. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan


bahawa aspek keahlian merupakan aspek yang paling penting dalam
2  KEAHLIAN PANCARAGAM

menentukan kejayaan sesebuah pasukan pancaragam. Oleh itu aspek


pengurusan ahli merupakan perkara paling utama yang perlu diberi perhatian
oleh setiap guru pancaragam.

CABARAN YANG DIHADAPI OLEH GURU


PANCARAGAM DARI ASPEK KEAHLIAN

Terdapat dua cabaran utama yang dihadapi oleh seseorang guru pancaragam
dari aspek keahlian iaitu:

 Mendapatkan ahli baru


 Mengekalkan minat ahli sedia ada

Sekiranya tidak mempunyai perancangan dan strategi yang baik, seringkali guru
pancaragam berdepan dengan masalah dalam mendapatkan ahli baru.
Kemungkinan sambutan yang diterima dari bakal ahli pancaragam agak
mengecewakan di mana tidak ramai yang mendaftar untuk menyertai pasukan
pancaragam pada tahun berkenaan. Dalam lain perkataan, bilangan ahli yang
mendaftar untuk menyertai pancaragam tidak cukup seperti yang diunjurkan.
Bilangan pelajar yang berminat terlalu kecil menyebabkan sukar untuk guru
membuat pemilihan bagi mendapatkan ahli-ahli yang lebih berpotensi.

Terdapat juga keadaan di mana murid-murid yang berpotensi tinggi seperti


mempunyai latar belakang mengikuti pelajaran muzik secara persendirian tidak
berminat untuk menyertai pancaragam. Manakala murid-murid yang
menunjukkan minat untuk menjadi ahli pula, hanya mempunyai potensi yang
rendah khususnya dari aspek bakat muzik.

Walau pun tidak mempunyai implikasi semerta, situasi seperti di atas


mempunyai kesan ke atas kualiti pasukan pancaragam di masa akan datang.
Kesannya dapat dilihat dua atau tiga tahun kemudian disebabkan kegagalan
menyediakan barisan pelapis yang baik.

Di samping mendapatkan ahli baru, tugas mengekalkan keahlian sedia ada tidak
seharusnya diabaikan. Kemungkinan ahli-ahli sedia ada menarik diri dari terus
menyertai pasukan pancaragam sentiasa ada. Malahan fenomena menarik diri
dari menyertai pasukan pancaragam merupakan masalah yang dihadapi oleh
guru-guru pancaragam di negara barat hinggakan beberapa kajian telah
dijalankan tentang punca kepada permasalahan ini. Walaupun situasi di negara
kita mungkin agak berbeza, namun kes menarik diri ini bukanlah sesuatu yang
tidak berlaku.
KEAHLIAN PANCARAGAM  3

Oleh itu, sebagai guru pancaragam, anda perlu peka tentang faktor-faktor yang
menjadi punca kepada masalah ini. Di bawah ini digariskan beberapa faktor
yang lazim menjadi punca yang menyumbang kepada perkara ini. Anda
diingatkan supaya tidak membuat sebarang generalisasi. Apa yang digariskan
adalah faktor yang sering dilihat sebagai menjadi punca pelajar menarik diri dari
menyertai pasukan pancaragam. Situasi di antara satu sekolah dengan satu
sekolah yang lain agak berbeza. Oleh itu apa yang digariskan di bawah ini
hanyalah sebagai panduan umum yang dapat membantu anda bertindak sebaik
mungkin bagi mengelak atau menangani masalah keahlian pancaragam di
bawah bimbingan anda.

Cabaran guru pancaragam dari segi keahlian

Antara faktor yang sering dilihat menjadi punca kepada masalah mendapatkan
ahli baru atau mengekalkan ahli sedia ada adalah kurangnya mendapat
sokongan dari ibu bapa. Realiti masyarakat Malaysia ialah berorientasikan
peperiksaan. Mata pelajaran akademik diberi keutamaan. Pelajar terbeban
dengan tusyen dan kelas-kelas tambahan. Sebaliknya, aktiviti ko-kurikulum
khususnya yang berkaitan dengan muzik dilihat sebagai kurang berfaedah dan
lebih banyak merugikan masa dan tumpuan terhadap pencapaian cemerlang
dalam bidang akademik. Oleh itu ramai ibu bapa yang tidak menggalakkan anak
mereka menyertai aktiviti pancaragam walau pun anak mereka berminat.

