You are on page 1of 10

6.

2 GAGASAN MEMARTABATKAN TULISAN JAWI

Rajah 6.4: Penerbitan Warta Melayu. Sumber:http://hids.arkib.gov.my/doc/jilidv /mac/23_03_1898_1981.htm Dipetik pada 15 julai 2008 Pada 23 Mac 1898, keluaran pertama akhbar berbahasa Melayu dalam tulisan Jawi 'Warta Melayu' telah diterbitkan (Rajah 6.4). Akhbar ini diterbitkan dan dicetak di Singapura oleh American Machine Press Singapura. Akhbar tersebut diterbit dalam 8 halaman dan menyiarkan pelbagai berita luar dan dalam negeri. Berita-berita itu disiarkan mengikut kumpulan negeri iaitu Khabar Negeri Asing, Khabar Negeri Melayu, Khabar Singapura dan Khabar Pulau Pinang. Berita-berita yang berkaitan meliputi peperangan dan pergolakan politik di negara-negara asing. Soal-soal agama dan cerita-cerita penglipur lara terjemahan daripada bahasa Cina dan Inggeris. Terdapat juga ruangan pengenalan yang ditulis oleh pengarangnya. Mulai keluaran bulan Ogos dalam tahun yang sama, suratkhabar ini mula bercorak komersial dengan tersiarnya iklan-iklan. Walaupun terbitnya tidak tetap kemunculan akhbar ini dalam arena persuratkhabaran Melayu telah dapat membuka sedikit sebanyak pandangan dan pemikiran segolongan orang-orang Melayu terhadap perubahan-perubahan semasa.

