You are on page 1of 11

PENGENALAN Menurut Ralp Linton (1945) mesra budaya merupakan suatu budaya yang persetujui oleh semua ahli

dalam komuniti dan mereka mengiktiraf budaya tersebut sebagai suatu amalan murni bersama dengan menjalinkan hubungan erat sesama mereka. Dalam konteks pendidikan hubungan ini terjalin apabila suasana persekitaran yang diwujudkan

memberansangkan minat murid. Oleh itu, antara aspek penting yang wajar adalah pedagogi releven budaya dan kepelbagaian kelompok, sosiolinguistik, dan penilaian berasaskan budaya. Kepimpinan dalam sesebuah sekolah dan dalam sesebuah bilik darjah adalah antara faktor penentu kewujudan persekitaran bilik darjah yang memiliki budaya mesra dan kondusif yang menghasilkan pengajaran dan pembelajaran berkesan. Konsep pembinaan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya ialah persekitaran bilik darjah bukan sekadar melibatkan unsur-unsur fizikal yang dapat dilihat dengan mata semata-mata seperti ruang bilik darjah serta peralatan di dalamnya sebaliknya persekitaran bilik darjah turut melibatkan unsur-unsur emosi dan hubungan kemanusiaan. Mesra menggambarkan keselesaan, keceriaan dan kegembiraan. Mesra wujud dan terjalin apabila manusia berhubungan dan dalam hubungan tersebut nilai-nilai murni menjadi pegangan dan melalui amalan itu terbinalah persefahaman, toleransi dan hormat menghormati. Budaya pula merupakan nilai amalan dan pelakuan yang diterima pakai oleh sekelompok masyarakat yang memenuhi kehendak rohani dan jasmani sehingga wujud kesejahteraan bagi kelompok tersebut. Dalam konteks bilik darjah, mesra budaya diwujudkan oleh guru dan murid melalui perlakuan yang positif sewaktu berlansungnya proses pengajaran dan pembelajaran. Pembinaan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya merangkumi pengurusan persekitaran fizikal, pengurusan persekitaran emosi, minat dan pencapaian murid, perkembangan sosial,pengurusan pengajaran dan pembelajaran, pedagogi relevan budaya dan kepelbagaian kelompok, sosiolinguistik dan penilaian berasaskan budaya. Menurut Woolfolk (2001) pengurusan bilik darjah adalah perlu untuk mengekalkan persekitaran pembelajaran yang positif dan produktif. Justeru, guru perlu jelas bahawa bilik darjah adalah satu ekologi yang mempunyai sistemnya yang tersendiri yang mempunyai perkaitan dengan pertautan antara persekitaran fizikalnya dengan benda-benda bernyawa iaitu guru dan murid.

PEDAGODI RELEVAN BUDAYA DAN KEPELBAGAIAN KELOMPOK Pedagodi releven budaya menggunakan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran supaya menjadi lebih bermakna kepada murid-murid. Penekanan diberikan kepada pengintergrasian pengetahuan, kemahiran asas serta memupuk nilai murni bagi perkembangan yang menyeluruh dari kepelbagaian kebolehan murid serta relevan dengan budaya yang diamalkan. Kepelbagaian aspek budaya murid diambil kira agar murid tidak terpinggir dalam proses pembelajaran mereka. Konsep kebudayaan ialah cara hidup yang dipelajari, diubahsuaikan dan diturunkan dari generasi ke generasi dalam sesebuah masyarakat menurut konteks sosiologi. Berdasarkan pandangan ahli perspektif fungsionalisme sekolah berfungsi sebagai proses sosiolisasi untuk mendidik kanak-kanak mengikut kehendak masyarakat mereka. Justeru, guru bertanggungjawab memenuhi semua aspek keperluan murid tanpa sikap prejudis terhadap budaya murid yang berbeza. Seseorang individu mewarisi dan memperolehi keupayaan bahasa dan budaya daripada keluarga dan masyarakat. Hasil daripada kajian yang dilakukan oleh oleh ahli sosiologi dari Perancis iaitu Pierre Bourdieu (1930) pencapaian persekolahan seseorang individu adalah berkait rapat dengan latar belakang kebudayaan ibu bapanya dan tahap pendidikan ibu bapa adalah lebih banyak mempengaruhi pencapaian persekolahan anak mereka daripada kedudukan kerjaya mereka dalam masyarakat. Guru seharusnya memilih strategi, kaedah dan teknik pedagogi pendidikan seperti latihan dalam penggunaan bahasa yang mampu meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu di dalam kalangan murid bukan Melayu.