Terdapat juga kes di mana segelintir guru yang berpengaruh di sekolah yang
mempunyai persepsi negatif dan tidak menyokong aktiviti pancaragam.
4  KEAHLIAN PANCARAGAM

Malahan terdapat segelintir yang berusaha mempengaruhi pelajar supaya tidak


menyertai pasukan pancaragam. Lebih malang lagi terdapat kes yang berlaku di
mana pihak pentadbir sekolah sendiri yang memandang negatif terhadap aktiviti
pancaragam. Para pelajar sering ditanam dengan persepsi yang salah terhadap
aktiviti pancaragam.

Terdapat juga keadaan di mana ahli pancaragam terpengaruh dengan rakan-


rakan bukan ahli pancaragam yang mempunyai disiplin diri dan sikap yang
kurang baik. Sebagai contoh, terdapat tabiat suka menghabiskan masa di kafe
siber atau melepak di tempat-tempat tertentu. Bagi kumpulan pelajar ini,
penglibatan dalam aktiviti pancaragam dilihat sebagai mengganggu masa
mereka untuk aktiviti-aktiviti negatif ini.

Di samping itu, terdapat juga kes-kes lebih terpencil di mana faktor jurulatih itu
sendiri menyebabkan pelajar kurang berminat menyertai pancaragam dan ahli-
ahli sedia ada pula merasa ingin menarik diri. Kemungkinan stail dan
pendekatan jurulatih semasa latihan tidak digemari ahli-ahli. Contohnya,
jurulatih yang garang tidak bertempat atau pun kurang mesra menyebabkan
pelajar tidak selesa. Biasanya pelajar boleh menerima jurulatih yang tegas tetapi
bukannya yang sentiasa menunjukkan sikap marah-marah apatah yang sering
mengeluarkan bahasa yang kesat dan negatif. Para pelajar biasanya dapat
melihat kejujuran seseorang jurulatih dan dapat membezakan ketegasan dengan
tabiat suka marah dan mencemuh pelajar.

Sebagai pengurus pancaragam anda perlu memantau semua masalah yang


dibincangkan di atas. Tugas anda ialah untuk mencuba sedaya mungkin supaya
masalah ini dapat dielakkan atau dikurangkan ke paras yang minima demi
memastikan kejayaan pancaragam di bawah bimbingan anda. Dalam anda
berusaha menangani isu-isu ini, diingatkan supaya dilakukan dengan berhemah
dan tidak mengikut sentimen dan emosi. Berfikir secara rasional dan aturkan
strategi anda dan laksanakan langkah-langkah dengan terancang untuk diambil
secara berperingkat-peringkat dan beransur-ansur. Pastikan anda sentiasa
membuat refleksi ke atas setiap tindakan yang diambil.
KEAHLIAN PANCARAGAM  5

STRATEGI UNTUK MENDAPATKAN AHLI


BARU

Guru pancaragam perlu mengambil initiatif merancang strategi untuk menarik


minat ahli baru. Cara terbaik ialah melibatkan semua ahli pancaragam dalam
mengadakan kempen mempromosikan pasukan pancaragam. Adakan
perbincangan dengan ahli-ahli pancaragam dan aturkan rancangan program
promosi dan langkah-langkah pelaksanaan sebaik mungkin. Tubuhkan jawatan
kuasa-jawatan kuasa khas untuk program promosi ini. Pelajar suka dengan kerja-
kerja yang sebegini.

Biasanya tugas mendapatkan ahli baru dijalankan di awal setiap tahun apabila
pelajar tingkatan satu mula mendaftar untuk aktiviti ko-kurikulum mereka.
Namun demekian, terdapat juga persatuan pancaragam yang bertindak lebih
awal lagi bagi tujuan ini. Contohnya poster yang mempromosikan pancaragam
boleh diedarkan ke sekolah-sekolah rendah sebelum pelajar-pelajar mendaftar ke
tingkatan satu di sekolah menengah. Sila lihat contoh poster di muka surat 9.