Dengan kehendak Kerajaan-Kerajaan Melayu Bersekutu penerbitan akhbar ini diteruskan dalam tulisan rumi. Ini telah mengubah bentuk akbar daripada sebuah akhbar biasa menjadi akhbar rasmi bagi Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Warta Rasmi ini mengandungi perkara-perkara seperti perlantikan dalam jabatan, undang-undang dan peraturan-peraturan am kerajaan dan sebagainya. Perkembangan selanjutnya mengenai akhbar ini tidak dapat dikesan kerana penerbitannya telah terhenti tanpa diketahui, manakala keluaran yang tersimpan di Arkib Negara hanya setakat 30 September 1904. Roseline Mapong Sabai http://hids.arkib.gov.my/doc/2005/mac/23_03_1898_2005.htm dipetik pada 15 Julai 2008. Pada hari ini 13 Julai 1946, Pejabat Perhubungan Raya di Kuala Lumpur telah menerbitkan naskah pertama akhbar harian tulisan Jawi yang mengandungi 4 halaman. Akhbar Cermin Malaya merupakan sebuah akhbar yang diterbitkan oleh Pejabat Perhubungan Raya yang kemudiannya dikenali dengan nama Pejabat Penerangan. Akhbar Cermin Malaya diterbitkan bertujuan untuk menerangkan mengenai dasar-dasar dan usaha kerajaan Inggeris pada masa itu. Ini termasuklah dasar-dasar kerajaan dalam usaha menghapus, menyekat dan membasmi pengaruh komunis di Tanah Melayu, serta pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang menggantikan Malayan Union. Akhbar Cermin Malaya memainkan peranan penting sebagai saluran maklumat dan penyampai berita tentang perkembangan politik, ekonomi dan sosial tanahair. Pada bulan Disember 1948 akhbar Cermin Malaya telah diberhentikan penerbitannya dan kemudiannya telah digantikan dengan Panduan Rakyat. Pada 12 April 1952, Persidangan Persuratan Melayu SeMalaya yang pertama telah didakan di Singapura. Persidangan itu telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang wakil pertubuhan persuratan seperti Ikatan Bahasa Melayu, Persuratan Buku Di Raja dari negeri Johor, Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung, Angkatan Sasterawan 50 dan lain-lain persatuan dari seluruh Tanah Melayu. Persidangan itu membincangkan dengan terperinci serta membahaskan berkenaan penggunaan tulisan Rumi dan Jawi dalam persuratan Melayu. Angkatan Sasterawan 50 berpendapat bahawa sudah sampai masanya tulisan Rumi diiktiraf secara rasmi tetapi tulisan Jawi juga hendaklah dipakai. Enam buah badan persuratan lain telah menyokong syor Angkatan Sasterawan 50 itu, manakala Lembaga Bahasa Melayu berpendapat bahawa tulisan Jawi dan Rumi adalah sama banyak digunakan dalam persuratan Melayu. Akhirnya persidangan telah bersetuju dengan keputusan mengiktiraf kedua-dua huruf Jawi dan Rumi sebagai huruf rasmi dalam persuratan Melayu. Sesungguhnya keputusan yang diambil oleh Persidangan Persuratan Melayu SeMalaya untuk mengiktiraf tulisan Jawi dan Rumi sebagai tulisan rasmi dalam persuratan Melayu menunjukkan suatu langkah untuk memelihara kedua-dua tulisan tersebut khasnya tulisan Jawi daripada luput ditelan zaman. Pada hari 6 Februari 1958, bangunan Syarikat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur dibuka dengan rasminya oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor, Tuanku Hishamuddin Alam Shah. Dengan pembukaan bangunan baru itu, akhbar Utusan Melayu rasmilah dicetak dan diterbitkan di Kuala Lumpur, setelah 19 tahun, iaitu semenjak pemindahannya dalam tahun 1939 dari Singapura. Perpindahan tempat percetakan dan penerbitan ini merupakan satu kemajuan bagi Syarikat Utusan Melayu yang kini mempunyai bangunannya sendiri yang dilengkapkan dengan alat-alat jentera yang moden. Akhbar Utusan Melayu merupakan satu akhbar yang terulung yang dipunyai dan diusahakan sepenuhnya oleh orang-orang Melayu. Utusan Melayu ialah satu-satunya akhbar nasional yang diterbitkan dalam tulisan Jawi. Oeh yang demikian, Utusan Melayu merupakan akhbar yang sangat popular terutamanya dalam kalangan orang-orang Melayu di kawasan luar bandar di mana tulisan Jawi masih lagi difahami dan digunakan dengan meluas. Semenjak mula ditubuhkan, Utusan Melayu telah banyak menyedarkan dan menyuarakan kepentingan dan perjuangan orang-orang Melayu dalam hal-hal ekonomi, politik dan sosial supaya mereka tidak ketinggalan di belakang dari bangsa-bangsa lain di negara ini. Pada 1 Januari 2003, akhbar Utusan Melayu, satu-satunya akhbar bertulisan Jawi yang bersalut 1001 sejarah perjuangan bangsanya boleh dikatakan memasuki era `kelumpuhan' yang serius dan mungkin akan terus berkubur tanpa nisan jika tiada sebarang usaha untuk menyelamatkannya dilakukan. Berikut dipetik keluhan dan rintihan terhadap hidup mati tulisan Jawi dalam era globalisasi hari ini. AWANG setuju dengan semua yang diperkatakan oleh Saudara Tajuddin Saman, kecuali satu. Beliau yakin tidak ada seorang pun Melayu yang tidak sanggup tampil untuk menyelamatkan Utusan Melayu sekiranya mereka tahu peranan akhbar ini. Di sini beliau silap. Pengurusan Utusan Melayu telah melakukan bermacam-macam usaha untuk menghidupkan akhbar ini sebagai akhbar harian termasuk meminta sokongan Melayu daripada orang seperti Hamid Othman (Tan Sri), kepimpinan Pusat Islam serta orang politik. Pencinta-pencinta tulisan Jawi juga berusaha dengan mengadakan bengkel dan sebagainya untuk mencetuskan minat terhadap tulisan Jawi. Tapi semuanya berakhir begitu sahaja. Pernah diminta supaya wakil-wakil rakyat membeli dan mengedarkannya kepada murid sekolah di kawasan masing-masing. Pun tidak ke mana. Kini, apabila Utusan Melayu terpaksa dijadikan akhbar mingguan dan menghadapi kemungkinan ditutup terus, terdengarlah suara-suara yang bertanya kenapa dan mengapa. Ahad lalu, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain menulis tentang nasib Utusan Melayu di bawah tajuk Melayu Matikan Utusan Melayu. Beliau mengakhiri tulisannya dengan menyatakan: ``Ironiknya, ketika akhbar harian Jawi yang sinonim dengan Melayu diketepikan oleh orang Melayu, masyarakat Cina dengan bangga dan gembira menyambut kelahiran sebuah lagi akhbar harian Cina, Oriental Daily News. Akhbar ini bernasib baik kerana mendapat sokongan orang-orang Cina.'' Awang mahu bertanya, sanggupkah orang Melayu tampil menghidupkan semula Utusan Melayu dengan menyokongnya sebagaimana orang Cina menyokong akhbar Cina? Daripada petikan di atas, kita dapat mengandaikan bahawa pemartaban tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu perlu diberikan perhatian serius. Menurut Mohd Hussein Baharuddin, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan tekanan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi dalam masyarakat Melayu kini, iaitu pendirian orang Melayu itu sendiri. Dalam mengharungi era globalisasi, orang Melayu seolah-olah lupa akan kewujudan unsur dalam Bahasa Melayu yang paling penting, iaitu tulisan. Penggunaan tulisan Rumi telah menenggelamkan sejarah kepentingan tulisan Jawi sebagai alat menyampaikan ilmu sewaktu