Rajah yang berikut menunjukan pendekatan pedagogi yang relevan untuk diamalkan dalam pelbagai budaya murid.

Pendekatan Kolaboratif Pendekatan Koperatif Direktif

kajian masa depan

Mediatif

Konteks luar / Kajian luar

Generatif

Metakognitif

Kontekstual

Rajah 1 : Strategi Pedagogi Relevan Budaya

Kaedah Direktif adalah belajar melalui penerangan secara lansung kepada murid tentang kepelbagaian budaya dalam kelompok mereka. Fokus diberikan kepada kemahiran asas, latih tubi dan latihan kecekapan. Contoh pelaksanaan seperti guru memberikan tugasan kepada murid-murid untuk melaksanakan Hari Kepelbagaian Budaya di sekolah berdasarkan matapelajaran Pendidikan Muzik dengan mengadakan Pertandingan Tarian Kepelbagaian Budaya. Antara syarat penyertaan ialah dalam sesuatu kumpulan mestilah

ada pelbagai kaum. Disini dapat dilihat murid bukan saja membuat latih tubi kemahiran asas tarian malah berinteraksi dengan pelbagai kaum di dalam kumpulannya. Kaedah Mediatif pula boleh diaplikasikan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran jika guru menggunakan bahan media sebagai bahan bantu mengajar. Kaedah ini digunakan untuk mengajar murid untuk mengaplikasikan pengetahuan untuk

menyelesaikan masalah, membuat keputusan, mengenalpasti andaian dan menilai kebenaran andaian, membuat keputusan dan hipothesis yang berkaitan dengan budaya. Sebagai contoh guru boleh menggunakan bahan media untuk memaparkan tanyangan video berkaitan dengan budaya masyarakat Malaysia. Kebanyakkan daripada kanak-kanak mungkin tidak pernah berkunjung ke Negeri Sabah mahupun Sarawak misalnya, justeru dalam matapelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, guru boleh mengaplikasikan kaedah ini untuk memperkenalkan kepada murid-murid tentang budaya kepelbagaian kaum yang terdapat di Negeri di Bawah Bayu serta Negeri Bumi Kenyalang ini. Kaedah Generatif juga boleh digunakan untuk disesuaikan dengan budaya murid. Dalam kaedah ini guru menggalakkan murid menjana idea-idea kritis dan kreatif yang sesuai dengan budaya yang diketengahkan. Kaedah ini juga membantu murid menyelesaikan masalah secara kreatif dan dapat membuat pertimbangan untuk meneruskan budaya yang relevan. Sabagai contoh, dengan menggunakan kaedah ini guru boleh mencipta budaya pembelajaran murid yang baru. Dengan menggunakan matapelajaran Matematik, andaikata murid-murid di dalam bilik darjah tersebut ada yang tidak meminati matapelajaran ini, guru boleh memberikan mereka tugasan projek untuk menyelesaikan masalah dan kemudiannya memberi ganjaran kepada mereka sebagai galakan. Contoh tugasannya adalah seperti bagaimana wang saku yang dibekalkan oleh ibu bapa dapat dibelanjakan dan bakinya disimpan agar pada akhir bulan murid dapat menyimpannya dalam jumlah RM10.00 jika setiap hari ibu bapa membekalkan RM2.00 sebagai wang saku. Disini, guru memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif bagaimana untuk menyimpan RM10.00 setiap bulan jika wang saku yang dibekalkan setiap hari adalah RM2.00. Murid akan berusaha menyiapkan tugasan ini. Secara tidak lansung mungkin akan ada murid yang akan mengamalkan projek ini di dalam hidupnya. Jelaslah bahawa guru bukan sahaja menjana idea murid secara kreatif tetapi membuatkan murid berasa seronok untuk mengaplikasi Matematik dalam hidupnya. Kaedah Kontekstual pula dapat digunakan oleh guru supaya memotivasikan muridmurid untuk membuat kaitan antara ilmu pengetahuan dengan pengaplikasiannya kepada

