You are on page 1of 6

SELEPAS LEBIH DUA TAHUN, APAKAH PENILAIAN ANDA KE ATAS KONSEP PENERIMAAN DALAM GAGASAN SATU MALAYSIA YANG

DIKEMUKAKAN OLEH PERDANA MENTERI, DATUK SERI MOHD. NAJIB TUN ABD. RAZAK.

Perlantikan Dato Sri Najib Bin Tun Abdul Razak membuka satu fasa baru dalam era pentadbiran di Malaysia setelah lebih 22 tahun dikuasai oleh Tun Dr Mahatihir Mohamed. Meskipun baru dapat mengambilalih kempimpinan setelah negara membangun pesat, tetapi masih ada ruang dan peluang yang tercetus daripada pemikiran beliau. Dari situ beliau memperoleh idea dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia yang berpaksikan prinsip Rakyat Didahulukan, Rakyat Diutamakan. Ternyata tujuan utamanya adalah untuk melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya saing dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi.

Namun demikian, kemajuan di dalam ekonomi tidak bermakna jika mengabaikan kestabilan sosial di kalangan masyarakat. Disebabkan itulah di dalam gagasan 1Malaysia disertakan satu teras di dalam memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu prinsip penerimaan. Menurut takrifan yang dinyatakan di dalam modul terbitan Jabatan Penerangan Malaysia (2009), prinsip penerimaan merupakan proses saling menerima di antara setiap golongan etnik atau ras meskipun masing masing mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza. Asas kepada prinsip ini adalah nilai keadilan untuk semua kaum yakni nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana mana pihak yang akan dipinggirkan.

Kini setelah dua tahun berlalu prinsip penerimaan masih menjadi teras penting dalam gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri yang keenam. Secara realitinya kependudukan rakyat Malaysia hingga kini adalah lebih daripada 28 juta penduduk yang terdiri daripada lebih 200 jenis kumpulan etnik yang wujud antaranya Melayu, Cina, India, kadazan Dusun, Banjar, Iban, Bidayuh dan juga (Au Yeong How, 2011). Dengan senario penduduk yang pelbagai budaya, perpaduan etnik sentiasa menjadi agenda dalam pengurusan masyarakat dan pemerintahan negara ini. Oleh kerana wujudnya kepelbagaian budaya, agama dan bahasa yang wujud di kalangan warga Malaysia, maka timbulnya andaian tentang beberapa kemungkinan yang menimpa negara ini. Kebanyakan andaian andaian tentang hubungan etnik yang dibuat sehingga ke hari ini lebih bersifat negatif. Dikatakan bahawa perkauman antara kaum akan sentiasa menjadi batas pemisah antara rakyat pelbagai kaum. Manakala perebutan sumber dan kedudukan di dalam masyarakat akan dipengaruhi oleh batas perkauman.

Konsep penerimaan yang digubal di dalam gagasan 1Malaysia adalah satu usaha murni kerajaan untuk menyatupadukan kaum dan dikenali sebagai bangsa Malaysia. Walaupun begitu, secara realitinya masih perlu diperbaiki dari masa ke semasa supaya setiap anggota masyarakat dapat menerima hakikat bahawa Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum. Ini kerana menurut Ting Chew Peh (1987), proses mencapai masyarakat yang berintegrasi adalah satu proses yang kompleks. Setiap kaum membawa hal masing masing daripada pelbagai sudut seperti sejarah,

pendidikan, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya sehingga boleh dikatakan bersifat perkauman.

Tidak dapat dinafikan bahawa usaha untuk mengintergrasikan perpaduan berasaskan satu identiti nasional masih kurang mendapat sambutan di kalangan warga Malaysia dan masyarakat bukan Melayu khususnya. Makanya, masa dua tahun masih terlalu singkat untuk memastikan konsep penerimaan dapat direalisasikan sepenuhnya. Cuma sikap semulajadi atau kebiasaan rakyat Malaysia yang berhemah tinggi, saling menghormati dan bertoleransi yang selama ini dapat mengekang perpecahan antara kaum. Sekiranya berlaku sedikit perselisihan pun masih dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Makanya tidak wujud polemik yang berlarutan di mana melibatkan pergaduhan antara kaum atau perebutan kuasa.