perkembangan agama Islam di rantau ini. Kanak-kanak tidak diberikan penekanan penulisan Jawi kecuali sekadar sebagai tulisan Arab dalam kelas agama. Oleh itu sikap orang Melayu perlulah diubah agar tulisan Jawi dapat dikekalkan dalam persada hari ini. Selanjutnya juga perlu difikirkan peranan pihak perancang bahasa, khususnya badan kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil inisiatif yang lebih inovatif dalam mempertahankan tulisan Jawi dalam masyarakat hari ini. Malah sebenarnya tulisan Jawi dapat dimantapkan melalui bidang pendidikan. Pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah bermula daripada Tahun 1 lagi akan memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk belajar menulis dalam tulisan Jawi. Pendidikan bukan sahaja bersifat satu hala atau satu lawan satu dalam kelas tetapi perkembangan multimedia dapat membantu perkembangan tulisan Jawi dalam pendidikan melalui perisian kursus dalam CD atau VCD yang memudahkan pengedaran yang lebih luas. Bahan pengajaran juga perlu diperbanyakkan misalnya buku-buku latihan yang berorientasikan pembelajaran kendiri dan juga melalui akhbar Utusan Melaysia yang dapat membantu perkembangan korpus bahasa melalui tulisan Jawi. Penggunaan akbar Jawi dalam darjah merupakan langkah yang perlu digalakkan di semua sekolah agar pembelajaran menjadi lebih menarik dan praktikal. Kementerian Pelajaran seharusnya mengambil inisiatif untuk mengembangkan penulisan Jawi melalui peruntukan dalam jadual waktu persekolahan untuk pembelajaran. Kepentingan mempelajari tulisan Jawi samalah juga dengan kepentingan mempelajari Bahasa Melayu. Pameran seni khat juga seharusnya diperbanyakkan dan pelajar sekolah harus digalakkan mengunjungi pameran sedemikian supaya mendapat pendedahan yang sewajarnya tentang warisan Melayu yang kian dilupakan ini. Bengkel tentang penulisan Jawi dalam kalangan belia dan pelajar peringkat remaja dapat mempertingkatkan lagi kesedaran mempertahankan tulisan Jawi sebagai alat pengembangan ilmu. Selain daripada kemudahan bahan pengajaran, guru yang berpengalaman perlu dilahirkan untuk memenuhi keperluan pengajaran. Latihan dapat meningkatkan kaedah pengajaran yang lebih berkesan.

Rajah 6.5: PEMBAKAR SEMANGAT... Peranan besar tulisan Jawi pada akhbar-akhbar Melayu seperti Utusan Melayu, Utusan Zaman dan majalah Warta Ahad dalam menyuburkan semangat kemerdekaan dan patriotisme dalam kalangan orang Melayu. Foto: Melati Arif Sumber:Dipetik daripada http://web5.bernama.com/events/merdeka50/newsbm.php?id=247824 Menurut Bukhari Lubis, pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Pengarah Penerbit UPSI, satu kaedah untuk memartabatkan tulisan Jawi ialah setiap masa, lokasi atau di mana saja sewajarnya diletakkan tulisan ini. Media massa turut memberi sokongan seperti menyelitkan berita, iklan atau papan tanda dalam tulisan ini. Apabila semua pihak saling membantu, usaha memartabatkan tulisan ini mudah dilaksanakan, sekali gus memperluaskan pengaruh atau penggunaannya. Pada masa sama, kegiatan menguasai ejaan ini mesti diperkasakan dalam kalangan generasi muda kerana mereka golongan terbesar. Antaranya, mengadakan pelbagai sayembara serta kursus umum di sekolah rendah dan menengah. Percambahan minat terhadap golongan ini jika dijana sejak awal mampu membentuk keseimbangan dalam pelbagai aspek sekali gus mencapai kejayaan pada masa depan. Justeru, jika ada pelajar yang berminat menjadi pakar bahasa, perlulah dikaji dan diteroka keistimewaan sistem tulisan Jawi. Ini perlu dilakukan demi masa depan negara dan negara memerlukan golongan ini untuk meneruskan kesinambungan sedia ada. Pada masa sama, penerbitan buku dalam versi Jawi mestilah dipelbagaikan dengan memberi galakan atau insentif. Beliau percaya, jika disokong dengan mekanisme padu,

