You are on page 1of 2

5.2.2 Data Ordinal Ordinal ialah skala yang memberikan nilai pemeringkatan atau pangkatan.

Data ordinal boleh disusun sama ada daripada yang terendah kepada nilai yang tertinggi atau daripada yang lemah kepada yang cemerlang. Nombor atau kategori yang diguna menggambarkan ukuran asal pemboleh ubah mengikut susunan daripada kecil kepada yang besar atau dari kategori yang kurang baik kepada kategori yang lebih baik. Kedudukan, gred dan jawatan adalah contoh data ordinal. Pelajar yang mendapat nombor 1 dalam kelas tentunya lebih baik dari pelajar yang mendapat nombor 2, 3 dan seterusnya. Gred A juga lebih baik dari gred B, C dan D. Sarjan lebih berpangkat berbanding koperal dan lanskoperal. Ciri-ciri utama data ordinal adalah : i. Kategori yang digunakan bagi mengkelaskan data ordinal adalah saling eksklusif. ii. Ukuran yang digunakan, memperlihatkan pemeringkatan secara logik. iii. Ukuran mempunyai pemberat dimana setiap kategori mempunyai pemberat yang kurang atau lebih berbanding kategori lain. Markah, ketinggian, berat, gred, dan jawatan adalah contoh data ordinal. Markah 80% tentunya lebih baik dari 50%. 160 cm sudah pasti lebih tinggi dari 100 cm. Benda yang beratnya 60 kg tentunya lebih berat dari 25 kg.

5.2.3 Data Sela Skala sela ini mempunyai ciri pemeringkatan dan juga mempunyai perbezaan bagi setiap unit sela yang sama nilai. Skala ini berupaya menunjukkan perbezaan antara beberapa kategori dan ia boleh menunjukkan kesamaan dalam unit ukuran yang digunakan. Contoh ukuran berskala sela ialah ukuran suhu. Dalam hal ini, perbezaan suhu antara 25C dengan 35C adalah sama dengan perbezaan suhu antara 5C dengan 15C, iaitu perbezaan 10 darjah. Nilai perbezaan ini sama kerana ia dikira dari titik origin iaitu 0C. Nilai sifar (0) merupakan suatu nilai yang arbitrari, yang tidak menggambarkan nilai kuantiti kosong, iaitu skala sela tidak mempunyai nilai mutlak. Misalnya, suhu 0C merupakan nilai permulaan sistem pengukuran suhu dalam C. Suhu 0C di sini bukan bermakna tidak ada kepanasan. Begitu juga dengan markah pencapaian. Katakan pelajar A mendapat markah 90 dan pelajar B mendapat markah 75. Bezanya adalah 15 markah. Jika pelajar C mendapat 60 markah dan pelajar D mendapat 45 markah, bezanya juga adalah 15 markah. Kita boleh kata perbezaan pelajar A dengan B dan perbezaan C dengan D adalah sama. Kita tidak boleh katakan kepandaian pelajar A dua kali ganda pelajar D walau pun pelajar A mendapat 90 markah dan pelajar D mendapat 45 markah. Sekiranya seorang pelajar memperolehi 0 markah, tidak bererti dia tiada kepandaian

kerana nilai sifar (0) ini bukan mutlak dan hanya sebagai permulaan ukuran sahaja. Ciri-ciri skala sela adalah : i. Kategori yang digunakan bagi mengkelaskan data sela adalah saling eksklusif. ii. Ukuran yang diguna menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik. iii. Ukuran yang diguna mempunyai pemberat, iaitu sesuatu ukuran sama ada lebih kecil atau lebih besar daripada yang lain. iv. Ukuran dalam skala sela bernilai arbitrari (tidak mutlak). Nilai sifar (0) juga adalah arbitrari. v. Perbezaan satu unit ukuran mempunyai nilai yang sama bagi semua perbezaan ukuran.

5.2.4 Data Nisbah Skala nisbah ialah skala yang mempunyai semua ciri skala sela dan juga nilai mutlak. Dalam skala nisbah nilai sifar (0) adalah kosong dan mutlak. Jarak, berat dan wang adalah contoh data berskala nisbah. Jarak 6 km adalah dua kali jarak 3 km. Nilai wang RM10 adalah dua kali ganda nilai wang RM5. Nilai sifar (0) bagi jarak 0 km dan RM0 adalah benar-benar tiada jarak dan tiada wang.

Latihan 1 : Apakah jenis data bagi makanan kegemaran? Apakah jenis data bagi saiz kasut? Apakah jenis data bagi kedudukan dalam kelas?

Latihan 2 : Apakah yang dimaksudkan dengan skala Likert? Berikan contoh yang sesuai bagi data yang menggunakan skala Likert.

You might also like