Sehingga kini konsep penerimaan masih lagi diteruskan dan para pemimpin masih menaruh harapan yang tinggi untuk melihat keberhasilannya. Bukan satu perkara yang mudah untuk menyatukan kumpulan individu yang berlainan bangsa dan agama untuk bernaung di bawah satu bumbung. Setakat ini rakyat masih saling hormat menghormati di antara satu sama lain walaupun dalam masa yang sama wujudnya sikap tidak puas hati yang dipendam kerana bimbang berdepan dengan tindakan undang undang. Kewujudan institusi undang undang banyak membantu dalam memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti peristiwa 13 Mei 1965 (Kamsiah Abdullah, 2010).

Menurut Nazri et al (2011), di dalam Islam sendiri Allah S.W.T. telah menegaskan bahawa perbezaan etnik itu tidak boleh menjadi alasan untuk menafikan hak atau membezakan antara pelbagai etnik sepertimana dalam Surah al-Maaidah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orangorang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Surah al-Maaidah 5: 8

Allah S.W.T. menegaskan supaya manusia perlu berperanan dan bertindak dengan adil dalam apa juga perkara di mana hikmahnya adalah dapat menghindarkan perpecahan kaum seperti yang berlaku di negara negara luar sana.

Kesimpulannya, berdasarkan segala perincian yang telah dihuraikan terbukti bahawa keseluruhan masyarakat amat sensitif sekali dengan isu perkauman yang menjadi taboo di dalam kehidupan masyarakat terutama di Malaysia. Sebagai semua negara majmuk, Malaysia perlu menerapkan nilai nilai murni di dalam kehidupan supaya dapat menjadi pemangkin kepada intergrasi sesama kaum. Meskipun sebelum ini pernah berlaku peristiwa 13 Mei yang menjadi titik hitam dalam sejarah perkauman negara, tetapi perkara ini masih dapat dielakkan hari ini jika wujudnya sikap toleransi
4

yang jitu di antara satu sama lain. Parti parti politik perlu lebih berhati hati dan bersikap telus dalam memperjuangkan pendirian masing masing tanpa menyentuh soal perkauman kerana jika tersalah langkah akan mendorong kepada persengketaan dan perpecahan kaum.

Adalah diharapkan bahawa usaha pemupukan dan pengukuhan perpaduan nasional akan mampu bergerak secara lebih terarah, kemas dan jitu melalui inisiatif konsep 1Malaysia. Tidak kiralah Melayu, Cina, India dan kaum kaum yang lain masing masing adalah rakyat yang dilahirkan dan mencari rezeki di Malaysia demi membina kehidupan yang lebih baik di masa depan. Sikap toleransi dan saling menghormati adalah satu usaha untuk memupuk perpaduan seperti yang menjadi tunjang di dalam gagasan 1Malaysia. Konsep penerimaan akan terus dikekalkan dengan harapan tidak akan wujud ketidakadilan antara sesama kaum di samping membentuk pembangunan sosial yang mampan samada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang. Biarpun pemimpin silih berganti dan muncul dengan idea tersendiri tetapi isu perkauman dan perpaduan tetap menjadi agenda utama negara.

BIBLIOGRAFI

Au Yeong How, (2011). Banci 2010: Penduduk Malaysia Kini 28.3 Juta Orang. M Star Online, rujuk laman web:

http://www.statistics.gov.my/portal/images/stories/files/menu/General/mStar_O nline_29_Julai_2011.pdf

Kamsiah Abdullah, (2010). Intergrasi Melayu Minoriti Dengan Cina Minoriti di Singapura: Satu Kajian Rintis Dalam Domain Peribadi, Keluarga, Pekerjaan, Sosial dan Politik. Persidangan Antarabangsa di Kuching, 23 24 November 2010, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Jabatan Penerangan Malaysia, (2009). 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Bahagian Penerbitan Dasar Negara, rujuka laman web http://www.kpkk.gov.my/pdf/Booklet_1Malaysia.pdf

Nazri Muslim, Nik Yusri Musa & Ahmad Hidayat Buang, (2011). Hubungan Etnik di Malaysia Dari Perspektif Islam. Kajian Malaysia, Vol. 29, No. 1, pp. 1 28

Ting Chew Peh, (1987). Hubungan Ras dan Etnik. Kuala Lumpur: Pustaka Dimensi.

You might also like