budaya kehidupan mereka yang sebenar. Sebagai contoh, murid yang berilmu pengetahuan dalam matapelajaran Sains boleh menjadikan tanaman hijau sebagai satu budaya di rumahnya. Dengan mengaplikasikan aspek pengetahuan tentang kitaran fotosistesis, murid ini boleh jadikan kawasan persekitaran rumahnya dipenuhi dengan tumbuhan hijau agar udara oksigen yang dibekalkan oleh pokok tadi bertambah baik di kawasan rumahnya seterusnya kehidupan keluarganya akan lebih sihat dan terjamin. Hal ini terbukti apabila murid dapat mengaplikasikan ilmu ke dalam kehidupan sehariannya yang sebenar. Kaedah Metakognitif pula boleh diaplikasikan oleh guru dengan memberikan tugasan yang berkaitan dengan budaya masyarakat yang masih relevan untuk dibahaskan. Mengambil matapelajaran Bahasa Melayu sebagai contoh, guru boleh membuat aktiviti perbahasan di dalam bilik darjah. Tajuk perbahasan haruslah merangkumi aspek budaya masyarakat di Malaysia seperti budaya membaca dan sebagainya. Kaedah ini memberi peluang kepada murid-murid memikirkan tentang proses pembelajaran, rancangan pembelajaran, pemantauan dan penilaian kendiri. Konteks Luar ataupun Kajian Luar merupakan aktiviti proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan bersama-sama antara guru dan murid-murid di luar bilik darjah. Dalam hal ini guru hanya berperanan sebagai fasilitator manakala murid menjalankan proses pembelajaran sama ada secara berpasangan atau berkumpulan. Kaedah ini memerlukan guru untuk memberikan satu masalah yang dihadapi dan muridmurid perlu berada di luar bilik darjah untuk menyelesaikan masalah ini. Pada peringkat akhir pembelajaran, murid-murid perlu menyediakan laporan lengkap terhadap aspek yang dibincangkan dalam sesi pembelajaran mereka. Mengambil mata pelajaran Kemahiran Hidup sebagai contoh, murid-murid diminta membuat satu pembentangan mengenai cara-cara survival sekiranya terperangkap di dalam hutan. Sesi pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah membolehkan murid-murid bertindak secara kreatif dengan menyediakan bahan-bahan bantu mengajar mereka sendiri seperti daun, kayu, buah-buahan dan sebagainya untuk dijadikan alat pengajaran semasa mereka membuat pembentangan. Kajian Masa Depan pula membolehkan murid-murid mengambil bahagian dalam penciptaan masa depan. Kaedah ini membantu murid untuk berfikir diluar kotak. Sebagai contoh dalam matapelajaran Kemahiran Hidup, murid-murid diberi satu masalah tentang tempat penyimpanan kunci yang tidak mencukupi. Murid-murid juga diberi alat-alat pertukangan serta dan bahan-bahan membuat kotak kunci. Menggunakan bahan ini muridmurid diminta membuat lakaran visual alat ciptaan mereka sebelum membina sendiri alat

yang telah mereka cipta dengan pemantauan guru. Alat ciptaan mereka mestilah asli dan bukannya yang berada di pasaran. Kaedah Koperatif memberi peluang kepada murid untuk bekerjasama dalam kumpulan dengan berinteraksi dengan kawan-kawan yang datangnya dari pelbagai latar budaya. Murid-murid akan dilatih dengan akauntibiliti diri dan bertanggungjawab sesama ahli dengan menggunakan kaedah ini oleh guru. Sebagai contoh, dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, guru boleh memberi tugasan membuat drama. Dalam kumpulan tersebut mestilah terdapat pelbagai kaum serta budaya. Disini murid-murid bukan hanya dapat berinteraksi sesama mereka mengenali budaya masing-masing tetapi meningkatkan lagi sifat bertanggungjawab dan hormat menghormati dengan rakan sosial mereka. Kaedah Kolaboratif memberi penekanan tentang sifat kerjasama antara dua pihak ataupun lebih. Pembelajaran yang sering menggunakan kaedah ini ialah pembelajaran berpasangan dan pembelajaran berkumpulan dalam skala yang kecil. Sebagai contoh guru boleh memberikan lembaran kerja untuk diselesaikan secara berpasangan. Murid-murid akan berusaha untuk mencapai maklumat pembelajara dan keberkesanan pembelajaran dapat dipertingkatkan. Pengetahuan seseorang guru tentang strategi pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting kerana sebagai persediaan terutamanya kepada guru-guru baharu untuk berhadapan dengan murid-murid kelak. Disamping itu juga, guru seharusnya lebih kreatif untuk mencipta aktiviti pembelajaran agar murid-murid tidak bosan di dalam bilik darjah ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlansung serta mereka bertambah minat untuk belajar.