martabat untuk mengangkat taraf tulisan ini akan tercapai. Yang penting ialah galakan serta cara pelaksanaannya. Sudah sampai masanya masyarakat menyemarakkan tulisan ini sebagai satu bukti terunggul kewujudan tamadun Melayu suatu ketika dulu. Kesimpulannya, tulisan merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Malah tulisan Jawi merupakan nadi yang menggerakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meletakkan Bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa asing di dunia ini pada satu ketika dahulu. Kini, masyarakat perlulah disedarkan tentang keperluan mempertahankan warisan budaya ini agar tidak pupus ditelan dek zaman. Rakyat dan kerajaan perlu berganding bahu untuk merealisasikan semula keagungan tulisan Jawi sebagai alat mengembangkan ilmu dalam Bahasa Melayu.

SEMAK KENDIRI 6.2


1. Bincangkan peranan yang seharusnya dimainkan oleh individu dan memartabatkan tulisan Jawi. masyarakat dalam

2.

Jelaskan kaitan antara falsafah pendidikan negara dengan usaha memartabatkan tulisan Jawi.

Memartabatkan Kembali Tulisan Jawi

Hidup segan mati tak mahu itulah pepatah Melayu yang sesuai untuk menggambarkan nasib tulisan jawi ketika ini. Seperti kita maklum tulisan jawi telah bertapak di alam Melayu lebih kurang sekitar 700 ratus tahun dahulu berdasarkan kepada penemuan batu bersurat tahun 1303 di Terengganu. Malah, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa tulisan jawi telah digunakan seawal kedatangan Islam di alam Melayu lagi. Tidak dinafikan tulisan jawi telah mencapai zaman kegemilangan pada abad ke 18, hinggakan penjajah Inggeris yang menjajah di Tanah Melayu ketika itu perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan jawi. Hal ini dapat dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British yang bertarikh antara tahun 1786 hinggakan 1794, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pengkor 1874, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957. Ditambahkan lagi, melalui tulisan jawi, hasil kesusasteraan Melayu turut berkembang dengan pesatnya, apabila banyak hikayat lama dikarang dan disebar luaskan melalui tulisan jawi, seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Banjar, Hikayat Raja - Raja Pasai, Hikayat Iskandar Zulkarnia. Biar pun hikayat-hikayat ini tidak diketahui siapa pengarangnya. Namun, hasil sastera ini terus berkembang melalui tulisan jawi. Tidak dapat dinafikan bahawa tulisan jawi telah menjadi wadah kepada masyarakat Melayu dalam mengembangkan ilmu pengetahuan mencakupi bidang kesenian, kesusasteraan mahu pun aspek kebahasaan. Hal ini terbukti apabila akhbar-akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Utusan Zaman menggunakan tulisan jawi ketika awal penerbitannya. Malah tidak ketinggalan juga majalah Mastika yang turut menggunakan tulisan jawi dalam penerbitannya dan mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu. Malah, tulisan jawi tidak dapat dinafikan merupakan aspek penting dalam mengekalkan identiti budaya Melayu. Hal ini, dikuatkan lagi apabila tulisan jawi dikaitkan dengan kedatangan Islam dan budaya Al-Quran ke Tanah Melayu. Ditambahkan lagi, menurut catatan pengembara Eropah seperti Magellan, Tom Pires dan Van Ronkel, menggambarkan bahasa Melayu dan tulisan jawi diiktiraf sebagai bahasa penghubung utama pada zaman Kesultanan Islam di Nusantara.