Program Promosi Pancaragam di Sekolah Rendah

Satu strategi yang dilihat sangat berkesan untuk mempromosi dan menarik
minat ahli baru yang berbakat untuk menyertai pasukan pancaragam ialah
dengan mengadakan promosi ke sekolah-sekolah rendah. Biasanya program
seumpama ini diadakan pada penghujung semester kedua iaitu selepas pelajar-
pelajar Tahun Enam selesai menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Prestasi
Sekolah Rendah). Pentadbir sekolah rendah dan guru-guru amat mengalu-
alukan aktiviti seumpama ini kerana murid-murid secara logiknya kurang mahu
mengikuti pelajaran seperti biasa kerana baru sahaja selesai dengan tekanan
peperiksaan UPSR.

Antara aturcara yang boleh dijalankan ialah sesi penerangan tentang kelebihan
menyertai pasukan pancaragam, penerangan tentang alat-alat pancaragam,
persembahan secara ensembel kecil dan persembahan keseluruhan pancaragam.
Lebih berkesan sekiranya anda boleh aturkan ahli-ahli pancaragam menceritakan
pengalaman seronok mereka menyertai pancaragam sekolah. Program promosi
di sekolah rendah ini akan meningkatkan kemungkinan untuk pelajar sekolah
rendah memilih pancaragam sebagai aktiviti ko-kurikulum mereka di sekolah
menengah nanti.
6  KEAHLIAN PANCARAGAM

Program Minggu Suaikenal Pancaragam

Selain dari itu ada juga pasukan pancaragam yang memilih untuk menganjurkan
Minggu Suaikenal pada pelajar yang baru memasuki Tingkatan Satu. Pada
minggu berkenaan diadakan demonstrasi pancaragam melakukan aktiviti dalam
pasukan serta taklimat tentang aktiviti pasukan pancaragam. Di samping itu
alat-alat muzik pancaragam diperkenalkan dan cara memainkannya
didemonstrasikan. Tujuannya ialah untuk menimbulkan perasaan ingin belajar
bermain alat-alat pancaragam dan secara tidak langsung berminat menyertai
pasukan pancaragam.

Uji Bakat

Satu langkah yang bijak untuk dijalankan semasa program promosi di sekolah
rendah atau pun semasa program minggu suaikenal ialah mengadakan sesi uji
bakat. Bakal-bakal ahli iaitu pelajar-pelajar tingkatan satu digalakkan untuk
mengambil ujian tersebut. Ujian bakat ini tidak memerlukan pengetahuan atau
pengalaman muzik formal. Cukup sekadar meminta mereka mengenal pasti not
yang lebih tinggi di antara dua not yang diperdengarkan, menepuk balik irama
yang diperdengarkan, mengajuk kembali frasa melodi pendek yang dimainkan.

Terdapat banyak kelebihan diadakan sesi uji bakat. Pertama, uji bakat yang
diadakan memudahkan guru pancaragam meninjau maklumat latar belakang
dan potensi pelajar. Dengan itu, anda dapat mengatur strategi dan pendekatan
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan latar belakang bagi
mengembangkan potensi sedia ada pelajar. Selain daripada itu, ujian yang
diambil akan memberi keyakinan kepada pelajar yang berpotensi untuk menjadi
ahli pancaragam.

Menghantar Surat Tawaran Kepada Ibu bapa/Penjaga Pelajar

Satu lagi strategi yang sangat berkesan untuk mendapatkan ahli baru ialah
menghantar surat kepada ibu bapa pelajar untuk memaklumkan pencapaian
anak mereka dalam uji bakat yang dihadiri (sila lihat contoh surat di muka surat
10). Lazimnya, ibu bapa akan berasa berbangga dan teruja apabila dimaklumkan
anak mereka telah mencapai tahap cemerlang atau baik dalam ujian yang
dihadiri dan terpilih untuk menyertai pasukan pancaragam sekolah. Surat yang
dikeluarkan akan memberi gambaran kepada ibu bapa betapa pengurusan
pancaragam bersifat profesional melalui proses pemilihan yang diadakan dan
surat tawaran yang dikeluarkan. Dengan itu kemungkinan ibu bapa
membenarkan anak mereka menjadi ahli pancaragam adalah lebih tinggi.
KEAHLIAN PANCARAGAM  7

Kepercayaan dan sokongan mereka terhadap aktiviti ko-kurikulum pancaragam


akan turut mula terbina.