SOSIOLINGUISTIK Sosiolinguistik merupakan satu bidang ilmu yang mengkaji ciri-ciri dang fungsi variasi bahasa serta turut mengkaji pengaruh budaya terhadap sesuatu bahasa yang digunakan. Bahasa memainkan peranan yang penting dalam masyarakat yang pelbagai budaya. Dengan menggunakan bahasa yang betul individu dapat menyampaikan hasrat, meluahkan rasa serta mengemukakan pandangannya. Disamping itu juga, kehidupan bermasyarakat dapat dijalankan dengan sempurna. Menurut Fishman (1968) oleh sebab bahasa-bahasa biasanya berfungsi dalam satu matriks sosial dan kerana masyarakat sangat bergantung pada bahasa sebagai sarana (kalau bukan simbol) interaksi yang diamati, dapat diharapkan bahawa menifestasi

menifestasinya yang diperhatikan itu, perilaku bahasa dan perilaku sosial, akan banyak saling berhubung dalam banyak cara yang teratur. Dalam budaya masyarakat di Malaysia, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris digunakan dengan meluasnya oleh pelbagai etnik. Masyarakat yang pelbagai ini seperti sudah menerima penggunaan kedua-dua bahasa tersebut sebagai alat komunikasi dan berinteraksi dalam pelbagai situasi sama ada rasmi dan tidak rasmi. Cara yang paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman diantara satu kaum dengan satu kaum yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi proses perpaduan kaum dan rasa harmoni antara kaum di negara ini. Kebolehan murid berinteraksi dengan menggunakan pelbagai bahasa ini turut perlu diberi perhatian oleh guru. Mereka yang berkebolehan mungkin boleh digunakan untuk membantu rakan sebaya yang menghadapi masalah dalam berinteraksi dan berkomunikasi dalam pembelajaran. Guru boleh mempamerkan info mengenai budaya dalam kelas dengan menggunakan pelbagai laras bahasa supaya semua info tersebut dapat diterima dan difahami oleh murid. Guru juga boleh menerapkan nilai kerjasama antara murid disamping menggunakan pelbagai laras bahasa ketika berinteraksi dengan murid di dalam bilik darjah.

PENILAIAN BERASASKAN BUDAYA Penilaian merujuk kepada satu proses mendapatkan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan tentang tindakan selanjutnya. Dalam perkataan lain, penilaian adalah satu proses sistematik untuk mendapatkan maklumat dalam membuat keputusan bagi tindakan yang akan diambil kelak. Manakala mengikut Hall (1959) , budaya merupakan satu set pola yang dialami oleh individu-individu sebagai cara bertindak, merasa, dan melakukan sesuatu. Amat jelas adalah pandangan Erickson (1997) di mana atribut penting budaya berkait dengan pendidikan merupakan suatu yang eksplisit (seperti tabiat manusia) dan implisit (seperti nilai, andaian dan kepercayaan). Penilaian berasaskan budaya bermaksud penilaian yang dilaksanakan oleh guru untuk mengumpul maklumat bagi membuat keputusan dimana ianya dengan mengambil kira kepelbagaian latar budaya murid-murid. Guru perlu melaksanakan penilaian terhadap murid berasaskan budaya yang sesuai dengan situasi di dalam kelas berkenaan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah aturan kedudukan fizikal kelas dalam kumpulan dengan

kaum yang berbeza. Murid perlu diberi peluang melakukan aktiviti bersama kaum yang berbeza. Guru turut boleh memperkenalkan adat dan kaum yang ada di Malaysia. Penerapan nilai bekerjasama dalam mata pelajaran akan memudahkan proses penilaian dilakukan terhadap murid. Maklumat dalam rajah di bawah menunjukkan bagaimana guru boleh melaksanakan proses penilaian terhadap murid ketika mereka melakukan aktiviti di dalam bilik darjah.

Nilai
Disiplin
Orientasi

Organisasi Bilik Darjah

Psikologi Murid

Hubungan

Budaya Belajar
Rajah 2 : Skop Penilaian

Penilaian terhadap nilai yang diamalkan merupakan garis panduan, tindakan dan pola tingkah laku yang diingini di dalam bilik darjah. Penilaian terhadap aspek disiplin boleh mempengaruhi suasana dan persekitaran bilik darjah yang efektif mencerminkan adanya disiplin dalam kalangan murid-murid dan guru. Penilaian terhadap hubungan sosial murid yang boleh dilakukan di dlaam bilik darjah berdasarkan budaya jika dilaksanakansecara efektif mencerminkan wujudnya perkembangan hubungan sosial yang dinamis, harmoni dan bertanggungjawab dalam organisasi bilik darjah. Budaya belajar murid yang dinamik akan meluaskan ruang ekspresi, perbincangan, penyelidikan, pembacaan, penyelesaian masalah, mengasah pemikiran kritikal dan mencorakkan murid bersifat kreatif dan seronok disamping dapat menguasai kemahiran tertentu. Bilik darjah yang berkesan menawarkan pelbagai peluang pembelajaran untuk membantu setiap murid mengembangkan potensi, minat dan bakat mereka yang berbezabeza.