Tetapi pada hari ini kegemilangan tulisan jawi umpama melalui zon gerhana yang cukup menyedihkan. Adakah masyarakat kita tidak cukup berbangga dengan zaman kegemilangan tulisan jawi ketika dahulu yang sentiasa digunakan sebagai jabatan keilmuan. Kemerosotan peranan tulisan jawi di dalam dunia keilmuan dapat dikesan semenjak ketibaan kuasa-kuasa Barat yang mula menjajah Tanah Melayu pada abad ke 18 dan 19. Pada ketika ini tulisan rumi telah diperkenalkan oleh penjajah barat terutama di dalam sistem pendidikan yang berorientasikan pendidikan dunia barat. Pada ketika itu jugalah peranan tulisan jawi sedikit demi sedikit mula terhakis dari perhatian masyarakat Melayu sendiri. Menurut Samat Buang dalam artikelnya Mengembalikan Maruah Tulisan Jawi menyatakan bahawa kita tidak harus mengekalkan mentaliti penjajah seperti R.J Wilkinson yang dengan sengaja membunuh tulisan jawi dengan memperkenalkan tulisan rumi. Dengan adanya tulisan rumi sedikit-demi sedikit, British menarik masyarakat Melayu daripada akar umbinya. Dari pada pandangan Samat Buang tersebut, dapat kita tafsirkan bahawa tahap kebimbangan para ahli akademik berkenaan survival tulisan jawi telah berada di tahap yang membimbangkan. Hal ini ditambahkan lagi, pelbagai peristiwa yang sangat mengguris hati - hati pencinta tulisan jawi yang mana 29 Januari 2006 akhbar Utusan Melayu yang merupakan satu - satunya akhbar yang menggunakan tulisan jawi dihentikan penerbitannya kerana kurangnya sambutan daripada masyarakat terutama daripada masyarakat Melayu sendiri. Malah, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan dengan nada kehairanan menyatakan bahawa tiada seorang pun yang mendengus, apatah lagi mempolemikkan penutupan akhbar itu baik di media elektronik mahu pun media cetak. Malah, Dato Johan Jaaffar dengan nada sinis di dalam Persidangan dan Pameran Tulisan Jawi di Muzium Negara menganggap orang Melayu renyah dengan identiti warisan bangsanya sendiri. Pandangan beliau ini berpaksikan kepada populasi etnik Melayu yang merangkumi 13 juta orang Melayu, dan akhbar tulisan jawi tidak boleh hidup dan dipedulikan sedangkan akhbar berbangsa lain dapat hidup subur walaupun komunitinya, lebih kecil berbanding masyarakat Melayu. Satu persoalan yang perlu ditudingkan pada diri sendiri, di manakah silapnya? Justeru, langkah memartabatkan semula tulisan jawi wajar dilaksanakan supaya seni warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Banyak pendapat mahu pun cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para sarjan mahu pun orang perseorangan berkenaan langkah perlindungan

tulisan jawi. Antaranya ialah melalui sistem pendidikan negara. Melalui sistem pendidikan ini kemahiran menulis dan membaca tulisan jawi mesti dijadikan teras dalam mata pelajaran pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah seluruh negara. Di tambahkan lagi, pengenalan tulisan jawi perlu juga dimasukkan di dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah. Hal ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menangkis dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap tulisan jawi yang dianggap sebagai sinonim dengan agama Islam. Malah, di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam mahu pun Swasta (IPTA/IPTS), langkah memasukkan kemahiran dan sejarah perkembangan tulisan jawi di dalam subjek Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia adalah wajar sebagai mekanisme untuk memartabatkan tulisan jawi di peringkat Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Selain itu, kesedaran penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan petunjuk jalan masih kecil bilangannya dan tidak keterlaluan jika dikatakan boleh di bilang dengan jari. Oleh yang demikian, penggunaan tulisan jawi ini perlu dipergiatkan usahanya terutama peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan tempatan dalam merealisasikan impian negara bagi menghidupkan semula kegemilangan tulisan jawi yang pernah mencapai puncak kemasyhurannya suatu ketika dahulu. Impian ini tidak terlaksana jika hanya dilakukan hanya sebelah pihak sahaja, malah semua pihak perlu berganding bahu tidak apa jua lapisan masyarakat agar tulisan jawi ini bak kata pepatah Melayu tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Perjuangan memartabatkan tulisan jawi