STRATEGI MENGEKALKAN KEAHLIAN


SEDIA ADA

Terdapat pelbagai strategi yang boleh diambil bagi mengekalkan keahlian sedia
ada. Berikut adalah contoh amalan beberapa pasukan pancaragam sekolah untuk
tujuan ini:

Menawarkan insentif dan keistimewaan Kepada Ahli Pancaragam

Terdapat beberapa sekolah yang mengamalkan pemberian insentif dan


keistimewaan kepada ahli pancaragam sebagai galakan. Antaranya ialah seperti
berikut:

 dikecualikan dari membayar yuran komputer


 diberi perlindungan insurans percuma
 dilantik secara otomatik sebagai pengawas pusat sumber
 dikecualikan dari menyertai aktiviti persatuan
 diberi elaun tambang menghadiri latihan bagi pelajar yang tinggal
melebihi 5 kilometer dari sekolah
 diberi elaun setiap kali membuat persembahan di luar sekolah
 dikecualikan yuran untuk menghadiri bengkel atau kem yang
dianjurkan oleh pihak sekolah

Sebagai pengurus pancaragam, anda perlu berbincang dengan pihak pentadbir


sekolah untuk berbincang dan mendapatkan persetujuan untuk bentuk insentif
dan keistimewaan yang dalam kemampuan sekolah dan persatuan untuk
laksanakan. Bukan semua insentif dan keistimewaan yang tersenarai di atas
boleh dilaksanakan. Tiga atau empat insentif sudah lebih dari memadai.

Menganjurkan aktiviti bukan rutin

Sifat semula jadi pelajar awal remaja mudah bosan dengan perkara yang sama.
Aktiviti-aktiviti pancaragam yang rutin seperti latihan mingguan kadang kala
boleh menjemukan. Oleh itu sekali sekala, elok dianjurkan aktiviti bukan rutin
8  KEAHLIAN PANCARAGAM

bagi mengelakkan elemen kebosanan ini. Berikut adalah contoh aktiviti-aktiviti


bukan rutin yang menjadi amalan beberapa pasukan pancaragam sekolah yang
cemerlang:

 mengadakan lawatan menonton persembahan muzik yang bermutu


khususnya di Kuala Lumpur
 mengadakan kem muzik di luar sekolah
 menganjurkan jamuan makan malam akhir tahun pasukan
pancaragam
 mengadakan majlis anugerah pancaragam
 menganjurkan program bengkel dan persembahan bersama dengan
pasukan pancaragam sekolah lain
 menjemput pemuzik atau pakar pancaragam luar datang ke sekolah
 menyertai pertandingan pancaragam
 menganjurkan konsert tahunan

Penglibatan Ibu bapa, Pentadbir dan Guru-Guru

Sokongan ibu bapa, pentadbir sekolah dan guru-guru merupakan faktor yang
mempengaruhi kejayaan sesebuah pancaragam. Oleh itu, satu lagi strategi yang
baik bagi mendapatkan sokongan golongan ini ialah dengan melibatkan mereka
dalam beberapa aktiviti pancaragam. Misalnya, guru-guru yang tidak terlibat
secara langsung dengan pasukan pancaragam boleh dijemput untuk turut serta
dalam aktiviti seperti persembahan di luar sekolah, kem muzik dan
pertandingan. Biasanya, ibu bapa dan guru-guru akan berasa seronok, kagum
dan berbangga apabila menyaksikan sendiri disiplin, kesungguhan, perpaduan,
semangat kekitaan yang kuat di kalangan ahli pancaragam. Secara tidak
langsung ini akan memberi impak kepada ibu bapa atau guru-guru yang turut
serta dalam aktiviti-aktiviti ini untuk memberi sokongan kepada pasukan
pancaragam di masa-masa akan datang.

PENUTUP
Apek keahlian merupakan faktor penting yang menentukan kecemerlangan
sesebuah pasukan pancaragam. Oleh itu, sebagai pengurus pancaragam, anda
bertanggung jawab merancang stategi dan melaksanakan langkah-langkah
sebaik mungkin untuk menarik minat ahli baru dan mengekalkan keahlian sedia
demi memastikan kecemerlangan pancaragam di bawah bimbingan anda.
KEAHLIAN PANCARAGAM  9

Contoh poster untuk hebahan dan menarik minat ahli baru


10  KEAHLIAN PANCARAGAM

Contoh Surat Tawaran Kepada Ibu bapa / Penjaga

You might also like