Penilaian berasaskan budaya kian memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan. Pengumpulan data tentang pengetahuan dan kemahiran pelajar dengan menggunakan alat/teknik penilaian yang sesuai amat mustahak . Kesahan dalam keputusan penilaian merupakan isu utama kerana keputusan-keputusan ini digunakan untuk memaklumkan keputusan terhadap pembelajaran pelajar. Maka keputusan yang sah dipengaruhi oleh pemilihan alat penilaian yang telah disahkan berasaskan sampelan populasi tertentu. Juga, jika suatu alat diterjemahkan, kepastian perlu dibuat terhadap kesahan dan integriti dalam proses terjemahan. Penilaian yang disediakan untuk pelajar daripada pelbagai budaya perlu mengambil kira faktor pelajar seperti sejarah imigrasi atau perpindahan, status sosio-ekonomi, latar belakang pelajar. Aspek-aspek ini akan akan membantu dalam membekalkan maklumat kepada guru apabila memilih alat-alat penilaian yang sesuai untuk proses peinilaian. Untuk guru yang menyediakan penilaian, pentaksiran berasaskan budaya memerlukan integrasi kepekaan dari segi sikap, pengetahuan, kemahiran menyoal atau menemubual, strategistrategi intervensi dan amalan-amalan penilaian. Penilaian ini bertujuan untuk menentukan teknik dan strategi penilaian yang sesuai untuk memperoleh data mengenai pelajar. Fokus mengenai penilaian yang tidak mendiskriminasikan sesiapa seharusnya dapat membuat keputusan tentang kemajuan pelajar selain dapat mengenal pasti atau mengklasifikasikan pelajar. Di samping itu, penilaian ini bertujuan untuk memberi maklum balas tentang kelemahan dan kekuatan pengajaran pembelajaran, dan seterusnya pembangunan program pendidikan. Secara keseluruhannya, penilaian berasaskan budaya bertujuan untuk : (a) mengumpul maklumat untuk kemajuan, diagnosis dan tindakan selanjutnya (b) menilai dengan menggunakan prosedur autentik dan alternatif (c) memperoleh data tentang peluang pembelajaran untuk semua murid (d) mengumpul maklumat sama ada ianya mengambil kira faktor linguistik dan kerelevanan budaya (e) menentukan keperluan bahasa yang sesuai untuk penilaian formal (f) mengurangkan bias dalam amalan-amalan penilaian tradisional

KESIMPULAN Proses pengajaran dan pembelajaran yang mesra budaya di dalam bilik darjah dapat meningkatkan lagi mutu ilmu yang diperolehi oleh murid-murid. Dengan mengamalkan konsep mesra budaya ini, murid-murid tidak lagi akan jemu ke sekolah. Proses pembelajaran yang menyeronokkan membolehkan mereka lebih bermotivasi untuk belajar. Selain itu, guru seharusnya peka tentang setiap budaya kaum di Malaysia agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlansung terutamanya. Guru yang baik akan memastikan iklim bilik darjah adalah sempurna kerana jika keadaan bilik darjah tidak terurus dengan baik, murid-murid akan malas belajar. Perhatian mereka juga akan terganggung dengan sampah sarap di dalam kelas, keadaan tingkap yang tidak bersih. Kebersihan di dalam bilik darjah juga penting kerana menjadi faktor kesihatan murid-murid. Guru boleh menjadikan bilik darjah seperti rumah murid-murid itu sendiri dimana mereka diwajibkan untuk menjaga kecantikannya. Disini sifat tanggungjawab dan kerjasama dapat dipupuk dalam diri murid. Hal ini kerana, iklim bilik darjah yang mesra budaya akan membolehkan murid-murid belajar dengan lebih selesa dan proaktif serta produktif.

RUJUKAN Mok Soon Sang , 2008. Psikologi Pendidikan dan Pedagogi, Murid dan Alam Belajar. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Mok Soon Sang, 2009. Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd. Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010. Budaya dan Pembelajaran. Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd. http://berita-harian-online.com/search/bilik%20darjah%20mesra%20budaya

You might also like