Details Created on Saturday, 11 July 2009 01:52 Last Updated on Tuesday, 21 August 2012 06:03 Hits: 967 ALOR SETAR: Terlalu banyak pandangan serta keluh kesah para pejuang tulisan jawi serta pejuang bahasa terhadap nasib malang yang menimpa tulisan ini dan malah terlalu banyak juga paparan dibuat dalam bentuk fenomena kegersangan masyarakat Melayu terhadap penggunaan tulisan jawi. Namun begitu, memartabatkan tulisan jawi kepada orbit atau gelanggang sebenarnya juga adalah suatu perjuangan kemerdekaan. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib berkata, tulisan jawi mewakili kedua-dua warisan iaitu nyata dan tidak nyata di mana ia nyata apabila ia terukir pada batu bersurat dan prasasti. Ia juga warisan tidak nyata apabila ia mewariskan budaya Islam, bukti adanya keterikatan antara Islam dalam budaya harian Melayu dan sebagainya, jelasnya. Menurutnya, tulisan adalah simbol atau lambang kepada identiti bahasa di mana tulisan adalah perwakilan artikulasi bahasa semenjak manusia tahu bagaimana menyampaikan buah fikiran, menghurai perkara visual untuk difahami oleh orang lain. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Muktamar Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi (PERAWI) di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Jalan Kolam Air, di sini. Program itu dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dengan kerjasama Teras Pengupayaan Melayu (TERAS). Beliau menjelaskan, tulisan juga menjadi alat awal mengekalkan ingatan bermula dengan penulisan bilangan hari dan bulan dan lantaran itu, ia dikaitkan dengan bahasa sebagai teras atau satu entity manakala tulisan adalah penunjuk atau dalil wujudnya entiti tersebut. Tulisan jawi hendaklah dijadikan salah satu asas keperibadian bangsa dengan cara menetapkan taraf tulisan tersebut iaitu dengan mengadakan akta atau undang-undang khas tentang tulisan jawi, ujarnya. YB. Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib berkata, memasukkan tulisan jawi ke dalam akta Bahasa Kebangsaan sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan adalah langkah berkesan dalam usaha memelihara dan mengangkat martabat tulisan berkenaan agar ianya tidak luput di telan zaman. Dalam pada itu, katanya, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk meneliti dan mengkaji kelemahan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi dalam system pendidikan masa kini. Ia diharap mampu membina jaringan institusi dan individu yang boleh mengangkat semula martabat tulisan jawi serta melaksanakan gerakerja advokasi kepada pihak kerajaan untuk menerima cadangan pemerkasaan tulisan jawi sebagai tulisan yang diarus perdanakan dalam semua sektor swasta dan awam. Apa yang penting, katanya, ia secara tidak langsung berupaya melancarkan kempen kebangsaan Celik Jawi sebagai wahana mempopularkan tulisan jawi di kalangan masyarakat serta menambah bilangan pendokong dan penyokong pemerkasaan tulisan jawi di kalangan golongan muda. Turut hadir ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Tuan Haji Mohd. Azmi Abdul Hamid dan Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Ustaz Yusof Mahmud.

Usaha Kumpulan Utusan perkasa jawi perlu disokong MB

MOHAMAD Hasan (dua kiri) menyampaikan replika tajaan Utusan Melayu Mingguan bernilai RM120,000 kepada Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (dua kanan) sambil diperhatikan oleh Abdul Aziz Ishak (kiri) dan Hasmadi Hassan di Wisma Negeri, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID

SEREMBAN 14 Mac - Usaha Kumpulan Utusan untuk terus memperkasakan tulisan jawi di negara ini menerusi penerbitan sisipan Utusan Melayu Mingguan wajar dipuji kerana ia dianggap platform terbaik bagi mempertahankan khazanah Melayu itu khususnya di kalangan generasi muda. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha murni itu perlu disokong sekiranya tidak mahu melihat tulisan jawi yang merupakan warisan negara ini pupus dan hilang ditelan zaman. "Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan akhbar Utusan Malaysiauntuk mengedarkan sisipan ini ke sekolah-sekolah di seluruh negeri ini. "Tajaan ini bukan sahaja untuk menambah bahan bacaan berilmiah di sekolah tetapi paling utama kita mahu memartabatkan tulisan jawi di kalangan pelajar dan murid menerusi sisipan khas ini," katanya. Mohamad berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan replika cek RM120,000 bagi menaja akhbar Utusan Melayu Mingguan kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin. Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengurus Kanan Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, Hasmadi Hassan dan Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad, Mohammad Fahmi Asraf.

Menurut Mohamad, tajaan itu diharapkan mampu membawa manfaat dan faedah kepada para pelajar sekali gus dijadikan sebagai salah satu kemudahan dalam proses pembelajaran. "Program sebegini wajar diteruskan dan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan bagi menjayakannya pada masa hadapan," ujarnya. Sementara itu, Mohammad Fahmi menjelaskan, menerusi tajaan itu, sebanyak 100,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia akan diedarkan setiap Isnin kepada 100 buah sekolah menengah dan rendah terpilih di seluruh negeri ini. "Edaran akan dilakukan selama setahun membabitkan 50 buah sekolah menengah dan 50 sekolah rendah di setiap daerah," katanya.

You might also like